Monday, 5 March 2018

Marilah Mampir ! Ini Jualan Termurah di Abad ini

Kedamaian Buat Semua,

Di dalam lipatan sejarah tidak ada industri yang dapat mengatasi industri agama dari segi janaan ekonomi yang dibawanya.

Dari satu sudut, ia boleh di anggap positif kerana berjaya memberi pendapatan kepada berjuta manusia.

Namun, dari sudut lain, ia membuka peluang kepada manipulasi peringkat tertinggi.

Bukan sahaja manipulasi dari segi kewangan tetapi yang paling parah ialah ia memperbodohkan khalayak dengan kekuatan ugutan yang sangat tinggi.

Dan yang paling memualkan ialah daya ugutan ini dibuat tanpa khalayak dapat membalas balik. Jika ada yang berani melawan maka dia akan terbuang dari masyarakat yang di anggotainya.

Tidak ramai yang mampu menjadi binatang jalang, terbuang dari kumpulannya (meminjam kata-kata terkenal Arwah Chairil Anwar). 

Oleh yang demikian, saya tahu ramai yang memendam rasa, hanya untuk kekal hidup normal di dalam masyarakat Melayu termasuklah diri saya.


Saya tidak tahu apa pendapat para pembaca mengenai iklan ini.

Yang nyata ialah ia bertujuan menjana ekonomi pihak-pihak yang tertentu

Saya tidak menolak fakta bahawa bermeditasi mempunyai faedah yang tersendiri kerana ia boleh menenangkan fikiran mereka yang mempraktiskannya.

Namun, saya secara peribadi berpendapat bahawa kita tidak ada cara untuk mengetahui samada segala apa yang telah kita lakukan sekarang akan diterima oleh Tuhan.

Malah, saya yakin jika diminta untuk membuktikan Tuhan itu ada pun kita tidak mampu lakukannya.

Ia hanya kekal sebagai sebuah konsep yang kita sendiri sukar untuk terjemah dan definisikan secara menyeluruh melainkan hanya larut di dalam misteri itu secara berseorangan.

Oleh itu, apakah jaminan yang boleh diberikan oleh penyelaras majlis ini bahawa module mereka akan diterima oleh Tuhan ? 

Adakah mereka boleh berurusan secara bersemuka dengan Tuhan untuk mengetahui perkara itu ?

Adakah mereka merasakan bahawa dengan membuat beberapa tatacara fizikal secara tiba-tiba sikap buruk yang telah mereka lakukan sebelum membuat ritual fizikal itu lenyap hilang begitu sahaja ?

Katakanlah, jika ada seorang melanggar lampu isyarat lalu mengakibatkan kemalangan sehingga membunuh seorang suami dan bapa.

Adakah dengan melakukan ritual fizikal mengikut module yang disaran di atas, kini secara tiba-tiba isteri dan anak mangsa boleh hidup senang lenang, memperolehi makan minum dan pakaian cukup, pendidikan serba serbi cukup ? Tanpa kehadiran bapa yang menjadi penyumbang kepada keluarga itu ? Mustahil bukan.

Kita tidak boleh merubah perkara buruk yang telah kita lakukan dengan ritual fizikal seperti seorang ahli silap mata.

Satu-satunya cara yang paling sesuai untuk kita menghindari sikap buruk ialah dengan menerap nilai-nilai yang baik di dalam diri kita, seperti amanah, bercakap benar, menghormati masa, bersih dll. 

Ia boleh diperolehi dengan kesungguhan (erti sebenar solat seperti yang diceritakan Al Quran) di dalam mencapai nilai-nilai baik ini. Ia perlu dipupuk dan dibajai. Sehingga ia menjadi sebagai sebahagian dari diri kita. Ia tidak boleh terjadi dengan berpura-pura dalam jangka waktu 5 minit, 5 kali setiap hari.

No money. No religion.

Ashwed

Thursday, 1 March 2018

Let's Read The Quran Campaign

Kedamaian Buat Semua,

Pada tanggal 20-02-2018 bertempat d Pejabat Urusan Zubedy (M) Sdn. Bhd. telah berlangsung majlis ringkas pelancaran kempen membaca Al Quran di dalam bahasa yang kita fahami.

YTM Raja Dato' Seri Eleena Binti Almarhum Sultan Azlan Muhibbuddin Shah Al-Maghfur-Lah telah sudi menyempurnakan pelancaran kempen yang dijangka berlangsung dari 1hb Mac 2018 sehingga 31hb Mac, 2018 ini.

Saya kebetulan tidak dapat hadir ke majlis tersebut kerana anak saya lelaki saya di jangkiti dengan virus Influenza B. Oleh kerana penyakit ini sangat mudah berjangkit maka saya mengambil keputusan untuk menghindarkan diri dari tempat terbuka yang dipenuhi dengan orang awam buat beberapa ketika.

Walaubagaimanapun, sokongan kepada kempen membaca Al Quran akan saya teruskan di medan blog ini.

Berikut adalah sebuah e-book yang mengandungi 200 keterangan Al Quran terpilih yang diterjemah kepada 5 bahasa untuk kita edarkan kepada rakan-rakan di Malaysia ini.

https://drive.google.com/file/d/1GUpQ76btAiuUnEmg4jZ1mCu5gwhVlPIC/view

Jika e-book ini tidak dapat dibuka sila kemukakan e-mail masing-masing saya akan hantar terus ke alamat e-mail anda.

Ashwed