Saturday 16 September 2017

Maahad Tahfiz 2

Kedamaian Buat Semua,

Sejujurnya saya merasa sangat berat untuk menaip artikel dan membuat sedikit analisa mengenai perkara ini. 

Namun, memikirkan kemungkinan ada idea baik dari pembaca mampu  disampaikan melalui ruangan komentar penulisan ini, maka saya gagahkan diri untuk menaip serba sedikit apa yang terbuku di kalbu ini.

Pada hari khamis tanggal 14-09-2017, negara kita dikejutkan dengan sebuah kejadian kebakaran.

Kejadian pada subuh yang hening itu meragut 24 nyawa, 22 daripadanya adalah kanak belasan tahun.

Ia menyentak lamunan rakyat marhaen terutamanya kaum Melayu kerana ia melibatkan sebuah institusi pengajian al quran yang kewujudannya sangat dekat di hati kaum ini.

Saya juga mengalami sentapan yang sama kerana dua sebab yang besar. 

Yang pertama, kejadian yang memilukan ini mengingatkan saya kepada anak-anak saya yang boleh dikatakan sebaya dengan kebanyakkan para pelajar yang terkorban tersebut.

Yang kedua, organisasi yang sedang saya pimpin juga sedang di dalam proses mendirikan sebuah institusi seperti ini.

Tiba-tiba hari menjadi lembap, akal sedikit beku ditambah pula dengan menularnya video yang menunjukkan para pelajar yang terperangkap tersebut sedang merayu pertolongan dari orang ramai.

Tidak lama kemudian, tular pula imej grafik mayat para pelajar yang telah rentung di media sosial.

Apa sudah jadi dengan masyarakat kita ? Sudah hilangkah perasaan simpati di jiwa kita ?

Mula-mula video bangunan sedang terbakar dengan api yang marak, berlatar belakangkan rintihan kanak-kanak merayu pertolongan di sebar. 

Di dalam video tersebut jelas tiada bantuan akhir cuba di lakukan oleh masyarakat sekitar selain dari merakam video khusus untuk sebaran, malah, kedengaran suara azan subuh seolah-olah tiada kecemasan yang terjadi di situ.

Mungkin beliau mendapat kepuasan dengan aktiviti merakam saat-saat akhir kanak-kanak dibakar api sebelum menemui ajal.

Kemudian gambar mangsa pula ditular tanpa mengira perasaan sedih  ibubapa mangsa yang terkorban melihat anak mereka sebegitu.

Rasa semakin menghiris kesedihan di sanubari ini memikirkan betapa tiada amanahnya orang kita.

Saya hampir pasti manusia yang bertanggungjawab menularkan imej grafik mangsa yang rentung itu terdiri dari anggota keselamatan samada bomba, polis atau anggota beruniform yang lain. 

Ini adalah kerana sudah tentu kawasan kejadian sudah dikepung dan orang awam tidak dibenarkan masuk untuk mengelakkan dari menganggu bahan bukti.

Di manakah perginya sikap amanah kamu ? Iman bukanlah ukuran tahap ketinggian kepercayaan kamu kepada Tuhan. 

Ini adalah kerana jika kamu percayakan bahawa Tuhan adalah esa maka jika keseluruhan umat manusia di bumi ini mahu mempercayai Tuhan ada 3 pun ia tidak akan merubah keberadaan Tuhan yang sebenar yang esa itu.

Iman di dirikan dari abjad ain-mim-nun (a-m-n) yang membawa maksud amana. 

Jika kita tiada sikap amana, kita akan gagal dan berada di bawah.

Kegagalan Orang Dewasa 

Seperti biasa, pentadbiran keagaaman yang bertanggungjawab memastikan keselamatan kanak-kanak di bawah mereka terjamin mengambil langkah mudah untuk lepas dari tanggungjawab.

Mereka mengisytiharkan kesemua mangsa itu mati syahid seolah-olah mereka pasti dan mendapat sijil dari tuhan sendiri mengenai status ini.

Maka dengan ini pengisytiharan mereka yang merasakan diri mereka pembantu tuhan ini, ahli keluarga dan sanak-saudara mangsa yang terlibat pun turut sama redha.

Pihak yang bertanggungjawab dibiarkan terlepas. 

Sampai bila pun mereka tidak dapat belajar dari kesilapan jika kita memandang ringan dan membiarkan mereka terlepas.

Sekali lagi, masyarakat kita saling tuduh menuduh sesama sendiri di dalam hal ini. Masing-masing tidak mahu mengambil tanggungjawab.

Sedang masyarakat tenggelam punca sambil salah menyalah sesama sendiri, tiada siapa yang dapat menjangka sesuatu yang lebih berat akan menimpa kita.

Sesuatu yang lebih menyedihkan dari kematian yang tragis itu sendiri.

http://www.freemalaysiatoday.com/category/highlight/2017/09/16/7-remaja-ditahan-bakar-sekolah-tahfiz-di-keramat-kerana-diejek/ 

Tidak dapat saya tuliskan dengan kata-kata bagaimana terasa bersalahnya saya sebagai orang dewasa semasa mendengar sidang akhbar Dato Amar Singh, Ketua Polis Kuala Lumpur.

Di manakah kita sebagai generasi yang memimpin kanak-kanak ini dapat menyorokkan muka. 

Aduh ! Sungguh memilukan kalbu. 

Kita telah gagal mendidik generasi hadapan. 

Satu demi satu kejadian sebegini terburai di hadapan mata kita.

Mula-mula kes seterika rakan sehingga mati. Kemudian, kes membuli budak lembut sehingga mati. Sekarang pula, membakar sehingga mati hanya kerana ejekan.

Apabila sekumpulan kanak-kanak membunuh sekumpulan kanak-kanak yang lain, ini adalah kemuncak kepada kebejatan masyarakat yang kita sedang menjadi pemimpinnya.

Kita semua perlu melihat kembali ke dalam sanubari sendiri, di manakah silap kita sebagai orang dewasa.

Melihatkan kepada penularan mesej mengenai tangkapan kanak-kanak yang bertujuh tersebut, siap dengan gambar dan laporan kronologi polis sudah cukup untuk meyakinkan saya bahawa kita adalah sebuah masyarakat yang kekurangan sikap amana dan kebertanggungjawaban.

Adakah mereka yang menularkan mesej itu tidak sedar bahawa yang mereka burukkan itu bukanlah orang lain melainkan anak-anak kita sendiri.

Kita tidak hidup sebagai kera sumbang. 

Kita bermasyarakat, setiap yang terjadi di dalam masyarakat adalah mengenai diri kita.

Ia bukanlah sesuatu yang patut dibanggakan kononnya menjadi orang pertama yang menularkan informasi buruk sebegini. 

Malah, ia adalah salah di sisi Undang-Undang untuk sewenang-wenangnya menyebarkan berita mengenai kanak-kanak.

 
Maafkan kami duhai anak-anakku. Sesungguhnya kami gagal menunjuki kamu jalan yang lurus.

Dan sesungguhnya, kami juga telah tersesat tetapi kami tidak berkeyakinan untuk mengakuinya.

Berhentilah dari tuduh menuduh sesama sendiri, sebaliknya carilah punca kegagalan kita.






Ashwed


Friday 8 September 2017

Hidup Sesudah Mati (Bahagian 2)

Kedamaian Untuk Semua.

Tidak berapa lama dahulu saya ada menulis sebuah artikel bertajuk " Hidup Sesudah Mati ". Anda boleh membacanya di sini http://ashwed1973.blogspot.com/2016/04/hidup-sesudah-mati.html.

Dan sepertimana artikel yang sebelumnya saya perlu membuat satu pernyataan bahawa saya belum pernah berpengalaman mengalami kematian. 

Oleh yang demikian, saya sememangnya tidak mempunyai biar sekelumit pun info tentang apakah yang akan terjadi selepas kematian saya.

Bukan saya sahaja, kesemua manusia yang hidup samada pada waktu ini atau pada zaman yang telah berlalu tidak pernah berpengalaman mengalami perkara ini kecuali jika mereka benar-benar mati.

Sehingga di saat artikel ini ditulis, belum pernah lagi ada seorang manusia yang mati lalu hidup kembali untuk menceritakan pengalaman beliau selepas kematian.

Jika ada seorang yang diketahui kembali sedar dari kematian, bukankah kita tidak lagi boleh memanggilya dirinya sebagai sudah mati ? Bukankah ia lebih layak dipanggil sebagai pengsan sahaja ?





Oleh itu, tidak seorang pun, saya ulang tidak seorang pun manusia tanpa mengira apa pun statusnya mempunyai pengetahuan mengenai apakah yang terjadi sesudah kita mati. 

Peta Kematian

Entah macamana, baru-baru ini ada seorang kenalan Al-Quran menghantar sebuah peta yang sangat menarik.

Ia membuatkan saya terdetik untuk melakukan sedikit penyelidikan ringkas mengenai kehidupan selepas mati seperti yang dipercayai oleh pelbagai kebudayaan dan ketamadunan manusia di serata dunia.

Hindu

Sebagai pemula organisasi keagamaan, Hindu mempunyai kepercayaan mengenai kehidupan selepas mati yang paling kompleks lengkap dengan peta yang rumit.

Hindu mempercayai kosmology kehidupan yang terdiri dari Svarga (atas), Prithvi (bumi) dan Patala (bawah) yang di lukis sebagai peta lengkap pada tubuh Vishnu seperti di bawah

Ia yang dikenali sebagai Vishvarupa.

Apabila seorang manusia meningal dunia, jiwa mereka akan mengembara ke dunia bawah yang dikenali sebagai Patala.

Terdapat 7 dunia (lokas) di realm Patala. 

Individu Melayu yang merasakan mereka mempunyai "ilmu" yang tinggi sering menyebut 7 petala langit tanpa mengetahui apa yang mereka sebut.

Sekarang kita tahu bahawa 7 Patala adalah terdiri dari 7 dunia (lokas) yang terdiri dari ;

1. Atala
2. Vitala
3. Sutala
4. Talatala
5. Mahatala
6. Rasatala
7. Patala  

 

7 dunia Patala berada di bahagian bawah tubuh Vishnu. 

Naraka, tempat jiwa dibicara dan menerima hukuman, terletak lebih bawah dari 7 dunia Patala. 


Tamadun Mesir Kuno


Manusia Mesir Kuno juga mempunyai kepercayaan mengenai kehidupan selepas kematian yang kompleks.

Mereka mempercayai bahawa badan manusia mempunyai satu sumber kuasa yang dikenali sebagai Ka. Apabila sumber ini meninggalkan tubuh maka manusia menemui ajal.

Manusia juga mempunyai kuasa spiritual yang dikenali sebagai Ba yang tidak meninggalkan tubuh selepas mati.

Oleh yang demikian, manusia yang hidup akan sedaya upaya membuat ritual pengkebumian supaya Ka dan Ba dapat bercantum semula di dalam suatu gabungan yang dikenali sebagai Akh.

Untuk Ka dan Ba bertemu, ia perlu menempuh pengembaraan yang di petakan seperti di bawah.
  
GuideToTheAfterlife-CustodianForGoddessAmun-AltesMuseum-Berlin.png 

Buddha

Oleh kerana Buddha adalah salah sebuah ranting dari ajaran Hindu maka kepercayaan mereka mengenai kehidupan selepas kematian juga seakan-akan serupa.

Kosmologi Buddha juga tidak kurang menarik untuk kita ketahui dan fikirkan.

Saya mengambil sedikit informasi yang berkaitan dengan apa yang selama ini masyarakat kita percayai sebagai perbandingan.

Secara ringkasnya ajaran Buddha juga mempercayai terdapat 3 realm utama di dalam Kosmologi mereka.

Ia terdiri dari Formless Realm, Form Realm dan Desire Realm.

Di dalam Desire Realm atau di dalam Bahasa Pali dikenali sebagai Kamadhatu, terdapat 4 dunia yang dikenali sebagai Asyaloka (Heaven), Sumeru, Manusyaloka (dunia manusia) dan Narakas/Niraya.

Yang menariknya, menurut kepercayaan Buddha, Narakas terbahagi 2 iaitu sejuk dan panas. Ianya begitu mirip dengan kepercayaan masyarakat Melayu mengenai neraka panas dan sejuk.

Naraka sejuk terdiri dari ;

1. Arbuda
2. Nirarbuda
3. Atata
4. Hahava
5. Huhuva

Sementara Naraka panas terdiri dari ;

1. Sanjiva
2. Kalasutra
3. Samghata
4. Raurava
5. Maharaurava
6. Tapana
7. Pratapana
8. Avici


 

Kitab Perjanjian Lama dan Baharu


Tidak perlu lagi kita perkatakan mengenai konsep Heaven and Hell di dalam agama ini.

Bagi saya, Kitab Perjanjian Lama dan Baharu mewakili Kristianiti dan Judaisma.

Berikut adalah beberapa peta mengenai kosmologi dunia kematian menurut agama ini.  













# Terlalu banyak informasi yang bertentangan di dalam ajaran agama dunia. Oleh yang demikian, saya mencadangkan supaya sidang pembaca juga membuat kajiselidik sendiri. 

Kesimpulan

Secara jujurnya, apakah yang anda rasai apabila membaca mengenai kepercayaan beberapa aliran agama dunia berkenaan alam kematian seperti di atas ?

Tentu ramai yang tersenyum sinis. 

Mungkin ramai juga yang menggelengkan kepala melihat kepada kesanggupan manusia mempercayai ketahyulan sebegini.

Saya ingin bertanya secara jujur, pertanyaan ini ditujukan khas kepada para pembaca Melayu beragama Islam yang berkemungkinan membaca artikel dari blog ini buat pertama kalinya.

Jikalah anda merasakan kesemua informasi di atas adalah suatu mitos yang kebudak-budakkan, apakah pula perasaan anda apabila membaca peta seperti tertera di bawah ;



Kini, ia tidak menjadi begitu mitos lagi bukan. 

Secara tidak semena-mena ianya menjadi real, bukan lagu main-main.

Akal tiba-tiba menekan butang pertahanan. Tembok muncul entah dari mana mengelilingi logik.

Bila ianya terkena batang hidung sendiri, tiba-tiba sel-sel otak kita gagal berfungsi lalu sanggup menerima informasi sebegini sebagai benar. 

Dapatkah anda merasainya ?

Mengapa ia menjadi sebegini ? 

Mengapa kita gagal mengguna akal kurniaan Illahi apabila tiba masanya untuk melihat kepada kepercayaan kita sendiri ?

Mungkinkah ini kerana kita gagal untuk melihat kembali makna perkataan KEPERCAYAAN ? 

Bukankah kepercayaan hanyalah suatu bentuk prasangka ? Ianya bukanlah suatu kebenaran ?

Tidakkah lebih mulia jika kita mengaku sahaja bahawa kita TIDAK TAHU apa yang akan terjadi selepas mati ?

Bukankah jawapan sebegini lebih jujur daripada kita berpura-pura tahu dan di dalam proses itu memanggil orang lain sesat kerana tidak mahu mempercayai mitos yang kita percaya ?

 A187

"Mereka bertanya kepadamu tentang Saat : "Bilakah masa datangnya?" Katakanlah: "Sesungguhnya pengetahuan mengenainya hanyalah ada di sisi Tuhanku, tidak ada sesiapa pun yang dapat menerangkan kedatangannya pada waktunya melainkan Dia. (Huru-hara) hari itu amatlah berat (menggerunkan makhluk-makhluk yang ada) di langit dan di bumi; ia tidak datang kepada kamu melainkan secara mengejut". Mereka bertanya kepadamu seolah-olah engkau sedia mengetahuinya. Katakanlah: "Sesungguhnya pengetahuan mengenai hari kiamat itu adalah di sisi Allah, tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui" AQ 7:187

A085



 
 
"Dan mereka bertanya kepadamu tentang roh. Katakan: "Roh itu dari perkara urusan Tuhanku; dan kamu tidak diberikan ilmu pengetahuan melainkan sedikit sahaja" AQ 17:85
 
Bukankah jawapan seperti di keterangan AQ 7:187 dan AQ 17:85 lebih mulia dan jujur. 

Tidakkah kita dapat menangkap bahawa orang ini sedang memberi jawapan ... AKU TIDAK TAHU kepada kaumnya yang sedang bertanya ?

 

Ashwed