Tuesday 30 August 2016

Impian Di Hari Merdeka

Kedamaian Untuk Semua,

Image result for tuanku abdul rahman merdeka image

Hari ini negara kita menyambut tahun ke-59 bebas dari kuasa asing. Ini bermakna sudah 59 tahun negara ini di tadbir oleh warganya sendiri.

Kita sudah mengembara begitu jauh. Dari sebuah negara miskin di mana jurang di antara kelas begitu ketara, kini, kita sudah ada kelas menengah.

Dengan terwujudnya kelas menengah, jurang di antara golongan miskin dan kaya dapat di rapatkan sekaligus membuka mata golongan miskin bahawa tiada yang mustahil untuk dicapai jika kita percaya kepada diri sendiri dan mendirikan kesungguhan (aqeemu solla) untuk mencapai impian masing-masing.

Jika anda membaca blog ini dari mula ianya ditulis, pasti anda sedar bahawa blog ini menyimpulkan bahawa kelas atau kasta dicipta oleh ilmuwan yang mencipta agama pertama di dunia iaitu Hindu untuk suatu sebab yang sangat besar.

Ia adalah satu cara untuk mengawal minda warga majoriti supaya tunduk kepada kehendak golongan bangsawan atau atasan. Maka dengan sistem agama inilah manusia menjadi hamba kepada manusia yang lain. 

Yang berbeza ialah jenama agama yang warga sesebuah negara itu anuti sahaja. Sistem yang mengawal tetap sama.

Oleh itu, sungguhpun negara yang didiami oleh seseorang itu sudah merdeka dan bebas dari anasir asing namun hakikatnya minda kebanyakkan orang masih belum bebas.

Ianya memerlukan kesungguhan (solla) untuk membebaskan minda sendiri dari rantai halimunan.

Untuk artikel ringkas kali ini, saya ingin berkongsi 3 impian merdeka yang selalu saya angankan.

Impian yang pertama ialah mahu melihat manusia di mana-mana sahaja mereka berada membebaskan diri sendiri dari belenggu minda yang diletakkan oleh golongan mereka yang terdahulu dari kita atau nenek moyang kita.

A170

"Dan apabila dikatakan kepada mereka, "Ikutlah apa yang Allah turunkan", mereka berkata, "Tidak, kami akan ikut apa yang kami dapati nenek-moyang kami buat." Apa? Sekalipun jika nenek-moyang mereka tidak faham sesuatu, dan mereka tidak dapat petunjuk?" AQ 2:170
 
Impian yang kedua ialah mahu melihat manusia seluruhnya sedar bahawa agama bukanlah suatu perkara yang suci. 

Agama bermaksud theologi  yang dicipta untuk mendefinisi jenama mengikut aliran pemikiran (school of thought) golongan bangsawan sebelum kita.

Agama yang diamal kini mengambil definisi perkataan latin religio yang membawa maksud "how to observe God". 

Ia menjadikan ritual sebagai jalan utama dan mudah untuk mencapai impian berbanding dengan realiti kehidupan sebenar dunia yang kita diami.

Ini bermakna agama adalah suatu bentuk sistem rekaan nenek-moyang yang terdahulu dari kita sahaja. Mungkin untuk suatu tempoh yang tertentu sistem ini dapat memberi keadilan kepada majoriti manusia. 

Namun, seperti resamnya manusia dan dunia yang kita diami, agama akhirnya dijadikan alat untuk mengawal dan mempengaruhi orang lain. Ia menjadi korup dan memecah belahkan manusia.

Ingatlah bahawa Al Quran menyarankan supaya kita semua tidak kira bangsa bersatu padu :-

 A030

"Maka tegakkanlah wajah kamu kepada aturan hidup (deena), seorang yang lurus - keaslian Allah yang dengannya memulakan manusia. Tidak ada pertukaran dalam ciptaan Allah. Itu aturan hidup (deenu) yang betul; tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahuinya" AQ 30:30


A031

"Berkesesalanlah kepada-Nya. Dan kamu takutilah Dia, dan dirikanlah kesungguhan (wa-aqeemu-solla), dan janganlah jadi daripada orang-orang yang sekutukan (musyrikina), " AQ 30:31


A032

"daripada orang-orang yang pecahkan aturan hidup (deena) mereka, dan menjadi golongan-golongan (syi-ya-an), tiap-tiap golongan berbangga dengan apa di sisi mereka" AQ 30:32

Ketahuilah bahawa di antara manusia terawal yang mengguna sistem bergolongan/agama/syi-ya-an untuk mengawal dan menjadikan manusia hamba kepada dirinya dan golongan bangsawan yang lain ialah firaun.

 A004

"Sesungguhnya Firaun meninggi di bumi, dan dia pecah belahkan penduduknya kepada golongan-golongan, menghinakan segolongan antara mereka, mengorbankan anak-anak lelaki mereka dan membiarkan hidup perempuan-perempuan mereka; sesungguhnya dia termasuk orang-orang yang buat kerosakan" AQ 28:4

Kita bertanggungjawab untuk menghapuskan sistem yang korup ini atau sekurang-kurangnya membaikpulih sistem agama yang ada supaya ia lebih adil kepada semua warga kita tidak kira bangsa.  

Kita perlu kembali kepada suatu sistem semulajadi yang sentiasa berada di dalam minda kita iaitu kebebasan.

Impian saya yang ketiga ialah mahu melihat semua kita mendalami sendiri sesuatu maksud perkataan atau etymology. Ini adalah penting supaya kita sedar origin perkataan itu dan konteks sebenar bagaimana ia digunakan.

Adakah etymology perkataan "ad deen" di dalam Al Quran adalah sama dengan agama/religio yang digunakan oleh dunia moden ?

Akhir sekali, hari ini mari kita dalami Rukunegara Malaysia. 

Di sini perkataan liberal digunakan dengan konteks sebenar sebelum media mengotorkan perkataan ini di minda penduduk Malaysia. 

Hari ini, apabila disebut liberal tergambarlah di minda kita bahawa ia merujuk kepada seseorang yang korup akhlaknya. 

Inilah contoh bagaimana kajian etymology sangat berpengaruh membebaskan minda manusia.

 BAHAWASANYA NEGARA KITA MALAYSIA mendukung cita-cita hendak:
  • mencapai perpaduan yang lebih erat di kalangan seluruh masyarakatnya;
  • memelihara satu cara hidup demokratik;
  • mencipta satu masyarakat adil di mana kemakmuran Negara akan dapat dinikmati bersama secara adil dan saksama;
  • menjamin satu cara liberal terhadap tradisi-tradisi kebudayaannya yang kaya dan berbagai corak; dan
  • membina satu masyarakat progresif yang akan menggunakan sains dan teknologi moden.
MAKA KAMI, rakyat Malaysia, berikrar akan menumpukan seluruh tenaga dan usaha kami untuk mencapai cita-cita tersebut berdasarkan atas prinsip-prinsip yang berikut :
  • KEPERCAYAAN KEPADA TUHAN;
  • KESETIAAN KEPADA RAJA DAN NEGARA;
  • KELUHURAN PERLEMBAGAAN;
  • KEDAULATAN UNDANG-UNDANG;
  • KESOPANAN DAN KESUSILAAN
 A036

"Dan kebanyakkan mereka tidak mengikuti kecuali persangkaan sahaja. Sesungguhnya persangkaan itu tidak sedikitpun berguna untuk mencapai kebenaran. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui apa yang mereka kerjakan" AQ  10:36

Sehati sejiwa.
 
Ashwed

Saturday 20 August 2016

Nilai Rohani : Realiti Dan Fantasi

Kedamaian Untuk Semua,

Ramai yang memahami maksud perkataan realiti dan fantasi. Namun, mempraktis perkataan ini bukanlah suatu perkara yang mudah.

Hakikatnya, begitu ramai manusia yang hidup di dalam alam fantasi tanpa mereka sedari. 

Fantasi ini menjadi realiti kehidupan mereka. Ia menjadi indah kerana ia memudahkan perkara yang sebenarnya susah di alam realiti. 

Jika anda sedang bermimpi dengan mimpi yang indah adakah anda mahu terjaga dari mimpi itu ? 

Sudah tentu tidak, anda mahu terus tidur. Sesiapa sahaja yang cuba menggerak anda bangun, pasti berisiko menjadi musuh anda. Bukankah begitu ?

Inilah hakikat yang terjadi dengan masyarakat kita. Orang kita sedang lena di ulit mimpi yang indah. Mimpi yang memudahkan semua impian mereka menjadi kenyataan. Mimpi ini dipanggil AGAMA.

Izinkan saya membuat sedikit analogi mengenai perkara ini. 

Bayangkan setiap subjek di dunia ini diwakili dengan sebuah rumah. AGAMA adalah salah sebuah dari rumah itu.

Apa sahaja jenis AGAMA yang sedang anda anuti berada di dalam rumah ini. Ya, tidak kira apa pun anutan anda, ianya berada di bawah satu bumbung rumah yang di kenali sebagai AGAMA.

 Image result for house in malaysiaS

Setiap rumah resamnya mempunyai bilik-bilik. 

Sekarang bayangkan setiap bilik mewakili jenama AGAMA yang sedang anda anuti. 

Islam satu bilik, Kristian satu bilik, Hindu satu bilik dan Buddha satu bilik (sekadar mengambil agama-agama besar yang dipraktis oleh rakyat Malaysia).

Kita adalah penghuni bilik-bilik sebuah rumah yang dikenali sebagai AGAMA ini. 

Setiap bilik mempunyai tingkap-tingkap mereka yang tersendiri seperti yang biasa terdapat di rumah-rumah kita.

Di setiap bilik ini terdapat seorang ahli yang mendabik dada mengatakan mereka memahami AGAMA bilik itu lebih dari yang lain.

Di dalam sebuah bilik yang berjenama Islam, tokoh bilik berkenaan menyeru ahli bilik yang lain untuk melihat kebenaran yang di bawanya dengan menyeru ahli-ahli bilik ini melihat ke luar tingkap yang paling dekat dengan tempatnya berdiri.

"LIHATLAH SEMUA BUKANKAH SUDAH AKU KATAKAN BAHAWA POKOK BERWARNA HIJAU, AWAN PULA BERWARNA PUTIH ? "

Maka ahli-ahli ini pun melihat ke luar tingkap yang di tunjuk oleh tokoh itu. Lalu, semua berkata benarlah kata-kata tuan. Lalu ahli-ahli bilik ini pun mengangkat orang ini sebagai seorang yang bijak dan pandai.


Image result for view from windows

Kemudian, datang seorang tokoh lain di bilik yang sama menyanggah fakta ini.

Dia menyeru ahli-ahli bilik ini supaya melihat melalui tingkap yang terletak di sisi lain bilik itu

Oleh kerana tingkap itu terletak di sisi lain bilik maka sudah tentu pemandangannya berbeza dari tingkap yang ditunjuk tokoh yang mula-mula tadi.

Di luar tingkap itu terdapat pokok yang tidak berwarna hijau. Awan pula sedang mendung maka warnanya juga lain.

"BUKANKAH SUDAH AKU KATAKAN BUKAN SEMUA POKOK BERWARNA HIJAU DAN AWAN PULA BUKANLAH BERWARNA PUTIH SEPANJANG MASA ! "

Maka sebahagian ahli bilik tersebut pun melihat ke luar tingkap tersebut lalu berkata benarlah kata tuan. Tuan lebih bijak dan lebih pandai dari tokoh yang seorang lagi.

Begitulah yang terjadi di bilik-bilik AGAMA di rumah ini. Masing-masing menyatakan bahawa fakta merekalah yang benar.

Ahli-ahli bilik ini tidak sedar bahawa oleh kerana jumlah ahli bilik yang ramai maka tidak semua dari mereka berpeluang melihat di tingkap yang sama menyebabkan pemandangan mereka berbeza dari ahli yang melihat di tingkap yang lagi satu.

Saudara pembaca yang saya hormati, inilah hakikat AGAMA yang sedang kita amalkan dan tingkap-tingkap ini mewakili jenis mazhab yang terdapat di dalam AGAMA itu.

Kita adalah ahli di bilik yang sama cuma kita hanya berpeluang melihat dari tingkap berbeza memandangkan kepada jumlah kita yang ramai. Begitu juga kita adalah ahli dari rumah yang sama. Cuma berbeza bilik.

Sekarang, bayangkan pula satu keadaan di mana tokoh dari bilik ini bertemu dengan tokoh-tokoh bilik yang lain di rumah yang sama. 

Sudah tentulah setiap bilik ini di bina di suatu arah yang berlainan. Maka, agaknya bagaimanakah pertemuan pandangan yang akan terjadi.

Masing-masing melihat dari tingkap berlainan yang di bina di bilik masing-masing.

Ada tingkap yang pemandangannya mengarah ke laut. Ada yang mengarah ke hutan. Ada pula yang mengarah ke gunung dan ada pula yang mengarah ke bandar.


Masing-masing saling bertegang urat mengatakan pemandangan merekalah yang paling benar tanpa sedar bahawa mereka setiap hari hanya melihat melalui sebuah tingkap yang berlainan arah dari bilik yang berbeza.

 Image result for view from windows to the city

Image result for view from windows to the city

Suatu hari, rumah ini di datangi seorang pendeta yang bijaksana. Beliau sudah berpeluang mengembara dari rumah ke rumah (subjek ke subjek). 

Di setiap rumah yang beliau kunjungi, pendeta ini menjenguk dan tinggal beberapa ketika di setiap bilik-biliknya. 

Pendeta ini tidak melihat dari dalam sebuah bilik ke luar tingkap tetapi melihat dari arah dunia yang luas ke dalam setiap jenis rumah dan bilik.

Di kesempatan berkunjung di rumah yang bernama AGAMA itu, pendeta ini memberi nasihat kepada tokoh-tokoh dari setiap bilik rumah tersebut semasa pertemuan yang di adakan di ruang tamu.

"BAGAIMANAKAH KAMU MAHU MENGATAKAN PEMANDANGAN KAMULAH YANG PALING BENAR DAN TEPAT SEDANGKAN KAMU TERPERANGKAP DI DALAM SEBUAH BILIK YANG SEMPIT DAN HANYA BERPELUANG MELIHAT MELALUI SATU JENIS TINGKAP SAHAJA ? " KATA PENDETA ITU.

Adakah tokoh-tokoh bilik ini mahu mendengar nasihat pendeta ini ? 

Tokoh-tokoh ini kini menghadapi dilema. Sungguhpun kata-kata pendeta itu ada benarnya. Namun, apa akan terjadi kepada pengaruh mereka terhadap ahli tingkap masing-masing ?

Adakah mereka perlu memberitahu kepada ahli-ahli masing-masing bahawa pandangan mereka selama hari ini hanyalah berdasarkan kepada satu pemandangan tingkap sahaja ?

Begitulah resamnya AGAMA. 

Masing-masing melihat dari suatu bilik yang sempit. 

Dari dalam bilik ini mereka melihat ke luar tingkap lalu mengatakan diri mereka sudah bebas seluas dunia yang mereka lihat di luar tingkap itu.

Mereka tidak sedar bahawa sungguhpun mereka melihat dunia yang luas tetapi hakikatnya, diri mereka masih terperangkap di dalam sebuah bilik yang sempit di sebuah jenis rumah yang dikenali sebagai AGAMA. 

Mereka bukanlah seorang yang BEBAS secara fizikal dan mental.

Untuk bebas, kita perlu keluar dari bilik tersebut. Jika lebih berani keluarlah dari rumah itu. EXPLORE.

Berjalanlah di sekeliling rumah tersebut. Di situ, anda boleh melihat dari semua arah. 

Anda boleh memegang sendiri pokok yang anda katakan berwarna hijau tadi. Di situ anda mungkin baru tersedar bahawa yang menjadikan ianya berwarna hijau adalah daun-daun pokok itu.

Bukankah ianya sangat berbeza dengan melihatnya dari jauh ?

Begitu juga melihat air laut dari kejauhan adalah pengalaman yang sangat berbeza dengan merasai sendiri airnya dengan lidah dan tangan. Mungkin anda tidak tahu bahawa air laut rasanya masin berlainan dari air di paip bilik anda.

Bandar yang dilihat dari jauh kelihatan tenang dan aman. Namun, apabila mengembara di dalamnya baharulah anda tahu bahawa ada tempat yang selamat dan ada pula yang dipenuhi penyeluk saku.

Kini, katakanlah anda sudah berjaya untuk keluar dari bilik dan rumah yang anda huni selama ini. 

Anda sudah memegang sendiri pokok yang anda katakan berwarna hijau dan sedari mengapa ia berwarna hijau.

Anda sudah mengembara di serata pelusuk bandar, memanjat gunung dan berdiri megah di kemuncaknya. Anda juga sudah berenang di lautan luas serta menyelam ke dasarnya.  

Anda merasai kesemua pengalaman ini secara real.

Suatu hari anda pulang ke rumah anda, lalu terus masuk ke bilik yang anda huni.

Di dalamnya, tokoh bilik yang di angkat sebagai bijak pandai sedang menerangkan kepada ahli-ahli yang mengikutnya tentang spesifikasi pokok yang mereka lihat dari kejauhan melalui satu tingkap yang paling dekat dan kini sudah menjadi milik mereka

Di saat itu, apakah perasaan anda ? Tidakkah anda merasai bahawa tokoh ini sedang berfantasi ?


Ashwed

Pencapaian Terbaik Di Sukan Olimpik 2016

Kedamaian Untuk Semua,

 Image result for men single badminton final olympic podium

Saya percaya ramai yang merasa kecewa kerana Dato Lee Chong Wei tidak berjaya membawa pulang pingat emas yang menjadi idaman seluruh negara.

Kekecewaan ini bukan kerana rakyat negara ini tidak menghargai jasa Dato Lee Chong Wei tetapi kerana kita semua terlampau inginkan beliau merasai berada di kemuncak kejayaan. Tiga kali beliau sangat hampir melakukannya bak kata pepatah barat " so near yet so far". Ia sememangnya suatu perasaan yang tidak berkesudahan.

Sebagai rakyat Malaysia saya amat bangga dengan pencapaian kesemua atlit negara di sukan olimpik kali ini. Sememangnya ini adalah pencapaian terbaik sukan negara. Sekurang-kurangnya saya boleh bercerita kepada anak-cucu saya bahawa saya pernah menyaksikan atlit-atlit luar biasa ini beraksi mengharumkan nama negara ini. Inilah nationalism, semangat cintakan negara, tanah tumpahnya darah kita.

Kepada para pembaca blog ini yang mungkin masih berada di dalam umur yang muda dan secara kebetulan meminati bidang sukan. Sedarlah, bahawa tidak mustahil anda adalah orangnya yang mampu menjadikan impian jutaan rakyat Malaysia menjadi kenyataan.

Apa yang perlu anda lakukan ialah dirikan iltizam atau kesungguhan. DETERMINATION. Itulah satu perkataan yang paling sempurna untuk mengungkap rahsia kejayaan manusia di dalam apa jua bidang yang mereka ceburi. 

Itulah juga yang disampaikan oleh Al Quran kepada umat manusia. Ia bukanlah suatu risalah rahsia besar. Sudah beribu tahun ia berada di tangan kita. Namun kita memilih untuk membelakangkan mesej ini.

Ashwed

Friday 19 August 2016

Yahoooo !!!!! Malaysia Boleh

 

Akhirnya Dato Lee Chong Wei berjaya mengalahkan seteru utama beliau, Lin Dan di gelanggang Sukan Olimpik.

Beliau berjaya melakukannya di dalam satu perlawanan mendebarkan yang pastinya disaksikan oleh puluhan juta rakyat Malaysia.

Tahniah Dato Lee Chong Wei. Semestinya kami berbangga dengan kejayaan anda. Ini bermakna Malaysia mempunyai 2 kali lagi cubaan untuk membawa pulang pingat emas. 

Semalam, beregu campuran pulang dengan membawa pingat perak. Prestasi beregu campuran kita iaitu Chan Peng Soon/Goh Liu Ying amat membanggakan memandangkan Goh Liu Ying bergelut dengan kecederaan lutut. 


Beliau membuat keputusan berat dengan melakukan pembedahan di kedua-dua belah lututnya kira-kira setahun lalu.

Bayangkan iltizam/solla yang beliau dirikan. Adakah beliau berjaya melakukan ini dengan membuat ritual di pagoda mengikut cara agama Buddha ? Sudah tentu tidak.

Sebelum ini, kejayaan besar juga di raih oleh pelumba basikal negara, Azizulhasni Awang di dalam acara keirin.

53de 
Tak sampai pun tinggi bahu bangsa caucasian 

Semua kejayaan ini tidak boleh dicapai dengan membuat ritual di dalam tempoh 5 minit mengikut theology agama masing-masing.

Ia hanya boleh dicapai dengan kerja keras dan membuat perancangan teliti di dalam disiplin sukan yang mereka ceburi. Inilah yang dimaksudkan dengan solla di dalam Al Quran.

Ahli-ahli sukan ini memberikan sepenuh perhatian (khusyuk) di dalam disiplin mereka seharian. Inilah kunci kejayaan umat manusia tidak kira di mana pun kita berada. 

Adakah ini suatu rahsia besar ? Tidak.. Bahkan ia ditulis dengan begitu jelas di dalam Al Quran tetapi kebanyakkan manusia memilih untuk membelakangkannya.

Akhir sekali, ini untuk saudara Zack .. 

"Only knowledge and hardwork will bring us to utopia" Captain James T. Kirk, USS Enterprise : )

Semoga malam ini beregu lelaki negara mencapai pingat yang menjadi harapan berjuta rakyat Malaysia.

Ashwed 

Thursday 11 August 2016

TAHNIAH OLYMPIAN !

Kedamaian Untuk Semua,

Tahniah kepada Penerjun Pandelela Rinong dan Cheong Jun Hoong yang berjaya memenangi Pingat Perak dalam acara 10m platform berirama di Olimpik Rio.

Kejayaan mereka benar-benar menimbulkan rasa bangga kepada negara.

Saya tidak dapat membayangkan perasaan kedua ibu-bapa mereka.

Saya sudah katakan banyak kali dan saya tidak akan pernah berhenti menyatakan bahawa kejayaan sebegini, di dalam apa jua bidang pun, tidak datang secara bergolek.

Ia adalah hasil pengorbanan, penat dan lelah bertahun-tahun. 

Kesungguhan inilah yang dikenali sebagai iltizam dan perkataan inilah pada pendapat saya adalah yang paling tepat untuk menerangkan maksud "solla" seperti yang ditulis oleh Al Quran.




Saya percaya jikalah mereka berdua ini kebetulan adalah anak Melayu, pasti ramai yang memberi komen mempertikai pakaian renang mereka di media sosial seperti yang terjadi kepada ahli gimnastik negara tidak lama dahulu.

Mengapa orang kita sering berfikir seperti ini ? Merasa tidak senang dengan kejayaan anak Melayu lain mungkin ?

Sebagai generasi baru yang teknologi dan maklumat dunia berada di tapak tangan kita, marilah kita membuka minda. Buang cara lama dan mula menanam iltizam untuk menjadi satu negara bangsa yang maju dan bertamadun.

Akhir sekali, tahniah sekali lagi kepada Pandelela Rinong dan Cheong Jun Hoong. 

Saya berharapan supaya Azizulhasni, Fatehah, Lee Chong Wei dan atlet-atlet lain dapat memberikan yang terbaik di temasya kali ini.

Ashwed

 

Wednesday 10 August 2016

Nilai Rohani : Fenomena Cinta dan Benci

Kedamaian Untuk Semua,

Pada artikel yang lepas saya menulis tentang bagaimana kita mengukur NILAI.

Secara ringkasnya, segala perkara yang wujud di dunia ini tidak mempunyai nilai. Kitalah yang meletakkan nilai kepadanya.

Sesuatu itu menjadi bernilai apabila ianya mempunyai hubungan dengan kita.

Kadang-kala ia menjadi bernilai akibat kepayahan kita mendapatkannya seperti pingat kerana keberanian, jasa kebaktian dan sukan.

Di waktu yang lain pula, ia menjadi bernilai kerana resam masyarakat yang secara turun temurun meletak nilai yang tinggi kepada sesuatu itu, di samping kos modal yang dikeluarkan untuk mendapatkannya seperti bijih emas, minyak dan mineral lain.

Di dalam hubungan sosial pula, iaitu hubungan sesama manusia ia menjadi bernilai kerana beberapa sebab seperti hubungan darah, hubungan kerja dan yang paling misteri sifatnya ialah hubungan emosi seperti cinta, benci dan perasaan lain.

Fenomena Cinta

Pada saya, cinta adalah suatu fenomena yang mempunyai tarikh luput. Yang kekal abadi ialah komitmen terhadap cinta itu.

Di dalam suatu hubungan yang normal, cinta selalunya berakhir dengan sebuah perkahwinan. Di sinilah misteri cinta ini menjadi komplikasi yang rumit.

Ini adalah kerana setelah beberapa lama berkahwin, ramai yang mendapati bahawa cinta yang mereka sulam suatu ketika dahulu hanyalah sekadar kisah indah yang di promosi oleh budaya popular seperti filem, novel dan dongeng cinta yang mereka dengar, baca atau lihat.

Adakah anda merasakan kisah cinta Rumi dan Juli atau Laila dan Majnun atau Jack dan Rose dari filem Titanic adalah sebuah kisah benar ?

Di kebanyakkan masa, pihak wanitalah yang paling menjadi mangsa propaganda cinta yang di promosi menjadi budaya popular ini.

Ramai yang terjerumus menunggu-nunggu hari tanda cinta mereka seperti Hari Memperingati Kekasih, Hari Ulangtahun Pertemuan, Hari Ulangtahun Kelahiran dan pelbagai macam hari lagi yang dipromosi sebagai simbol cinta.

Simbol cinta akan melahirkan harapan, harapan inilah yang menjadi pembunuh utama jika ianya tidak kesampaian.

Bayangkan perasaan seseorang yang menunggu-nunggu untuk menerima hadiah semasa Hari Ulangtahun Kelahiran, tiba-tiba pasangannya tidak ingat kerana sibuk bekerja ?

Siapakah yang memberi gambaran bahawa memberi hadiah di hari ulangtahun kelahiran adalah tanda cinta ? Bukankah kita yang memberinya nilai ?

Jika masyarakat tidak memberi nilai kepada perbuatan ini adakah pasangan itu akan bermasam muka jika salah seorang dari mereka lupa hari ulangtahun kelahiran yang lain ?

Ketahuilah cinta yang paling agong tidak mempunyai simbol.

Ia kekal di sudut hati yang paling dalam, di sebuah daerah sunyi yang tiada orang lain dapat menggapainya.

Kadang-kala cinta yang agong ini akan terpisah tetapi oleh kerana kedudukannya yang istimewa maka ia kekal bersama sang pencinta itu sehinggalah ajal mengambil nyawa.

Keagongan cinta terlahir ke dunia nyata melalui komitmen. Dengan komitmen inilah kita mengukur nilai hubungan kita.

Komitmen pula memerlukan iltizam yang bukan calang-calang. Iltizam di dalam Bahasa Arab Al Quran dikenali sebagai "solla".

Ia adalah sesuatu yang tidak boleh disempurnakan di dalam tempoh waktu 5 minit. Ia adalah pengorbanan seumur hidup.

Maklumat ini sahaja sudah cukup untuk menerangkan ketinggian perkataan "solla". Sekaligus menerangkan keagongan sebuah cinta.

Fenomena Benci

Benci adalah suatu perasaan meluat kepada sesuatu, ia boleh jadi meluat kepada individu, meluat kepada keadaan, meluat kepada sesuatu isu dan lain-lain.

Benci juga adalah suatu fenomena yang ada tarikh luput.

Hanya komitmen kita terhadap kebencian itulah yang menjadikan ia berpanjangan.


Kebiasaanya, apabila timbul perasaan benci manusia akan cuba cari jalan penyelesaian untuk menghentikan kebencian itu.


Oleh kerana itu, seorang yang normal tidak akan berlarutan membenci kerana ia akan dimatikan dengan penemuan jalan penyelesaian atau sekadar dimatikan dengan perasaan cinta yang wujud di dalam setiap diri makhluk yang dikenali sebagai manusia.

Motivasi Manusia

Dengan maklumat-maklumat yang diberikan di atas maka, bolehlah kita katakan bahawa cinta dan benci sebenarnya adalah motivasi untuk manusia.

Kita mahu berjaya dalam hidup sebahagian besarnya kerana CINTA. 

Kita tidak mahu orang yang kita sayang menjadi susah, lalu kita pun berusaha bersungguh-sungguh untuk menjadi senang demi orang yang kita sayangi.

Di waktu yang lain pula, kita memBENCI keadaan kita yang susah. Untuk itu kita berusaha bersungguh-sungguh untuk tidak lagi menjadi susah.

Jika kita amati, sesuatu kisah yang menjadi sejarah kebiasaanya dicetuskan oleh perasaan CINTA dan BENCI.

Malaysia merdeka kerana perasaan para pejuang dahulu yang CINTAkan anak bangsanya. Di suatu sudut yang lain pula Malaysia merdeka kerana keBENCIan para pejuang ini kepada penjajah.

Di sudut sejarah peribadi pula, seorang anak yang keluar merantau dari kampung halaman mencari pekerjaan kemungkinan di sebabkan kepada perasaan CINTA kepada ibu-bapanya atau mungkin pula kerana BENCI melihat kemiskinan ibu-bapanya.

Kesimpulannya, kebanyakkan perkara yang terjadi kepada diri kita secara asasnya dicetuskan oleh dua perasaan ini.

Tidakkah anda merasakan bahawa kedua-dua perasaan ini adalah suatu fenomena ? Bukankah ia berasal dari hati yang sama ?

Poligami

Diskusi mengenai CINTA tidak akan menjadi lengkap jika kita tidak menjengah sedikit berkaitan dengan isu kegemaran orang kita iaitu poligami. 

Apakah perspektif Al Quran mengenai poligami ?

Kebiasaannya "Muslim" akan mengguna keterangan berikut bagi menyokong perbuatan poligami :-

A003

"Jika kamu takut kamu tidak akan berlaku adil terhadap anak-anak yatim, maka kahwinilah perempuan-perempuan yang nampak baik bagi kamu, dua, dan tiga, dan empat; tetapi jika kamu takut kamu tidak akan berlaku adil, maka satu sahaja, atau apa yang tangan-tangan kanan kamu miliki; maka ia lebih dekat bagi kamu untuk tidak buat aniaya" AQ 4:3

Apakah benar Al Quran membenarkan poligami ? Adakah ia praktikal ? Apakah perasaan pasangan yang terlibat terutamanya wanita di dalam hal ini ?

Realitinya, saya belum pernah lagi menemui walau seorang pun wanita yang menyokong poligami. Itulah hakikatnya. Saya fikir payung emas tidak menjadi dambaan wanita Malaysia.

Pada pendapat saya, keterangan AQ 4:3 di atas adalah mengenai hubungan kita dengan anak yatim piatu.

Malah, keseluruhan keterangan itu adalah mengenai bagaimana menjaga kebajikan anak yatim piatu. Di mana, Al Quran menyarankan si penjaga anak-anak yatim ini supaya mengahwinkan/nikahkan (fankihoo) anak-anak di bawah jagaan mereka secara berdua, bertiga atau berempat.

Yang membawa maksud apabila telah tiba waktunya maka kahwinkanlah anak-anak yatim di bawah jagaan kita seramai yang mungkin.

Realiti Poligami 

Saya mempunyai seorang kenalan rapat yang mengamalkan poligami. Oleh kerana keakraban kami maka saya sering di jadikan tempat untuk beliau meluahkan perasaan.

Kini, saya mempunyai sebuah kes sebenar untuk saya jadikan pemerhatian di samping kes beberapa rakan lain. 

Beliau sendiri membenarkan saya untuk menulis mengenai perkara ini sebagai tauladan kepada semua pembaca blog ini.

Kenalan saya mengenali isteri pertama beliau semenjak dari bangku Universiti lagi. Mereka berkawan lebih dari 10 tahun sebelum melangsungkan perkahwinan.

Menurut beliau, hubungan semasa berkasih sudah menampakkan ada tanda masalah. Namun, oleh kerana cinta,  mereka meneruskan perhubungan itu ke peringkat yang lebih jauh.

Selepas berkahwin, kenalan saya mendapati pasangannya kurang memberikan komitmen. Kebanyakan hal rumahtangga diuruskan oleh beliau.

Hal ini menjadi semakin sukar apabila mereka mempunyai anak. Ini adalah kerana beliau adalah seorang ahli perniagaan yang kita tahu perlu meluangkan masa yang banyak untuk mencari peluang perniagaan dan membuat pemasaran.

Masa untuk beliau mengembangkan karier menjadi semakin terhad sehingga menimbulkan bibit ketidakpuasan hati (bukankah saya sudah katakan bahawa cinta itu hanyalah satu fenomena).

Rakan saya ini dikurniakan dengan rupa paras yang kacak. Untuk itu, ramai wanita menaruh hati kepadanya. 

Beliau juga boleh dikatakan mempunyai nama yang harum di bandar kecil tempat beliau tinggal. Perkara ini merumitkan lagi permasalahan beliau, memandangkan beliau tidak pernah lelah dengan pilihan.

Dipendekkan cerita, beliau akhirnya mengahwini kerani pejabatnya sendiri. Apabila ditanya beliau mengakui bahawa beliau mempunyai sebab yang tersendiri untuk berbuat demikian.

Setelah beberapa lama, rakan saya ini mengajak saya keluar lalu kami berbual panjang mengenai kehidupan barunya sambil beliau berjanji untuk memberi saya peluang melihat sendiri bukti kata-katanya.

Beliau mengakui beberapa perkara yang menyebabkan saya terus mengingati beberapa keterangan Al Quran mengenai perkara ini yang saya kategorikan sebagai soal hati. 

Beliau menyatakan bahawa kini beliau mengalami suatu dilema. Biar sekuat manapun hatinya mahu menolak, beliau mengakui bahawa dirinya lebih menyayangi isterinya yang kedua.

Ini terjadi bukan disebabkan rupa paras tetapi kerana isteri keduanya lebih banyak memberi komitmen kepada rumahtangga mereka. Sedangkan isterinya yang pertama tidak berbuat begitu.

Perkara ini mengakibatkan saya teringatkan keterangan berikut ;

 A004

"Allah tidak buatkan seseorang lelaki dua hati di dalam dadanya; dan tidak juga Dia buatkan isteri-isteri kamu apabila kamu menzihar (berkata, "Kamu, padaku, adalah seperti punggung ibuku") sebenarnya ibu-ibu kamu, dan tidak juga Dia buatkan anak-anak angkat kamu sebenarnya anak-anak kamu. Itu ucapan kamu sendiri, dengan mulut kamu; tetapi Allah mengatakan yang benar, dan Dia beri petunjuk pada jalan" AQ 33:4

Beliau juga mengakui bahawa disebabkan perkara ini beliau merasakan dirinya tidak begitu adil kerana melebihkan isteri keduanya. 

Maka benarlah keterangan ini ;

A129

"Kamu tidak akan boleh buat adil antara isteri-isteri kamu, walaupun kamu ingin sekali; maka jangan kamu condong dengan seluruh kecondongan sehingga kamu tinggalkannya seperti tergantung. Jika kamu betulkan dan bertakwa, sesungguhnya Allah Pengampun, Pengasih" AQ 4:129

Oleh kerana beliau bergilir di waktu hujung minggu maka beliau menjemput saya ke rumah isteri-isterinya sekadar untuk membuktikan kata-kata beliau.

Kebetulan pada hujung minggu itu beliau berada di rumah isteri keduanya, lalu beliau menjemput saya makan tengahari di sana.

Saya dihidangkan dengan kari kepala ikan yang lazat dimasak sendiri oleh isterinya siap dengan pemanis mulut.

Dari pengamatan, rumah beliau saya rasakan kemas. Berbau wangi serta terasa nyaman.

Sewaktu tiba di situ, saya melihat anak-anak beliau di rumah itu sedang duduk di meja sambil melukis dan mewarna. Pakaian mereka juga kemas seolah-olah mahu keluar ke bandar. 

Sekali-sekala saya mendengar anak-anaknya berkelahi. Setiap kali ini terjadi salah seorang dari mereka akan ke dapur mengadu kepada ibunya. 

Tidak ada sekalipun anak-anaknya mengadu kepada rakan saya itu, sungguhpun kami berada dekat dengan mereka, menandakan anak-anak ini sangat terikat dengan ibu mereka.

Di minggu berikutnya, saya ke rumah beliau dengan isteri pertamanya. Rumah ini lebih besar dari rumah isteri kedua beliau.

Saya dapati di sini beliau menghidang sendiri makanan tengahari kami yang beliau beli di luar. Sepanjang saya di rumah ini tidak sekalipun kelibat isteri pertamanya menjenguk kami.

Rumah ini sungguhpun lebih besar namun keadaanya tidak teratur, berhabuk dan berbau. Manakala anak-anak beliau di sini kelihatan masih belum mandi.

Selepas makan beliau bercerita mengenai beberapa perkara yang lebih peribadi mengenai rumahtangga beliau.

Saya kini memahami apa yang di alami oleh kenalan saya ini. 

Kesimpulan

Perasaan cinta dan benci adalah suatu fenomena yang juga dinilai melalui jiwa kita. Perasaan ini tidak boleh dipupuk secara sebelah pihak. Ia memerlukan satu interaksi penyebab dan akibat.

Interaksi ini akan berkembang atau menguncup mengikut keadaan semasa. 
Jika anda mencintai seorang yang lain secara seorang diri ia masih belum boleh di namakan cinta. Ia mungkin layak setakat dipanggil peminat atau stalker. Ia adalah simptom mental yang bermasalah.

Begitu juga jika anda membenci sesuatu tanpa sebab yang munasabah, ini bukanlah emosi yang normal melainkan petanda jiwa yang kacau.

Dari kisah rakan yang saya ceritakan di atas, saya membuat kesimpulan bahawa hubungan di antara manusia di nilai melalui komitmen.

Apabila sesuatu pasangan memberi komitmen yang tinggi maka mereka akan merasa dirinya bernilai.

Dengan merasa dirinya bernilai, kisah cinta yang romantis akan datang secara semulajadi. 

Anda tidak perlu menunggu-nunggu tarikh lahir untuk mendapat hadiah. 

Anda juga tidak perlu lagi mengingatkan pasangan anda mengenai tarikh lahir anda kerana beliau pasti akan mengingatinya secara sendiri. Ini adalah kerana beliau merasa terhutang budi dengan komitmen anda.

Anda pula tidak akan ternanti-nanti hadiah yang mahal. Itu hanyalah simbol kuasa beli. Sekadar ucapan ringkas sudah bermakna bagi diri anda.

Ini adalah kerana disebalik ucapan ringkas itu terkandung komitmen besar yang setiap hari disempurnakan oleh pasangan anda seawal dari pukul 5 pagi sehingga dirinya tertidur keletihan di malamnya. Dari umur 20an sehingga akhirnya pasangan anda memejamkan mata untuk selamanya.

Itulah cinta abadi yang tiada galang ganti dan tidak ternilai harganya.

Ashwed 



















Thursday 4 August 2016

Nilai Rohani : Pita Pengukur Nilai

Kedamaian Untuk Semua,

Sehari dalam setiap minggu saya akan menunggu anak-anak saya berlatih seni mempertahankan diri Tae Kwon Do di sekolah mereka.

Sambil menunggu, saya akan berlegar di dewan tempat mereka berlatih sambil mata membaca apa sahaja tulisan dan kenyataan yang terdapat di sekeliling dewan itu.

Oleh kerana perkara ini sudah saya lakukan bertahun-tahun lamanya, maka secara asasnya keseluruhan maklumat di Papan Kenyataan Dewan Sekolah mereka sudah saya baca. Samada yang lama atau yang terbaru. Berkali-kali.

Petang tadi, saya perasan ada satu kenyataan baru di lekat di dinding Dewan Sekolah anak-anak saya.

Ia adalah suatu kenyataan universal yang menyeru para pelajar sekolah itu supaya memupuk nilai-nilai murni di dalam diri mereka.

Secara peribadi, saya merasakan mesej yang cuba disampaikan dari kenyataan ini adalah amat agong.

Bagi saya, jikalah para pelajar sekolah ini (termasuk anak saya) dapat menjiwai mesej berkenaan maka negara kita akan berada di dalam tangan yang selamat.

Cuma saya merasakan gaya penyampaian kenyataan tersebut kurang menarik. Di tambah pula lokasi ia diletak yang agak kurang strategik, maka saya agak was-was samada kenyataan ini dapat memberi impak yang besar kepada para pelajar sekolah tersebut.

Walaupun begitu, saya amat berterima kasih kepada guru-guru sekolah ini, termasuk guru-guru lain di mana sahaja anda berada kerana sentiasa prihatin untuk menyampaikan nilai-nilai murni kepada anak-anak rakyat Malaysia seperti saya.

Hanya Tuhan sahaja yang dapat membalas jasa anda.

Berikut adalah kenyataan yang di maksudkan :-



Sidang pembaca yang dihormati sekelian. Setelah lebih 10 tahun mengkaji Al Quran, kini saya berani menyatakan bahawa keseluruhan Al Quran ditulis dengan objektif untuk menyampaikan mesej-mesej universal sebegini.

Ritual bukanlah objektif Al Quran, ianya adalah satu penghinaan yang amat besar jika kita merasakan Zat Asal yang MAHA AGONG ini memerlukan ritual dari manusia sebagai kayu pengukur kepercayaan kepadaNya.

Namun begitu, tajuk perbincangan kita kali ini bukanlah mengenai nilai-nilai murni atau jenis-jenis perbuatan yang layak diletakkan sebagai murni.

Perkara sebegini sudah banyak diperbincangkan di ruang maya internet, di forum-forum perdana, di wacana intelektual malah jika kita perhatikan nilai-nilai ini sudah terlalu overated sehinggakan seperti sudah ada satu piawaian yang standard bagi menggambarkanya.

Saya pasti ramai yang pernah menonton filem atau drama melayu yang mempotrait mereka yang mahu kembali ke pangkal jalan atau "bertaubat" dengan pakaian standard jubah, tasbih, sarban dan mungkin ditambah sedikit celak di mata.

Penyangak pula kebiasannya digambarkan berambut panjang atau botak, berseluar koyak, berantai, beranting-anting dan bergelang.

Kalau watak orang tua gatal pula mesti diletakkan gelaran Dato'.

Seolah-olah kelayakan untuk mendapat gelaran Dato' dari Raja-Raja Melayu memerlukan seseorang itu mempelajari selok-belok bagaimana mahu menjadi miang terlebih dahulu.

Perbincangan kita kali ini adalah mengenai perkataan nilai itu sendiri. Tentang bagaimanakah penilaian itu dibentuk dan diukur sebelum ia di letakkan sebagai suatu harga.

Sebenarnya sebaik sahaja membaca kenyataan di dewan sekolah itu, fikiran saya terus teringat kepada suatu peristiwa yang terjadi kepada diri saya sendiri.

Perkara ini menyedarkan saya bahawa NILAI adalah sesuatu yang tidak boleh diukur secara materi.

Ceritanya begini, sewaktu saya belajar dari sekolah rendah, sehingga ke sekolah menengah sehingga ke menara gading kemudian masuk pula ke alam pekerjaan saya dapati diri saya tidak pernah mempunyai walau sebatang pun pen.

Image result for pen

Ianya memang kedengaran sedikit pelik, tetapi itulah hakikatnya. 

Seingat saya, setiap pen yang saya beli akan hilang di dalam tempoh 2,3 hari. Perkara ini terjadi semenjak dari sekolah rendah (pensil) sehinggalah ke sekolah menengah.

Menyedari hakikat ini, maka apabila melangkah ke alam universiti saya mengambil keputusan nekad untuk tidak lagi membeli pen.

Universiti adalah suatu tempat pembelajaran yang sangat besar dan rupanya terdapat ramai para pelajar yang mempunyai tabiat buruk menghilangkan pen masing-masing seperti saya.

Oleh yang demikian, saya tidak mempunyai kesukaran untuk mengambil nota memandangkan akan ada sahaja pen yang ditinggalkan di atas tempat duduk dan meja samada di kelas atau dewan kuliah universiti tempat saya belajar.

Pen ini akan saya guna sehinggalah ia hilang (mungkin dijumpai dan digunakan oleh pelajar lain pula) sebelum menjumpai pula pen orang lain yang tertinggal.

Apabila sudah berjaya memperolehi segulung ijazah dan membuka firma guaman sendiri, kini saya terpaksa membeli stationery untuk kegunaan pejabat yang sudah pastilah termasuk pen untuk menulis dan menyain.

Pada mulanya saya ingat tabiat buruk ini akan berakhir, rupanya ia berterusan sehingga ditegur oleh pekerja sendiri. Mungkin dia pun dah naik fed-up asyik kena order pen untuk majikannya.

Sehinggalah pada tahun 2009, saya diberikan satu tugas secara berkumpulan bagi menyelesaikan satu permasalahan. Ianya agak besar dan seringkali diberi perhatian di dada akhbar.

Di pendekkan cerita kumpulan kami berjaya mengharungi isu itu dengan berjaya. Bagi menghargai jasa yang diberi, setiap individu di dalam kumpulan kami diberi sebatang pen yang ditempah khas.

Semenjak dari itu, saya dapati saya tidak lagi kehilangan pen seperti sebelumnya. Kali ini saya menganggap bahawa pen yang sedang berada di tangan saya ini bukanlah sebarangan pen. Ia mempunyai nilai yang tinggi di jiwa saya.

Saya menjadi amat berhati-hati dengan pen tersebut. Saya memastikan bahawa selepas sahaja digunakan, pen itu akan saya letak kembali di tempat yang selamat.

Sebenarnya, harga pen itu tidaklah begitu mahal. Saya boleh sahaja menempahnya dengan mengguna duit sendiri.

Saya membuat kesimpulan bahawa yang menjadikan ianya bernilai bukanlah harga pen tersebut tetapi cara pen itu diperolehi, iaitu dengan keringat dan usaha yang ikhlas.



Saudara dan saudari pembaca yang dihargai, inilah pita pengukur nilai secara rohani.

Ukurannya tidak lain dan tidak bukan dikira melalui jiwa kita sendiri sahaja.

Ini juga adalah resam dunia ini.

Pada hakikatnya, setiap perkara materi yang tersedia di dunia tidaklah mempunyai apa-apa nilai.

Kitalah yang meletakkan nilai tersebut.

Di antara sebotol air mineral dan sebongkah emas, pada firasat anda yang mana satukah mempunyai nilai harga yang lebih tinggi ?

Adakah anda benar-benar merasakan sebongkah emas mempunyai status harga yang lebih tinggi di bandingkan dengan sebotol air mineral ?

Ya, mungkin di saat ini, di tempat anda tinggal, di ketamadunan ini sebongkah emas mungkin berharga berjuta-juta ringgit.

Tetapi, bayangkan jika anda terdampar disebuah pulau yang tidak berpenghuni setelah tersesat di laut berbulan-bulan lamanya tanpa air bersih. Pulau ini dipenuhi dengan berbongkah-bongkah jongkong emas.

Di saat ini yang manakah lebih berharga buat diri anda ? Emas atau sebotol air mineral ? 


Image result for gold




Saya cuai, menghilangkan pen sepanjang kehidupan saya bukanlah kerana harga pen itu murah atau mahal tetapi kerana saya merasakan pen itu tidak mempunyai apa-apa nilai dan hubungan dengan saya.

Kita tidak menghargai sesuatu yang tidak bernilai kepada diri kita. Kita akan berlaku cuai kepada sesuatu yang tidak bernilai kepada kita.

Oleh yang demikianlah fikirkan dengan mendalam, jika kita sedang berada di dalam suatu perhubungan yang dingin.  

Kita dan pasangan kita sering bertengkar dan bergaduh. Adakah sebenarnya ia terjadi kerana kita tiada sefahaman atau sebenarnya hubungan kita itu tidak bernilai bagi setiap diri masing-masing ?

Jika kita seorang ibu atau ayah pula, kita sering memarahi anak-anak dan mengeluarkan kata-kata kesat. Adakah anak-anak kita itu tiada nilai kepada diri kita ?

Begitu juga hubungan kita dengan ibu-bapa kita, adakah ibu-bapa kita itu tiada nilai sehinggakan kita tidak mempedulikan mereka seperti mereka mempedulikan kita semasa kita kecil dahulu.

Hakikatnya di dalam kehidupan ini, manusia akan berhati-hati terhadap perkara yang mempunyai nilai tinggi di dalam hidup mereka.

Jika kita menilai kesihatan sendiri dengan harga yang tinggi, pasti kita akan berhati-hati dengan apa yang kita minum dan makan sambil memastikan tubuh mendapat senaman yang cukup.

Jika kita sayang kepada wang ringgit, kita tentu akan berhati-hati membelanjakannya.

Jika kita sayang kepada masa, sudah tentu kita akan menghormatinya.

Jika kita sayang kepada seseorang, pasti kita akan menghargainya.

Oleh yang demikian, jika kita benar-benar sayangkan pasangan kita, anak-anak kita atau ibu-bapa kita ubahlah sikap kita terhadap mereka.

Berhati-hatilah dengan perasaan mereka. Sekurang-kurangnya cubalah fahami perasaan mereka sepertimana anda mahu orang lain memahami perasaan anda.

Kadang-kadang anda tahu anda benar tetapi ia tidak akan mengubah apa-apa jika anda bersikap kasar kepada orang yang anda ingin ubah.

Inilah nilai murni yang memerlukan pengorbanan yang amat tinggi.

Ashwed