Kedamaian Buat Semua,
Sejak akhir-akhir ini, blog BERONTAK UNTUK BEROTAK mengalami gangguan teknikal. Kalau dalam masyarakat Melayu perkara ini dikenali sebagai "terkena buatan orang" : ) .
Saya kurang pasti pihak manakah yang bertanggungjawab melakukan perkara ini atau mungkin ia disebabkan oleh gangguan server utama pemberi khidmat blog.
Apa pun, yang pasti blog ini masih boleh dilayari dengan sempurna jika para pembaca memuat turun aplikasi Opera Mini. Anda boleh sahaja mengguna enjin carian google melalui aplikasi ini dan menyambung terus ke blog ini untuk membaca artikel-artikel terkini.
Saya berharap mesej ini sempat sampai kepada mereka yang mengikuti tulisan-tulisan di dalam blog ini.
Selain daripada itu masih terdapat cara lain untuk melayari blog BERONTAK UNTUK BEROTAK, rakan kita yang bernama Zack lebih cekap dalam bab jajaran data sebegini. Terima kasih saya ucapkan jika Saudara Zack boleh menasihati kami di dalam hal ini.
Yang pasti, saya dapat merasakan bahawa blog ini berjaya memberi impak seperti yang saya impikan. Jika tidak masakan suara blog ini perlu dibisukan dari menyampaikan maklumat mengenai amalan korup organisasi keagamaan ?
Jika sekiranya ada pegawai dari Pihak Yang Berkuasa sedang membaca artikel ini sekarang. Saya cuma ingin menyampaikan bahawa saya hanyalah seorang rakyat biasa yang hidup di bumi Malaysia.
Setiap hari saya berhubung dengan rakyat lain tidak kira dari latar belakang agama dan keturunan yang mana, untuk sama-sama mencari sesuap nasi di bumi ini.
Secara kebetulan saya yakin kepada mesej yang di sampaikan melalui sebuah buku yang kita kenali sebagai Al Quran. Saya menyakini buku ini kerana ia menyampaikan nilai-nilai universal yang positif.
Tema utama buku ini adalah mengenai kedamaian.
Oleh itu, saya menganggap buku ini sebagai sebuah buku mengenai kehidupan dengan falsafah-falsafah positif tentang bagaimana mahu hidup dengan damai di dunia yang di diami oleh pelbagai bangsa, keturunan dan budaya ini.
Oleh kerana itu, setiap hari saya sedaya upaya cuba mempraktis kedamaian seperti yang di sarankan oleh Al Quran dengan membuat kebajikan dan membantu memudahkan urusan rakan-rakan rakyat Malaysia yang perlu berhubungan dengan saya.
"Wahai manusia, Kami
cipta kamu lelaki dan perempuan, dan buat kamu berbangsa-bangsa, dan
bersuku-suku, supaya kamu mengenali satu sama lain. Sesungguhnya yang paling
mulia antara kamu di sisi Allah ialah yang paling bertakwa antara kamu.
Sesungguhnya Allah Mengetahui, Menyedari" AQ 49:13
Saya berpendapat oleh kerana Allah itu sifatnya Maha Berkuasa, maka saya makhluk ciptaanNya tidak perlu lagi melakukan apa yang orang Melayu Muslim termakan sebagai suatu "dakwah".
Jika saya melakukan dakwah ini bermakna saya sekarang sedang berpaling daripada keyakinan saya bahawa Allah itu Maha Berkuasa lalu merasakan diri menjadi pembantu kepada satu Zat yang lebih berkuasa dari diri saya sendiri.
Tetapi jika saya benar-benar cuba membawa nilai-nilai positif yang menjadi falsafah Al Quran seperti menepati masa, amanah, bercakap benar, berlaku adil dan sebagainya maka lambat laun orang lain akan mengiktiraf kejayaan saya di mana sahaja saya bertapak.
Semua artikel di dalam blog ini menjurus kepada konsep "How to observe knowledge". Ia bukanlah seruan untuk orang lain mengikuti suatu jenis ideologi tetapi lebih kepada menyuarakan sesuatu dengan jujur atau "calling a spade, a spade".
Secara mudahnya perkara ini boleh diterangkan dengan analogi berikut ;
Cuba bayangkan dua buah buku.
Sebuah buku ditulis oleh JRR Tolkien berjudul The Lord Of The Ring sementara yang sebuah lagi ditulis JK Rowling berjudul Harry Potter.
Kita memahami oleh kerana penulis buku ini adalah individu yang berbeza maka idea, jalan cerita, karakter, latar belakang tempat, konsep dan lain-lain perkara mengenai buku tersebut sudah tentulah berbeza mengikut citarasa dan idea penulis yang mencurahkan pemikirannya ke arah penulisan buku mereka.
Oleh itu, jika JRR Tolkien menerangkan mengenai sesuatu contohnya jika beliau menerangkan mengenai suatu kaum bernama Hobbit di dalam bukunya maka kita bolehlah mengatakan bahawa inilah idea asal sang penulisnya.
Sekarang, bayangkan JK Rowling di dalam buku Harry Potter secara tiba-tiba menerangkan mengenai kaum bernama Hobbit. Di mana karakternya dibayangkan jauh menyimpang dari idea JRR Tolkien penulis asal dan pencetus karakter tersebut.
Maka Hobbit manakah yang kita boleh terima sebagai yang benar ?
Sungguhpun genre kedua-dua judul buku ini adalah sama iaitu sains fiksyen. Namun, akal kita sudah tentulah Hobbit yang diterangkan oleh JRR Tolkien adalah yang benar kerana dari minda beliaulah tercetusnya idea karakter tersebut.
Sekarang bayangkan pula kedua-dua buku ini ditulis di zaman yang berbeza.
Katakanlah JRR Tolkien hidup beratus tahun sebelum zaman JK Rowling. Bukankah kita sepatutnya perlu lebih mengesyaki ada yang tidak kena dengan tulisan JK Rowling apabila cuba memberi makna baru kepada karakter Hobbit ?
Inilah maksudnya konsep "how to observe knowledge".
Begitulah ibaratnya Al Quran jika dibandingkan dengan buku-buku lain.
Kita masyarakat Melayu percaya bahawa Al Quran merupakan kalimah Allah. Ini bukanlah calang-calang dakwaan.
Oleh kerana ia adalah kalimah Allah ini bermakna Al Quran itu adalah manifestasi idea Allah.
Allah tidak sekali-kali pernah menyatakan bahawa Dia ada menulis buku-buku lain selepas dari Al Quran.
Untuk rekod Allah ada menyatakan bahawa selain dari Al Quran Dia ada pernah menurunkan buku lain berjudul di antaranya Taurah, Zabur, Injil dll yang ditulis dengan idea dariNya. Tetapi, Dia juga dengan tegas menyatakan bahawa mesej di dalam buku itu telah dikorupkan oleh tangan manusia.
"Mereka tidak pertimbangkan Allah
dengan pertimbangan-Nya yang sebenar ketika mereka berkata, "Allah tidak
turunkan sesuatu kepada mana-mana manusia." Katakanlah, "Siapakah yang
turunkan Kitab yang Musa datangkan sebagai satu cahaya dan satu petunjuk
bagi manusia? Kamu letakkannya di kertas-kertas, dengan menampakkannya, dan
sembunyikan kebanyakannya; dan kamu diajar apa yang kamu tidak tahu, kamu dan
bapa-bapa kamu." Katakanlah, "Allah." Kemudian tinggalkanlah mereka bersendiri
bermain-main permainan terjunan mereka" AQ 6:91
Untuk itu, jika kita benar-benar jujur mencari pengetahuan. Maka kita perlu sedar bahawa segala konsep dan idea Al Quran adalah tersendiri dan hanya boleh diterangkan di dalam konteks Al Quran itu sendiri sahaja.
Buku-buku lain adalah idea penulis yang namanya tercatat sebagai pengarang buku tersebut sahaja. Ia sama sekali bukanlah idea penulis asal Al Quran dan tidak boleh disamakan dengan Al Quran.
Jika kita mengambil buku-buku lain ini sebagai kalimah Allah maka kita akan ditimpa kecelakaan yang besar di mana kita akan berpecah, bergaduh dan berperang sesama sendiri akibat mahu menegakkan ideologi penulis buku lain yang kita baca itu.
Bapa-bapa kita sudah tersilap langkah dengan menerima buku-buku lain ini sebagai ajaran Allah, dengan erti kata lain mereka bertuhankan selain dari Allah iaitu para penulis yang namanya tercatat di judul-judul buku itu.
Akibatnya peperangan dan persengketaan tidak pernah berhenti di muka bumi ini. Adakah kita mahu meneruskannya ?
"Maka kecelakaanlah bagi
orang-orang yang menulis al-Kitab dengan tangan-tangan mereka, kemudian mereka
berkata, "Ini daripada Allah," supaya mereka menjualnya untuk harga yang
sedikit; kecelakaanlah bagi mereka kerana apa yang tangan-tangan mereka tulis,
dan kecelakaanlah bagi mereka kerana usaha-usaha mereka" AQ 2:79
Terima kasih kerana membaca blog ini.
Ashwed