Sebetulnya saya dan rakan-rakan sedang sibuk membuat persiapan terakhir sebuah perniagaan baru yang kami ceburi.
Di sebalik kesibukkan ini, beberapa berita masyarakat yang saya baca di dada akhbar dan media atas talian benar-benar mengganggu fokus saya.
Apabila membaca berita-berita sebegini, saya sering membayangkan diri saya berada di tempat mereka yang menjadi mangsa.
Saya sering cuba menyelami apakah yang sedang bermain di fikiran mangsa-mangsa ini. Apakah perasaan mereka di saat yang paling getir di dalam hidup mereka.
Adakah mereka merasa putus asa, kecewa, marah atau takut ?
Kes yang pertama melibatkan seorang pelajar Tingkatan 2 di sebuah sekolah di utara tanah air.
Beliau dituduh mencuri telefon bimbit kepunyaan seorang guru semasa menghantar buku ke bilik guru sekolahnya.
Akibat tuduhan tersebut beliau cuba membunuh diri sebaik sahaja sampai ke kediaman ibu bapanya, di hantar sendiri oleh guru dan suami guru yang membuat tuduhan tersebut.
Yang menyedihkan ialah, rakan-rakan menceritakan bagaimana mendiang begitu bersemangat mengatur upacara sambutan hari lahir guru yang terbabit di dalam kes ini.
Bagaimanakah mungkin, seorang pelajar yang sangat mentah berfikir untuk membunuh diri apabila menghadapi suatu krisis.
Di manakah kesalahan kita sebagai sebuah masyarakat ? Apa mungkin Kementerian Pendidikan patut mula memulakan satu matapelajaran baru iaitu bagaimana menghadapi krisis ?
https://www.nst.com.my/news/nation/2018/02/330845/penang-girl-who-attempted-suicide-after-being-accused-iphone-theft-dies
Benar sebahagian besar kita tidak tahu dengan terperinci apa yang terjadi disebalik kejadian ini.
Oleh yang demikian, blog ini ingin mendoakan semoga keluarga mendiang tabah menghadapi saat-saat yang perit ini.
Kes kedua, melibatkan jenayah cemburu.
Seorang kerani di ibu negara maut ditikam dengan pisau dapur semasa keluar membeli barang dapur bersama rakan sekerjanya.
Apa yang mengejutkan ialah lelaki yang terlibat bertindak membawa mayat mangsa dengan kereta ke balai polis sebelum menyerah diri kepada pihak polis.
http://bipop.bharian.com.my/berita/kes/2018/02/384946/lepas-bunuh-bawa-mayat-teman-wanita-ke-balai-polis
Sekali lagi, blog ini ingin merakam ucapan takziah dan mendoakan semoga keluarga mendiang tabah di dalam mengahadapi saat-saat sedih sebegini.
Kes terakhir ini sangat-sangat meruntun perasaan apabila membacanya.
Terus-terang, saya seolah-olah tidak sampai hati untuk membaca apa yang terjadi kepada tubuh kanak-kanak ini.
Mendiang disebat dengan talipinggang, di gigit tengkuk, dipukul dengan kerusi plastik, ditendang, dipijak sehingga terkencing dan buah pinggangnya terputus.
Yang paling sedih ialah semua perkara itu dilakukan oleh bapanya sendiri. Seorang yang sepatutnya melindungi kanak-kanak ini.
Saya dapat membayangkan bagaimana perasaan ketakutan yang dialami oleh adik ini. Rakan baik beliau menceritakan dengan terperinci bagaimana arwah memeluknya erat-erat kerana takut untuk pulang ke rumah.
Apabila mengenangkan bagaimana anak-anak saya tidak sabar-sabar untuk pulang ke rumah apabila tamat waktu persekolahan menyebabkan saya bergenang air mata memikirkan perasaan adik Aina Nabihah, seorang kanak-kanak perempuan kecil yang lemah, ketakutan tidak tahu apa yang harus dilakukan.
Ini adalah suatu tindakan pengkhianatan yang tiada tolok bandingnya kepada emosi kanak-kanak malang ini. Semoga roh arwah tenang dan damai. Takziah dari blog ini untuk keluarga adik Nur Aina Nabihah. Semoga tabah menghadapi cabaran ini.
Jenayah ini sewajarnya mendapat balasan yang setimpal.
Yang paling mengganggu kita ialah dakwaan bapa mangsa bahawa beliau melakukan sebegitu kerana ingin membuang saka dari kanak-kanak malang tersebut.
Mengapa masyarakat melayu menjadi sebegini ? Mempercayai perkara tahyul sehingga tidak dapat membezakan realiti dan fantasi ?
Sudah tiba masanya kita membuat suatu undang-undang untuk melindungi masyarakat dari kepercayaan tahyul dan karut sebegini. Juga untuk melindungi masyarakat dari ustaz air jampi, ustaz jin, bomoh dan pawang.
Tidakkah kita terfikir, seumur hidup kita ini pernahkah kita sekurang-kurangnya ada sekali terserempak dengan saka, hantu dan jembalang ?
Atau kita hanya mendengar mitos itu diceritakan oleh nenek-moyang, rakan-rakan, ustaz jampi, ustaz jin, bomoh dan pawang ini sahaja.
Jika saka, hantu dan jembalang ini wujud mestilah kita sendiri pernah terserempak semasa berseorangan di mana-mana sahaja kita berpergian ?
Mereka yang bercerita ini juga tidak pernah terjumpa dengan entiti ini. Beliau juga mendengarnya dari orang lain. Mengapakah kita tidak mahu memikirkannya ?
Ashwed
No comments:
Post a Comment