Friday, 7 August 2015

Hoi ! Melayu ! Kenapa Kau Nak Jadi Arab : Pelajaran Dari Perjumpaan Politik

Hujung minggu lepas, saya menghadiri satu perjumpaan politik. 

Bukanlah niat saya untuk mengajak sesiapa pun untuk mengikuti aliran ideologi politik yang saya yakini.

Cuma ada sedikit pelajaran dari perjumpaan ini yang bagi saya menjadi punca kepada kekusutan masyarakat Melayu secara amnya.

Seperti kebiasaan, Mesyuarat Agong Bahagian akan memanggil seorang tokoh dari Majlis Kerja Tertinggi di peringkat Persekutuan untuk merasmi mesyuarat.

Tokoh ini berasal dari Kepala Batas. Saya tidak menafikan bahawa tokoh ini mempunyai oratory skill yang tinggi.

Walaubagaimanapun, nasib sesuatu bangsa tidak boleh diubah dengan oratory skill semata-mata.

Nasib sesuatu bangsa hanya boleh diubah melalui pengisian nilai-nilai yang benar. Dari nilai-nilai inilah kita beriltizam untuk mengubah nasib bangsa kita.

Sebenarnya, semasa ucapan perasmian tokoh ini, saya 2, 3 kali memeriksa pass masuk saya. Mana tahu saya sudah salah tempat.

Selama hampir sejam beliau bercerita tentang hadis mengenai "Peperangan Jamal".

Kepada yang tidak mengetahui mengenai fakta peperangan ini, secara ringkas ia adalah perang di antara Golongan (dalam bahasa Al Quran dikenali sebagai syi-ya-an) Saidina Ali, sepupu dan menantu Nabi Muhammad dan Saidatina Aishah, janda Nabi.

Menurut wikipedia, ia terjadi di Basra, Iraq pada tahun 656 Masihi. Saya agak meragui fakta ini, satunya ia terjadi ditempat yang jauh dari Madinah, pusat pentadbiran Nabi itu sendiri.

Yang kedua, ialah kerana jika anda benar-benar mendalami Al Quran anda akan memahami bahawa tema Al Quran adalah kedamaian (islam).

Menurut Al Quran Tuhan hanya meredhai Kedamaian (Islam) sebagai aturan hidup (ad-deen) manusia.


A019

"Sesungguhnya aturan hidup (deena) yang diredhai Allah ialah Kedamaian (Islam). Tiada berselisih orang-orang yang diberi Al-Kitab kecuali sesudah datang pengetahuan kepada mereka, kerana kedengkian (yang ada) di antara mereka. Barang siapa yang kafir terhadap ayat-ayat Allah, sesungguhnya Allah sangat cepat hisabNya" AQ 3:19

Adalah mustahil rakan-rakan rapat Nabi Muhammad mahu saling berbunuhan sesama sendiri, sedangkan mereka sudah mengetahui dari mulut Nabi sendiri perkara yang benar, iaitu berjuang untuk kedamaian.

Lagipun Al Quran sudah memberitahu bahawa orang-orang yang beriman sentiasa lembut dan mesra sesama sendiri, namun bengis apabila berada dikalangan orang-orang yang kafir.



A029
"Muhammad(-oon) itu adalah utusan Allah; dan orang-orang yang bersama dengannya bersikap keras dan tegas terhadap orang-orang kafir dan berkasih sayang sesama sendiri. Engkau melihat pengabdian mereka dengan merendah diri dan patuh dengan mengharapkan limpah kurnia dari Tuhan mereka serta mengharapkan keredaanNya, tanda-tanda mereka tampak pada muka mereka dari kepatuhan mereka. Demikianlah sifat mereka yang tersebut di dalam Kitab Taurat; dan sifat mereka di dalam Kitab Injil pula ialah: (bahawa mereka diibaratkan) sebagai pokok tanaman yang mengeluarkan anak dan tunasnya, lalu anak dan tunasnya itu menyuburkannya, sehingga ia menjadi kuat, lalu ia tegap berdiri di atas (pangkal) batangnya dengan keadaan yang mengkagumkan orang-orang yang menanamnya kerana Allah hendak mengjengkelkan hati orang-orang kafir. Allah menjanjikan orang-orang yang beriman dan beramal soleh dari mereka, keampunan dan pahala yang besar" AQ 48:29

Dari keterangan ayat di atas kita boleh membuat kesimpulan bahawa adalah mustahil, janda dan sepupu yang juga sahabat Nabi sanggup berperang dan berbunuhan sesama sendiri.
 
Kecuali, jika pada hakikatnya mereka tidak beriman, itu sebab mereka melancarkan perang sesama sendiri atau mungkin juga ia sebenarnya adalah kisah orang lain yang diceritakan kepada kita.

Pengagongan yang tersasar

Ini adalah satu fitnah besar yang orang Melayu tidak mahu membuat analisa dan memikirkannya.

Lagipun, bangsa Arab sudah diketahui umum sebagai satu kaum yang mengagongkan peperangan. 
 
Mereka sanggup menulis 2, 3 jilid buku yang khusus bercerita tentang peperangan yang pernah di lalui mereka.

Mereka menulisnya seolah-olah peperangan itu sesuatu yang suci. 
 
Adalah amat memalukan, setelah kita membaca Al Quran tetapi masih gagal mengenalpasti apakah tema dan mesej Tuhan yang disampaikan dengan ayat yang jelas.
 
Sekarang, orang Melayu begitu terpengaruh dengan dakyah perang ini sehinggakan perkataan jihad itu sendiri pun kita telah memahaminya sebagai perjuangan melalui peperangan.
 
Sedangkan ia sebenarnya membawa maksud "struggle" dan jihad paling besar yang diperintahkan Tuhan kepada kita ialah berjuang menceritakan tema dan mesej  Al Quran kepada umum. 

"Maka janganlah kamu mengikuti orang-orang kafir, dan berjihadlah terhadap mereka dengan Al Quran dengan jihad yang besar" AQ 25:52

Tema al Quran ialah kedamaian. Ianya tidak pernah bertukar menjadi peperangan dan pembunuhan.
 
Sejarah Perang Nabi Muhammad
 
Saya ada seorang kawan yang berjawatan besar di Cabang Kehakiman negara kita.
 
Beliau begitu terpengaruh dengan peperangan dan alatan peperangan. 
 
Beliau seringkali mengajak supaya rakan-rakan kami mengambil iktibar dari peperangan-peperangan yang pernah dilalui oleh Nabi Muhammad.
 
Secara peribadi, saya tidak dapat menyenaraikan waima satu pun kebaikan peperangan.
 
Perlu diingatkan sekali lagi, ini adalah nilai peribadi seorang yang berjawatan tinggi di dalam sistem kehakimanan negara, bukan calang-calang orang. Kebenaran ini menyebabkan saya merasa risau akan masa depan negara ini.
 
Mungkin kawan saya ini tidak membuat analisa secara tuntas. Sebenarnya, Nabi Muhammad melalui pengalaman perang hanya 3 hari seumur hidup baginda.
 
Mari kita buat sedikit pengiraan ringkas dengan mengambil tahun baginda diangkat membawa tugas kerasulan dari saat wahyu pertama sehingga baginda wafat iaitu selama 23 tahun sebagai asas pengiraan.
 
Bermakna 365 hari x 23 tahun = 8,395 hari. Jika dinisbahkan dengan hari baginda berperang iaitu selama 3 hari maka kita mendapati hanya 0.04 peratus dari tahun kerasulan baginda yang dihabiskan dengan berperang. 
 
Selebihnya, iaitu 99.6 peratus baginda mengajak manusia berdamai. Tidakkah ini yang sepatutnya kita perjuangkan, kedamaian.

Mengapa kita asyik bercerita tentang peperangan apabila mahu menaikkan semangat bangsa kita ?

Pengaruh Arab
 
Kesilapan utama orang Melayu ialah kita terlampau mengagongkan bangsa Arab. 
 
Kita lupa bahawa tamadun Arab yang dahulunya agong dan gemilang kini musnah seteruk-teruknya.

Dahulu memang tidak dinafikan bahawa tamadun Arab memimpin dunia. 
 
Merekalah bangsa yang merekabentuk teknologi dan keilmuan yang maha hebat.

Nombor kosong yang tanpanya tiadalah teknoloji gadget dan komputer seperti yang ada di zaman ini pun direka oleh bangsa arab dahulukala. 
 
Mereka juga menguasai ilmu perubatan moden. Ianya adalah kerana pada masa tersebut bangsa ini mengikuti perintah Tuhan seperti yang dijelaskan oleh Al Quran.
 
Pada waktu itu, Tamadun Barat pun terpaksa belajar Bahasa Arab demi mahu mempelajari bidang-bidang ilmu sains dan teknoloji.

Kini, bangsa arab ini begitu mundur, jika tidak kerana duit minyak yang Tuhan kurniakan kepada mereka maka dunia tidak akan mengambil peduli mengenai bangsa ini lagi. Inilah hakikatnya. 
 
Mereka akan terus berperang dan berperang. Sudah lebih 1400 tahun mereka berperang.

Kita tidak perlu lagi mempelajari Bahasa Arab untuk mencari ilmu. Tetapi kita perlu mempelajari Bahasa Inggeris, Jerman, Perancis dan lain-lain negara Eropah untuk mendapat ilmu.

Pada pendapat saya orang Arab tidak lagi mempercayai Tuhan. Mereka hanya tahu bahawa Tuhan itu wujud. Selebihnya, mereka menjadikan dongeng dari kisah 1001 malam sebagai nilai hidup dan pegangan mereka.

Saya mencabar untuk orang-orang Melayu mengemukakan satu produk yang dikeluarkan dari negara Arab ? Satu sahaja bukan dua, kalau anda seorang yang benar.

Jika anda kebetulan baru pulang dari mengerjakan "Umrah" atau "Haji" sila periksa sejadah yang anda beli. Dari negara manakah ia diperbuat. Saya berani kerat jari sudah tentu dari Tanah Besar China.

Oleh itu, untuk apa lagi Kerajaan Malaysia menghantar beribu-ribu pelajar pergi belajar di sebuah negara yang gagal ?

Orang Melayu hanya akan berjaya menguasai ketamadunan dengan menjadi Melayu. Kita tidak boleh menjadi Arab.
 
Kita perlu menjadi seMelayu-melayunya untuk berjaya. Yang paling penting ialah kita perlu menjadi Melayu yang percayakan Tuhan bukan sekadar tahu yang Tuhan itu wujud.

 







Kesimpulan 

Mahu tidak mahu, kita perlu sedar bahawa ramai yang menjadikan pemimpin politik sebagai idola mereka.

Ada yang bermati-matian mempertahankan seseorang tokoh politik sampai sanggup tidur atas jalan. Ini adalah golongan yang jika tokoh politik mereka suruh terjun bangunan, mereka akan bertanya kembali "tinggi mana ? "

Tidak kurang juga yang pemikirannya begitu dikelabui oleh politik sehingga keputusan hariannya diwarnakan dengan warna politik.


Ada pula yang seharian menghabiskan masa mengforward troll berkenaan politik semasa.

Akibatnya, kita semua terbabit bercerita kisah politik sehari suntuk seolah-olah politik itu Tuhan kita. Kita gagal melakukan iltizam yang sebenar kerana permainan politik.

Melayu perlu melakukan revolusi minda. Soalnya, golongan manakah yang layak menerajui revolusi ini ?.

Ashwed




Friday, 31 July 2015

Bedah Siasat Ramadhan

Bulan Ramadhan telah meninggalkan kita. Memandangkan kita masih berada di bulan Syawal maka rasanya masih belum terlewat untuk kita membuat bedah siasat sebulan Ramadhan yang telah kita lalui.

Menurut Al Quran, kesemua perilaku yang diperintahkan Tuhan adalah untuk kebaikan kita. Tuhan yang Maha Kaya tidak memerlukan sesuatu dari kita. Sebaliknya, kitalah yang memerlukan petunjuk Tuhan.

"Apa saja nikmat yang kamu peroleh adalah dari Allah, dan apa saja bencana yang menimpamu, maka dari (kesalahan) dirimu sendiri. Kami mengutusmu menjadi Rasul kepada segenap manusia. Dan cukuplah Allah menjadi saksi " AQ 4:79

Kebanyakkan orang Melayu memahami konsep yang salah. Mereka selalu merasakan yang diri mereka diperlukan oleh Tuhan. Kononnya, alam semesta akan berhenti beroperasi jika sesuatu amalan ritual tidak dilakukan.

Anda sudah tentu ada menerima mesej Whatsapp yang menyatakan bahawa jika umat Islam berhenti tawaf di kaabah maka sistem alam semesta akan terganggu atau kaabah adalah pusat kawalan alam semesta atau yang bersamaan dengannya.

Ini adalah dongengan yang tidak mempunyai asas yang kukuh melainkan jika anda seorang penganut agama yang hanya mengikut membuta tuli. 

Kita perlu ingat bahawa kaabah dibina dengan "tangan manusia". 

Jika sekiranya, anda masih mahu mempercayai ianya dibina oleh Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail pun, ia sekali-kali tidak dapat menyangkal fakta bahawa ianya dibina dari tangan manusia. 

Ingat ! kedua-dua mereka ini sudah pun meninggal dunia.

Cuba anda bayangkan matahari yang dicipta dengan "tangan Tuhan" itu pun, Tuhan sendiri melarang kita untuk sembah (sujud mengikut tafsiran am). Inikan pula menyembah suatu binaan yang dibina oleh tangan manusia.


A037

"Dan di antara tanda-tanda (ayat-tihi) kekuasaanNya ialah malam, siang, matahari dan bulan. Janganlah kamu patuh (tas-judu) menyembah matahari maupun bulan, tetapi patuhlah (was-judu) kepada Allah yang menciptakannya, jika Dialah yang kamu mahu abdikan diri (tak-budu-na) AQ 41:37

Bolehkah anda memberi satu kebaikan kaabah, jika dibandingkan dengan matahari sang penyinar kehidupan ?

Bolehkan kaabah menumbuhkan tanam-tanaman yang dengannya semua sistem kehidupan beroperasi lancar mengikut fitrah Allah ?

Jika tidak, mengapa anda merasakan binaan batu itu lebih layak menerima penghormatan dari matahari yang sudah berbillion tahun patuh (sujud) kepada perintah Tuhan ?

Mataharilah makhluk yang bertanggungjawab meransang evolusi kehidupan dari satu sel kepada tamadun yang ada sekarang.

Kenapa anda masih menyembah (dalam tafsiran am ialah sujud) kepada binaan yang dibina oleh tangan manusia ini. Sedangkan, Tuhan dengan tegas melarang sujud (patuh) kepada matahari yang Tuhan bina (cipta) sendiri.

Bukankah matahari lebih banyak berbudi kepada alam semesta jika dibandingkan dengan kaabah ? 

Kenapa anda tidak sujud kepada matahari sahaja ? Rasa bodoh bukan jika menyembah matahari. Lagipun ia menyerupai kaum kafir bukan ?

Sekarang tanya kepada diri sendiri, yang mana lebih hebat binaan batu yang dibina manusia atau matahari ciptaan Tuhan ?

Atau Tuhan itu sendiri yang bukan sahaja menciptakan matahari tetapi juga mencipta batu yang dijadikan bahan binaan kaabah yang kita bangga-banggakan itu ?

Sunnatullah

Tuhanlah yang memastikan alam semesta beroperasi secara semulajadi. Bukan kaabah, ritual tawaf ataupun matahari dan bulan.

Janganlah hendaknya kita lupa akan perkara ini. Tiada apa yang boleh mengubah Undang-Undang Tuhan. 

Tidak kira agama apa yang anda anuti semua makhluk dikawalselia dengan Undang-Undang yang sama.

Contohnya : Jika anda terjun dari bangunan 20 tingkat anda akan jatuh ke bawah kerana tarikan graviti. 

Jika anda seorang Hindu dan anda telah melakukan upacara pooja di hadapan berhala Sheva sebanyak 1000 kali pun, anda akan tetap jatuh ke bawah.

Begitu juga, jika anda menganut agama Islam dan anda telah sujud di hadapan batu kaabah sebanyak 5 juta kali, anda tetap akan jatuh ke bawah. 

Tiada perubahan kepada Undang-Undang Tuhan. Perkara ini diberi nama "Sunnatullah" kadang kala disebut juga sebagai "fitrah" Allah.


A043

Kerana kesombongan (mereka) di muka bumi dan kerana rencana (mereka) yang jahat. Rencana yang jahat itu tidak menimpa melainkan orang yang menjalankannya. Tiadalah yang mereka nanti-nantikan selain daripada (berlakunya) Sunnah (Allah yang telah berlaku) kepada orang-orang yang terdahulu. Maka sekali-kali kamu tidak akan mendapati sebarang perubahan bagi "Sunnatullah", dan sekali-kali tidak (pula) akan menemui penyimpangan bagi "Sunnatullah" itu" AQ 35:43



A030
Maka hadapkanlah wajahmu dengan lurus kepada aturan hidup (li-deen-ni) Allah, (tetaplah atas) fitrah Allah (fitra-tallah) yang telah menciptakan manusia menurut fitrah itu. Tidak ada perubahan pada fitrah Allah. Itulah aturan hidup (dee-nu) yang lurus, tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui " AQ30:30
 
Bedah Siasat

Kembali kepada bedah siasat kita, untuk mengetahui samada sesuatu amalan itu benar, ujian litmus yang wajar digunakan ialah, IA MESTILAH MEMBAWA KEBAIKAN KEPADA KITA DAN ORANG-ORANG DI SEKELILING KITA.

Oleh itu, cuba kita selami mana satukah amalan kita dibulan Ramadhan yang membawa kebaikan kepada kita.

Untuk pengetahuan, maksud amal ialah usaha. Amal saleh pula membawa maksud usaha yang baik.

Orang Melayu apabila disebut amalan kita membayangkan ritual. Ianya sangat salah. Itulah sebabnya kita terjerumus dengan upacara ritual selama berkurun-kurun. 

Upacara ritual tidak boleh mengubah sesuatu. Hanya usaha yang boleh mengubah status quo.

Fikirkan keterangan ini dengan mendalam ;

رَّبَّنَآ إِنِّىٓ أَسْكَنتُ مِن ذُرِّيَّتِى بِوَادٍ غَيْرِ ذِى زَرْعٍ عِندَ بَيْتِكَ ٱلْمُحَرَّمِ رَبَّنَا لِيُقِيمُوا۟ ٱلصَّلَوٰةَ فَٱجْعَلْ أَفْـِٔدَةً مِّنَ ٱلنَّاسِ تَهْوِىٓ إِلَيْهِمْ وَٱرْزُقْهُم مِّنَ 
ٱلثَّمَرَٰتِ لَعَلَّهُمْ يَشْكُرُون

"Ya Tuhan kami, sesungguhnya aku telah menempatkan sebahagian keturunanku di lembah yang tidak mempunyai tanam-tanaman dalam Sistem Engkau (Baiti-ka) yang dihormati (al-muhar-rami), ya Tuhan kami (yang demikian itu) agar mereka mendirikan shalat, maka jadikanlah hati sebagian manusia cenderung kepada mereka dan beri rezekilah mereka dari buah-buahan, mudah-mudahan mereka bersyukur" AQ 14:37
Adakah Nabi Ibrahim boleh mengubah tempat tandus (Bakkah) menjadi satu tempat yang makmur dengan tanam-tanaman dan Sistem Kenegaraan yang mengawalselia penduduk Bakkah dengan hanya melakukan ritual solat seperti yang kita lakukan hari ini ?

Oleh yang demikian, fikirkan, jika anda seorang yang mempunyai berat badan yang berlebihan adakah berlapar dahaga selama lebih kurang 12 jam sehari selama sebulan membuat anda menjadi kurus ?

Katakanlah pula anda seorang perokok tegar, adakah tidak merokok  selama lebih kurang 12 jam sehari dapat mengubah sistem badan anda ? Adakah dengan ketiadaan nikotin selama 12 jam ini kini anda sudah bebas kanser ?

Bagaimana pula jika di malam hari anda menghabiskan satu pek rokok, adakan program soum anda membawa kebaikan kepada diri anda dan orang-orang di sekeliling anda ?

Bagaimana pula dengan sistem masyarakat, adakah selama 30 hari bazaar ramadhan dibuka menjadikan sistem lalulintas lebih teratur ?

Menurut Al Quran, program soum perlu diteruskan sehingga "until its clear for you as that of a white thread distinguishable from a black thread is apparent".Iaitu sehingga anda dapat membezakan yang mana buruk, yang mana baik.

Saya berpendapat hanya diri kita sahaja yang dapat membuat bedahsiasat kepada usaha kita, tidak kiralah di bulan mana pun.

Jika anda seorang yang obes dan anda merasakan obesiti anda mengganggu perjalanan hidup anda dan orang-orang disekeliling anda, maka anda perlu membuat program soum yang tersendiri.

Mintalah pendapat dietitian tentang apakah yang sebaiknya anda praktis sebagai pemakanan harian anda. 

Tidak semestinya berlapar dan dahaga itu baik untuk anda, kerana dengan berat badan yang berlebihan tidak mustahil anda mengalami diabetis

Orang yang mengalami diabetik perlu makan dan minum dari masa ke semasa jika tidak mereka akan mengalami kekurangan gula dan boleh mengalami komplikasi hypoglycemia yang boleh membawa kepada situasi yang lebih serius seperti sawan, koma dan kematian.

Anda perlu mencari program terbaik yang menuruti ciri-ciri badan anda, ini adalah kerana kita mempunyai ciri-ciri badan yang berbeza malah jenis darah juga berbeza-beza, jika tidak usaha anda akan sia-sia malah kemungkinan akan lebih memudaratkan.

Saya sekarang sedang mengikuti program soum untuk menghilangkan ketagihan rokok. Saya mula merokok semenjak berumur 15 tahun. 

Sebelum saya memasuki program soum yang saya pelan mengikut kemampuan badan saya sendiri, sebenarnya sudah banyak kali saya gagal dalam usaha saya berhenti merokok.

Ia adalah kerana saya tidak berupaya mengawal satu organ yang maha penting yang menjadikan saya, anda dan kita semua manusia. Saya gagal mengawal akal saya.

Setelah saya mengkaji Al Quran bertahun-tahun dan berjaya menyakinkan diri saya bahawa punca kejayaan, kejatuhan, kebangkitan dan kemampanan manusia adalah akal, maka hari ini saya sudah tidak merokok selama hampir dua tahun. 

Sesungguhnya tiada rahsia yang ajaib pun, hanya kawalan akal yang dibuat mengikut prinsip "until its clear for you as that of a white thread distinguishable from a black thread is apparent".

Sehingga hari ini saya masih meneruskan program soum berhenti merokok.


Kesimpulan

Sesungguhnya, secara peribadi saya memang menyukai bulan Ramadhan, malah menanti-nantikan bulan ini. 

Ia adalah kerana pada bulan ini sahajalah saya dapat melihat sanak-saudara dan orang-orang yang saya kenali bercerita lebih sedikit mengenai mesej Al Quran.

Sungguhpun kebanyakkan mereka setakat melagukan Al Quran sahaja namun, ianya sudah cukup menjadikan hati saya tenang.

Jikalah sekiranya kita dapat meneruskan usaha (amal) ini secara berterusan yakni "until its clear for you as that of a white thread distinguishable from a black thread is apparent". Saya pasti, akhirnya kita semua akan menyedari bahawa yang paling penting di dalam Al Quran adalah MESEJNYA BUKAN BARIS DAN HURUFNYA.

Ashwed

Thursday, 23 July 2015

Lembaran Al Quran Terawal Di Jumpai

Sebuah Universiti di Birmingham telah menemui lembaran Al Quran paling tua di dunia.

Ia dikatakan berusia lebih kurang 1,370 tahun dahulu. Ini bermakna, lembaran ini sezaman dengan Nabi Muhammad. Anda boleh baca berita ini di pautan seperti berikut :-

http://www.bbc.com/news/business-33436021


Contoh lembaran tersebut berserta dengan terjemahan di dalam Bahasa Inggeris.




Dari lembaran ini, ia terbukti tanpa ragu-ragu bahawa teks asal "lembaran hijazi" ini tidak dipinda sedikitpun melainkan di dalam "Mushaf Uthmani" yang ada pada tangan kita sekarang telah dipermudahkan dengan meletak baris.

Qirtasin

Di antara penyebab saya mengkaji Al Quran dengan lebih mendalam ialah konflik sejarah yang tertulis di dalam Al Quran dengan yang diceritakan oleh para Ustaz, Pensyarah dan Guru Agama.

Sebagai contoh, semasa belajar sejarah proses membukukan Al Quran, kita di ajar bahawa Nabi menyebut ayat-ayat wahyu kepada para sahabat.

Para sahabat akan menulisnya di atas tulang, pelepah tamar dan sebagainya.

Namun, jika kita membaca Al Quran dengan teliti, kita akan dapati bahawa Nabi telah pun mengetahui maksud perkataan qirtas (kertas) pada zamannya.

Qirtas sudahpun wujud pada zaman Baginda, maka adalah tidak munasabah bagi para sahabat untuk menulis Al Quran di atas tulang dan pelepah tamar.

Berikut adalah keterangan mengenai qirtas ;

A007 

"Dan kalau Kami turunkan kepadamu tulisan di atas kertas , lalu mereka menyentuhnya dengan tangan mereka, nescaya orang-orang yang kafir itu berkata: "Ini tidak lain, hanyalah sihir yang terang nyata" AQ 6:7 

Dari keterangan di atas perkataan "qirtasin" adalah amat jelas, begitu juga dengan keterangan di bawah ; 

 A091
"Dan mereka tidak menghormati Allah dengan penghormatan yang sebenarnya ketika mereka berkata: "Allah tidak menurunkan sesuatu pun kepada manusia". Katakanlah "Siapakah yang menurunkan Kitab (Taurat) yang dibawa oleh Nabi Musa sebagai cahaya dan petunjuk bagi manusia, yang kamu jadikan dia lembaran-lembaran kertas yang bercerai-berai, kamu perlihatkan (sebahagiannya) dan kamu sembunyikan sebahagian besarnya; padaha; telah diajarkan kepadamu apa yang kamu dan bapak-bapak kamu tidak mengetahui(nya)?" Katakanlah (kepada mereka): "Allah-lah (yang menurunkannya)", kemudian, biarkanlah mereka leka bermain-main dalam kesesatannya" AQ 6:91 

Yang perlu kita selidik ialah dari bahan apakah "qirtas" ini diperbuat.

Menurut penemuan Universiti Birmingham, mereka mendapati "qirtas" yang digunakan untuk menulis Al Quran diperbuat daripada kulit binatang.

Sebenarnya, pada zaman tersebut para pencipta dari China telahpun menemui cara membuat kertas seperti zaman kita. Berikut adalah sejarah pembuatan kertas. Ia ditemui sebelum 200 tahun masihi. Sedangkan Nabi Muhammad hidup sekitar 600-700 tahun masihi.

History of paper

From Wikipedia, the free encyclopedia

Five seminal steps in ancient Chinese papermaking outlined in a Han dynasty woodcut.

Paper was invented in ancient China during the Han dynasty (206 BC – 220 AD) and spread slowly to the west via the Silk Road. Papermaking and manufacturing in Europe was started by Muslims living on the Iberian Peninsula, (today's Portugal and Spain) and Sicily in the 10th century, and slowly spread to Italy and Southern France reaching Germany by 1400. Earlier, other paper-like materials were in use including papyrus, parchment, palm leaves and vellum, but all of these were derived from raw materials which were expensive or in limited supply, or required extensive hand-processing to produce a satisfactory finish. Paper, being made from wood or rags, could be produced anywhere, and once large scale production techniques had been developed it could be manufactured in almost any quantity at moderate cost

Suhuf

Jika kita perhatikan secara teliti keratan gambar Al Quran yang ditemui oleh Universiti Birmingham. Kita akan dapati bahawa ianya telah dipotong berbentuk buku seperti di zaman kita.

Penemuan ini menguatkan bukti bahawa Al Quran sememangnya telah dibukukan pada zaman Nabi Muhammad lagi.

Perhatikan keterangan ini ;


A011
"Janganlah melakukan lagi yang sedemikian itu! Sebenarnya ayat-ayat Al-Quran adalah pengajaran dan peringatan " AQ 80:11

A012
"Maka barangsiapa yang menghendaki, tentulah ia memperhatikannya" AQ 80:12 

A013
"Di dalam kitab-kitab (suhufin - lebih tepat jurnal) yang dimuliakan" AQ 80:13

A014
"Yang ditinggikan lagi disucikan" AQ 80:14 

A015
"Di tangan para penulis yang berkelana (safaratin - kata terbitan lain ialah musafir)" AQ 80:14 

A016 
 "Yang mulia lagi yang berbakti" AQ 80:15


Di dalam keterangan di Surah Al Furqan pula terdapat satu keterangan iaitu di ayat no. 5. 

Para pengkaji yang serius akan memikirkan ayat ini berulangkali kerana signifikan ayat ini akan mengubah persepsi kita secara keseluruhan mengenai proses pembukuan Al Quran

 A005
Berikut adalah transliteration kepada ayat di atas "Waqaloo asateeru al-awwaleena iktatabaha fahiya tumla alayhi bukratan wa’aseelan" AQ 25:5

Kajian etymology yang dilakukan terhadap  perkataan "asateeru al-awwaleena iktatabaha" di AQ 25:5 mendapati terjemahan di dalam bahasa Inggeris yang paling tepat ialah "tales from the past that he wrote down".

Kaum Quraisy di dalam ayat tersebut telah menuduh Nabi Muhammad menulis sebuah buku yang penuh dengan dongengan. 

Bermakna pada saat itu lagi mereka telah mengakui akan pembukuan Al Quran. Ia juga membuktikan bahawa Nabi Muhammad berkebolehan menulis bukan buta huruf.
Perhatikan ayat ini pula ;
A002
Transliteration "Rasoolun mina Allahi yatloo suhufan mutahharatan" 

"Iaitu seorang Rasul dari Allah yang membacakan (yatloo) Lembaran-lembaran (suhufan) Suci" AQ 98:2
 


Keterangan di atas pula memberitahu kita bahawa Nabi berceramah dengan mengguna Kitab Al Quran sebagai otoriti. Ia juga membuktikan bahawa Nabi Muhammad berkebolehan membaca bukan buta huruf.


Dan yang terakhir dan paling penting ialah keterangan ini ;

A285






"Rasul telah beriman kepada apa yang diturunkan kepadanya dari Tuhannya, dan demikian pula orang-orang yang beriman (wal-mukiminin). Semuanya beriman kepada Allah, Malaikat-malaikatNya, Kitab-kitabNya dan Rasul-rasulNya. (Mereka mengatakan): "Kami tidak membeda-bedakan antara seseorangpun (dengan yang lain) dari Rasul-rasulNya", dan mereka mengatakan : "Kami dengar dan kami taat". "Ampunilah kami ya Tuhan kami dan kepada Engkaulah tempat kembali" AQ 2:285

Keterangan di atas adalah Rukun Iman. 

Ianya jelas bahawa pada 1,400 tahun dahulu, Tuhan telah memerintahkan para hambaNya yang hidup pada zaman itu untuk beriman kepada buku-buku (kitab-kitab).

Saya tidak dapat membayangkan rupa bentuk fizikal buku selain dari bentuk yang wujud seperti sekarang. Ini adalah bukti yang amat jelas bahawa Al Quran sudahpun dibukukan ketika Nabi Muhammad masih hidup lagi.
 
Sebenarnya banyak lagi bukti yang menunjukkan bahawa Al Quran sudahpun dibukukan di zaman Nabi Muhammad.

Persoalannya, adakah anda mahu mempelajarinya ?

Ashwed

Saturday, 11 July 2015

Ramadhan, Siri Akhir : Analogi Ladang Jagung




Bayangkan ada dua kumpulan hamba. Satu kumpulan digelar sebagai Golongan Apel, sementara satu lagi kumpulan digelar sebagai Golongan Belacan.

Katakanlah, setiap kumpulan mempunyai 100 orang hamba yang terdiri dari 50 orang lelaki dan 50 lagi perempuan.

Pada suatu hari, mereka dipanggil mengadap Tuan ladang mereka yang sangat kaya raya. 

Tuan ladang ini sangat kaya sehingga tidak memerlukan sesuatu apa pun lagi untuk dirinya.

Tuan mereka memberikan dua kumpulan ini 10,000 tahun untuk mengerjakan ladang jagung milik Tuan ini. 

Selepas tamat tempoh 10,000 tahun, mereka semua perlu kembali ke tempat asal mereka iaitu di sisi Tuan yang merupakan pemilik asal ladang tersebut.

Setiap kumpulan di beri petak yang berbeza untuk diusahakan.

Setiap petak itu sangat luas dengan kondisi tanah yang sama subur. 

Petak-petak ini juga sudah ditumbuhi dengan hasil jagung yang sangat produktif.

Kedua-dua kumpulan ini bermula dengan "padang yang sama". 

Tiada kumpulan yang diberi kelebihan di atas kumpulan yang lain. Iaitu mereka;

1. diberikan kudrat yang sama ;
2. diberikan akal yang sama ;
3. diberikan tempoh waktu yang sama iaitu 24 jam satu hari ; dan
4. alatan asas yang sama untuk mereka mengusahakan ladang jagung masing-masing.

Golongan Apel dan Belacan boleh mengambil apa sahaja hasil jagung yang berjaya mereka usahakan tanpa perlu membayar apa-apa kepada Tuan mereka.

Walaubagaimanapun, yang mereka ini tidak tahu ialah tempoh masa 10,000 tahun itu sebenarnya hanyalah satu hari satu malam sahaja mengikut kiraan masa Tuan mereka.

Sebelum mereka dibenarkan untuk memulakan usaha di petak masing-masing, Tuan mereka memanggil mereka lalu bertanya.

"Siapakah Tuan kamu ?". Mereka pantas menjawab dengan yakin "Tuanlah, Tuan kami".

Lantas, Tuan mereka memberi beberapa pesanan kepada kedua-dua kumpulan ini.

1. Jangan kamu kata ada Tuan lain selain aku dan jangan kamu abdikan diri selain dari menanam jagung ; 
2. aku akan sentiasa melihat kamu tetapi kamu tidak dapat melihat aku ; dan
3. untuk menuju kejayaan kamu perlu mendirikan "99##22"

Jika kamu melakukan ketiga-tiga pesanan ini maka kamu akan berjaya di ladang jagung kamu dan apabila kamu balik ke sini, kamu akan aku beri ganjaran yang lebih besar untuk selama-lamanya.

Kedua-dua kumpulan ini memahami pesanan tersebut kecuali pesanan yang ketiga.

Mereka pun bertanya, " Tuan, apa maksud 99##22 ?".

Tuan mereka menjawab dari masa ke semasa aku akan mengutuskan utusan aku untuk memberi kefahaman kepada kamu.




Mengusaha Ladang

Lalu pergilah kedua-dua kumpulan hamba ini ke petak ladang masing-masing dengan hati bercampur-baur namun dengan niat nekad untuk mengusaha ladang jagung masing-masing.

Kedua-dua kumpulan ini berusaha dengan bersungguh-sungguh dan benarlah kata Tuan mereka, ladang-ladang jagung ini mengeluarkan hasil yang sangat banyak dan mereka pun menikmati kekayaan dari hasil usaha mereka.

Kemakmuran yang mereka nikmati mengakibatkan jumlah hamba yang menganggotai kedua-dua kumpulan ini semkain hari semakin meningkat. Mereka diulit kedamaian yang tiada tolok bandingnya.

Namun, setelah beberapa ratus tahun mengikut kiraan di dunia mereka, kedua-kedua kumpulan hamba ini mula mengalami hasil yang tidak produktif. Sehingga ada yang kebuluran dan menjadi sangat miskin.

Untuk hidup, kedua-dua kumpulan ini saling berperang untuk merebut hasil pihak yang satu lagi.

Tuan mereka yang sentiasa melihat gerak-geri mereka segera bertindak. 

Seperti yang dijanjikan Tuan mereka mengutus seorang utusan, utusan ini mengingatkan kembali kedua-dua kumpulan ini kepada tiga pesanan Tuan mereka serta menyedarkan mereka akan maksud "99##22".

Ternyata, selepas datangnya utusan dari Tuan mereka. Kedua-dua kumpulan hamba ini berjaya bangun dan ladang jagung mereka kembali mengeluarkan hasil yang tinggi.

Namun begitu, selepas beratus-ratus tahun mengikut kiraan dunia hamba, salah satu dari kumpulan ini, iaitu Golongan Apel kembali mengalami hasil yang merosot. 

Ia adalah akibat dari kelalaian Golongan Apel untuk mengerjakan ladang jagung mereka sendiri.

Oleh kerana kumpulan Golongan Belacan masih mengekalkan hasil yang tinggi, maka kumpulan ini mengambil kesempatan untuk menakluk beberapa bahagian ladang jagung milik Golongan Apel.

Melihat kepada perkara ini, Tuan mereka menghantar utusannya kepada kumpulan Golongan Apel untuk menyedarkan kumpulan ini. 

Apabila sedar, ladang jagung Golongan Apel kembali mengeluarkan hasil yang banyak.

Dalam waktu yang sama, kumpulan Golongan Belacan yang sudah merasakan diri mereka lebih berjaya dari kumpulan Golongan Apel mula lalai dari mengerjakan ladang jagung mereka.

Akhirnya, kumpulan Golongan Belacan pula mengalami hasil jagung yang merosot. 

Kesempatan ini diambil oleh Golongan Apel untuk menakluk kembali wilayah mereka dari Golongan Belacan serta mengambil-alih wilayah-wilayah baru milik Golongan Belacan.

Begitulah yang sering terjadi di antara kumpulan-kumpulan hamba ini. Mereka seringkali alpa dan lupa mendirikan "99##22". 

Apabila ada golongan hamba yang lalai, golongan lagi satu pun mengambil kesempatan di atas kelalaian itu.



Kejayaan luarbiasa Golongan Belacan

Sehinggalah tempoh 10,000 tahun mengikut kiraan hamba ini semakin hampir tamat dan Tuan mereka sudah pun menghantar utusannya yang terakhir kepada salah satu kumpulan yang lalai iaitu Golongan Belacan.

Selepas diajar oleh utusan terakhir Tuan mereka, Golongan Belacan menjadi sangat berjaya. 

Mereka menakluk hampir kesemua wilayah Golongan Apel sambil mengekalkan wilayah mereka sendiri.

Mereka menjadi bongkak dan leka di atas kejayaan itu . Benarlah kata pepatah untuk mengekalkan kejayaan adalah usaha yang lebih rumit dari menempa kejayaan.

Akibatnya, Golongan Belacan mengalami kemerosotan yang amat dahsyat.

Ladang mereka tidak langsung mengeluarkan hasil. 

Mereka menjadi kelam-kabut kerana kisah kejayaan mereka telah dijaja sebagai tidak mungkin gagal lagi.

Wilayah-wilayah yang mereka takluk kesemuanya membebaskan diri lalu menyertai kumpulan Golongan Apel. 

Sementara itu, Golongan Apel secara perlahan-lahan membina kembali kekuatan mereka. 

Hasil ladang jagung Golongan Apel juga mengalami peningkatan hasil dari tahun ke tahun. 

Apakah yang sebenarnya terjadi kepada kedua kumpulan hamba ini ?

Berikut adalah apa yang terjadi kepada Golongan Belacan

Sebaik sahaja utusan terakhir Tuan mereka dihantar kepada kumpulan ini, mereka kembali sedar bahawa selama ini mereka lalai untuk berusaha bersungguh-sungguh.

Mereka kembali sedar bahawa maksud mendirikan "99##22" sebenarnya ialah berusaha bersungguh-sungguh atau beriltizam dengan dedikasi yang tinggi di dalam bidang penanaman jagung.

Hasilnya, mereka berjaya mendirikan satu tamadun yang maha hebat melalui hasil dari ladang jagung mereka. 

Mereka hampir menguasai keseluruhan wilayah Golongan Apel.

Golongan Apel pula, pada waktu tersebut sedang berkhayal dengan kisah kejayaan lama mereka menakluk Golongan Belacan 

Di samping itu, mereka juga taksub kepada satu upacara yang mereka cipta sesama mereka.

Apa yang terjadi kepada Golongan Belacan ?

Selepas hampir berjaya menakluk keseluruhan wilayah Golongan Apel, cerdik pandai Golongan Belacan merasakan bahawa mereka perlu membuat upacara untuk mengucapkan syukur dan terima kasih kepada Tuan mereka.

Oleh kerana mereka tidak dapat melihat Tuan mereka secara fizikal, maka mereka membina satu binaan yang diperbuat dari batu dengan tangan mereka sendiri untuk dijadikan simbol mengganti Tuan mereka.

Lama-kelamaan, hamba-hamba yang menganggotai Golongan Belacan menjadi taksub kepada binaan batu ini.

Mereka mula membuat jadual harian untuk membuat upacara kesyukuran di hadapan binaan batu tersebut. 

Ada antara mereka yang melakukan upacara sebanyak 5 kali sehari di hadapan binaan ini dan ada pula yang merasakan 3 kali sudah cukup. 

Bagi kebanyakkan dari mereka inilah maksud mendirikan "99##22". Mereka yakin upacara ini boleh menjadikan mereka berjaya.

Akhirnya, mereka mula menyamakan binaan batu ini dengan Tuan mereka sedangkan binaan ini mereka bina sendiri pada mulanya.

Binaan batu ini tidak ada kena mengena dengan Tuan mereka yang kaya-raya itu.

TANPA MEREKA SEDARI, MEREKA MELANGGAR PESANAN PERTAMA TUAN MEREKA. 

MEREKA KINI MENGABDIKAN DIRI KEPADA PERKARA LAIN SELAIN DARI MENANAM JAGUNG. 

DAN OLEH KERANA MEREKA BEGITU TAKSUB KEPADA BINAAN BATU INI, TANPA MEREKA SEDARI KINI MEREKA MEMPUNYAI 2 TUAN SELAIN DARI TUAN MEREKA YANG SEBENAR.

Selain itu, mereka juga membuat pelbagai undang-undang bagi mengawal upacara kesyukuran yang dilakukan di hadapan binaan batu ini. 

Undang-undang ini, kadang-kala begitu keras sehingga jika ada anggota kumpulan mereka memahami dengan cara yang lain, mereka mengisytiharkan darah anggota ini halal dan patut dibunuh.

Mereka juga mendirikan sekolah-sekolah untuk melatih anak-anak mereka tentang bagaimana untuk membuat upacara kesyukuran di hadapan binaan batu tersebut.

Natijahnya, oleh kerana ketaksuban mereka, anak-anak mereka kesemuanya membesar dengan hanya mempunyai pengetahuan tentang bagaimana mahu melakukan upacara kesyukuran di hadapan binaan batu tersebut sahaja.

Hampir tiada seorang pun lagi dari generasi anak-anak mereka mengetahui tentang cara-cara menanam jagung, sebagaimana arahan asal Tuan mereka yang sebenar.

Akhirnya, ladang jagung mereka mengalami kemerosotan kerana mereka sudah tidak mempunyai pengetahuan untuk menghasilkan produk yang bermutu tinggi. 

Malah sebenarnya, mereka tidak langsung membuat penanaman semula kepada jagung-jagung mereka yang rosak dimakan serangga.

Ini mengakibatkan tiada langsung anak jagung baru di tanam. Dan menyebabkan, hasil jagung mereka sangat merosot.

Melihatkan keadaan ini, cerdik pandai di antara mereka mengatakan bahawa kemerosotan ini terjadi kerana kurangnya usaha melakukan "99##22" yang mereka tafsirkan sebagai melakukan upacara kesyukuran di hadapan binaan batu yang mereka bina.

Kata cerdik pandai ini lagi, ianya tiada kena mengena dengan ketiadaan pengetahuan Golongan Belacan tentang teknologi menanam jagung.

Kesemua anggota hamba Golongan Belacan mengambil keputusan untuk mengikuti saranan cerdik pandai mereka . 

Maklumlah anggota ini bukan calang-calang, sudahlah cerdik, pandai pulak tu.

Maka begitulah yang terjadi kepada anggota Golongan Belacan, oleh kerana tiada lagi utusan Tuan mereka akan di hantar kepada Golongan Belacan, maka kemungkinan besar Golongan Belacan akan kekal sebegini sehingga tempoh 10,000 tahun yang dijanjikan Tuan mereka tamat.





 



Perkara Yang Terjadi kepada Golongan Apel

Golongan Apel nekad untuk mengubah nasib mereka. 

Mereka sudah tidak dapat bertahan dari dihina setiap hari oleh Golongan Belacan yang sangat berjaya pada ketika itu.

Cerdik pandai mereka berkumpul dan mengambil satu ketetapan iaitu menghalang kumpulan kecil yang begitu taksub untuk melakukan upacara kesyukuran dari menentukan hala tuju nasib kumpulan Golongan Apel.

Caranya ialah dengan meletakkan kumpulan taksub ini di satu tempat yang terpencil.

Oleh kerana mereka sudah tiada pengetahuan mengenai teknoloji menanam jagung, mereka mengambil keputusan menghantar kumpulan pelajar khas untuk belajar dari Golongan Belacan sendiri. 

Meskipun sentiasa dihina disepanjang proses pembelajaran tersebut, mereka nekad untuk terus tetap dengan keyakinan ini.

Lama-kelamaan, kumpulan kecil ini berjaya menguasai kembali pengetahuan mengenai penanaman jagung.

Kumpulan kecil ini mula membina sekolah mereka sendiri untuk mengajar generasi anak-anak mereka mengenai teknoloji penanaman jagung.

Mereka juga membuat keputusan untuk membuka satu sekolah istimewa yang dikhaskan untuk mencari produk baru yang boleh dihasilkan dari jagung.

Mereka melupakan terus upacara kesyukuran dan secara semulajadi proses ini menyebabkan mereka kembali mengikuti pesanan pertama Tuan mereka iaitu mengabdikan diri kepadanya dengan menanam jagung.

Hasilnya, mereka bukan sahaja mendapat hasil jagung yang melimpah ruah malah kini mereka mempunyai produk-produk ciptaan baru yang dihasilkan dari sekolah khas yang mereka bina.

Secara tidak langsung, dengan kesungguhan yang tinggi ini (iltizam) mereka telah berjaya mendalami maksud mendirikan "99##22" dengan lebih mendalam. 

Dan, oleh kerana tempoh 10,000 tahun hampir tamat, maka kemungkinan besar Golongan Apel akan menguasai pasaran jagung sehingga mereka dipanggil pulang mengadap Tuan mereka.





Sekian analogi Ramadhan, semoga bertemu di Ramadhan tahun hadapan.

Kisah ini untuk dihayati oleh mereka yang mempunyai mata hati. 

"Maka apakah mereka tidak berjalan di muka bumi, lalu mereka mempunyai hati yang dengan itu mereka dapat memahami atau mempunyai telinga yang dengan itu mereka dapat mendengar? Karena sesungguhnya bukanlah mata itu yang buta, tetapi yang buta, ialah hati yang di dalam dada" AQ 22:46

Pengajaran 


Apakah yang anda rasa akan dilakukan oleh Tuan hamba-hamba ini kepada anggota hamba Golongan Belacan yang telah melanggar pesanannya ?.


Jawapan - Tiada apa-apa. 

Sesungguhnya, Tuan ini terlampau kaya-raya, apa sahaja yang dilakukan oleh anggota hamba Golongan Belacan tidak langsung menggugat kedudukannya.


Lagipun, Tuan ini tahu tempoh yang sebenar hanyalah satu hari satu malam.

Kesemua hamba-hambanya dari kedua-dua Golongan Apel dan Golongan Belacan akan kembali ke sisinya selepas tamat tempoh satu hari satu malam.

Pada waktu tersebut baharulah dia memberi ganjaran atau hukuman seperti yang telah dia janjikan pada awal kisah ini.


Ashwed