Wednesday, 18 March 2015

Pengenalan

Salam. Dunia semakin mengecil. Teknologi hari ini membolehkan setiap manusia berhubungkait dengan seorang manusia lain dengan mudah tanpa sempadan. Di mana-mana sahaja kita berada tak mengira masa, tempat dan keadaan kita sebenarnya diperhatikan oleh orang lain. Setiap gerak geri kita akan dinilai dan menjadi rekod testimoni kita di masa hadapan. Inilah cabaran manusia akhir zaman, setiap hari minda kita dicabar dengan berbagai informasi, ideologi dan fahaman. Untuk mempunyai falsafah hidup yang konsisten pada zaman ini memerlukan jiwa yang kuat dan kental. 

Perkataan pertama yang saya titip di muka surat pengenalan ini pun sudah cukup menjadi contoh. "Salam". Dalam trending terkini applikasi whatsapp, agaknya sudah berjuta kali manusia Islam di Malaysia mengepos pesanan dari ahli agama terkenal supaya umat Islam tidak menulis perkataan singkat "Salam". Menurut mereka perkataan ini perlu ditulis penuh yakni "Assalamualaykum" kerana jika disingkatkan maknanya akan berubah. Maka tanpa usul periksa manusia Islam di Malaysia pun mempercayainya, maklumlah, pesanan itu datang bukan dari calang-calang manusia. Sedangkan secara logik semua manusia di Malaysia tahu apa maksud perkataan dan penggunaan perkataan "Salam" di alam maya.  

Begitulah mudahnya teknologi mempengaruhi pemikiran manusia zaman sekarang. Saya percaya dalam sedikit masa lagi pemikiran manusia akan dibelenggu secara total. Ianya akan menjadi seperti struktur piramid di mana golongan yang berjaya berada di atas akan mempengaruhi pemikiran orang yang berada di bawah. Jika golongan di bawah tidak mahu mengikut maka mereka akan dipaksa menurut. Jika masih kekal rebel tindakan undang-undang akan di ambil terhadap mereka. Cetusan idea tidak dibenarkan sama sekali, manusia akan menjadi seperti seperti zombie, hidup tetapi tidak bernyawa. Pada kelajuan yang ada sekarang saya jangka dalam sedikit masa lagi manusia akan hilang deria paling asas yang diberikan Pencipta kita iaitu deria berfikir. Kita adalah manusia homo sapiens. Kita berbeza dari manusia pra-sejarah yang lain melalui 'divine intervention'. Iaitu Pencipta kita sendiri yang meniup asas-asas pengetahuan ke dalam setiap diri kita. Inilah yang membezakan kita dari manusia era Paleolithic dan Neolithic. Oleh yang demikian, saya mahu menggunakan sedikit ruang yang ada di alam maya ini untuk menyeru sesiapa sahaja yang berkesempatan membaca blog ini untuk melakukan pemberontakan minda. Berontak untuk Berotak.

Ashwed

2 comments:

  1. Salaamun Alaikum.

    Semoga krejabuat Tuan Ash Wed di berkati lagi di redhoi Allah. Saya hanya mampu membaca dan berfikir berbanding tuan yang mampu menzahir pandangan berpandukan Al-Quran, anugerah Allah kepada seluruh manusia akhir zaman sebagai manual yang sempurna.

    Allah Al-A'laam

    ReplyDelete
  2. Salamun Alaykum,

    Terima kasih saudara pro. Semoga kita dapat memanafaatkan. Walaupun begitu, saya tidak menganggap bahawa pemikiran saya adalah muktamad. Saya merasakan bahawa manusia perlu belajar dan mencari pengetahuan setiap masa. Itulah nilai yang sepatutnya kita tanamkan kepada diri kita dan generasi depan.

    ReplyDelete