Sunday, 5 July 2015

Siri Ramadhan : Siapakah Tuhan Kamu ?

Pada minggu lepas seorang rakan sekolah saya membuat pertanyaan di dalam grup kami. Beliau menghadapi masalah untuk membuat keputusan. Beliau baru diberhentikan dari satu pekerjaan. Kini, beliau mendapat satu pekerjaan baru.

Namun, beliau mendapati di tempat baru ini, salah satu jenis perniagaan anak syarikat mereka ialah beroperasi sebagai kelab malam dan juga ada mesin untuk berjudi.

Memandangkan terdapat aktiviti penjualan arak dan judi di syarikat tersebut, beliau menjadi musykil samada wang gaji yang diterimanya akan jatuh haram atau halal ?

Inilah soalan yang sangat digemari oleh orang-orang Melayu. Kita seolah-olah tidak boleh berfikir dengan sendiri. 

Kemungkinan dek kerana "Doktrin tidak boleh mengguna akal" yang diracun dengan sebegitu teruk ke dalam minda kita.

Seperti biasa, akan adalah seorang individu yang akan memberi buah fikiran standard melayu kepada sesiapa yang mempunyai masalah ini. 

"Eloklah kamu tanya kepada si polan dan si polan (dalam hal ini disarankan supaya bertanya kepada Dr Fadzilah Kamsah) kerana si polan dan si polan ini lebih arif dalam hal agama". 

Begitulah cara ahli agama mengekalkan penguasaan mereka ke dalam minda kita.

Tidakkah kita terfikir, Dr Fadzilah Kamsah ini hidup sebagai diri kitakah ? Dia tahukah apa masalah kita ? 

Jika dia tahu lebih baik suruh dia sahaja yang menjadi diri kita ? 

Maka dengan itu, eloklah akal yang Tuhan kurniakan kepada kita ini, kita buat sup dan makan sahaja.

Saya lantas mengepos keterangan Al Quran ini ;

"Katakanlah:'Terangkan kepadaku tentang rezeki yang diturunkan Allah kepadamu, lalu kamu jadikan sebahagiannya haram dan sebahagiannya halal'. Katakanlah:'Apakah Allah telah memberikan izin kepadamu (tentang ini) atau kamu mengada-adakan saja terhadap Allah?" AQ 10:59

Dan seperti yang saya duga, keterangan Tuhan ini tidak dapat memuaskan hati orang Melayu. Kita sentiasa tidak merasa puas dengan apa yang Tuhan berikan sebagai petunjuk.

Kita sentiasa merasa bahawa kita perlu berbalik kepada para imam, ustaz dan ketua mazhab kita. 

Di hati kita, kita merasakan bahawa mereka ini lebih mengetahui dari Tuhan sendiri.

Tidakkah kita terfikir, orang-orang yang kita jadikan bahan rujukan dengan menolak petunjuk Tuhan ini pun dihidupkan oleh Tuhan juga bukan ?.

Mereka ini tidak ada sedikit pun saham dalam penciptaan alam semesta, maka mengapa perlu kita mempercayai mereka lebih dari Tuhan sendiri ? 

Untuk isu rakan saya tadi, yang pertamanya, bolehkah kita menunjuk bukti bahawa Tuhan mengharamkan (unlawful) arak dan judi ?

Ia sama seperti apa yang terjadi kepada isu memegang anjing dan babi. Bolehkah kita menunjuk bukti bahawa Tuhan mengharamkan (unlawful) untuk memegang anjing dan babi ?

Dalam isu arak dan judi, Tuhan tidak pernah menjadikan haram (unlawful) arak dan judi. Tuhan beritahu bahawa terdapat manafaat dan keburukan untuk kedua-duanya.

Namun, Tuhan menyarankan kita untuk menghindarkan arak dan judi kerana keburukannya adalah lebih dari manafaat yang dibawanya. Tuhan suruh kita guna AKAL. Itulah jawapannya.

Punca

Bagi saya punca besar kita menjadi sebegini ialah kerana kegagalan kita untuk menggunakan akal.

Pada artikel yang lepas saya pernah bercerita tentang "Dunia Hologram", di mana segala-gala pengalaman yang kita alami di dunia ini pada asasnya hanya kita alami di akal atau otak kita sahaja.

Dalam isu di atas, sebagai seorang yang mempercayai Tuhan dan kuasa yang ada padaNya, kita wajar bertanya sendiri kepada Tuhan akan masalah kita itu.

Kenapa tidak ? Bukankah Tuhan sudah memberitahu bahawa diriNya berada dekat dengan kita. Malah lebih dekat dari urat leher kita sendiri.

"Dan sesungguhnya Kami telah mencipta manusia dan mengetahui apa yang dibisikkan oleh hatinya, dan Kami lebih dekat kepadanya daripada urat lehernya" AQ 50:16

Secara asasnya Tuhan menyarankan kita supaya bermuhasabah. Merenung sendiri atas segala isu yang sedang kita alami. Menimbang-nimbang yang mana lebih baik dan yang mana buruk. 

Orang lain tidak tahu apa yang kita alami. Mereka bukan kita.

Apabila Tuhan memberitahu bahawa Dia adalah lebih dekat dari urat leher kita, di manakah kita rasakan tempat ini berada ?. 

Adakah di perut, di mata, di usus kecil, di kaki atau tangan atau mana-mana organ lain di badan kita ?

Saya berpendapat, apabila Tuhan memberitahu bahawa Dia berada begitu dekat dengan kita malah lebih dekat dari urat leher kita sendiri. Tempat itu sudah tentunya di akal atau otak kita.  

Di sanalah tempat kita membuat segala keputusan untuk diri kita. Walaupun begitu, bukanlah bermakna kuasa Tuhan itu terhad sekadar di akal kita sahaja.

Jika kita mahu makan, adakah anda rasa tangan kita secara otomatik menyuap ke mulut kita ?

Sudah tentu tidak, akal-lah yang menghantar isyarat untuk mengarahkan tangan kita membuat suapan ke mulut kita. 

Bila sudah masuk ke mulut pula, akal jugalah yang menghantar isyarat supaya kita mengunyah. 

Kemudian akal membuat keputusan untuk menelan atau mengunyah lagi atau meluah jika ada bendasing di rasai oleh mulut.

Akal adalah organ yang mengADAkan kita di dunia ini. Jika akal berhenti beroperasi maka kita kembali kepada Zat Asal kita. Kita menjadi TIADA.

Apabila kita gagal menggunakan akal. Kita sebenarnya sudah mati di sisi Tuhan.




"Sesungguhnya kamu tidak dapat menjadikan orang-orang yang mati mendengar dan (tidak pula) menjadikan orang-orang yang tuli mendengar panggilan, apabila mereka telah berpaling membelakang" AQ 27:80



"maka apakah mereka tidak berjalan di muka bumi, lalu mereka mempunyai hati yang dengan itu mereka dapat memahami atau mempunyai telinga yang dengan itu mereka dapat mendengar? Karena sesungguhnya bukanlah mata itu yang buta, tetapi yang buta, ialah hati yang di dalam dada" AQ 22:46

Tidak ada apa lagi yang boleh kita lakukan terhadap orang-orang yang sebegini. Hanya diri mereka yang boleh menyedarkan mereka sendiri. 

Kesimpulan

Dari data Al Quran yang telah dikumpul oleh blog  ini, kini kita sudah boleh membuat kesimpulan tentang siapakah Tuhan kepada diri kita ?

Jangan salah faham dengan kenyataan ini. Tuhan yang sebenar hanyalah satu. Dialah Yang Maha Esa yang telah menciptakan kita dari tidak mengetahui sesuatu apapun. 

Dialah Yang Maha Mengetahui yang telah mengajar kita sehingga kita beroleh kejayaan demi kejayaan. Inilah Tuhan sebenar. 

Tiada tolok bandingnya. Seperti yang tertulis di Surah Al Ikhlas.

Dan Dia memberitahu bahawa Dia berada dekat, lebih dekat dari urat leher kita iaitu di akal kita.

Oleh yang demikian, siapakah Tuhan kamu ? 

Tuhan kita adalah apa atau sesiapa sahaja yang paling kita fikirkan pada setiap masa.

Maka, perkara apakah yang paling bersarang di minda kita di kebanyakkan masa kita?

Ia sebenarnya berbeza-beza di antara seorang kepada seorang yang lain. Tetapi, kita dapat lihat dari tutur kata dan pembawakkan orang itu.

Jika seseorang itu asyik-asyik menghantar gambar perempuan seksi, bila bersembang tajuknya balik-balik pergi kepada perhubungan intim maka itulah yang bersarang di mindanya. Itulah sebenarnya tuhan beliau.

Begitu juga, jika kita ada rakan-rakan yang tergila-gilakan permainan golf, kita akan dapati setiap saat mereka akan bercerita tentang golf. Maka golflah tuhan mereka.

Ada pula yang setiap hari bercerita pasal agama, Nabi kata itu, Nabi kata ini. Ulama itu kata begitu, ulama ini kata begini. 

Agama dia sahaja yang benar. Orang lain salah dan akan ke neraka. Setiap hari dalam grup media sosial beliau akan mengepos apa yang ustaz ini cakap, apa yang imam itu sebut. 

Yang mereka tidak perasan ialah tidak ada sedikit pun perbincangan mengenai apa yang Tuhan mahukan kita buat sebagai hambaNya keluar dari minda mereka. Tidakkah anda rasa begitu ?

Maka, untuk orang-orang ini, agamalah tuhan mereka. 

Ada yang bertuhankan Islam, ada yang bertuhankan Kristian, Hindu, Buddha, Jains, Sikh, Judaism dan macam-macam jenis tuhan yang direka-reka oleh minda mereka.

Menurut Al Quran tuhan kepada diri kita boleh jadi ;

Anak-anak;

"Tatkala Allah memberi kepada keduanya seorang anak yang sempurna, maka keduanya menjadikan sekutu bagi Allah terhadap anak yang telah dianugerahkan-Nya kepada keduanya itu. Maka Maha Tinggi Allah dari apa yang mereka persekutukan" AQ 7:190

Ibu-bapa, sanak-saudara, pasangan masing-masing, harta, perniagaan, tempat tinggal;

"Katakanlah : "Jika bapa-bapa, anak-anak, saudara-saudara, isteri-isteri, kaum keluargamu, harta kekayaan yang kamu usahakan, perniagaan yang kamu khuatiri kerugiannya, dan tempat tinggal yang kamu sukai, adalah lebih kamu cintai dari Allah dan RasulNya dan dari berjuang di jalanNya, maka tunggulah sampai Allah mendatangkan keputusanNya. Dan Allah tida memberi petunjuk kepada orang-orang yang fasik" AQ 9:24

Perniagaan kita;

"Dan dia memasuki kebunnya sedang dia zalim terhadap dirinya sendiri; ia berkata : "Aku kira kebun ini tidak akan binasa selama-lamanya" AQ 18:35

Para Nabi, imam, ustaz, tok guru, sami, rabbi dan lain-lain orang yang kita anggap alim;

"Mereka menjadikan orang-orang alimnya dan rahib-rahib mereka sebagai tuhan selain Allah, dan (juga mereka mempertuhankan) Al Masih putera Maryam, padahal mereka hanya disuruh menyembah Tuhan Yang Esa, tidak ada Tuhan selain Dia. Maha suci Allah dari apa yang mereka persekutukan" AQ 9:31

Dan yang paling teruk ialah ego kita, iaitu diri kita sendiri. Inilah perkara yang terjadi di dunia pada waktu ini. Inilah penyebab peperangan. Ego

Kita boleh lihat banyak oraganisasi seperti I.S, Al Qaeda dan juga negara-negara maju seperti Amerika dan lain-lain yang menjadikan ego sebagai tuhan mereka ;

"Terangkan kepadaku tentang orang yang menjadikan hawa nafsunya sebagai tuhannya. Maka apakah kamu dapat menjadi pemelihara atasnya ?" AQ 25:43

Akhir sekali, kepada orang-orang ini, apabila kita bertanya, siapakah Tuhan kamu. Sudah tentu mereka akan menjawab sebegini ;

"Dan sesungguhnya jika kamu tanyakan kepada mereka ; "Siapakah yang menjadikan langit dan bumi dan menundukkan matahari dan bulan?. Tentu mereka menjawab "Allah", maka mengapakah mereka dipalingkan (dari jalan yang benar)" AQ 29:61

"Dan sesungguhnya jika kamu tanyakan kepada mereka : "Siapakah yang menurunkan air dari langit lalu menghidupkan dengan air itu bumi sesudah matinya?". Tentu mereka akan menjawab, "Allah", katakanlah "Segala puji bagi Allah", tetapi kebanyakkan mereka tidak memahaminya" AQ 29:63

Bagaimana kita sampai dipalingkan dari Tuhan? Adakah mungkin kerana kita tidak begitu memahami dan tidak mahu menggunakan akal ?

Ashwed

4 comments:

  1. "Bagi saya punca besar kita menjadi sebegini ialah kerana kegagalan kita untuk menggunakan akal."

    Bagi saya pula saya rasa punca utama sebab takut. Kita dah di brainwash dari kecik, kalau tak sembahyang dan puasa akan masuk neraka (pergi haji optional, hanya kalau mampu). Tak ada siapa yang nak masuk neraka. Jadi walaupun sudah terang dan nyata yg takde petunjuk dalam Quran cara sembahyang, kita masih takut kalau tak sembahyang.

    Puasa ni lagi satu hal yang sampai sekarang saya masih tak faham. Saudara kata saum ni program untuk memperbaiki diri. Takde kena mengena dengan menahan lapar dan dahaga selama 30 hari dari terbit matahari ke terbenam matahari. Program ni wajib ke just adviseable? If kita tak buat, berdosa? or kena beri makan orang miskin? Boleh tolong beri more pencerahan tak? Tq

    ReplyDelete
    Replies
    1. Salamun Alaykum,

      Sebetulnya masih banyak sangat perkara yang kita belum faham mengenai Al Quran. Jika kita merasakan bahawa Al Quran ini adalah petunjuk maka kita, terutamanya kerajaan kita perlu benar-benar membuat study.

      Tun M pernah menyarankan untuk A Quran ditafsir semula. Tetapi saranan itu tidak pernah menjadi kenyataan. Kita tak boleh biarkan tanggungjawab ini digalas oleh orang politik. Sebab orang politik akan berfikir sebagai orang politik. Sudah tentulah memenangi undi org awam berada ditempat paling tinggi dalam fikiran mereka.

      Ini yang menyebabkan kita terperangkap samada nak meneruskan perkara yang benar atau memenangi persepsi bagi menjamin kedudukan sendiri.

      Saya tidak dapat memberi jawapan yang tepat mengenai program soum. Saya hanya dapat memberikan fakta-fakta mengenainya seperti yang dirujuk Al Quran. Terpulanglah kepada diri sendiri untuk mencapai keputusan. General rule : Buat sesuatu yang berfaedah kepada 1. diri sendiri 2. Orang terdekat 3. Masyarakat .... dan seterusnya.

      Delete
  2. Bukan kah 'akal' itu yg menjadikan manusia licik ? Dekat Nya dalam Kebenaran ini adalah dalam ' Fikir' - 'tuhan lebih dekat dari urat leher kita'.Nafsu tidak dapat menpengaruhi minda apabila kita sedang berfikir. Selepas fikir maka di susuli 'Akal'. Seorg arkitek berhasrat membina bangunan tinggi yg cantik , meruntuh dan membangun kembali dlm beberapa design dalam hologram Fikir nya. Selepas itu Akal akan menentukan spec serta kekuatan material yg diperlukan. Susunan nya :- Fikir->Akal->Tipu Muslihat-> Ego palsu -> Ujud. . Itu lah proses yg dilalui oleh kita setiap hari.

    ReplyDelete
  3. Penulisan yang sangat menarik membuatkan saya berfikir sejenak... Sudah beberapa kali saya membaca artikel saudara admin. Baca sekali tak begitu memahami, apabila baca lagi barulah filiran saya terbuka dan lebih memahami. Syabas dan teruskan menerangi dikalangan hamba yang telah lama termangundalam kegelapan...

    ReplyDelete