Monday, 31 August 2015

Angin Perubahan

Apabila kita menyebut tentang perubahan sudah tentu maknanya secara am ialah kemahuan untuk bergerak dari suatu titik yang buruk kepada suatu titik yang lebih baik.

Biarpun begitu, ia bukanlah suatu keputusan yang pasti, kerapkali juga perubahan yang berlaku adalah lebih buruk dari sebelumnya seperti apa yang terjadi kepada "Arab Spring".

Ini adalah risiko yang perlu kita hadapi apabila bercerita tentang perubahan. Namun, secara dasarnya semua manusia mahukan perubahan ke arah yang lebih baik dari keadaan buruk yang mereka berada.

Demo Bersih

Pada hujung minggu ini saya mempunyai sedikit tugasan di ibu negara. Secara kebetulan, ia bertembung dengan Demo Bersih yang sudah masuk siri ke-4.

Seperti biasa, apa sahaja kejadian yang dihadapi oleh negara terutama jika ianya berkaitan dengan politik akan diikuti dengan penuh minat oleh rakyat negara ini. 

Trend terkini ialah kita rakyat Malaysia akan mengikuti dan membuat ulasan selari melalui grup-grup media sosial yang kita sertai seperti whatsapp, telegram, twiter dan facebook.

Maka kita pun berdiskusi sesama kita, ada yang menyokong dan ada yang membantah. Yang menyokong ada alasan masing-masing begitu juga dengan membantah.

Saya secara peribadi, tidak pernah mahu menghalang niat mana-mana kumpulan untuk berhimpun menyatakan pendirian mereka kerana ianya adalah hak asas mana-mana individu yang menjadi rakyat Malaysia. Asalkan ianya aman tidaklah ia menjadi hal.

Walaubagaimanapun, saya amat merasa terganggu apabila ada orang yang berhujah bahawa Demo Bersih adalah mengenai perubahan.

Pada saya ianya sekali-kali tidak, Demo Bersih dari siri 1 hingga 4, begitu juga dengan demo-demo lain yang seringkali berlaku di Jalan Tunku Abdul Rahman sehingga ke Dataran Merdeka (sebenarnya ini sahajalah laluan yang dijadikan tempat meluahkan perasaan, mengapa tidak di adakan di tempat lain masih menjadi suatu misteri) seperti demo reformasi dan lain-lain tidak pernah dilakukan dengan niat inginkan perubahan.

Ianya berlaku kerana ada satu kumpulan ahli politik mahu merebut kuasa dari kumpulan ahli politik yang lain. 

Itu sahaja asasnya. Ianya tidak pernah bertukar sejak dari pertama kali ia di adakan.

Penganjur silih berganti dan menyediakan pelbagai alasan apabila ditemuduga. Tetapi, ia tidak pernah dapat menutup niat sebenar mereka iaitu untuk merebut kuasa. 

Dengan bahasa yang lebih mudah, ianya tiada niat lain selain dari mahu menumbangkan Parti UMNO dan rakan-rakannya yang sedang menguasai negara kita sejak sekian lama. 

Asal sahaja bukan UMNO dan rakan-rakannya pada mereka ianya adalah perubahan.

Sesungguhnya, bukanlah saya mahu menjatuhkan semangat anda, tetapi sebenarnya ahli politik biar di dalam parti mana pun mereka berada, mereka adalah spesis yang sama.

Sudah sekian lama kita rakyat Malaysia di tipu oleh spesis ini.

Kepelbagaian watak seperti ada yang berjanggut, berjubah, berserban, ada yang memakai baju buruk untuk menunjukkan zuhud, ada yang berpakaian kemas, ada yang memakai pendakap leher dan lain-lain hanyalah lakonan semata-mata.

Mereka menubuhkan pelbagai Parti dengan ideologi masing-masing. Ada yang memanggil diri mereka UMNO, MCA, MIC, GERAKAN, PAS, PKR, DAP dan lain-lain lalu mereka menjual ideologi ini kepada kita. 

Mereka seringkali menyatakan, perjuangan merekalah yang paling benar. Sambil itu mereka memukul gendang propaganda kumpulan mereka. Namun, disebalik semua ini, hasrat mereka yang utama ialah KUASA. Itu sahaja.

Cuba anda semua fikir, adakah anda merasa anda telah berubah jika sekiranya anda menukar Parti dan pemain di dalamnya sedangkan permainannya masih menggunakan peraturan yang sama ?

Adalah tidak munasabah jika sekiranya anda yang memanggil diri anda berpelajaran tinggi dan mahukan perubahan.  Tetapi masih tidak menyedari bahawa menukar parti dan pemain yang ada tidaklah mengubah permainan yang mereka main.

Sesungguhnya, anda yang berpelajaran tinggi, apabila berdiskusi mengenai politik sebenarnya saling tidak tumpah seperti Mak Jemah yang bergosip sesama jiran tetangganya. 

PM pecah amanah, Ketum PKR 'gay', Nazri Aziz rasis, Mat Sabu berkhalwat, UMNO rasuah, DAP Chauvinis dan lain-lain. Hakikatnya, ini bukanlah diskusi perubahan. Ini adalah gosip. 

Perubahan Politik


Apabila kita mahukan perubahan politik. Perubahan yang sebenar adalah menukar sistem demokrasi yang menjadikan ia begitu busuk kini. Iaitu Sistem Westminster dengan platform kepartian.

Ini baru dinamakan perubahan. Ia perlu ditukar dengan Sistem Demokrasi baru yang mengikut acuan kepelbagaian kaum masyarakat Malaysia. Tamatkan permainan mereka. Buat permainan baru. 

Oleh kerana kita sudah masak dengan strategi kotor pemain-pemain ini maka kita buatlah peraturan untuk mengekang strategi tersebut. 

Kita juga boleh menghalang mana-mana pemain yang terkenal bersikap buruk dari bermain permainan baru yang kita cipta ini.

Sesungguhnya, Sistem Demokrasi yang kita amalkan selama hari ini dicipta oleh seorang berbangsa Eropah yang tiada kena mengena dengan kita.

Negara beliau berbeza serba serbi dengan negara kita. Negara mereka beriklim sejuk. Kita panas. Mereka makan cheese. Kita makan belacan. Mereka berambut perang. Kita berambut hitam.

Mungkin sistem ini menepati ciri-ciri negara dan masyarakat mereka tetapi ia tidak semestinya menepati ciri-ciri negara kita. 

Oleh itu, jika anda inginkan perubahan politik perkara yang wajib kita ubah ialah sistem yang mengasaskannya. Bukan pemainnya.

Perubahan Sebenar

Sesungguhnya perubahan yang benar-benar diperlukan oleh rakyat Malaysia ialah perubahan nilai diri kita sendiri.

Perubahan ini tidak memerlukan kita berdemo menjadi pak turut kepada agenda orang lain.

Perubahan ini juga tidak memerlukan kita mengangkat sepanduk mengutuk orang lain yang tidak kita kenali dan pasti benar dia telah melakukan kesalahan.

Begitu juga, ia tidak memerlukan kita mendaftar diri untuk menyertai perjuangan ideologi kepartian.

Perubahan ini adalah mengubah pendirian kita mengenai sesuatu dengan mengubah cara kita berfikir mengenainya.

Ia boleh dilakukan dari dalam selimut yang sedang anda tidur sekarang.

Contohnya ;

Kaum Pribumi esok bila bangun buanglah mentaliti mahu kejayaan dengan cara mudah. Berhentilah juga mengatakan kaum lain itu pendatang. Kita sudah hidup bersama beratus-ratus tahun. Mati hidup di sini. Sudah tentulah kita adalah rakyat bumi ini.

Orang Cina dan India pula hentikanlah prejudis yang mengatakan kaum pribumi pemalas, perasuah dan hanya suka subsidi. Majoriti kami bukanlah begitu.

Begitulah seterusnya kita membuang nilai-nilai buruk yang selama ini membelenggu pemikiran kita.

Nilai-nilai buruk inilah yang menjadikan kita bergolongan atau syi-ya-an di dalam Bahasa Al Quran. 

Bergolongan adalah perbuatan mempersekutukan Tuhan. Apabila kita mempersekutukan Tuhan kita tidak akan berjaya sebagai bangsa Malaysia.

 A031

"Dengan kembali bertaubat kepada-Nya dan bertakwalah kepada-Nya serta dirikanlah iltizam (wa-aqeemus-solla) dan janganlah kamu termasuk orang-orang yang mempersekutukan Allah" AQ 30:31

A032

"iaitu orang-orang yang memecah-belah aturan hidup (deenahum) mereka dan mereka menjadi beberapa golongan (syi-yaa-an). Tiap-tiap golongan merasa bangga dengan apa yang ada pada golongan mereka" AQ 30:32

Bergolongan sebenarnya adalah amalan kerajaan yang zalim seperti Kerajaan Firaun ;


إِنَّ فِرۡعَوۡنَ عَلَا فِي الۡأَرۡضِ وَجَعَلَ أَهۡلَهَا شِيَعًا يَسۡتَضۡعِفُ طَائِفَةً مِّنۡهُمۡ يُذَبِّحُ أَبۡنَاءهُمۡ وَيَسۡتَحۡيِي نِسَاءهُمۡ إِنَّهُ كَانَ مِنَ الۡمُفۡسِدِينَ (4)

"Sesungguhnya Firaun telah berbuat sewenang-wenangnya di muka bumi, serta dia menjadikan penduduknya bergolongan (syi-yaa-an). Dia menindas segolongan di antaranya dengan menyembelih anak-anak lelaki mereka dan membiarkan hidup anak-anak perempuan mereka. Sesungguhnya adalah dia dari golongan yang membuat kerosakan" AQ 28:4 

Syi-ya-an dalam bahasa politik moden ialah "Theory Divide and Rules". Jika anda berpendapat ianya hanya dilakukan oleh Parti Pemerintah, maka anda perlu berfikir panjang. Untuk membuang belenggu anda perlu menggunakan akal.
Untuk melakukan perubahan nilai kita perlu mendirikan Solla(h). Apakah sebenarnya maksud perkataan ini ?

Dalam soal mendirikan solla(h) semua kaum di Malaysia seharusnya belajar dari kaum Cina kerana pada pendapat saya secara amnya, kaum inilah yang benar-benar melakukan solla(h) dengan cara yang betul.

Apakah solla(h) yang saya maksudkan ? Ianya adalah seruan yang sama diutuskan kepada semua para Nabi. 

Ianya adalah satu-satunya syariat yang wujud tidak pernah bertukar dari Nabi ke Nabi ;

A013

"Dia telah mensyari`atkan kamu tentang aturan hidup (minal-deeni) apa yang telah diwasiatkan-Nya kepada Nuh dan apa yang telah Kami wahyukan kepadamu dan apa yang telah Kami wasiatkan kepada Ibrahim, Musa dan Isa iaitu: Tegakkanlah aturan hidup (aqeemud-deena) dan janganlah kamu berpecah belah tentangnya. Amat berat bagi orang-orang musyrik aturan hidup yang kamu seru mereka kepadanya. Allah menarik kepada aturan hidup itu orang yang dikehendaki-Nya dan memberi petunjuk kepada orang yang kembali (kepada-Nya)." AQ 42:13

Syariat yang dimaksudkan oleh keterangan di atas termaktub dan terangkum di dalam perkataan solla(h).

Ianya adalah satu perkataan yang sangat besar maknanya. Namun, perkataan ini telah dijumudkan oleh golongan agamawan sehingga ia bertukar menjadi upacara ritual sahaja. 

MAKSUD SEBENAR SOLLA(H) ADALAH ILTIZAM ATAU KESUNGGUHAN. ILTIZAM MEMACU MANUSIA MENCAPAI KEJAYAAN.

Di zaman Nabi Ibrahim ;

 A037

"Ya Tuhan kami, sesungguhnya aku telah menempatkan sebahagian keturunanku di lembah yang tidak mempunyai tanam-tanaman dalam Sistem Engkau (Baiti-ka) yang dihormati, ya Tuhan kami (yang demikian itu) agar mereka mendirikan iltizam (li-yuqeemus-solla-wa-ta), maka jadikanlah hati sebagian manusia cenderung kepada mereka dan beri rezekilah mereka dari buah-buahan, mudah-mudahan mereka bersyukur" AQ 14:37
 

Solla(h) Nabi Ismail,

A054 

"Dan bacakanlah (wahai Muhammad) di dalam Kitab (Al-Quran) ini perihal Nabi Ismail; sesungguhnya ia adalah benar menepati janji dan adalah ia seorang Rasul, lagi berpangkat Nabi" AQ 19:54


A055
"Dan adalah ia menyuruh keluarganya mengerjakan iltizam (bis-solla-wa-ti) dan memurnikannya (waz-zakka-wa-ti), dan ia pula adalah seorang yang diredhai di sisi Tuhannya!" AQ 19:55

Solla(h) Nabi Syuaib,

 A087

"Mereka berkata: "Wahai Syuaib! Adakah iltizam-mu (as-solla-wa-tuka) menyuruhmu perintahkan kami supaya meninggalkan apa yang disembah oleh datuk nenek kami, atau supaya kami lakukannya apa yang kami suka melakukannya dalam menguruskan harta kami? Sesungguhnya engkau (wahai Syuaib) adalah orang yang penyabar, lagi bijak berakal (maka bagaimana pula engkau menyuruh kami melakukan perkara yang bertentangan dengan kebiasaan kami)?" AQ 11:87

Solla(h) Nabi Musa,

 A087

"Dan Kami wahyukan kepada Musa dan saudaranya: "Ambillah olehmu berdua beberapa buah rumah di Mesir untuk tempat tinggal bagi kaummu dan jadikanlah olehmu rumah-rumahmu itu sebagai pusat (qiblat) dan dirikanlah olehmu iltizam (wa-aqeemus-solla) serta gembirakanlah orang-orang yang beriman" AQ 10:87
Solla(h) Nabi Isa ,

A030

"Ia menjawab:" Sesungguhnya aku ini hamba Allah; Ia telah memberikan kepadaku Kitab (Injil), dan Ia telah menjadikan daku seorang Nabi" AQ 19:30


A031
"Dan Ia menjadikan daku seorang yang berkat di mana sahaja aku berada, dan diperintahkan daku mengerjakan iltizam (bis-solla) dan memurnikannya (waz-zakka) selagi aku hidup" AQ 19:31


Solla(h) Nabi Muhammad,
A045
 

"Bacalah serta ikutlah (wahai Muhammad) akan apa yang diwahyukan kepadamu dari Al-Quran, dan dirikanlah iltizam (wa-aqeemis-solla) ; sesungguhnya iltizam (in-nas-solla) itu mencegah dari perbuatan yang keji dan mungkar; dan sesungguhnya mengingati Allah adalah lebih besar (faedahnya dan kesannya); dan (ingatlah) Allah mengetahui akan apa yang kamu kerjakan" AQ 29:45
Kesemua keterangan di atas menuntut para Nabi tersebut untuk melakukan perubahan. Perubahan tersebut memerlukan iltizam yang tinggi untuk di capai.
Sebagai contoh di dalam AQ 14:37 Nabi Ibrahim perlu bersungguh-sungguh merubah tanah yang tandus (Bakkah) menjadi suatu tempat yang makmur.
Perubahan ini perlu dilakukan dengan mengkaji dan melakukan strateji yang terancang serta kesungguhan/iltizam yang tinggi. Ia tidak boleh dicapai dengan melakukan upacara ritual.

Jika kita mahu membuat perbandingan di antara kaum di Malaysia, mungkin contoh Kedai Runcit ini boleh membantu ;

Kebanyakkan Kaum Pribumi (bukan semua, mereka yang berjaya tidak mengamalkan perbuatan sebegini) apabila membuka kedai runcit seringkali kita dapati kedai mereka tidak cukup stok. Bila minta sesuatu barang ia tiada. Tuan kedai pula terbiasa membuat muka sombong. Pertanyaan dijawab secara endah tidak endah.

Di Kedai Runcit Kaum Cina pula (juga bukan semua, yang tidak berjaya mengamalkan perbuatan seperti di Kedai Pribumi) apa sahaja barang yang kita minta mesti ada. Apabila kita masuk, tuan kedai membuat muka gembira, tersenyum melayan pelanggan. 

Jika anda pelanggan, kedai runcit manakah yang anda akan mengulang pergi ?

Sudah tentu di kedai runcit Kaum Cina tadi. Ia adalah kerana Tuan Kedai itu mendirikan kesungguhan atau iltizam atau solla(h). Beliau memastikan stok yang mencukupi. Beliau belajar cara-cara melayan pelanggan dengan betul. 

Mereka yang dengan yakin mendirikan kesungguhan/iltizam sudah tentu akan berjaya. Ianya telah diberitahu secara jelas di dalam Al Quran.

Kesimpulan

Oleh yang demikian, marilah kita rakyat Malaysia melakukan perubahan nilai.

Kaum yang sudah berjaya bantulah kaum lain yang kurang berjaya. Mereka ini adalah rakan sebangsa Malaysia anda.

Jika anda membantu kaum yang kurang berjaya, percayalah sudah tentu anda sendiri akan lebih berjaya dan maju dari sebelumnnya.

Kita juga tidak boleh menjadi bergolongan. 

Kita tidak akan berjaya jika masih merasa golongan sendiri lebih layak menerima habuan sedangkan golongan lain tidak.

Kita tidak boleh menjadi tamak dan mahu membolot segala-gala yang ada di negara kita ini.

Pendirian sebegini tidak akan menjadikan negara kita gemilang dan makmur setaraf dengan ketamadunan barat dan jepun.

Kita juga perlu meneroka potensi masing-masing semaksimum yang mampu.

Selamat Menyambut Hari Kemerdekaan dan Hari Malaysia.

Semoga kita berjaya menjadi bangsa Malaysia.

Ashwed

5 comments:

  1. Penulisan yang agak menarik sekali.
    I agree with most of your points although I don't really understand the religious part of it. Let's work towards a better Malaysia together! Keep up the writing

    ReplyDelete
    Replies
    1. This comment has been removed by the author.

      Delete
    2. Salam,

      Maaf saya secara tak sengaja ter"delete" komen saudara. Mohon maaf sekali lagi.

      Delete
  2. Artikel ini bagus untuk rakyat Malaysia yang inginkan perubahan yang sebenar, bukannya perubahan mengikut acuan permainan politik.

    ReplyDelete
  3. Terima kasih banyak tuan penulis

    ReplyDelete