Wednesday 25 March 2015

Kebenaran

Kebenaran adalah perkara yang maha penting dalam kehidupan manusia. Kebenaran membentuk destini orang perseorangan, bangsa, seterusnya negara. Kebenaran membentuk ketamadunan yang kukuh dan jitu. Ketamadunan akan kekal selagi kebenaran diangkat di tempat yang tertinggi iaitu dibenak fikiran setiap manusia yang menganggotai ketamadunan tersebut. 

Sesuatu yang dibina dengan persangkaan tidak akan kekal lama. Lambat laun hati kecil manusia yang menganggotai ketamadunan yang dibina dengan persangkaan akan mulai bertanya. Dalam jiwa mereka akan ada kekosongan yang perlu diisi oleh kebenaran.

Sebagai contoh, perkataan "Salam" yang menjadi tajuk pada pos pengenalan saya. Sebagai seorang manusia Melayu Islam yang normal sudah tentu kita akan tertanya apakah benar kita tidak boleh meringkaskan perkataan "Assalamualaykum" mejadi "Salam" ? 

Mampukah kita mempercayai bulat-bulat apa yang dikatakan oleh ahli agama dikalangan kita ? Mereka manusia, kita juga manusia. Mereka pernah membuat kesilapan, begitu juga dengan kita. Tiada bezanya antara mereka dengan kita. Mereka ada tangan, hidung, mata, kepala, kaki. Kita juga ada. Mereka boleh membaca, kita juga boleh membaca. Mereka faham bahasa, kita juga faham bahasa. Mereka diberi akal, begitu juga dengan kita. 

Hanya yang paling ketara beza ialah cara pemakaian mereka. Janggut, jubah dan serban. Itu hanyalah fesyen. Ia bukan pra-syarat untuk kita memasuki syurga.

Oleh yang demikian, siapakah sandaran kita untuk mendapat jawapan yang sebenar. Apakah autoriti terakhir yang kita orang Melayu Islam wajar terima dan seterusnya mempraktikkannya dalam kehidupan. 

Jika diberi pilihan, yang mana satukah akan kita pilih, kehidupan bersandarkan persangkaan atau kehidupan bersandarkan kebenaran?

Saya memilih kebenaran. Kebenaran hakiki pula, hanya boleh diperolehi dari Sang Maha Pencipta, iaitu Tuhan yang menjadikan sistem kehidupan kita. 

Sebagai seorang Islam kita wajib percaya bahawa Al-Quran adalah kalimah-kalimah Tuhan yang terpelihara dari penyelewangan. Manual kehidupan yang menjadi mukjizat sehingga ke hari Peraturan.

Tidak syak lagi, kita wajar kembali kepada Al-Quran untuk mendapat segala jawapan kepada kekosongan jiwa kita. Mari kita lihat apa yang ditulis di dalam Al-Quran mengenai ucapan "Salam".

Perkataan "Salam" adalah akar kata bahasa arab yang didirikan melalui abjad Sin-lam-mim (s-l-m, dalam abjad roman), daripada akar kata ini, terdapat sejumlah perkataan lain yang membentuk kepelbagaian dalam penggunaan mengikut struktur ayat. Walaubagaimanapun, yang paling penting adalah makna perkataan ini tetap kekal iaitu damai/aman/peace.

Di dalam al quran terdapat 157 patah perkataan yang menggunapakai akar kata s-l-m. Antaranya, Islam, Muslim, Muslimah, Salam, Salama, Salamun dan lain-lain.

Terdapat 4 patah perkataan dari akar kata s-l-m yang digunakan sebagai ucapan penghormatan di dalam al quran. Perkataan itu adalah "Salam", "Salama", "Salamun alaykum" dan "Salamun alaika". 

Yang menariknya, Al quran apabila merekodkan tentang ucapan ahli syurga ia menulis bahawa ucapan itu adalah "Salamun Alaykum".

 A046

"Dan di antara keduanya (penghuni syurga dan neraka) ada batas (hijab), dan di atas A'raaf itu ada orang-orang yang mengenal masing-masing dari dua golongan itu dengan tanda-tanda mereka. Dan mereka menyeru penduduk syurga: "Salamun alaykum". Mereka belum lagi memasukinya, sedang mereka ingin segera (memasukinya) AQ 7:46

Yang lebih menarik ialah tidak terdapat langsung perkataan "Assalamualaykum" di dalam mana-mana ayat al-quran. Inilah kebenarannya. 

Orang Melayu Islam telah lebih 500-600 tahun menggunapakai tradisi yang diajar oleh tuan-tuan arab meraka tanpa usul periksa.

Walaubagaimanapun, tidaklah menjadi kesalahan untuk kita mengucapkan apa jenis perkataan pun kepada rakan-rakan kita yang ingin kita hormati. Kita sebagai seorang yang menggelar diri sebagai Islam, yang bermakna damai/aman/peace perlu setiap masa membuktikan bahawa kita sentiasa ingin berdamai dengan sesiapun jua. 

Salam, Shalom, Shalom eleichem, Peace, Namo Buddhaya, Om Swasiastu, Om Shanti Shanti Om semua ini adalah tanda penghormatan. Tuhan tahu apa yang kita maksudkan.

Nabi terakhir yang diutus kepada seluruh umat manusia  adalah pembawa kebenaran. Nabi ini tidak pernah sama sekali membawa sesuatu yang diasaskan daripada persangkaan. 

A119 


"Sesungguhnya Kami telah mengutusmu (Muhammad) dengan kebenaran; sebagai pembawa berita gembira dan pemberi peringatan, dan kamu tidak akan diminta (dipertanggung jawabkan) tentang penghuni-penghuni neraka" AQ 2:119

Untuk itu, adalah menjadi misi blog ini untuk bercerita tentang kebenaran mengikut apa yang tertulis di dalam al quran kepada semua orang Melayu Islam. Sudah terlampau lama kita orang Melayu meninggalkan Al quran.

Nabi Mohd, semasa merekodkan Al Quran, juga telah merekodkan kalimah ini.

وَقَالَ الرَّسُولُ يَا رَبِّ إِنَّ قَوْمِي اتَّخَذُوا هَذَا الْقُرْآنَ مَهْجُورًا
 



"Berkatalah Rasul : 'Ya  Tuhanku, sesungguhnya kaumku menjadikan Al Quran ini sebagai sesuatu yang tidak diacuhkan" AQ 25:30

Allah mengingatkan kita bahawa kebanyakkan manusia sangat bencikan kebenaran. Inilah perkara yang menjadikan kebanyakkan kita tidak boleh menerima petunjuk yang tertulis di dalam Al Quran.

A070

" Atau (apakah patut) mereka berkata : 'Padanya (Muhammad) ada penyakit gila'. Sebenarnya dia telah membawa kebenaran kepada mereka, dan kebanyakkan mereka benci kepada kebenaran itu " AQ 23:70


Jika difikirkan, sudah terlalu ramai umat Melayu ibu, bapa, atok, opah, nenek kita yang memanggil diri mereka Islam, tetapi dari kecil hingga meninggal dunia tidak pernah tahu apakah isi kandungan Al Quran. 

Mereka sekadar mengikut apa yang diberitahu oleh nenek moyang yang hidup sebelum mereka. Mereka lupa nenek moyang ini bukan Tuhan.

Diharapkan dengan kebenaran yang cuba disampaikan oleh blog ini akan dapat membebaskan kita dari belenggu. Terutama belenggu yang diletakkan oleh ahli agama lebih dari 1000 tahun. 


Ashwed

Monday 23 March 2015

Sahabat

Hari ini saya menghubungi seorang sahabat lama melalui aplikasi Whatsapp. Saya kenal orang ini semenjak tahun 1989, semasa masih belajar di sebuah kolej di utara Semenanjung. Sebenarnya, pada mulanya saya cuma mahu bertanya tentang perniagaan sahaja. Namun, oleh kerana sahabat saya ini adalah anak seorang sasterawan maka perbualan kami akhirnya secara tidak sengaja berkait kepada tajuk seni. Atau, mungkin juga kerana sahabat saya ini sememangnya mencari rezeki melalui cabang ini. 

Kebetulan, bapa sahabat saya mengenali seorang sasterawan bernama M---m G-----i P.K., atau Pak M---m bagi orang-orang yang rapat dengan beliau. Perbualan ini menjadikan saya teringat kepada kenangan mendeklamasi puisi bersama Pak M---m di Pulau P-----r beberapa tahun yang sudah. Walaupun saya biasa membuat persembahan secara live di pesta konsert underground namun, mendeklamasi puisi adalah satu cabang seni yang saya tiada pengalaman khusus. Ditambah pula,  acara tersebut dihadiri oleh Menteri Besar dan Sultan P---k menyebabkan saya mengalami perasaan cemas dan gemuruh yang agak tinggi pada malam tersebut. Syukur ianya berjalan lancar. Syukur juga kerana saya diberi peluang berkongsi pentas dengan pemuisi-pemuisi handalan tanahair.

Keesokan harinya, satu kejadian melucukan terjadi semasa saya mahu berangkat pulang. Untuk ke jeti tempat feri berlepas saya terpaksa menaiki sebuah van. Sampai sahaja di jeti, ah pek pemandu van dengan segera menurunkan beg dan barang-barang yang saya bawa, mengambil upah dan dengan pantas bergegas dari situ. Saya terperanjat, apabila mendapati gitar tua kesayangan saya tiada bersama barang-barang yang telah diturunkan. Tanpa berfikir panjang, saya terus berlari mengejar van tersebut dengan gaya larian ala-ala penguin sambil menjerit dengan kuat. Perbuatan saya ini diperhatikan oleh orang-orang awam yang sedang minum di gerai-gerai berdekatan jeti.

Saya gagal mengejar van itu, hampa saya pun menuju kembali ke arah jeti. Sampai di jeti, teman yang mengiringi saya bertanya kenapa saya mengejar van tersebut. Saya beritahu gitar saya sudah hilang. Beliau tersengih sambil menunjuk ke arah gitar yang sedari tadi sudah diturunkan ah pek pemandu van kami. Saya cuba menahan ketawa, tetapi ianya muncul juga. Kepada teman saya itu. Selamat harijadi yang ke-37.

Kembali kepada sahabat lama saya tadi, usai perbualan, saya melihat sejenak ke paparan status whatsappnya. Ini saya lakukan kerana tertarik dengan gambar seorang sasterawan lama Indonesia yang menjadi gambar profile whatsapp beliau iaitu Chairil Anwar. Beliau meninggal dunia di usia yang terlalu muda, 27 tahun. Namun, legasi yang beliau tinggalkan sangat mendalam kepada semangat kenegaraan Indonesia. Status sahabat saya itu tertulis ungkapan keramat dari puisi Chairil Anwar bertajuk "DIPONEGORO"- Sekali berarti sudah itu mati. Mungkin ini adalah puisi Chairil Anwar kegemaran sahabat saya. 

Puisi Chairil Anwar kegemaran saya pula ialah Doa. Semoga roh Chairil Anwar ditempatkan bersama-sama dengan roh yang mukhlisin. Beliau sememangnya menjadi hero di hati ramai penduduk nusantara yang meminati seni halus termasuklah diri saya.


                                                                            DOA
                                        kepada pemeluk teguh

                                                 Tuhanku
                                          Dalam termangu
                                 Aku masih menyebut namaMu
                                       Biar susah sungguh
                                 mengingat Kau penuh seluruh

                                           cahyamu panas suci
                                   tinggal kerdip lilin di kelam sunyi

                                                Tuhanku

                                          aku hilang bentuk
                                                  remuk


                                                Tuhanku
                                            
                                  aku mengembara di negeri asing

                                                Tuhanku
                                      di pintuMu aku mengetuk
                                       aku tidak bisa berpaling
                                                           
                                       ( 13 November 1943  )


Ashwed 23-03-2015

Wednesday 18 March 2015

Pengenalan

Salam. Dunia semakin mengecil. Teknologi hari ini membolehkan setiap manusia berhubungkait dengan seorang manusia lain dengan mudah tanpa sempadan. Di mana-mana sahaja kita berada tak mengira masa, tempat dan keadaan kita sebenarnya diperhatikan oleh orang lain. Setiap gerak geri kita akan dinilai dan menjadi rekod testimoni kita di masa hadapan. Inilah cabaran manusia akhir zaman, setiap hari minda kita dicabar dengan berbagai informasi, ideologi dan fahaman. Untuk mempunyai falsafah hidup yang konsisten pada zaman ini memerlukan jiwa yang kuat dan kental. 

Perkataan pertama yang saya titip di muka surat pengenalan ini pun sudah cukup menjadi contoh. "Salam". Dalam trending terkini applikasi whatsapp, agaknya sudah berjuta kali manusia Islam di Malaysia mengepos pesanan dari ahli agama terkenal supaya umat Islam tidak menulis perkataan singkat "Salam". Menurut mereka perkataan ini perlu ditulis penuh yakni "Assalamualaykum" kerana jika disingkatkan maknanya akan berubah. Maka tanpa usul periksa manusia Islam di Malaysia pun mempercayainya, maklumlah, pesanan itu datang bukan dari calang-calang manusia. Sedangkan secara logik semua manusia di Malaysia tahu apa maksud perkataan dan penggunaan perkataan "Salam" di alam maya.  

Begitulah mudahnya teknologi mempengaruhi pemikiran manusia zaman sekarang. Saya percaya dalam sedikit masa lagi pemikiran manusia akan dibelenggu secara total. Ianya akan menjadi seperti struktur piramid di mana golongan yang berjaya berada di atas akan mempengaruhi pemikiran orang yang berada di bawah. Jika golongan di bawah tidak mahu mengikut maka mereka akan dipaksa menurut. Jika masih kekal rebel tindakan undang-undang akan di ambil terhadap mereka. Cetusan idea tidak dibenarkan sama sekali, manusia akan menjadi seperti seperti zombie, hidup tetapi tidak bernyawa. Pada kelajuan yang ada sekarang saya jangka dalam sedikit masa lagi manusia akan hilang deria paling asas yang diberikan Pencipta kita iaitu deria berfikir. Kita adalah manusia homo sapiens. Kita berbeza dari manusia pra-sejarah yang lain melalui 'divine intervention'. Iaitu Pencipta kita sendiri yang meniup asas-asas pengetahuan ke dalam setiap diri kita. Inilah yang membezakan kita dari manusia era Paleolithic dan Neolithic. Oleh yang demikian, saya mahu menggunakan sedikit ruang yang ada di alam maya ini untuk menyeru sesiapa sahaja yang berkesempatan membaca blog ini untuk melakukan pemberontakan minda. Berontak untuk Berotak.

Ashwed