Kedamaian Untuk Semua,
Pada hujung minggu yang lepas, saya kehilangan seorang lagi insan yang rapat di dalam hidup saya.
Beliau adalah bapa mertua saya sendiri yang menghembuskan nafas terakhir akibat serangan jantung.
Beliau mengalami beberapa siri serangan jantung sebelum akhirnya tewas pada hari ahad lepas.
Saya mengenali beliau lebih daripada 20 tahun iaitu daripada zaman saya masih belajar di Universiti sehingga saya beroleh segulung ijazah kemudiannya memasuki alam pekerjaan, seterusnya mengahwini anak beliau sehingga menimang cucu-cucu beliau.
Sepanjang saya mengenali insan ini saya dapat merasakan keikhlasan dirinya membesarkan anak-anak yang di amanahkan kepadanya.
Mungkin di mata anak-anak, bapa mereka mempunyai karakter yang tegas dan keras yang mungkin membuat diri mereka tidak berpuashati, namun, apabila anak-anak saya sendiri semakin membesar saya mula memahami perasaan seorang ayah.
Saya semakin memahami bahawa ada ketikanya satu keputusan perlu dibuat, keputusan itu tidak semestinya menggembirakan semua orang tetapi ia cukup untuk meneruskan sebuah kehidupan dengan tahap kerosakan yang paling minimal.
Mengebumikan sekujur tubuh yang menyimpan banyak kenangan bersama bukanlah suatu perkara mudah.
Ia membuka lagi satu ruang minda, mengukuhkan pendirian diri bahawa di sebalik semua kepercayaan kita sebagai seorang manusia, sesungguhnya kita bukanlah musuh kepada yang lain.
Sekarang mungkin ada di antara kita yang tidak berpuas hati dengan anggota keluarga sendiri atas pelbagai sebab dan isu. Mungkin sebab-sebab ini menyebabkan kita berkerat rotan dengan mereka.
Namun, ketahuilah apabila semuanya berakhir, apabila samada mereka atau diri kita sendiri di panggil pulang, yang tertinggal hanyalah secebis kenangan yang tidak berupaya membawa sedikit pun mudarat kepada kita.
Sebelum tertidur sejurus mengebumikan mereka yang pergi dahulu sebelum kita ini, pasti semua kenangan ini berputar dan percayalah kita tidak akan berupaya memutarkan kenangan terburuk bersama mereka walaupun kita menginginkannya kerana sifat manusia akan cuba membuang emosi negatif yang ada dalam dirinya.
Semakin berumur diri kita semakin kita menghargai segala kenangan ini. Inilah yang menjadi rekod buat diri kita, ia boleh diputarkan sepanjang zaman selagi hayat di kandung badan.
Kadang-kadang tanpa kita sedari kenangan ini bisa mencuit diri sehingga kita dapati diri kita tersenyum sewaktu mengelamun memandu kereta menuju destinasi.
Kepada bapa mertua saya, saya mendoakan supaya beliau termasuk di dalam mereka yang mukhlasin.
“Iblis berkata: "Ya Tuhanku, oleh sebab Engkau telah memutuskan bahawa aku sesat, pasti aku akan menjadikan mereka memandang baik (perbuatan buruk) di muka bumi, dan pasti aku akan menyesatkan mereka semuanya, kecuali hamba-hamba Engkau yang ikhlas (mukhlasina) di antara mereka" AQ 15:39-40
“Iblis menjawab: "Demi kekuasaan Engkau, aku akan menyesatkan mereka semuanya, kecuali hamba-hamba-Mu yang ikhlas (mukhlasina) di antara mereka” AQ 38:82-83
Segala budi, nasihat dan pengalaman yang tercurah tidaklah dapat saya membalasnya. Terima kasih untuk sebuah kenangan.
Pulau Pandan Jauh Ke Tengah
Di balik Pulau Angsa Dua
Hancur Badan Di Kandung Tanah
Budi Yang Baik Dikenang Jua
Ashwed