Tuesday, 22 May 2018

Siri Ramadhan : In The Business Of Bullshit !!!

Kedamaian Buat Semua,

This video probably sum up what most of us think about the state of our country or maybe the state of the world affairs.

Thank you for watching.

Please also check out my previous article on the subject https://ashwed1973.blogspot.co.il/2016/05/in-business-of-marketing.html

https://ashwed1973.blogspot.co.il/2016/05/kegilaan.html

 
 Ashwed
 

Thursday, 17 May 2018

Siri Ramadhan : Selamat Datang Ke Era Malaysia Baru

Kedamaian Buat Semua,

Sebaik sahaja mengetahui keputusan pilihanraya PRU-14, saya menerima kiriman grafik dari rakan-rakan. 

Di antara mesej yang ingin cuba disampaikan ialah mengenai permulaan era Malaysia Baru.

Kepada rakyat yang meyakini perjuangan pakatan pembangkang (kini kerajaan) pastilah kejayaan ini wajar diraikan sepuas-puasnya. 

Sesuatu yang menjadi kecemburuan masyarakat dunia yang lain ialah betapa tenangnya rakyat Malaysia menghadapi transisi ini. 

Pelbagai bangsa yang ada di Malaysia seakan-akan tidak mahu terlalu bercakap mengenainya. Mungkin masing-masing mengerti sensitiviti yang datang bersama sentimen ini.

Saya melihat semua ini dari sudut lain yang lebih neutral. 

Semasa pilihanraya tempohari saya mengundi wakil rakyat yang memberikan perkhidmatan yang cemerlang di kawasan saya. Pilihan ini jelas kerana saya sendiri merasai kesan bantuan wakil rakyat di tempat saya itu.

Apabila mengetahui beliau kalah saya dapat merasakan apakah puncanya.

Ia adalah kerana mainan propaganda persepsi di antara parti politik yang terlibat.

Perkara ini dibuktikan apabila saya sendiri terdengar dapatan yang dibawa oleh beberapa orang pengundi luar yang kembali ke kampung mereka hanya sekadar mahu membuang undi.

Para pengundi luar ini tidak sedar bahawa dengan membuang undi sebegini, kehidupan mereka tidaklah banyak berubah tetapi masyarakat setempat yang sering dibantu oleh wakil mereka yang lama kini sudah kehilangan tempat untuk mengadu.

Ini adalah kerana wakil rakyat baru yang tinggal sekampung dengan kami selama hari ini belum pernah tampil membela nasib masyarakat setempat melainkan hanya berminat dengan isu-isu nasional.

Saudara dan saudari,

Di era Malaysia Baru ini saya melihat beberapa perkara yang baik serta beberapa perkara yang buruk.

Di antara yang baik ialah ketua pentadbiran yang baru ini mempunyai pandangan yang berbeza mengenai pentadbiran agama Islam. Beliau meyakini bahawa agama Islam perlu ditakrif semula berdasarkan Al Quran dan hadis sahih.
 
http://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/2018/05/17/pentadbiran-agama-islam-bakal-berubah-kata-dr-m/

Yang keduanya, sebuah badan khas untuk merangka apa yang dikenali sebagai Reformasi Institusi telah tertubuh. Badan tersebut adalah sangat sesuai di dalam keadaan keseluruhan Kerajaan Malaysia dihimpit persepsi rasuah.

Yang ketiganya, ketua pentadbiran yang baru ternampak jelas berkerja bermati-matian di dalam jangka waktu yang pendek. Ini menjelaskan betapa kuatnya kesungguhan yang mahu dicapai oleh beliau.

Kesungguhan beliau membuat kerja pada pemerhatian saya sudah mencapai tahap legenda. Semua orang tahu beliaulah yang memperkenalkan "Punch Card".

Sekarang sedang tular gambar beliau dengan supplement bernama Berocca. Khabarnya orang ramai berlumba-lumba membeli Berocca dengan harapan mencapai tahap stamina seperti beliau sehinggakan kebanyakkan farmasi kehabisan stok. 

Namun, disebalik semua itu, saya merasa sedikit gusar mengenai perkembangan kenyataan pertama yang dikeluarkan oleh beliau iaitu "we are not seeking revenge, we just want to implement rule of law".

Sudah semestinya ungkapan ini mempunyai makna yang sangat besar.

Melihat kepada perkembangan mutakhir, di mana segalanya seperti berjalan dengan pantas, saya secara peribadi merasa resah.

Ini adalah kerana kelihatan ianya seperti diasaskan oleh dendam. 

Saya merasa resah bukan kerana sayangnya saya kepada sosok bekas pentadbir lama. Tetapi, saya merasa begitu kerana beliau juga pastinya mempunyai pengaruh yang tersendiri di dalam sebuah parti terbesar di Malaysia ini.

Perasaan ahli-ahli parti ini seharusnya dijaga , kerana kita tidak mampu untuk mempunyai situasi tegang di negara ini yang akan merencatkan pembangunan Malaysia Baru.

Seterusnya, saya juga merasa gusar dengan ketiadaan desakan dari mana-mana NGO atau individu masyarakat sivil berkenaan dengan penubuhan apa yang dikenali sebagai "Council of Elders". 

Saya mendapati mereka ini dahulunya begitu aktif membuat desakan kepada kerajaan lama demi mewujudkan sebuah Malaysia yang bertamadun, tetapi kini suara mereka seolah-olah sudah disenyapkan. Sunyi yang menggerunkan.

Kita rakyat Malaysia berada di dalam keadaan kabur berkenaan dengan punca kekuasaan "Council Of Elders". Undang-Undang apakah yang menubuhkannya sehingga ia terlihat mempunyai kuasa melihat semua dokumen agensi-agensi kerajaan ?

Adakah perkara ini mengikut Perlembagaan Malaysia ? 

Ketiadaan barisan kabinet juga adalah sesuatu yang janggal. Hari ini sudah genap seminggu Malaysia memilih, namun kita masih ketiadaan kabinet yang memungkinkan seribu satu persoalan undang-undang.

Barisan kabinet sangat penting kerana ia adalah cabang eksekutif mengikut acuan demokrasi yang kita amalkan. Di sinilah segala dasar negara digubal. Ketiadaannya mengakibat kuasa dipusatkan kepada seseorang, keadaan ini bukanlah sesuatu yang elok dan sesuai untuk kita sebagai rakyat.

Rakyat Malaysia juga tidak pasti, apakah kesemua barisan kabinet dan kementerian perlu memberi laporan kepada kounsil yang sudah ditubuhkan ini ? Jika sekira ianya ya, maka Malaysia sedang merenung tepat ke arah satu krisis demokrasi.

Sebagai seorang rakyat yang mahukan kedamaian dan perubahan yang positif, saya berharap agar ini semua hanyalah keresahan hati saya seorang sahaja.

Semoga ianya tidak berasas.

Ashwed


Saturday, 12 May 2018

Stability

Kedamaian Buat Semua,

Seperti yang semua orang sudah maklum, rakyat negara ini sudah memilih. 

Keputusan yang di luar jangkaan oleh penganilisis politik samada di dalam atau di luar negara.

Kita rakyat jelata lagilah terkejut. Walaubagaimanapun, keputusan pilihanraya adalah pilihan rakyat. Ia adalah wajah demokrasi.

Memandangkan negara ini telah ditadbir sebegitu lama oleh satu parti, maka sudah tentulah peralihan kuasa bukanlah suatu hal yang mudah.

Menukar pemimpin politik adalah mudah. Kita hanya perlu membuang undi.

Namun, perkara yang lebih sukar dilakukan ialah menukar ideologi yang sudah diterap berpuluh tahun di dalam pentadbiran negara ini.

Oleh yang demikian, proses semulajadi sebagai seorang ahli politik sedang berlangsung di hadapan mata kita. 

Lompat melompat parti bagi menampung peralihan ideologi perjuangan ini.

Aksi drama ini begitu menggetar jiwa dan perasaan kita, seolah-olah sedang menyaksikan sebuah filem aksi hollywood.

Adakah ada lagi kejutan selepas ini, kita tunggu dan saksikan.

Apa yang pasti kerajaan negara ini tidak boleh dibiarkan tanpa berpenghujung kerana ia perlu menjalankan tanggungjawabnya kepada kita rakyat yang memilih mereka.

Meneliti nama-nama menteri kabinet kanan yang baru diumumkan menjadikan saya keliru dengan bawaan ideologi politik dan agama mereka yang sangat berbeza.

Mampukah perkara ini membawa 'STABILITY' kepada kita.

Rupanya perkataan ini sangat membawa makna yang sangat besar barulah saya sedar.

Ashwed


Tuesday, 8 May 2018

Pemimpin

Kedamaian Buat Semua,

Besok rakyat Malaysia akan membuang undi bagi memilih team yang paling layak mentadbir negara ini.

Diam tak diam, kini, sudah 14 kali rakyat Malaysia berbuat begini dengan mengambil tempoh waktu lebih kurang 60 tahun.

Kita boleh dikatakan sudah menjangkau usia warga emas.  Kalau pergi makan di hotel sudah boleh dapat separuh harga rasanya.

Oleh yang demikian, ia adalah penting untuk kita kaji samada pola pemikiran rakyat Malaysia sudah matang di dalam membuat keputusan di dalam kerangka politik secara amnya.

Demokrasi Perwakilan

Kebanyakkan rakyat Malaysia berpendapat bahawa pilihanraya adalah alat untuk memilih pemimpin.

Saya berpendapat ini adalah kesilapan utama yang telah kita lakukan kerana perkataan pemimpin itu sendiri mempunyai makna yang besar dan luas.

Ramai yang mendefinisi perkataan ini sebagai seorang yang kita letakkan harapan sebagai seorang individu, masyarakat dan negara bangsanya bagi mencarta halatuju dan nasib dirinya.

Kita tidak sedar bahawa sistem pilihanraya yang sedang kita praktis kini hanyalah alat untuk kita memilih wakil kepada masyarakat setempat kita sahaja. Kita tidak sekali-kali memilih pemimpin.

Secara ringkasnya amalan demokrasi yang sedang negara ini praktis dikenali sebagai "representatives democracy".

Masih terdapat amalan-amalan demokrasi jenis lain yang masyarakat kita masih belum cuba seperti "pure/direct democracy", "hybrid democracy", "liberal democracy" dll, sekadar menyebut beberapa contoh.

Di dalam amalan "representative democracy" seperti yang sedang kita amalkan sekarang. Apa yang terjadi ialah kita memilih wakil bagi mewakili masyarakat setempat. 

Oleh kerana Malaysia adalah persekutuan beberapa negeri kecil. Maka kita perlu memilih wakil dari beberapa Parti Politik bagi mewakili masyarakat kita di peringkat Kerajaan Pusat dan Kerajaan Negeri.

Pemilihan ini mencipta suatu pertandingan perebutan kuasa di mana peraturan pertama dan utama yang sentiasa perlu kita ingat di dalam pertandingan politik ini ialah TIADA PERATURAN DIKENAKAN.

Ya. Tiada peraturan yang dapat mengawal orang-orang politik ini. Jika ada pun ianya hanyalah keluar sebagai pemanis mulut sahaja. 

Perkataan suci seperti perjuangan, integriti, amanah senantiasa meniti dibibir mereka tetapi seringkali ia hanyalah digunakan untuk memuja diri sendiri dan menjatuhkan kredibiliti lawan politiknya sahaja.

Penipuan, fakta separuh benar, emosi, propaganda fitnah dan yang paling teruk mengguna agama adalah metod parti-parti politik ini mencipta persepsi lalu menguasai pengaruh di dalam minda para pengundi dan pemuja mereka.

Kita sebagai pengundi pula terjerumus ke dalam permainan politik kepartian sebegini sehingga lupa kepada satu perkara yang sepatutnya menjadi syarat utama congakan pilihan kita iaitu PERKHIDMATAN.

Ya, yang sepatutnya menjadi congakan pertama dan pedoman di dalam memilih wakil ialah perkhidmatan yang mereka ini berikan sebagai wakil masyarakat kepada kita.

Congakan yang kedua ialah apa yang mereka ini boleh tawarkan sebagai wakil rakyat dari segi idea dan pembangunan di kawasan setempat.

Dan yang ketiga, pelan jangka panjang mereka untuk kita sebagai sebuah masyarakat.

Permainan Politik

Namun, seperti yang kita sedia  maklum. Rakyat menjadi keliru dengan permainan kotor ahli politik yang bertanding.

Rakyat terpisah akibat pola sokongan politik. Selain daripada para pemain politik, konco-konco mereka juga bersekongkol memecah-belahkan masyarakat kita dengan propaganda yang tidak pernah berhenti 24/7 melalui tentera siber mereka

Bagaimanakah mampu kita memanggil orang-orang ini sebagai pemimpin ?

Apakah pantas seorang pemimpin mengadu domba memecahbelahkan masyarakat yang terdiri dari dirinya sendiri

Oleh itu, siapakah sebenarnya pemimpin kita ? Untuk mengenali pemimpin sebenar, kita perlu kembali kepada perkara asas di dalam hidup kita.

Kesimpulan

Cuba pejamkan mata dan berfikir sejenak. Sejurus selepas kita boleh mengingati peristiwa apakah perkara asas yang kita ketahui.

Adakah kita secara semulajadi tahu arah utara, selatan, timur dan barat ? Adakah kita secara semulajadi tahu di mana hadapan, belakang, kiri dan kanan ?

Tidak sekali-kali. Semua perkara itu kita ketahui melalui pembelajaran. Ia adalah suatu terma rujukan sebagai panduan hidup kita sahaja.

Perkara yang kita benar-benar tahu secara semulajadi sebaik sahaja kita mengingat peristiwa adalah apa yang berlaku di dalam diri kita dan apa yang berlaku di luar diri kita.

Apabila kita melihat ibu yang melahirkan kita atau sesiapa sahaja yang memelihara kita (di luar diri), secara semulajadi perasaan sayang muncul di dalam diri kita.  

Kita belajar berperasaan. Kadang-kadang kawan baik kita sendiri menerima sesuatu yang baik (di luar diri) lalu timbul perasaan cemburu di dalam diri kita. 

Walaupun cuba kita selindung namun kawan-kawan kita yang lain akan tetap perasan. 

Untuk menjaga keharmonian persahabatan kita pun belajar cara menyelindungkan perasaan kita itu. 

Kita belajar cara-cara pengucapan yang betul mengikut tradisi masyarakat kita apabila melihat sahabat kita menerima perkara yang baik.

Ya, kitalah pemimpin kepada diri kita. Tiada siapa yang dapat memimpin diri kita melainkan kita sendiri.

Oleh itu, jika kita mahu berjaya, kita tidak perlu Tun M atau Najib Razak untuk memberitahu dan memimpin kita ke arah kejayaan.

Kerana diri kitalah yang akan memastikan diri kita bangun awal setiap pagi, menepati masa dan sentiasa membuka ruang untuk belajar.

Jika kita gagal, tiada siapa yang boleh memujuk diri kita supaya bangun dan teruskan usaha melainkan kata-kata nasihat dari diri kita sendiri sahaja.

Kitalah pakar motivasi yang terbaik kepada diri sendiri.

Selamat mengundi. Undilah dengan bijak.



ÙˆَÙƒَذَّبَ بِÙ‡ِÛ¦ Ù‚َÙˆْÙ…ُÙƒَ ÙˆَÙ‡ُÙˆَ ٱلْØ­َÙ‚ُّ ۚ Ù‚ُÙ„ Ù„َّسْتُ عَÙ„َÙŠْÙƒُÙ… بِÙˆَÙƒِيلٍ (٦٦)
But your people have denied it while it is the truth. Say, "I am not over you a manager."
Dan kaum engkau (wahai Muhammad) mendustakannya (Al-Quran), padahal ia adalah benar. Katakanlah: "Aku bukanlah orang yang ditugaskan menjaga urusan kamu, (aku hanya seorang Rasul yang menyampaikan perintah-perintah Allah kepada kamu)".
- See more at: http://quran.islamicevents.sg/6/59/66#sthash.3f5a49tZ.dpuf
ÙˆَÙƒَذَّبَ بِÙ‡ِÛ¦ Ù‚َÙˆْÙ…ُÙƒَ ÙˆَÙ‡ُÙˆَ ٱلْØ­َÙ‚ُّ ۚ Ù‚ُÙ„ Ù„َّسْتُ عَÙ„َÙŠْÙƒُÙ… بِÙˆَÙƒِيلٍ (٦٦)
But your people have denied it while it is the truth. Say, "I am not over you a manager."
Dan kaum engkau (wahai Muhammad) mendustakannya (Al-Quran), padahal ia adalah benar. Katakanlah: "Aku bukanlah orang yang ditugaskan menjaga urusan kamu, (aku hanya seorang Rasul yang menyampaikan perintah-perintah Allah kepada kamu)".
- See more at: http://quran.islamicevents.sg/6/59/66#sthash.3f5a49tZ.dpuf
A066 

"Dan kaummu mendustakannya, padahal ia adalah benar. Katakanlah: "Aku bukanlah orang yang ditugaskan menjaga urusan kamu (bi-wakil-lin)" AQ 6:66
Ashwed 


 Image result for malaysia mengundi pru 14
 
  

 



Sunday, 22 April 2018

Kebahagiaan Yang Abadi

Kedamaian Buat Semua,

Terlebih dahulu saya ingin memohon maaf kepada para pembaca blog ini kerana sudah lama tidak bersiaran.

Ramai yang menghantar e-mel secara peribadi kepada saya. Selain dari bertanya khabar, ada juga yang bertanya mengapa saya sudah jarang menulis.

Sejujurnya, seperti yang telah saya beritahu di beberapa artikel yang lampau, saya sebenarnya sedang berada di fasa pertama pembukaan sebuah restoran di bandar tempat saya tinggal. Masa sememangnya menjadi suatu perkara yang sangat mewah kepada saya di kala ini.

Yang keduanya, setelah menulis hampir 200 artikel, saya merasakan seperti sudah meluahkan hampir kesemua persepsi saya mengenai agama. Terutamanya mengenai praktis agama di tanahair kita.

Ada sedikit sahaja yang masih saya simpan sebagai pendapat peribadi.

Saya mempunyai pilihan untuk menulis mengenai isu-isu semasa, namun jika saya melakukannya saya merasakan diri ini sama sahaja seperti subjek yang sedang saya komen itu. Pandai komen mengenai orang lain tetapi diri sendiri pun tidak sempurna.


Yang ketiganya, saya sedang cuba menyempurnakan sebuah buku mengenai falsafah kehidupan seperti yang terkandung di dalam Al Quran. Kerangka asas serta beberapa bab buku ini sudah pun tersedia.

Harapan saya ialah agar manuskrip awal buku ini dapat disiapkan sebelum tahun 2018 melabuhkan tirainya.

Kebahagiaan



Image result for the purpose of life is to be happy 

Banyak kebijaksanaan yang dikeluarkan oleh ahli-ahli fikir tamadun dunia berkisar mengenai perkara ini.

Sedar tidak sedar, kebanyakkan perkara yang kita telah, sedang dan akan lakukan di dunia ini adalah berkisar mengenai pencarian kebahagiaan.

Ada manusia merasakan kebahagiaan bagi dirinya adalah dengan memiliki seberapa banyak harta yang mampu. Untuk itu, beliau menghabiskan sebahagian besar dari hidupnya menumpu kepada pencarian harta. 

Apa sahaja yang terlintas di fikirannya adalah berkisar tentang bagaimana mahu menambah harta yang beliau miliki. 

Ada pula merasa bahagia dengan berhabis wang dan masa untuk hobi yang diminatinya seperti bermain golf, menunggang basikal, menunggang motor dll. Kadang-kadang sampai terlupa makan kerana terlalu khusyuk melakukan perkara yang digemari.

Selain dari itu, ada juga manusia merasakan kebahagiaan bagi dirinya adalah dengan mencari agama. 

Kesedaran ini berkemungkinan muncul apabila mereka merasa sedikit kepayahan di dalam proses kehidupan mereka seperti masalah rumahtangga, masalah kewangan dan lain-lain.

Ramai yang menjadi malas berfikir apabila cenderung meminati agama. Tambahan bila ia digalakkan untuk berbuat demikian oleh para pemuka agama.
yang mereka sanjungi. 

Pengorbanan

Kebahagiaan jarang datang tanpa pengorbanan, maka di sinilah ramai yang mengambil kesempatan, kesan dari pencarian kebahagiaan orang lain. 

Apabila ada yang mengambil kesempatan, maka sudah tentulah ada yang akan menjadi korban.

Demi mencari kebahagiaan ramai yang merelakan diri mereka menjadi mangsa. Kadang-kadang sedar tetapi buat-buat tidak sedar. Demi untuk kebahagiaan plastik yang sedang mereka kejar.

Begitulah resam kehidupan manusia. Berlumba-lumba mengejar bahagia.

Bagi diri saya kebahagiaan tidak perlu dikejar. Ia adalah sesuatu yang terbit dari dalam diri sendiri.

Ini adalah kerana kita hanya boleh mengawal apa yang ada di dalam diri kita sendiri sahaja. Setiap perasaan yang kita rasa adalah diakibatkan oleh diri kita sendiri bukan orang lain.

Jika kita marah ia adalah disebabkan kita yang membuat keputusan untuk marah. Orang lain hanya boleh membakar perasaan itu tetapi keputusan untuk marah tetap berada di tangan kita.

Begitu juga dengan perasaan-perasaan lain.

Bagi saya rahasia untuk hidup gembira ialah dengan menikmati detik.

Mungkin kita tidak perasan tetapi manusia jarang mengingati tarikh. Kita hanya mengingati detik.

Maka, apalah yang boleh kita jadikan memori jika kita tidak menikmati setiap detik semasa ianya sedang berlangsung ?

Untuk menikmati detik kita juga perlu bebas. Bukan sahaja dari  perbuatan tetapi yang paling penting ialah pemikiran.

Bagaimanakah kita mahu menikmati detik-detik bahagia jika di fikiran kita terlalu banyak peraturan halimunan yang perlu di jaga ?  

Sesungguhnya, nikmatilah kehidupan di dunia ini sepuas-puasnya kerana begitulah sepatutnya yang kita lakukan.

Apabila kita mula menikmatinya baharulah kita sedar bahawa diri kita selama ini masih belum hidup. 

Kita hanya bernyawa dengan nyawa yang diatur oleh dogma yang dicipta oleh orang lain.

Ashwed  

Sunday, 1 April 2018

Politik : The Winnable Candidate

Kedamaian Buat Semua,

Musim pilihanraya semakin menghampiri tanah air kita. 

Di kala artikel ini ditulis, ahli-ahli politik di Malaysia sedang merancang strategi bagi memenangkan parti masing-masing.

Sejujurnya, saya mempunyai minat mendalam untuk merubah cara fikir masyarakat kepada bentuk yang positif. Minat ini sebenarnya paling sesuai diinterpretasi di pentas politik.

Namun, saya merasa ralat dengan politik ala Malaysia. 

Ini adalah kerana setelah hampir 45 tahun hidup di sini, saya merasakan kita gagal mengambil peluang keemasan untuk benar-benar membuka potensi masyarakat majmuk yang kita miliki.

Bangsa yang menghuni negara ini semakin hari semakin terpisah dari rakannya yang berbangsa lain. 

Ini menjadikan kita tidak boleh dikenali sebagai satu masyarakat yang besar melainkan hanya berpura-pura menghormati di antara satu sama lain.

Segala-galanya bermula dari pendidikan.

Kita tidak lagi boleh berpura-pura bahawa dengan membenarkan sistem pendidikan yang dicarik-carik seumpama sebuah puzzle, kita boleh mencipta kejayaan.

Adakah kita masih berpendapat bahawa dengan berbuat demikian anak-anak kita akhirnya dapat menyempurnakan sebuah masterpiece lalu membuat intergrasi sesama sendiri ?

Dari kecil kita memisahkan mereka, apabila sudah dewasa kita menyeru mereka supaya bersatu. Siapakah sebenarnya yang sedang kita tipu ?

Anak-anak saya pergi ke sekolah berdekatan dengan rumah kerana ia memudahkan pengangkutan. Saya dapati tiada langsung anak-anak dari rakan-rakan saya yang berbangsa cina menghantar anak mereka ke sekolah itu.

Manakala, mereka yang berbangsa India pula boleh dibilang dengan jari.

Ini diburukkan lagi dengan cara pentadbiran sekolah yang tidak dapat membezakan di antara agama dengan sistem pendidikan. Mungkin ini sebab utama bangsa lain kurang berminat lagi menghantar anak-anak mereka ke sekolah kebangsaan (sepatutnya kenegaraan).

Ditambah pula dengan kehadiran sekolah jenis kebangsaan yang didirikan berdekatan. Menjadikan peratusan untuk anak-anak kita berasimilisasi sangatlah kecil.

Tidakkah kita boleh berhenti berpolitik apabila berbincang mengenai sistem pendidikan ? Di dalam soal ini saya rasa semua bangsa di sini perlu membuka hati seluas-luasnya.

Kepada rakan-rakan yang berbangsa cina dan india, cuba tanya kepada diri sendiri sampai bilakah agaknya masih mahu mempertahankan sistem pendidikan terpisah sebegini.

Sampai bilakah mahu berlagak seperti orang asing di negara sendiri ?

Orang-orang Melayu yang ekstrim agama mengambil kesempatan akibat keenganan diri anda membuat asimilisasi. Lalu mereka mengguna alasan ini untuk memberi akar kepada fahaman agama cara mereka.

POLI-TAIK

Situasi ini menjadi semakin keliru apabila ahli politik di sini mempraktik communal politic hanya untuk memenangi pertandingan pilihanraya.

Bagi saya cara yang diamalkan oleh para pemain politik di Malaysia bukanlah amalan demokrasi yang terpuji.

Masing-masing menunding jari bahawa ahli politik seteru mereka mengamalkan politik perpecahan sedangkan diri mereka pun sama sahaja terkeliru.

Semua ini dapat dibuktikan dengan jelas melalui calon-calon parti politik apabila tiba musim pilihanraya. 

Jika mereka tidak mengamal communal politic maka mengapakah mereka meletak calon berdasarkan peratusan bangsa di kawasan tersebut ?

Sejak akhir-akhir ini pula formula yang digunakan ialah Winnable Candidate. Bukan sahaja kita telah dipisahkan oleh bangsa. Kini kita dipisahkan pula oleh bidang pekerjaan yang kita ceburi, sebagai contoh jika di kawasan tersebut dipenuhi askar maka Winnable Candidate perlu datang dari kalangan askar. 

Calon bukan lagi dipandang dari tahap pemahaman seseorang mengenai sistem demokrasi atau daya kepimpinan yang mereka miliki atau ketinggian idea baru yang boleh dibawanya, tetapi sekadar kepada keupayaan mereka untuk menang.

Oleh yang demikian, rakyat diperbodohkan untuk memilih di antara mereka yang korup, mereka yang sudah berusia lanjut, mereka yang mengamal seks luar tabie, seks dengan isteri orang, mereka yang menyorok dicelah ketiak bapa, mereka yang mengamal kronisma dan nepotisma dan mereka yang perasan bagus.

Adakah setakat itu sahaja pilihan yang rakyat ada ? Tiada orang lain lagikah ?

Ayuh, rakyat Malaysia bangunlah. Cukuplah kita diperbodohkan oleh ahli politik.

Kita perlu berkata dengan tegas bahawa di antara 222 ahli parlimen yang mereka mahu kita pilih dan lebih dari 30 juta rakyat Malaysia yang lain, kami percaya pemimpin yang lebih sesuai berkemungkinan besar datang dari kalangan kami rakyat biasa yang berjumlah 30 juta orang ini.

Cukuplah kita memberi ruang kepada Representative Democracy. Mungkin sudah masanya kita berubah kepada Pure Democracy atau sistem demokrasi lain yang lebih sesuai dengan aspirasi rakyat yang dahagakan pemimpin yang berintegriti tinggi.

Politik Kepartian ini hanya memecahbelahkan kita.

Ashwed