Wednesday, 10 February 2016

Politik

Saya beberapa kali menerima komentar yang meminta kebenaran untuk mengguna blog ini sebagai platform untuk menyampaikan pesanan politik.

Suka saya terangkan di sini bahawa blog ini berbentuk apolitical. Membawa maksud ianya tidak akan membawa aspirasi mana-mana Parti Politik di Malaysia.

Sebabnya adalah mudah bukankah Al Quran sudah berpesan supaya jangan kita bergolongan (syi-ya-an).

Politik adalah mengenai memenangi kuasa kerana dengan kuasa datangnya pengaruh, harta dan pelbagai lagi kemudahan.

Secara mudahnya, politik adalah mengenai suatu pihak yang mahu merebut kuasa dari satu pihak lain yang sedang memegang kuasa.

Umumnya di Malaysia, apabila berbicara tentang politik sebenarnya kita bukan berbicara mengenai daya intelek minda dan sistem yang mentadbir kita.

Di kebanyakkan masa, apabila kita berbicara mengenai politik, ia hanyalah sekadar gossip, mengata orang lain dan menjaga tepi kain orang, termasuk isteri dan keluarga orang lain.

Kita perlu sedar akan betapa buruknya perbuatan ini. 


Secara peribadi, saya berpendapat perbuatan bergossip langsung tidak membina apa-apa skil yang boleh membantu kita di kemudian hari.

Status Quo


Politik Malaysia menjadi haru-biru kerana kita tidak membangunkan sistem kita sendiri. Sistem politik yang berdasarkan Al Quran.

Kita hanya meniru dan menggunapakai sistem orang lain (ini termasuk sistem dari tamadun arab).

Sistem orang lain sudah tentulah didirikan berdasarkan budaya, tamadun, tradisi dan persekitaran mereka.

Sedangkan kita mempunyai persekitaran yang sangat berbeza. Malah makanan, rambut dan kulit kita juga berbeza.

Sistem politik kita sekarang menggunapakai sistem Westminster yang dikonseptualis di Britain.

Melalui sistem ini kita memilih seorang wakil untuk bercakap mewakili kawasan yang kita diami di sebuah Dewan samada Persekutuan atau Negeri.

Secara asasnya, ini dipanggil demokrasi.

Menurut Al Quran kita perlu memilih seorang pemimpin di kalangan kita sendiri. Bererti demokrasi adalah satu sistem yang di dirikan berdasarkan Al Quran.


A059


"Wahai orang-orang yang percaya, taatlah kepada Allah, dan taatlah kepada Rasul, dan orang-orang yang dalam urusan antara kamu. Jika kamu berbalah dalam sesuatu, kembalikanlah ia kepada Allah dan Rasul jika kamu percayai Allah dan Hari Akhir; itu lebih baik, dan kesudahan yang lebih baik" AQ 4:59

Lantas di manakah kesalahan yang kita lakukan secara berulang-ulang sehinggakan sistem ini menjadi sangat kelam-kabut sehinggakan kita merasa seperti mahu lemas dengan corak para pemainnya memainkan permainanan mereka.

Ia terletak kepada sistem KEPARTIAN. Kita memilih Parti bukan individu atau "orang-orang yang dalam urusan antara kamu" seperti AQ 4:59.

Ertinya kita mengamalkan syi-ya-an atau bergolongan.

Tidakkah kita sedar bahawa Tuhan melarang kita bergolongan (syi-ya-an) malah memberitahu kita bahawa perbuatan bergolongan sama sahaja dengan perbuatan mempersekutukan Tuhan ;


 A031

"Dengan kembali bertaubat kepada-Nya dan bertakwalah kepada-Nya serta dirikanlah iltizam/keazaman (wa-aqeemus-solla) dan janganlah kamu termasuk orang-orang yang mempersekutukan Allah" AQ 30:31

A032

"iaitu orang-orang yang memecah-belah aturan hidup (deenahum) mereka dan mereka menjadi beberapa golongan (syi-yaa-an). Tiap-tiap golongan merasa bangga dengan apa yang ada pada golongan mereka" AQ 30:32

Apabila kita memilih Parti, kita secara dasarnya memilih lock-stock and barrel

Kita terpaksa memilih kesemua elemen yang di bawa oleh Parti itu tidak kira samada ianya baik atau buruk, busuk atau wangi juga kiri atau kanan dan laba untung atau laba rugi.

Bagaimanakah kita mahu tahu yang mana lebih berat timbanganya ? Untung atau rugi, baik atau buruk ?

Di sinilah para pemain Parti itu berperang memenangi persepsi para pengundi mereka.

Ia adalah mainan propaganda di mana pihak yang mempunyai skil, sumber dan pengaruh yang lebih dominan akan memenangi peperangan persepsi ini.

Di sini teori Machiavelli iaitu matlamat menghalalkan cara digunapakai oleh setiap parti politik demi untuk memenangi persepsi awam.

Jika anda merasakan parti politik yang sedang anda sokong kini tidak melakukannya iaitu menggunapakai teori Machiavelli bermakna anda sedang bermimpi.

Beritahu saya, adakah anda rasa para pemain politik ini sejujurnya mahu memperjuangkan nasib anda ?

Nasib anda pada mereka hanyalah objektif sampingan sahaja. 

Matlamat yang sebenar ialah untuk mereka memenangi kuasa. Ianya sangat terang umpama lampu limpah stadium bola.

Di saat ini, negara kita menuju kepada sistem dwi-parti seperti di Amerika Syarikat.

Perkara ini akan menambah lagi kecelaruan kita, kerana sistem satu pihak buat kerja sementara sebelah pihak lagi menjatuhkan semua kerja itu tidak kira samada ianya betul, murni atau salah tidak akan membawa kita ke mana-mana.

Bukankah kita semua adalah rakyat yang tinggal di dalam sebuah negara yang sama ? Kita sepatutnya berkerjasama untuk satu matlamat, bukan berbalah sesama kita.

Mengapa pula kita perlu mengatakan usaha murni orang lain adalah salah ? Di manakah semangat patriotisma kita ?

Inilah yang telah dilakukan oleh parti-parti yang bermusuh di Malaysia, mereka hanya mentohmah, mengadu domba dan membuat komplen negatif ke atas segala usaha murni yang dilakukan oleh parti lawan.

Secara peribadi saya sedikit pun tidak merasakan perbuatan sebegini boleh membawa apa-apa manfaat atau perubahan kepada negara kita.

Bagi saya pihak-pihak ini lebih menambahkan mudarat dengan menabur benih dan semangat kekitaan atau assobiyah yang ekstrim sehingga merasakan para pemimpin Parti mereka maksum dan dijanjikan "syurga".

Yang kelakar sebaik sahaja ahli politik ini keluar dari Parti mereka dan menganggotai Parti lain secara otomatik dia dikecam dan segala yang dilakukannya dahulu di bekas Partinya menjadi dosa besar.


Perkembangan Semasa

# Ini adalah kali terakhir saya menulis mengenai kisah politik sebegini.

Di kala ini isu yang menjadi buah mulut di kalangan orang politik ialah mengenai gerakan menukar Perdana Menteri Malaysia.

Apabila berbicara berkenaan dengan Perdana Menteri Malaysia, kita wajar sedar bahawa kita bukan berbicara mengenai seorang individu bernama Dato Seri Mohd Najib Tun Razak.

Kita sebenarnya sedang berbicara tentang simbol eksekutif sebuah negara yang sedang mengamalkan Sistem Demokrasi Berparlimen.

Sebagai seorang yang mengaku setuju untuk menjadi warga negara ini di mana kita sudahpun melafazkan sumpah melalui Rukunegara maka kita harus sedar tentang peranan institusi-institusi yang menubuhkan sebuah negara berdaulat bernama Malaysia.

Di antara yang penting ialah Sistem Beraja, 3 cabang - Gubalan, Eksekutif dan Kehakiman, Auditor Negara, Peguam Negara, Polis Di Raja, Tentera Di Raja dan lain-lain.

Baru-baru ini saya membaca komen dari seorang Ahli Parlimen dari sebuah Parti Pembangkang.

Saya menjadi sangat takut apabila dihadapkan dengan realiti sebegini memandangkan ianya keluar dari mulut seorang Ahli Parlimen.

Beliau sepatutnya faham bagaimana sistem demokrasi negara kita berjalan.

Di dalam kekalutan beliau untuk menjadi seorang ahli politik dan nekadnya untuk merebut kuasa, beliau telah menyarankan supaya seorang "Pendakwa Bebas" dari negara lain menyiasat Perdana Menteri Malaysia.

Tidakkah perbuatan ini adalah sama seperti menyerahkan kedaulatan negara kita ke tangan asing ?

Sampai begitu sekali jauhnya kita berpolitik sehingga terlupa bahawa tanggungjawab utama sebagai seorang Ahli Parlimen ialah mempertahankan kedaulatan negara.

Tidakkah Ahli Parlimen ini tahu bahawa apa-apa kes yang berkaitan dengan jenayah yang di lakukan di dalam Persekutuan Malaysia dianggap sebagai melakukan kesalahan kepada Kerajaan Malaysia.

Hanya satu agensi yang dipertanggungjawabkan untuk mewakili Malaysia di dalam membuat apa-apa pertuduhan jenayah iaitu Jabatan Peguam Negara.

Setiap warga Malaysia tertakluk kepada sistem perundangan yang sama tidak kira samada beliau Mohd Najib Razak atau Anwar Ibrahim.

Kita tidak boleh membuat double standard hanya kerana seseorang itu menganggotai Parti Politik yang berbeza dari kita.

Oleh yang demikian menyarankan supaya seorang "Pendakwa Bebas" dari negara asing menyiasat Mohd Najib Tun Razak sebagai seorang warga Malaysia adalah sesuatu yang tidak boleh diterima akal.

Apatah lagi menyarankan "Pendakwa Bebas" menyiasat Perdana Menteri, simbol eksekutif negara Malaysia yang berdaulat lagilah sangat tidak berpelajaran dan tidak sepatutnya datang dari seorang Ahli Parlimen.

Begitu juga, mengguna Peguam Negara asing untuk melakukan serangan terhadap Ketua Eksekutif Malaysia.

Ianya melanggar keseluruhan protokol diplomatik G2G.

Tambahan pula jika ianya datang dari sebuah negara yang mengamalkan sistem perbankan yang diragui.

Apakah kita tidak tahu bahawa sistem perbankan mereka jugalah yang menyimpan segala harta rampasan perang Parti Nazi, menyimpan wang-wang haram organisasi bawah tanah.

Mereka juga menyimpan wang haram kartel dadah Amerika Selatan, wang rasuah dari bekas-bekas Presiden negara dunia dan sebagainya. 

Pernahkah mereka war-warkan berapa banyak jumlah wang haram yang mereka simpan sehingga kini ? 

Kini kita tiba-tiba mahu menyatakan bahawa mereka ini mempunyai moral yang lebih tinggi dari kita ?

Politik tetap politik, yang hitam boleh bertukar menjadi putih.

Saudara sekelian, jika anda mahu mendakwa Mohd Najib Tun Razak kerana anda merasakan beliau melakukan kesalahan, pertama sekali yang perlu anda lakukan ialah memastikan beliau bukan lagi Perdana Menteri Malaysia.

Kerana jika anda menyerang beliau setiap hari kiri kanan depan belakang. Tak cukup itu anda serang pulak isteri beliau, anak-anak beliau dan kaum keluarga beliau.

Semua serangan yang dilakukan di dalam keadaan beliau masih lagi memegang tampuk eksekutif yang mana Tentera, Polis dan keseluruhan Institusi Malaysia berada di bawah perintahnya adalah strategi yang buruk.

Dengan segala kuasa ini sudah tentulah jika sekali sekala beliau menyerang anda akan cedera parah.

Dalam masa yang sama, jika beliau menyerang janganlah pula balik mengadu kepada ibu-bapa anda. 

Hari ini Perdana Menteri buat move itu, ini. Perdana Menteri zalim dan kejam.

Bukankah beliau juga seorang ahli politik takkanlah anda sahaja boleh buat strategi ?

Kalau masuk gelanggang tinju takkan pulak lawan anda tidak boleh menumbuk ?

Seorang Perdana Menteri di lantik kerana Yang Di Pertuan Agong percaya beliau mendapat kepercayaan majoriti Dewan Rakyat.

Oleh yang demikian, cara untuk memaksa seorang Perdana Menteri meletak jawatan ialah dengan membuktikan bahawa beliau tidak lagi mendapat kepercayaan majoriti ahli Dewan Rakyat.

Dengan lain perkataan jika beliau dilantik secara demokrasi, beliau juga perlu dijatuhkan secara demokrasi. Jika tidak negara kita akan menjadi sebuah negara kartun seperti Fiji atau Maldives.

Mahukah kita jika negara ini menjadi seperti Thailand sikit-sikit ada coup d'état. Demo berbulan-bulan sampai nak kerja pun tak boleh.

Mereka tidak menghormati Dewan Parlimen yang dianggap mulia sehingga kereta kebal pun di bawa masuk ke dalam Dewan bagi digunakan untuk merampas kuasa. Ini berlaku hampir setiap kali pilihanraya.

Jika kita melakukan ini maka hilanglah kedamaian (Islam) yang selama ini kita nikmati.

Sistem Baru

Jika kita benar-benar mahukan perubahan dan mahukan sebuah pentadbiran yang lebih berintegriti maka kita perlu mengubah sistem yang sedang membuat negara kita menjadi busuk kini.

Kita tidak perlu membuat kerja sia-sia iaitu bertelagah sesama kita tetapi masih mahu mengekalkan sistem yang pada awalnya adalah penyebab pertelagahan itu berlaku.

Kita perlu memilih individu bukannya Parti. 

Perwakilan di Dewan Parlimen atau Dewan Undangan Negeri perlu dipilih berdasarkan komposisi kependudukan bangsa negara ini.

Dengan memilih individu maka setiap isu akan dibincang tanpa perlu mengira Parti dan ideologi yang di bawa oleh Parti itu.

Ini bermakna dengan memilih individu Parti Politik tidak lagi menguasai Kerajaan.

Kerajaan akan di isi oleh warganya.

Pastikan Ketua Eksekutif iaitu Perdana Menteri dan jawatan-jawatan utama yang lain hanya boleh diisi maksimum dua penggal sahaja.

Ini hanyalah idea asas, saya percaya jika kita sama-sama mengumpul maklumat, menyatu fikiran ke arah ini pasti kita boleh mencipta konsep sistem yang lebih sesuai dengan ciri-ciri negara kita yang majmuk.

Semoga negara ini menjadi lebih gemilang dan maju.

# Artikel ini tidak bermakna saya menyokong salahlaku yang dilakukan oleh mana-mana pemimpin terhadap negara ini. Saya cuma mengamalkan apa yang disarankan oleh Al Quran begitu juga dengan Akta Keterangan 1950 iaitu untuk menjadi saksi anda perlu melihat kejadian itu.

A044

"Kamu tidak berada di sebelah barat, ketika Kami tentukan perintah kepada Musa, dan tidak juga kamu antara orang-orang yang saksikan" AQ 28:44

Oleh kerana saya tidak pernah menjadi saksi atas apa jua bentuk dakwaan yang dimainkan di media sosial maka saya dengan ini menolak dari menjadi agen kepada permainan seperti ini.

Ashwed

3 comments:

  1. Salam Ashwed, ramai orang yg apolitical mula percaya salah laku Najib bila dia pecat Gani Patail dan letak his own clown as AG. PAC, BNM, MACC pun dah jadi harimau tak bertaring. Selagi Najib tak berambus, selagi itulah kebenaran akan terkambus.

    Macam mana rakyat nak pressure Najib to resign or paling kurang pun ambil cuti supaya penyiasatan boleh dilakukan dengan adil dan saksama?

    Sampai sekarang pun dia masih bisu tak berani berdialog dengan rakyat. Pemimpin apa ni? Hanya tahu suruh macai dia menjawab dengan jawapan yg berubah2. What a disgrace!

    ReplyDelete
  2. Ilmu konsistensi jelas menunjukkan dia bukan di pihak yang benar.

    ReplyDelete
  3. Salamunalaikum Sahabat sekelian, maaf yea! agak ketinggalan saya kali ini, oleh itu dipastekan 2-surah utk renungan;

    89. SURAH AL FAJR – Fajar.
    (30 ayat)
    Dengan nama Allah yang Pemurah yang Penyayang.

    89:1 Demi fajar.
    89:2 Dan malam kesepuluh.
    89:3 Dan yang genap dan yang ganjil.
    89:4 Dan malamnya apabila berlalu.
    89:5 Apakah demikian sumpah orang yang memahaminya.
    89:6 Tidakkah kamu perhatikan Pemeliharamu lakukan keatas‘aadin.
    89:7 Dan Iram yang memiliki bangunan bertiang-tinggi.
    89:8 Yang belum pernah dicipta semisalanya didalam negeri.
    89:9 Dan tsamuuda yang menebuk bungkah batu dilembah.
    89:10 Dan fir’auna yang mendominasi kuasa seperti ‘tiang yang kukuh’.
    89:11 Dan sombong dan angkuh didalam negeri yang diperintahnya.
    89:12 Malahan mereka itulah orang fasik yang melakukan kemusnahan.
    89:13 Maka Pemeliharamu menimpakan azab dan deraan keatas mereka.
    89:14 Sesungguhnya Pemeliharamu pasti memantau mereka.
    89:15 Malahan Pemeliharamu menguji manusia dengan memberikan mereka penghormatan dan nikmat maka mereka berkata Pemeliharaku telah memberi penghormatan kepada kami.
    89:16 Waima! Apabila Dia menguji dengan menyempitkan rezekinya maka mereka berkata Pemelihara kami telah menghina kami.
    89:17 Malahan kamu tidak memuliakan anak-anak yatim.
    89:18 Dan kamu tidak mengajurkan untuk memberi makan orang miskin.
    89:19 Dan kamu memakan harta pusaka dengan rakus.
    89:20 Dan kamu mencintai kepada mengumpul harta berlebihan.
    89:21 Tidak! malahan apabila bumi ini dihancurkan sehancur-hancurnya.
    89:22 Dan datang Pemeliharamu dan malaikatnya berbaris dalam barisan.
    89:23 Dan didatangkan pada hari itu jahannama pasti ingat manusia atas apa yang diingatkan kepadanya.
    89:24 Mereka berkata alangkah baik jika aku mendahuluinya ketika hidup.
    89:25 Maka pada hari itu tiada siksaan keatas sesiapa.
    89:26 Dan tidak terikat sesuatu ikatan keatas seseorang.
    89:27 Wahai jiwa yang tenang.
    89:28 Kembalilah kepada Pemeliharamu dengan redha dan diredhai.
    89:29 Maka masuklah kedalamnya wahai hambaKu.
    89:30 Dan masuklah kamu kedalam syurgaKu.

    Akhirnya Surah (89) Al Fajr.

    107. SURAH AL MA’UN – Bantuan.
    (7 ayat)

    Dengan nama Allah yang Pemurah yang Penyayang.


    107:1 Lihatlah orang yang mendustakan -diini mereka.
    107:2 Mereka mengabaikan anak-anak yatim.
    107:3 Dan tidak menggesa memberi makan orang miskin.
    107:4 Maka celakalah orang yang melaksanakan kewajipan mereka.
    107:5 Dan orang yang dengan kewajipan mereka abaikanya.
    107:6 Dan orang yang dengan keriakan mereka berbangga dengannya.
    107:7 Dan orang yang dengan bantuan mereka melupakanya.

    Akhirnya Surah (107) Al Ma’un.

    Sekian...

    ReplyDelete