Saturday, 17 September 2016

ORANG KITA

Ku berjalan di lorong mu kota Praha
keras sejarah masih terasa tersusun di batu granit
lalu benakku larut ke tanah jauh

orang kita
pengikut nombor satu !
pemimpin kata lompat
orang kita tanya "tinggi mana" ?"

orang kita
pengikut nombor satu !
agamawan kata sarung jubah
orang kita tanya "panjang mana ?"

akal ada seratus
orang kita bahagi sepuluh
kita mahu buang dunia
svarga tempat abadinya
bila sepuluh jadi seratus
baru tahu
svarganya di sini
dunia
prithvi
bumi
di sini kita pergi .....

Ashwed
Prague
17 Sept 2016


Monday, 12 September 2016

BANGGA KU RASAKAN ....

Kedamaian Untuk Semua,

Negara kita menerima berita yang sangat membanggakan dari Sukan Paralimpik Rio 2016.

Kita menerima kejutan menggondol 3 pingat emas, bukan itu sahaja atlet kita berjaya memecahkan rekod dunia dan rekod temasya di dalam disiplin sukan masing-masing.

Tahniah kepada Mohamad Ridzuan Mohamad Puzi merangkul emas dalam acara 100 meter T36 (cerebral palsy) beliau memecah rekod temasya. Tahniah kepada Muhammad Ziyad Zolkefli melalui acara melontar peluru F20 (intellectual disability), beliau memecah rekod dunia. Tahniah juga kepada Abdul Latif Romly yang memecah rekod dunia di dalam acara lompat jauh T20 (intellectual disability).

Anda semua adalah hero rakyat Malaysia.

Membayangkan ketidakupayaan yang perlu mereka harungi dalam waktu yang sama mendirikan iltizam (solla) dengan penuh dedikasi (zakka) di dalam bidang yang mereka ceburi, hanya yang boleh saya katakan ialah RESPECT.

Mereka adalah contoh insan muttaqi (orang yang benar) kerana memperoleh akhirati (pengakhiran) yang begitu manis berkat kekhusyukan (fokus) yang tidak berbelah bahagi.








Saya kira ibubapa manusia luarbiasa ini sudah tentu bergolok bergadai membesarkan anak-anak ini.

Sekarang tibalah masanya kerajaan negara mereka pula membalas jasa dan pengorbanan ini.

Saya juga merasakan mereka ini selayaknya diberi gelaran dan kebesaran negara berbanding dengan artis rakyat asing yang sudah beberapa orang menerima darjah kebesaran. Saya kurang pasti apakah jasa artis rakyat luar ini kepada negara kita ?

Ashwed

Saturday, 10 September 2016

Tentera Gajah

Kedamaian Untuk Semua,

Perbincangan mengenai Ritual Haji dan aspek-aspek yang berkaitan dengannya tidak akan lengkap tanpa menjengah sebuah surah yang dikenali sebagai Al-Fyl.

Berikut adalah terjemahan lengkap keterangan tersebut. Ia di ambil daripada sebuah laman sesawang yang dikenali sebagai Surah.My


A001
   
Tidakkah engkau mengetahui bagaimana Tuhanmu telah melakukan kepada angkatan tentera (yang dipimpin oleh pembawa) Gajah, (yang hendak meruntuhkan Kaabah)? 
                            
A002
   
Bukankah Tuhanmu telah menjadikan rancangan jahat mereka dalam keadaan yang rugi dan memusnahkan mereka? 
                            
A003
   
Dan Ia telah menghantarkan kepada mereka (rombongan) burung berpasuk-pasukan,
                            
A004
   
Yang melontar mereka dengan batu-batu dari sejenis tanah yang dibakar keras,                             
A005
   
Lalu Ia menjadikan mereka hancur berkecai seperti daun-daun kayu yang dimakan ulat.


Sebelum kita berbincang dengan lebih lanjut. Saya kira elok kita selami dahulu sejarah di sebalik surah ini menurut Asbabul-Nuzul.

Perlu diingat bahawa di kebanyakkan masa, sejarah ditulis oleh pihak yang memenangi perang persepsi kala ianya ditulis.

Oleh yang demikian, kita perlu membawa diri kita kembali ke zaman ianya diterangkan iaitu sekitar kurun ke-6 dan ke-7 masihi untuk melihat siapakah yang memenangi peperangan persepsi dan ideologi di waktu itu.

Di ringkaskan cerita, di zaman itu terdapat dua kerajaan berketurunan Arab sedang berperang menguasai Semenanjung Hijaz (sekarang Arab Saudi) dan kawasan sekitarnya.

2 kerajaan ini dikenali sebagai Bani Abbasiyah iaitu sebuah kerajaan yang di sokong oleh Empayar Sassanid/Persia/Zoroaster dan Bani Umaiyah yang dipelopori oleh Muawiyah.

Semasa peperangan dan penaklukan untuk memenangi geo-politik, persepsi serta hati dan nurani masyarakat warga Hijaz ini Bani Hashim (keturunan Arab Quraisy Mekah) mempopularkan sebuah kisah mengenai kemenangan puak mereka mempertahankan bandar Mekah menentang sebuah kerajaan yang sangat kuat suatu ketika dahulu.

Kisah ini dipenuhi dengan jalan cerita magis. Berkemungkinan untuk menaikkan semangat pihak mereka.

Sejarah membuktikan Bani Hashim akhirnya menjadi sebahagian dari struktur Kerajaan Bani Abbasiyah yang pernah menguasai Semenanjung Hijaz untuk tempoh waktu yang agak lama.

Berikut adalah penerangan mereka mengenai sejarah di sebalik kisah AQ 105 - Surah Al-Fyl. Ia di abadikan di dalam Asbabul Nuzul (di ambil dari wikipedia Bahasa Melayu) :-

Menurut sejarawan Islam awal seperti Ibnu Ishaq, Abrahah yang merupakan Gabenor Yaman yang berasal dari Habsyah sekarang, membangunkan sebuah gereja yang besar di Sana'a yang dkenali sebagai "Al-Qulais", dengan tujuan memikat bangsa Arab jahiliah dari terus mengunjungi Kaabah di Makkah. Gereja ini menjadi terkenal dan Abrahah cuba memikat penziarah Kaabah untuk menziarahi gerejanya. Salah seorang anggota suku Quraisy sangat marah akan hal ini dan ia pergi ke Sana'a, dan seterusnya ke gereja tersebut pada malam hari dan mengotorinya.

Abrahah kemudian mengeluarkan perintah ekspedisi penyerangan terhadap Makkah, dipimpin oleh seekor gajah (ada kemungkinan juga terdapat gajah lain) untuk menghancurkan Kaabah. Beberapa suku Arab menghadang pasukan Abrahah, tetapi dapat dikalahkan.

Seketika tentera bergajah Abrahah berada dekat dengan Makkah, Abrahah mengirim utusan yang mengatakan kepada penduduk Kota Makkah bahawa mereka tidak akan bertempur dengan mereka jika mereka tidak menghalangi penghancuran Kaabah. Abdul Muthalib, kepala suku Quraisy, mengatakan bahawa ia akan mempertahankan hak-hak miliknya, tetapi Tuhan akan mempertahankan rumah-Nya yakni Kaabah, dan ia mundur ke luar kota dengan penduduk Mekkah yang lain.

Hari berikutnya, ketika Abrahah bersiap untuk masuk ke dalam kota Makkah, maka terlihatnya burung-burung (Ababil) yang membawa batu-batu kecil lagi berapi (diriwayatkan batu-batu itu berasal dari neraka jahannam) dan melemparkannya ke pasukan Abrahah; setiap orang yang terkena pasti terbunuh, yang lain lari dengan penuh rasa kecemasan dan Abrahah sendiri pun turut cedera parah dan mati akhirnya dalam peristiwa itu.

Peristiwa ini telah berlaku pada sekitar tahun 570-571 Masihi. Namun, tahun tersebut lebih dikenali sebagai Tahun Gajah. Peristiwa serangan tentera bergajah ini turut diceritakan Allah dalam al-Quran dalam Surah Al-Fiil.

Kisah ini amat signifikan di dalam theologi tradisional Islam kerana ia membuktikan betapa pentingnya bandar Mekah dan Kiub Hitam yang dikenali sebagai Ka'abah di dalam sistem agamanya.

Kesinambungan kisah ini tidak pernah terpadam dari semenjak ia di riwayatkan sehingga sekarang.

Sesiapa sahaja yang mahu diterima sebagai seorang yang beragama Islam perlu menerima kisah ini sebagai benar lalu menyerahkan diri mereka untuk tertakluk kepada Ritual Haji yang menjadi sebahagian dari Rukun Agamanya.

Dari sudut pandangan sejarah (asbabul nuzul) seperti di atas, terdapat suatu perkara besar yang di akui sendiri oleh penulisnya, iaitu ritual di bandar Mekah dan Kaabah di praktis oleh Arab Jahiliah. 

Ritual ini di akui sendiri oleh penulisnya sebagai amalan tatacara hidup Paganism (jahiliyah).

Saya belum pernah menemui penjelasan dari seorang pun bijak pandai agama Islam yang menerangkan dengan jelas mengapa Islam moden meneruskan tradisi Arab Pagan ini ?

Kesunyian penerangan ini begitu terasa. 

Kita seringkali membaca mengenai perbezaan ritual haji di antara Arab Pagan dan Islam moden sahaja tetapi tiada penerangan ditawarkan tentang mengapa ia diteruskan sedangkan terdapat pelbagai keterangan yang melarang menyamakan sesuatu dengan Tuhan.

Abrahah

Siapakah Abrahah ? Benarkah beliau pernah mengetuai kempen ketenteraan untuk menakluk bandar Mekah ?

Pentingkah Mekah sebagai sebuah pusat budaya, perdagangan dan ilmu pada waktu itu ?

Benarkah beliau gugur di dalam kempen itu ? Benarkah beliau memimpin angkatan tentera bergajah ?

Bolehkah gajah hidup di persekitaran padang pasir ?

Ini adalah persoalan-persoalan asas yang bermain di minda saya apabila membaca penerangan mengenai kisah ini.

Cabaran utama di dalam pencarian kebenaran mengenai kisah ini ialah untuk mencari fakta-fakta yang tidak ditokok tambah.

Fakta sejarah sangat berbeza dengan fakta sains.

Fakta sains adalah sangat relevan tidak kira zaman. Ini adalah kerana ia boleh di kaji oleh sesiapa sahaja untuk membuktikan kesahihannya.

Sains mengatakan bahawa satu tahun mempunyai 365 dan suku hari. Jika kita meragui fakta ini kita boleh sahaja membuat observation secara sendiri-sendiri. 

Fakta sejarah pula berkemungkinan mati bersama-sama dengan bukti ketamadunannya. Ia boleh jadi dimusnahkan melalui malapetaka semulajadi atau oleh kerajaan lawan yang menakluk ketamadunan itu.

Yang tinggal adalah nota yang di ambil oleh ilmuwan ketamadunan tersebut. Jika ilmuwan ini tidak mempraktis disiplin ilmu yang tinggi beliau boleh sahaja menokok tambah cerita. 

Maka siapakah Abrahah ?
Abrahah adalah seorang Jeneral dari Saba atau Habsyah (sekarang Ethiopia). Pada zaman itu, Ethiopia adalah sebuah kerajaan besar dan gagah.

Kerajaan ini meliputi sehingga ke Hadramawt (sekarang Yemen). Ratu Balqisy yang namanya tertulis di dalam Al Quran juga berasal dari sini.

Baru-baru ini sebuah tinggalan sejarah di jumpai di selatan Semenanjung Arab, Anda boleh melayari laman sesawang Muzium terbesar dunia iaitu Smithsonian Natural Museum of Natural History di bawal tajuk Written In Stone : Pre Islamic Period Inscriptions - Sabaean

Transkripsi ini adalah mengenai kempen ketenteraan Jeneral Abrahah. Berikut adalah transkripsi penuh yang di tulis di atas batu.

fig04 color


Transcription:

"bi khayl Rahmanan wa masyha malikan Abraha Zybman malik Saba' wa Zuraydan wa Hadramut wa Yement wa r'a rab hamw twadam wa thamat satro zn satran k'ghazow ma'ndam ghazwatn rab'atan b'warkhan Zthbatan Kafa saadu kl bani amrm wa zaki malikn abjabar b ainam kadat wain w basharm bin hasahanm bainm san dam wa mardam wa hadaru qadami jayshan alia bani yamram kadat wail bi wad samrakh wa mardam wa sadam bi wad bi manhaj tarban wa zabahow wa sarw wa ghanamw zaisam wa makhdah malakin bi Halban wa dawn ka zalam maidam wrahanw wa badanahaw nwa sa'aham mw Amram Bin Mazran wa rahanamw bin haw wa sata khalafw ala ma'dam wa qafalw bin hal ( bi)n bi akhayal Rahmanan wa rakhaw zalan salthany w sathya ws."

Translation:

"With the power of the Almighty, and His Messiah King Abraha Zeebman, the King of Saba'a, Zuridan, and Hadrmaut and Yemen and the tribes (on) the mountains and the coast wrote these lines on his battle against the tribe of Ma'ad (in) the battle of al-Rabiya in the month of "Dhu al Thabithan" and fought all of Bani A'amir and appointed the King Abi Jabar with Kinda and Al, Bishar bin Hasan with Sa'ad, Murad, and Hadarmaut in front of the army against Bani Amir of Kinda. and Al in Zu Markh valley and Murad and Sa'ad in Manha valley on the way to Turban and killed and captured and took the booty in large quantities and the King and fought at Halban and reached Ma'ad and took booty and prisoners, and after that, conquered Omro bin al-Munzir. (Abrha) appointed the son (of Omro) as the ruler and returned from Hal Ban (Halban) with the power of the Almighty in the month of Zu A'allan in the year sixty-two and six hundred."

Bolehkah anda mencari perkataan gajah berada di mana-mana transkripsi tersebut ?

Transkripsi ini adalah bukti paling jelas bahawa Abrahah tidak pernah mempunyai binatang gajah di dalam ketumbukan ketenteraannya. Jika tidak ia pasti sudah ditulis kerana gajah bukanlah binatang yang mudah dijumpai di tanah Arab.

Mungkin di tempat asal beliau iaitu Ethiopia di benua Afrika, gajah mudah dijumpai, tetapi membawa gajah ini merentasi padang pasir arab untuk menakluk hadramawt di selatan Semenanjung Arab kemudian membawanya pula ke arah utara menuju bandar Mekah adalah agak mustahil.

Kita boleh perhatikan sendiri tabiat gajah di negara ini. Gajah memerlukan bertan-tan makanan untuk hidup mereka juga memerlukan lumpur untuk menghilangkan kepanasan badan. Bolehkah lumpur dijumpai di padang pasir ?

Selain daripada itu, berdasarkan transkripsi di atas, bolehkah anda menjumpai perkataan Makkah.

Kita perlu akui bahawa di zaman ini bandar Mekah adalah antara bandar terpenting dunia. Namun, saya fikir di zaman Abrahah tiada siapa pun mempedulikan bandar ini kerana lokasinya yang berada agak jauh dari laut dan juga ketiadaan sungai untuk di hubungi oleh warga dunia.

Oleh yang demikian, saya membuat kesimpulan bahawa Surah 105 Al-Fyl berkemungkinan besar menerangkan kisah lain yang berlaku di zaman yang berbeza.

Persoalannya kisah siapakah yang diterangkan oleh Surah itu.

Al-Fyl

Sebenarnya saya mengambil keputusan untuk menulis artikel ini kerana seorang pembaca menghantar e-mel memohon saya mengupas Surah ini.

Sejujurnya, sebelum ini saya tidak pernah mencari apa-apa bahan mengenai surah ini. Memandangkan ia berkaitan dengan Ritual Haji maka saya tertarik untuk mendalaminya.

Sebaik sahaja saya menerima e-mel tersebut, saya melihat kembali keterangan Surah Al-Fyl dengan sedikit teliti seperti yang di arahkan oleh Al Quran sendiri.

Di keterangan pertama Surah tersebut saya dapati satu perkataan arab yang diterjemahkan dengan makna yang sangat berbeza dengan akar kata perkataan itu.

Berikut adalah keterangan tersebut ;

A001

Tidakkah engkau mengetahui bagaimana Tuhanmu telah melakukan kepada angkatan tentera (yang dipimpin oleh pembawa) Gajah, (yang hendak meruntuhkan Kaabah)? AQ 105:3

Perhatikan sebelum perkataan al fyli (dari akar kata fa-ya-lam yang membawa maksud gajah) terdapat perkataan ini bi-as-ha-bi.

Perkataan ini diterjemah sebagai tentera di dalam kebanyakkan terjemahan Bahasa Melayu sedangkan perkataan ini berasal dari akar kata sod-ha-ba yang membawa maksud sahabat atau companion.


Ini adalah satu perbuatan yang sangat tidak bertanggungjawab di dalam disiplin keilmuan.

Mengambil perkataan sahabat/companion sebagai kunci pencarian untuk mengupas Surah ini maka kini kita perlu kembali memerhatikan Al Quran dalam konteks keseluruhannya.

Al Quran seringkali meminta kita mengambil iktibar daripada kejadian yang menimpa dua ketamadunan di sepanjang sejarah dunia.

Dua ketamadunan ini sangat rapat dengan sejarah bangsa Arab itu sendiri iaitu ketamadunan kaum 'Aad dan Thamud.

A006

"Tidakkah kamu lihat bagaimana Pemelihara kamu buat terhadap Ad " AQ 89:6

A007

"Iram dengan tiang-tiang tinggi" AQ 89:7

A008

"Yang serupa dengan apa yang belum pernah dicipta di negeri-negeri" AQ 89:8

A009

"Dan Tsamud, yang menebuk batu-batu di lembah" AQ 89:9

Keterangan-keterangan ini menjelaskan bahawa kota Thamud mewarisi ketamadunan Kaum 'Aad. Ia mempunyai ciri-ciri kota yang serupa iaitu diperbuat dari gunung-gunung yang ditebuk.

Kota ini telah lama hilang dari pandangan mata.

Namun, Al Quran memberitahu melalui keterangan ini bahawa tinggalan tempat-tempat ini masih wujud sehingga kini;

A038

"Dan Ad, dan Tsamud - telah jadi nyata bagi kamu daripada tempat-tempat tinggal mereka; dan syaitan menampakkan indah bagi mereka amalan-amalan mereka, dan halangi mereka daripada jalan, walaupun mereka adalah orang-orang yang melihat dengan jelas AQ 29:38

Pada tahun 1921, ahli Arkeologi menemui sebuah tingalan sejarah yang sangat besar bersebelahan dengan kota Petra di Jordan.

Tinggalan ini mempunyai tiang-tiang besar yang di ukir dengan motif ini.

Elephant-headed capital, limestone, Petra. Found in the triple colonnades of the Lower Tenemos (sacred district). The decoration from top to bottom consists of a plain band, egg and dart motif, and the cornice with a plain band with tripartite molding in a double wave. The corner decoration is an elephant head with fan-shaped ears.…Beneath the heads is an acanthus leaf extending downwards….On the sides and resting on the elephant’s forehead is an incurving scroll with floral motifs (from the label "Elephant-headed Capitals" in the Archaeological Museum, Petra) (photo: Guillaume Baviere, CC BY 2.0)


Tamadun Barat mengenali kedua-dua ketamadunan ini sebagai Nabatean. Menurut Wikipedia ibu negeri ketamadunan ini ialah Raqmu kini dikenali sebagai Petra.

Saya mengesyaki bahawa tinggalan sejarah bersebelahan Petra inilah Iram yang diceritakan di dalam AQ 89:7

Kesimpulan

Berdasarkan kepada bukti-bukti yang tertera di atas, secara peribadi saya membuat kesimpulan bahawa Surah Al-Fyl AQ 105 adalah kisah kaum 'Aad dan Thamud.

Menurut, perspektif Al Quran kedua-dua ketamadunan ini musnah kerana mereka tidak mahu membuang tatacara hidup mereka yang korup.

Apabila utusan-utusan di hantar ke tempat-tempat ini untuk membuat tramsformasi/reformasi ke suatu sistem yang lebih baik mereka menolak iltizam/kesungguhan (solla) utusan-utusan itu.

Di zaman silam burung dilatih menjadi pengutus surat dan berita. Oleh yang demikian utusan-utusan (messenger) ini di gambarkan seperti burung-burung di keterangan ini ;

A003

"Dan Dia utus kepada mereka burung-burung berduyun-duyun" AQ 105:3

Allah Al-A'lam

# Saya akui penyelidikan di artikel ini jauh dari lengkap. Ia hanyalah berdasarkan dari fakta dan data yang di dapati dari Internet sahaja. Untuk mencari data yang lebih sahih ia memerlukan kajian dari pakar sejarah.

Ashwed

Tuesday, 6 September 2016

Hari Tasyrik

Kedamaian Untuk Semua,

Tidak berapa lama dahulu saya ada berjanji untuk menjawab satu soalan dari seorang pembaca. Di antara isi pertanyaan beliau ialah mengenai ritual haji dan di manakah silap kita ?

Malangnya, saya tidak dapat mencari pertanyaan sebenar pembaca ini untuk dikongsi bersama di blog. Saya hanya dapat mengingati isi kandungan pertanyaan beliau sahaja.

Pada artikel kali ini, bersempena dengan Hari Raya Aidiladha yang akan di sambut oleh masyarakat kita tidak lama lagi, izinkan saya menjawab pertanyaan pembaca tersebut secara ringkas.

Oleh kerana saya sudah menerangkan mengenai ritual haji dan ritual korban di beberapa artikel terdahulu maka untuk artikel kali ini saya akan menumpukan kepada salah satu sisi ritual haji iaitu Hari Tasyrik.

Menurut wikipedia apa yang dimaksudkan dengan Hari Tasyrik adalah seperti berikut :-

Hari-hari Tasyrik dalam istilah Islam adalah merujuk kepada Hari Raya Aidiladha (jatuh pada hari ke-10) serta hari ke-11, 12 dan 13 bulan Zulhijjah mengikut kalender Islam Hijrah. Pada hari-hari tersebut, umat Islam yang sedang melakukan ibadah Haji akan menyempurnakan amalan-amalan berkenaan dengan melakukan ibadah melontar di ketiga-tiga Jamrah; iaitu Jamratul Ula, Jamratul Wusta dan Jamratul Aqabah. Ibadah melontar jamrah ini dilaksanakan bersempena mengingati peristiwa Nabi Ibrahim a.s. dan Nabi Ismail a.s. yang melontarkan anak batu kepada syaitan apabila ia menjelma bagi mengganggu kosentrasi kedua-dua Nabi besar itu untuk melakukan ibadah korban sebagaimana yang diperintahkan oleh Allah SWT.

Umat Islam boleh melakukan ibadah korban sehingga sebelumnya masuk waktu Maghrib 14 Zulhijjah. Begitu juga amalan bertakbir, juga disunatkan sehingga maghrib tersebut.

Syirik

Sebelum saya menerangkan apakah maksud tasyrik menurut kajian etymology, izinkan saya menerangkan serba ringkas apakah yang dimaksudkan dengan syirik menurut perspektif Al Quran.

Syirik di dirikan dari 3 abjad syim-ro-kaf yang membentuk akar kata syaraka. Ia membawa maksud berkongsi, bersekutu atau partner/associate.

Perkataan Melayu moden yang paling baik menerangkan maksud syaraka ialah syarikat

Syarikat di dalam konsep di Malaysia ini membawa maksud perkongsian dua atau lebih individu untuk membentuk sebuah entiti perniagaan.

Syarikat sangat berbeza dengan sole proprietorship atau milikan tunggal kerana di dalam sesebuah syarikat apa-apa keputusan yang mahu dibuat mesti melalui sebuah mesyuarat lembaga pengarah yang mempunyai keahlian lebih dari seorang.

Oleh kerana keanggotaan ahli lembaga pengarah tidak boleh tunggal maka ada kemungkinan sesuatu cadangan itu tidak mendapat keputusan sebulat suara. 

Adakalanya, sesuatu cadangan yang baik berkemungkinan ditolak. Ini adalah kerana ahli lembaga pengarah adalah terdiri dari individu yang pastinya mempunya pandangan yang berbeza. 

Sementara, di dalam sesebuah set-up milikan tunggal semua keputusan dibuat oleh seorang individu sahaja. Individu ini bertanggungjawab penuh di atas apa jua keputusan yang dibuatnya sendiri.

Dari pandangan perniagaan, sesebuah syarikat dan milikan tunggal masing-masing mempunyai kelebihan dan keburukannya yang tersendiri.

Apakah perspektif Al Quran mengenai perbuatan syaraka atau syirik ?

Mari kita sama-sama mendalami keterangan ini ;

 A065

"Telah diwahyukan kepada kamu, dan kepada orang-orang sebelum kamu, "Jika kamu sekutukan (asy-ra-kat), amalan kamu akan jadi sia-sia, dan kamu jadi antara orang-orang yang rugi" AQ 39:65


Bagi saya kata kunci yang paling utama di dalam keterangan ini adalah wahyu (wahi/inspiration) dan sekutukan (asy-ra-kat).

Ramai yang berpendapat bahawa wahyu adalah suatu jenis hubungan mesej yang formal daripada Tuhan kepada para Nabi dan Rasulnya.  

Mereka mengatakan semasa wahyu dari Tuhan turun kepada para Nabi terdapat suatu fenomena luarbiasa mengiringi penurunan itu.

Namun, Al Quran berpendapat yang sebaliknya ;

A112

"Begitulah Kami adakan bagi tiap-tiap Nabi suatu musuh, syaitan-syaitan daripada manusia dan jin, yang mewahyukan ucapan palsu yang indah-indah kepada satu sama lain, untuk menipu; dan sekiranya Pemelihara kamu hendak, tentu mereka tidak membuatnya. Maka tinggalkanlah mereka dan apa yang mereka ada-adakan" AQ 6:112

Keterangan di atas menjelaskan bahawa wahi atau wahyu boleh sahaja dicetuskan sesama manusia, sahabat handai atau mungkin dicetuskan oleh orang lain menerusi penulisan, kata-kata, lagu, filem, seni, budaya dan pelbagai sumber lagi.

Dengan fakta ini maka sekali lagi Al Quran membuktikan bahawa peristiwa besar di dalam tradisi Islam Arab iaitu "Malaikat Djibril" memeluk Nabi Terakhir di Gua Hira' sebagai perantara mesej di antara Tuhan dan manusia adalah suatu perkara yang diada-adakan.

Mula-mula orang Arab ajar kita bahawa Tuhan Maha Berkuasa, menguasai timur dan barat tiba-tiba Tuhan yang Maha Berkuasa ini memerlukan perantara untuk menyampaikan mesej kepada makhluk ciptaanNya sendiri ? 

Inilah suatu bentuk paradoks yang sudah terlalu lama masyarakat kita biarkan tanpa sekelumit pun persoalan dari pihak kita. 

Menurut AQ 39:65, keterangan ini menjelaskan bahawa perkara yang disekutukan ialah wahyu. Wahyu di dirikan dengan abjad waw-kho-ya yang membawa maksud inspirasi.

Oleh itu, mesej di dalam keterangan ini ialah jika kita melakukan syirik/associate/partner/sekutu terhadap wahyu/inspirasi/idea asal maka amalan iaitu kerja-kerja kita akan menjadi sia-sia.

Kenapa ia menjadi sia-sia ? Jawapannya adalah sangat jelas iaitu jika kita menerima arahan dari dua sumber yang bertentangan maka pastilah kehidupan kita menjadi tidak tentu arah ke hulu tidak ke hilir pun tidak. 

Menurut AQ 39:65 lagi, orang yang sebegini adalah orang-orang yang rugi kerana pengakhirannya (akhirati) dia tidak mencapai apa-apa pun di dalam kehidupan ini. Yang ditunggu tak kunjung tiba yang dikendong keciciran.

Inilah yang terjadi kepada ramai ahli masyarakat kita akibat menerima arahan dari dua sumber. 

Saya rasa para pembaca sudah dapat mengagak apakah dia dua sumber yang dimaksudkan.

Satu sumber kata tatacara hidup yang diredhai ialah kedamaian. Inilah cara hidup mereka yang berjaya. Satu sumber lagi kata yang sebaliknya, perlu berjihad membunuh manusia lain yang tidak sealiran dengan pemikiran kita, baru boleh berjaya dan mencapai kedamaian.

Satu sumber kata tiada siapa tahu apa yang terjadi di masa hadapan, ini di akui sendiri oleh Nabi Terakhir sendiri di dalam AQ 46:9. Satu sumber lagi menyatakan Nabi Terakhir ini tahu dengan terperinci apakah yang akan terjadi di "akhir zaman".

Mungkin ramai yang tidak bersetuju dengan maksud perkataan syirik yang saya utarakan. 

Kita mungkin lebih menerima konsep syirik sebagai perbuatan mempersekutukan Tuhan. 

Apakah benar ianya sedemikian ?

Adakah kita merasakan Dia Yang Maha Berkuasa ini tiba-tiba menjadi lemah apabila manusia mempersekutukanNya dengan batu ?

Adakah Tuhan yang Maha Menguasai segala-galanya ini mempunyai perasaan marah atau merasa terhina dengan akidah seseorang yang tidak selari dengan kehendakNya ?

Saya berpendapat sebagai sesuatu Yang Maha Berkuasa mencipta dan memusnahkan dan memulakan segala-galanya pasti sudah lama kita dimusnahkan jika Dia mengkehendaki sebegitu.

Fakta bahawa spesis manusia masih belum pupus menunjukkan bahawa kita bukanlah saingan Tuhan.

Sebenarnya, kitalah yang memusnahkan diri sendiri apabila kita membelakangkan saranan-saranan Tuhan di dalam menjalani kehidupan yang mengikut Undang-Undang ciptaanNya.

Kita tidak lagi menjadi semulajadi apabila menerima arahan dari satu sumber lain. Arahan-arahan yang tidak masuk akal dan bertentangan dengan Undang-Undang ciptaanNya (sunnatullah).

Kita kini seolah-olah mempunyai dua tuhan yang memberi arahan yang berbeza untuk kita abdikan diri kepadanya.

A051

"Allah berkata, "Janganlah ambil untuk kamu dua tuhan. Dia hanyalah Tuhan Yang Satu; maka kepada-Ku-lah kamu berasa gerun." AQ 16:51


Tuhan Yang Satu ini menyarankan supaya kita mendengar dan mematuhi segala nasihatNya yang hanya boleh di dapati melalui Al Quran.

Mengapakah kita masih mahu syirik (mempersekutukan) nasihat ini ?

Tasyrik

Apa kena mengena Hari Tasyrik dengan syirik ?

Untuk pengetahuan para pembaca baharu. Al Quran ditulis dengan jaringan perkataan yang membentuk keseluruhan isikandungnya. 

Setiap patah perkataannya pula di dirikan dengan gabungan dua atau lebih abjad yang membentuk satu makna yang tersendiri.

Untuk membaca dan memahami Al Quran dengan konsisten, makna akar kata ini perlu difahami dengan maksud dan konsep yang konsisten. 

Dengan cara ini sahajalah baharu mesej asal Al Quran itu dapat di hayati sepenuhnya.

Sebagai contoh di keterangan ini Al Quran menggunakan abjad ain-ba-dal yang membentuk perkataan abdi ;

A056

"Aku tidak cipta jin dan manusia melainkan untuk mengabdi kepadaKu (li-yak-budu-ni)" AQ 51:56

Di keterangan-keterangan yang lain akar kata ini kadang-kadang di tambah dengan prefix atau suffix bergantung kepada penggunaan ayat.

Namun, hakikatnya makna asal perkataan abdi itu tidak boleh digantikan dengan maksud yang sama sekali lain.

Jika kata terjemahan di ganti dengan makna yang lain maka kita sebagai pembaca perlu menggantinya dengan makna asal.

Sebagai contoh, di keterangan ini, perkataan dari akar kata yang sama muncul iaitu ain-ba-dal, tetapi makna terjemahannya secara tiba-tiba berubah menjadi suatu konsep yang sangat lain iaitu menyembah.

A056

"Engkau sahaja kami sembah (nak-bu-du), dan kepada Engkau sahaja kami mohon pertolongan" AQ 1:5

Perkara sebegini menjadikan mesej Al Quran tidak dapat dihayati. Seolah-olah Al Quran ternampak seperti tidak konsisten. Sekejap kata A, di tempat yang lain pula kata B.

Berdasarkan pendekatan ini, maka hari ini mari kita cuba bongkar apakah makna perkataan-perkataan arab ini ;
   
Perkataan               Akar Kata            Maksud

Syirik                   Syim-Ro-Kaf       Perbuatan Mempersekutukan

Musyrik                Syim-Ro-Kaf       Seorang Yang Mempersekutukan

Musyrikin             Syim-Ro-Kaf       Sekumpulan Manusia Yg Mempersekutukan

Tasyrik                 Syim-Ro-Kaf       Hari Penyembelihan 10,11,12,13 Zulhijjah

Adakah logik perkataan dari satu akar kata yang sama iaitu syim-ro-kaf apabila diletak prefix "ta" menerbitkan perkataan TASYRIK tiba-tiba maknanya berubah begitu drastik menjadi suatu konsep seperti yang diterangkan oleh wikipedia di atas.

Tidakkah ia sepatutnya membawa maksud yang sama dengan syaraka iaitu perbuatan menyekutukan sesuatu ?

Etymology

Menurut kajian etymology makna sebenar Tasyrik dikaitkan dengan perbuatan sejenis tatacara hidup pagan yang memberi korban kepada tuhan di atas satu binaan khas yang di panggil mezbah atau altar.

Kehidupan pagan sebegini di amalkan di seluruh dunia pada zaman itu termasuk di Semenanjung Arab.

Kebiasaanya, di sekeliling altar ini di bina sebuah bangunan keagamaan mengikut tatacara hidup masyarakat setempat. Ia dibina sehebat yang termampu oleh jurutera pada masa itu.

Pelbagai binatang dikorbankan untuk menyukakan hati tuhan mereka. Ia adalah suatu bentuk rasuah secara terang-terangan.

Di dalam lipatan sejarah, manusia juga pernah menjadi mangsa dikorbankan untuk menyukakan hati tuhan. 

Kebiasaanya ini terjadi apabila tempat tinggal mereka ditimpa malapetaka seperti gempa bumi, banjir, gerhana matahari dan sebagainya.

Malapetaka sebegini, ditafsirkan sebagai kemarahan tuhan oleh masyarakat pagan.

Di dalam dunia Arab pula, Tasyrik merujuk kepada suatu tempoh menunggu. Iaitu menunggu darah objek korban menjadi kering sebelum meneruskan dengan ritual lain di dalam aturan hidup pagan mereka di ketika itu.

Sebenarnya, saya mengetahui perkara ini juga melalui wikipedia. Namun, entah mengapa fakta ini ditukar mutakhir ini. Tempatnya telah digantikan dengan fakta seperti di atas. Fakta yang lama telah hilang entah ke mana.

Kuil Dan Daya Tarikan


Jika kita rajin membuat pemerhatian, pasti kita menyedari bahawa di dalam mana-mana sistem agama mesti ada sebuah bangunan keagamaan yang paling hebat strukturnya di bina bagi mewakili zaman dan tempat kegemilangan istem agama tersebut.

Angkor Wat, Candi Borobudur, Sri Ranganathaswamy, Parambanan, Shwedagon pagoda, Wat Rong Khun, Jetavanaramaya, Karnak Temple, Callanish Stone, Ziggurat of Ur, Pyramids of Teotihuacan, Delphi, Ajanta Caves, The Pantheon, The Hyphogeom, Gobekli Tepe (sekadar menyebut beberapa nama) dan pelbagai binaan lain yang dijadikan tempat ritual penyembahan menurut sistem keagamaan yang menjadi kebanggaan sesebuah masyarakat.

Ia dibina sehebat yang mampu untuk menimbulkan perasaan kekaguman melampau yang tidak mampu di tolak oleh manusia yang memilih untuk mengikuti sistem agama tersebut.

Selain dari merekacipta kisah-kisah dongeng untuk diabadikan dan menguatkan kepercayaan ahli-ahli sistem agama tersebut, ada juga sesetengah masyarakat yang mengguna kaedah lain untuk mewujudkan perasaan terkasima (in awe) atau kekaguman yang melampau  mengenai sistem agama yang mereka cipta seperti mengguna bahan pengkhayal dan sebagainya.

Untuk memahami perkara ini dengan lebih lanjut anda boleh membaca artikel ini http://www.bbc.com/future/story/20160808-a-lost-temple-holds-the-secrets-to-the-origins-of authority

Secara kebetulan, semasa membaca artikel di atas, saya juga sedang membaca sebuah artikel lain di dalam sebuah akhbar tempatan.

Berikut adalah gambar-gambar yang saya rakam berkaitan dengan artikel yang saya baca di akhbar. Anda boleh membuat kesimpulan sendiri berdasarkan artikel BBC yang saya letak di atas.






Anda juga boleh membacanya di sini http://www.wonderfulpoint.com/2015/03/stunning-modern-construction-plans-for.html 

atau pun di sini http://www.projectarabgulf.com/2011/06/makkah1/

Kesimpulan

Jawapan saya kepada pertanyaan pembaca yang berkenaan mengenai di manakah silap kita di dalam ritual haji  ialah kita sebenarnya sedang melakukan syirik iaitu menerima arahan dari dua sumber yang berbeza.

Adakah kita boleh melepaskan diri dari kekalutan ini ?

Bagi saya, selagi kita tidak berhenti melakukan syirik iaitu menerima arahan dari dua sumber selagi itulah kita tidak akan berada di landasan yang betul secara berkumpulan.

Namun, sebaik sahaja kita menyedari hakikat ini dan mula mengikuti arahan yang sebenar maka kekalutan itu akan mati secara semulajadi. 

Kehidupan boleh diraikan semampu yang mungkin dan yang paling penting masyarakat boleh beroleh kedamaian.

Kita perlu kembali mempraktis perkataan yang menjadi lawan kepada SYIRIK iaitu TAWHEED atau satu sumber.

Kita perlu kembali kepada satu sumber rujukan sahaja sebagai panduan hidup. 

Dengan mengikuti satu sumber bererti kita hidup dengan mengakui Tuhan sebagai Esa, Tunggal atau Satu.

Inilah maksud sebenar Tawheed yang kita belakangkan. 

Kebanyakkan kita mengejar perhatian Tuhan sedangkan Tuhan mengkehendaki kita mendengar dan patuh kepada mesejNya, bukan cuba mencuri perhatianNya.

Kita masih beranggapan bahawa Tuhan adalah sesuatu entiti yang boleh kita dampingi dan jadikan sekutu. Itulah  punca dan penyebab manusia menjadi bergolongan. 

Tuhan aku lebih bagus dari Tuhan kamu.


# Artikel ini perlu di baca bersama-sama dengan artikel terdahulu iaitu
http://ashwed1973.blogspot.my/2015/04/organisasi-agama.html
http://ashwed1973.blogspot.my/2015/04/manusia-dan-batu.html
http://ashwed1973.blogspot.my/2015/06/islam-moden-vs-islam-al-quran.html
http://ashwed1973.blogspot.my/2016/04/sejarah-ringkas-ritual-korban.html
http://ashwed1973.blogspot.my/2015/04/tuhan.html  
Ashwed