Monday, 23 January 2017

Bersyukur

Kedamaian Untuk Semua,

A007

"Dan apabila Pemelihara kamu menyatakan, 'Jika kamu berterima kasih (sya-kar-tum), sungguh Aku akan menambahkan kepada kamu, dan jika kamu ingkar/menolak (ka-far-tum/kafir), azab-Ku sungguh keras" AQ 14:7

"And when your Lord proclaimed: If ye give thanks, I will give you more; but if ye are thankless, lo! My punishment is dire" AQ 14:7 

Di dalam artikel bertajuk " Ilmu Mengenal Diri" saya memberi contoh diet yang berdasar kepada jenis darah sendiri sebagai salah satu cara mengenal diri.

Ada yang mengatakan perkara ini sebagai pseudo-science. Mungkin ya, mungkin tidak.

Namun, dari pemerhatian kasar yang saya lakukan, saya fikir tidak perlu membuat kajian imperikal pun kita boleh mengetahui bahawa pada sesetengah orang mereka mengalami alahan kepada jenis-jenis makanan tertentu.

Saya adalah seorang yang tidak boleh makan nangka. 

Saya merasa sungguh kecewa akan hal ini kerana pada pendapat saya nangka adalah antara buah-buahan yang paling sedap tercipta untuk makanan manusia.

Walaubagaimanapun, jika saya makan buah ini, perut saya akan berangin. Ia menjadi kembung sehingga ia menolak semua asid perut ke kerongkong. Apabila ini berlaku saya sukar bernafas.

Semasa saya tidak mengetahui punca ini berlaku, saya pernah beberapa kali pergi ke bahagian kecemasan hospital di tengah malam buta kerana menyangkakan ia adalah serangan jantung.

Setelah membaca dan bertanya pendapat doktor baharulah saya mengenalpasti punca dan mengapa ia terjadi. Kini, saya sudah pandai mengawal penyakit GERD (Gastro Eusophogus Reflux Disease) yang saya alami.

Sidang pembaca yang di hormati sekalian,

Jika saudara membaca artikel saya mengenai diet makanan seperti di sini https://ashwed1973.blogspot.nl/2016/02/dogma.html anda boleh membuat kesimpulan bahawa buah nangka bagi diri saya adalah haram (sanction).

Ia tidak baik untuk kesihatan saya, namun, ini tidak bermakna orang lain yang tidak mempunyai apa-apa alahan tidak boleh menikmati buah ini. Mereka boleh sahaja menikmatinya.

Malah, saya sendiri boleh sahaja memakannya jika saya mahu menerima akibat kesengsaraan yang di bawa bersamanya.

Ingatlah "... jika kamu ingkar, azab-Ku sungguh keras" AQ 14:7 bukan sahaja keras malah ia sangat cepat " ...Dan sesiapa tidak percaya kepada tanda-tanda Allah, maka sesungguhnya Allah cepat buat hitungan" AQ 3:19 

Saya fikir tidak perlu sesiapa pun memberitahu anda akan hal ini. Ia sangat jelas dan terang.

Inilah perbezaan di antara orang yang BERSYUKUR dengan yang INGKAR.

Erti Bersyukur

Seringkali di dalam amalan masyarakat kita, apabila kita menerima sesuatu perkhabaran gembira maka untuk merealisasi rasa bersyukur, suatu kenduri kesyukuran akan di adakan.

Dari suatu segi, bersadaqah dengan memberi makan kepada anggota masyarakat yang memerlukan adalah amalan yang mulia.

Namun, jika sekiranya ia diadakan semata-mata untuk menunjuk-nunjuk, saya tidak fikir ia memberi manfaat yang banyak selain dari meninggikan ego diri sendiri sahaja. 

Ingatlah bahawa ego adalah salah satu jenis tuhan kepada diri kita.

A043

"Sudahkah kamu lihat orang yang mengambil keinginannya menjadi tuhannya? Adakah kamu jadi wakil kepada mereka ?" AQ 25:43

Selain daripada itu, ada juga yang merealisasi rasa bersyukur ini dengan melakukan apa yang dipanggil sebagai "sujud syukur". 

Sujud membawa makna patuh. 

Secara peribadi, saya merasakan perbuatan ini adalah meleset kerana pada pendapat saya tidak wujud suatu ritual yang dipanggil "sujud syukur".

Kita perlu memahami bahawa Zat Asal yang kita mahu kenali dengan pelbagai nama ini adalah Maha Kaya yang tidak memerlukan sesuatu dari kita.

Adalah sangat paradoks jika sekiranya kita mengakui bahawa kita percaya kepada Zat Asal tetapi melakukan sebaliknya.

A006

"Sesiapa berjuang, dia berjuang hanya untuk dirinya sendiri; sesungguhnya Allah Kaya daripada semua alam" AQ 29:6

Maka bagaimanakah cara yang paling sesuai untuk kita merealisasi rasa bersyukur. Adakah cukup sekadar menyebut "Alhamdulillah".

Adakah dengan menyebut perkataan ini kurniaan kepada kita akan bertambah ?

Kita perlu sentiasa ingat bahawa adalah jelas di dalam keterangan AQ 14:7 di atas, ada disebut bahawa jika kita bersyukur (berterima kasih) "... sesungguhnya Aku akan menambahkan kepada kamu .." atau "... I will give you more .."

Kata kunci yang perlu kita ingati ialah keadaan syukur yang kita realisasikan itu mestilah bernatijah menambah kepada apa sahaja kebaikan yang sedang kita perolehi. 

Inilah tanda utama bahawa kita sedang melakukan perbuatan bersyukur yang sebenar.

Izinkan saya sekali lagi mengguna contoh diet berdasarkan jenis darah. 

Katakanlah dapatan ini adalah benar. Ahli sains seluruh dunia menyokongnya sebagai sebuah fakta.

Katakanlah pula, dengan mengguna dapatan ini jenis darah anda tidak mengizinkan anda makan telur. 

Ini adalah kerana kandungan telur apabila bercampur dengan jenis darah anda akan membuat kolestrol di dalam darah menjadi tinggi.

Menurut dapatan ini juga, kekacang adalah sangat bagus untuk rantaian darah anda.

Maka dengan pengetahuan ini, anda bersyukur dengan mengelak makan telur. Sebaliknya memperbanyak diet kekacang.

Dengan cara ini, lagi banyak kekacang yang anda makan, anda akan dikurniakan kesihatan yang semakin baik. Ini adalah berdasarkan kepada ".. sesungguhnya Aku akan menambahkan kepada kamu".

Namun, jika anda ingkar. 

Sesudah mengetahui akan keadaan ini, anda masih mahu makan telur maka "... jika kamu ingkar, azab-Ku sungguh keras" dan "... sesiapa tidak percaya kepada tanda-tanda Allah, maka sesungguhnya Allah cepat buat hitungan".

Begitulah jua halnya jika anda dikurniakan dengan rezeki yang banyak. 

Anda perlu merealisasikan perasaan bersyukur itu dengan menggunakan harta yang anda perolehi itu ke jalan kebenaran. 

Iaitu dengan membuat perancangan, membayar hutang-hutang tertunggak, memberi sebahagian daripadanya kepada ahli keluarga terdekat yang memerlukan dan sebagainya.

Dengan pelan yang betul inilah anda menunjukkan rasa bersyukur yang sebenar dan dengan mengikut jalan yang betul ini sesungguhnya harta anda akan di tambah.

Namun, jika anda ingkar. 

Anda mengguna harta ini untuk berfoya-foya. Boros tidak kena tempat. Menjadi kedekut kepada ahli keluarga sendiri dan perkara-perkara buruk lain. 

Maka harta anda akan merosot dengan mendadak. Akhirnya, anda boleh kembali susah kerana tidak berhemah dan merancang.

Maka ingatlah  sesungguhnya ".. azab-Ku sungguh keras" dan "Allah cepat buat hitungan".

Di dalam hal kekeluargaan juga, merealisasi perasaan bersyukur dengan cara yang betul bakal menambah kebahagian sesebuah keluarga.

Sebagai contoh seorang wanita yang dikurniakan seorang suami dan beberapa cahaya mata, cara beliau bersyukur dengan pemberian Tuhan ini ialah dengan mengurus rumahtangganya dengan baik.

Jika beliau menjaga makan minum suami, pakaian dijaga rapi, katil dan bilik tidur teratur dan seterusnya melayan kehendak suami semampu yang boleh.

Suami pasti bertambah sayang kepada isterinya itu. Ini adalah kerana beliau merasa terhutang budi dan merasa tidak boleh hidup tanpa isterinya.

Nasihat saya kepada kaum wanita, jika anda mahu suami anda menyayangi anda sepenuh jiwa, layanlah beliau sehingga ke tahap hal seluar dalamnya pun beliau perlu bertanya kepada anda untuk mendapat kepastian.


Dalam pada itu, menguruskan anak-anak untuk menerima pendidikan, memastikan perut anak-anak berisi sebelum  ke sekolah juga amat penting. 

Kesemua hal ini akan menambah kebahagiaan rumahtangga anda. Ia akan menambah rasa sayang dan rasa kebergantungan anak-anak kepada anda. Sekaligus menyebabkan diri anda akan sentiasa diutamakan oleh mereka.

Ini adalah bukti jelas ".. sesungguhnya Aku akan menambahkan kepada kamu".

Sebaliknya jika kita ingkar, tidak menjaga dan mengurus rumahtangga dengan baik ".. azab-Ku sungguh keras" dan "Allah cepat buat hitungan".

Rumahtangga akan berantakan. Suami hilang rasa hormat lalu mula memandang wanita lain selain dari anda.

Anak-anak menjadi tidak hormat kepada anda. Akhirnya, kita merasa iri hati melihat kebahagiaan orang lain. Kita mula mengimpi untuk menjadi orang lain.

Apabila ini terjadi kehidupan kita sudah tidak asli lagi sedangkan kita disarankan supaya hidup dengan gaya hidup kita sendiri. 


Bagi seorang suami pula, walaupun tugas hakiki beliau sedikit berbeza. 

Namun, bentuk beliau merealisasi rasa bersyukur adalah sama iaitu dengan menjaga tuntutan  tanggungjawab yang diamanahkan kepada beliau dengan sebaik mungkin. 

Saya menulis sedikit mengenai hal rumahtangga ini kerana seringkali menerima persoalan ini menerusi email. 

Oleh yang demikian, saya mengingati diri saya sendiri dan sesiapa sahaja yang sedang membaca tulisan ini supaya sentiasa menunjukkan rasa bersyukur dengan melakukan perkara-perkara benar yang telah dirancang dengan teliti.

Jadikanlah setiap kebaikan yang sedang anda perolehi sebagai motivasi untuk membuat lebih banyak lagi kebaikan

Moga-moga apa sahaja kebaikan dan rezeki yang dikurniakan kepada anda akan bertambah.

Sebaliknya, jika anda sedang menerima nasib malang, ketahuilah anda sebenarnya sedang ingkar, lalu anda sedang di azab.

Keadaan malang ini datangnya dari diri anda sendiri yang masih gagal mencari punca bagaimana ianya menjadi sedemikian.

Lihatlah ke dalam diri anda sedalam-dalamnya, berikanlah kata-kata perangsang untuk diri anda sendiri. 

Mudah-mudahan anda mendapat idea dan berikhtiar mengatasinya.



Ashwed



11 comments:

  1. " Namun, dari pemerhatian kasar yang saya lakukan, saya fikir tidak perlu membuat kajian imperikal pun kita boleh mengetahui bahawa pada sesetengah orang mereka mengalami alahan kepada jenis-jenis makanan tertentu. "

    Salam .

    Minta maaf bercakap , saya fikir saudara sangat keliru berkenaan hal ini .

    Alahan terhadap sejenis buah atau telur atau susu atau apa-apa sahaja tidak ada kena mengena dengan jenis kumpulan darah .

    Mudah saja mahu dibuktikan , sebagai contoh ada seorang yang mempunyai darah kumpulan A positif alah terhadap buah nangka . Adakah kita boleh membuat kesimpulan bahawa semua orang yang mempunyai darah kumpulan A positif itu alah pada buah nangka ? Tidak .

    Kumpulan darah tidak ada kena mengena dengan alahan terhadap apa-apa pun . Tidak dibuktikan secara saintifik . Diet mengikut kumpulan darah juga tidak mempunyai asas saintifik .

    ReplyDelete
    Replies
    1. salam saudara anon 23 jan 2017 at 9.03,

      Kita sedang berbincang tentang isu bersyukur. Diet ikut darah tu hanya hujahan saya untuk sampai kpd point bersyukur. hanya contoh shj bukan diet itu mesej yg saya cuba sampaikan kpd pembaca.

      peace

      Delete
  2. Kupasan yang jelas dan mudah difahami malah sangat kena dengan maksud ayat.

    Terimakasih.

    ReplyDelete
  3. Baru feel bertapa susahnya utk bersyukur dan maintain bersyukur. Terima kasih ashwed ingatkan saya.

    ReplyDelete
  4. Salam,

    Bersyukur tidak akan mengubah hidup tapi tabiat bersyukur yang mendatangkan byk kebaikan kepada kita. Semua agama dalam dunia ini bercakap tentang bersyukur. Tetapi ramai tidak faham bersyukur ialah : -

    1- Menghargai kebaikan yang dialami tidak kira sekecil mana pun dari hirup udara segar di waktu pagi, minum segelas air utk hilangkan dahaga, melihat Matahari terbit sehingga perkara2 besar seperti berkahwin dgn jodoh impian atau mendapat peluang perniagaan. Bersyukur = menghargai dan mengingati kebaikan kita terima.

    2- Bersyukur tidak akan mengubah apa-apa kerana setiap manusia mempunyai lebih kurang 50,000 fikiran setiap hari. Majoriti fikiran kita adalah negatif. Satu cara sahaja untuk lawan fikiran2 negatif ini iaitu dengan menjadikan bersyukur sebagai tabiat. Hidup hanya akan berubah secara drastik apabila kita bersyukur secara automatik sepanjang hari.

    Contoh :

    Saya telah cuba beberapa kali utk buat workout. Workout biasanya mengambil masa 20-30 minit dan sangat meletihkan. Selama bertahun-tahun saya gagal amalkan workout secara konsisten lebih daripada 3 hari.

    6 bulan lepas saya download satu apps bina badan. Apps ini mempunyai reminder setiap hari, rekod dan vector animation. Setiap kali selesai jalani workout, apps ini akan buat tanda right ikut urutan hari. Misi saya ialah jangan bagi tanda right itu putus kerana saya tak mahu rosakkan susunan tanda right tersebut kalau miss satu hari.

    Selepas 2 bulan, saya tetap akan buat workout walaupun meletihkan kerana dalam minda bawah sedar (subconscious mind) telah diprogramkan utk buat workout. Skrg dah hampir 6 bulan saya tak pernah miss satu hari pun buat workout.

    Kita tak perlu komited (solat) sepanjang hayat. Kita perlu komited untuk mengulang (repetition) sesuatu tabiat positif selama 30-90 hari sahaja. Semakin banyak ulangan dilakukan, semakin kurang motivasi diperlukan.

    Untuk memprogramkan sesuatu tabiat positif seperti bersyukur, afirmasi dan sebagainya, kita perlu kaedah seperti dalam apps itu. Gunakan satu kalendar (jenis horse race), tampal pada dinding atau almari. Selesai lakukan sesuatu yang anda mahu jadikan sebagai tabiat, tanda pangkah dengan marker merah pada tarikh hari anda lakukannya. Misi anda jangan bagi tanda pangkah merah itu putus.

    Bagi saya, antara amalan bersyukur paling berkesan ialah tulis diari sebelum tidur dan nyatakan 5 perkara yang anda syukuri. Setkan timer pada phone selama 10 minit untuk tulis dan flashback setiap 5 kebaikan yang anda terima itu. Banyak lagi amalan bersyukur boleh dilakukan sepanjang hari.

    Bersyukur diberikan satu hari lagi untuk hidup setiap kali bangun tidur, hirup udara segar di tingkap, bersyukur mandi air panas untuk bersihkan badan, bersyukur tinggal dalam rumah yang melindungi kita dari suhu sejuk dan panas, bersyukur ada anggota tubuh, tangan, kaki, mata, telinga, mulut yang lengkap untuk memudahkan kehidupan harian dan apa sahaja yang beri kebaikan kepada kita tidak kira sekecil mana pun.

    Dalam masa beberapa hari sahaja anda akan rasa seronok banyak cabaran dalam hidup anda selesai dengan mudah dan mendapat peluang2 rezeki dari arah tidak disangka. Apabila kita bersyukur, hidup ini akan merancang perkara-perkara baik berlaku untuk kita.

    Tinggalkan perkara2 negatif seperti suratkhabar, TV, berita, drama, filem ganas, sedih dsbg., mengumpat, baca blog & portal politik, dgr lagu2 sedih. Perkara2 ini nampak mcm biasa tapi sebenarnya menyeret fikiran negatif. Fokus kepada perkara2 baik seperti kemas rumah, baca buku2 berfaedah, berkebun, bersenam, meditasi.

    Hidup ini sekejap sahaja, purata manusia hidup 60-70 tahun. Gunakan sebaik mungkin untuk capai impian anda tidak semestinya materialistik. Tuhan jadikan Ibrahim sebagai imam manusia kerana beliau ialah seorang yang selalu bersyukur. Dalam Al-Quran semua keturunan Ibrahim adalah golongan bersyukur dari Ishak, Yakub, Yusuf, sehingga Musa, Daud, Sulaiman dan ramai lagi nabi dan rasul termasuk Isa.

    Maaf tuan Ashwed kerana komen panjang. Saya cuma nak kongsi semoga sama-sama beri manfaat kepada kita semua.

    ReplyDelete
    Replies
    1. Salam zack,

      apa nama apps tersebut ?

      damai

      Delete
    2. 30 Day Fitness Challenge.

      Apps ni tidak kena mengena dgn bersyukur tp point saya ialah habit creation process.

      Alang2 saya kongsikan beberapa apps yg bagus utk bina tabiat positif : -

      Fabuluos - apps ni agak tricky tp UX design terbaik
      OK Timer - kiraan masa
      7 Weeks - untuk bina tabiat baru
      My Affirmations - afirmasi minda
      Nature Sounds - bunyi alam semulajadi utk meditasi

      Delete
    3. Terima kasih utk perkongsian ini.

      -Mimn-

      Delete
  5. Terimakasih Zack. Dulu saya pun overweight dgn ubah sikap dan buat atkins diet dapat buang fat dan berat turun dari 75 ke 57 in 2 months.
    Now tgh strongly amalkan pam grout dan bob proctor the power of subconcious. Tq

    ReplyDelete
  6. Apa pendapat kekawan jika saya cp-kan 22 ayat dari surah An Nisa' 81 - 90 dan 98 - 109 mungkin ada pelajaran darinya;

    4:81 Dan mereka mengatakan taat dan apabila mereka beredar darimu segolongan dari mereka merancang selain apa yang dikatakan dan Allah mencatatkan apa yang telah mereka rancangkan maka berpalinglah dari mereka dan pasrah kepada Allah dan cukuplah Allah wakil kamu.
    4:82 Apakah tidak mereka perhatikan kepada -lqur’aana jika dianya dari selain Allah pastinya terdapat banyak percanggahan.
    4:83 Dan apabila datang kepada mereka perintah keamanan atau kecemasan mereka hebahkan dan jika mereka kembali kepada rasul dan penguasa mereka maka orang yang telah melakukan kajian mengetahuinya dan jika tidak kerana kurniaan Allah kepadamu pastinya kamu mengikuti syaitan melainkan sedikit dari kalangan kamu.
    4:84 Maka berjuanglah dijalan Allah dan kamu tidak disekat melainkan dengan kehendak dirimu dan diteguhkan bagi orang yang amanah dan Allah melupuskan kekuatan dari orang yang tidak percaya dan sesungguhnya Allah sangat dahsyat dan keras pembalasanya.
    4:85 Sesiapa berperantaraan suatu perantaraan/syafaa’atan yang terbaik akan ada bahagian darinya dan sesiapa berperantaraan suatu perantaraan buruk akan ada bahagian yang ditanggung darinya dan Allah atas segala sesuatu yang memberi peruntukanya/muqiitan.
    4:86 Dan apabila kamu dihormati dengan penghormatan maka hormatilah dengan yang lebih baik atau kembalikanya dengan yang serupa dan hanya Allah yang menghitung segalanya.
    4:87 Allah tiada tuhan melainkan Dia dan pasti dihimpunkan kamu pada hari kebangkitan yang tiada keraguan didalamnya dan siapakah yang lebih benar hadiitsan selain Allah.
    4:88 Mengapa kamu ketengahkan hal orang munafik sedangkan Allah telah kecundangkan mereka atas apa yang mereka usahakan dan adakah kamu ingin memberi petunjuk kepada sesiapa yang Allah sesatkan malahan sesiapa yang Allah sesatkan maka tiada lagi baginya jalan.
    4:89 Mereka menghendaki kamu ingkar sepertimana mereka ingkar supaya kamu menjadi seperti mereka maka jangan kamu ambil mereka sebagai pemimpin sehingga mereka berhijrah kepada jalan Allah dan jika mereka berpaling maka tawan dan hapuskan mereka dimana kamu menemuinya dan jangan jadikan mereka pelindung atau penolong.
    4:90 Kecuali mereka yang telah adakan perjanjian hubungan kaum diantara kamu atau datang dengan sesak dada bagi memerangi kamu dan kaum mereka dan jika dikehendaki Allah pasti diberi kuasa kepadamu bagi mengatasi mereka dan jika mereka melemparkan diri kepada kedamaian pastinya Allah memberi mereka jalan.

    bsmbg,

    ReplyDelete
  7. smbg,

    4:98 Kecuali orang yang lemah dari lelaki dan perempuan dan kanak-kanak dan yang kurang upaya dan tidak mendapat petunjuk kepada jalannya.
    4:99 Mudah-mudahan Allah dapat memaafkan mereka dan hanya Allah yang Pengampun yang Pemaaf.
    4:100 Dan sesiapa berhijrah dijalan Allah mendapati luas tempat berlindung dan sesiapa keluar dari sistem terdahulu dan berhijrah kepada Allah dan rasulnya dan mereka menemui kematian pasti Allah yang menetapkan ganjaranya dan Allah yang Pengampun yang Penyayang.
    4:101 Dan jika kamu menerokai buminya maka tidak bersalahan bagimu ringkaskan kewajipanmu jika kamu takut fitnah dari orang yang tidak percaya malahan orang yang tidak percaya musuh yang nyata bagimu.
    4:102 Dan apabila kamu berada dikalangan mereka dan ingin melaksanakan kewajipanmu maka bersedia segolongan darimu dan mereka hendaklah menyandang senjatanya dan apabila sampai giliran mereka maka kamu undur kebelakang memberi ruang kepada golongan lain dan hendaklah kamu berwaspada dengan senjatamu dari orang yang tidak percaya mungkin mereka cuba merampas senjatamu dan tidak bersalahan jika terdapat gangguan hujan atau sakit bagimu meletakkan senjatamu maka berwaspadalah malahan Allah yang menyediakan bagi orang yang tidak percaya azab yang sangat hina.
    4:103 Dan apabila kamu selesai melaksanakan kewajipanmu maka ingatlah Allah ketika berdiri atau duduk atau berbaring dan apabila tenteram maka laksanakan kewajipanmu sesungguhnya pelaksanaan kewajipan telah dikitabkan waktunya bagi orang yang amanah.
    4:104 Dan jangan kamu merasa terhina dalam mencari kehidupan duniawi dan jika kamu derita maka mereka telah menderita sepertimana kamu telah menderitainya dan kamu harapkan dari Allah tetapi mereka tidak maka hanya Allah yang Mengetahui yang Bijaksana.
    4:105 Dan Kami turunkan kepadamu kitab dengan benar bagi menghukum diantara manusia dengan apa yang diperlihatkan Allah dan jangan kamu menjadi pengkhianat dan penentang.
    4:106 Mohon keampunan Allah malahan Allah Pengampun dan Penyayang.
    4:107 Dan jangan kamu berhujah dengan orang yang mengkhianati dirinya sesungguhnya Allah tidak mencintai pengkhianat yang berdosa.
    4:108 Mereka dapat sembunyi dari manusia tetapi tidak dapat sembunyi dari Allah malahan Dia bersama mereka ketika menjelaskanya dan Dia tidak meredhai perbuatan mereka dan pasti Allah mengawasi mereka.
    4:109 Beginilah kamu pertikaikan kehidupan duniawi maka siapakah yang akan pertikaikan akhiratnya selain Allah atau siapakah wakil mereka.

    Sekian hayatilah jika bermanafaat.

    ReplyDelete