Sunday, 31 January 2016

Paradoks

Perhatikan betul-betul gambar ini. Apakah yang tidak kena dengan gambar dan kenyataan yang tertera.

                                         
Melalui machine gun yang dikendong dan suasana negara yang beliau diami kita dapat mengagak bahawa orang ini sedang menanti peluang untuk membunuh seorang insan lain.

Jika beliau berjaya membunuh atau beliau sendiri terbunuh akibat perbuatan puak yang bermusuh ketahuilah bahawa perbuatan itu sama dengan membunuh keseluruhan spesis manusia. 

Menurut satu kajian terdapat lebih kurang 11 peratus rakyat Malaysia menyokong perjuangan Islamic State (I.S) di negara-negara Timur Tengah. 

Jika kita mengira peratusan ini di kelompok mereka yang beragama Islam sahaja maka sudah tentulah nisbah peratusannya akan menaik secara mendadak.

Gambar yang tertera di atas adalah satu contoh dari beribu laman sesawang atau fanpage facebook yang di dirikan khas dengan tujuan menyatakan sokongan kepada I.S.

Saudara pembaca budiman. Ini adalah contoh jelas kenapa saya berkali-kali memberitahu bahawa kebanyakkan orang kita hanya setakat tahu bahawa Tuhan itu wujud sahaja.

Namun, pada dasarnya mereka tidak menaruh keyakinan kepada Tuhan, Zat Asal yang Maha Memelihara, Maha Berkuasa, Maha Mengetahui, Maha Pengasih dan lain-lain sifat Tuhan yang kita ketahui.

Kepercayaan mereka kepada Tuhan hanyalah di mulut sahaja. Sedangkan di jiwa mereka tidak ada keyakinan tersebut. 

Inilah yang di beri nama paradoks. 

Mula-mula mereka bermati-matian mengatakan Tuhan adalah Maha Berkuasa menguasai seluruh dunia dan isinya.

Tetapi setelah mereka mengakui perkara ini mereka berpatah balik.

Kini, mereka merasakan bahawa mereka perlu mempertahankan Zat yang Maha Berkuasa ini lalu merasakan perlu berperang dengan "musuh-musuh Allah" seolah-olah Zat itu begitu lemah.

Apabila keyakinan ini tiada di jiwa mereka, maka mereka merasakan bahawa diri merekalah sekutu Tuhan yang dilantik untuk mempertahankan nama, agama dan menjadi pejuang Tuhan.

Malah, ada yang menubuhkan Parti Politik kononnya demi mempertahankan Tuhan yang pada mulanya mereka akui Maha Berkuasa itu.

Ketahuilah bahawa Tuhan tidak mempunyai sekutu di dalam KerajaanNya. Kita sekali-kali bukanlah sekutu Tuhan.


A111

"Dan katakanlah : "Segala puji bagi Allah yang tidak mempunyai anak dan sekutu di dalam kerajaanNya dan Dia bukanlah hina yang memerlukan penolong dan agongkanlah Dia dengan pengagongan yang sebesar-besarnya" AQ 17:111

Penyakit tiada keyakinan ini adalah punca kepada banyak masalah di dalam dunia kini terutamanya peperangan.

Walaupun ia juga terjadi di dalam agama-agama lain terutamanya di zaman lampau, namun mereka berjaya keluar dari belenggu tersebut.

Kini penyakit ini sudah kurang ketara di negara mereka, namun ianya masih sangat ketara di dalam kelompok negara yang memanggil diri mereka Islam.

Mengapakah kita merasakan bahawa kita adalah sekutu Tuhan ?

Apakah kita masih tidak mengerti bahawa tiada satu pun di dunia ini adalah milik kita. Keluarga, harta, kekayaan, pengaruh, kebahagiaan segalanya bukan milik kita.

Kita hanya menikmatinya. Itupun masih ramai yang angkuh.

Ada yang tidak suka dengan kentut, ada yang tidak suka dengan rambut dan pelbagai alasan yang kita reka untuk menolak nikmat Tuhan.

Jika semua ini bukan milik kita jadi mengapakah kita masih mahu berperang untuk mempertahankan sesuatu yang asalnya adalah bukan hak kita ?

Kalau kita tidak merasa begitu, iaitu diri kita sebagai sekutu Tuhan. 

Kita ambil pula para Nabi dan Rasul sebagai sekutu Tuhan  dan kita jadikan mereka ini setaraf dengan Tuhan.

Kita merasa tidak senang apabila hanya nama Tuhan sahaja di sebut.

Kita mahu ada nama-nama lain di sebut di samping Tuhan barulah kita merasa senang hati.

A045

 
"Dan apabila hanya nama Allah saja disebut, kesallah hati orang-orang yang tidak beriman kepada kehidupan akhirat; dan apabila nama sembahan-sembahan selain Allah yang disebut, tiba-tiba mereka bergirang hati" AQ 39:45


Sepuluh tahun lepas semasa saya memulakan pengembaraan saya mencari kebenaran melalui Al Quran, saya merasai sendiri bagaimana gundahnya perasaan apabila saya cuba menyebut " La Illah Ha illallah " sahaja tanpa menyebut ungkapan yang kedua.

Alhamdulillah, dengan membaca dan membuat kajian dengan lebih mendalam akhirnya saya dapat meyakinkan diri sendiri bahawa sebenarnya tiada satu jenis ungkapan pun yang bisa kita lafazkan untuk menjadikan diri kita beriman.



Semuanya berada di dalam pengetahuan Tuhan kerana Dia Maha Mengetahui.



Apabila semakin yakin dengan kajian yang dilakukan yakni mengenai kebenaran Al Quran maka saya cuba menyebarluaskannya kepada ahli keluarga dan rakan taulan.


Di sini saya dapat merasai sendiri pengalaman di tolak mentah-mentah dan di panggil gila, isim dan sesat

Perlu di ingat bahawa saya bukan bercerita mengenai kebenaran Al Quran kepada jiran saya yang beragama Buddha atau Hindu atau Kristian.

Saya cuba menerangkan Al Quran kepada mereka yang menggelar diri mereka Islam.

Yang sejak dari kecil belajar mengaji Al Quran di sekolah formal atau tidak formal.

Yang saban "Ramadhan" dengan bangga memberitahu bagaimana mereka berjaya bertaddarus sehingga khatam Al Quran di dalam tempoh sebulan.

Maka benarlah keterangan ini ;


A046

"Dan Kami adakan tutupan di atas hati mereka dan sumbatan di telinga mereka, agar mereka tidak memahaminya. Dan apabila kamu menyebut nama Tuhanmu sahaja di dalam Al Quran, nescaya mereka berpaling ke belakang kerana bencinya" AQ 17:46

Hakikatnya mereka tidak merasakan Al Quran ini lengkap untuk kegunaan manusia. Keyakinan mereka hanya sekadar di mulut namun tidak di jiwa.

Malangnya, mereka percaya dengan membaca ayat dari surah sekian, nombor sekian ke sekian ia akan dapat menghalau hantu dan jembalang.

Jika membaca ayat-ayat yang lain pula maka rezeki mereka akan bertambah.

Ada juga ayat yang boleh mengubat pelbagai jenis penyakit. Dari kanser sehinggalah kepada tetemeh (jampi akibat tersampuk) kesemuanya mereka percaya terdapat di dalam Al Quran.

Dalam lain perkataan mereka menyangka bahawa Al Quran ini adalah suatu Kitab Hikmat yang boleh membawa 1001 keajaiban di dalam lingkaran hidup mereka.

Untuk itu, kepada mereka, Al Quran ini tidak boleh di langkah. 

Jika terlangkah ia perlu disucikan kembali dengan meletakkannya di dahi, hidung dan mulut sebanyak 3 kali. 

Apabila ada orang yang memijak Al Quran maka timbullah kemarahan yang amat sangat dihati mereka yang menganggap Al Quran sebagai Kitab Hikmat. Banyak kejadian buruk berlaku bermula dari peristiwa sebegini.

Mengapa kita merasa marah jika Al Quran dipijak ?

Tidakkah kita ketahui bahawa Tuhan yang Maha Berkuasa tidak akan jatuh dari Arasy hanya kerana ada manusia ciptaannya memijak Al Quran.

Al Quran bukan simbol atau punca kuasa Tuhan. Al Quran ini juga bukan sekutu Tuhan. Ia sekadar pelajaran. Maka adakah sesiapa yang mahu mengambil pelajaran daripadanya.

Sedarlah bahawa segala perkara yang menyebabkan kita marah kononnya sebagai penghinaan kepada Tuhan hanyalah persangkaan kita sahaja.

Apabila kita marah, amarah itu hanya boleh merosakkan diri sendiri dan makhluk-makhluk lain di sekeliling kita sahaja.

Hakikatnya tiada apa pun yang kita buat mampu mengetis sedikitpun kekuasaan Tuhan.

Janganlah kita menjadi gulana atau merasa tercabar dengan ketidakmampuan orang lain untuk memahami kekuasaan Tuhan.

Jika seluruh manusia yang hidup kini tidak lagi mempercayai Tuhan pun, Dia tetap akan wujud dan mempunyai kekuasaan yang sama.

Itulah Tuhan, Pemelihara alam semesta yang kita abdikan diri penuh seluruh dengan mendengar dan mematuhi arahan-arahanNya.

Kita merujuk Tuhan, Zat Asal ini sebagai Allah di dalam Al Quran.

Hakikatnya kita bukan beriman kepada terma rujukan Allah, yang sebenarnya pengadbian kita adalah kepada Zat Asal yang tidak mempunyai nama, demi sesungguhnya tiada nama yang mampu mentafsir keagonganNya.

Perang Mazhab

Maka jika Tuhan itu mempunyai kekuasaan yang Maha Luas sehingga kita tidak diperlukan untuk mempertahankanNya, lalu apa sebenarnya alasan kepada peperangan yang manusia masuki.

Sedarlah, kesemua perang yang kita masuki adalah kerana kehendak kita untuk mempertahankan ideologi pemikiran kumpulan kita.

Islam berperang dengan Kristian.

Islam berperang dengan Judaism.

Hindu berperang dengan Islam.

Buddha berperang dengan Islam

Kristian Protestan berperang dengan Kristian Katolik.

Islam Sunni berperang dengan Islam Syiah.

Semua peperangan ini tidak mampu mempertahankan Zat Tuhan. Ia hanya mampu mempertahankan ideologi kumpulan anda sahaja.

Maka tidaklah menjadi ganjil jika Tuhan menyamakan perbuatan mereka yang bergolongan (syi-ya-an iaitu mereka yang beragama dan bermazhab) sebagai perbuatan mempersekutukan  Tuhan.

Kesimpulan

Saya berdoa supaya atuk yang gambarnya tertera di atas tidak berjaya membunuh sesiapapun pada hari itu.

Saya juga berdoa supaya beliau tidak terbunuh agar cucu-cicitnya nanti tidak pula membalas dendam di atas kematian datuk mereka itu.

Biarlah pusingan itu terhenti di situ sahaja.

Tidakkah kita sedar bahawa sesungguhnya tiada apa kebaikan yang boleh kita perolehi dari peperangan.

Ia hanyalah suatu manisfestasi betapa teruknya diri kita telah dipengaruhi oleh sifat buruk (syaitan) kita sendiri.

Ini bukanlah bermaksud saya tidak merasa kasihan kepada nasib yang menimpa anak-anak di Syria.

Diberitakan ada di antara mereka yang terpaksa memakan rumput kerana ketiadaan makanan.

Namun, kita tidak berupaya menolong mereka. 

Adakah anda rasa dengan menderma berjuta-juta atau menghantar berkarung-karung guni makanan dan ubat-ubatan akan dapat mengubah nasib mereka ?

Sudah tentu tidak, kerana mereka tidak boleh berubah dengan duit, makanan atau ubat-ubatan. 

Yang perlu mereka ubah ialah mentaliti mereka dan menjadi orang-orang yang damai (muslim). Hanya diri mereka yang mampu mengubahnya.

Selagi mereka menolak bahawa sesungguhnya satu-satunya aturan/cara/amalan hidup (deen) yang di redhai Tuhan ialah kedamaian (Islam) maka selagi itulah mereka akan berada di dalam api (naar).

Oleh yang demikian, kepada mereka yang hatinya hidup. Tetapkanlah keazaman iaitu untuk menegakkan kedamaian (Islam) moga dengan azam itu nasib kita  menjadi lebih baik dari semalam.

Janganlah kita terjerumus menjadi paradoks. Mulut kata lain, jiwa ada benda yang lain.

Buanglah sikap merasa diri kita adalah sekutu Tuhan.  

Para Nabi, Rasul, juga para "mailakat" yang begitu kita agongkan itu juga bukanlah sekutu Tuhan. Tuhan adalah tunggal yang tidak mempunyai sekutu.

Sesungguhnya boleh sahaja Tuhan memancarkan keterangan Al Quran ini di puncak mana-mana gunung ciptaanNya.

Namun, percayalah nescaya gunung ini pula akan manusia angkat menjadi sekutu Tuhan dan letakkan kedudukannya setaraf dengan Zat Tuhan seperti yang mereka buat ke atas para Nabi.

Sedarlah bahawa kita sekali-kali tidak boleh mempertahankan satu Zat yang mempunyai kuasa yang tidak terhingga agongnya.

Kita juga tidak mampu membuat jiwa yang sudah mati mendengar, apabila mereka sudah berpaling.

A080  

A081 

Sesungguhnya kamu tidak dapat menjadikan orang-orang yang mati mendengar, dan menjadikan orang-orang yang tuli mendengar panggilan, apabila mereka telah berpaling ke belakang. Dan kamu sekali-kali tidak dapat memalingkan orang-orang buta dari kesesatan mereka. Kamu tidak dapat menjadikan (seorangpun) mendengar, kecuali orang-orang yang beriman kepada tanda-tanda (bi-ayat-tina) Kami, lalu mereka menjadi orang yang damai (muslimuna)AQ 28:80-81 


A162

“Katakanlah: Sesungguhnya keazamanku, pengorbananku, hidupku dan matiku adalah kerana Allah Tuhan sekelian alam.” AQ 6:162



Ashwed

Tuesday, 26 January 2016

Demi Masa Dan Kegelapan

 

Saya baru menghabiskan sebuah buku bertajuk "A Brief History Of Time" tulisan Stephen Hawking seorang ahli fizik paling terkemuka dekad ini.

Sebagai seorang yang berkecimpung di dalam bidang sains sosial sejak zaman berzaman, saya akui agak sukar untuk saya memahami teori-teori fizik yang diutarakan oleh buku ini.

Di bahagian kata pengantar buku ini, Stephen Hawking memberi statistik bahawa buku beliau di baca oleh penduduk dunia dengan kadar 1:7. Iaitu di dalam setiap 7 orang pasti ada seorang yang sudah membaca buku ini.

Ini mejadikan "A Brief History Of Time" sebagai sebuah buku genre fizik paling laris di dunia.

Saya pasti beliau mengambil statistik ini secara purata kepada nisbah jumlah penduduk dunia.

Namun, jika beliau mengira statistik ini di dalam dunia Islam, saya kira jumlah ini kemungkinan besar akan berkurang mungkin 1:20,000 atau lebih.

Ya, mungkin saya sedikit melebih-lebih. Namun itulah hakikatnya. Secara umum, orang Islam sangat malas membaca.

Itulah sebabnya pemikiran kita dengan mudah dipegang oleh agamawan. Dengan sedikit ugutan sahaja, "Jika tak buat perkara-perkara ini, kamu akan masuk neraka" terus kita jadi pak turut.

Kekurangan pengetahuan adalah bencana besar bagi kewujudan sesuatu masyarakat.

Berbalik kepada buku Stephen Hawking, saya dapati banyak kesimpulan beliau yang bertepatan dengan Al Quran seperti Angkasa Raya setiap hari meluas.  

Walaupun bukan beliau yang mengemukakan teori tersebut. Namun, beliau memberi komen yang sangat memberansangkan mengenainya ;

“The discovery that the universe is expanding was one of the great intellectual revolutions of the 20th century.” 

Berikut adalah keterangan Al Quran mengenai perkara ini.

A047

“And it is we who have built the universe with (our creative) power and keep expanding it” AQ 51:47

Beliau juga mendapati bahawa dunia ini di tadbir dengan satu set undang-undang yang rasional.

Al Quran mengenali perkara ini sebagai Sunnatullah.

Berikut adalah kenyataan Stephen Hawking ;


“Is one of order, the more we discover about the universe, the more we find that it is governed by rational laws"
Dan yang paling utama ialah Angkasa Raya bermula dengan KETIADAAN. Kemudian ia menjadi ADA dengan letupan supernova yang dikenali sebagai Big Bang.

Teori ini adalah bertepatan dengan dua keterangan ini. Iaitu kewujudan Zat Asal ialah melalui KETIADAAN atau GHAIB.

 A115

"Dan kepunyaan Allah-lah timur dan barat, maka ke manapun kamu menghadap di situlah wajah Allah. Sesungguhnya Allah Maha Luas (rahmatNya) lagi Maha Mengetahui" AQ 2:115
    
A103

"Dia tidak dicapai oleh penglihatan mata, sedang Dia dapat melihat segala yang kelihatan; Dialah Yang Maha Halus lagi Maha Mengetahui" AQ 6:103

Masa

Perkara yang paling penting untuk kita amati ialah sebaik sahaja terjadinya letupan supernova ini. Iaitu sebelum letupan ini berevolusi menjadi gas yang akhirnya berevolusi menjadi planet dan bintang, perkara pertama yang terwujud sudah tentulah MASA.

Ia bermakna MASA adalah suatu ketetapan yang kewujudannya sama tua dengan usia supernova itu sendiri iaitu berpuluh billion tahun.

Ia juga memberitahu kita bahawa sebelum insan-insan agong seperti Nabi Musa, Nabi Isa dan Nabi Terakhir dicipta, Zat Asal iaitu Pemelihara kita terlebih dahulu mencipta masa.

Seraya dengan itu adalah sangat wajar untuk kita menghormati masa lebih tinggi dari kita menghormati nama-nama yang kita kaitkan dengan agama.

Yang mana dengan nama-nama yang kita anggap suci inilah juga kita mewajarkan peperangan dan pembunuhan.

Tuhan mengingatkan kita di dalam keterangan ini ;




A001

A002

A003  
 
"Demi Masa. Sesungguhnya manusia dalam kerugian, kecuali orang-orang yang percaya dan membuat kerja-kerja baik dan saling berwasiat pada yang benar dan saling berwasiat untuk sabar" AQ 103:1-3 

* Terjemahan Othman Ali, Bacaan 

Masa tidak pernah menunggu sesiapa. 

Jika kita gagal menghormati masa yakni dengan menepatinya. Membuat perancangan dengan tidak mengambil kira faktor masa.  Merasakan bahawa masa senantiasa menunggu kita. Kita pasti akan gagal.

Kegelapan

Pernahkah anda terfikir mengapa manusia secara umumnya takut kepada kegelapan ?

Saya pernah menerangkan akan hakikat kewujudan Zat Asal. Anda boleh baca di sini http://ashwed1973.blogspot.com/2015/10/membalas-komentar.html

Buku Stephen Hawking menjelaskan bahawa di antara ADA iaitu, bintang, planet, komet dan gas di angkasa lepas terwujud KETIADAAN yang  saintis kenali sebagai Ether.

Ether adalah kegelapan yang kita dapat lihat di angkasa lepas. 

Bagi saya ini adalah perkara paling dekat di antara kita dan hakikat kewujudan Zat Asal di dalam KETIADAAN. 

KETIADAAN SINONIM DENGAN KEGELAPAN.

Oleh sebab manusia secara semulajadi takut kepada Tuhan maka itulah sebabnya kita seringkali merasa takut dan panik apabila berada di dalam KEGELAPAN.

Namun begitu, kita perlu faham bahawa walaupun gelap, KETIADAAN tidak boleh mengapa-apakan kita.

Jika kita berjalan di dalam suatu bilik yang gelap tetapi kosong tanpa ada apa-apa, bolehkah kita dicederakan dengan KETIADAAN itu ?

Hanya sesuatu yang ADA sahaja yang boleh mengapa-apakan, mencedera atau membunuh kita.

Satu-satunya perkara yang boleh mengapa-apakan kita di dalam suatu bilik kosong yang gelap ialah kemungkinan kita tersilap langkah, terhadung kaki sendiri lalu jatuh.

Itulah sebabnya Tuhan memberitahu bahawa sesuatu yang buruk adalah disebabkan diri kita sendiri ;


A079

"Apa sahaja yang baik timpa kamu, ia adalah daripada Allah; apa sahaja yang buruk timpa kamu adalah daripada diri kamu sendiri. Dan Kami utus kamu kepada manusia sebagai Rasul, dan cukuplah Allah jadi saksi" AQ 4:79

Fikiran Simpleton "ala melayu"

Semasa membaca buku ini. Saya tertanya-tanya apakah nasib Stephen Hawking jika beliau dilahirkan di alam Melayu.

Adakah beliau berjaya memupuk pemikiran beliau dengan bebas tanpa pengaruh agama dan politik ? 

Alam Melayu kekurangan individu yang mempunyai pemikiran complicated sebegini.

Jika adapun manusia yang berfikiran ke hadapan majoriti kita yang lain akan cuba menjatuhkan pemikiran itu.

Contohnya Dato Onn Jaafar dengan visi Parti Negara, Tan Sri P. Ramlee yang meninggal dalam keadaan papa akibat irihati pesaingnya dan Dr.  Kassim Ahmad yang dikenakan tuduhan jenayah oleh Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan kerana beliau berfikir.

Kita takut untuk cuba mempraktik pemikiran yang bebas ini.

Kerana ketakutan ini jugalah menyebabkan kita berfikir secara mudah untuk menyelesaikan masalah kita.

Berikut adalah contoh penyelesaian mudah kita kepada masalah masyarakat ;

1. memisahkan jantina di majlis kenduri, barisan cashier ;
2. mengharamkan alkohol termasuk memegang dan mengurus botolnya ;
3. kahwin cepat untuk mengelakkan zina ;
4. poligami untuk elak zina dan menolong wanita ;
5. menjadi polis moral seperti mengendap orang lain atau menyibuk pemakaian fesyen seseorang ;
6. pakai tudung
7. menangkap dan memalukan mereka yang makan di siang hari di bulan puasa ;
8. menggelar sesiapa  yang mempunyai pendapat berbeza dengan gelaran memalukan seperti sesat dan kafir ;
9. menjerit sekuat hati atau menyindir mereka yang berbeza pendapat dengan kita ;
10. mengguna jeritan, memaki sebagai jalan untuk menaikkan semangat atau mengubah mentaliti seseorang;
11. Mengisytihar memegang anjing dan babi sebagai haram dan macam-macam lagi perkara yang benar-benar menyedihkan.

Ketahuilah bahawa kesemua pemikiran simpleton ini tidak boleh mengubah mentaliti masyarakat kita.

Untuk mengubah mentaliti seseorang kita perlu melakukan "Jihadan Kabiran" atau Biggest Struggle atau Perjuangan Terbesar.

Iaitu ini ;

A052 

"Maka janganlah kamu mengikuti orang-orang kafir, dan berjihadlah terhadap mereka dengan Al Quran dengan jihad yang besar" AQ 25:52

Jihadan Kabiran adalah menyebarluaskan Al Quran. Al Quran membawa erti Bacaan. Ia adalah isim makrifah atau kata nama atau noun

Apabila perkataan ini digunakan  sebagai kata kerja atau verb ia menjadi iqra' yang membawa maksud "Bacalah".

Dengan membaca kita akan memperolehi pengetahuan. 

Maka kesimpulan yang kita boleh dapati dari ayat ini ialah Jihadan Kabiran, Biggest Struggle atau Perjuangan Terbesar kita umat manusia yang diperintahkan oleh Tuhan ialah perjuangan menyebarluaskan ilmu pengetahuan.

Perjuangan ini tidak memerlukan kita membuat bom membunuh orang tidak berdosa. Juga, kita tidak perlu pergi ke negara asing untuk berperang.


Di dalam senario Malaysia, agensi yang dipanggil MARA adalah antara badan yang melakukan Jihad ini. 

Mereka sanggup mengambil para pelajar yang tinggal di ceruk pedalaman dengan bas walaupun tahu route itu tidak membawa keuntungan. Lalu membawa para pelajar ini ke sekolah-sekolah untuk menimba ilmu.

Kesimpulan

Ketahuilah bahawa tiada perbezaan di dalam ilmu. Kesemuanya adalah pengetahuan. Yang berbeza ialah untuk apa kita gunakan pengetahuan yang kita perolehi itu.

Jikalau kita gunakan untuk menolong orang lain maka ia adalah untuk kebaikan. Sebaliknya jika kita menggunakan ilmu pengetahuan ini untuk melakukan penganiayaan maka ia adalah untuk kejahatan.

Untuk mendapat keputusan ilmiah, sesuatu ilmu perlu menjalankan ujikaji. Jika sesuatu ilmu itu tidak diputuskan berdasarkan ujikaji dan pengalaman yang benar-benar terjadi maka ia bukanlah ilmu melainkan hanya dongengan.

Contoh 1 : Jika anak-anak tidak membuat ritual solat di dunia. Ibu bapa yang sudah meninggal akan disiksa oleh malaikat di dalam kubur.

Ujikaji : Tiada

Bukti : Tiada

Analisa : Pernahkah ada manusia yang mati kemudian hidup kembali untuk menceritakan hal ini ? Tiada.

Cara penyelesaian ala simpleton : Wujudkan ketakutan (terrorism) di dalam pemikiran manusia. Kalau tidak percaya masuk neraka. Kadang-kadang rasa macam cerita nujum pak belalang pun ada.


Contoh 2 : Orang Islam perlu membunuh orang kafir seperti yang di lakukan oleh Nabi Terakhir di perang Badar. 

Ujikaji : Tiada

Bukti : Sejarah Hadis

Analisa : Fakta yang dipersembahkan. Perang Badar terjadi di bulan Ramadhan pada tahun kedua Hijrah. Kalendar Hijri mula diterimapakai di zaman Khalifah Umar Al-Khattab 17 tahun selepas Nabi Muhammad wafat. Semasa Nabi Terakhir hidup, masyarakat sekeliling menggunapakai kalendar Jahiliyah. Kalendar tersebut memberitahu bulan ke-9 bernama Natiq.

Maka kesimpulannya, Nabi Terakhir tidak pernah melalui satu bulan yang dinamakan bulan Ramadhan sepanjang kehidupan baginda.

Lagipun bukankah Nabi Terakhir ini diperintahkan supaya jangan sekali-kali membunuh. Jika membunuh walaupun satu jiwa ia sama dengan membunuh keseluruhan spesis manusia. 

Sila lihat http://ashwed1973.blogspot.my/2015/06/siri-ramadhan-ekuinoks.html untuk fakta mengenai kalendar hijri.

Cara penyelesaian ala simpleton : Kalau tidak percaya berdosa. Masuk Neraka.

Inilah sebahagian ilmu baru yang dicipta ahli agama. Mereka menggelar ilmu ini sebagai ilmu akhirat. Ia tidak perlu membuat ujikaji untuk setiap kenyataan fakta mereka.

Secara peribadi saya berpendapat ini bukanlah suatu ilmu melainkan satu dongengan. 

Yang parah ialah manusia sanggup membunuh untuk mempertahankan ilmu yang tidak boleh dibuktikan ini.

Jihad/struggle/perjuangan menyebar luas pengetahuan jika dilakukan dengan solla/iltizam/keazaman yang zakka/murni/dedication tentulah akan menghasilkan kejayaan.

Ia tidak boleh dilakukan di dalam tempoh waktu 5 minit.

Ia perlu di lakukan sepanjang hayat dari kita celik mata sehinggalah kita tidur pada malamnya dan sehingga kita menutup mata buat selama-lamanya.

Mudah-mudahan Tuhan menerima perjuangan ini dan menempatkan kita di tempat yang selayaknya. Insyallah.

A053

“We shall show them our signs in the universe and within themselves, until it becomes clear to them that this is the truth. Is it not enough that your Lord is the witness of all things ?" AQ 41:53



Ashwed











Tuesday, 19 January 2016

Takdir





Takdir adalah alasan umum orang kita apabila mahu melarikan diri dari ketanggungjawaban.

Malah ia dijadikan Rukun Iman rekaan sendiri lalu diterapkan ke dada generasi kita. Untuk Rukun Iman yang sebenar sila lihat AQ 2:285 dan AQ 2:177 

Ia digunakan oleh manusia-manusia yang sudah mati secara mental iaitu mereka yang mencari 1001 satu alasan untuk gagal.

Kematian mental ini secara amnya tidak mengenal bangsa dan agama. 

Namun, secara umum kita boleh mengetahui perkara ini dengan melihat prestasi seseorang itu. 

Mereka yang percaya kepada diri iaitu yang hidup mentalnya adalah manusia yang sentiasa mencari jalan untuk mencapai kejayaan. Tidak kira di dalam apa  jua bidang yang mereka ceburi.

Ini adalah mereka yang yakin kepada POTENSI DIRI.

Video di atas adalah salah satu contoh mereka yang percaya kepada POTENSI DIRI.

POTENSI apabila digabungkan dengan iltizam/keazaman (solla) yang dilakukan dengan penuh murni (zakka) iaitu tanpa mengenal erti jemu atau lebih senang dipanggil dedikasi adalah resipi kejayaan terulung.  

Baru-baru ini saya terbaca satu terjemahan yang sangat menarik. 

Ia memberi pandangan baru kepada perkataan takdir yang selama hari ini di lihat dari sudut yang pasif.

Ia selaras dengan pemahaman maksud perkataan solla dan zakka yang sudah sekian lama saya cuba jelaskan di blog ini.

 
A002

"He to Whom belongs the Kingship of the heavens and earth. He has chosen no son, nor does He have a partner in His Kingship. He is the One Who creates all things in precise design and gives them the potential (takdir) to become what they are meant to be" AQ 25:2

# Terjemahan oleh Dr Shabbir Ahmed bagi mereka yang ingin membaca lebih lanjut anda boleh layari http://quranaissance.com/why-did-god-create-evil-and-other-existential-questions/

Bagi mereka yang hidup hatinya, yakinlah kepada POTENSI DIRI. Jangan melengah-lengahkan kejayaan anda dengan 1001 satu macam alasan.

Inilah mesej universal yang dibawa oleh Al Quran.

Ashwed 

Sunday, 17 January 2016

SETAN SUDAH BERADA DI SINI !!!!!

Tentera Abdul Al-Malik Bin Marwan sudah berada di sini. 

Saya lebih senang memanggil mereka ini setan. Seperti yang telah saya katakan syaitan ialah sifat buruk.

Maka itulah mereka. Adakah membunuh orang yang sedang menghirup kopi pada waktu pagi itu adalah sifat mulia ? Sudah tentu tidak.

Cubalah tanya rakan-rakan anda yang tidak beragama Islam. Tidak kira apa jenis agama kesemuanya menolak perbuatan membunuh. Ini adalah agama-agama yang kamu, si setan, panggil kafir.

Jadi mengapa pula kamu yang kononnya beriman bertindak membunuh manusia yang lain. Merekakah yang kafir atau kamu yang kafir ?

Lorong Terrorism

Pada zaman dahulukala manusia memerlukan orang-orang agama kerana orang-orang agama di zaman silam memegang kunci ilmu pengetahuan.

Mereka adalah kumpulan manusia yang boleh membaca dan menulis. Maka oleh sebab itulah timbul pelbagai macam istilah menyanjung kumpulan ini.

Pada waktu tersebut memang adalah wajar memandang tinggi kumpulan ini memandangkan mereka ini mendirikan keazaman/iltizam (solat) untuk belajar membaca dan menulis.

Apabila mereka menguasai skil ini sudah tentulah kehidupan mereka bersinar gemilang dan seterusnya menguasai asas-asas sains dan teknologi yang tidak dikuasai oleh manusia-manusia lain sezaman dengan mereka.

Maka, pada waktu tersebut mereka layak disanjung.

Namun, di zaman moden ini, berkat usaha orang-orang yang terdahulu seperti para intelek dan politikus, kini boleh dikatakan hampir seluruh manusia di dalam dunia ini mempunyai skil membaca dan menulis.

Oleh kerana itu, orang-orang agama sudah tidak lagi  boleh mendabik dada mengatakan bahawa merekalah kumpulan yang berdaya maju membangunkan dunia dan memegang kunci ilmu.

Geraf keazaman/iltizam (solat) mereka ternyata sudah tidak lagi mengikut garis menaik. Malah, garis keupayaan mereka setiap hari menurun.

Tempat mereka kini diganti oleh para saintis yang bukan sahaja menguasai skil membaca dan menulis malah mengusasi pelbagai jenis ilmu dan memahami alam semulajadi dengan lebih teliti dari orang-orang agama zaman silam.

Realiti ini menyebabkan kumpulan orang-orang agama ini menukar strategi demi menguasai marhaen sepertimana yang telah mereka nikmati selama hari ini.

Mereka masuk ke dunia bawah tanah dengan mendirikan madrasah, sekolah pondok dan lain-lain pusat penyebaran dakyah alternatif yang tidak ditadbir oleh undang-undang rasmi sesebuah negara.

Apabila sedar diri mereka sudah tidak mampu menguasai minda penduduk marhaen yang majoriti maka mereka menukar strategi dengan menyebar informasi untuk menakut-nakutkan orang ramai.

Mereka memanggil informasi-informasi dongeng ini sebagail "Ilmu Akhirat". Strategi ini ternyata berhasil. 

Ini adalah kerana biarpun manusia majoriti dan para saintis mereka berupaya menguasai sains dan teknologi, namun mereka termasuk diri kita sendiri sehingga sekarang masih belum berupaya merungkai misteri Tuhan.

Lohongan kosong inilah yang digunapakai secara tuntas oleh kumpulan orang-orang agama. 

Mereka memberitahu dunia bahawa kunci rantai di antara manusia dengan Tuhan ialah diri mereka. 

Kenyataan demi kenyataan dongeng di keluarkan oleh mereka. 

Penipuan jika setiap hari dihambur kepada manusia akhirnya ianya akan menjadi fakta melekat di dalam minda seseorang.

Kuda asalnya berlari. Ini dibuktikan dengan jelas di hadapan mata kita. Tidak perlu membuat kajian sains. Buktinya cukup nyata.

Namun, cuba setiap hari kita memberitahu anak-anak kita bahawa kuda mampu terbang. 

Tambahan pula jika yang memberitahu informasi ini adalah bapanya sendiri yang anak-anak ini sanjung sudah tentulah akhirnya mereka percaya bahawa kuda boleh terbang.

Dari khayalan ia bertukar menjadi fakta. Tidak perlu lagi ia dibuktikan dengan kajian ilmiah. Cukuplah dengan menimbulkan ketakutan (terrorism) bahawa jika mereka tidak percaya nescaya mereka kafir.

Lama-kelamaan, sedikit demi sedikit, kumpulan orang-orang agama ini kembali berjaya menguasai marhaen setempat. 

Namun, penguasaan mereka adalah di sisi khayalan minda masyarakat mereka sahaja. 

Itulah sebabnya menurut pandangan masyarakat masa kini ilmu terbahagi kepada dua. Yang pertama dipanggil ilmu dunia. 

Dan satu lagi ialah "Ilmu Akhirat". Inilah sisi minda yang dikuasai oleh kumpulan orang-orang agama. Ia adalah penguasaan khayalan seseorang.

Kini, kumpulan orang-orang agama ini kembali menguasai aliran arus perdana. Penguasaan ini begitu mencengkam sehingga tiada tempat yang kita toleh tanpa kesan pengaruh mereka.

Sekolah adalah pusat utama penguasaan mereka. Begitu juga dengan tempat perniagaan, kedai makan, radio, t.v, saluran media, fesyen, institusi kewangan. 

Baru-baru ini pula syarikat kapal terbang pun sudah mula terpengaruh demi untuk mengaut untung.

Pengaruh Politikus

Kalau boleh saya tidak mahu menulis mengenai isu ini. Saya sangat faham mengenai kesan yang akan saya hadapi dari agensi-agensi yang berkaitan.

Namun, saya mengubah kedudukan ini apabila menerima pos di saluran media whatsapp supaya menghindarkan tempat-tempat tertentu di dalam negara kita untuk mengelak dari serangan terrorist.

Ini adalah negara saya. Tanahair kita yang tercinta. 

Adakah anda mahu hidup diselubungi ketakutan yang tak kunjung padam.

Mahu naik LRT takut, nak pergi shopping takut, nak pergi minum takut. 

Apa gunanya kita menyediakan segala fasiliti kelas dunia jika kita sendiri takut untuk menggunakannya.

Penyudahnya yang menikmati semua ini adalah orang luar yang mencari rezeki di sini.

Oleh sebab itu, kita perlu buat sesuatu supaya anak-cucu kita nanti tidak diselubungi ketakutan di kemudian hari.

Saya juga sedar bahawa blog ini semakin di baca oleh mereka yang memegang tampuk kuasa di agensi-agensi yang berkaitan.

Saya ingin menyatakan bahawa sebab utama kehadiran setan-setan ini adalah KAMU yang memegang tampuk pentadbiran di agensi-agensi berkaitan.

Satu perkataan yang menjadi punca segala masalah ini ialah POLISI.

Bagaimanakah kita mahu menghentikan terrorism sedangkan kitalah yang sebenarnya menyemai benihnya.

Kementerian Pendidikan adalah penyebab utama kepada keadaan ini. Mereka yang memegang tampuk mendidik anak-anak kita telah gagal.

Polisi pendidikan mereka saban tahun bertukar ganti. Sudahlah kita mempunyai syllabus pendidikan yang membahagi-bahagikan warga kita menjadi melayu, cina dan india.

Kita pecahkan lagi dengan menekan kepada agama di dalam syllabus persekolahan sehinggakan orang-orang cina dan india tidak mahu lagi menghantar anak-anak mereka ke sekolah kerajaan.

Apabila tiada anak-anak dari bangsa lain, maka sekolah-sekolah ini bertukar dari sekolah kebangsaan menjadi sekolah agama yang penuh dengan peraturan-peraturan dongeng.

Ini bukan agenda nationalis. 

Kita bangsa malaysia yang terdiri dari bangsa melayu, cina, india, iban, kadazan, senoi dan lain-lain. 

Mengapa pula kita mahu mengajar anak-anak kita jadi orang arab ? Kita perlu jadi bangsa Malaysia. 

Nampak sangat perjuangan kita caca-marba tidak berdiri dari idealism yang kononnya kita perjuangkan. 

Agaknya kita sendiri keliru atau tidak faham apa maksud nationalis ?

Mengapakah kekeliruan ini terjadi. Sudah tentulah ianya disebabkan ahli politik yang penggubal polisi membenarkannya.

Selagi ahli-ahli politik membenarkan polisi keagamaan di sekolah-sekolah. 

Membenarkan penubuhan sekolah pondok, madrasah dan sekolah agama diceruk-ceruk pedalaman dengan kewangan dari cukai yang kami rakyat malaysia bayar.

Selagi itulah benih-benih kebencian dan keganasan akan bercambah. Ia akhirnya bertukar menjadi terrorism.

Pihak polis banteras terrorism, Kementerian Pendidikan tanam balik benihnya. Siapa yang menanam angin, mereka akan menuai badai.

Sementara itu, parti politik yang memperjuang idealism nationalis perlu berfikir kembali platform anda.

Saya percaya bahawa parti ini pada suatu waktu dahulu sudah berada di lorong yang benar.

Cuba anda semua fikir, Presiden Parti manakah yang membenarkan bangsa cina dan india sama-sama menjadi warga bumi ini ?

Presiden Parti manakah yang melawan peristiwa hitam 13 mei dan meletak kembali negara ini ke laluan yang betul ?

Jika anda semua memahami sejarah ini maka mengapa sekarang anda membenarkan kumpulan orang-orang agama menguasa pemikiran marhaen dengan dakyah mereka.

Anda menanam benih kebencian sesama bangsa malaysia dengan polisi keagamaan.

Adakah anda lupa kenyataan dari presiden parti anda pada suatu waktu dahulu. 

Beliau yang sangat berjasa dan disanjung rakyat negara ini berkata "... bahaya turun dari gunung" merujuk kepada tertubuhnya satu-satunya parti berasaskan agama di negara ini.

Dari situ terjadi bermacam-macam bahaya di negara kita. Sehinggakan ada yang sanggup memulakan peperangan kecil dengan pihak polis negara ini. Adakah anda semua lupa ?

" ... bahaya turun dari gunung" kini bahaya tersebut sudah mahu dipeluk akibat survival politik.

Ashwed