Wednesday, 2 March 2016

LRTQ : Al Quran dalam Diriku

Tulisan ini adalah sebahagian dari siri kempen Let's Read The Quran (LRTQ). Ia ditujukan kepada seluruh warga Malaysia.

Setiap orang pasti mempunyai cerita tentang bagaimana mereka mengenali Al Quran.

Bagi kebanyakkan "non-muslim", kemungkinan mereka mengenali Al Quran sebagai sebuah buku agama melalui rakan-rakan, media utama dan alternatif, penceritaan dan pelbagai cara lagi.

Oleh kerana mereka mengkategorikan Al Quran sebagai sebuah buku agama orang Islam iaitu suatu agama yang tidak mereka amalkan, maka sudah tentu mereka tidak berusaha untuk membaca dan memahaminya.

Ini adalah suatu bentuk perbuatan yang wajar.

Bagi kebanyakkan "muslim" yang lahir di negara ini pula, mereka mengenali Al Quran kerana ia adalah sebahagian dari pembelajaran formal dan tidak formal komuniti mereka.

Budaya komuniti ini memerlukan ahli-ahlinya menghabiskan pembacaan Al Quran di dalam Bahasa Arab sekurang-kurangnya sekali seumur hidup.

Dengan informasi sekali imbas di atas, pada pandangan anda siapakah yang lebih memahami Al Quran ?

Muslim atau Non-Muslim ? Muslim ! Benarkah begitu ?

Bayangkan ada sebuah buku di dalam Bahasa Russia yang menulis secara terperinci tentang bagaimana membina sebuah jet pejuang, dari sebiji screw sehinggalah ia boleh terbang dan menembak musuh.

Bahasa Russia ini pula bukanlah versi bahasa resmi moden iaitu bahasa pertuturan terkini, tetapi bahasa yang ditutur beribu-ribu tahun lepas.

Tiada sesiapa pun yang hidup kini pernah melalui zaman semasa ianya mula-mula ditulis, biarpun individu itu berbangsa Russia sendiri.

Bayangkan pula jika sekiranya Kerajaan Malaysia mengumumkan mahu membuat sebuah projek berani mati iaitu membina sebuah jet pejuang berdasarkan buku ini.

Projek ini di gembar-gembur akan menggunapakai kepakaran tempatan sepenuhnya.

Pada pandangan anda, adakah pakar-pakar tempatan yang tidak memahami Bahasa Russia kuno boleh berjaya membina jet ini ?

Sekarang bayangkan suatu keadaan lain. 

Katakanlah pakar-pakar perunding menasihati Kerajaan Malaysia supaya terlebih dahulu membina sebuah akademi khusus bagi menghafal buku berbahasa russia ini.

Katakanlah lagi  Kerajaan Malaysia menyiapkan dana berjumlah Ringgit Malaysia Satu Billion dengan fasiliti akademi yang tiada tolok bandingnya sehinggakan para pelajar yang belajar di sini tidak perlu lagi mencebok jika membuang air besar. 

Adakah anda rasa sebuah jet pejuang berjaya di bina ?

Sudah tentu tidak ?
Ya benar, jika kita meminta para pelajar akademi hafalan ini membaca tanpa buku perenggan 23 bab 10 dari buku berbahasa Russia tersebut, sudah pasti mereka mampu membacanya.

Mungkin mereka boleh menyebut setiap patah perkataan yang muncul saling tak tumpah seperti versi teks asal di dalam Bahasa Russia siap dengan nyanyian yang merdu lagi.

Tetapi pokoknya, bolehkah jet itu secara ajaib terbina, terbang dan menembak musuh dengan hafalan dan bacaan para pelajar ini ?

Begitulah perumpamaan secara am akan pengetahuan Al Quran di antara rakyat Muslim dan Non-Muslim di negara ini. 

Pada pandangan saya pengetahuan Al Quran di antara dua kelompok ini tidak banyak berbbeza.

Yang Non-Muslim kurang memahami Al Quran kerana mereka tidak pernah mencuba pun untuk membacanya.

Sementara yang Muslim pula sekadar menghafal dan menyanyi buku ini tanpa mengetahui tujuan sebenar ianya ditulis.

Misi

Membaca adalah sangat berbeza dengan memahami. Memahami pula sangat berbeza dengan mendalami.

Untuk kita berjaya mencapai tujuan mengapa sesuatu buku itu tertulis kita perlulah percaya dengan kepercayaan yang sangat kuat bahawa buku itu benar-benar akan membawa kita menemui sasarannya.

Sebagai contoh, jika kita benar-benar percaya bahawa buku berbahasa Russia tadi boleh menyebabkan kita membina sebuah jet maka kita perlu benar-benar percaya bahawa pada akhirnya sebuah jet pasti terbina.

Jika kita hanya separuh hati maka misi kita akan gagal.

Sebagai contoh, di dalam panduan buku Bahasa Rusia tersebut anda di minta supaya menyediakan sehelai daun pandan, sebiji telur dan 100 gram tepung untuk membina tayar jet ini.

Bagaimanakah perasaan anda ? Adakah anda akan menghentikan projek ini secara serta merta memandang bahan-bahannya yang tidak masuk akal. 

Masakan daun pandan, telur dan tepung boleh membuat tayar sebuah jet pejuang, kebiasaannya tayar diperbuat daripada getah ?

Atau, adakah anda membuat keputusan untuk kembali ke meja berfikir bagi mencari erti sebenar bagaimana bahan-bahan ini dapat membina tayar jet tadi.

Bagaimana pula jika umumnya kita semua tahu bahawa kegunaan sebuah jet adalah untuk "terbang".

Namun, terjemahan buku Bahasa Russia tersebut asyik menyatakan bahawa jet itu perlu digunakan untuk "menyelam".

Adakah anda mengambil keputusan untuk menggunapakai terjemahan "menyelam" atau memutuskan untuk menolak terjemahan perkataan ini lalu menggunapakai perkataan "terbang" ?

Begitulah perumpamaan Al Quran.

Al Quran tidak akan menjadi berguna jika sekiranya kita tidak memahami tujuan asal ianya ditulis.

Dengan tidak mengetahui tujuan ianya ditulis sudah pasti kita tidak tahu apakah misi yang perlu kita capai dengan buku ini.

Menghafal setiap bait patah perkataan yang muncul di buku ini tidak akan membolehkan anda mencapai misi Al Quran.

Hafalan hanya menjadikan anda seperti sebuah tembikar dari Dinasti Ming. Cantik di luar kosong di dalam.

Oleh kerana tiada sesiapapun kini pernah hidup sewaktu buku ini mula-mula di tulis. Maka sudah tentu tiada sesiapapun yang boleh mendabik dada menyatakan mereka benar-benar memahami bahasa asal buku ini.
Oleh kerana itu, buku ini sendiri mencadangkan supaya kita menggunapakai common sense atau akal untuk memahaminya.

A100 

"Dan tidak ada seorang pun akan yakin (tuq-mina) kecuali dengan izin Allah; dan Allah menimpakan kemurkaan kepada orang yang tidak memergunakan akalnya" AQ 10:100

Kesimpulan

Jika anda benar-benar percaya kepada Al Quran, anda perlu membenarkan nilai dan prinsip-prinsip Al Quran membawa anda ke mana sahaja mengikut pengembaraanya.

Sungguhpun ianya adalah suatu daerah asing yang belum pernah anda jejaki sebelum ini.

Bermakna anda perlu buang kesemua fahaman yang sudah sedia terpasung di minda anda selama hari ini. 

Anda perlu benarkan Al Quran memusnahkan pasungan ini untuk mencapai nilai-nilainya.

Jika anda tidak berupaya melakukan sebegini maka Al Quran tidak akan menjadi unggul kepada diri anda. 

Misinya sukar dicapai kerana anda tidak menjadikan ia sebahagian daripada anda.

Oleh itu, apakah misi Al Quran ?

Misi Al Quran terbina dari tiga abjad ini .. sin-lam-mim atau di dalam abjad romawi s-l-m. Abjad ini membentuk akar kata SALAM.

Apakah makna salam. Ada setengah pandangan mengatakan ia bermaksud selamat, ada pula yang mengatakan ia bermaksud sejahtera.

Blog ini, melalui artikel-artikel di dalamnya membuat kesimpulan bahawa perkataan ini membawa maksud DAMAI.

Dari akar kata SALAM ini muncullah kata-kata terbitan lain seperti Muslim, Muslimah dan Islam yang pastinya membawa maksud yang sama.

Cuba kita fikirkan dalam-dalam akan keterangan di bawah ini dengan menterjemah keseluruhan perkataan teks asalnya ke dalam bahasa yang kita fahami ;


A085

"Sesiapa mencari aturan hidup selain daripada KEDAMAIAN (al-islami), ia tidak akan diterima daripadanya, dan di akhirnya (fil-akhirati) dia adalah antara orang-orang yang rugi" AQ 3:85

Sekarang cuba bandingkan terjemahan ini dengan terjemahan yang biasa anda perolehi.

Pasti anda akan mendapati perbezaan yang sangat ketara dari segi konteks pemahaman keterangan ini.
 
Oleh yang demikian, pada pandangan anda adakah KEDAMAIAN adalah sejenis Organisasi Agama atau hanya sekadar suatu kesedaran minda ?

Bolehkah KEDAMAIAN diperolehi dengan melakukan upacara-upacara ritual ?

Bolehkah KEDAMAIAN diperolehi dengan menahan diri dari lapar dan dahaga selama 30 hari ?

Bolehkah KEDAMAIAN diperolehi dengan mengucapkan suatu set ayat yang standard ?

Demikian juga, jika damai adalah misi utama Al Quran, adakah logik ianya boleh dicapai melalui peperangan ?

Seterusnya, adakah membunuh seorang yang mempunyai pandangan berbeza dari anda adalah perbuatan orang yang damai ?

Adakah memotong tangan orang lain merupakan nilai-nilai yang damai ? 

Mustahil bukan.

Ini adalah bukti jelas mengapa mereka yang memanggil diri mereka penganut sebuah organisasi agama yang diberi nama Islam berada di tahap yang rendah dari komuniti lain.

Ini adalah kerana mereka cakap tidak serupa bikin.

A002 

"Wahai orang-orang yang memanggil dirimu yakin (amanu), mengapa kamu mengatakan apa yang tidak kamu perbuat" AQ 61:2

Al Quran menyatakan bahawa dirinya di tulis untuk kegunaan semua manusia.

Apa jua fahaman dan anutan anda. Al Quran mencakupi fahaman itu.

A138 

"Ini (Al-Quran) adalah penjelasan bagi manusia, dan satu petunjuk, dan satu teguran bagi orang-orang bertakwa" AQ 3:138

Adakah sebagai seorang penganut Kristianiti, Hinduism atau Buddhism anda disarankan supaya memerangi manusia lain ? 

Sudah tentu tidak.

Sebab itulah Al Quran memberitahu bahawa syariat (perundangan) yang diperintahkan untuk manusia amalkan adalah sama tidak kira siapapun idola anda samada ianya Isa, Krishna atau Gautama Siddharta ianya adalah sama iaitu DAMAI.

 A013

"Dia syariatkan bagi kamu sebagai aturan (min-ad-deeni) apa yang Dia wasiatkan Nuh dengannya, dan apa yang Kami wahyukan kamu, dan apa yang Kami wasiatkan Ibrahim dengannya, dan Musa, dan Isa: "Lakukanlah aturan itu (deena)  dan janganlah berpecah belah di dalamnya." Amatlah benci bagi orang-orang yang sekutukan pada apa yang kepadanya kamu seru mereka. Allah pilih kepadanya sesiapa Dia hendaki, dan Dia beri petunjuk kepadanya orang yang berkesesalan" AQ 42:13

Melalui kedamaian, tujuan akhir yang bakal kita capai ialah keadilan.

KEADILAN ADALAH HAK SEJAGAT.

 

Ashwed




















16 comments:

  1. Salam

    Ini terjemahan biasa kita jumpa ('Āli `Imrān):85 -
    Barangsiapa mencari agama selain agama Islam, maka sekali-kali tidaklah akan diterima (agama itu)daripadanya, dan dia di akhirat termasuk orang-orang yang rugi.

    Dan ini dari blog ash wed-

    "Sesiapa mencari aturan hidup selain daripada KEDAMAIAN (al-islami), ia tidak akan diterima daripadanya, dan di akhirnya (fil-akhirati) dia adalah antara orang-orang yang rugi" AQ 3:85

    ReplyDelete
  2. salam tuan,

    dan sebelum ditulis buku panduan utama tersebut, orang rusia ada mengarang beberapa buku panduan kecil. kalau kita dapati dalam buku panduan kecil ada perkara-perkara yang tidak disebut dalam buku panduan utama, maka janganlah kita ikut.

    contoh: jika terdapat kesilapan dalam membina sayap, dalam buku panduan utama hanya perlu mengganti sayap tersebut tetapi dalam buku panduan kecil perlu ditukar sayap dan tayar juga. cukuplah kita menukar sayap sahaja, pasti berjaya

    ReplyDelete
    Replies
    1. Anon 3:51,

      1,000 tahun SELEPAS buku UTAMA tersebut, ada pula banyak buku2 rujukan yg direka-cipta oleh orang2 Amerika SETERU orang2 Russia yang diguna-pakai oleh orang2 Negro yg ingin sangat2 nak jadi orang Russia.

      Delete
  3. salam,

    Saya amat menyokong kempen membaca Al-quran dan memahaminya. Namun apa yang jelas, kesamaan di antara terjemahan ayat yang ada sekarang adalah seperti memerlukan sokongan hadis yang di luar al-quran itu sendiri.

    Sebagai contoh, solat diterjemahkan sebagai prayer/sembahyang dari kata akar sad-lam-wau. Tetapi, ada juga yang menulis solat itu adalah komitmen yang berasal dari kata akar sad-lam.

    Begitu juga dengan zakat, kaabah, masjid, sujud, ramadhan dimana setiap makna yang diterjemahkan ini memerlukan hadis luar sebagai sokongan. Ini bukan sahaja mengurangkan kredibiliti al-quran tetapi menjadikan ahli agama sebagai satu panduan.

    Saya percaya al-quran itu adalah untuk sekalian manusia. Dan sebagai panduan untuk umat manusia, al-quran mestilah bersifat universal dan menyeluruh.

    Jika kita mahu semua umat manusia menerima dan berpegang teguh kepada al-quran, terjemahan ayat mestilah di selaraskan secara universal dan bebas dari ritual dan hadis sokongan. Kerana al-quran itu sendiri adalah sempurna sifatnya.

    ReplyDelete
  4. Salamun alaikum,
    Untuk apakah kita membaca Al-Quran? Saya percaya kebanyakan orang Islam membacanya kerana menganggapnya sebagai Holy Book maka orang Islam wajib membacanya (walaupun tidak begitu mengetahui maknanya). Itulah yang berlaku kepada diri saya sebelum ini, membaca dengan mengutamakan tajwid yang betul hingga berkhatam beberapa kali tapi tidak begitu mengambil pusing untuk mengkaji maknanya kerana menganggap diri ini tidak layak mengupas maknanya, hinggalah saya terjumpa blog ini.

    Al-Quran diturunkan kepada seluruh umat manusia, tidak kira apakah anutan mereka. Maka, ia bukanlah hak ekslusif orang Islam. Disebabkan ia bukan hak ekslusif orang Islam, maka apabila kita membaca terjemahannya, hendaklah kita letak tepi kepercayaan/agama yang kita anuti agar kita dapat memahaminya tanpa rasa prejudis. Jika kita membacanya sebagai orang islam, maka kita akan mendapati AlQuran mengandungi banyak ritual dan cerita-cerita tentang nabi terdahulu. Jika kita membacanya sebagai orang yang tidak mengetahui tentang ritual yang selama ini dilakukan maka kita akan mendapati Al Quran mengandungi petunjuk untuk kehidupan yang lebih baik/damai. Itulah tujuan AlQuran diturunkan, seperti yang dinyatakan oleh Penulisnya dalam ayat 17:9 iaitu:

    Sesungguhnya Al-Quran ini memberi petunjuk ke jalan yang lebih lurus dan memberi khabar gembira kepada orang-orang Mukmin (the believers) yang mengerjakan amal saleh (good deeds) bahawa bagi mereka ada pahala yang besar ( great rewards).

    2:38 .... Kemudian jika datang petunjukKu kepadamu, maka barang siapa yang mengikuti petunjukKu, nescaya tidak ada kekhuatiran atas mereka, dan tidak pula mereka bersedih hati.

    Saya masih membaca terjemahan Al Quran (Melayu, Indonesia dan English) dengan harapan mendapat petunjuk dariNya. Sejujurnya, apabila kita membebaskan diri dari ikatan ritual seperti yang telah ditanamkan dari kecil oleh ustaz dan ulama, kita akan mendapati Al Quran adalah buku manual yang membawa pembacanya menuju kejayaan dan kedamaian.



    ReplyDelete
    Replies
    1. Salam
      Saya setuju..Mendalami Al Quran adalah sesuatu yg asing bagi org Islam, kita hanya membaca tapi tak faham makna.
      Untuk kita mula mendalami Al Quran ianya seperti, kita kena kosongkan minda kita untuk kita isikan minda kita dgn sesuatu yang baru(bagi kita). Sesuatu yg tak boleh dipertikaikan sebab ianya dari Tuhan Pencipta kita.

      Delete
  5. salam,

    adakah tiada lagi arkib artikel yang lama??

    ReplyDelete
    Replies
    1. Ya macam mana nak baca tulisan tuan yang terdahulu

      Delete
  6. Salam...

    Saya mcm tak puas hati baca berita tentang ini...

    Sekat kempen Let's Read The Quran


    PUTRAJAYA: Lembaga Pengawalan dan Pelesenan Pencetakan al-Quran (LPPPQ), Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan pihak berkuasa agama Islam seluruh negara akan mengambil tindakan tegas menyekat kempen "Let's Read The Quran". Kempen berkenaan bagi mempromosi usaha menulis dan membaca al-Quran dalam bahasa lain selain bahasa Arab. Pengerusi LPPPQ, Tan Sri Harussani Zakaria, berkata menulis dan membaca naskhah al-Quran dalam bahasa lain selain bahasa Arab adalah dilarang dan penulisan al-Quran dalam bahasa lain tanpa teks bahasa Arab tidak boleh dianggap sebagai al-Quran. "Perbuatan ini boleh dikenakan tindakan undang-undang mengikut Akta Pencetakan Teks al-Quran (APTQ) 1986 dan Akta Mesin Cetak (AMCP) 1984," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini. Harussani berkata, al-Quran yang diterjemahkan ke dalam pelbagai bahasa membolehkan mereka yang tidak memahami bahasa Arab memahami makna al-Quran, namun terjemahan itu bukan naskhah al-Quran tetapi "terjemahan al-Quran" atau "tafsir al-Quran". "Namun begitu, terjemahan al-Quran hendaklah bersama-sama dengan teks al-Quran dalam bahasa Arab. Terjemahan al-Quran tanpa teks bahasa Arab adalah dilarang dan bimbang disalah faham, selain membacanya tidak mendapat pahala," katanya. Selasa lalu, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata KDN melarang sebarang pencetakan dan penjualan naskhah terjemahan al-Quran tanpa teks bahasa Arab. Perkara itu diputuskan mesyuarat LPPPQ dan selaras keputusan Muzakarah Majlis Fatwa Kebangsaan bagi Hal Ehwal Islam Ke-24 pada Jun 1989 yang memutuskan `adalah haram ditulis atau digunakan mana-mana bahagian daripada al-Quran dengan tulisan bukan huruf Arab atau bukan sistem tulisan al-Quran'.

    ReplyDelete
    Replies
    1. lihat perangai ahli agama ni sebijik mcm apa yang al-quran tulis.

      Delete
    2. Salam
      Tertanya-tanya bagaimana mereka boleh kuputusan melarang gitu? Bahasa Arab adalah sekadar bahasa yang digunakan pada ketika itu.
      Sebelum itu guna bahasa lain sebab bahasa itu yang difahami oleh golongan ketika zaman Nabi Musa dan Nabi Isa.
      Tuhan sudah berikan otak jadi tiada masalah.
      Malahan tulisan hilografi zaman firaun pun sudah boleh diterjemahkan.

      Non

      Delete
  7. Saya tak faham kenapa mereka nak jajakan fatwa ini, `adalah haram ditulis atau digunakan mana-mana bahagian daripada al-Quran dengan tulisan bukan huruf Arab atau bukan sistem tulisan al-Quran'.
    Apa yg saya faham(kalau sy silap betulkan) maksudnya fatwa itu adalah dilarang me-rumi-kan tulisan Arab Quran bukannya melarang me-Melayu-kan dari Bahasa Arab Quran.
    Contoh me-rumi-kan tulisan Arab:- BISMILLAH.
    Contoh me-Melayu-kan dari Bahasa Arab Quran:- DENGAN NAMA ALLAH.

    Kenapa mereka gunakan fatwa tersebut yg saya rasa bukan itu isunya. Isunya adalah dilarang menerbitkan tafsir Quran tanpa bahasa asal iaitu Bahasa Arab Quran.
    Kenapa mereka sampai tahap nak sekat kempen? Takut tembelang pecah? Atau pihak penganjur kena tukar dari Let's Read The Quran kepada Let's Read The Tafsir Quran.

    ReplyDelete
    Replies
    1. I pun baca sekali lagi fatwa tu.
      Macamana mereka tau kalau baca dalam bahasa lain tak dapat pahala?
      Kena baca dan faham fatwa ni banyak kali ni selepas baca jawapan Ryu. Thanks.

      Non

      Delete
    2. Boleh cuba baca disini http://www.moha.gov.my/index.php/en/kenyataan-media-akhbar/2611-kenyataan-media-penjualan-dan-pengedaran-mashaf-al-quran-yang-tidak-mendapat-perakuan-lpppq

      Terutama yg no 5.

      Ini contoh yg dilarang oleh maksud fatwa tersebut yg saya copy dari blog Learn Al-Quran In Rumi:Amalan Ba Ta Mim-

      AYATUL KURSIY
      WA ILA HUKUM ILAHUW WAHID;
      LA ILA HA ILLA HUWAR ROHMA NUR ROHIM(163) ALLAHU LA ILA HAILLA HUWAL HAYYUL QAYYUM;
      LA TAKKHUZUHU SINATUW WALA NAUM;
      LAHUMA FISSAMA WATIWAMA FIL ARDH;
      MANZAL LAZI YASHFA 'U'INDAHU ILLA BI IZNIH; YA'LAMUMA BAINA AIDIHIM WAMA KHOLFAHUM;
      WALA YUHITHU NABISYAI IN 'ILMIHI ILLA BIMA SYAK;
      WASI'AKURSIYYUHUS SAMA WATIWAL ARDH;
      WALA YA U DUHU HIFZUHUMA;
      WAHUWAL 'ALIYYUL'AZIM
      Dan Tuhan kamu ialah Tuhan Yang Maha Esa; tiada Tuhan (Yang berhak di sembah) selain dari Allah Yang Maha Permurah lagi Maha Mengasihani (163)
      Allah, tiada Tuhan (yang berhak di sembah) melainkan Dia, Yang Tetap hidup, Yang Kekal selama-lamanya mentadbirkan (sekelian makhlukNya). Yang tidak mengantuk usahkan tidur. Yang memiliki segala yang ada di langit dan yang ada di bumi. Tiada sesiapa yang dapat memberi syafaat (pertolongan) disisiNya melainkan dengan izinNya. Yang mengetahui apa yang ada di hadapan mereka dan apa yang berada di belakang mereka, sedang mereka tidak mengetahui sesuatu pun dari (kandungan) ilmu Allah melainkan apa yang Allah kehendaki (memberitahu kepadanya). Luasnya Kursi Allah (ilmuNya dan kekuasaanNya) meliputi langit dan bumi dan tiadalah menjadi keberatan kepada Allah menjaga serta memelihara keduanya. Dan Dialah Yang Maha Tinggi (darjat kemulianNya), lagi Maha Besar (kekuasaanNya).(255)
      http://corpus.quran.com/wordbyword.jsp?chapter=2&verse=255

      Delete
  8. Yang paling tak boleh diterima.. hanya bacaan dalam bahasa arab dapat pahala. Ulama yang berlagak tuhan!

    ReplyDelete
  9. Salamunalaikum saudara! Saya juga ada soalan, mengapa Allah turunkan Tsunami teramat dahsyat pada tahun 2004 keatas negara yang penghuninya terdiri dari umat Islam yang paling ramai dimuka bumi ini??? dan peristiwa tragis yang menimpa negara kita pada tahun 2014 lalu dan apakah tiada kena-mengena dengan yang Maha Berkuasa Allah.

    ReplyDelete