Nota : Artikel ini didedikasikan kepada seorang sahabat yang saya kenali semenjak tahun 1991. Beliau kini berada di HDU. Semoga beliau sembuh seperti sediakala.
Bukan Musuh Kita
Saya akui banyak terlibat dalam perdebatan dengan rakan-rakan sekolah dan universiti terutama di dalam bab "agama".
Keterlibatan ini bukanlah atas dasar mencari seteru, tetapi lebih kepada mencari kebenaran.
Kebenaran memerlukan satu pergelutan minda yang panjang. Kadang-kadang ia juga penuh ranjau dan berliku.
Namun, apa sahaja aliran pemikiran yang mahu diikuti oleh para rakan kita, kita harus semat di dada bahawa mereka ini bukanlah musuh kita.
Begitu juga dengan ibu, bapa, abang, kakak, adik dan kaum keluarga kita yang lain. Mereka ini bukan musuh kita.
Adalah tidak munasabah ibu yang menumpahkan darah untuk melahirkan kita tiba-tiba menjadi musuh kita hanya kerana beliau mahu meneruskan cara pemikiran lama orang melayu.
Musuh kita yang utama dari permulaan penciptaan sehinggalah pengakhirannya adalah kekal satu iaitu sifat buruk kita atau dikenali sebagai "syaitan" di dalam Bahasa Arab Al Quran. Lebih tepat ialah diri kita sendiri.
Berbalik kepada sahabat saya tadi, beliau seringkali bertanya samada saya percaya kepada Syurga dan Neraka apabila tidak dapat mematahkan hujah saya di dalam sesuatu isu.
Saya belum sempat menerangkan kepada beliau apakah makna Syurga dan Neraka menurut perspektif Al Quran kerana merasakan rakan saya itu belum bersedia untuk mendengarnya.
Pada malam ini, saya ingin menerangkannya di dalam artikel ini.
Semoga sahabat saya mampu kembali bangun, membaca tulisan ini seterusnya menidakkan pendapat saya seperti yang selalu beliau lakukan sebagai tanda saya belum kehilangan beliau dari sisi.
Sesungguhnya, perselisihan pendapat inilah yang sering menyedarkan saya bahawa saya dikelilingi oleh rakan-rakan baru dan lama sebagai rahmat dari Tuhan.
Syurga Dan Neraka
Untuk pengetahuan semua perkataan Syurga dan Neraka tidak pernah wujud di dalam Bahasa Arab Al Quran.
Syurga berasal dari perkataan Sanskrit yakni "Svarga". Manakala Neraka pula juga berasal dari perkataan Sanskrit yang dikenali sebagai "Naraka".
Ternyata Svarga dan Naraka adalah konsep Hinduism. Adakah ia sama dengan konsep yang diajar oleh Al Quran ?
Al Quran mengguna istilah "Jannah" (disebut sebanyak 203 kali) untuk menerangkan balasan baik yang diterima oleh orang-orang yang yakin (iman). Ia berasal dari abjad Jim-Nun-Nun yang bermaksud tersembunyi (hidden). Ia adalah suatu bentuk keadaan.
Di antara kata terbitan akar kata ini adalah Janin. Manusia tidak boleh melihat janin dengan mata kasar. Janin tersembunyi di dalam perut ibunya.
Jin juga tersembunyi. Kita tidak boleh melihat jin dengan mata kasar. Ia tersembunyi di dalam akal fikiran kita. Anda boleh baca tentang apakah jin di dalam artikel saya bertajuk "Malaikat, iblis, jin dan syaitan".
Jannah pula bermaksud taman, kebun, wadi atau oasis. Apabila berada di dalam "Jannah" , padang pasir menjadi tersembunyi dari pandangan mata kasar.
Untuk balasan buruk, Al Quran mengguna perkataan "Naar" yang bermaksud api bagi menerangkan nasib buruk yang bakal menimpa mereka yang tidak yakin (iman). Soalnya, beriman kepada apa ?
Kita akan kupas selepas saya menerangkan tentang konsep Svarga dan Naraka menurut Hinduism.
Sistem Kosmologi Hinduism
Apabila mahu memahami sesuatu konsep, disiplin yang sering saya ikuti ialah menggali dari mana ianya bermula.
Oleh kerana agama pertama di dunia ialah Hindu maka tidaklah menjadi sesuatu yang pelik bahawa kebanyakkan konsep di dalam agama-agama lain yang dicipta selepasnya berasal dari Hinduism.
Ini juga menjadi rintangan utama untuk kita memecahkan tembok belenggu minda.
Bayangkan konsep Hindu mempunyai kelebihan 10,000 ke 15,000 tahun permulaan dari lain-lain agama menyebabkan kebanyakkan kita sudah mempunyai pra-idea yang mengakar di dalam pemikiran masing-masing.
Sebagai contoh kebanyakkan kita sudahpun mempunyai definisi perkataan-perkataan seperti sujud, rukuk, atau solat di dalam pemikiran kita. Proses indoktrinasi itu sudah bermula dari kita kecil.
Maka adalah sukar untuk kita mengritma kembali perkatan-perkataan ini dengan definisi sebenar seperti di dalam al Quran.
Begitu juga dengan Syurga dan Neraka. Mungkin ramai yang baru sedar bahawa perkataan ini tiada di dalam Al Quran. Malah yang lebih memeranjatkan ialah ia adalah perkataan dari agama yang bagi kita "dah kafir habih".
Secara ringkas, menurut Sistem Kosmologi Hindu alam semesta ini terbahagi kepada 3 realm iaitu Svarga (realm atas), Prithvi (bumi) dan Patala (realm bawahan).
Vishvarupa (Vishnu) - cosmic man, peta realm Hindu
Apabila seseorang insan meninggal dunia, kesemua kita akan di bawa ke realm Patala iaitu ke satu lokhas (dunia) yang dikenali sebagai "Naraka".
Naraka terletak dibahagian bawah tubuh Vishnu
Di Naraka, Dewa Yama, Dharmaraja (penguasa) lokhas (dunia) ini akan membicara semua insan.
Sesiapa yang banyak membuat jahat akan di siksa di sini dengan pelbagai siksaan.
Contoh siksaan untuk penghuni Naraka
Kepada yang di dapati banyak membuat kebaikan mereka akan di hantar ke realm Svarga.

Svarga -ada mitos mengatakan svarga terletak di atas Gunung Meru. Ada juga mitos mengatakan dari sinilah manusia pertama di halau
Namun, kedua-dua Svarga dan Naraka hanyalah suatu tempat penungguan atau purgatory di dalam Bahasa Inggeris. Apabila cukup tempoh, kesemua insan akan dilahirkan semula (reincarnation) ke realm Prithvi (bumi).
Konsep Al Quran
Menurut ahli agama tradisional rukun iman (yakin) mempunyai 6 perkara ;
1. Percaya kepada Tuhan
2. Percaya kepada Hari Akhirat
3. Percaya kepada Kitab
4. Percaya kepada Malaikat
5. Percaya kepada Rasul ; dan
6. Percaya kepada Qada dan Qadar
(mazhab syiah mempunyai rukun yang berlainan)
Namun, menurut Al Quran rukun iman adalah seperti berikut ;
1. Percaya kepada Tuhan
2. Percaya kepada Hari Akhirat
3. Percaya kepada Kitab
4. Percaya kepada Malaikat
5. Percaya kepada Rasul ; dan
6. Tidak membezakan di antara para Rasul
(Sila lihat AQ 2:177 dan AQ 2:285)
# Saya sudah beberapa kali menerangkan perkara ini di dalam artikel yang lain.
Untuk artikel kali ini, mari kita tumpukan perhatian kepada keyakinan yang kedua iaitu percaya kepada Hari Akhirat.
Akhirati atau Akhirin (disebut sebanyak 250 kali) seperti yang dikenali di dalam Al Quran bermaksud pengakhiran.
Konsep ini boleh diterangkan dengan lebih mendalam melalui teori sains fizik yang kita kenali sebagai "Cause and Effect" atau "Causality". Iaitu hubungan di antara proses penyebab dengan akibat.
Di dalam sejarah tamadun dunia, konsep ini sudah banyak kali diterangkan, di antaranya Ahli falsafah terkenal Aristotle melalui teori four causes dan potentiality and actuality, di dalam agama Hindu dan Buddha ia dikenali sebagai karma dan yang paling terkenal iaitu Newtonian Mechanics (Quantum Mechanics).
Secara ringkasnya Akhirati boleh diterangkan sebagai akibat dari perbuatan kita. Dari sekecil-kecilnya sehingga kepada yang paling besar.
Contoh mudahnya ialah : Jika kita malas membaca, kita akan kurang pengetahuan sebaliknya jika rajin membaca kita akan mempunyai banyak pengetahuan.
Jika kita rajin berusaha kita akan berjaya sebaliknya jika kita malas berusaha kita akan gagal.
Jika kita merancang dengan teliti, pelan kita akan berjaya dengan lebih tepat dari perancangan yang ala kadar. Kalau tiada perancangan langsung memang susah nak ceritalah.
Begitulah lebih kurang maksud ringkas Akhirati. Di manakah ianya terjadi ? Ia terjadi di bumi atau 'ard di dalam Bahasa Al Quran.
Sesiapa yang yakin (iman) dengan Akhirati iaitu dengan melakukan perkara-perkara positif mereka akan menerima balasan baik. Mereka diumpamakan seperti berada di dalam Jannah atau taman.
Manakala, sesiapa yang tidak yakin (iman) dengan Akhirati iaitu melakukan perkara-perkara yang negatif mereka diumpamakan seperti berada di dalam Naar atau api.
"Perumpamaan (matha-loo) (penghuni) Jannah yang dijanjikan kepada orang yang bertaqwa (org2 yg benar) yang di dalamnya ada sungai-sungai dari air yang tiada berubah rasa dan baunya, sungai-sungai dari air susu yang tidak berubah rasanya, sungai-sungai dari khamar (wine) yang lazat rasanya bagi peminumnya dan sungai-sungai dari madu yang disaring; dan mereka memperoleh di dalamnya segala macam buah-buahan dan ampunan dari Rabb mereka, samakah ia dengan orang-orang yang kekal dalam api (naa-ri) dan diberi minuman dengan air yang mendidih sehingga memotong ususnya" AQ 47:15
"Perumpamaan (matha-loo) Jannah yang dijanjikan kepada orang-orang yang bertaqwa itu ialah air sungai-sungainya sentiasa mengalir di sekitar tamannya; makanannya kekal tidak putus-putus dan naungannya sentiasa teduh. Itulah kesudahan usaha orang-orang yang bertaqwa, sedang kesudahan usaha orang-orang yang kafir pula ialah api (naa-roo)" AQ 13:35
Dari kedua-dua keterangan ini ternyata adalah jelas, Jannah dan Naar adalah perumpamaan.
Mengapa saya katakan proses Akhirati ini terjadi di 'ard (bumi), ia adalah kerana keterangan ini ;
"Dan penghuni api (naa-ri) menyeru penghuni taman (Jannah) : "Limpahkanlah kepada kami sedikit air atau makanan yang telah direzekikan Allah kepadamu". Mereka (penghuni Jannah) menjawab. "Sesungguhnya Allah telah mengharamkan keduanya itu atas orang-orang kafir" AQ 7:50
Keterangan ini dengan jelas memberitahu bahawa para penghuni Jannah dan Naar tinggal bersebelahan sehinggakan para penghuni Naar yang tersiksa digambarkan meminta bantuan dari para penghuni Jannah.
Oleh yang demikian, Akhirati berlaku di sini, di bumi ini.
Tidakkah kita melihat disekeliling kita bagaimana mereka yang membuat keputusan yang salah sedang menerima balasan Naar ?. Sebagai contoh mereka yang menagih dadah.
Sedangkan mereka yang menjaga kesihatan diri, mereka sedang berada dikemuncak mereka berada di dalam Jannah.
Kadang-kadang seseorang itu kaya-raya, tetapi hidupnya menghadapi tekanan Ini juga bukti mereka sedang berada di dalam Naar mungkin kekayaan mereka diperolehi dengan kaedah yang tidak berintegriti.
Di waktu ini, contoh yang paling jelas ialah negara Syria. Rakyat Syria sekarang berada di dalam Naar kerana kegagalan mereka membuat keputusan-keputusan yang tepat di dalam negara mereka.
Akibatnya mereka kini sedang lari meminta bantuan kepada para penghuni Jannah iaitu negara-negara Eropah yang sedang menikmati balasan baik akibat keputusan-keputusan tepat yang mereka ambil di masa lalu.
Yaumul Qiyamah dan Ungkapan Aku Tidak Tahu
Di dalam Al Quran, terdapat banyak keterangan yang bercerita tentang Hari Kiamat.
Juga terdapat banyak perkataan berlainan yang digunakan Al Quran untuk menerangkan keadaan ini seperti Saat, Yaumul Sa'ah, Yaumul Hisab, Yaumul Waqiah.
Yang pasti Yaumul Qiyamah dan Akhirati adalah dua konsep yang berbeza.
Yaumul Qiyamah adalah perkara yang hanya akan berlaku di masa hadapan.
Nabi Terakhir secara konsisten memberitahu bahawa Baginda tidak tahu apa yang akan terjadi di masa hadapan.
"Katakanlah: “Aku bukanlah Rasul yang pertama di antara Rasul-rasul dan aku tidak mengetahui apa yang akan diperbuat terhadapku dan tidak (pula) terhadapmu. Aku tidak lain hanyalah mengikuti apa yang diwahyukan kepadaku dan aku tidak lain hanyalah seorang pemberi peringatan dengan tanda yang jelas” AQ 46:9
Begitulah juga jawapan Baginda apabila ditanya oleh kaumnya akan kejadian Kiamat. Beliau boleh dikatakan berkata "Aku Tidak Tahu".
"Mereka bertanya kepadamu (wahai Muhammad) tentang Saat : "Bilakah masa datangnya?" Katakanlah: "Sesungguhnya pengetahuan mengenainya hanyalah ada di sisi Tuhanku, tidak ada sesiapa pun yang dapat menerangkan kedatangannya pada waktunya melainkan Dia. (Huru-hara) hari itu amatlah berat (menggerunkan makhluk-makhluk yang ada) di langit dan di bumi; ia tidak datang kepada kamu melainkan secara mengejut". Mereka bertanya kepadamu seolah-olah engkau sedia mengetahuinya. Katakanlah: "Sesungguhnya pengetahuan mengenai hari kiamat itu adalah di sisi Allah, tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui" AQ 7:187
Demi sesungguhnya, tiada siapa yang benar-benar tahu apakah dia kiamat, bagaimana kejadiannya, bilakah ia akan berlaku, apa yang terjadi selepas Kiamat dan lain-lain persoalan. Ini semua berada di dalam rahsia Tuhan
Baginda juga menjawab "Aku Tidak Tahu" apabila ditanya mengenai roh. Ianya adalah kerana Baginda belum pernah mati bagaimana Baginda mahu menceritakan hal yang beliau belum pernah tempuhi.
"Dan mereka bertanya kepadamu tentang roh. Katakan: "Roh itu dari perkara urusan Tuhanku; dan kamu tidak diberikan ilmu pengetahuan melainkan sedikit sahaja" AQ 17:85
Sekarang baginda sudah wafat, namun begitu, Tuhan tidak pernah menghidupkan Baginda kembali ke dunia kita untuk menceritakan apakah yang terjadi selepas Baginda wafat ?
Baginda begitu konsisten memberitahu kita bahawa pada sesetengah perkara kita manusia memang tiada pengetahuan mengenainya kerana sebab yang mudah, kita belum berada di situasi tersebut bagaimana kita mahu merasai pengalamannya ?
Jika kita perhatikan Surah Yassin iaitu dari ayat 20 hingga 26, kita akan dapati satu cerita mengenai seorang yang merasa yakin kepada apa yang dikatakan oleh Tuhannya.
Di ayat ke 26 Al Quran menulis sebegini ;

"Di katakan (kepadanya) Masuklah ke Jannah. Dia berkata "Alangkah baiknya sekiranya kaumku mengetahui" AQ 36:26
Kebanyakkan kita apabila membaca keterangan ini menganggap orang ini sudah mati. Namun, jika membaca dengan teliti kita akan dapati bahawa dialog ini berlangsung sewaktu beliau masih hidup.
Ini juga membuktikan bahawa Jannah adalah suatu keadaan yang terjadi di 'ard (bumi) akibat dari proses hubungan di antara penyebab (cause) dan akibat (effect)
Kesimpulan
Jannah dan Naar adalah satu perumpamaan keadaan yang terjadi di bumi ini. Konsep ini di panggil Akhirati.
Akhirati berbeza dengan Yaumul Qiyamah.
Berbeza dengan ahli agama sekarang, Nabi Terakhir memberitahu kita dengan jelas bahawa Baginda tidak mempunyai pengetahuan mengenai perkara-perkara yang bakal terjadi di masa hadapan.
Namun, ahli agama termasuk masyarakat kita paling gemar menghabiskan waktu bercerita tentang hal Kiamat.
Saya pernah menerima WhatsApp Viral yang menulis dengan terperinci tentang kejadian kiamat, jarak waktu di antara satu tempat ke satu tempat semasa kejadian itu, berapa ramai "malaikat" yang bakal turun dan lain-lain.
Ada juga fakta mengenai bagaimana manusia pergi dari satu Nabi ke Nabi yang lain untuk memohon syafaat. Ada juga fakta lain menceritakan bagaimana para imam yang 4 menjadi pembantu semasa peristiwa Kiamat.
Ada pula diceritakan tentang jenis-jenis siksaan di Naraka dan balasan yang bakal diterima di dalam Svarga.
Tidakkah ada sedikitpun perasaan malu di dalam hati orang-orang ini. Mereka menjadi penglipurlara bercerita tentang perkara-perkara yang akan terjadi di masa hadapan ?
Tidakkah mereka sedar bahawa mereka sedang memfitnah Tuhan Yang Maha Berkuasa ini sedangkan mereka sehari 5 kali membaca di dalam AQ 1:4 bahawa Tuhan Maha Menguasai Hari Peraturan ?
Tidakkah mereka ini tahu Tuhan Yang Maha Berkuasa ini tidak mempunyai sekutu dan pembantu ? Tergamak mereka mengatakan bahawa para imam yang 4 ini menjadi pembantu Tuhan.
Kadang-kadang bila membaca cerita-cerita ini saya berasa seperti berada di dalam filem "Back To The Future".
Mereka menjadi seperti keterangan ini ;
"Dialah yang menurunkan Buku ini kepada kamu. Mengandungi ayat-ayat yang berterus-terang (muhkamaat), itulah pokok-pokok isi Al Quran dan yang lain secara perumpamaan/kiasan/allegorical (mutasyaabihaat). Adapun orang-orang yang dalam hatinya condong kepada kesesatan, maka mereka mengikuti sebahagian ayat-ayat perumpamaan/kiasan ini untuk menimbulkan fitnah untuk mencari makna yang tertentu. Padahal tidak ada siapa yang mengetahui maknanya melainkan Allah. Dan orang-orang yang mendalam ilmunya berkata:'Kami beriman kepada ayat-ayat perumpamaan/kiasan, semuanya itu dari sisi Tuhan kami'. Dan tidak dapat mengambil pelajaran daripadanya melainkan orang-orang yang berakal" AQ 3:7
Memang benar Al Quran ada menerangkan kejadian Kiamat, tetapi bukankah kita mempercayai bahawa Al Quran adalah firman Tuhan ?
Oleh yang demikian, jika kita seorang yang mengkaji Al Quran sebagai sebuah buku akademik maka kita perlu memahami bahawa segala yang diceritakan di dalam Al Quran adalah dari sudut pandang Tuhan.
Makanya, apabila Al Quran menulis tentang seseorang yang beriman, yang munafik dan yang kafir ia sudah tentulah dari sudut pandang Tuhan yang memang mempunyai pengetahuan mengenai perkara ini.
Begitulah juga akan hal kiamat. Ia adalah dari sudut pandang Tuhan, satu-satunya entiti yang tahu apa akan terjadi di masa hadapan.
Saya sesungguhnya percaya Nabi Terakhir ini semasa hidupnya tidak membuang masa bercerita tentang hal hari kiamat dan siksaan-siksaan yang bakal diterima oleh mereka yang berbuat jahat.
Ini adalah kerana jawapan baginda apabila ditanya mengenainya adalah mudah "Aku Tidak Tahu".
Saya percaya Nabi Terakhir semasa hayatnya banyak dihabiskan dengan berbuat kebajikan kepada kaum keluarga dan orang-orang sekelilingnya.
Baginda juga berkemungkinan banyak menyedarkan orang-orang disekelilingnya bahawa hanya dengan mempunyai mentaliti yang positif sahaja yang boleh membawa mereka merasai kesenangan hidup seperti di Jannah sesuai dengan arahan yang diperintahkan kepadanya.
Baginda sudah tentu banyak mengingatkan manusia disekelilingnya supaya mencari ilmu, menepati masa, menghormati orang lain, menjaga kesihatan, berbuat baik kepada orang tua, menjaga integriti dan lain-lain perkara yang memberi manafaat.
Saya berani bertaruh baginda tidak menghabiskan masa dengan bercerita mengenai hal kejadian kiamat.
Ashwed