Thursday, 11 February 2016

Persamaan

Hari ini saya ingin menjemput saudara pembaca menyelami secebis dari sejarah dunia dan hakikat bagaimana ia membentuk sebahagian besar tradisi dan upacara keagamaan yang kita praktis kini.

Avestan

Avestan adalah bahasa asal Empayar Parsi. Ia dibahagi kepada Avestan Kuno dan Avestan yang lebih muda.

Perkara ini juga terjadi kepada Bahasa Sanskrit.

Avestan dituturkan di bahagian dunia yang sekarang dikenali sebagai Afghanistan, Pakistan, Tajikistan, Turkmenistan, Uzbekistan dan budaya Yaz.

Bahasa ini tidak lagi wujud dan dituturkan secara meluas, namun ia berevolusi menjadi suatu bahasa yang kita kenali sebagai Bahasa Pashto.

Ramai pakar bahasa berpendapat bahawa Bahasa Sanskrit berasal dari bahagian dunia yang sama.

Mereka berpendapat bahawa Avestan dan Sanskrit pada asalnya dituturkan oleh suatu kumpulan manusia yang sama.

Di suatu masa dalam bingkisan sejarah kumpulan ini berpecah di mana satu kumpulan ke bahagian yang lebih dekat dengan Parsi dan satu kumpulan lagi pergi lebih jauh ke timur iaitu benua kecil India.

Oleh kerana mereka ini pada asalnya terdiri dari mereka yang mempunyai budaya yang sama maka sudah tentulah kita akan dapati mereka mempraktis ritual keagamaan yang sama.

Namun, oleh kerana mereka sudah berpecah ke dua benua yang berbeza seterusnya berevolusi dari semua segi sehinggalah kepada bahasa maka kita kini dapati mereka mencipta dua jenama agama yang mempunyai sebutan bahasa yang berbeza tetapi hakikatnya mempunyai kepercayaan yang sama.

Saya sudah mengupas mengenai agama dan kepercayaan Hinduism. 

Kini, apa kata kita selami pula agama kembarnya yang kita kenali sebagai Zoroastrianism dan lihat ciri-ciri persamaannya dengan ritual yang masyarakat kita praktis hari ini.

Zoroastrianism

Nama kuno agama ini ialah Mazdayasni sebelum berevolusi dan dikenali sebagai Zoroastrianism.

Kesemua ritual dan kepercayaan agama ini direkodkan di dalam sebuah scripture atau kitab yang dikenali sebagai Yasna.

Secara ringkas, para penganut Zoroastrianism diminta untuk mempercayai perkara-perkara berikut yang boleh di dapati dari Yasna ;

1. Tuhan (Ahura Mazda)
2. Nabi (yang dikenali sebagai (Zarathushtra Spitama/Zoroaster)
3. Shrosha (Wahyu)
4. Kiamat
5. Hidup selepas mati yang abadi
6. Svarga
7. Naraka
8. Ahriman (Syaitan)
9. Daeva (Jin)
10. Yasna (solat)
11. Zakat (sebanyak 10 peratus)
12. Soashyant (Imam Mahdi)
13. Vohu Manah (akal suci/Malaikat Djibril)

Untuk kali ini mari kita lihat apakah Yasna (Solat) dan lihat kemiripan dengan apa yang dipraktis oleh masyakat Islam moden.

 
Contoh scripture Yasna


Yasna juga adalah nama kitab agama Zoroastrianism. Namun secara asasnya Yasna adalah cara penyembahan Tuhan yang dikenali sebagai Ahura Mazda.

Yasna perlu dilakukan sebanyak 5 kali pada waktu yang telah ditetapkan yang dikenali sebagai Gah (waktu) iaitu pada :-

1. Havaan (Subuh)
2. Rapithwan (Tengahari)
3. Uziren (Selepas Tengahari)
4. Aiwisutheram (Senja)
5. Ushaen (Malam)

Di dalam Bahasa Sanskrit ia dikenali sebagai Pancha Maha Yagna.

Panggilan Yasna

Para penganut akan dipanggil ke Atash Behram (Kuil Api) untuk melakukan ritual Yasna dengan bunyi panggilan loceng.

Penyucian

Sebelum memasuki dewan ritual para peganut perlu menyuci beberapa bahagian badan seperti muka, tangan dan kaki.

Tudung

Para penganut wanita perlu menutup kepala dengan kain semasa berada di Atash Behram.

Arah

Para penganut perlu mengarahkan badan mereka ke arah Atash Padshah (Api Suci) yang kebiasaanya diletakkan di atas satu kiub berbentuk empat segi yang dikenali sebagai Keblaah.

Membaca 

Para penganut perlu membaca sepotong ayat dari kitab Yasna di dalam bahasa asal Avestan.

Tatacara

Para penganut berdiri atau duduk menghadap Keblaah. Baca sepotong ayat di dalam Bahasa Avestan dan seterusnya memasukkan serbuk wangian ke dalam Atash Padshah (Api Suci).

Kesimpulan

Para penganut Zoroastrianism sehingga kini masih terdapat di Iran. 

Anda boleh melihat sendiri ritual mereka dan baca maklumat mengenai agama ini di alam maya.

Jika kita bertanya kepada mereka adakah mereka menyembah api, jawapan yang sama akan kita dengar seperti rakan mereka yang beragama Hindu apabila ditanya samada Tuhan mereka adalah berhala batu.

Kami tidak sembah api, kami menyembah Tuhan Yang Maha Esa yang bernama Ahura Mazda. Api ini hanyalah medium untuk mendekatkan kami dengan Tuhan.

Itulah hakikat manusia. Kita sememangnya tidak boleh mempercayai bahawa Tuhan itu wujud di dalam KETIADAAN. Tuhan adalah ghaib.

Mengapakah ritual mereka sangat sama dengan masyarakat Islam ?

Sila lihat sejarah dan latarbelakang para perakam hadis iaitu mereka yang mempunyai nama-nama besar di dalam dunia penulisan hadis. Cuba lihat siapakah mereka, dari mana asal mereka dan apakah nekad mereka kepada bangsa Arab ?

Mungkin kita akan lebih memahami dunia apabila kita membaca sejarah bangsa yang pernah hidup sebelum kita.

Dari situ barulah kita dapat memahami Al Quran dan tema yang dibawanya dengan lebih mendalam.

 A062

"Sesungguhnya orang-orang yang percaya, dan orang-orang Yahudi, dan Kristian, dan Sabiin, sesiapa percaya kepada Allah dan Hari Akhir, dan buat kerja-kerja baik , maka upah mereka adalah di sisi Pemelihara mereka, dan tiadalah ketakutan pada mereka, dan tidaklah mereka bersedih" AQ 2:62

A069

"Sesungguhnya orang-orang yang percaya, dan orang-orang Yahudi, dan Sabiin, dan orang-orang Kristian, sesiapa yang percaya kepada Allah, dan Hari Akhir, dan buat kerja-kerja baik , maka tiadalah ketakutan pada mereka, dan tidaklah mereka bersedih" AQ 5:69

 A017

Sesungguhnya orang-orang yang percaya, dan orang-orang Yahudi, dan orang-orang Sabiin, dan orang-orang Kristian, dan orang-orang Majusi, dan orang-orang yang sekutukan - Allah akan bezakan antara mereka pada Hari Kiamat; sesungguhnya Allah saksi atas segala sesuatu" AQ 22:17

Ashwed

Wednesday, 10 February 2016

Politik

Saya beberapa kali menerima komentar yang meminta kebenaran untuk mengguna blog ini sebagai platform untuk menyampaikan pesanan politik.

Suka saya terangkan di sini bahawa blog ini berbentuk apolitical. Membawa maksud ianya tidak akan membawa aspirasi mana-mana Parti Politik di Malaysia.

Sebabnya adalah mudah bukankah Al Quran sudah berpesan supaya jangan kita bergolongan (syi-ya-an).

Politik adalah mengenai memenangi kuasa kerana dengan kuasa datangnya pengaruh, harta dan pelbagai lagi kemudahan.

Secara mudahnya, politik adalah mengenai suatu pihak yang mahu merebut kuasa dari satu pihak lain yang sedang memegang kuasa.

Umumnya di Malaysia, apabila berbicara tentang politik sebenarnya kita bukan berbicara mengenai daya intelek minda dan sistem yang mentadbir kita.

Di kebanyakkan masa, apabila kita berbicara mengenai politik, ia hanyalah sekadar gossip, mengata orang lain dan menjaga tepi kain orang, termasuk isteri dan keluarga orang lain.

Kita perlu sedar akan betapa buruknya perbuatan ini. 


Secara peribadi, saya berpendapat perbuatan bergossip langsung tidak membina apa-apa skil yang boleh membantu kita di kemudian hari.

Status Quo


Politik Malaysia menjadi haru-biru kerana kita tidak membangunkan sistem kita sendiri. Sistem politik yang berdasarkan Al Quran.

Kita hanya meniru dan menggunapakai sistem orang lain (ini termasuk sistem dari tamadun arab).

Sistem orang lain sudah tentulah didirikan berdasarkan budaya, tamadun, tradisi dan persekitaran mereka.

Sedangkan kita mempunyai persekitaran yang sangat berbeza. Malah makanan, rambut dan kulit kita juga berbeza.

Sistem politik kita sekarang menggunapakai sistem Westminster yang dikonseptualis di Britain.

Melalui sistem ini kita memilih seorang wakil untuk bercakap mewakili kawasan yang kita diami di sebuah Dewan samada Persekutuan atau Negeri.

Secara asasnya, ini dipanggil demokrasi.

Menurut Al Quran kita perlu memilih seorang pemimpin di kalangan kita sendiri. Bererti demokrasi adalah satu sistem yang di dirikan berdasarkan Al Quran.


A059


"Wahai orang-orang yang percaya, taatlah kepada Allah, dan taatlah kepada Rasul, dan orang-orang yang dalam urusan antara kamu. Jika kamu berbalah dalam sesuatu, kembalikanlah ia kepada Allah dan Rasul jika kamu percayai Allah dan Hari Akhir; itu lebih baik, dan kesudahan yang lebih baik" AQ 4:59

Lantas di manakah kesalahan yang kita lakukan secara berulang-ulang sehinggakan sistem ini menjadi sangat kelam-kabut sehinggakan kita merasa seperti mahu lemas dengan corak para pemainnya memainkan permainanan mereka.

Ia terletak kepada sistem KEPARTIAN. Kita memilih Parti bukan individu atau "orang-orang yang dalam urusan antara kamu" seperti AQ 4:59.

Ertinya kita mengamalkan syi-ya-an atau bergolongan.

Tidakkah kita sedar bahawa Tuhan melarang kita bergolongan (syi-ya-an) malah memberitahu kita bahawa perbuatan bergolongan sama sahaja dengan perbuatan mempersekutukan Tuhan ;


 A031

"Dengan kembali bertaubat kepada-Nya dan bertakwalah kepada-Nya serta dirikanlah iltizam/keazaman (wa-aqeemus-solla) dan janganlah kamu termasuk orang-orang yang mempersekutukan Allah" AQ 30:31

A032

"iaitu orang-orang yang memecah-belah aturan hidup (deenahum) mereka dan mereka menjadi beberapa golongan (syi-yaa-an). Tiap-tiap golongan merasa bangga dengan apa yang ada pada golongan mereka" AQ 30:32

Apabila kita memilih Parti, kita secara dasarnya memilih lock-stock and barrel

Kita terpaksa memilih kesemua elemen yang di bawa oleh Parti itu tidak kira samada ianya baik atau buruk, busuk atau wangi juga kiri atau kanan dan laba untung atau laba rugi.

Bagaimanakah kita mahu tahu yang mana lebih berat timbanganya ? Untung atau rugi, baik atau buruk ?

Di sinilah para pemain Parti itu berperang memenangi persepsi para pengundi mereka.

Ia adalah mainan propaganda di mana pihak yang mempunyai skil, sumber dan pengaruh yang lebih dominan akan memenangi peperangan persepsi ini.

Di sini teori Machiavelli iaitu matlamat menghalalkan cara digunapakai oleh setiap parti politik demi untuk memenangi persepsi awam.

Jika anda merasakan parti politik yang sedang anda sokong kini tidak melakukannya iaitu menggunapakai teori Machiavelli bermakna anda sedang bermimpi.

Beritahu saya, adakah anda rasa para pemain politik ini sejujurnya mahu memperjuangkan nasib anda ?

Nasib anda pada mereka hanyalah objektif sampingan sahaja. 

Matlamat yang sebenar ialah untuk mereka memenangi kuasa. Ianya sangat terang umpama lampu limpah stadium bola.

Di saat ini, negara kita menuju kepada sistem dwi-parti seperti di Amerika Syarikat.

Perkara ini akan menambah lagi kecelaruan kita, kerana sistem satu pihak buat kerja sementara sebelah pihak lagi menjatuhkan semua kerja itu tidak kira samada ianya betul, murni atau salah tidak akan membawa kita ke mana-mana.

Bukankah kita semua adalah rakyat yang tinggal di dalam sebuah negara yang sama ? Kita sepatutnya berkerjasama untuk satu matlamat, bukan berbalah sesama kita.

Mengapa pula kita perlu mengatakan usaha murni orang lain adalah salah ? Di manakah semangat patriotisma kita ?

Inilah yang telah dilakukan oleh parti-parti yang bermusuh di Malaysia, mereka hanya mentohmah, mengadu domba dan membuat komplen negatif ke atas segala usaha murni yang dilakukan oleh parti lawan.

Secara peribadi saya sedikit pun tidak merasakan perbuatan sebegini boleh membawa apa-apa manfaat atau perubahan kepada negara kita.

Bagi saya pihak-pihak ini lebih menambahkan mudarat dengan menabur benih dan semangat kekitaan atau assobiyah yang ekstrim sehingga merasakan para pemimpin Parti mereka maksum dan dijanjikan "syurga".

Yang kelakar sebaik sahaja ahli politik ini keluar dari Parti mereka dan menganggotai Parti lain secara otomatik dia dikecam dan segala yang dilakukannya dahulu di bekas Partinya menjadi dosa besar.


Perkembangan Semasa

# Ini adalah kali terakhir saya menulis mengenai kisah politik sebegini.

Di kala ini isu yang menjadi buah mulut di kalangan orang politik ialah mengenai gerakan menukar Perdana Menteri Malaysia.

Apabila berbicara berkenaan dengan Perdana Menteri Malaysia, kita wajar sedar bahawa kita bukan berbicara mengenai seorang individu bernama Dato Seri Mohd Najib Tun Razak.

Kita sebenarnya sedang berbicara tentang simbol eksekutif sebuah negara yang sedang mengamalkan Sistem Demokrasi Berparlimen.

Sebagai seorang yang mengaku setuju untuk menjadi warga negara ini di mana kita sudahpun melafazkan sumpah melalui Rukunegara maka kita harus sedar tentang peranan institusi-institusi yang menubuhkan sebuah negara berdaulat bernama Malaysia.

Di antara yang penting ialah Sistem Beraja, 3 cabang - Gubalan, Eksekutif dan Kehakiman, Auditor Negara, Peguam Negara, Polis Di Raja, Tentera Di Raja dan lain-lain.

Baru-baru ini saya membaca komen dari seorang Ahli Parlimen dari sebuah Parti Pembangkang.

Saya menjadi sangat takut apabila dihadapkan dengan realiti sebegini memandangkan ianya keluar dari mulut seorang Ahli Parlimen.

Beliau sepatutnya faham bagaimana sistem demokrasi negara kita berjalan.

Di dalam kekalutan beliau untuk menjadi seorang ahli politik dan nekadnya untuk merebut kuasa, beliau telah menyarankan supaya seorang "Pendakwa Bebas" dari negara lain menyiasat Perdana Menteri Malaysia.

Tidakkah perbuatan ini adalah sama seperti menyerahkan kedaulatan negara kita ke tangan asing ?

Sampai begitu sekali jauhnya kita berpolitik sehingga terlupa bahawa tanggungjawab utama sebagai seorang Ahli Parlimen ialah mempertahankan kedaulatan negara.

Tidakkah Ahli Parlimen ini tahu bahawa apa-apa kes yang berkaitan dengan jenayah yang di lakukan di dalam Persekutuan Malaysia dianggap sebagai melakukan kesalahan kepada Kerajaan Malaysia.

Hanya satu agensi yang dipertanggungjawabkan untuk mewakili Malaysia di dalam membuat apa-apa pertuduhan jenayah iaitu Jabatan Peguam Negara.

Setiap warga Malaysia tertakluk kepada sistem perundangan yang sama tidak kira samada beliau Mohd Najib Razak atau Anwar Ibrahim.

Kita tidak boleh membuat double standard hanya kerana seseorang itu menganggotai Parti Politik yang berbeza dari kita.

Oleh yang demikian menyarankan supaya seorang "Pendakwa Bebas" dari negara asing menyiasat Mohd Najib Tun Razak sebagai seorang warga Malaysia adalah sesuatu yang tidak boleh diterima akal.

Apatah lagi menyarankan "Pendakwa Bebas" menyiasat Perdana Menteri, simbol eksekutif negara Malaysia yang berdaulat lagilah sangat tidak berpelajaran dan tidak sepatutnya datang dari seorang Ahli Parlimen.

Begitu juga, mengguna Peguam Negara asing untuk melakukan serangan terhadap Ketua Eksekutif Malaysia.

Ianya melanggar keseluruhan protokol diplomatik G2G.

Tambahan pula jika ianya datang dari sebuah negara yang mengamalkan sistem perbankan yang diragui.

Apakah kita tidak tahu bahawa sistem perbankan mereka jugalah yang menyimpan segala harta rampasan perang Parti Nazi, menyimpan wang-wang haram organisasi bawah tanah.

Mereka juga menyimpan wang haram kartel dadah Amerika Selatan, wang rasuah dari bekas-bekas Presiden negara dunia dan sebagainya. 

Pernahkah mereka war-warkan berapa banyak jumlah wang haram yang mereka simpan sehingga kini ? 

Kini kita tiba-tiba mahu menyatakan bahawa mereka ini mempunyai moral yang lebih tinggi dari kita ?

Politik tetap politik, yang hitam boleh bertukar menjadi putih.

Saudara sekelian, jika anda mahu mendakwa Mohd Najib Tun Razak kerana anda merasakan beliau melakukan kesalahan, pertama sekali yang perlu anda lakukan ialah memastikan beliau bukan lagi Perdana Menteri Malaysia.

Kerana jika anda menyerang beliau setiap hari kiri kanan depan belakang. Tak cukup itu anda serang pulak isteri beliau, anak-anak beliau dan kaum keluarga beliau.

Semua serangan yang dilakukan di dalam keadaan beliau masih lagi memegang tampuk eksekutif yang mana Tentera, Polis dan keseluruhan Institusi Malaysia berada di bawah perintahnya adalah strategi yang buruk.

Dengan segala kuasa ini sudah tentulah jika sekali sekala beliau menyerang anda akan cedera parah.

Dalam masa yang sama, jika beliau menyerang janganlah pula balik mengadu kepada ibu-bapa anda. 

Hari ini Perdana Menteri buat move itu, ini. Perdana Menteri zalim dan kejam.

Bukankah beliau juga seorang ahli politik takkanlah anda sahaja boleh buat strategi ?

Kalau masuk gelanggang tinju takkan pulak lawan anda tidak boleh menumbuk ?

Seorang Perdana Menteri di lantik kerana Yang Di Pertuan Agong percaya beliau mendapat kepercayaan majoriti Dewan Rakyat.

Oleh yang demikian, cara untuk memaksa seorang Perdana Menteri meletak jawatan ialah dengan membuktikan bahawa beliau tidak lagi mendapat kepercayaan majoriti ahli Dewan Rakyat.

Dengan lain perkataan jika beliau dilantik secara demokrasi, beliau juga perlu dijatuhkan secara demokrasi. Jika tidak negara kita akan menjadi sebuah negara kartun seperti Fiji atau Maldives.

Mahukah kita jika negara ini menjadi seperti Thailand sikit-sikit ada coup d'état. Demo berbulan-bulan sampai nak kerja pun tak boleh.

Mereka tidak menghormati Dewan Parlimen yang dianggap mulia sehingga kereta kebal pun di bawa masuk ke dalam Dewan bagi digunakan untuk merampas kuasa. Ini berlaku hampir setiap kali pilihanraya.

Jika kita melakukan ini maka hilanglah kedamaian (Islam) yang selama ini kita nikmati.

Sistem Baru

Jika kita benar-benar mahukan perubahan dan mahukan sebuah pentadbiran yang lebih berintegriti maka kita perlu mengubah sistem yang sedang membuat negara kita menjadi busuk kini.

Kita tidak perlu membuat kerja sia-sia iaitu bertelagah sesama kita tetapi masih mahu mengekalkan sistem yang pada awalnya adalah penyebab pertelagahan itu berlaku.

Kita perlu memilih individu bukannya Parti. 

Perwakilan di Dewan Parlimen atau Dewan Undangan Negeri perlu dipilih berdasarkan komposisi kependudukan bangsa negara ini.

Dengan memilih individu maka setiap isu akan dibincang tanpa perlu mengira Parti dan ideologi yang di bawa oleh Parti itu.

Ini bermakna dengan memilih individu Parti Politik tidak lagi menguasai Kerajaan.

Kerajaan akan di isi oleh warganya.

Pastikan Ketua Eksekutif iaitu Perdana Menteri dan jawatan-jawatan utama yang lain hanya boleh diisi maksimum dua penggal sahaja.

Ini hanyalah idea asas, saya percaya jika kita sama-sama mengumpul maklumat, menyatu fikiran ke arah ini pasti kita boleh mencipta konsep sistem yang lebih sesuai dengan ciri-ciri negara kita yang majmuk.

Semoga negara ini menjadi lebih gemilang dan maju.

# Artikel ini tidak bermakna saya menyokong salahlaku yang dilakukan oleh mana-mana pemimpin terhadap negara ini. Saya cuma mengamalkan apa yang disarankan oleh Al Quran begitu juga dengan Akta Keterangan 1950 iaitu untuk menjadi saksi anda perlu melihat kejadian itu.

A044

"Kamu tidak berada di sebelah barat, ketika Kami tentukan perintah kepada Musa, dan tidak juga kamu antara orang-orang yang saksikan" AQ 28:44

Oleh kerana saya tidak pernah menjadi saksi atas apa jua bentuk dakwaan yang dimainkan di media sosial maka saya dengan ini menolak dari menjadi agen kepada permainan seperti ini.

Ashwed

Wednesday, 3 February 2016

Cogito Ergo Sum

Cogito Ergo Sum = I think, therefore I am.

Frasa ini di cipta oleh seorang Ahli Falsafah Perancis bernama Rene Descartes.

Dalam tulisan asal bukunya di dalam Bahasa Perancis frasa yang digunakan ialah je pense, donc je suis.

Ia kemudiannya dialih bahasa kepada bahasa latin berbunyi "Cogito Ergo Sum" sebagai cubaan untuk mempromosi cadangan itu kepada segmen yang lebih ramai.

Secara am, frasa ini membawa maksud seperti berikut, sebelum kita dianggap wujud kita perlu berfikir dahulu atau I think, therefore I am exist.

Ia adalah aliran falsafah mengenai konsep kewujudan kita di dunia ini.

Frasa ini di kembangkan lagi  oleh Antoine Léonard Thomas juga seorang yang berbangsa Perancis dengan falsafah berikut di dalam latin Dubito, ergo cogito, ergo sum.

Yang membawa maksud "I doubt, therefore I think, therefore I am exist"

Saudara pembaca, sebelum kita berpengalaman mengalami semua yang kita alami di alam realisma (alam wujud) perkara pertama yang perlu hidup ialah akal kita. 

Untuk akal kita hidup, ia perlu dahulu meragui sesuatu. Melalui keraguan baharulah kita boleh mencapai kebenaran yang hakiki.

Keraguan adalah penyebab kita membuat ujikaji ilmiah. 

Keraguan jugalah yang menyebabkan kita akhirnya berjaya membuat keputusan berdasarkan ujikaji tersebut.

Keraguan jugalah yang menyebabkan saya mengembara mencari jawapan kepada persoalan yang ada di dalam akal saya 10 tahun lepas.

Dek kerana keraguan inilah terwujudnya satu persoalan di dalam diri kita.

Jika persoalan ini cukup besar, iaitu persoalan yang kita tidak boleh untuk tidak mencari jawapan.

Persoalan yang jika kita tidak mencari jawapannya maka kita tidak boleh tidur lena, tidak boleh makan atau minum. 

Persoalan yang jika kita tidak tahu jawapannya hati kita seolah-olah terbelah oleh ketidaktahuan tersebut.

Persoalan yang cukup besar sebegini akan menyebabkan anda mengembara. 

Orang dahulukala mereka memang benar-benar mengembara untuk mencari jawapan kepada persoalan mereka.

Kita di zaman moden ini, disebabkan oleh pencarian yang orang dahulu sudah lakukan, maka yang perlu kita buat ialah meneroka kesemua informasi yang mereka kumpul.

Jika kita benar-benar berazam nescaya sudah tentulah kita akan mendapat jawapan kepada persoalan besar yang ketidaktahuannya boleh merobek jiwa kita itu.

Maka tanyalah kepada diri sendiri dari perkara-perkara kecil sehinggalah kepada perkara-perkara besar. Raguilah kebenarannya.

Dari situ anda akan memulakan suatu pengembaraan.

Sebagai contoh mari kita lihat kepada keterangan ini ;

 A029

"Katakanlah : Tuhanku menyuruh menjalankan keadilan. Dan (katakanlah): Luruskanlah muka (diri) mu di setiap sembahyang dan sembahlah Allah dengan mengikhlaskan ketaatanmu kepadaNya. Sebagaimana Dia telah menciptakan kamu pada permulaan (demikianlah pula kamu akan kembali kepadaNya" AQ 7:29

# Terjemahan Al Quran Bahasa Indonesia

"Katakanlah: "Tuhanku menyuruh berlaku adil (pada segala perkara), dan (menyuruh supaya kamu) hadapkan muka (dan hati) kamu (kepada Allah) dengan betul pada tiap-tiap kali mengerjakan sembahyang, dan beribadatlah dengan mengikhlaskan amal agama kamu kepadaNya semata-mata; (kerana) sebagaimana Ia telah menjadikan kamu pada mulanya, (demikian pula) kamu akan kembali (kepadaNya)" AQ 7:29

# Terjemahan Surah.My

Terjemahan seperti ini terdapat di kebanyakkan terjemahan Al Quran Bahasa Melayu.

Soalnya ? Di dalam teks asal Bahasa Arab terdapat perkataan "masjidin", namun perkataan itu tiada di dalam terjemahan yang tertera.

Begitu juga di dalam terjemahan Bahasa Melayu terdapat perkataan sembahyang yang secara tiba-tiba muncul. 

Manakala di dalam teks asal tiada perkataan Bahasa Arab yang biasanya diterjemah sebagai sembahayang iaitu solat.

Maka bagi mereka yang hidup hatinya sudah tentu mereka akan meragui terjemahan ini.

Sudah tentu akhirnya mereka akan bertanya kepada diri sendiri, luruskan wajah itu maksudnya apa ? Apa kaitannya dengan perkataan "masjidin" ?

Adakah ianya bermaksud meluruskan wajah kepada sebuah binaan bangunan ?

Apa kena mengena  melihat binaan bangunan dengan perintah Tuhan di dalam ayat tersebut iaitu untuk menjalankan keadilan ?

Apakah dengan melihat kepada struktur sebuah bangunan kita tiba-tiba boleh mencapai keadilan ?

Hati yang hidup sudah pasti akan tertanya-tanya, kalau begitu apakah maksud sebenar perkataan "masjidin" di keterangan ini ?

Apabila keraguan sebegini muncul nescaya ia akan melahirkan satu persoalan yang kita mahu mencari jawapan. 

Di mana jika ianya cukup besar, persoalan itu akan merubah pandangan kita kepada kehidupan yang kita jalani selama ini.

Pelajaran dari kisah Nabi Ibrahim

Nabi Ibrahim adalah seorang yang hanif.

Pencapaian dan karakter baginda adalah penanda aras kepada semua manusia termasuklah para Nabi lain.

Kisah baginda boleh di baca di dalam Al Quran.

Nabi Ibrahim memulakan pengembaraannya dengan suatu bentuk keraguan. 

A074

"Dan apabila Ibrahim berkata kepada bapanya, Azar, "Adakah kamu ambil patung-patung untuk tuhan-tuhan? Aku lihat kamu dan kaum kamu dalam kesesatan yang nyata." AQ 6:74

Dengan keraguan itulah timbul pelbagai persoalan di dalam dirinya lalu baginda mencari jawapan melalui tanda-tanda (ayat) yang Tuhan ciptakan disekelilingnya ;

A075

"Demikianlah Kami lihatkan kepada Ibrahim dominion langit dan bumi, supaya dia jadi antara orang-orang yang yakin" AQ 6:75

Baginda memulakan pengembaraannya untuk mencari jawapan kepada kebenaran yang hakiki dengan melihat kepada bintang yang dicipta Tuhan ... lalu baginda meraguinya ;


A076

"Apabila malam menutupi di atasnya, dia lihat satu bintang dan berkata, "Ini Pemeliharaku." Tetapi apabila ia terbenam, dia berkata, "Aku tidak suka yang terbenam." AQ 6:76

Di malam yang lain baginda melihat pula kepada bulan ciptaan Tuhan ... lalu baginda turut meraguinya ;

A077

"Apabila dia lihat bulan terbit, dia berkata, "Ini Pemeliharaku." Tetapi apabila ia terbenam, dia berkata, "Jika Pemeliharaku tidak beri petunjuk kepada aku, tentu aku jadi daripada kaum yang sesat." AQ 6:77

Di suatu siang pula baginda melihat ke arah sang mentari ... baginda masih meraguinya ;

A078

"Apabila dia lihat matahari terbit, dia berkata, "Inilah Pemeliharaku; ini lebih besar!" Tetapi apabila ia terbenam, dia berkata, "Wahai kaumku, sesungguhnya aku berlepas diri daripada apa kamu sekutukan" AQ 6:78

Begitulah pengembaraan yang dilalui Nabi Ibrahim untuk mencari kebenaran.

Saya percaya pencarian baginda bukanlah di dalam tempoh sehari dua seperti yang kita bayangkan dengan pembacaan santai keterangan-keterangan Al Quran.

Mungkin baginda pernah merasakan bintang itulah Pemeliharanya untuk suatu tempoh jangka masa yang panjang. 

Setelah mengumpul lebih banyak bukti barulah baginda sedar bahawa konsep bintang sebagai Pemelihara tidak begitu meyakinkan dan tidak munasabah.

Begitulah seterusnya proses kepada entiti lain seperti bulan dan matahari.

Sesudah mengumpul segala bukti yang munasabah melalui teknologi yang ada di zamannya, akhirnya baginda berjumpa dengan kebenaran yang hakiki bahawa sang Pemelihara pastilah yang memulakan segala-gala yang baginda saksikan tanda-tandanya di langit dan di bumi itu.


A079

"Aku hadapkan wajahku kepada Dia yang mulakan langit dan bumi; seorang yang lurus, dan bukanlah aku daripada orang-orang yang sekutukan." AQ 6:79

# Di dalam kebanyakkan terjemahan Al Quran Bahasa Melayu di tulis perkataan Allah. Namun, di dalam teks asal ia tiada, ini adalah kerana Tuhan, Zat Asal tidak bernama. Kita cuma merujuk Zat Asal ini dengan berbagai panggilan.

Dengan penemuan ini, saya percaya pandangan baginda kepada kehidupan di alam semesta berubah menjadi lebih luas.

Baginda menjadi lebih bijaksana dari segi tindak tanduk dan hujah-hujah di dalam bicara baginda sehari-hari.

Begitulah secara ringkas kisah Nabi Ibrahim yang menjadi suri tauladan kepada semua manusia yang percaya kepada potensi diri dan ingin mencari kebenaran.

Kesimpulan

Nabi Ibrahim menjumpai kebenaran yang hakiki kerana baginda yakin kepada dirinya sendiri.

Ianya bermula dengan keraguan, dengan keraguan ini timbul persoalan dan dari persoalan itu baginda berfikir.

Perkara ini membuktikan bahawa kesemua data mengenai Tuhan dan jalan yang lurus sudah sememangnya berada di dalam "essence" diri kita. 

Tiada siapa perlu memberitahu kita bahawa membunuh ibu sendiri adalah suatu perbuatan yang salah, bukankah begitu ? Ia sudah terbina di dalam naluri diri kita secara semulajadi.

Nabi Ibrahim meragui sistem korup yang dicipta oleh kaumnya.

Baginda tidak menjadi pak turut dengan mengiyakan sahaja sistem tersebut.

Perlu diingat bahawa kaum baginda adalah juga termasuk kaum keluarga seperti ayah dan ibu baginda sendiri.

Bermakna ianya bukanlah suatu kerja yang mudah.

Berkat keyakinan baginda kepada potensi dirinya sendiri, baginda dianugerahkan idea ;

A051
 
"Kami beri Ibrahim sebelum itu kelurusan hatinya kerana Kami tahu dia," AQ 21:51

Apabila baginda sudah cukup bukti dan pengetahuan yang penuh di dada barulah baginda menentang kaumnya dan sistem korup mereka dengan hujah-hujah yang nyata.

Kita boleh membaca kisah ini di dalam Al Quran seperti berikut  ;

A052

"Apabila dia berkata kepada bapa dan kaumnya, "Apakah patung-patung ini yang padanya kamu bertekun?" AQ 21:52

A053

"Mereka berkata, "Kami dapati bapa-bapa kami sembah mereka." AQ 21:53

A054

"Berkata, "Sesungguhnya kamu dan bapa-bapa kamu berada dalam kesesatan yang nyata." AQ 21:54

A055

"Mereka berkata, "Apa, adakah kamu datang kepada kami dengan yang benar, atau kamu antara orang-orang yang bermain-main?" AQ 21:55

A056

"Berkata, "Tidak, tetapi Pemelihara kamu ialah Pemelihara langit dan bumi, yang memulakan mereka, dan aku adalah antara orang-orang yang saksikan atas yang demikian" AQ 21:56

.. Dan terpatrilah nama baginda sebagai Iconoclast terhebat yang pernah berjalan di muka bumi ini.

Adakah kita mempunyai naluri seperti Nabi Ibrahim, hanya diri kita yang bisa mengetahuinya. If you never try, you will never know ..

# Terjemahan Al Quran di artikel ini jika tidak diberitahu sebaliknya adalah dari e-bacaan, Othman Ali

Ashwed

Sunday, 31 January 2016

Paradoks

Perhatikan betul-betul gambar ini. Apakah yang tidak kena dengan gambar dan kenyataan yang tertera.

                                         
Melalui machine gun yang dikendong dan suasana negara yang beliau diami kita dapat mengagak bahawa orang ini sedang menanti peluang untuk membunuh seorang insan lain.

Jika beliau berjaya membunuh atau beliau sendiri terbunuh akibat perbuatan puak yang bermusuh ketahuilah bahawa perbuatan itu sama dengan membunuh keseluruhan spesis manusia. 

Menurut satu kajian terdapat lebih kurang 11 peratus rakyat Malaysia menyokong perjuangan Islamic State (I.S) di negara-negara Timur Tengah. 

Jika kita mengira peratusan ini di kelompok mereka yang beragama Islam sahaja maka sudah tentulah nisbah peratusannya akan menaik secara mendadak.

Gambar yang tertera di atas adalah satu contoh dari beribu laman sesawang atau fanpage facebook yang di dirikan khas dengan tujuan menyatakan sokongan kepada I.S.

Saudara pembaca budiman. Ini adalah contoh jelas kenapa saya berkali-kali memberitahu bahawa kebanyakkan orang kita hanya setakat tahu bahawa Tuhan itu wujud sahaja.

Namun, pada dasarnya mereka tidak menaruh keyakinan kepada Tuhan, Zat Asal yang Maha Memelihara, Maha Berkuasa, Maha Mengetahui, Maha Pengasih dan lain-lain sifat Tuhan yang kita ketahui.

Kepercayaan mereka kepada Tuhan hanyalah di mulut sahaja. Sedangkan di jiwa mereka tidak ada keyakinan tersebut. 

Inilah yang di beri nama paradoks. 

Mula-mula mereka bermati-matian mengatakan Tuhan adalah Maha Berkuasa menguasai seluruh dunia dan isinya.

Tetapi setelah mereka mengakui perkara ini mereka berpatah balik.

Kini, mereka merasakan bahawa mereka perlu mempertahankan Zat yang Maha Berkuasa ini lalu merasakan perlu berperang dengan "musuh-musuh Allah" seolah-olah Zat itu begitu lemah.

Apabila keyakinan ini tiada di jiwa mereka, maka mereka merasakan bahawa diri merekalah sekutu Tuhan yang dilantik untuk mempertahankan nama, agama dan menjadi pejuang Tuhan.

Malah, ada yang menubuhkan Parti Politik kononnya demi mempertahankan Tuhan yang pada mulanya mereka akui Maha Berkuasa itu.

Ketahuilah bahawa Tuhan tidak mempunyai sekutu di dalam KerajaanNya. Kita sekali-kali bukanlah sekutu Tuhan.


A111

"Dan katakanlah : "Segala puji bagi Allah yang tidak mempunyai anak dan sekutu di dalam kerajaanNya dan Dia bukanlah hina yang memerlukan penolong dan agongkanlah Dia dengan pengagongan yang sebesar-besarnya" AQ 17:111

Penyakit tiada keyakinan ini adalah punca kepada banyak masalah di dalam dunia kini terutamanya peperangan.

Walaupun ia juga terjadi di dalam agama-agama lain terutamanya di zaman lampau, namun mereka berjaya keluar dari belenggu tersebut.

Kini penyakit ini sudah kurang ketara di negara mereka, namun ianya masih sangat ketara di dalam kelompok negara yang memanggil diri mereka Islam.

Mengapakah kita merasakan bahawa kita adalah sekutu Tuhan ?

Apakah kita masih tidak mengerti bahawa tiada satu pun di dunia ini adalah milik kita. Keluarga, harta, kekayaan, pengaruh, kebahagiaan segalanya bukan milik kita.

Kita hanya menikmatinya. Itupun masih ramai yang angkuh.

Ada yang tidak suka dengan kentut, ada yang tidak suka dengan rambut dan pelbagai alasan yang kita reka untuk menolak nikmat Tuhan.

Jika semua ini bukan milik kita jadi mengapakah kita masih mahu berperang untuk mempertahankan sesuatu yang asalnya adalah bukan hak kita ?

Kalau kita tidak merasa begitu, iaitu diri kita sebagai sekutu Tuhan. 

Kita ambil pula para Nabi dan Rasul sebagai sekutu Tuhan  dan kita jadikan mereka ini setaraf dengan Tuhan.

Kita merasa tidak senang apabila hanya nama Tuhan sahaja di sebut.

Kita mahu ada nama-nama lain di sebut di samping Tuhan barulah kita merasa senang hati.

A045

 
"Dan apabila hanya nama Allah saja disebut, kesallah hati orang-orang yang tidak beriman kepada kehidupan akhirat; dan apabila nama sembahan-sembahan selain Allah yang disebut, tiba-tiba mereka bergirang hati" AQ 39:45


Sepuluh tahun lepas semasa saya memulakan pengembaraan saya mencari kebenaran melalui Al Quran, saya merasai sendiri bagaimana gundahnya perasaan apabila saya cuba menyebut " La Illah Ha illallah " sahaja tanpa menyebut ungkapan yang kedua.

Alhamdulillah, dengan membaca dan membuat kajian dengan lebih mendalam akhirnya saya dapat meyakinkan diri sendiri bahawa sebenarnya tiada satu jenis ungkapan pun yang bisa kita lafazkan untuk menjadikan diri kita beriman.



Semuanya berada di dalam pengetahuan Tuhan kerana Dia Maha Mengetahui.



Apabila semakin yakin dengan kajian yang dilakukan yakni mengenai kebenaran Al Quran maka saya cuba menyebarluaskannya kepada ahli keluarga dan rakan taulan.


Di sini saya dapat merasai sendiri pengalaman di tolak mentah-mentah dan di panggil gila, isim dan sesat

Perlu di ingat bahawa saya bukan bercerita mengenai kebenaran Al Quran kepada jiran saya yang beragama Buddha atau Hindu atau Kristian.

Saya cuba menerangkan Al Quran kepada mereka yang menggelar diri mereka Islam.

Yang sejak dari kecil belajar mengaji Al Quran di sekolah formal atau tidak formal.

Yang saban "Ramadhan" dengan bangga memberitahu bagaimana mereka berjaya bertaddarus sehingga khatam Al Quran di dalam tempoh sebulan.

Maka benarlah keterangan ini ;


A046

"Dan Kami adakan tutupan di atas hati mereka dan sumbatan di telinga mereka, agar mereka tidak memahaminya. Dan apabila kamu menyebut nama Tuhanmu sahaja di dalam Al Quran, nescaya mereka berpaling ke belakang kerana bencinya" AQ 17:46

Hakikatnya mereka tidak merasakan Al Quran ini lengkap untuk kegunaan manusia. Keyakinan mereka hanya sekadar di mulut namun tidak di jiwa.

Malangnya, mereka percaya dengan membaca ayat dari surah sekian, nombor sekian ke sekian ia akan dapat menghalau hantu dan jembalang.

Jika membaca ayat-ayat yang lain pula maka rezeki mereka akan bertambah.

Ada juga ayat yang boleh mengubat pelbagai jenis penyakit. Dari kanser sehinggalah kepada tetemeh (jampi akibat tersampuk) kesemuanya mereka percaya terdapat di dalam Al Quran.

Dalam lain perkataan mereka menyangka bahawa Al Quran ini adalah suatu Kitab Hikmat yang boleh membawa 1001 keajaiban di dalam lingkaran hidup mereka.

Untuk itu, kepada mereka, Al Quran ini tidak boleh di langkah. 

Jika terlangkah ia perlu disucikan kembali dengan meletakkannya di dahi, hidung dan mulut sebanyak 3 kali. 

Apabila ada orang yang memijak Al Quran maka timbullah kemarahan yang amat sangat dihati mereka yang menganggap Al Quran sebagai Kitab Hikmat. Banyak kejadian buruk berlaku bermula dari peristiwa sebegini.

Mengapa kita merasa marah jika Al Quran dipijak ?

Tidakkah kita ketahui bahawa Tuhan yang Maha Berkuasa tidak akan jatuh dari Arasy hanya kerana ada manusia ciptaannya memijak Al Quran.

Al Quran bukan simbol atau punca kuasa Tuhan. Al Quran ini juga bukan sekutu Tuhan. Ia sekadar pelajaran. Maka adakah sesiapa yang mahu mengambil pelajaran daripadanya.

Sedarlah bahawa segala perkara yang menyebabkan kita marah kononnya sebagai penghinaan kepada Tuhan hanyalah persangkaan kita sahaja.

Apabila kita marah, amarah itu hanya boleh merosakkan diri sendiri dan makhluk-makhluk lain di sekeliling kita sahaja.

Hakikatnya tiada apa pun yang kita buat mampu mengetis sedikitpun kekuasaan Tuhan.

Janganlah kita menjadi gulana atau merasa tercabar dengan ketidakmampuan orang lain untuk memahami kekuasaan Tuhan.

Jika seluruh manusia yang hidup kini tidak lagi mempercayai Tuhan pun, Dia tetap akan wujud dan mempunyai kekuasaan yang sama.

Itulah Tuhan, Pemelihara alam semesta yang kita abdikan diri penuh seluruh dengan mendengar dan mematuhi arahan-arahanNya.

Kita merujuk Tuhan, Zat Asal ini sebagai Allah di dalam Al Quran.

Hakikatnya kita bukan beriman kepada terma rujukan Allah, yang sebenarnya pengadbian kita adalah kepada Zat Asal yang tidak mempunyai nama, demi sesungguhnya tiada nama yang mampu mentafsir keagonganNya.

Perang Mazhab

Maka jika Tuhan itu mempunyai kekuasaan yang Maha Luas sehingga kita tidak diperlukan untuk mempertahankanNya, lalu apa sebenarnya alasan kepada peperangan yang manusia masuki.

Sedarlah, kesemua perang yang kita masuki adalah kerana kehendak kita untuk mempertahankan ideologi pemikiran kumpulan kita.

Islam berperang dengan Kristian.

Islam berperang dengan Judaism.

Hindu berperang dengan Islam.

Buddha berperang dengan Islam

Kristian Protestan berperang dengan Kristian Katolik.

Islam Sunni berperang dengan Islam Syiah.

Semua peperangan ini tidak mampu mempertahankan Zat Tuhan. Ia hanya mampu mempertahankan ideologi kumpulan anda sahaja.

Maka tidaklah menjadi ganjil jika Tuhan menyamakan perbuatan mereka yang bergolongan (syi-ya-an iaitu mereka yang beragama dan bermazhab) sebagai perbuatan mempersekutukan  Tuhan.

Kesimpulan

Saya berdoa supaya atuk yang gambarnya tertera di atas tidak berjaya membunuh sesiapapun pada hari itu.

Saya juga berdoa supaya beliau tidak terbunuh agar cucu-cicitnya nanti tidak pula membalas dendam di atas kematian datuk mereka itu.

Biarlah pusingan itu terhenti di situ sahaja.

Tidakkah kita sedar bahawa sesungguhnya tiada apa kebaikan yang boleh kita perolehi dari peperangan.

Ia hanyalah suatu manisfestasi betapa teruknya diri kita telah dipengaruhi oleh sifat buruk (syaitan) kita sendiri.

Ini bukanlah bermaksud saya tidak merasa kasihan kepada nasib yang menimpa anak-anak di Syria.

Diberitakan ada di antara mereka yang terpaksa memakan rumput kerana ketiadaan makanan.

Namun, kita tidak berupaya menolong mereka. 

Adakah anda rasa dengan menderma berjuta-juta atau menghantar berkarung-karung guni makanan dan ubat-ubatan akan dapat mengubah nasib mereka ?

Sudah tentu tidak, kerana mereka tidak boleh berubah dengan duit, makanan atau ubat-ubatan. 

Yang perlu mereka ubah ialah mentaliti mereka dan menjadi orang-orang yang damai (muslim). Hanya diri mereka yang mampu mengubahnya.

Selagi mereka menolak bahawa sesungguhnya satu-satunya aturan/cara/amalan hidup (deen) yang di redhai Tuhan ialah kedamaian (Islam) maka selagi itulah mereka akan berada di dalam api (naar).

Oleh yang demikian, kepada mereka yang hatinya hidup. Tetapkanlah keazaman iaitu untuk menegakkan kedamaian (Islam) moga dengan azam itu nasib kita  menjadi lebih baik dari semalam.

Janganlah kita terjerumus menjadi paradoks. Mulut kata lain, jiwa ada benda yang lain.

Buanglah sikap merasa diri kita adalah sekutu Tuhan.  

Para Nabi, Rasul, juga para "mailakat" yang begitu kita agongkan itu juga bukanlah sekutu Tuhan. Tuhan adalah tunggal yang tidak mempunyai sekutu.

Sesungguhnya boleh sahaja Tuhan memancarkan keterangan Al Quran ini di puncak mana-mana gunung ciptaanNya.

Namun, percayalah nescaya gunung ini pula akan manusia angkat menjadi sekutu Tuhan dan letakkan kedudukannya setaraf dengan Zat Tuhan seperti yang mereka buat ke atas para Nabi.

Sedarlah bahawa kita sekali-kali tidak boleh mempertahankan satu Zat yang mempunyai kuasa yang tidak terhingga agongnya.

Kita juga tidak mampu membuat jiwa yang sudah mati mendengar, apabila mereka sudah berpaling.

A080  

A081 

Sesungguhnya kamu tidak dapat menjadikan orang-orang yang mati mendengar, dan menjadikan orang-orang yang tuli mendengar panggilan, apabila mereka telah berpaling ke belakang. Dan kamu sekali-kali tidak dapat memalingkan orang-orang buta dari kesesatan mereka. Kamu tidak dapat menjadikan (seorangpun) mendengar, kecuali orang-orang yang beriman kepada tanda-tanda (bi-ayat-tina) Kami, lalu mereka menjadi orang yang damai (muslimuna)AQ 28:80-81 


A162

“Katakanlah: Sesungguhnya keazamanku, pengorbananku, hidupku dan matiku adalah kerana Allah Tuhan sekelian alam.” AQ 6:162



Ashwed