Sunday, 2 April 2017

@!*#%@

Kedamaian Untuk Semua,

Saya memohon jutaan kemaafan kerana tidak berjaya mencuri masa untuk menulis, sungguhpun beberapa idea berlegar di ruang fikiran menanti untuk ditaipkan.

Sebenarnya, saya diberi mandat untuk mengetuai sebuah NGO kebajikan di tempat kelahiran saya bermula awal tahun ini.

Sebagai menghormati perlantikan ini, maka saya perlu memberi sepenuh tumpuan.

Saya sudah merangka projek kebajikan untuk sepanjang tahun 2017, oleh yang demikian saya perlu memastikan projek ini berjaya dilaksanakan satu per satu.

Namun, ini bukanlah alasan untuk kita melupakan terus usaha lain yang sudah lama kita mulakan.

Baru-baru ini saya membaca berita mengenai serangan eksterimis pertama di negara kita.

http://www.thestar.com.my/news/nation/2017/03/29/movida-bombers-sentenced-to-25-years-jail/

# maaf saya tidak sempat memperbetulkan keratan akhbar ini.

Saya terdetik untuk berkongsi berita ini bersama rakan-rakan peguam yang lain.

Sebaik sahaja saya menunjukkan keratan akhbar ini kepada mereka, tanpa berselindung ada antara mereka memberi komen ringkas ; 

... B_D_HNYA MELAYU.

Kedengaran agak kasar, namun tiada siapa boleh menafikan hakikat itu.

Saya amat memahami perasaan rakan saya itu, beliau juga seorang Melayu seperti saya.

Berkata begitu bukanlah bermakna beliau bersikap prejudis dan generalising sesuatu tanpa usul periksa. Ia juga bukan bermakna beliau bencikan bangsanya. Tetapi ia lebih kepada manifestasi perasaan yang tidak terbendung lagi.

Apa yang sedang kita alami kini adalah proses semulajadi akibat dari perbuatan menolak kebenaran dan kebebasan berfikir.

Di hari yang sama, saya menerima pula video yang menarik ini dari rakan yang lain.


                                                                  versi ringkas


Sekarang giliran saya pula memberi komen ringkas.

B_D_HNYA ARAB.

Bukanlah niat saya untuk menghina daya intelek mana-mana bangsa di dunia ini. 

Saya amat memahami bahawa bukanlah semua dari mereka mempunyai pemikiran yang tertutup sebegitu.

Namun, sesungguhnya saya tidak dapat mencari nahu bahasa yang paling sesuai untuk menerangkan tahap pemikiran bagi video di atas.

Mungkin ini emoji paling sesuai di pemikiran mereka.


Jika kita dapat melihat dengan mata kepala kita sendiri akibat buruk yang dialami oleh orang lain akibat pemikiran dan perbuatan yang dangkal, maka, mengapakah kita masih mahu mengikuti mereka ?

Adakah kita merasakan kita akan mendapat keputusan yang berlainan dengan mengikut orang-orang yang sedang ditimpa nasib buruk itu ?

Tidakkah lebih bijak untuk kita melakukan perkara yang sama sekali lain dari orang itu ?

Renung-renungkan.

Semoga orang kita berjaya membuang ketaksuban agama sebegini.

Ashwed

Thursday, 16 March 2017

Ikut-ikutan

Kedamaian Untuk Semua,

Baru-baru ini seorang kenalan bertanya mengenai adakah beliau boleh membuat ritual solat di dalam keadaan datang bulan (haid).

Beliau baru sahaja memeluk "agama Islam" kerana berkahwin dengan seorang "Muslim".

Oleh kerana grup Whatsapp kami terdiri dari mereka yang mendalami Al Quran dan mempunyai jiwa yang bebas maka saya percaya kenalan saya itu mendapat nasihat yang baik.

Ini adalah suatu kes klasik mengenai penyakit ikut-ikutan di dalam masyarakat.

Sebenarnya, setiap dari ahli masyarakat menerima tekanan yang maha hebat untuk mengikuti kumpulan mereka.

Untuk pengetahuan, kenalan saya tersebut sebelum ini beragama Kristian.

Sungguhpun semasa berada di dalam agama Kristian, rakan saya itu melakukan ritual yang berbeza apabila mahu menyembah Tuhan. 

Namun, sebaik sahaja memasuki kumpulan yang berbeza beliau seakan mempunyai suatu pra-rasa untuk menuruti tatacara kumpulan baru yang disertainya.

Perkara ini dikenali sebagai "Conformity".

Menurut wikipedia conformity di definisikan sebagai berikut ;

Conformity is the act of matching attitudes, beliefs, and behaviors to group norms. Norms are implicit, specific rules, shared by a group of individuals, that guide their interactions with others. This tendency to conform occurs in small groups and/or society as a whole, and may result from subtle unconscious influences, or direct and overt social pressure. Conformity can occur in the presence of others, or when an individual is alone. For example, people tend to follow social norms when eating or watching television, even when alone.

Perkara ini dijelaskan oleh Al Quran di dalam keterangan berikut :

A170 

"Dan apabila dikatakan kepada mereka, "Ikutlah apa yang Allah turunkan", mereka berkata, "Tidak, kami akan ikut apa yang kami dapati bapa-bapa kami buat." Apa? Dan jika bapa-bapa mereka tidak faham sesuatu, dan mereka tidak dapat petunjuk ?" AQ 2:170

National Geography melalui siri Brain Game pernah membuat satu ujikaji yang sangat menarik diberi tajuk "Social Conformity".

Ia adalah satu ujikaji mengenai keperluan ahli masyarakat untuk mengikuti tatasusila kumpulan mereka.


Ujikaji ini bukanlah bermakna kita perlu menolak kesemua tatasusila masyarakat.

Ia hanyalah suatu ujian yang bagi saya membuktikan bahawa banyak perkara yang kita buat selama hari ini di ikuti secara membabi buta tanpa sedikit pun ada rasa tanggungjawab untuk bertanya satu soalan mudah, KENAPA ?

Apabila ada di antara ahli kumpulan masyarakat kita yang menongkah arus, yang berani bertanya KENAPA ? Individu ini akan secara otomatik di cop sebagai seorang rebel.

Jika tidak kena caranya beliau akan disisih seterusnya berkemungkinan besar menerima akibat yang negatif seperti susah mencari rezeki dan sebagainya.



Di dalam keadaan ini apakah ujian yang boleh kita gunakan supaya kita tidak menjadi prejudis kepada rakan-rakan ahli masyarakat yang mempunyai pemikiran lain dari ahli yang lain ?

Saya merasakan kita perlu bertanya seperti berikut .. ujian untuk kita kenalpasti secara sendiri-sendiri.

"Adakah perkara yang kita ikuti itu dapat memberi manfaat kepada kehidupan kita secara keseluruhannya ?"

Ashwed

Ekuinoks 2017

Kedamaian Untuk Semua,

Pada 20hb Mac 2017, sekali lagi bumi akan mengalami ekuinoks.

Kita yang tinggal di sepanjang garisan khatulistiwa akan menerima haba yang paling ketara dari tempat-tempat lain di dunia ini.

http://www.drikpanchang.com/seasons/season-vernal-equinox-timings.html?l=14086

Sekali lagi apabila ekuinoks menjelma perkataan "Manifestation Heat (Syahru Ramadhan)" kembali bermain di minda. 

Di sebalik suasana yang hangat dan berhaba ini, keperluan berfikir dengan mendalam seolah-olah datang bertamu.

Di dalam dunia ini terdapat pelbagai pandangan dan aliran pemikiran.

Ada yang percaya kepada Tuhan, ada yang tidak percaya Tuhan, ada yang percaya kepada pelbagai Tuhan, ada yang percaya Tuhan tetapi tidak percaya kepada Nabi, Rasul dan Kitab.

Ada yang hanya percaya kepada sains sahaja, ada yang percaya kepada tangkal dan kepercayaan karut (superstition), ada yang percaya ada Nabi yang boleh membelah bulan, ada pula yang percaya ada Nabi yang tidak berbapa, ada Nabi yang dibakar tidak hangus, juga Nabi yang menjadi anak Tuhan.

Ada juga orang kita yang percaya mereka boleh memagar perairan negara dari ancaman nuklear, ada yang percaya hantu dan jembalang, manakala hampir semua dari kita pula menyerahkan jiwa dan raganya kepada batu.

Pokoknya, terlalu banyak aliran pemikiran di dunia ini.

Persoalannya, adakah kita benar-benar rasa aliran pemikiran ini mempunyai suatu jenis advantage daripada aliran pemikiran yang lain ?

Jika anda tidak mempercayai Tuhan maka adakah anda mempunyai kelebihan daripada mereka yang percaya ? 

Adakah anda berasa berada di dalam kelas yang tersendiri ?

Begitu juga sebaliknya, adakah mereka yang mempercayai Tuhan akan mempunyai kelebihan daripada mereka yang tidak percaya Tuhan ?

Ketahuilah bahawa kesemua aliran pemikiran ini tidak akan mengubah nasib kita.

Satu-satunya perkara yang boleh mengubah nasib kita ialah sikap dan mentaliti kita sendiri sahaja.

Jika bersikap positif dalam segala hal serta mempunyai mentaliti jitu yang pantang menyerah, itu baru membuatkan kita mempunyai advantage daripada seorang individu lain.

Oleh itu, berhentilah daripada bersikap prejudis kepada golongan yang tidak bersependapat dengan kita.

Kerana semua aliran pemikiran ini tidak lain dan tidak bukan hanyalah cara kita memandang dunia ini sahaja, tidak lebih dari itu.

Dengan kepelbagaian ini, adakah kita merasa perlu untuk kita bermusuh dengan yang lain ?

Menangkah kita jika berterusan berseteru sesama insan ?

Baru-baru ini saya menerima kiriman kata-kata pujangga daripada seorang kenalan yang sama-sama mendalami Al Quran.

Menurut kiriman itu, ianya diucapkan oleh seorang yang terkenal di negara jiran kita, Indonesia dengan gelaran Gus Mus.

Nama sebenar beliau ialah Ahmad Mustofa Bisri, Penasihat Utama Nahldatul Ulama yang mempunyai ahli lebih ramai dari seluruh penduduk Malaysia.

Namun, beliau sendiri menafikan ada membuat ucapan sedemikian. Apa pun saya merasakan kata-kata ini sungguh bermakna di dalam mengharungi kehidupan kita di dunia ini.

"Atheis dimusuhi karena tidak bertuhan.
Bertuhan dimusuhi karena Tuhannya beda.
Tuhannya sama dimusuhi karena Nabinya beda.
Nabinya sama dimusuhi karena alirannya beda.
Alirannya sama dimusuhi karena pendapatnya beda.
Pendapatnya sama dimusuhi karena partainya beda.
Partainya sama dimusuhi karena pendapatannya beda.

Apa kamu mau hidup sendirian di muka bumi untuk memuaskan nafsu keserakahan? " - pujangga misteri -

Ashwed

Monday, 6 March 2017

RUU 355 : Satu Kajian Kes

Kedamaian Untuk Semua,

Baru-baru ini rakyat Malaysia berdemonstrasi lagi. 

Kali ini kerana menyatakan sokongan mereka untuk tertakluk di bawah satu Undang-Undang lama yang mahu diberi nafas baru dari segi kuasa menghukum mahkamah terhadap beberapa kesalahan jenayah.

Akibat daripada itu, masyarakat kita berbalah lagi.

Satu kumpulan menyokong Rang Undang-Undang ini. Sementara, lagi satu kumpulan menolak untuk tertakluk di bawah Undang-Undang tersebut.

Dan seperti biasa, kita gagal berhujah dengan waras.

Banyak saya baca laporan berita samada di akhbar arus perdana atau portal internet yang setakat menghambur gelaran di antara kedua-dua kumpulan yang berbalah tanpa memberi hujah yang bernas.

Kita menjadi emosi.

Sedangkan, perkara yang mahu kita putuskan itu adalah amat penting untuk masa hadapan kita dan anak cucu kita, generasi hadapan.

Yang menyokong langkah ini, memanggil kumpulan bertentangan sebagai liberal, sesat, menolak hukum Allah dan sebagainya.

Sementara yang tidak menyokong, memanggil kumpulan seterunya sebagai ekstremis, religious bigot dan pelbagai gelaran lagi. 

Apa kata untuk artikel kali ini kita lihat secara ringkas landmark case yang diputuskan di negara kita mengenai Undang-Undang Islam dan Undang-Undang Sekular yang menjadi pertikaian rakyat Malaysia kini.

Definisi Undang-Undang

Secara amnya, undang-undang menurut definisi moden adalah suatu set peraturan atau norma-norma kemasyarakatan yang di amalkan oleh rakyat sesebuah negara.

Pada suatu waktu dahulu, pada zaman di mana penduduk dunia tidak mempunyai garisan sempadan negara yang teratur definisi undang-undang adalah sedikit berbeza dari definisi modennya.

Perlu diingat, di zaman lampau definisi undang-undang berkait rapat dengan konsep kewarganegaraan (citizenhood). Konsep kewarganegaraan di tempat ianya tercipta diamalkan secara "by invitation".

Ia dipraktiskan seperti bentuk sebuah Kerajaan Tempatan sekarang sahaja.

Seseorang warganegara dipilih bukan berdasarkan tempat mereka dilahirkan, tetapi di dasarkan kepada apa yang boleh beliau secara individu tawarkan kepada negaranya (bandar - secara praktikal). 

Apabila zaman berubah, ketamadunan silih berganti, dunia melahirkan konsep negara bangsa di mana kewarganegaraan seseorang menjadi suatu yang automatik berdasarkan negara beliau dilahirkan.

Ini menjadi realiti apabila kesemua negara di dunia menggunapakai persempadanan sebagai garis jajahan takluk mereka.

Sejarah Undang-Undang Sekular

Jika dilihat daripada definisi undang-undang secara am, kita akan dapati bahawa definisi ini berbentuk menyeluruh meliputi semua jenis undang-undang dan peraturan.

Namun, aliran pemikiran manusia telah membahagi-bahagikan undang-undang kepada golongan masing-masing.

Orang-orang Yahudi melalui Kitab Perjanjian Lama mengamalkan undang-undangnya yang tersendiri.

Ianya diikuti oleh bangsa-bangsa Eropah yang mengamal aliran pemikiran yang sama dengan Kitab Perjanjian Lama orang-orang Yahudi.

Penggunaan undang-undang sebegini menjerumuskan benua Eropah ke zaman gelap kerana pengamalan undang-undang yang berdasarkan agama melahirkan individu yang bersifat "holier-than-thou".

Masing-masing mahu membuktikan diri mereka lebih suci dari yang lain. 

Impian "Syurga" menyebabkan kebanyakkan individu di Eropah merasakan diri mereka lebih layak berada di sana dari rakan mereka yang lain. 

Sudahnya, keseluruhan benua Eropah mengamal undang-undang yang bersifat kejam dengan penumpuan kepada kuasa menghukum.

Dengan ketaksuban kepada kuasa menghukum ini maka timbullah penyakit kompleksiti karakter. Kita kenali penyakit ini sebagai "Kompleksiti Ketuhanan".

Masing-masing merasakan diri merekalah yang paling dekat dengan tuhan, malah merekalah sebenarnya tuhan.

Apabila rakyat benua Eropah mulai sedar kepada kebejatan masyarakat mereka maka bermulalah revolusi kebangkitan yang kita kenali sebagai Rennaisance.

Satu per satu negara-negara Eropah memisahkan diri mereka dari Sistem Gereja.  

Mereka menubuhkan Sistem Undang-Undang yang tersendiri yang digariskan dari pengalaman dan pemikiran rakyat negara masing-masing.

Pemisahan Sistem Gereja ini dikenali sebagai Sekularisma.

Sejarah Undang-Undang Islam

Sedang benua Eropah mengalami zaman gelap yang berpanjangan. Nasib rakyat yang tinggal di Timur Tengah pula sangat berbeza.

Mereka menjadi pemangkin sains dan teknologi dunia. Bahasa mereka menjadi bahasa keilmuan yang tinggi.

Suasana ini berlaku dari abad ke-8 masihi sehingga abad ke-13 masihi dan dikenali sebagai Zaman Emas Islam.

Ia dikatakan bermula di zaman Khalifah Harun Al-Rashid dengan terbinanya sebuah Institusi yang sangat penting bernama "House of Wisdom" atau "Bayt-Al-Hikma" di Baghdad, Iraq.

Di zaman itu, sesiapa sahaja yang ingin belajar sesuatu pelajaran perlu memahami bahasa timur tengah terlebih dahulu.

Ini adalah kerana "Bayt-Al-Hikma" telah menterjemah kebanyakkan buku dalam pelbagai bahasa dunia ke dalam Bahasa Arab.

Ini termasuklah Sistem Perundangan. Ketinggian ketamadunan Zaman Emas ini terbina dari sistem perundangan yang tersendiri yang di dasarkan kepada KEADILAN yang menyeluruh.

Apa sahaja yang diamalkan oleh Benua Eropah pada waktu itu, orang Timur Tengah melakukan yang sebaliknya.

Oleh yang demikian, jika Benua Eropah  menjadi taksub agama, orang Timur Tengah adalah sebaliknya.

Image result for sarcastic maps comparing europe and middle east in regards of science and religion

Mereka mengamalkan prinsip kebebasan sebagai asas kehidupan sebagai seorang inidividu. Berikut adalah contoh bagaimana bebasnya mereka di zaman itu ;

Another reason the Islamic world flourished during this period was an early emphasis on freedom of speech, as summarized by al-Hashimi (a cousin of Caliph al-Ma’mun) in the following letter to one of the religious opponents he was attempting to convert through reason:

“Bring forward all the arguments you wish and say whatever you please and speak your mind freely. Now that you are safe and free to say whatever you please appoint some arbitrator who will impartially judge between us and lean only towards the truth and be free from the empary of passion, and that arbitrator shall be Reason, whereby God makes us responsible for our own rewards and punishments. Herein I have dealt justly with you and have given you full security and am ready to accept whatever decision Reason may give for me or against me. For “There is no compulsion in religion” (Qur’an 2:256)


Disebabkan itu, tidaklah sukar untuk kita mengagak apakah jenis Sistem Perundangan yang di amalkan di Zaman Emas tersebut.

Meskipun, ia dikenali  sebagai Sistem Perundangan Islam,  namun apakah semangatnya sama dengan bentuk yang mahu kita amalkan sekarang ?

Perundangan Islam di dasarkan kepada Al Quran, namun perlu diingat bahawa Al Quran bukanlah sebuah buku perundangan.

Sebaliknya ia adalah sebuah buku mengenai fitrah kehidupan dan hak-hak asas sebagai seorang manusia.

Jika ada pun kod perundangan ianya sangat sedikit.

Oleh yang demikian, manusia di Zaman Emas Islam memahami bahawa apa sahaja perundangan yang mereka buat ianya adalah hasil dari pemikiran dan kebijaksanaan (hikmah) mereka sahaja.

Perkara ini sangat penting untuk kita memahami kes rujukan yang akan saya bentangkan di sini.

Che Omar Che Soh lwn Pendakwaraya [1988] 2 MLJ 55

Ini adalah rayuan kes jenayah di mana si Perayu telah dikenakan hukuman mati mandatori kerana kesalahan mengedar dadah dan menyimpan senjata api.

Yang menarik di dalam kes ini ialah Peguam Perayu telah menghujahkan bahawa oleh kerana menurut Perkara 3 (1) Perlembagaan Persekutuan Malaysia, Islam adalah agama Persekutuan, oleh yang demikian, disebabkan hukuman mati mandatori kerana kesalahan mengedar dadah tidak mempunyai asas di dalam Sistem Perundangan Islam maka hukuman yang dikenakan kepada anak guam beliau adalah bertentangan dengan prinsip Islam dan oleh kerana itu ia adalah bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan.

Tun Salleh Abbas yang mengetuai koram 5 hakim berpendapat bahawa perkara pertama yang perlu diputuskan di dalam kes ini ialah apakah makna Islam di dalam Perkara 3 (1) ?

Beliau berpendapat bahawa Islam bukanlah setakat satu koleksi dogma dan ritual (religio - how to observe God) , tetapi ia adalah suatu bentuk tatacara hidup yang lengkap.

Kes ini secara ringkasnya memutuskan dengan tegas mengenai makna undang-undang sekular di negara kita.
 

Di dalam mentafsir definisi Undang-Undang Sekular, Hakim-Hakim yang bijaksana di dalam kes ini telah memutuskan di antara lain bahawa ;
  1. Oleh kerana Raja-Raja Melayu mempunyai kedaulatan yang tersendiri di negeri masing-masing, maka dengan memberikan kedaulatan ini kepada Raja-Raja Melayu dan bukannya Tuhan maka kesucian sumber undang-undang langit ini telah terjejas dan oleh yang demikian sebuah institusi sekular (pemisahan sistem gereja dan negara) dengan ini menggantikannya.
  2. Semua undang-undang termasuk peraturan-peraturan yang mengawal pentadbiran Islam perlu dikuatkuasakan melalui Sistem Sekular ini.
  3. Ini mengakibatkan Islam di dalam pengamatan awam hanyalah sebahagian dari kekuasaan dan bergantung kepada kedaulatan Raja-Raja Melayu sahaja.

Ahli-ahli Parlimen di Malaysia mengakui keadaan ini.

Oleh sebab itu, kita dapat saksikan sekarang bagaimana di sebalik laungan bahawa Undang-Undang yang di bawa mereka adalah "Undang-Undang Allah" Dato Seri Haji Hadi masih membawa Rang Undang-Undang beliau untuk bacaan parlimen.

Parlimen pula, dalam menjalankan peranan mereka di dalam sebuah demokrasi jenis Raja Berpelembagaan perlu mendapat keizinan Majlis Raja-Raja terlebih dahulu untuk segala hal yang berkaitan dengan Islam.

Perkara ini termaktub di dalam Perlembagaan Persekutuan di bawah Perkara 3, 8, 11, 12 dan 121 (1A)

Dengan melakukan ini (Dato Seri Hadi masih belum memohon kebenaran Majlis Raja-Raja), kini Dato Seri Haji Hadi secara tidak langsung mengakui bahawa Undang-Undang yang dibawanya untuk kelulusan Parlimen bukanlah Undang-Undang Allah lagi.

Allah tidak memerlukan kebenaran sesiapa untuk melaksanakan Undang-UndangNya.

Alam semesta ini telah wujud selama lebih kurang 13.8 billion tahun dahulu.

Sunnatullah (Undang-Undang Alam termasuk masa) wujud sama tua dengan alam semesta ini.

Ia sama sekali tidak memerlukan kebenaran Majlis Raja-Raja apatah lagi bacaan di mana-mana Parlimen untuk dilaksanakan.

Kesimpulan

Kesemua Undang-Undang yang di amalkan di mana-mana negara di dunia ini adalah hasil dari pemikiran dan pentadibiran rakyatnya sendiri.

Oleh kerana itu, kesemua undang-undang yang wujud di dunia ini adalah suatu bentuk undang-undang sekular menurut definisi yang diputuskan melalui kes Che Omar Che Soh.

Mahu tidak mahu, itulah hakikat yang perlu diterima oleh kita semua.

Oleh yang demikian, sebagai sebuah undang-undang yang terhasil dari pemikiran manusia kita semua perlu membenarkan ianya di debat dan dihujahkan seperti seorang manusia tanpa perlu dilindungi dengan perkataan keramat "ini adalah Undang-Undang Allah".

Dalam waktu yang sama pihak yang menentang RUU 355 perlu memberi peluang kepada pihak yang menyokong untuk membawa RUU ini kepada pembacaan Parlimen.

Ini adalah kerana semua rakyat mempunyai hak bersuara mereka yang tersendiri. Termasuklah mereka yang menyokong RUU 355

Kita perlu mengembalikan semula House of Wisdom, dan memberikan kebebasan berfikir kepada semua rakyat Malaysia untuk dihayati.

Perkara utama yang perlu diingat ialah jangan kita menjadi seorang yang ekstrim di dalam apa-apa hal.

Dahulu kita menjadi ekstrim agama, hampir semuanya tak boleh kerana dikekang agama yang kita praktis.

Kemudian, apabila kita berubah, kini kita miring menjadi ekstrim yang lagi satu. Lalu kita membantah apa sahaja yang di bawa oleh golongan agama.

Jika kita menjadi seorang freedom advocate, kita perlulah membuktikannya dengan memberikan hak yang sama kepada setiap orang tidak kira samada dianya adalah seorang yang beragama, agnostik, theist, atheist, gay, gemuk, kurus, cacat, rakyat biasa, Raja, hamba dan sebagainya.

Ashwed 



Monday, 27 February 2017

Eksperimen dan Pemerhatian

Kedamaian Untuk Semua,

Kemaafan kerana lama tidak menulis. 

Saya baru kembali ke tanahair setelah sekian lama berada di negara asing. Lebih tepat lagi, tanah besar China.

Banyak peristiwa menarik berlaku sepanjang saya berada di sana, mungkin jika ada kesempatan saya akan coretkan di sini.

Sepanjang saya di sana, saya berkesempatan berkongsi bilik dengan seorang doktor falsafah merangkap pensyarah dari sebuah Universiti di Malaysia.

Banyak perkara yang kami bincangkan termasuk bab agama. 

Apa yang paling membuatkan saya ingat kepada rakan sebilik saya ini ialah pendapat beliau mengenai hal politik.

Beliau benar-benar merasa kecewa melihat orang-orang kita yang mempolitikkan setiap hal dan isu. Perkara ini menjadikan negara kita lambat mengecapi kemajuan.

Beliau mengambil contoh negara China.

Oleh kerana mereka tiada pilihanraya maka dalam tempoh 30 tahun dari tarikh mereka membuka ekonomi sistem komunis menjadi semi-kapitalis, rakyat hanya mengikuti pelan Kerajaan China tanpa mempolitikannya. Ia terbukti membawa kejayaan yang sangat besar. 

Politik hanya berlaku di dalam Parti sahaja bukan di galeri awam. 

Beliau menyimpan impian jikalah sekiranya Malaysia dapat membuat satu Undang-Undang di mana politik hanya boleh dimainkan sewaktu kempen pilihanraya sahaja. 

Malaysia berkemungkinan menjadi lebih baik daripada sekarang.

Namun begitu, ini bukanlah isikandung artikel saya kali ini.

Sebenarnya, kali ini, saya ingin berkongsi pengalaman peribadi keluarga saya.

Menyedari saya akan meninggalkan anak-anak saya pada kadar yang agak lama maka saya memikirkan cara untuk memberi mereka pengetahuan sepanjang tempoh saya tiada bersama mereka.

Akhirnya, saya memutuskan untuk mengajar mereka yang masih bersekolah rendah ini mengenai nilai-nilai "solat" melalui satu eksperimen ringkas dengan mengumpul data melalui sebuah jurnal.

Projek Menanam Sayur

Eksperimen bermula dengan saya mengajak mereka membeli biji benih sayur-sayuran dari jenis yang mereka pilih sendiri.

Mereka memilih untuk membeli biji benih cili, bendi, ketumbar dan saya sendiri memilih kacang panjang.

Kami juga membeli beberapa kampit tanah, sedikit baja serta beberapa biji pasu. Sementara Mama mereka pula membeli beberapa pasu sayuran dan herba yang sudah membesar untuk memudahkan beliau petik apabila mahu memasak.

Sampai sahaja di rumah, saya meminta anak-anak saya membawa seorang sebuah buku catatan untuk dijadikan jurnal projek menanam sayuran kami.

Saya mengarahkan mereka untuk membahagikan projek ini kepada 3 eksperimen dengan jangkawaktu selama 2 minggu.

Eksperimen yang pertama adalah membuat segala proses untuk menumbuhkan biji benih tersebut iaitu mengguna unsur-unsur tanah dan air serta menanamnya di dalam sebuah pasu yang khas. Ia juga diletakkan di tempat yang bercahaya matahari.

Eksperimen yang kedua di panggil eksperimen tangguh iaitu biji benih yang dibeli itu sengaja dibiarkan di dalam plastik pembelian dan ditangguhkan dari menanamnya.

Eksperimen yang ketiga dikenali sebagai eksperimen ritual iaitu mengambil beberapa butir biji benih, dilekatkan di dalam buku jurnal mereka sendiri lalu di bawa ke tikar sejadah untuk dibuat solat hajat khas setiap malam sepanjang ketiadaan saya.

Solat hajat khas  ini mesti di akhiri dengan doa memohon Tuhan menumbuhkan biji benih yang terdapat di dalam buku jurnal mereka.

Untuk setiap eksperimen tersebut saya meminta mereka mengambil data tumbesaran anak pokok setiap hari.

Saya hanya tersenyum apabila anak saya yang berumur 8 tahun mengomel "Papa, mana boleh tumbuh letak atas sejadah !".

Saya cuma meyakinkan mereka supaya mengambil data kerana setiap eksperimen hanya boleh dibuat kesimpulan melalui pemerhatian.

Cara yang paling baik untuk memerhati ialah dengan mengumpul data.

Sekembalinya saya ke rumah dari luar negara, anak-anak saya sudah tidak sabar menunjukkan anak-anak pokok mereka yang sudahpun tumbuh semasa ketiadaan saya.

Jelas terpancar kegembiraan di mata mereka melihat hasil kerja sendiri membuahkan hasil, sementara saya sendiri tidak sabar-sabar mahu memberitahu mereka mengenai pelajaran yang mahu saya sampaikan kepada mereka melalui eksperimen ini.

Kesimpulan

Malam ini saya memanggil anak-anak saya dengan membawa jurnal data masing-masing.

Saya memulakan dengan membacakan keratan keterangan ini.

"Tidakkah kamu lihat (alam-ta-ro) bagaimana Allah turunkan dari langit air, dan dengannya Kami keluarkan buah-buahan yang bermacam-macam warnanya? Dan di gunung-gunung terdapat jalur-jalur putih dan merah, daripada bermacam-macam warna, dan hitam yang pekat" AQ 35:27

"Antara manusia juga, dan haiwan, dan binatang ternak, bermacam-macam warnanya. Begitulah, hanya yang takut kepada Allah antara hamba-hamba-Nya ialah para ulama (orang-orang yang berpengetahuan); sesungguhnya Allah Perkasa, Pengampun" AQ 35:28

Lalu saya terangkan kepada mereka bahawa untuk menjadi seorang yang berpengetahuan (alim/ulama) perkara pertama yang perlu kita lakukan ialah alam-ta-ro. Perhatikan.

Disebabkan itu saya menyuruh mereka mengumpul data di dalam sebuah jurnal kerana inilah cara paling baik untuk memerhatikan sesuatu.

Menurut Al Quran, suri tauladan terhebat manusia bernama Ibrahim menulis sebuah jurnal dikenali sebagai SUHUF.

"Naskhah-naskhah gulungan Ibrahim dan Musa" AQ 87:19


Tiada siapa tahu kandungan Suhuf Ibrahim (the Scroll of Abraham) ini.

Saya percaya ia kemungkinan besar adalah data-data yang dikumpulkan bagi membina sebuah negara yang makmur bernama Bakkah (sekitar Jerusalem) seperti yang diceritakan di dalam Al Quran.

Kita perlu faham bahawa pada setiap zaman ada caranya yang tersendiri.

Oleh yang demikian, pengumpulan data di zaman Ibrahim berkemungkinan lain daripada zaman ini.

Melihat kepada pengumpulan data di dalam Al Quran, mungkin Suhuf Ibrahim juga mengguna bahasa berbunga bagi menyampaikan maklumatnya.

Saya meneruskan dengan berhujah bahawa menurut Bahasa Latin perkataan SCIENTIA membawa maksud knowledge atau pengetahuan.

Oleh yang demikian perkataan SCIENTIST di dalam Bahasa Inggeris secara etimologi membawa maksud "seorang yang berpengetahuan". Di dalam Bahasa Arab Al Quran perkataan ini dikenali sebagai "alim".


Di dalam bentuk yang ramai atau plural atau jamak jadilah ia ULAMA.

Para Saintis. Mereka inilah yang takut kepada Tuhan lalu mereka mengkaji segala sesuatu yang dijadikan Tuhan dengan membuat alam-ta-ro (pemerhatian) dan percaya tiada kaedah lain yang boleh merubah undang-undang alam (Sunnatullah) yang dijadikan Tuhan.

Ia sekali-kali bukanlah seorang yang berjambang, berjubah dan berserban seperti yang boleh kita lihat pada masa kini.

Orang yang berjambang, berjubah dan berserban seperti yang kita dapat lihat di zaman ini digelar habar di dalam Al Quran. Mereka ini adalah golongan ahli agama.

"Mengapakah rabani-rabani (orang-orang yang menguasai), dan habr (ahli agama) tidak larang mereka daripada ucapan dosa, dan makan yang haram? Buruknya apa yang mereka kerjakan!" 5:63

"Wahai orang-orang yang percaya, kebanyakan habr, dan rahib, sesungguhnya mereka makan harta manusia dengan cara palsu, dan halangi jalan Allah. Orang-orang yang menyimpan emas dan perak, dan tidak nafkahkannya di jalan Allah, maka berilah mereka berita gembira dengan azab yang pedih" AQ 9:34

Namun begitu, bukanlah semua orang sebegini (berjambang, berjubah dan berserban) tidak layak di panggil ulama.

Pada suatu masa dahulu, terdapat ramai saintis yang berjambang, berjubah dan berserban. Ini adalah kerana begitulah fesyen di zaman tersebut. Lalu para saintis ini juga berfesyen sebegitu.

Walaupun begitu, mereka sekali-kali bukanlah seorang ahli agama.

Apabila zaman berubah, para saintis ini tidak lagi berpakaian sebegitu kerana ia bukan lagi sejenis fesyen yang trendy.

Namun, golongan ahli agama meneruskan fesyen lama ini. Mungkin ia dilakukan agar dapat mengaburi khalayak lalu dianggap cerdik seperti ahli sains dahulukala.

Image result for ibnu sina

Image result for Averroes

Saya juga menerangkan kepada anak-anak saya bahawa perbuatan berusaha membeli pasu, memasukkan tanah ke dalam pasu, mengorek sedikit lubang di tanah, memasukkan biji benih ke dalam lubang tersebut, mengambusnya kembali lalu di siram air dan ditinggalkan di tempat yang bercahaya matahari semua ini adalah iltizam atau kesungguhan atau USAHA yang kita kenali sebagai "solat" di dalam Al Quran.

Solat (iltizam/kesungguhan/usaha) inilah yang diseru (doa) oleh Ibrahim supaya diteruskan oleh keturunannya.



"Wahai Pemelihara kami, aku tempatkan sebahagian daripada keturunanku di sebuah lembah di mana tidak ada tanah yang disemai di dalam sistem Engkau; wahai pemelihara kami, agar mereka melakukan solat, dan buatkan hati manusia berkeinginan padanya, dan berilah rezeki mereka dengan buah-buahan supaya mereka berterima kasih" AQ 14:37



Usaha adalah tangga kejayaan. Kejayaan mereka (anak-anak saya) pada hari ini adalah pokok sayuran sedang tumbuh mengikut Sunnatullah.

Eksperimen kedua dan ketiga membuktikan bahawa perbuatan TANGGUH dan RITUAL tidak berjaya menumbuhkan biji benih tersebut. Ini adalah kerana ia bertentangan dengan Sunnatullah (undang-undang alam) yang dijadikan Allah.

Mereka yang percaya kepada Sunnatullah ini adalah seorang yang amanah (iman) sementara mereka yang tidak percaya kepada Sunnatullah ini adalah mereka yang menolak (kafir).

Mereka yang beriman dijanjikan kejayaan sementara mereka yang menolak tidak akan berjaya.

Surat Ali Imran Ayat 139

"Jangan lemah, dan jangan sedih; kamu akan jadi yang lebih tinggi, jika kamu orang-orang beriman" AQ 3:139

Kesemua ini iaitu berusaha menanam biji benih, menyiramnya dengan unsur-unsur yang betul yakni air dan dikenakan cahaya matahari (solat) kemudian ia tumbuh menurut  undang-undang alam (Sunnatullah) inilah fitrah kehidupan atau the reality/science of life.

Di dalam Al Quran ia dikenali sebagai Ad Deen. Inilah tema Al Quran.

A030  

"Maka tegakkanlah wajah kamu kepada Ad-Deen, seorang yang lurus - fitrah (fit-ra-ta) Allah yang dengannya memulakan manusia. Tidak ada pertukaran dalam fitrah (fa-ta-ra) Allah. Itu Deen yang betul; tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahuinya" AQ 30:30

Apabila terkenang bagaimana pemikiran naif anak-anak saya yang secara innocence sudah mengetahui keputusan eksperimen yang bakal mereka lakukan, membuatkan saya terfikir.

Bahawa sebenarnya secara semulajadi Tuhan sudah menerapkan nilai-nilai sebenar ke dalam diri kita, namun kita menolak perkara yang semulajadi ini.

Kita pergi mengikuti kursus-kursus untuk memperbetul cara ritual berdiri, duduk dan bersila.

Kita reka hukum dengan menyatakan jika tidak cukup syarat atau tidak berdiri, duduk atau bersila dengan betul Tuhan akan menolak ritual itu. Seolah-olah kita bersahabat baik dengan Tuhan.

Kemudian kita tipu diri sendiri dengan menyatakan inilah yang dikehendaki oleh Tuhan untuk kita lakukan dengan memanipulasi terma-terma yang mudah. Kita tipu diri sendiri dengan menyatakan dengan cara inilah kita akan berjaya.

Sedangkan kita sendiri sudah secara semulajadi tahu bahawa kita hanya akan berjaya dengan berusaha untuk mendapatkan sesuatu.

Memikirkan ini membuatkan saya terdetik bahawa manusia ini terutamanya bangsa saya benar-benar menolak (kafir) undang-undang alam.

Yang paling sedih ialah kita berbangga diri, perasan kita berada di atas jalan yang benar.

Kepada anak-anak Papa. Pokok yang tumbuh itu bukanlah tanda bahawa kamu sudah berjaya secara penuh. Ia perlu dijaga, disiram dan dibaja.

Apabila sudah berjaya perkara yang lebih sukar untuk dilakukan ialah untuk mengekalkan kejayaan itu.

Namun, Papa sentiasa yakin, jika kita berusaha segala-galanya akan menjadi mudah.

Ashwed






Sunday, 5 February 2017

Have A Break

Kedamaian Untuk Semua,

Kadang-kadang rasa pelik bagaimana pemikiran dua manusia yang berada jauh boleh ada persamaan. 

Sebenarnya saya memang terdetik untuk memasukkan post lagu untuk mengisi ruangan blog ini sementara saya mencuri masa untuk menulis kembali.

Tiba-tiba, baru tadi ada seorang pembaca menghantar lirik lagu "Wish You Were Here" dari sebuah band legenda Psychedelic dan Progressive Rock, Pink Floyd. 

Berikut adalah lagu tersebut untuk dihayati.


P/S - bagi saya, solo "Comfortably Numb" adalah solo yang paling perfect dalam sejarah muzik rock.
 
Namun, sepanjang hujung minggu yang lalu saya tidak teringatkan lagu "wish you were here" sebaliknya asyik teringatkan lirik lagu ini.

Lagu yang bagus adalah lagu yang simple dengan lirik yang kuat. Lirik akan menjadikan sesebuah lagu itu relevant sepanjang zaman. 



Semoga semua pembaca blog ini bukan sahaja mempunyai produksi kerja yang tinggi, tetapi yang lebih penting ialah kreativiti yang tinggi.

Image result for “Strong minds discuss ideas, average minds discuss events, weak minds discuss people.”

Damai/Peace/Salam/Shalom,

Ashwed

Saturday, 4 February 2017

Memecah Kurungan Minda

Kedamaian Untuk Semua,

Urusan kerja mencemburui kita. Kadang-kadang idea datang bertalu-talu ke kotak minda, namun tidak kesampaian untuk di realisasi di papan kekunci.

Sementara saya menyelesai tuntutan nafkah harian, saya tampilkan di sini sebuah video dari Denmark.

Semoga video ini dapat membuka minda kita. 

Jikalah kita dapat membuang profiling halimunan yang wujud di minda kebanyakkan manusia, saya percaya dunia akan lebih damai.


Tiada lagi pilihan samada aku atau engkau ? Kita atau mereka ? Tiada lagi saingan untuk menyatakan pendirian kitalah yang paling benar. 

Yang ada hanyalah manusia yang sedang melalui sebuah kisah kehidupan. Yang mempunyai pengalaman pahit dan manis yang tersendiri. Kegemaran yang tersendiri. Latar belakang yang tersendiri.

Semua kelainan ini bukanlah perkara yang membezakan kita. Sebaliknya ia adalah aspek yang melengkapi satu sama lain.

Alangkah indahnya hidup ini jika kita semua hidup di dalam keterbukaan.

Ashwed