Saturday, 25 April 2015

Nabi, aqeemu solla(h) dan zakka(h)

Pernahkah kita berfikir mengapa Tuhan tidak menceritakan langkah-langkah terperinci untuk melakukan ritual solat ?

Jika ritual ini begitu penting sehingga banyak cerita tentang azab yang akan menimpa kita jika kita gagal melakukannya, mengapa pula Tuhan tidak langsung menerangkan kepada kita secara terperinci di dalam Al Quran? 

Apa yang perlu kita baca ? Perlukah kita sucikan diri sebelum melakukannya ? Apa perkara yang membatalkannya ? Bagaimana kita tahu ianya telah sah ? dan lain-lain.

Terlalu banyak persoalan berkenaan perkara ini yang tidak terjawab. Malah boleh dikatakan perpecahan umat muslim kepada mazhab-mazhab adalah kerana ritual ini. 

Ada ketua mazhab yang kata semasa "sujud" perlu silang-silang kaki. Ada ketua mazhab kata semasa duduk tahiyat, jari perlu menulis dengan huruf Allah dalam Bahasa Arab. 

Ada pula ketua mazhab yang kata semasa duduk tahiyat akhir, kita perlu bersimpuh sementara tapak kaki perlu dinaikkan tegak. Jika tidak lakukan ini maka solat tidak sah.

Ada juga yang kata jika terkentut maka batal air wuduk. Seolah-olah Tuhan yang Maha Berkuasa ini, alah kepada kentut manusia. Sedangkan, kentut itupun dicipta Tuhan sebagai sistem badan kita. Bayangkan jika kita tidak boleh kentut, 2 hari cukuplah. 

Kesemua hal ini dikatakan oleh ketua mazhab. Tuhan tidak pernah pun menulis tentang hal ini di dalam Al Quran. Perbezaan ini mewujudkan satu ilmu baru yang dinamakan Feqah.

Adakah logik Tuhan Yang Maha Adil sengaja membiarkan para hambaNya bertelagah tentang hal ini ? Atau mungkinkah Tuhan tidak pernah menerangkan akan hal ini kerana bukan itu solat yang Tuhan maksudkan ?

Secara asasnya Tuhan tidak akan mengazab manusia untuk sesuatu yang tiada dalam pengetahuan mereka. 

A172

"Dan ingatlah ketika Tuhanmu mengeluarkan keturunan anak-anak Adam dari sulbi mereka dan Allah mengambil kesaksian terhadap jiwa mereka : "Bukankan Aku Tuhanmu? Mereka menjawab : "Betul, kami menjadi saksi. (Kami melakukan ini) agar di hari Peraturan (qiyamah) kamu tidak mengatakan : "Sesungguhnya kami adalah orang-orang yang lengah terhadap ini (keesaan Tuhan)" AQ 7:172

Menurut keterangan di atas, Tuhan memberitahu kita bahawa kita tidak akan diazab kerana tidak melakukan ritual solat. Ini adalah kerana ritual solat memang tidak pernah dibincang di dalam mana-mana ayat di dalam Al Quran. 

Untuk sesuatu perkara dikenakan azab, Tuhan WAJIB menerangkannya secara terperinci di dalam Al Quran

Kedegilan manusia terutamanya agamawan untuk membuat ritual ini adalah manifestasi kepada keingkaran dan kesombongan mereka kepada perintah Tuhan. 

Para agamawan ini membuat konspirasi yang sangat zalim untuk memaksa manusia-manusia lain yang tidak bersalah supaya melakukan ritual tersebut.

Perbezaan Nabi (prophet) dan Rasul (messenger)

Dari kecil kita diberitahu bahawa :-

Nabi  - menerima wahyu hanya untuk dirinya sendiri, tidak wajib untuk disampaikan kepada manusia lain;

Rasul - menerima wahyu untuk diri sendiri dan wajib disampaikan kepada manusia lain

Semasa belajar di Universiti pula pensyarah kata, pendapat itu memang MASYHUR, tapi sebenarnya salah, mereka kata :-

Nabi - menerima dan menyampaikan wahyu kepada manusia lain (cumanya, wahyu yang disampaikan adalah berdasarkan syariat Rasul yang terdahulu ;

Rasul - menerima dan menyampaikan wahyu kepada manusia lain (cumanya, setiap rasul membawa syariat baru)

Ini adalah pendapat yang sangat salah. Setiap Nabi dan Rasul membawa syariat yang sama semenjak zaman Nabi Adam sehingga Nabi Muhammad.

A013

"Dia telah mensyari`atkan kamu tentang agama (ad deen-cara hidup) apa yang telah diwasiatkan-Nya kepada Nuh dan apa yang telah Kami wahyukan kepadamu dan apa yang telah Kami wasiatkan kepada Ibrahim, Musa dan Isa yaitu: Tegakkanlah agama dan janganlah kamu berpecah belah tentangnya. Amat berat bagi orang-orang musyrik agama yang kamu seru mereka kepadanya. Allah menarik kepada agama itu orang yang dikehendaki-Nya dan memberi petunjuk kepada (agama) -Nya orang yang kembali (kepada-Nya)." AQ 42:13


Kesimpulannya, kita selama ini percaya setiap Rasul mestilah juga Nabi, tetapi Nabi tidak semestinya Rasul. Kita juga percaya bahawa Rasul dan Nabi kini tidak lagi diutus kepada manusia. Nabi Muhammad adalah Rasul yang terakhir.

Menurut Al Quran, Nabi Muhammad merupakan Nabi yang terakhir. 

A040

"Muhammad itu sekali-kali bukanlah bapak dari seorang laki-laki di antara kamu, tetapi Dia adalah Rasulullah dan penutup Nabi-Nabi. Dan adalah Allah Maha mengetahui segala sesuatu.” AQ 33:40

Menurut Al Quran lagi seorang Nabi sudah semestinya juga seorang Rasul. Tetapi Rasul tidak semestinya Nabi. Ia adalah terbalik dari apa yang kita percaya selama ini.

Perbezaan besar di antara Nabi dan Rasul berada di tengah-tengah ayat ini

A081

Dan (ingatlah) ketika Allah mengambil perjanjian dari para Nabi : "Sungguhnya apa saja yang Aku berikan kepadamu berupa kitab dan hikmah, kemudian datang pula kepadamu seorang Rasul yang membenarkan apa yang ada padamu, nescaya kamu akan sungguh-sungguh beriman(yakin) kepadanya dan menolongnya". Allah berfirman : "Apakah kamu mengakui dan menerima perjanjianku terhadap yang demikian itu?" Mereka menjawab: "Kami mengakui". Allah berfirman : "Kalau begitu saksikanlah (hai para nabi), dan Aku juga menjadi saksi bersama-sama kamu."AQ 3:81

Melalui ayat di atas adalah jelas kepada kita, bahawa kepada para Nabi, Tuhan memberi "kitab dan hikmah" kemudian akan datang pula seorang Rasul yang akan membenarkan "kitab dan hikmah" ini.


Kedua-dua Nabi dan Rasul sudah tentu akan memberitahu tentang kebenaran. Waimah, sesiapa sahaja tidak kiralah dia Nabi atau Rasul yang merasa diri mereka benar akan berpesan kepada kebenaran. Ini adalah instinct kita.

Tidak wujud konsep bahawa Nabi tidak perlu menyampaikan ilham/wahyu yang diberikan kepadanya kepada orang lain sementara Rasul pula sebaliknya.

Sebenarnya peringatan Tuhan berada di mana-mana. Ia boleh datang dari orang kufur atau beriman. Cuma kita perlu tahu yang mana satu yang benar yang mana satu yang salah.

Maka, oleh itu, selepas Nabi Muhammad yang merupakan penutup segala Nabi, sudah tentu ada sahaja Rasul yang dihantar Tuhan untuk membenarkan "kitab dan hikmah" yang diberi kepada Nabi Muhammad.

Oleh yang demikian, persoalan tentang samada masih terdapatkah lagi utusan (messenger atau Rasul) Tuhan di hantar kepada manusia yang masih hidup di masa kini dengan sendirinya terjawab. 

Tuhan masih menghantar utusanNya untuk membenarkan kitab Al Quran dan hikmah (kebijaksanaan) yang di ajar kepada Nabi Muhammad.

A047

"Tiap-tiap umat mempunyai Rasul; maka apabila telah datang Rasul mereka, diberikan keputusan antara mereka dengan adil dan mereka (sedikitpun) tidak di aniaya" AQ 10:47

A036

"Dan sesungguhnya Kami telah mengutus dalam kalangan tiap-tiap umat seorang Rasul (dengan memerintahkannya menyeru mereka): "Hendaklah kamu menyembah Allah dan jauhilah Taghut". Maka di antara mereka (yang menerima seruan Rasul itu), ada yang diberi hidayah petunjuk oIeh Allah dan ada pula yang berhak ditimpa kesesatan. Oleh itu mengembaralah kamu di bumi, kemudian lihatlah bagaimana buruknya kesudahan umat-umat yang mendustakan Rasul-rasulnya" AQ16:36 

Yang tahu akan kerasulan ini hanyalah Tuhan. Kerana Tuhanlah yang melantik UtusanNya.

Sebenarnya Nabi, Rasul dan Kitab adalah di kategorikan sebagai Pemberi Peringatan. Yang paling penting di sini bukanlah pembawa utusan tersebut tetapi mesej yang dibawanya iaitu yang diperingatkan kepada kita. Maka itu, kita tidak perlu menjadi taksub kepada pembawa utusan. Yang paling penting adalah Tuhan, bukan makhluk.

NABI

Jumlah Nabi adalah sedikit sahaja. Tidak salahnya cuma 25 orang.

Perbezaan sebenar di antara Nabi dan Rasul ialah kepada semua Nabi, Tuhan memberi mereka suatu cabaran (haji - dari akar kata ha-ja cth ta-ha-jaa atau yu-ha-joo).

A258

"Tidakkah kamu memperhatikan orang yang mencabar (hajja) Ibrahim tentang Tuhannya, kerana Allah memberikan orang itu kuasa pemerintahan? Ketika Ibrahim berkata: "Tuhanku ialah Yang menghidupkan dan Yang mematikan". Orang itu berkata: "Saya dapat menghidupkan dan mematikan". Ibrahim berkata: "Sesungguhnya Allah menerbitkan matahari dari timur, maka terbitkanlah dia dari barat?" Lalu terdiamlah orang kafir itu; dan Allah tidak akan memberikan petunjuk kepada kaum yang zalim" AQ 2:258

Cabaran ini adalah misi spesifik Nabi-Nabi tersebut. Ia berbeza mengikut zaman dan tempat. Saya senaraikan di sini cabaran yang diberi kepada Nabi-Nabi yang akan kita bincang secara umum :-

Nabi Ibrahim - Membuka satu negara yang diberi nama Bekah
Nabi Ismail - meneruskan  cabaran yang diberi kepada bapanya di Bekah
Nabi Syuaib - Membuat reformasi (islah) kepada sistem Ekonomi kaum Madyan
Nabi Musa - Membawa lari Bani Israel (exodus) ke Bekah
Nabi Isa - Menyeru Bani Israel supaya membuang agama rekaan mereka
Nabi Muhammad - Menyempurnakan penyampaian Al Quran

Sebelum saya menerangkan apa kaitan cabaran (haji) misi spesifik para Nabi dengan perkataan "Solla(h)", mari kita fahami dulu maksud sebenar perkataan-perkataan ini seperti yang diterangkan Al Quran iaitu "Solla(h)", "Sujud", "Rukuk" dan "Zakka(h)".

Solla(h)

Menurut Al Quran semua makhluk tidak kira di langit dan di bumi kesemuanya mendirikan solla(h).

A041

"Tidakkah kamu tahu bahwasanya Allah: kepada-Nya bertasbih apa yang di langit dan di bumi dan (juga) burung dengan mengembangkan sayapnya. Masing-masing telah mengetahui sembahyang [solla(h)] dan tasbihnya, dan Allah Maha Mengetahui apa yang mereka kerjakan." AQ 24:41


Soalan utama - bagaimanakah monyet, burung, kera, cacing, bulan, bintang, matahari, air, angin, cahaya dan semua makhluk-makhluk ciptaan Tuhan mendirikan solla(h) ?

Bolehkah burung duduk bersimpuh semasa tahiyat akhir sambil menegakkan telapak kaki seperti manusia islam yang bermazhab shafie?.

Jawapannya juga berada di dalam ayat AQ 24:41 di frasa "dan (juga) burung dengan mengembangkan sayapnya"

Di sini, kita tahu bahawa burung sememangnya mengembangkan sayap apabila mahu terbang. Burung di dalam ayat ini menjadi dirinya sendiri iaitu burung.

Ia terbang. Maka itulah solla(h) burung. Ia mendirikan solla(h) dengan menjadi dirinya sendiri, seekor burung.


Burung tidak boleh menjadi seekor katak. Dia tidak boleh melompat dan menjelirkan lidah untuk menangkap makanan.


Begitulah halnya dengan semua makhluk ciptaan Tuhan yang lain. Bulan mendirikan solla(h) dengan menjadi bulan. Matahari dengan menjadi matahari. 

Ikan dengan menjadi ikan, air menjadi air, cahaya menjadi cahaya, angin menjadi angin manakala MANUSIA MENDIRIKAN SOLLA(H) DENGAN MENJADI MANUSIA.

Masing-masing menumpukan sepenuh tenaga untuk menjadi diri masing-masing di dalam sistem kehidupan yang dicipta oleh Tuhan.

Perhatian penuh inilah yang dinamakan solla(h) atau tanggungjawab atau keazaman atau iltizam atau bahasa modennya komitmen.

Manusia tidak boleh hidup di dalam air. Kita tiada insang. Kita hanya boleh bernafas di atas darat dengan menggunakan paru-paru (ingat paru-paru juga makhluk Tuhan yang tersendiri, ia juga mendirikan solla[h]).

Maka apabila kita menjadi manusia maka kita sedang mendirikan solla(h). 


Kalau manusia cuba menukar Sistem Allah (bayt-tullah) ini maka akibatnya ialah kita akan mati.

Kalau tidak percaya pergi cuba bernafas di dalam air. Tolong sediakan ambulan dan doktor sebelum mencubanya.

Bagaimana untuk menjadi manusia yang berjaya itulah yang Tuhan turunkan Al Quran. Manual kejayaan untuk keseluruhan manusia tidak kira bangsa dan fahaman.

Sesiapa sahaja yang mengikut "cara hidup/aturan hidup atau ad deen" di dalam Sistem Tuhan seperti yang terangkan di dalam Al Quran maka dia akan berjaya. 

Al Quran adalah sempurna untuk kegunaan manusia, tiada cacat celanya. Tiada satupun yang Tuhan tertinggal di dalam Al Quran. Yakni manual menjadi manusia berjaya.

Sujud


Apakah dia sujud. Jika kesemua makhluk Tuhan mendirikan solla(h), maka bagaimanakah mereka melakukan sujud ? 

Adakah ianya seperti ritual di hadapan batu yang dilakukan oleh manusia penganut agama Islam moden ?

Menurut Al Quran sujud bukanlah satu gerakan tubuh. Ia bermaksud patuh.



A015

"Hanya kepada Allah-lah sujud (yas-judan -patuh) segala apa yang dilangit dan di bumi baik dengan kemauan sendiri ataupun terpaksa (dan sujud pula) bayang-bayangnya diwaktu pagi dan petang hari" AQ 13:15

Bolehkah bayang-bayang sujud seperti yang penganut agama sujud (perlu diingat bahawa bayang-bayang adalah juga makhluk Tuhan yang tersendiri), iaitu dengan menonggeng punggung dan meletakkan dahi ke lantai ? 

Sudah tentu tidak boleh. Bayang-bayang sujud (patuh) kepada perintah Tuhan dengan menjadi bayang-bayang. Ia akan mengikut kedudukan cahaya matahari melalui objek yang menghalangi cahaya matahari.  Jika matahari berada di kedudukan tegak atas kepala. Bayang-bayang tidak jelas kelihatan.

Tetapi jika matahari condong di kedudukan timur atau barat, maka bayang-bayang akan memanjang mengikut kedudukan itu. Walaupun individu tersebut adalah seorang kafir yang mempersekutukan Tuhan dengan batu. Bayang-bayangnya tetap sujud (patuh) kepada Sistem Tuhan (bayt-tullah). Tuhan tidak berlaku kejam kepada makhluk ciptaanNya. Merekalah yang membuat zalim ke atas diri sendiri.

Oleh yang demikian, maka dengan sendirinya kita faham bahawa matahari sujud dengan mematuhi perintah Tuhan iaitu memancarkan cahayanya tanpa henti. Matahari sudah berbillion tahun sujud (patuh) kepada perintah Tuhan ini.

Bumi pula patuh (sujud) dengan berputar di atas paksinya. Bumi juga telah mematuhi arahan ini selama berbillion tahun. Akibat putaran bumi ini, maka kita manusia akan nampak bahawa matahari akan terbit di sebelah timur dan terbenam di  sebelah barat. 

Pernahkah matahari engkar untuk terbit di timur dan terbenam di barat ? Tidak pernah ada satu hari pun selama berbillion tahun matahari merasa malas untuk terbit di timur dan terbenam di barat. 

Inilah amal saleh (usaha baik) sang matahari. Matahari akan mendapat ganjaran yang setimpal untuk amal saleh (usaha baik)nya. Ganjaran ini diberi nama pahala atau upah dari Tuhan.

A018


"Apakah kamu tiada mengetahui, bahawa kepada Allah patuh (yas-ju-dul-lahu) apa apa yang ada di langit, di bumi, matahari, bulan, bintang, gunung, pohon-pohonan, binatang-binatang yang melata dan sebagian besar daripada manusia?" AQ 22:18

A049

Dan kepada Allah sajalah patuh (yas-ju-du) segala apa yang berada di langit dan semua makhluk yang melata di bumi dan (juga) para malaikat, sedang mereka (malaikat) tidak menyombongkan diri." AQ 16:49

Rukuk

Salah satu cara para agamawan menyorok mesej Tuhan ialah dengan membiarkan sesuatu perkataan itu dalam bentuk asalnya.

Iaitu dengan tidak membuat apa-apa penterjemahan ke atas perkataan di dalam teks asal.

Sedangkan tugas penterjemah ialah menterjemah keseluruhan perkataan kepada bahasa yang diterjemah.


A047

"Kecelakaan yang besarlah pada hari itu bagi orang-orang yang mendustakan" AQ 77:47

A048

"Dan apabila dikatakan kepada mereka: "Rukuklah, niscaya mereka tidak mau rukuk" AQ 77:48

A049

"Kecelakaan yang besarlah pada hari itu bagi orang-orang yang mendustakan" AQ 77:49

A050

"Maka kepada perkataan apakah selain Al Quran ini mereka akan beriman ? " AQ 77:50


Dari keterangan di atas, kita boleh mengagak bahawa makna Rukuk adalah satu perkataan yang mempunyai maksud berlawanan dengan perkataan "mendustakan". 

Pastinya ialah, ianya bukanlah gerakan separa menonggeng sambil berdiri dengan meletak tangan di atas kepala lutut seperti yang agamawan mahu kita buat.


Yang peliknya, penterjemah ini gagal menterjemah perkataan bahasa arab "rukuk". Tetapi, untuk melindungi ilmu yang dipelajari dari Ketua Mazhabnya, dia tetap menterjemah perkataan bahasa arab "hadis" kepada Bahasa Melayu di ayat no. 50. 

Jika ia tidak diterjemah maka ayat no. 50 akan berbunyi seperti ini. "Maka kepada hadis apakah selain Al Quran ini mereka akan beriman ? ".

Begitulah konspirasi yang dibuat oleh para agamawan dalam usaha mereka untuk melindungi ilmu mereka.

Bagi saya AQ 77:47-50 ini ditujukan khusus kepada para agamawan.

Mereka mendustakan kebenaran Al Quran.

Apabila disuruh rukuk (rendahkan diri/humble) mereka tidak mau rukuk (rendahkan diri/humble).

Mereka berterusan menyombongkan diri dengan mendustakan ayat-ayat Tuhan.

Zakka(h)

Benarkah zakka(h) bermaksud cukai untuk agama atau religious tithe

Tuhan seringkali menyatukan perkataaan solla(h) dan zakka(h) membentuk ritma yang tersendiri. 

Di situlah kita akan dapat mengetahui di mana korupsi yang dilakukan oleh para agamawan.


Menurut Al Quran zakka(h) bermaksud menyucikan, membersihkan atau memurnikan atau bahasa modennya dedikasi. Dalam bahasa inggeris ia bermaksud to purify.

A017
A018
A019

"Pergilah kamu kepada Fir'aun, sesungguhnya dia telah melampaui batas, dan katakanlah (kepada Fir'aun): Adakah keinginan bagimu untuk membersihkan diri [taz-zakka - make yourself pure] (dari kesesatan). Dan kamu akan kupimpin ke jalan Tuhanmu agar supaya kamu takut kepadaNya" AQ 79:17-19

Para agamawan apabila tidak boleh lari lagi dari memberitahu kita makna yang sebenar, mereka akhirnya akan mengalah. Di situlah kita akan berjumpa dengan kebenaran.

Kenapa di dalam ayat di atas para penterjemah tidak menterjemahkan supaya firaun membayar zakat? Sebabnya ialah ianya tidak logik. Takkan pula, firaun yang kafir mahu membayar zakat ?

A129
 

"Wahai Tuhan Kami! Utuslah kepada mereka seorang Rasul dari kalangan mereka sendiri, yang akan membacakan kepada mereka ayat-ayat (firmanMu) dan mengajarkan mereka isi kandungan Kitab (Al-Quran) serta Hikmah kebijaksanaan dan membersihkan (hati dan jiwa) [wa-yu-zak-ki-hem] mereka (dari syirik dan maksiat). Sesungguhnya Engkaulah yang Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana". 


Ayat di atas membuktikan lagi bahawa zakka(h) bukanlah bermaksud membayar zakat.

Ayat selepas ini amat menarik kerana perkataan "solla(h)" dan zakka(h) terdapat di dalamnya tetapi perkataan "zakka[h]" tidak diterjemah sebagai membayar zakat kerana ianya tidak logik untuk berbuat begitu.

A018

"Dan orang yang berdosa tidak akan memikul dosa orang lain. Dan jika seseorang yang berat dosanya memanggil (orang lain) untuk memikul dosanya itu tiadalah akan dipikulkan untuknya sedikitpun meskipun (yang dipanggilnya itu) kaum kerabatnya. Sesungguhnya yang dapat kamu beri peringatan hanya orang-orang yang takut kepada azab Tuhannya (sekalipun) mereka tidak melihat-Nya dan mereka mendirikan sembahyang (solla[h]). Dan barangsiapa yang mensucikan dirinya (taz-zakka), sesungguhnya ia mensucikan diri (ya-taz-zakka) untuk kebaikan dirinya sendiri. Dan kepada Allahlah kembali(mu)." AQ 35:18)

Sebenarnya menurut Al Quran apabila Tuhan memerintahkan kita supaya membuat kebajikan dengan memberi sedikit dari harta kita, Tuhan akan mengguna dua perkataan. Iaitu perkataan dari akar kata infak - nafkah, yunfikun dan lain-lain kata terbitannya. Dan satu lagi perkataan ialah Sadaqah.

Infak lebih kepada kewajipan. Sementara sadaqah adalah bebas dilakukan pada bila-bila mengikut kehendak hati.

A003

"(yaitu) mereka yang beriman kepada yang ghaib, yang mendirikan shalat, dan menafkahkan (yunfikun) sebahagian rezeki yang Kami anugerahkan kepada mereka." AQ 2:3 

Di dalam ayat di bawah, penterjemah ini menyorokkan kebenaran yang ditunjuk Tuhan dengan menukar sama sekali perkataan yang sebenar di dalam teks asal bahasa arab.
A058
"Dan di antara mereka ada orang yang mencelamu tentang (distribusi) zakat (dalam teks asal - sadaqah), jika mereka diberi sebahagian daripadanya, mereka bersenang hati, dan jika mereka tidak diberi sebahagaian daripadanya, dengan serta merta mereka menjadi marah" AQ 9:58

Kebanyakkan penterjemah menukar sama sekali perkataan sadaqah kepada zakat. Yang perlu kita, orang yang mencari kebenaran buat ialah meneliti teks asal di dalam Bahasa Arab. Dengan mudah kita akan membongkar penipuan yang dilakukan oleh golongan agamawan.

Kaitan di antara "Solla(h) dan Zakka(h)" dengan Misi Spesifik para Nabi

Baru-baru ini saya berdebat dengan bekas-bekas rakan universiti yang belajar di Jurusan Undang-Undang seperti saya. 

Bagi saya ini adalah contoh manusia-manusia yang tidak bersalah tetapi telah dijuruskan ke arah kesimpulan yang salah oleh para agamawan.


Tajuk perdebatan kami adalah mengenai isra' mikraj'. Mereka percaya bahawa dari peristiwa inilah Nabi Muhammad disyariatkan untuk mendirikan "Solat" seperti yang orang Melayu lakukan.


Dari hujah saya menerusi AQ 42:13 seperti di atas kita tahu bahawa Tuhan tidak pernah memberi syariat yang berbeza kepada para utusanNya.

Kemudian saya berikan nas-nas ini, di mana perkataan "solla(h)" digunakan kepada para Nabi di zaman yang berbeza.

Solla(h) Nabi Ibrahim,

A037

"Ya Tuhan kami, sesungguhnya aku telah menempatkan sebahagian keturunanku di lembah yang tidak mempunyai tanam-tanaman dalam Sistem Engkau (Baitullah) yang dihormati, ya Tuhan kami (yang demikian itu) agar mereka mendirikan shalat, maka jadikanlah hati sebagian manusia cenderung kepada mereka dan beri rezekilah mereka dari buah-buahan, mudah-mudahan mereka bersyukur" AQ 14:37

Solla(h) Nabi Ismail,

A054 

"Dan bacakanlah (wahai Muhammad) di dalam Kitab (Al-Quran) ini perihal Nabi Ismail; sesungguhnya ia adalah benar menepati janji dan adalah ia seorang Rasul, lagi berpangkat Nabi" AQ 19:54


A055


"Dan adalah ia menyuruh keluarganya mengerjakan sembahyang dan memberi zakat, dan ia pula adalah seorang yang diredhai di sisi Tuhannya!" AQ 19:55

Solla(h) Nabi Syuaib,

 A087


"Mereka berkata: "Wahai Syuaib! Adakah sembahyangmu menyuruhmu perintahkan kami supaya meninggalkan apa yang disembah oleh datuk nenek kami, atau supaya kami lakukannya apa yang kami suka melakukannya dalam menguruskan harta kami? Sesungguhnya engkau (wahai Syuaib) adalah orang yang penyabar, lagi bijak berakal (maka bagaimana pula engkau menyuruh kami melakukan perkara yang bertentangan dengan kebiasaan kami)?" AQ 11:87

Solla(h) Nabi Musa,

A087

"Dan Kami wahyukan kepada Musa dan saudaranya: "Ambillah olehmu berdua beberapa buah rumah di Mesir untuk tempat tinggal bagi kaummu dan jadikanlah olehmu rumah-rumahmu itu tempat shalat (qiblat) dan dirikanlah olehmu sembahyang serta gembirakanlah orang-orang yang beriman" AQ 10:87

Solla(h) Nabi Isa ,

A030

"Ia menjawab:" Sesungguhnya aku ini hamba Allah; Ia telah memberikan kepadaku Kitab (Injil), dan Ia telah menjadikan daku seorang Nabi" AQ 19:30


A031
"Dan Ia menjadikan daku seorang yang berkat di mana sahaja aku berada, dan diperintahkan daku mengerjakan sembahyang dan memberi zakat selagi aku hidup" AQ 19:31

Solla(h) Nabi Muhammad,

A045
 

"Bacalah serta ikutlah (wahai Muhammad) akan apa yang diwahyukan kepadamu dari Al-Quran, dan dirikanlah sembahyang (dengan tekun); sesungguhnya sembahyang itu mencegah dari perbuatan yang keji dan mungkar; dan sesungguhnya mengingati Allah adalah lebih besar (faedahnya dan kesannya); dan (ingatlah) Allah mengetahui akan apa yang kamu kerjakan" AQ 29:45

Jika benarlah Nabi Muhammad menerima syariat solla(h) semasa peristiwa isra' mikraj, kenapakah sudah terdapat arahan daripada Tuhan kepada para Nabi yang lain supaya mendirikan solla(h) ?

Kesimpulan
 
Berdasarkan kepada hujah saya bahawa maksud sebenar solla(h) adalah komitmen atau iltizam dan zakka(h) adalah menyucikan, membersihkan, memurnikan atau dedikasi maka kita boleh meletakkan maksud sebenar ini kepada setiap misi spesifik para Nabi seperti di atas.

Nabi Ibrahim - Membuka satu negara yang diberi nama Bakkah. Baginda diminta supaya pergi ke satu tempat yang tandus. Kemudian membuat satu sistem kenegaraan yang lengkap, di mana baginda perlu membuat sistem pengairan, pertanian, pentadbiran dll. Baginda perlu menukar tempat tandus itu menjadi satu tempat yang makmur lalu Baginda berdoa supaya anak-anak Baginda yang kelak akan mewarisi pentadbiran Baginda dan disukai oleh para penduduk Bakkah. 

Dari ayat AQ 14:37, bolehkah solat cara agamawan iaitu ritual penyembahan mengubah tempat tandus (Bakkah) itu menjadi tempat yang makmur ?

Buatlah beribu rakaat pun ia tidak akan boleh menukar suatu tempat tandus menjadi makmur. 

Yang mampu menukar tempat tandus tersebut ialah iltizam/keazaman iaitu komitmen kerja keras manusia seperti membuat peparitan untuk pengairan. Serta mencari idea tentang bagaimana untuk membina pengairan itu dan lain-lain perkara yang boleh membina sebuah Negara yang makmur.

Nabi Ismail - meneruskan  cabaran yang diberi kepada bapanya di Bekah. Nabi Ismail melalui AQ 19:54-55, memohon waris-waris Nabi Ibrahim meneruskan tradisi kecemerlangan bapanya iaitu Nabi Ibrahim dengan menumpu seluruh komitmen mereka kepada negara Bekah. Dedikasi keturunan mereka inilah yang menjadikan Bekah semua negara yang maju.


Nabi Syuaib - Membuat reformasi (islah) terhadap sistem ekonomi kaum Madyan. Nabi Syuaib diperintah Tuhan supaya menukar sistem ekonomi kaum Madyan yang membuat keuntungan berlipat ganda (riba' atau profiteering). Kaumnya bertanya di dalam AQ 11:87 samada komitmen Baginda untuk menyeru para peniaga kaum Madyan dari membuat keuntungan yang berlipat ganda mampu menghalang tradisi yang dilakukan oleh nenek-moyang mereka.

Nabi Musa - Membawa lari Bani Israel (exodus) ke Bekah. Dalam AQ 10:87 Tuhan memerintahkan supaya Nabi Musa menjadikan rumah-rumah (buyutakom) para pengikutnya sebagai pusat mesyuarat/ibu pejabat (qiblat) untuk komitmen gerakan membawa Bani Israel lari dari Mesir ke Bekah.

Jelaslah kepada kita bahawa Negara Bekah yang dibuka oleh Nabi Ibrahim adalah pusat kemakmuran pertama sekali di dunia. Selaras dengan keterangan ini :

A096

"Sesungguhnya Rumah Ibadat (yang sebenarnya ialah Sistem) yang mula-mula dibina untuk manusia ialah di Bakkah (dalam teks asal - bi-bakkah, bukan Makkah) yang berkat dan (dijadikan) petunjuk hidayah bagi umat manusia" AQ 3:96 -


Nabi Isa - Menyeru Bani Israel supaya membuang agama rekaan mereka. Kepada Nabi Isa, Tuhan memerintahkan supaya Baginda membawa kembali Bani Israel ke jalan yang benar. Iaitu kepada cara hidup di dalam Sistem Tuhan tanpa ritual penyembahan.


Nabi Muhammad - Menyempurnakan penyampaian Al Quran sepenuh komitmen dan berdedikasi dalam menyampaikannya.
Dengan hujah-hujah di atas, maka, bolehlah kita simpulakan bahawa solat bukanlah satu bentuk ritual penyembahan di mana jika ada gerakan yang tidak mengikut metod yang disarankan oleh Ketua Mazhab ia menjadi batal.

Solla(h) tidak boleh diselesaikan dalam tempoh 5 minit. Ia adalah komitmen seumur hidup. Dari saat kita membuka mata setiap hari, sehinggalah kita menutup mata pada hari itu. 

Ia bermula semenjak kita dilahirkan sehinggalah kita menutup mata buat selama-lamanya. Itulah sebenarnya solla(h).

Jikalah sekiranya kebenaran mengenai solla(h) itu adalah upacara penyembahan seperti yang agamawan katakan maka hancurlah dunia ini. Bayangkan, matahari perlu berhenti mengeluarkan cahaya kerana perlu menghadap "ka'abah" pada waktu tertentu. 

Bulan pula terpaksa "sujud" seperti orang agama "sujud". Susah untuk bulan untuk memastikan di manakah dahinya.

A071

"Andaikata kebenaran itu menuruti hawa nafsu mereka, pasti binasalah langit dan bumi ini, dan semua yang ada di dalamnya. Sebenarnya Kami telah mendatangkan kepada mereka kebanggaan (Al Quran) mereka tetapi mereka berpaling dari kebanggaan itu" AQ 23:71

Keterangan di atas Tuhan tujukan khas kepada para agamawan yang begitu angkuh merekacipta ritual dengan membelakangkan perintah Tuhan yang sebenar.

Solla(h) kita

Bagaimanakah kita insan biasa yang tidak punya apa-apa misi spesifik seperti para Nabi melakukan solla(h).

Menurut Al Quran, kesemua para Nabi mengetahui atau mulai fokus kepada komitmen mereka selepas mereka berumur 40 tahun kecuali Nabi Isa. Nabi Isa diberikan mukjizat sedari kecil. Baginda sudah mengetahui apakah komitmen yang perlu dilakukannya sebaik sahaja baginda dilahirkan.

AQ 19:30-31 sebenarnya diucapkan Nabi Isa semasa Baginda masih bayi.

Begitu juga, kebanyakkan kita mengetahui atau mulai fokus kepada komitmen kita selepas umur 40 tahun. Sebab itulah selepas berumur 40 tahun ramai manusia yang menukar cara hidup. Jika dulu suka ke kelab malam selepas umur 40 tahun ramai yang mula cari tikar sembahyang. 

Umur 40 sangat signifikan dalam kehidupan seorang manusia. Ia adalah umur kematangan. Ia juga telah diberitahu oleh Tuhan di dalam keterangan berikut.
 
A015

"Dan Kami wajibkan manusia berbuat baik kepada kedua ibu bapanya; ibunya telah mengandungnya dengan menanggung susah payah dan telah melahirkannya dengan menanggung susah payah. Sedang tempoh mengandungnya beserta dengan tempoh menceraikan susunya ialah dalam masa tiga puluh bulan. Setelah ia besar sampai ke peringkat dewasa yang sempurna kekuatannya dan sampai ke peringkat umur empat puluh tahun, berdoalah ia dengan berkata: "Wahai Tuhanku, ilhamkanlah daku supaya tetap bersyukur akan nikmatmu yang engkau kurniakan kepadaku dan kepada ibu bapaku, dan supaya aku tetap mengerjakan amal soleh yang Engkau redai; dan jadikanlah sifat-sifat kebaikan meresap masuk ke dalam jiwa zuriat keturunanku. Sesungguhnya aku bertaubat kepadamu, dan sesungguhnya aku dari orang-orang Islam (yang tunduk patuh kepadamu)" AQ 46:15

Perkataan "amal saleh" di dalam keterangan di atas bermaksud "usaha baik".

Bagi saya ia merujuk kembali kepada nature kita yang dicipta Tuhan iaitu untuk menjadi seorang manusia.

Sebagai insan biasa, iltizam/keazaman/komitmen kita adalah berbeza-beza mengikut tugas yang diberikan untuk kita galas di dalam Sistem Tuhan.

Ada yang menjadi Peguam, Arkitek, Askar, Guru, Buruh binaan, Kontraktor, Tukang Sapu, Perdana Menteri dan pelbagai kerjaya lain.

Tidak kira apa pun kerjaya kita, kita wajar melakukanya dengan penuh dedikasi mengikut kod yang diberitakan di dalam Al Quran.

Disamping itu Tuhan juga memerintahkan kita untuk menjaga amanahNya iaitu berkenaan dengan kehidupan kita secara keseluruhan.

Ada setengah manusia dia diberikan keluarga yang sihat. Ada setengah yang lain pula mempunyai anak yang sakit atau ibu-bapa yang cacat.

Ada setengah orang diberikan tugas untuk beristeri dan berkeluarga lebih dari satu. Ada juga yang langsung tidak diberikan cabaran (hajja) untuk berkeluarga.

Begitulah pelbagai tugas diberikan Tuhan di dalam SistemNya. Adalah menjadi tugas kita untuk menyempurnakan iltizam/keazaman/komitmen ini dengan dedikasi yang tinggi.

Untuk berjaya Tuhan terangkan segalanya di dalam Al Quran iaitu iltizam/keazaman/komitmen kita yang pelbagai ini mestilah dilakukan dengan penuh integriti di atas satu kod yang di panggil "Ad Deen".

Ia mesti dilakukan dengan menepati masa, berusaha mencari ilmu dalam bidang yang kita ceburi, menjaga kebersihan, menjaga kesihatan, merancang untuk masa depan dan lain-lain sifat-sifat positif yang universal.

Disamping itu, kita diperintahkan untuk membuat kebajikan sebanyak-banyaknya terutama kepada ibu-bapa, sanak saudara yang terdekat dan orang-orang yang lemah di dalam masyarakat kita.

Yang paling utama ialah kita perlu melakukan ini semua dengan tidak mempersekutukan Tuhan dengan sesuatu atau sesiapapun.

Inilah cara hidup (Ad Deen) kedamaian (Islam).

Sekali lagi saya tekankan Islam bukanlah satu bentuk agama dengan ketuanya Nabi Muhammad, kemudian ada pula ketua mazhab dan pelbagai mufti, imam dan ustaz yang wajib kita ikuti. 

Islam adalah cara hidup mengikut kod Al Quran. Ia tiada kena mengena dengan agama. Agama menjadikan kita bergolongan. Bergolongan adalah perbuatan mempersekutukan Tuhan.
 
Ashwed
 



10 comments:

  1. salam..tapi bagaimana dengan membersihkan diri sebelum solat n solat pada waktunya..keduanya ada dalam Quran?

    ReplyDelete
    Replies
    1. Salaamun Alaik.

      Bismillahirrohmanirrohim.

      5:6. Wahai orang-orang yang percaya, apabila kamu berdiri untuk solat, basuhlah muka kamu dan tangan kamu hingga siku, dan sapulah kepala kamu dan kaki kamu hingga pergelangan kaki. Jika kamu dalam junub, bersihkan diri kamu; tetapi jika kamu sakit, atau dalam perjalanan, atau jika salah seorang antara kamu datang dari tandas, atau kamu sentuh perempuan, dan kamu dapati tiada air, maka tayamumlah (minta pertolongan) dengan debu tanah yang baik, dan sapulah muka kamu dan tangan kamu dengannya. Allah tidak hendak buat sebarang kesulitan bagi kamu, tetapi Dia hendak bersihkan kamu, dan supaya Dia sempurnakan rahmat-Nya ke atas kamu, supaya kamu berterima kasih.

      Apakah terjemahan ini perlu di rombak untuk menyesuaikan dengan erti solla(h) yang sebenar?

      O ye who believe! when ye prepare for prayer, wash your faces, and your hands (and arms) to the elbows; Rub your heads (with water); and (wash) your feet to the ankles. If ye are in a state of ceremonial impurity, bathe your whole body. But if ye are ill, or on a journey, or one of you cometh from offices of nature, or ye have been in contact with women, and ye find no water, then take for yourselves clean sand or earth, and rub therewith your faces and hands, Allah doth not wish to place you in a difficulty, but to make you clean, and to complete his favour to you, that ye may be grateful.

      Delete
    2. Salam Tuan,

      Ayat 5:6 mengajar kita tentang kebersihan, kebersihan luaran..

      [5:6] "wahai orang-orang yang dipercayai, tegakkan (dirikan) komitmen..."

      Penjagaan kebersihan diri adalah komitmen seumur hidup..

      Becks

      Delete
  2. Salamun alaikum tuan,

    Bukankah Rasullulah menunaikan solat dan memgimami solat?..mohon pencerahan

    ReplyDelete
    Replies
    1. bila ? di mana? dan siapa yang menceritakan?

      Delete
  3. Salam sahabat! saya baru menemui blog ini, maafkan saya ya! ingin menegor sedikit sikap kebayakkan pengunjung blog2 seperti ini kemukakan soalan2 yang tidak relevant dengan apa yang dimaksudkan oleh tuan blog! baca/selidik sendiri ayat2 yang dikemukakan supaya anda sendiri mendapat jawapanya dari ayat2 yang anda buat semakkan, sudah2lah ashik bertanya. Yang eloknya anda kemukakan bukti dengan ayat2 quran yang solat yang anda lakukan selama ini ADA didalam quran itu sendiri, bolehlah kita sama2 bincangkanya. Assalam.....

    ReplyDelete
  4. AQ ini cuma buku idealogi utk menjadi manusia yg hidup dgn aman damai sesama manusia shj. Perlu dilihat zaman itu ialah zaman jahiliah. Keluarga bunuh bayi perempuan... bunuh membunuh... perang antara suku kaum berleluasa.

    Cara paling mudah adalah dgn teruskan penceritaan sejak dr zaman nabi ibrahim. Drpd susah2 cipta agama sendiri dgn idealogi sendiri baik teruskan apa yg baik dr ajaran agama nabi ibrahim dan nabi2 lain. So baru nampak story tu cantik dan logik diterima akal kaum2 jahiliyah waktu tu.

    Tuan blog pun dah kupas yg byk ajaran2 dlm islam ni mengikut/meniru amalan2 hindu, juidsm, samari etc.
    Dan perhatikan dlm AQ byk ayat mcm menakut2kan pembaca... sikit2 kecam kafir... sikit2 kecam pembaca yg x ikut idealogi islam... bukankah tuhan itu mengikut AQ maha pemurah dan mengasihi?

    Kesihan org2 yg sblm kedatangan islam ni x sempt kenal tuhan terus dicop kafir.

    Idealogi ketuhanan ini cuma utk menakut2kan yg ada sesuatu kuasa ghaib yg berkuasa yg sentiasa memerhatikan manusia 24jam seumur hidup supaya manusia tdk melakukan kekejaman.


    ReplyDelete
  5. Politicalamity92 June 2016 at 02:33

    lambat saya komen sini.
    Ironically...saya mula mencari kebenaran (AlQuran vs Hadith) semasa saya berumur 40 tahun, di..Kota Mekah :)

    ReplyDelete
  6. Salam..
    Menurut tuan, siapakah rasul yg di utus tuhan utk org melayu di zaman ini?

    MOS

    ReplyDelete
    Replies
    1. Salam saudara MOS,

      Menurut keterangan pertama Surah Al-Munafikun (63:1). Bukanlah menjadi tugas kita untuk mengetahui atau menyaksi siapa Rasul.

      Rasul bermaksud messenger. Mesej itu yg penting bukan orangnya. Kita boleh mengetahui mesej daripada Tuhan dgn mudah. Iaitu mesej yg benar dan berguna kpd kehidupan kita sbg manusia itulah mesej Tuhan.

      Mengapa saya kata bukan tugas kita mengetahui dan menyaksi siapa Rasul. Bayangkan di hadapan kita sekarang Ada sepuluh jejaka berbangsa Arab. Salah seorang darinya adalah Nabi Terakhir.

      Bolehkah kita menyaksikan siapa di antara mereka adalah Nabi Terakhir ? Sudah tentu tidak boleh kerana kita tidak mengenali rupanya. Kita tidak pernah mendengar suaranya. Kelibatnya pun kita tidak pernah nampak. Senang kata, kita tidak boleh menjadi saksi kpd suatu perkara yg kita tidak nampak. Itu adalah asas undang2 keterngan.

      Tetapi semua pengajaran Nabi Terakhir itu ditulis dgn tepat Dan teliti di dalam Al Quran. Itulah sebabnya kita perlu mengkaji Al Quran. Itulah sebabnya kita katakan Al Quran adalah pedoman kita.

      Peace

      Delete