Wednesday 30 September 2015

Penghargaan

Saya ingin mengambil kesempatan pada petang ini untuk menyatakan penghargaan yang tidak terhingga kepada sebuah blog terkenal di Malaysia iaitu "Outsyed The Box" yang telah secara tidak langsung mempromosi blog ini di dalam postnya semalam.

"OutSyed The Box" dibaca lebih dari 20 juta kali semenjak ianya ditubuhkan. Post blog berkenaan menyebabkan pembaca blog saya bertambah berkali ganda. 




Dengan peningkatan pembaca ini, saya mula menerima banyak komentar kepada artikel-artikel yang saya tulis dari pelbagai kaum di Malaysia.

Saya juga dengan ini ingin merakamkan penghargaan kepada para pembaca yang telah menghantar komentar mereka.

Sebagai seorang penulis, adalah menjadi satu kepuasan apabila mendapati tulisan sendiri telah dihayati oleh orang lain.

Komen negatif atau positif tidaklah menjadi hal kerana apa yang saya tulis adalah pendapat saya. Pendapat saya mungkin tidak sama dengan anda. 

Tetapi, ini bukanlah bermakna saya salah, anda betul atau sebaliknya. Ianya adalah manifestasi kepada asas penciptaan manusia iaitu setiap orang mempunyai minda yang bebas. Kita perlu meraikan kebebasan ini.

Meroboh Tembok Belenggu

Tujuan asal blog ini ditubuhkan ialah sekadar untuk mengarkib pemikiran saya supaya dapat dijadikan legasi kepada anak-anak saya.

Sambil itu, blog ini juga saya ditubuhkan untuk cuba meroboh belenggu minda yang dibina oleh golongan agamawan ke atas manusia biasa seperti kita. Tembok belenggu ini telah mereka bina selama beribu-ribu tahun.

Apabila saya bercakap mengenai agama ianya tidak tertakluk kepada Agama Islam sahaja. Ia juga mesti termasuk Hindu, Buddha, Judaism, Kristianiti, Sikhism, Jains, Bahai, Zoroastrian, Yazudi dan lain-lain jenis agama yang dicipta oleh manusia

Oleh itu, adalah tidak munasabah dengan tujuan ini saya kemudiannya menulis sekadar mengiyakan pendapat golongan ahli agama yang mewakili jenis-jenis agama yang saya sebut tadi.

Jika anda seorang Hindu, Islam, Buddha atau Kristian dan merasakan bahawa tulisan saya tidak menepati pemahaman anda selama hari ini. Ketahuilah, bahawa itulah tujuan blog ini ditubuhkan iaitu untuk membawa pemikiran anda melihat sudut pandang alternatif mengenai agama yang anda amalkan selama hari ini.

Saya tidak berniat untuk mengutuk atau memandang rendah kepada mana-mana jenis agama. 

Pada saya semua organisasi agama adalah bertentangan dengan "nature" manusia yang diberi minda bebas semenjak dilahirkan.

Blog ini juga bukanlah sebuah blog berbentuk keagamaan Islam. Semua kaum di Malaysia boleh membaca blog ini dan memanafaatkannya.

Saya sekadar cuba mencari kebenaran. Dan, sesungguhnya untuk mencari kebenaran memerlukan pergelutan minda yang panjang. 

Namun, kebebasan pemikiran yang akan kita rasai apabila berjaya memecahkan tembok belenggu adalah suatu nikmat yang sangat tinggi. 

Saya mengguna Al Quran secara tuntas sebagai penanda aras kebenaran yang saya ingin cari.

Mengapa tidak, terdapat hampir 2 billion manusia mengakui Al Quran sebagai petunjuk mereka. Di dalam lipatan sejarah pula, sudah terbukti ada generasi yang begitu berjaya dengan mengguna Al Quran sebagai petunjuk.

Bagi mereka yang tidak mahu menggunakan terma rujukan Tuhan, terpulanglah kepada anda untuk mengguna terma rujukan apa sekalipun.

Alam, Pemelihara, Rabb semua itu tidak lebih dari terma rujukan. Yang penting ialah konsepnya iaitu terdapat suatu kuasa lebih besar dari kita semua yang memulakan segala-galanya yang kita nampak pada hari ini.

Bagi anda yang baru mengikuti blog ini, saya mencadangkan supaya anda membaca artikel-artikel saya dari permulaan untuk memahami maksud rantaian informasi yang cuba saya sampaikan. Terutama artikel bertajuk Tuhan, Organisasi Agama dan Manusia dan Batu.

Saya bukanlah seorang penulis profesional. Maka saya akui terdapat banyak kesalahan bahasa, ejaan dan juga mungkin idea yang tergantung di sana sini pada artikel saya. Saya cuba menyunting artikel-artikel ini dari masa ke semasa.

Akhir sekali, minda tanpa belenggu adalah kemerdekaan yang abadi. Ia adalah hak asas semua manusia. Sudah sampai masanya untuk kita meraih kembali hak ini dari tangan penindas senyap. Lakukannya hari ini. Berontak untuk berotak.

Ashwed

Thursday 10 September 2015

Meyakini Tuhan Adalah Meyakini Dirimu Sendiri

Sebab utama kita semua meyakini Tuhan adalah kerana kita melihat begitu banyak penciptaanNya di sekeliling kita.

Dari saat kita memegang jari ibu kita buat pertama kalinya, kemudian belajar merangkak seterusnya berjalan dan berlari, kita tidak henti-henti berpengalaman merasai ciptaan Tuhan secara percuma.

Oleh kerana kita hidup sebagai manusia, maka kita berimaginasi bahawa Tuhan adalah suatu entiti yang serupa dengan kita tetapi Dia mesti besar, sangat besar daripada kita. 

Jika tidak besar bagaimana Tuhan boleh mencipta matahari dan gunung, fikir kita ?

Lalu kita pun seringkali menyeru Allah Hu Akbar yang bermaksud Allah Maha Besar (perkataan ini tidak terdapat di dalam Al Quran yang ada ialah Allah Al Kabir yang juga bermaksud besar).



islam on Al Kabir(The Great)   Allahs Name

"Yang mengetahui semua yang ghaib dan nampak; Yang Maha Besar (al-kabir) lagi Maha Tinggi" AQ13:9
 
Penganut agama Hindu, pergi lebih jauh lagi. Mereka berpendapat oleh kerana terlampau banyak ciptaan Tuhan disekeliling kita maka 2 tangan sudah tentu tidak mampu melakukannya. Mesti lebih dari 2 tangan. 

Sebab itu mereka mengukir sifat Tuhan yang dipanggil Brahman (Yang Maha Mencipta) sebagai sebuah berhala yang mempunyai banyak tangan.


                                                   Brahman di dalam imaginasi penganut Hindu

Saya pasti, jika anda pergi bertanya kepada seekor kerbau tentang siapakah Tuhan, kerbau ini pasti bersumpah bahawa Tuhan adalah kerbau yang sangat besar. 2 tanduk tidak cukup, mungkin 8 tanduk.

Begitulah kesalahan yang biasa dilakukan oleh kebanyakkan manusia. Mereka menyangka bahawa Tuhan adalah suatu entiti seperti diri mereka.

Bagi saya, jikalah Tuhan itu suatu entiti yang kita boleh buat definisi mengenaiNya, tidaklah Tuhan itu menjadi begitu Perkasa, Esa dan Maha Besar kerana kita berupaya menerangkan kekuasaaNya seperti makhluk-makhluk yang lain.

Hakikatnya, tiada siapa yang berupaya menerangkan zat Tuhan melainkan Tuhan sendiri.


Kita manusia hanya mempunyai pengetahuan terhad kepada apa yang di ajar oleh Tuhan sahaja. Sbg contoh, saya pernah menerangkan dengan hujah saintifik bahawa hakikat kewujudan Zat Asal ialah di dalam ketiadaan atau "nothingness".
Namun, saya tidak lagi tahu apa yang ada disebalik ketiadaan atau "nothingness" kerana pengetahuan mengenai itu sudah tidak wujud lagi di dalam kotak fikiran manusia.

Pengalaman

Di dalam rutin tugasan harian, saya bertemu dengan ramai manusia dari kalangan kaum-kaum yang tinggal di Malaysia.

Apabila kena pada tempatnya saya akan menyampaikan sedikit pengetahuan saya mengenai prinsip-prinsip Al Quran kepada mereka.

Dari pengalaman ini, saya dapat membuat kesimpulan bahawa kaum yang paling keras menolak Al Quran dan prinsip-prinsipnya ialah orang Melayu. 

Ini adalah satu kenyataan yang pedih. Orang Melayu pada hakikatnya lebih menerima buku-buku lain yang ditulis oleh manusia biasa sebagai sumber kepercayaan mereka.


Kaum Melayu mengamalkan paradoks. Mula-mula mereka mengatakan mereka yakin Tuhan itu Maha Mengetahui. 

Kemudian, mereka membelakangkan info ini apabila mereka menyakan bahawa buku hadis tulisan manusia diperlukan untuk menyempurnakan firman Tuhan seolah-olah Tuhan mempunyai kecacatan.

Kaum yang paling senang menerima prinsip-prinsip Al Quran ialah kaum Cina diikuti oleh kaum India.

Saya membuat kesimpulan bahawa kaum Cina mudah menerima prinsip-prinsip al Quran kerana mereka sekarang sedang mempraktikkan sebahagian besar dari prinsip-prinsip ini.

Kaum India pula mereka menerima prinsip Al Quran, apabila saya menerangkan persamaan besar dengan ilmu yang dibawa oleh Yogi mereka. 

Untuk pengetahuan, setakat yang saya perhati, tiada ilmuwan dari agama-agama yang besar di dunia berupaya mempunyai pengetahuan yang sebegitu luas mengenai misteri Tuhan lebih daripada para Yogi dari agama Hindu. 

Di India, pengamal Ilmu Tasawuf mempunyai hubungan yang rapat dengan para Yogi ini. Oleh sebab itu, banyak persamaan kepercayaan ahli sufi dengan ilmu Yogi.

Ingat. Kepada merekalah (penganut Hindu) pengetahuan pertama mengenai Tuhan diturunkan.

Namun, kaum India seperti juga orang Melayu, mereka tersekat kepada upacara-upacara ritual yang mereka cipta sendiri. 

Mereka menjadi pasif. Tidak lagi progresif seperti pada zaman awalnya.

Meyakini Diri Sendiri

Kebanyakkan kaum Cina pada asasnya adalah atheist. Iaitu seorang yang tidak percaya kepada Tuhan. 

Ianya adalah satu hakikat yang pelik bagaimana seorang atheist sedang mempraktikkan prinsip-prinsip Al Quran.

Seringkali terjadi, semasa menerangkan prinsip-prinsip Al Quran soalan mereka kepada saya ialah "Do you believe in God ?".

Agak sukar untuk saya menjawab soalan ini di kala pengetahuan saya mengenai Al Quran masih cetek kerana jawapan saya sudah tentu akan berkisar di antara frasa ini "it is between your believe and my believe".

Saya tidak dapat memberi jawapan secara lebih saintifik dengan mengambil kira kajian epistimologi dan budaya.

Namun, kini saya akan bertanya kembali sebegini "Do you believe in terms of reference".

Hakikatnya, God adalah terma rujukan di dalam Bahasa Inggeris sebagaimana Tuhan di dalam Bahasa Melayu.

Begitu juga dengan Ekan Anekan di dalam Bahasa Sanskrit, Yahweh dalam Bahasa Hebrew dan juga Elohym di dalam Bahasa Aramaic. Ini semua adalah terma rujukan untuk menerangkan konsep Tuhan.

Kita tidak beriman kepada terma rujukan ini. Kita beriman kepada zat asal. Iaitu Pemelihara dan Pencipta kita. Itulah yang sepatutnya kita cari dan fahami di dalam hidup ini, bukan mencari agama.

Berbalik kepada mentaliti kaum Cina yang atheist tetapi mempraktik Al Quran, saya akhirnya membuat kesimpulan ini.

Saya dapati, kebanyakkan kaum Cina tidak begitu memahami konsep Tuhan. 

Mereka menyangka God/Tuhan adalah satu entiti yang asing seperti seorang Raja yang sedang mengawal kita.

Mereka tidak boleh menerima bahawa terdapat satu entiti asing sedang mengawal takdir mereka. 

Mereka mahu merealisasi potensi mereka secara maksimum. Akhirnya, mereka mencari alasan untuk meyakini diri mereka sendiri sahaja.

Akhirnya, mereka memiliki sifat untuk meyakini diri sendiri. Mereka menyelesaikan masalah sendiri. Mereka berusaha sendiri. Mereka tidak mengharap orang lain untuk mengubah nasib diri mereka sendiri.

Itulah punca kejayaan mereka.

Sebenarnya yang mereka tidak boleh terima hanyalah terma rujukan bukan konsep.

Jika kita meneliti Al Quran, kita akan temui banyak keterangan bagaimana Tuhan mahu kita meyakini diri kita sendiri.

Misalnya, Tuhan memberitahu bahawa diriNya berada dekat dengan kita.

Begitu juga, Tuhan memberitahu bahawa diriNya berada di mana-mana sahaja kita memandang.

Banyak juga keterangan yang menyeru kita supaya mengguna akal di dalam segala hal.

A186

"Dan apabila hamba-hambaKu bertanya kepadamu tentang Aku maka (jawablah): sesungguhnya Aku adalah dekat; Aku perkenankan permohonan orang yang berdoa apabila ia berdoa kepadaKu. Maka hendaklah mereka memenuhi (segala perintahKu), dan hendaklah mereka beriman kepadaKu, agar mereka selalu berada dalam kebenaran" AQ 2:186


A016 

"Dan demi sesungguhnya, Kami telah menciptakan manusia dan mengetahui apa yang dibisikkan oleh hatinya, dan Kami lebih dekat kepadanya daripada urat lehernya" AQ 50:16 
 
A053
 

"Kami akan memperlihatkan kepada mereka tanda-tanda kekuasaan Kami di segala wilayah bumi dan pada diri mereka sendiri, hingga jelas kepada mereka bahawa Al-Quran adalah benar. Tidakkah cukup bahawa sesingguhnya Tuhanmu menjadi saksi atas segala sesuatu ? " AQ 41:53


A004
 

"Dia lah yang telah menciptakan langit dan bumi dalam enam masa, kemudian Dia bersemayam di atas Arasy; Dia mengetahui apa yang masuk ke bumi serta apa yang keluar daripadanya; dan apa yang diturunkan dari langit serta apa yang naik padanya. Dan Ia tetap bersama-sama kamu di mana sahaja kamu berada, dan Allah Maha Melihat akan apa yang kamu kerjakan" AQ 57:4  


A020 

"Dan pada bumi ada tanda-tanda (kekuasaan Allah) bagi orang-orang yang yakin" AQ 51:20
 
A021 

"Dan juga pada diri kamu sendiri. Maka apakah kamu tidak memperhatikannya ?" AQ 51:21

Kesemua keterangan ini pada asasnya menyeru kita supaya menyakini diri sendiri.

Jika anda ada masalah, adakah anda rasa orang lain lebih layak untuk menyelesaikan masalah anda. Atau, adakah anda rasa masalah itu akan selesai dengan sendirinya ? Tentulah tidak.

Jika kita bermasyarakat pula adakah anda rasa masalah masyarakat kita itu akan selesai dengan buat-buat melupakannya ?

Inilah punca kemerosotan budaya Melayu. Bila kita ada masalah kita sapunya di bawah karpet dan berdoa pagi, petang, siang dan malam supaya Tuhan memudahkan urusan kita.

Kita tidak mahu berusaha menyelesaikannya sendiri. Kita tidak yakin kepada diri sendiri akan dapat menyelesaikan masalah itu.

Ia bermula dengan individu. Sekarang ia sudah menjadi satu bentuk penyakit masyarakat yang memerlukan revolusi minda untuk mengubahnya.

Mulalah dari sekarang, ubahlah nasib sendiri. Tuhan tidak akan mengubah nasib sesuatu kaum melainkan kaum itu sendiri mengubahnya.

Ashwed 


Thursday 3 September 2015

.. Dan Dirikanlah Iltizam dan Murnikanlah Ia

Frasa tajuk di atas bermaksud "wa-aqeemus-solla(h)-ta-wa-a-tuz-zakka(h)" di dalam Bahasa Arab Al Quran. Untuk memahami maksud ini dengan lebih jelas, sila baca artikel bertajuk "Nabi, Aqeemus Solla(h) dan Zakka(h)"

Pernahkah anda berfikir, mengapa di dalam setiap profesion yang manusia ceburi pasti ada yang berjaya dan ada yang gagal.

Mengapakah, seringkali kita dapati dua buah kedai makan, menjual menu yang sama dan terletak sebelah menyebelah di antara satu sama lain. Namun, sebuah kedai mempunyai pelanggan lebih ramai dari kedai sebelahnya.

Pernahkah anda terfikir mengapakah ada artis yang terkenal, ada yang tidak. Ada arkitek yang popular, ada yang tidak. Ada kontraktor yang mempunyai kerja yang tidak putus, sementara ada kontraktor lain yang melangut tiada kerja.

Mengapakah ia terjadi sebegini ? Adakah ianya kerana Tuhan lebih menyayangi seseorang lebih dari yang lain ?

Ia juga sebenarnya terjadi di dalam semua jenis agama (pecahan terbesar), mazhab, kaum, masyarakat dan pecahan-pecahan lain yang lebih kecil. 

Yakni, terdapat orang di dalam pecahan itu yang lebih berjaya dari orang lain dari pecahan yang sama.

Adakah ini terjadi kerana anda merasakan bahawa Tuhan lebih menyayangi orang Kristian lebih dari orang Islam, misalnya ? Maka, oleh sebab itu orang Kristian lebih berjaya dari orang Islam ? 

Jika ianya benar sebegitu, mengapa pula negara Filipina yang mempunyai agama rasmi Kristian kurang berjaya dari negara kita Malaysia yang beragama rasmi Islam ?

Begitu juga, mengapa ada orang yang bermazhab syiah lebih berjaya dari seorang yang bermazhab sunni ? Kenapa pula ? Sedangkan orang-orang bermazhab sunni sering mendabik dada bahawa merekalah golongan yang tidak tersesat ?

Mendirikan Iltizam dan Memurnikannya

Tuhan menyeru kita supaya mendirikan iltizam iaitu solla(h) dalam Bahasa Arab Al Quran serta memurnikannya iaitu zakka(h) dalam Bahasa Arab Al Quran.

Ini adalah satu seruan yang universal. 

Ingat. Al Quran ditujukan kepada seluruh umat manusia tidak kira agama, bangsa, parti politik atau dari pecahan mana pun mereka berada.




A138

"(Al Quran) ini adalah penerangan bagi seluruh manusia, dan petunjuk serta pengajaran bagi orang-orang yang bertaqwa" AQ 3:138
 

 A020

"(Al Quran) ini adalah pedoman bagi seluruh manusia, petunjuk dan rahmat buat kaum yang meyakini" AQ 45:20)

A029

"Ini adalah sebuah kitab yang Kami turunkan kepadamu penuh dengan barakah supaya mereka mempelajari ayat-ayatnya dan supaya orang-orang yang mempunyai akal mengambil pelajaran" AQ 38:29

Al Quran tidak pernah diturunkan hanya kepada segelintir sahaja manusia. Itulah hakikat yang kita perlu terima. Kita orang Islam tidak berhak ke atas Al Quran.

Iltizam bermakna kesungguhan di dalam diri kita untuk mencapai sesuatu sasaran. 

Sementara, memurnikannya ialah keikhlasan kita untuk mencari pengetahuan, menjalani latihan, membuat penyelidikan mengenai sasaran kita itu.

Ambil diri saya sebagai contoh, dahulu semasa zaman sekolah sehingga zaman universiti, saya mempunyai cita-cita untuk bermain muzik di dalam sebuah kugiran. Saya menggemari alat muzik gitar.

Setiap hari saya berlatih bermain gitar, semenjak berada Tingkatan 2.

Oleh kerana iltizam/kesungguhan saya berlatih bermain gitar dan mencari pengetahuan mengenainya, maka akhirnya saya menjadi mahir bermain gitar terutama di dalam genre muzik yang saya gemari.

Saya berjaya menubuhkan kugiran saya sendiri bersama rakan-rakan universiti, mencipta lagu sendiri dan menyertai konsert bawah tanah yang kami anjurkan sendiri. 

Kami berjaya menyelusuri impian kami, tetapi iltizam/kesungguhan ini tidak cukup fokus (khusyuk). Maka, saya dan rakan-rakan tidaklah menjadi sangat terkenal dan berjaya di dalam bidang ini.

Apabila memasuki zaman pekerjaan, saya sudah tidak lagi berlatih bermain gitar. Rakan-rakan seperjuangan juga sudah memulakan hidup baru. Maka impian ini akhirnya terkubur. 

Sungguhpun begitu, skil yang telah dipelajari masih tersemat sehingga mati.

Begitulah juga yang terjadi kepada contoh kedai makan pada permulaan perenggan artikel ini.

Salah sebuah kedai makan tersebut mendirikan iltizam/kesungguhan/solla(h) untuk menjadi restoran yang berjaya.

Dengan kesungguhan/iltizam/solla(h) tersebut tuan kedai itu dengan ikhlas mencari ilmu pengetahuan tentang bagaimana mahu mengurus restoran. 

Kemahuan yang tinggi ini menyebabkan beliau berlatih dan mencari sistem yang paling sesuai untuk restoran beliau.

Natijahnya, para pelanggan beliau merasa puas hati dengan rasa makanan dan servis di kedai makan beliau. Mereka datang berulang-kali.

Sedangkan, pemilik kedai makan yang satu lagi tidak mendirikan iltizam/kesungguhan/solla(h).

Beliau tiada kemahuan untuk belajar cara servis yang terbaik untuk menarik pelanggan. Para pelanggan beliau tidak berpuas hati. Mereka menghindari dari mengulang pergi ke kedai makan tersebut.

Skil memasak yang dipelajari oleh tuan kedai ini masih tersemat, tetapi ia terkubur setakat itu sahaja. Beliau tidak mencapai kejayaan.

Kesimpulan

Mendirikan solla(h) dan memurnikannya atau zakka(h) bukanlah satu bentuk upacara ritual.

Adakah anda rasa seorang yang beragama buddha lebih berjaya dari rakan seagamanya yang lain kerana beliau lebih banyak membuat upacara ritual di hadapan berhala buddha baring dari rakannya ?

Begitu juga, adakah anda merasakan seorang yang beragama kristian lebih berjaya dari yang lain kerana beliau lebih banyak bertafakur di dalam gereja dari rakannya yang lain ?

Kita yang bermazhab sunni pula, adakah anda merasakan yang anda lebih berjaya dari rakan anda yang bermazhab syiah kerana anda lebih banyak membuat solat dhuha dari rakan anda itu ?

Adakah anda merasakan Bill Gates, Mark Zuckenberg, Steve Jobs berjaya kerana mereka membuat solat dhuha ? Sudah tentu tidak.

Kesemua insan yang berjaya mempunyai satu persamaan yang ketara. Mereka berusaha bersungguh-sungguh.

Oleh itu, bangkitlah anak bangsaku, tidakkah kamu menyedari bahawa rakan-rakan kaum cina kamu sedang mendirikan solla(h) dan memurnikannya. 

Mereka tanpa sedar telah mendengar dan mematuhi (wa-samiaqq-na-wa-atorq-na/kami dengar dan kami patuh) seruan Tuhan seperti yang dijelaskan di dalam Al Quran. Mereka pasti berjaya.

Anak bangsaku ... tidakkah kamu sedar bahawa dengan tidak mendirikan solla(h) iaitu beriltizam dan berusaha bersungguh-sungguh di dalam apa jua bidang yang kamu ceburi, kamu sebenarnya sedang menolak seruan Tuhan. 

Oleh yang demikian, kamulah sebenarnya yang rebel (dalam bahasa Al Quran ialah kafir). Bukan mereka. 

Ashwed