Friday 28 April 2017

Maahad Tahfiz

Kedamaian Untuk Semua,

Di kesempatan ini, saya ingin merakamkan ucapan takziah kepada keluarga adik Mohamad Thaqif Amin Mohd Gaddafi di atas kehilangan insan yang mereka sayangi.

Sejak kali pertama berita mengenai adik Thaqif disiar melalui akhbar arus perdana dan portal berita internet, saya sudah merasakan kesedihan yang tidak terbendung.

Kebetulan anak lelaki saya yang paling tua berumur sekitar adik Thaqif. Membayangkan beliau perlu dipotong kedua-dua belah kakinya kemudian merebak kepada tangan membuatkan hati sesiapa pun akan menjadi emosi.

Jikalah beliau tidak dipanggil kembali kepada zat asalnya, saya tidak dapat membayangkan bagaimana beliau mahu meneruskan kehidupan tanpa tangan dan kedua belah kaki.

Sesungguhnya, saya merasakan seperti ada sesuatu yang tidak kena dengan kecederaan beliau. Adakah ia akibat langsung pukulan paip getah di bahagian telapak kaki ?

Melalui pembacaan dan jawapan daripada rakan-rakan saya yang pakar di dalam bidang kedoktoran, kecederan akibat pukulan hanya bersifat setempat. Ia tidak boleh merebak ke bahagian anggota badan yang lain.

Bagaimana pula tisu tubuh adik ini boleh secara tiba-tiba diserang kuman ? Bagaimana salur darah beliau boleh tersumbat sehingga mengakibatkan gangrene seolah-olah beliau menghidap kencing manis ?

Begitu banyak persoalan yang tidak terjawab. Saya pasti sebuah pasukan penyiasat sudah ditubuh untuk menyiasat mengenai perkara ini.

Sehingga keputusan siasatan lengkap dan dibentang, saya fikir ada baiknya kita jangan terus cepat menghukum.

Pengalaman sendiri

Seperti yang telah saya beritahu di artikel sebelum ini. Saya sedang mengetuai sebuah badan bukan kerajaan yang menumpu kepada kerja-kerja kebajikan.

Pertubuhan ini sudah hampir separuh abad tertubuh dengan ahli-ahli di pelawa dari kalangan profesional, ahli perniagaan, ahli politik dan mereka yang mencipta nama yang tersendiri di dalam bidang masing-masing di negeri kelahiran saya.

Ahli-ahli lama pertubuhan ini kebanyakkannya sudah berjaya di dalam kerjaya mereka. Kini, kebanyakkan mereka sudah berumur. Saya adalah antara ahli yang masih muda jika dibandingkan dengan mereka.

Sebagai seorang manusia, setelah mengamati cerita lampau ahli-ahli veteran ini, saya dapati mereka juga agak nakal semasa mudanya. 

Saya sendiri pun begitu juga. Ia adalah resam dunia. Janganlah kita menjadi hipokrit dan merasa diri kita sempurna dan suci.

Seperkara yang saya sedari, ahli-ahli lama ini seolah-olah semakin menumpu kepada hal-hal keagamaan. Saya memahami bahawa ini adalah reaksi semulajadi manusia yang merasakan diri mereka dahulunya banyak berbuat "dosa".

Apabila sudah berumur, kini mereka merasakan diri mereka perlu ber"taubat" dengan membuat perkara yang baik. 

Bagi kebanyakkan orang, agama adalah termasuk di dalam definisi perkara baik.

Oleh kerana mereka mempunyai harta yang banyak, maka harta ini kini digunakan untuk tujuan keagamaan.

Di antaranya ialah membina pusat tahfiz dengan wang yang dikumpul di kalangan sendiri. Tabung untuk pembinaan ini bukanlah sedikit.

Sebagai seorang yang mempunyai pemikiran yang berbeza, saya sedaya upaya cuba memujuk supaya tabung ini dilabur ke dalam bidang-bidang pendidikan yang lebih suaimanfaat seperti sains dan teknologi, linguistik dan falsafah.

Ia belum membawa hasil, namun saya percaya jika saya fokus dan berterusan berhujah mengenainya, lambat laun ianya akan berhasil.

Kebersihan

Saya percaya ramai di antara kita pernah melawat ke pusat-pusat tahfiz persendirian. Ada yang dikenali dengan nama maahad dan madrasah. Manakala ada pula yang dikenali sebagai pondok.

Saya juga percaya, ramai di antara kita yang sudah faham benar mengenai syllabus yang di ajar di pusat-pusat ini.

Saya tidak mahu menulis panjang mengenai kurikulum yang diajar di pusat tahfiz. Sudah banyak individu yang memperkatakan mengenai hal ini.

Cuma, kebanyakkan mereka masih mengeluarkan pendapat dengan melihat dari tingkap dan bilik yang sama. 

Mereka masih terperangkap di dalam rumah yang sama dengan rakan lain yang mempraktis agama. 

Mereka rasa mereka berbeza, hakikatnya mereka sama sahaja. Cuma jenama yang berlain nama.

Maka dengan itu, apa sahaja pandangan yang dikeluarkan tidak memungkinkan mereka keluar dari ruang lingkup dan dinamik kehidupan masa kini. 

Sukar untuk pembaharuan dicapai dengan menaruh harapan kepada pendapat yang sebegini.

Apabila dijemput membuat lawatan ke pusat-pusat tahfiz yang dibiaya oleh pertubuhan kami, perkara pertama yang saya perasan ialah soal kebersihan tidak berada di peringkat utama polisi pendidikan pusat-pusat tahfiz.

Ini menyebabkan saya secara berperibadi berpendapat kes adik Thaqif berkait rapat dengan soal ini. Kebersihan.

Kebanyakkan pusat tahfiz menitikberat hal mengasingkan pelajar lelaki dan perempuan di dalam aktiviti harian mereka, tetapi hal yang paling asas iaitu kebersihan tidak diserap masuk membentuk mentaliti para pelajar yang mengimpikan "svarga" ini.

Sedih mengenangkan mentaliti orang kita.

Ucapan

Baru-baru ini, semasa melawat tapak pembinaan pusat tahfiz terbaru yang mahu dibina oleh pertubuhan kami, pengurusan pusat tersebut secara tidak dijangka menjemput saya untuk memberikan sepatah dua kata kepada para pelajar pusat tahfiz mereka.

Sambil melangkah menuju rostrum, fikiran saya berputar ligat mencari idea yang tidak begitu kontroversi tetapi mampu meninggalkan persoalan besar kepada para pelajar ini. 

Saya mahu ucapan ini menjadi pemangkin untuk para pelajar ini membuka ruang minda mereka. Semoga mereka terinspirasi untuk memulakan pencarian terbesar di dalam hidup mereka. 

Para pembaca yang sering membaca blog ini, pasti boleh mengecam biji butir point yang ingin saya sampaikan kepada para pelajar ini.

Berikut adalah asas ucapan saya setakat yang mampu saya ingat.

Salamun 'Alaykum,

Sesungguhnya Al Quran benar-benar membawa erti yang besar di dalam hidup saya. Sedari kecil, sehinggalah kini memasuki umur 40 an, buku ini tidak henti-henti memberi kejutan demi kejutan kepada diri saya.

Saya tidak berminat untuk berkongsi pengalaman mengenai bidang hafazan kerana saya bukanlah pakar di dalam bidang ini. Ayat yang saya hafal pun setakat ayat lazim sahaja.

Namun, saya amat berminat di dalam proses epistemology. Iaitu proses sesuatu pengetahuan itu diperolehi atau lebih senang difahami sebagai disiplin ilmu.

Cuba anak-anak bayangkan sebuah buku atau manual tentang cara membina sebuah jet. Bayangkan ianya ditulis di dalam Bahasa Russia.

Bolehkah anak-anak pada akhirnya membina sebuah jet dengan hanya sekadar menghafal setiap bait yang muncul di lembaran buku manual ini ? Tentulah tidak boleh, bukan ?

Begitulah juga dengan Al Quran, buku ini tidak akan menjadi berguna kepada kita jika kita sekadar menghafalnya seumpama syair tanpa memahami maksud kandungan buku ini.

Oleh itu, kita perlu mencari jalan untuk memahami isi kandungan buku ini sehabis daya. 

Di mana, cabaran utama kita ialah untuk memahami maksud setiap perkataan yang muncul di buku ini mengikut pemahaman bahasa semasa ianya ditulis.

(Oleh kerana para pelajar ini hafal Al Quran maka saya meminta mereka membacakan keterangan 69-70 dari Surah Yaasin lalu saya bacakan lebih kurang maksud keterangan itu)

 A069
A070 

 

"Dan Kami tidak mengajarnya syair; ia tidaklah patut baginya. Ia hanyalah satu Peringatan, dan sebuah bacaan (qur-'a-nun) yang jelas. Supaya dia beri amaran kepada sesiapa yang hidup, dan supaya ucapan jadi wajar ke atas orang-orang tidak percaya" AQ 36:69-70

Saya pasti anak-anak pernah menonton sebuah filem bernama Hobbit bukan ? 

Bagaimana pula dengan Harry Potter tentu anak-anak pernah menontonnya atau sekurang-kurangnya membaca mengenainya, bukan ?

Kedua-dua filem ini disadur dari novel sains fiksyen. Dengan kata lain, ini adalah cerita tahyul. 

Cerita Hobbit ditulis oleh seorang Inggeris bernama JRR Tolkien, sementara cerita Harry Potter ditulis juga oleh seorang Inggeris bernama JK Rowling.

Sekarang, bolehkah anak-anak mengetahui mengenai ciri-ciri Hobbit di dalam buku tulisan JK Rowling bertajuk Harry Potter ? 

Sudah tentu ia tidak masuk dek akal. Bagaimana JK Rowling mahu menulis tentang Hobbit sedangkan ia adalah idea orang lain ?

Begitulah juga dengan Al Quran, epistemology atau disiplin ilmu yang betul untuk memahami Al Quran ialah dengan mencari maksud perkataan yang keluar di lembarannya melalui buku itu sendiri. 

Ia perlu dilakukan dengan mengambil maksud sesuatu perkataan itu secara konsisten.

Ini adalah kerana penulis asal buku ini tidak pernah menulis buku lain melainkan Al Quran ini sahaja. 

Oleh yang demikian, mana mungkin kita mengambil buku lain untuk menginterpretasi maksud kandungannya.


A079

"Maka kecelakaanlah bagi orang-orang yang menulis Buku (al-Kitaba) dengan tangan-tangan mereka, kemudian mereka berkata, "Ini daripada Allah," supaya mereka menjualnya untuk harga yang sedikit; kecelakaanlah bagi mereka kerana apa yang tangan-tangan mereka tulis, dan kecelakaanlah bagi mereka kerana usaha-usaha mereka" AQ 2:79

Kita ambil perkataan "deen" sebagai contoh, adakah ia membawa maksud agama sepertimana yang kita fahami di dalam Bahasa Melayu ?

Dari mana pula asal-usul perkataan Melayu yang sedang kita tuturkan ini ? Adakah ia berasal dari Bahasa Sanskrit, Bahasa Pali, Bahasa Latin mungkin ?  

Adakah tepat jika kita terus memutuskan untuk menterjemah perkataan "deen" ini sebagai agama dengan definisi seperti yang selama hari ini kita ketahui ?

Sudahkah kita benar-benar memahami agama ? 

Jika kita mengatakan bahawa kita sudah memahami Agama Islam apakah kita sudah boleh menyatakan yang kita memahami agama secara keseluruhan ?

Perlu di ingat bahawa agama Islam sekadar berumur lebih kurang sekitar 1400 tahun sahaja, sedangkan sejarah dunia berumur lebih tua dari itu. 

Adakah sebelum Islam tidak terdapat langsung sebarang agama dipraktis oleh penduduk dunia ?

Oleh itu, saya menyeru kepada anak-anak yang masih muda dan masih panjang perjalanan hidup ini supaya memberi peluang kepada diri sendiri.

Berilah peluang kepada diri sendiri untuk belajar bersungguh-sungguh. Berilah peluang kepada diri sendiri untuk tidak menutup minda. Sebaliknya bukalah seluas-luasnya minda kita demi menimba sebuah ilmu. 

Sekian.

(Ucapan ini disampaikan dengan bahasa pasar supaya ia mudah diresap oleh para pelajar tahfiz di hadapan saya. Untuk tujuan blog ini, saya menulis ia kembali dengan memberi sedikit suntikan ilmiah)

######################

Saya berhenti setakat itu.

Namun, di dalam hati, hanya Tuhan yang tahu betapa saya ingin sahaja meneruskan dengan membuat penjelasan sebegini ...

Saya amat pasti anak-anak sudah menghafal keterangan AQ 30:30, bukan ?

Ini adalah maksud keterangan tersebut ;

A030
 
"Maka tegakkanlah wajah kamu kepada Ad-Deen, seorang yang lurus - fitrah (fit-ra-ta) Allah yang dengannya memulakan manusia. Tidak ada pertukaran dalam fitrah (fa-ta-ra) Allah. Itu Deen yang betul; tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahuinya" AQ 30:30

Untuk pengetahuan anak-anak, inilah maksud perkataan Ad Deen. Ad Deen membawa maksud fitrah atau hakikat. Iaitu sesuatu yang berbentuk asas.

Ad deen tidak boleh membawa maksud Organisasi Agama. 

Surah Al-Fatihah keterangan no. 4 berbunyi "Maliki-yaw-mid-deen". Pernahkah ada penterjemah yang menterjemah keterangan ini sebagai "Penguasa hari Organisasi Agama" ?

Oleh itu, jika kita membaca ad deen dengan maksud fitrah secara konsisten, maka, dapatlah kita decipher maksud sebenar keterangan yang amat penting yang membentuk kunci memahami Al Quran ;


A019 

"Fitrah (innal-deena) yang benar di sisi Allah ialah Al-Islamu, dan orang-orang diberi al-Kitab tidak berselisih melainkan setelah pengetahuan datang kepada mereka kerana angkuh antara mereka. Dan sesiapa tidak percaya kepada ayat-ayat Allah, maka sesungguhnya Allah cepat buat hitungan" AQ 3:19
Apa pula maksud perkataan Al-Islam ? Adakah ia merujuk kepada sebuah Organisasi Agama ?

Islam berasal dari akar kata salam (sin-lam-mim). Menurut keterangan di bawah ia membawa maksud "damai".


A046

"Dan di antara keduanya ada tabir, dan di atas benteng (al-'araf) adalah lelaki-lelaki yang mengenali masing-masing dengan tanda mereka yang memanggil penghuni-penghuni Taman, "Salamun alaikum!" Mereka belum memasukinya, dan mereka sangat menginginkannya" AQ 7:46
 
Perkataan ini sama maksud dengan sebuah perkataan Bahasa Hebrew, Shalom, yang juga membawa maksud yang sama iaitu "damai".

Ramai orang melayu mahu memahaminya sebagai "sejahtera". Tidak kisahlah. Yang penting ia tetap tidak membawa maksud sebagai sebuah jenama organisasi.

Oleh kerana "damai" adalah suatu fitrah. Maka kita perlu memahami bahawa ia adalah suatu yang berbentuk asas. Bukan sesuatu yang berbentuk tujuan. 

Asas dan tujuan adalah suatu yang sangat berbeza.

Jika kita mahu makan kita perlulah berdamai dengan diri sendiri. 

Kita mesti memutuskan bahawa kita mahu benar-benar makan. Baharulah kita boleh duduk dan menyuap makanan ke mulut kita dengan tenang. Ini dinamakan asas.

Bolehkah kita berbuat begini sedang kita bermain bola ? Tentulah tidak.

Daesh adalah sebuah pertubuhan yang mahu semua manusia di dunia ini mengikuti aliran agama islam ahli sunnah wal jamaah. 

Bagi mereka dunia tidak boleh mencapai kedamaian jika manusia masih tidak memeluk agama islam versi ahli sunnah wal jamaah.

Inilah tujuan mereka ditubuhkan. 

Jalan yang mereka ambil bagi memastikan TUJUAN ini dicapai ialah dengan mengangkat senjata. Adakah anak-anak rasa logik KEDAMAIAN boleh dicapai dengan cara ini ?

Apabila manusia bergolongan, kita akan memulakan peperangan. Bergolongan adalah ciri utama ORGANISASI AGAMA.

Oleh sebab itu, Al Quran mengingatkan kita supaya jangan bergolongan atau dengan kata lain, Al Quran melarang kita memasuki Organisasi Agama.


A031

"Dengan kembali bertaubat kepada-Nya dan bertakwalah kepada-Nya serta dirikanlah iltizam (wa-aqeemus-solla) dan janganlah kamu termasuk orang-orang yang mempersekutukan Allah" AQ 30:31

A032

"iaitu orang-orang yang memecah-belah fitrah mereka (deenahum) dan mereka menjadi beberapa golongan (syi-yaa-an). Tiap-tiap golongan merasa bangga dengan apa yang ada pada golongan mereka" AQ 30:32
KEDAMAIAN inilah yang sebenarnya kita cari di dalam hidup ini. 

Inilah Ad Deen yang diredhai oleh Allah. Inilah asas untuk menjadi sejahtera dikalangan umat manusia.


Beginilah juga ungkapan para Nabi. Mereka yang sudah mencapai kebijaksanaan tertinggi. Yang sudah mengenali diri mereka sendiri.
 
Nabi Ibrahim ;
 
A131 
 
"Apabila Pemeliharanya berkata kepadanya, "Berdamailah" (islim), dia berkata, "Aku berdamai (as-lam-tu) demi Pemelihara seluruh alam (li-rabb bil 'alamin)" AQ 2:131
 
Ungkapan dan kefahaman inilah yang diwariskan kepada keturunan baginda.  ASLAM-TU LI-RABB BIL 'ALAMIN.
 
A132  

"Dan Ibrahim wasiatkan anak-anaknya dengan ini, dan Yaakub, "Wahai anak-anakku, Allah telah pilih untuk kamu fitrah (deen-na); maka jangan kamu mati kecuali dalam keadaan damai (musliman)" AQ 2:132

Nabi Sulaiman dan Balqish ;

A044  

"Dikatakan kepada dia, "Masuklah ke dalam istana." Tetapi apabila dia melihatnya, dia menyangkanya sebidang hamparan air, dan dia membuka betis-betisnya. Dia (lelaki) berkata, "Ia sebuah istana yang dilicinkan daripada kristal." Dia berkata, "Wahai Pemeliharaku, sesungguhnya aku menzalimi diriku, dan aku berdamai (aslam-tu)  bersama Sulaiman kepada Allah, Pemelihara semua alam (li-rabb bil alamin)" AQ 27:44

Dan akhir sekali, inilah juga ungkapan Nabi yang orang Melayu gelar sebagai junjungan besar dan rahmat kepadian seluruh alam. Yang kita mahu kenali sebagai Muhammad ;

A066 

"Katakanlah, "Aku dilarang sembah orang-orang yang kamu seru, selain daripada Allah, setelah bukti-bukti yang jelas datang kepadaku daripada Pemeliharaku; dan aku diperintah supaya berdamai (Us-lima) demi Pemelihara seluruh alam (li-rabb bil 'alamin)" AQ 40:66

Ashwed

Sunday 23 April 2017

Rahmatan Lil 'Alamin

Kedamaian Untuk Semua,

Kepercayaan adalah sesuatu yang subjektif. 

Apabila berbicara mengenai kepercayaan kebiasaannya ia tidak disokong dengan fakta.

Ini adalah kerana ketiadaan fakta yang cukup kuat untuk menyokong kepercayaan itu. Inilah sebabnya ia dikenali sebagai kepercayaan.

Di zaman kecil, saya sering mendengar mengenai Hantu Kum-Kum yang akan memberi salam di pintu rumah-rumah di kampung.

Jika kita tidak membuka, hantu ini akan mula mencakar pintu rumah dengan kukunya yang tajam.

Suatu hari, ibu saya memberitahu bahawa hantu kum-kum telah tiba di kampung kami. 

Saya tertanya-tanya sendiri dia datang ke kampung kami ini menaiki kenderaan apa agaknya ?

Namun, sebagai seorang anak yang menyayangi ibunya saya ikuti sahaja saranan beliau supaya memastikan pintu dan tingkap rumah kami ditutup.

Sebenarnya, rumah kayu kami di kampung adalah amat daif.

Oleh kerana set kunci pintu depan hanya ada satu, maka saya sering sahaja membuka pintu bilik air dengan jari untuk masuk ke rumah jika sekiranya ibu saya keluar.

Begitu juga, saya perhatikan rumah jiran-jiran tempat saya bermain pun bukanlah kukuh sangat, sama sahaja dengan rumah saya.

Saya kira, rumah kebanyakkan orang melayu di waktu itu 2 x 5 sahaja.

Saya tertanya-tanya sendiri, buat apalah hantu kum-kum ini sekadar mencakar pintu rumah orang melayu. 

Mengapa tidak tendang sahaja pintu itu untuk masuk ke rumah. Bukannya kukuh sangat pun rumah kebanyakkan orang melayu ?

Dan kenapa pulak yang dia hanya pilih untuk mencakar rumah orang melayu sahaja ? Pelik sungguh.

Itulah yang dinamakan kepercayaan. Ia bergantung kepada diri kita samada mahu menerima atau menolaknya.

Sistem

Di peringkat antarabangsa pula kepercayaan boleh menjadi begitu besar sehingga ia membentuk sistem.

Ia bukan perkara yang main-main. Ramai yang dipenjara dan dibunuh dek kerana sistem kepercayaan.

Kebanyakkan perang bermula hanya kerana saling tuduh-menuduh mengenai kepercayaan pihak lain. 

Orang Islam percaya definisi Tuhan merekalah yang paling benar. Mereka menuduh kepercayaan orang Kristian mengenai Tuhan salah, maka mereka berperang.

Orang Islam kata Hindu sembah lembu salah, perang (buat sajak dulu sebelum perang).

Begitulah mudahnya peperangan bermula.

Image result for john shelby speng god is not christian

Kontroversi Perkahwinan Dengan Kanak-kanak

Baru-baru ini seorang Ahli Parlimen dari Pulau Pinang terpalit dengan kontroversi. 

Beliau menyatakan solusi untuk mereka yang merogol secara statutori (melakukan seks dengan gadis bawah umur) ialah berkahwin dengan si perogol.

Seperti biasa, lidah akhbar kedua-dua belah parti yang berseteru pun mulalah spin isu tersebut.

Saya agak pasti beliau mengeluarkan pendapat tersebut berdasarkan hadis "Nabi Terakhir" berkahwin dengan kanak-kanak berumur 6 tahun dan melakukan hubungan jenis dengan kanak-kanak tersebut ketika beliau berumur 9 tahun.

Entah macamana, saya pun kurang pasti, baru-baru ini saya berdebat dengan seorang rakan peguam mengenai perkara ini.

Beliau menghantar satu artikel untuk saya baca bagi mengukuhkan hujahnya. Berikut adalah artikel tersebut. 

http://www.call-to-monotheism.com/why_did_prophet_muhammed_marry_aisha_at_a_young_age__is_that_morally_right__what_about_paedophilia___by_dan_1988

Sementara itu, seperti biasa rakan-rakan lain sudah mula meminta saya supaya kembali beriman apabila saya mengatakan "Nabi Terakhir" ini seolah mempunyai dual-character kerana kelakuan beliau di dalam Al Quran sangat berbeza dengan kelakuannya di dalam Ilmu Hadis.

Kebetulan, semasa saya melayari Facebook seorang rakan yang lain berkongsi video mengenai isu Nabi berkahwin dengan kanak-kanak dengan komen "Sharing is Caring".


Di dalam dunia media sosial yang penuh mencabar ini, saya akui perkara utama yang perlu kita praktis ialah self-restraint. Jika tidak, alamatnya hari-hari kita akan bertelagah dengan kawan.

Berbalik kepada pertelagahan saya dengan rakan mengenai isu Nabi berkahwin dengan kanak-kanak, akhirnya, saya dicabar oleh seorang rakan lain untuk menyatakan pendirian saya mengenai isu tersebut.
Saya hanya menjawab ringkas bahawa ianya adalah suatu fitnah lalu saya menerangkan kepada mereka mengapa saya berpendapat begitu.

Sehingga ke hari ini, saya masih belum menerima apa-apa feed back dari rakan-rakan saya.

Seperti biasa orang kita mengambil pendekatan menyapu fakta baru ini ke  bawah karpet dan meneruskan kepercayaan lama seperti biasa.

Harap-harap mereka tidaklah sampai ke tahap enggan mengajak saya minum pula.

Lain Yang Dia Percaya, Lain Yang Dia Bikin

Sidang pembaca yang dihormati sekelian. Sebenarnya saya tidak mempunyai apa-apa masalah dengan apa jenis kepercayaan seseorang pun.

Di peringkat ini, setelah mengembara berpuluh tahun mencari kebenaran, sejujurnya saya merasakan sudah banyak tembok yang telah saya runtuhkan di dalam jiwa ini menjadikan pemikiran saya lebih terbuka.

Kepercayaan seseorang adalah hak pilihannya, kita perlu menghormati pilihan orang lain sama juga seperti kita mahu orang lain menghormati pilihan kita

Namun, apabila kita mempercayai sesuatu, setidak-tidaknya kita perlu walk-the-talk.

Janganlah di mulut kita mengatakan yang lain, tetapi lain pula di hati.

Kesimpulan

Kebanyakkan orang Melayu yang mengikuti kepercayaan ahli sunnah wal jamaah mempercayai bahawa Nabi Muhammad dan agama yang dibawanya adalah rahmatan lil 'alamin yang membawa maksud rahmat kepada sekalian alam.

Seterusnya, kita dituntut mempercayai bahawa Nabi ini membawa bersamanya sebuah buku yang menjadi Al Furqan, pembeda di antara yang hak dengan yang batil.

Kita diajar untuk mempercayai bahawa Nabi ini diutus untuk merubah praktis kaumnya yang jahil oleh sebab itu baginda menjadi rahmat kepada kaumnya.

Sedari kecil kita ditagih supaya memberi penghormatan yang setinggi-tingginya kepada Nabi yang terakhir ini, terbawa-bawa sehingga kepada tahap memuja.

Setiap doa yang dititip di dahului dengan memberi penghormatan kepada Nabi dan sahabatnya.

Begitulah tingginya tahap pengagongan kita kepada insan ini.

Namun, di sebalik semua itu, kita gagal mempertahankan kredibilit orang yang kita agongkan itu.

Kita percaya bulat-bulat kepada suatu fakta liar yang di bawa oleh seorang yang mendengarnya dari A, yang mendengarnya pula dari B, yang mendengar pula dari C, yang mendengarnya dari D bahawa Nabi yang kita agongkan itu menikah dengan kanak-kanak.

Kita tiba-tiba menggagau mencari hujah untuk menyokong fakta yang di dengar dari A, yang mengatakan dia mendengar dari B yang mendengarnya pula dari C dan D itu.

Akibatnya, kita menyatakan bahawa tamadun Kristian di Amerika juga pernah membuat undang-undang umur perkahwinan pada usia 7 tahun.

Bahawa orang Hindu di India juga pernah mempunyai Undang-undang usia perkahwinan 10 tahun.

Kita memberi pula hujah bahawa adalah menjadi resam praktis kaum Nabi sebelum beliau diutus, mengahwinkan kanak-kanak mereka yang berumur 6 tahun.

Kita merasa semua hujah ini cukup kukuh untuk menyokong fakta liar ini.

Saya sungguh tidak faham cara kita mempercayai sesuatu.

Pada mulanya kita menyatakan Nabi dan Agama Islam itu adalah rahmatan lil 'alamin

Kini, kita berhujah pula oleh kerana agama-agama lain juga melakukannya maka tidak salah untuk Nabi kita melakukannya.

Agama mana satu yang menjadi rahmatan lil 'alamin ini sebenarnya ? Kristian, Hindu atau Islam ? Mengapa yang menjadi rahmat pula yang mengikut agama yang batil ?

Terbukti terdapat sesuatu yang tidak kena dengan kepercayaan kita. 

Mulut kata lain, hati mempercayai yang lain.

Adalah tidak logik seorang yang diutus untuk membawa perubahan, sebaliknya hanya mengikut praktis mungkar kaum yang sepatutnya dia ubah.

Saya membayangkan, sebagai seorang iconoclast dan reformis dengan minda revolusinair, baginda dengan berani pergi ke tengah-tengah kaumnya yang jahil lalu menyeru kepada kaumnya bahawa apa yang mereka praktis itu adalah salah.

Kanak-kanak yang berumur 6 tahun sepatutnya bermain dan berseronok bersama-sama kanak-kanak yang lain bukannya dikahwinkan dengan orang tua berumur 40-50 tahun. 

Lalu, baginda mengisytiharkan bahawa had umur minimum untuk sebuah perkahwinan ialah setelah lelaki dan perempuan itu tahu menguruskan harta.


Ini tidak, kita menuduh pula Nabi Terakhir menyertai bandwagon, menjadi paedofil saling tak ubah seperti kaumnya yang jahil itu. 

Tidakkah kita merasa kita menghina intelek sendiri.
Kepercayaan sebegini sedikit pun tidak membayangkan kasih sayang dan penghormatan kita kepada insan ini.

Sebaliknya, kita membunuh kredibiliti baginda, menyebabkan sukar untuk kita mempertahankan integriti baginda apabila diserang.


Yang sebenarnya, mereka ini bukan mempertahankan Nabi, yang mereka pertahankan ialah si pembuat fakta fitnah ini.

Si pembuat fakta inilah yang sebenarnya mereka agongkan, tetapi di mulut dikatakan sedang mempertahankan dan mengagongkan Nabi. 

What an insult !

Ashwed



Friday 14 April 2017

Tahniah The Pocket Rocketman

Kedamaian Untuk Semua,

Hari ini saya keluar menunaikan solla (iltizam/kesungguhan/komitmen/determination) dengan perasaan yang sangat bangga.

Bangun sahaja dari tidur kira-kira pukul 5 pagi tadi sehinggalah sewaktu artikel ini ditulis perasaan confident memuncak apabila berkomunikasi dengan rakan lain.

Semuanya kerana berita ini ;

http://www.thestar.com.my/videos/2017/04/14/pocket-rocketman-azizulhasni-awang-is-keirin-king/


Tahniah Azizul Hasni. Andalah kebanggaan negara.
 
Sangat pelik apabila difikirkan bagaimana kejayaan orang lain boleh mempengaruhi nilai diri kita.

Tetapi, itulah hakikatnya kehidupan ini. 

Bagi saya, ini adalah bukti bahawa ritma kehidupan kita sebagai manusia saling kait mengait di antara satu sama lain.

Sebagai ibubapa, pasti kita akan merasa bangga apabila anak-anak kita mencipta kejayaan dalam apa jua bidang yang mereka ceburi.

Begitu juga, jika adik beradik kita atau rakan-rakan kita mencapai kejayaan kita pasti akan merasa bangga. 

Kadang-kadang, tanpa di sedari kita bercerita tentang ketika mana orang-orang yang kita kenali ini mula-mula menceburi bidang yang membawa kejayaan itu.

Jika anda pernah mengalami perkara sebegini, cuba anda ingat kembali apakah sebenarnya resipi kejayaan anak-anak, adik-beradik atau rakan-rakan yang kita kenali itu ? 

Cerita anda itu, ia berkisar mengenai apa ?

Dari bertatih sehinggalah melangkah seumpama gergasi, orang-orang yang berjaya ini tidak henti-henti berusaha dengan gigih untuk mencapai impian mereka. 

Itulah sebenarnya tema yang kita sampaikan semasa kita bercerita mengenai mereka.

Cuba pula anda hitung berapa lamakah masa yang dikorbankan oleh orang-orang ini sebelum mereka benar-benar mencapai kemuncak, bolehkah ia dicapai di dalam tempoh 5-10 minit ?

Sebagai contoh Sdr Azizul Hasni mengambil masa 10 tahun sebelum berjaya menjadi juara dunia.

http://www.utusan.com.my/sukan/berbasikal/azizulhasni-juara-dunia-selepas-10-tahun-mencuba-1.469141

http://mediaterjah.com/2017/04/azizulhasni-juara-dunia-keirin-selepas-10-tahun-mencuba/

Oleh itu, masihkah kita mahu menipu diri sendiri dengan menyampaikan kepada anak-anak kita pewaris generasi hadapan bahawa resipi kejayaan yang utama terletak kepada beberapa pose ritual yang diulang-ulang dan mampu ditunaikan di dalam tempoh 5 minit ?

Sedangkan setiap hari kita di tayangkan dengan pembuktian yang kukuh tentang bagaimana mahu berjaya ?

"HAYYA ALLASH SOLLA"
 (marilah menunaikan "solla")

"HAYYA 'ALLAL FALAH
 (marilah menuju kejayaan)

Sehari 5 kali pembesar suara di kampung-kampung dan di bandar-bandar berkemundang dengan seruan ini.

Malangnya kita memilih untuk memekakkan telinga dan membutakan hati.

Ashwed 

Friday 7 April 2017

Dari Jendela Kamar

Kedamaian Untuk Semua,

# Artikel ini ditujukan khas kepada pembaca baru yang belum berkesempatan membaca blog ini dari awal. Anggaplah ini sebagai jawapan kepada persoalan-persoalan yang di hantar ke email saya dan juga ke ruangan komentar blog ini.

10 tahun lepas, semasa saya mula-mula mendalami Al Quran. Saya tiba-tiba menjadi sensitif kepada alam sekeliling.

Setiap perkara yang di lihat membawa saya kepada keterangan-keterangan Al Quran yang saya baca dan cuba fahami. 

Alam ini seolah-olah menjadi sebuah makmal yang sangat besar bagi diri saya.

Ia merungkai satu per satu misteri yang sebelum ini saya tertanya-tanya seorang diri.

Baru-baru ini, saya sekali lagi diberi peluang untuk menyaksikan hasil kerja alam.

Seekor burung tekukur membuat sarang betul-betul di sebelah jendela kamar apartmen kami.



 

Menyaksikan kegigihan burung ini membuat sarang seterusnya mengeramkan telurnya adalah suatu perkara yang sangat indah. 

Hampir setiap hari saya mengikuti perkembangan burung ini.

Saya melihat sendiri iltizam dan kegigihan burung ini mengeramkan telurnya.

Hampir satu minggu dia tidak ke mana-mana melainkan berada di atas telur eramannya dengan tidak makan dan minum.

Panas terik, hujan ribut sedikit pun tidak berjaya mematahkan semangatnya.




 A041

"Tidakkah kamu lihat bagaimana segala di langit dan di bumi menyanjung Allah, dan burung-burung mengembangkan sayap-sayap mereka ? Masing-masing tahu iltizamnya (so-lla-ta-hu), dan sanjungannya; dan Allah tahu apa mereka buat" AQ 24:41

Selepas lebih seminggu, akhirnya telur-telurnya menetas dan melahirkan dua ekor anak burung tekukur yang comel.

Begitulah iltizam (solla) segala sesuatu di dunia ini.

Bagi kebanyakkan spesis ianya adalah secara semulajadi. Mereka tidak perlu memasuki kelas khas untuk memahami syariat Tuhan yang utama ini.

Syariat yang tidak berbeza dari tamadun silam sehinggalah ke zaman moden ini.

A013

"Dia syariatkan bagi kamu sebagai fitrah (deen-ni) apa yang Dia wasiatkan Nuh dengannya, dan apa yang Kami wahyukan kamu, dan apa yang Kami wasiatkan Ibrahim dengannya, dan Musa, dan Isa: "Lakukanlah fitrah (deen-na), dan janganlah berpecah belah di dalamnya." Amatlah benci bagi orang-orang yang sekutukan pada apa yang kepadanya kamu seru mereka. Allah pilih kepadanya sesiapa Dia hendaki, dan Dia beri petunjuk kepadanya orang yang berkesesalan" AQ 42:13

Mereka bukanlah jenis spesis yang kuat membantah.

Namun, bagi spesis manusia, ia tidak begitu semulajadi.

Kita memerlukan keyakinan. Jika pun kita sudah yakin, selang beberapa ketika kita perlu pula memperbaharui keyakinan itu.

Kita menggelar pembaharuan keyakinan ini dengan pelbagai nama di antaranya manifesto tahun baru, hijrah hidup atau apa sahaja nama untuk meyakinkan kita bahawa untuk berjaya kita perlu beriltizam/bersungguh/gigih/determine.

Ramai yang tidak mempunyai keyakinan ini secara semulajadi sehinggakan dia perlu kepada pakar motivasi untuk memberitahunya supaya mendirikan iltizam (solla).

Terbukti kita adalah makhluk yang paling kuat membantah.

A054

"Dan sesungguhnya Kami telah mengulang-ulangi bagi manusia dalam Al Quran ini bermacam-macam perumpamaan. Dan manusia adalah makhluk yang paling banyak membantah"  AQ 18:54

Di kebanyakkan masa intelek manusia itu sendiri menipu dirinya. 

Ia menolak hal yang semulajadi yang sudah berada di dalam dirinya dan mengikut apa yang diputuskan oleh orang lain. Lebih tepat pemuka agama yang dia kagumi.

Lalu dia yakin di atas keputusan orang lain bahawa ritual-ritual boleh memberi kejayaan kepadanya, sungguhpun dia sedar bahawa jika dia tidak berusaha tidaklah kejayaan itu akan datang bergolek kepada dirinya.

Untuk perbandingan, apakah agaknya makna solla di dalam keterangan ini ;

A037


"Wahai Pemelihara kami, aku tempatkan sebahagian daripada keturunanku di sebuah lembah di mana tidak ada tanah yang disemai di dalam sistem Engkau; wahai pemelihara kami, agar mereka mendirikan iltizam (solla-wa-ta), dan buatkan hati manusia berkeinginan padanya, dan berilah rezeki mereka dengan buah-buahan supaya mereka berterima kasih" AQ 14:37

Bagaimana pula dengan yang ini ;

A054 

"Dan ingatlah di dalam Kitab, Ismail; dia benar dengan janjinya, dan dia seorang Rasul, seorang Nabi" AQ 19:54



A055


"Dan adalah ia menyuruh keluarganya beriltizam (solla-wa-ti) dan memurnikannya (zaka-wa-ti), dan ia pula adalah seorang yang diredhai di sisi Tuhannya!" AQ 19:55

# sila lihat AQ 79:17-19 bagi memahami apa maksud zaka.
Bagaimana pula dengan yang ini, adakah Shuaib melakukan ritual atau sekadar memberi sepenuh penumpuan untuk membuktikan kesalahan dan jenayah ekonomi yang dilakukan oleh kaumnya.

A087


"Mereka berkata, "Wahai Shuaib, adakah iltizam kamu (solla-wa-tu-ka) suruh kamu supaya kami tinggalkan apa yang bapa-bapa kami sembah, atau untuk buat seperti yang kami hendaki dengan harta-harta kami? Kamu penyantun, berfikiran waras" AQ 11:87

Apa maksud solla di sini ;

A087


"Dan Kami wahyukan Musa dan saudaranya, "Ambillah kamu untuk kaum kamu di Mesir, rumah-rumah tertentu, dan buat rumah-rumah kamu satu haluan (kiblatan), dan dirikan iltizam (solla-wa-ta), dan beri berita gembira kepada orang-orang yang amanah (muk-meeni-na)" AQ 10:87

Di sini pula, apakah sebenarnya yang dimaksudkan oleh Isa ?;

A030

"Berkata, "Sesungguhnya aku hamba Allah; Dia beri aku Buku (Al-Kitab), dan jadikan aku seorang Nabi" AQ 19:30



A031
   
"Dia buat aku diberkati di mana sahaja aku berada, dan Dia wasiatkan aku supaya beriltizam (bis-solla-wa-ti)  dan memurnikannya (waz-zaka-wa-ti), selama aku hidup" AQ 19:31

Eh ! Tapi ustaz cakap umat "Nabi Muhammad" ini berlainan sebab kita menerima syariat yang lain dari umat-umat lain.

Ustaz juga cakap, "Nabi Muhammad" terima syariat ritual solat direct dari Tuhan sendiri secara berdepan di mana baginda terbang di bawa seekor kuda bersayap dan mempunyai wajah seorang perempuan.

Tapi kenapa pulak perkataan solat itu sudah di guna dari zaman Nabi Ibrahim lagi bukankah baginda diberi syariat berbeza ... hmmm.

.. Bayangkan ada sebuah buku yang mengajar kita cara-cara membuat jet di dalam Bahasa Russia.

Adakah anda rasa kita pada akhirnya berjaya membina sebuah jet jika sekiranya kita hanya sekadar menghafal dan menyanyikan bait-bait di lembaran buku itu sahaja tanpa berusaha untuk memahaminya ?

Sudah tentu tidak.

Bayangkan lagi, jika anda ingin mengetahui ciri-ciri Hobbit, pastilah anda hanya boleh mengetahuinya melalui buku tulisan JRR Tolkien kerana beliau adalah penulis asal buku tersebut.

Jika sekiranya anda mengakui bahawa anda mengagumi Tolkien sehingga ke peringkat mengagongkannya, tidakkah anda merasa ianya adalah suatu penghinaan apabila anda secara realitinya membuka buku cerita lain bertajuk Harry Potter tulisan JK Rowling untuk memahami apa itu Hobbit ?

Kini terbukti bahawa pengagongan anda itu hanyalah di bibir sahaja.

Anda sebenarnya mengagongkan orang lain bukan penulis asal buku Hobbit seperti yang anda isytiharkan.

Fikir-fikirkanlah.

Akhir sekali, jikalah sekiranya "Nabi Muhammad" itu diberi syariat yang sama seperti umat sebelumnya seperti keterangan AQ  42:13 di atas.

Maka apakah sebenarnya syariat yang kita cari-cari itu ?


Renung-renungkan.

Ashwed

Monday 3 April 2017

RUU 355 - Apa Kesudahannya ?

Kedamaian Untuk Semua,

Pada bulan Februari yang lepas, di ruangan komentar blog ini, ada pembaca yang bertanya mengenai RUU 355.

Saya memberi jawapan ringkas dan pendapat peribadi saya mengenainya.

##################################################
Brother Ashwed,
Himpunan RUU today.Beginning of the End if 200k attendance???
Are we all simply following the blind?The beginning to the dark period.???Time to pack and leave?
Peace 18feb
ReplyDelete

Replies




  1. Salam Saudara Peace 18feb,

    Bagi saya apa yg dihidangkan oleh suasana politik semasa kini jelas menunjukkan keterbukaan masyarakat kita di dalam mendepani isu-isu yang melingkari kepelbagain bangsa dan agama di negara ini. Suasana sebegini, tidak pernah kita kecapi semasa zaman Tun M. Namun, kita perlulah menggunakan kebebasan baru ini dgn bijak.

    Sebenarnya, secara peribadi saya berpendapat bhw UMNO tidak akan membenarkan RUU355 ini lulus. Ia hanyalah peluru politik atau ugutan halus supaya kaum cina dan india kembali menyokong BN. Ia juga menunjukkan betapa dinamiknya dunia politik. Di mana isu di main demi meraih sokongan, di mana tiada istilah seteru dan kawan, yang ada hanyalah ikhtiar utk meraih undi.

    Adalah sukar utk Pakatan Harapan menubuh Kerajaan Persekutuan hanya dgn bergantung kpd undi cina. Begitu juga, sukar utk mereka utk menubuh Kerajaan Persekutuan tanpa parti akar umbi spt PAS. RUU355 adalah isu yg berbentuk cheq mate kpd Pakatan Harapan. Jika sokong hilang undi cina dan india, jika bantah hilang undi melayu.

    Apapun jangan terlampau stres memikirkan hal sebegini. Yang penting kita terus memberi bakti kpd masyarakat semampu yang boleh.

    Peace
    Ashwed

    #############################################

    Terbukti, kata-kata saya itu menjadi kenyataan dengan pengumuman dari Pengerusi Barisan Nasional yang juga adalah Perdana Menteri Malaysia.

    Image result for kerajaan tidak akan bentang usul RUU 355

    Syukurlah Ahli-ahli Parlimen dari Borneo masih mampu berfikir dengan waras.

    Selepas memberi komen seperti di atas, saya juga telah menulis sebuah artikel khusus mengenai RUU 355.

    Anda boleh membacanya di sini http://ashwed1973.blogspot.my/2017/03/ruu-355-satu-kajian-kes.html 

    Di antara kesimpulan artikel itu adalah, kita selaku rakyat yang mahukan kebebasan bersuara janganlah hendaknya menolak atau menyokong RUU 355 ini hanya berdasarkan sentimen sahaja.

    Penolakan atau sokongan kita perlulah berdasarkan hujah yang kuat.

    RUU 355 ini tidak boleh dilindungi dengan ayat keramat "ini adalah Undang-Undang Allah" sedangkan ianya tidak.

    Sementara itu, kita perlu juga memberikan peluang kepada para penyokong RUU 355 untuk membuktikan pendirian mereka dengan bersandarkan hujah dan pemerhatian.

    Dengan cara ini barulah masyarakat benar-benar menghormati kebebasan bersuara. 

    Kebebasan bersuara perlu diberi kepada kedua-dua belah pihak. Jika ia sekadar berkuatkuasa di sebelah pihak sahaja maka ia tidaklah boleh dipanggil kebebasan.

    Bagi saya sendiri, sebab utama saya menolak RUU 355 ialah ia mahu menambah kuasa hukum kepada kesalahan yang tidak masuk akal.

    Bagi saya perbuatan memenjara seseorang yang berfikir sehingga maksimum 30 tahun itu sendiri adalah suatu jenayah kemanusiaan yang amat berat.

    Apabila kita menghalang manusia dari berfikir lama kelamaan mereka tidak lagi menjadi manusia.

    Di tambah pula, manusia di sudut dunia yang lain mempunyai kebebasan, kreativiti dan modal untuk berfikir dan seterusnya merealisasi idea mereka itu.

    Pastilah kita akan ketinggalan dari semua sudut. 

    Dalam keadaan sekarang pun kita sudah ketinggalan inikan pula jika melarang orang-orang kita untuk berfikir.

    Saya berharap parlimen Malaysia menolak terus usul ini selepas di bahaskan. 

    Ashwed