Wednesday 30 August 2017

Melayu, Dulu Hindu Sekarang Hindu

Kedamaian Untuk Semua,

Artikel ini sudah lama tertangguh dari siaran. 

Ini adalah kerana saya berpendapat masanya kurang sesuai untuk berbuat demikian.

Memandangkan kita sekarang berada di dalam bulan haji, maka kini saya merasakan artikel ini adalah paling relevan untuk dibaca dan difikirkan sambil menyaksikan kesemua bukti yang terbentang di hadapan mata kita.

Baru-baru ini sebuah penemuan penting berlaku di utara Semenanjung Malaysia.

Beberapa pemaju telah menjumpai longgokan rangka manusia yang dikatakan berusia lebih dari 5000 tahun.

Rangka ini amat penting untuk kita selami kerana darinya suatu kesimpulan boleh dibuat mengenai jenis kebudayaan masyarakat yang menghuni tanah ini amalkan di masa lampau.

Dengan menyelami sikap kita di masa lampau, maka kita bolehlah juga menangani sikap kita di masa kini.

http://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/2017/04/25/pulau-pinang-mahu-guar-kepah-diberi-status-warisan-dunia/

Menurut berita di atas, rangka zaman neolitik itu ditemui di dalam longgokan kulit kerang dengan keadaan menonggeng.

Kemungkinan besar, pose tersebut adalah ritual pengkebumian di zaman tersebut.

Yunani/Romawi dan Apollo

Jika kita menyelusuri sejarah ketamadunan dunia. Kita akan dapati bahawa sesuatu ritual dan kepercayaan akan menjadi trend pada suatu zaman tertentu bergantung kepada kerajaan atau empayar yang menguasai sesuatu tempat itu.

Sebagai contoh, jika anda secara kebetulan hidup di sekitar 2000 ke 3000 tahun yang lampau, di saat orang-orang Yunani/Romawi menguasai dunia (sungguhpun hanya di barat). Anda berkemungkinan besar mempercayai tuhan yang bernama Apollo.

Anda pastinya belajar mengenai ciri-ciri tuhan yang bernama Apollo ini sepertimana rakan-rakan anda yang hidup di zaman itu.

Dengan pengetahuan ini, anda akhirnya menjadi kagum dengan tuhan yang bernama Apollo itu.

Anda percaya tiada tuhan lain yang boleh menandingi tuhan yang bernama Apollo.

Mungkin di ketika ini jika anda terhadung batu lalu terjatuh, nama Apollo lah yang anda panggil.

Begitu juga di dalam keadaan yang meruncing, cemas dan diselubungi ketakutan, jiwa anda berkemungkinan di penuhi dengan seruan nama Apollo. 

Anda percaya sepenuhnya Apollo akan menjadi penyelamat anda.

Nama Apollo ini menjadi bertambah masyhur dan suci apabila kerajaan di mana anda bernaung mengguna nama itu di dalam urusan-urusan rasmi dan di dalam majlis-majlis rasmi kerajaan.

Menjadikan nama itu sebagai sebahagian dari tatacara berkerajaan.

Di dalam keadaan ini, jika ada seorang insan datang membuat pengumuman bahawa terdapat kecacatan di dalam ciri-ciri Apollo seperti yang anda percayai, pasti anda akan menjadi berang.

Ini adalah kerana jika ternyata pengumuman itu berasas, ia akan membuat anda merasakan keseluruhan hidup anda tidak lebih dari suatu penipuan.

Orang tersebut, berkemungkinan besar digelar sesat dan jika kerajaan di mana anda bernaung telah meluluskan sebuah undang-undang anti-blasphemy, maka sudah tentulah insan tersebut anda tangkap, sumbatnya ke dalam penjara atau menerima nasib yang lebih buruk iaitu dikenakan hukuman mati.

Begitulah yang terjadi kepada seorang ahli falsafah bernama Socrates di zaman itu.

Namun, pernahkah anda terfikir pada tahun masihi 2017 iaitu kira-kira 2000 ke 3000 tahun selepas zaman emas Yunani/Romawi, ke manakah perginya tuhan yang bernama Apollo itu ?

Sudah matikah ia ? Bercuti dari melakukan tugas mungkin ?

Di dalam ketidakhadiran tuhan Apollo di dalam kehidupan harian masyarakat dunia kini, adakah dunia sudah tidak lagi beroperasi seperti sebelumnya ?

Kucar-kacirkah kehidupan masyarakat dunia dengan terkuburnya nama itu ?

Jika kepercayaan sebahagian besar manusia di dunia yang hidup di zaman Yunani/Romawi adalah benar iaitu Apollo adalah tuhan yang perlu disembah maka kenapa nama tersebut tidak lagi meniti di bibir manusia yang hidup selepas zaman itu.

Adakah kemungkinan ini terjadi kerana pihak yang bertanggungjawab mempopularkan nama tersebut, iaitu kerajaan Yunani/Romawi sudah pupus maka nama itu juga turut pupus bersama dengannya.

Tidakkah dengan fakta ini, kini, kita boleh membuat suatu thesis bahawa nama tuhan dan kepercayaan yang dianuti manusia sezaman adalah bergantung kepada pengaruh ideologi kerajaan yang menguasai mereka pada zaman tersebut ?

                                     Andai ditakdirkan adik ini hidup di zaman Yunani/Romawi
                  Nescaya, nama Apollo yang akan dilaungkan oeh beliau
                   di dalam keadaan cemas sebegini

Hindu Agama Semenanjung Suvarnabhumi

Apabila membaca berita mengenai penemuan rangka zaman neolitik di atas. 

Secara otomatis saya terkenang kepada bentuk kehidupan masyarakat Melayu yang menghuni Semenanjung Malaysia di suatu zaman yang lampau.

Lebih tepat lagi ialah kira-kira 400-500 tahun sebelum masihi.

Zaman ini adalah lebih muda dari zaman neolitik yang mana rangka tersebut dikatakan berasal.

Masyarakat Melayu pada zaman itu beragama Hindu.

Perkara ini dapat dibuktikan secara sahih melalui penemuan-penemuan candi dan kuil seperti kebiasaanya boleh di dapati di dalam sistem agama Hindu di Sungai Petani, Kedah. Nama sanskritnya Kadaram/Kalagam/Kataha atau lebih dikenali sebagai Lembah Bujang.

Seperti fakta yang saya  perkatakan di atas, oleh kerana kerajaan masyarakat Melayu pada waktu tersebut percaya kepada aliran beragama Hindu, maka sudah tentulah beberapa nama tuhan yang menjadi kepercayaan di dalam agama Hindu menjadi terkenal dan mempunyai signifikan yang tinggi.

Mungkin tuhan yang bernama Sheva, Vishnu atau Brahman menjadi sangat popular dan meniti di bibir hampir keseluruhan masyarakat Melayu pada waktu tersebut.

Mungkin pada waktu tersebut terdapat sebuah undang-undang yang melarang rakyat tanah melayu dari mempersenda nama tuhan Sheva, Vishnu atau Brahman. 

Kawalan ini menyebabkan nama-nama tersebut menjadi teragong di persada kepercayaan mereka.

Namun, apabila penguasa kerajaan orang Melayu berubah dari mempercayai tuhan Sheva, Vishnu atau Brahman kepada nama dan anutan baru maka tiba-tiba tuhan lama yang menjadi pujaan mereka sebelum ini, menjadi hilang tempat.

Secara tiba-tiba, tuhan-tuhan lama ini menjadi tidak begitu berkuasa lagi. 

Tembok yang dibina untuk melindungi kekuasaanya kini pecah dan nama itu sudah hilang gah dan tidak lagi dapat menguasai minda dan tindak tanduk masyarakat.

Dengan penerimaan pengaruh baru ini, maka mereka kini tidak lagi menghormati nama tuhan Sheva, Vishnu dan Brahman seperti sebelumnya.

Malah, mereka kini tidak lagi takut untuk mempersenda nama-nama tuhan lama yang begitu menggerunkan nenek-moyang mereka di beberapa generasi yang lepas.

Kini, nama tuhan yang baru pula meniti di bibir masyarakat.

Nama baru ini jika disebut maka bergetarlah seluruh tulang-temulang serta jiwa dan raga manusia yang hidup di zaman yang baru itu.

Sesiapa yang mempersenda nama tuhan yang baru tersebut nescaya akan menerima padah yang besar.

Sehingga kini, nama tuhan yang baru tersebut sudah menguasai jiwa dan raga masyarakat yang menghuni Semenanjung Suvarnabhumi yang kemudiannya dikenali sebagai Malaiyur melebihi 700 tahun. 

Apakah nasib yang akan menimpa nama tuhan baru ini ?

Adakah nama ini juga akan menerima nasib yang sama dengan tuhan-tuhan dunia lama, yang hilang ditelan zaman ?

Mungkin kita yang sedang hidup di zaman ini merasakan tidak mungkin nama tuhan baru yang kita sanjungi ini akan pupus.

Tetapi ingatlah, kira-kira 3000 tahun dahulu itulah juga yang disangka oleh rakyat Yunani/Romawi dengan tuhan Apollo mereka.

Di manakah Apollo mereka kini ?

Kesimpulan

Mengapakah masyarakat Melayu dengan mudah dapat melupakan agama Hindu kuno anutan mereka selama beribu-ribu tahun itu ?

Apakah yang menyebabkan para penguasa masyarakat mereka dengan mudah dipengaruhi untuk mempercayai tuhan baru ?

Bagi saya, jawapannya terletak kepada bentuk ritual yang tidak begitu banyak berbeza dari apa yang dahulunya di praktis oleh nenek-moyang mereka

Anutan baru yang mempengaruhi penguasa Melayu itu dibawa oleh empayar baru dunia yang dipengaruhi oleh orang-orang Arab.

Berikut adalah beberapa keratan rentas kuil hindu secara am ;
Di dalam keratan ini bahagian yang paling penting dan suci menurut kepercayaan agama Hindu adalah Garba Griha (inner sanctum) atau di dalam latin dikenali sebagai sanctum sanctorum (holy of the holies).

Garba (womb) Griha (rumah) adalah sebuah bilik yang menempatkan murti (idol).

Kebiasaanya bilik ini hanya mempunyai satu pintu dan tidak mempunyai tingkap.


Di sinilah ditempatkan Sheva Linga ...

Garisan merah yang ditanda di dalam keratan rentas di atas, menandakan laluan parikrama atau pradakshina iaitu satu ritual mengelilingi garba griha sebanyak 7 pusingan mengikut arah jam.
 
Sekarang bandingkan dengan keratan rentas titik fokal agama baru anutan penguasa masyarakat Melayu selepas zaman Hindu.

 

Dengan ritual yang seiras-iras, maka dapatlah kita simpulkan bahawa anutan baru ini tidaklah membawa perubahan besar di dalam masyarakat.

Malah ianya boleh dibahagikan kepada beberapa bahagian yang saling tidak tumpah samanya seperti ;

1. membasuh kepala, kaki dan tangan sebelum memasuki ruang mandapa
2. Pemakaian kain putih di bahagian bawah badan dan diselimpang di bahagian atas badan
3. mencukur rambut bagi menghormati murti
4. mengelilingi garba griha sambil membaca mantra vedic
5. mencium sheva lingga
6. membuat ritual yang dikenali sebagai pooja yang dicantumkan dengan yoga


Dan pada minggu ini, masyarakat Melayu ini merayakan penyembelihan binatang sebagai korban kepada tuhan baru mereka.

Adakah ini perkara baru ?

Sama sekali tidak ! Sebenarnya nenek moyang kita sudah beribu-ribu tahun melakukannya melalui konsep shaktism.

 

Tiba-tiba keterangan di bawah kembali terngiang-ngiang di minda ; 












A057 
"Aku tidak mengkehendaki rezeki sedikitpun daripada mereka dan Aku tidak mengkehendaki supaya mereka memberi-Ku makan" AQ 51-57  



A136 

"Dan mereka memperuntukkan bagi Allah satu bagian dari tanaman dan ternak yang telah diciptakan Allah, lalu mereka berkata sesuai dengan persangkaan mereka: 'Ini untuk Allah dan ini untuk berhala-hala kami'. Maka saji-sajian yang diperuntukkan bagi berhala-berhala mereka tidak sampai kepada Allah ; dan saji-sajian yang diperuntukkan bagi Allah, maka sajian itu sampai kepada berhala-berhala mereka. Amat buruklah ketetapan mereka itu" AQ 6:136


Sidang pembaca yang dihormati sekelian, dahulunya kita Hindu, sekarang pun masih sama, hanya ego kita menyatakan kitalah yang benar manakala rakan-rakan kita yang berbangsa India salah.

Pernahkah kita terfikir, jika sekiranya penguasa kerajaan masyarakat Melayu dahulu membuat keputusan untuk menerima agama lain selain dari Islam sebagai anutan mereka, maka agaknya apakah kita masih menganggap Islam yang asing dan bukan agama kita itu masih benar ?

Atau, kita menganggap agama yang selain dari Islam itulah yang paling benar kerana kita sedang menganutinya ? 


Ashwed


Tahniah dan syabas negaraku, Malaysia

Kedamaian Untuk Semua,

Blog ini ingin merakamkan ucapan tahniah dan syabas yang tidak terhingga kepada para anak-anak muda atlet tanahair kerana berjaya menjadi juara keseluruhan temasya Sukan Sea, 2017.


Di saat artikel ini ditulis, Malaysia sudahpun mengutip sejumlah 142 emas, 91 perak dan 84 gangsa.


Pada mulanya, saya bercadang untuk mengepos ucapan ini sebaik sahaja negara kita memenangi ibu segala pingat, iaitu di dalam acara bolasepak.

Namun, hasrat itu tidak kesampaian apabila kita kalah dengan jaringan sendiri.

Sungguhpun secara peribadi saya merasakan kualiti permainan bolasepak yang ditunjukkan semalam masih jauh jika dibandingkan negara kuasa besar bolasepak tetapi saya merasakan kita mempunyai ruang untuk meningkat.

Jika kita boleh menjadi juara dunia di dalam acara keirin, terjun, badminton dan skuash, maka saya tidak nampak alasan untuk kita tidak boleh meningkatkan diri di dalam acara bolasepak.

Sesuatu yang saya perhatikan sepanjang temasya tersebut ialah kualiti fasiliti pusat-pusat sukan di pelbagai acara adalah bertaraf dunia.

Begitu jauh negara ini berjalan. 

Alangkah ruginya jika kita membiarkan kemajuan yang kita nikmati ini dibataskan dengan pemikiran yang dibendung oleh mitos manusia yang hidup di zaman dahulu kala. 

Suatu zaman yang mempunyai pengetahuan dan teknologi yang terbatas.

Ashwed


Thursday 24 August 2017

Talibanisma

Kedamaian Untuk Semua,

Baru-baru ini, saya berjaya memujuk badan bukan kerajaan yang saya anggotai untuk mengadakan suatu program kem motivasi secara percuma.

Tujuan utama kami membuat kem ini adalah untuk membuka minda para pelajar sekolah menengah mengenai dunia perniagaan.

Kami sebulat suara untuk menggerak penyertaan pelbagai bangsa dari sekolah menengah yang tidak berprestasi tinggi. 

Di waktu yang sama, kami menjemput sekolah-sekolah yang mencapai keputusan akademik yang tinggi tetapi beraliran agama.

Kem ini dibuat selama 3 hari. Kami secara sengaja menempatkan para peserta berlainan bangsa dan agama di dalam satu bilik.

Begitu juga, kami hanya menyediakan sehelai kemeja-t untuk seluruh peserta kenakan sepanjang mereka menyertai kem tersebut. Dengan tujuan untuk bersatu hati melalui pakaian.

Harapan kami ialah untuk menyaksikan rakyat Malaysia dari pelbagai bangsa bersama-sama menumpu kepada suatu titik fokus iaitu perniagaan.

Mungkin dengan mencari satu titik persamaan, masyarakat kita dapat bercantum dan berintegrasi tanpa dibezakan dengan agama dan bangsa.

Berikut adalah post mortem ringkas yang dapat saya perhati dan kongsikan di blog ini ;

1. Murid dari sekolah kebangsaan harian mempunyai semangat harmoni yang lebih tinggi dari mereka yang datang dari sekolah berasrama penuh.

2. Budaya arab terlalu jauh menyelusup ke dalam sanubari para pelajar berbangsa Melayu.

3. Terdapat suatu elemen kebencian senyap terkumpul di dalam dada para pelajar dari sekolah agama terutamanya pada murid perempuan.

4. Kebanyakkan murid tidak kira bangsa mempunyai tahap pengetahuan yang standard. Membawa makna ia terpulang kepada murid itu sendiri atau para guru untuk melatih pemikiran mereka supaya berubah samada menjadi positif atau negatif.

Pemupukan Virus Kebencian

Jikalah saya dipohon untuk memberi jawapan dengan hanya mengguna satu perkataan sahaja tentang apakah yang mendorong manusia menjadi pembenci. 

Nescaya jawapan saya adalah AGAMA.

Ya AGAMA disebalik tujuan asalnya untuk menjadikan manusia menjadi seorang insan yang baik, terbukti menjadi hal yang sebaliknya.

Saya sebenarnya memberikan jawapan itu semasa membuat ucapan penutup kem tersebut.

Ucapan ini di asaskan dari tulisan saya di blog ini tidak lama dahulu iaitu mengenai pembahagian subjek-subjek dunia kepada rumah dan bilik.

Dan saya melihat dengan mata kepala saya sendiri, bagaimana para pelajar Melayu yang bakal membentuk generasi hadapan tanahair kita terlopong mulut mendengar jawapan tersebut.

Ini dapat saya saksikan dengan begitu ketara terdapat pada diri para pelajar perempuan.

Agaknya, jika kita menunjukkan gambar ini kepada mereka, mungkin di dalam hati mereka berkata .. generasi atuk dan nenek mereka semuanya adalah ahli NARAKA.

Image result for gambar iklan guinness stout

Image result for gambar iklan guinness stout

Begitu bugarnya perasaan kebencian di dalam diri mereka sehingga ada di antara anak-anak gadis ini semasa di bawa melawat Kelab Golf, tidak mahu melintas di hadapan kolam mandi kerana enggan melihat orang lain memakai baju renang.

Saya percaya semasa berumur 13 tahun, di kala hari pertama ibubapa mereka menghantar anak-anak gadis ini ke sekolah berasrama aliran agama, kemungkinan besar mereka sudah banyak kali melihat aksi kolam renang samada melalui filem cereka yang ditayang di kaca televisyen atau melalui sukan renang.

Saya tertanya-tanya apakah di waktu tersebut mereka ini menjadi seorang yang bankrap santunnya ?

Kemeja-T yang kami berikan, dipakai dengan sebahagian besarnya dilindungi tudung labuh yang menutupi keseluruhan motif baju tersebut.

Di suatu malam yang lain pula, kami mengkehendaki kesemua peserta membuat ucapan umum secara berkumpulan.

Di kala anak-anak Cina bercakap mengenai perniagaan data, anak-anak muda kita pula bercerita mengenai niat mereka mahu membebaskan Masjid Al-Aqsa dari cengkaman Israel.

Dari pemerhatian, saya dapati dari beratus pelajar yang hadir, hanya segelintir sahaja yang berperangai begitu.

Namun, jumlah ini akan semakin bertambah dengan peningkatan umur.

Ini dapat dibuktikan dengan memerhatikan lagak rakan dan taulan kita di dalam kumpulan-kumpulan media sosial.

Mereka ini dahulunya tergolong di dalam kumpulan majoriti yang berpawatakan sederhana tadi.

Namun, tekanan dari masyarakat menyebabkan mereka ingin menjadi "a famous muslim" bukannya "a good muslim".

Salah satu cara untuk menjadi "a famous muslim" ialah dengan menjadi lebih ekstrim dari rakan muslim yang lain. Menjadi lebih Arab dari rakan Melayu mereka yang lain.

Sehinggakan cara duduk pun perlu ditadbir oleh agama dengan mengguna nama Tuhan sebagai modal untuk memastikan manusia mematuhi arahan itu.

https://suaramedia.org/amaran-duduk-posisi-ini-dimurkai-oleh-allah-berikut-adalah-penjelasan-hadis-rasulullah-saw/

Ini dilakukan demi membuktikan bahawa DNA Agama Islam mereka adalah lebih hebat dari rakan yang lain.

Gerakan Taliban

Beginilah cara puak Taliban lahir di Afghanistan.

Suatu ketika dahulu Afghanistan adalah seperti negara-negara membangun yang lain.

Mereka sibuk dengan pencarian pengetahuan yang berasaskan sains dan teknoloji dengan sistem pentadbiran yang lebih teratur dan sekular, sebelum kesemuanya digantikan dengan sistem Taliban di mana theokrasi dijadikan asas negara.

Mungkin ada yang berpendapat sistem Taliban adalah tindakbalas masyarakat Afghanistan apabila kuasa asing cuba menjajah negara mereka.

Namun, jika difikirkan kuasa asing ini sudah berpuluh tahun keluar dari negara mereka ? Mengapa rakyat Afghanistan masih belum dapat membina negara mereka  dengan mengutamakan kebajikan masyarakatnya ? 


Saya memanggil proses pemupukan perasaan kebencian ini sebagai TALIBANISMA.

Kini, tanahair kita di hidangkan dengan berita-berita sebegini ;


Inilah permulaan proses Talibanisasi.

Perkara kecil ini pastinya akan menjadi virus di dalam diri anak-anak kita.

Bayangkan jika sedari kecil mereka sudah ditanam dengan sikap membeza-bezakan di antara manusia ?

Agaknya dapatkah anak-anak ini membesar menjadi seorang yang bersifat rendah diri dan inklusif ? 

Dapatkah mereka ini menjadi seorang yang matang dengan jiwa yang besar ?

Dan yang paling penting, dapatkah mereka ini membesar menjadi seorang yang damai (muslim) dalam erti kata yang sebenar ?

Sebelum ini, negara digegarkan dengan berita bagaimana para pelajar bukan Islam di minta untuk makan di dalam tandas di waktu bulan Ramadhan dengan alasan untuk menghormati para pelajar Islam.

Kemudiannya, kita digegarkan pula dengan berita bagaimana seorang pelajar sekolah tidak dibenarkan mengambil bahagian di dalam pertandingan "chess" semata-mata kerana memakai blouse yang menampakkan kaki.

Saya dapat merasakan kebencian terpendam yang meluap-luap di dalam diri masyarakat kita. 

Yang bukan Islam pula setelah diperlakukan sedemikian rupa oleh orang Islam, apabila besar, pasti ada di antara mereka yang ingin membalas dendam.

Maka, terjadilah peristiwa memilih bulu di dalam bidang-bidang yang mereka kuasai.

Lama-kelamaan masyarakat kita semakin menjadi sebuah masyarakat yang berpecah-belah.

Ini mengakibatkan kita dengan mudah dijadikan hidangan oleh mereka yang memegang kuasa, tidak kira dari mereka yang memegang tampuk kekuasaan kerajaan atau pakatan pembangkang.

Sebuah masyarakat yang berpecah belah akan menjadi lemah.

Kelemahan ini akan mengakibatkan masyarakat kekurangan modal negosiasi apabila berhadapan dengan golongan yang berkuasa.

Natijahnya, nasib kita sebagai sebuah masyarakat yang berjumlah lebih dari 30 juta manusia akhirnya berada di dalam genggaman segelintir manusia pelampau.

Dan ini semua berpunca dari sikap tidak bertoleransi akibat dari pemahaman AGAMA.

Sedih rasanya membayangkan fakta bahawa kita sebenarnya sedang menyaksi bibit-bibit proses Talibanisasi sedang terjadi di hadapan mata kita.

Proses permulaan negara menjadi mundur di mana masyarakatnya tidak berupaya membezakan di antara fantasi dan realiti.

Saya tidaklah mahu menafikan bahawa sistem beragama adalah realiti kehidupan masyarakat kita.

Namun, tidakkah kita berkemahuan menjadi "a good muslim" iaitu seorang manusia yang damai.

Menjadi seorang ikon dan dihormati kerana kebajikan yang dilakukan di dalam masyarakatnya bukan menjadi terkenal kerana sifat tidak bertoleransinya.

Menjadi seorang yang rendah diri, saling memberi pertolongan kepada mereka yang memerlukan tidak mengira agama dan warna kulit ?

Bukankah ini yang di ajar Nabi Terakhir ? Mengapakah kita menolak ajaran ini ?

Apakah yang mendorong baginda untuk melakukan kebaikan, adakah baginda mahu menjadi terkenal atau sekadar mencari keredhaan Illahi ?

Ashwed








Tuesday 8 August 2017

Isu-Isu Semasa

Kedamaian Untuk Semua,

Sukar rasanya untuk menulis kembali. Idea tidak mengalir seperti selalunya.

Inilah akibatnya jika merenggangkan diri dari papan kekunci sebegitu lama.

Apakan daya tugasan dan urusan mencari makan perlu didahulukan demi mendirikan nilai solat yang sebenar.

Di sepanjang saya merantau di muka bumi Malaysia ini, terdapat banyak isu-isu yang menjadi hangat di kalangan masyarakat kita.

Apabila difikirkan isu-isu yang di bawa ke tengah oleh masyarakat kita bukanlah besar tara mana sangat.

Namun, melihat kepada cara ia diperbincang oleh pemuka-pemuka masyarakat, samada di media arus perdana atau di ruang-ruang media sosial, ternampak seolah-olah masyarakat kita suka membahagikan sesuatu perkara kepada kumpulan baik lawan kumpulan jahat.

Perbincangan kita tidak tertumpu kepada realiti atau apakah yang terbaik untuk masyarakat, sebaliknya, ia menjadi suatu ruang kepada para pemuka ini untuk beradu pengetahuan mengenai sejarah sistem masyarakat Arab di suatu zaman dahulukala.

Apa tidak bolehkah kita mengambil iktibar dari keadaan semasa sahaja ? 

Apakah masyarakat lain selain dari Arab yang menghuni seluruh pelusuk dunia ini bukan manusia ? Sehingga kita melihat mereka seolah debu di tapak kasut kita sahaja ?

Mengapa tidak kita gunakan sahaja mereka yang berjaya membina sistem yang praktikal sebagai contoh tanpa mengira samada ia dari bangsa mana sekalipun ?

Untuk artikel kali ini saya ingin menyentuh beberapa isu yang menjadi hangat di kalangan masyarakat kita di dalam tempoh sebulan dua ini.

Mungkin para pembaca dapat memberikan buah fikiran masing-masing di ruangan komentar. 

Mana tahu perbincangan ini dapat membantu kita membuat keputusan yang lebih bijak secara peribadi.

Isu Pertama

Isu ini bermula dengan tularnya sebuah video seorang wanita bertudung yang memaparkan kemesraan beliau dengan seekor anjing.

Dari video itu kita dapat menangkap bahawa wanita Melayu ini mempunyai hubungan yang istimewa dengan anjing tersebut.

Dengan kata lain ianya jelas bahawa wanita tersebut adalah tuan kepada anjing itu.

Ia juga jelas bahawa anjing tersebut adalah binatang pelihara beliau yang menetap di rumah yang sama.

Berikut adalah versi penuh video tersebut ;


Maka penuhlah setiap instrumen media samada perdana atau secara di dalam talian dengan komentar dari para bijaksana dan pemikir melayu.

Boleh dikatakan keseluruhan mereka sepakat menjatuh hukum HARAM kepada perbuatan ini kerana menurut Mazhab Syafie orang melayu di larang dengan sengaja menajiskan diri memegang anjing yang dikatogerikan sebagai najis mughalazah.

Ada juga para bijak pandai ini yang menolak hukuman HARAM dijatuhkan kepada perbuatan tersebut.

Mereka mengemukakan hujah dari buku yang ditulis oleh seorang Arab yang hidup di Timur Tengah dari zaman yang lampau.

Maka, dengan tertulisnya pemikiran Arab ini maka bolehlah seorang Melayu moden yang hidup di Semenanjung Tanah Melayu memelihara anjing.

Tanpa disedari masyarakat kita di dorong ke suatu sudut. Lalu memaksa pola fikiran mereka berfikir secara KEBAIKAN lawan KEJAHATAN.

Mereka yang memegang teguh aliran pemikiran Mazhab Syafie adalah kumpulan yang membawa KEBAIKAN.

Sementara mereka yang cuba membawa aliran pemikiran yang baru adalah agen KEJAHATAN yang cuba memporak-perandakan sistem masyarakat.


                              Jawapan dari mereka yang memegang
                                    kuasa
Rabies

Tatkala isu ini semakin kendur di mana ruangan media sosial tidak lagi di bom dengan masalah pemeliharaan anjing, tiba-tiba tanahair kita dikejutkan dengan kematian beberapa orang kanak-kanak akibat penyakit anjing gila di Sarawak.

Maka, penuhlah kembali ruangan media sosial dengan kenyataan yang berbaur "I told you so" tanpa kajian yang lebih mendalam.

Yang sebenarnya lyssavirus, virus yang membawa penyakit rabies ini bukan sahaja menjadikan anjing sebagai hos.

Ia juga boleh dibawa oleh kucing, burung, kelawar dan binatang-binatang lain.

KOMEN SAYA

Saya berpendapat manusia boleh sahaja memegang apa-apa jenis binatang pun kerana sebagai khalifah kita sudah semestinya dipertanggungjawabkan untuk mengurus kesemua binatang ini.

Adalah tidak munasabah jika kita diharamkan memegang beberapa spesis binatang sahaja, mengapa tidak yang lain ?

Bagaimanakah harus kita mengurus binatang-binatang ini jika kita tidak boleh memegangnya ?

Pada saya, perkara yang paling penting apabila mengurus binatang ialah soal kebersihan. Bukan jenis spesis binatang itu yang menjadi persoalan.

Binatang tidak berupaya untuk memandikan dirinya setiap hari seperti kita.

Maka dengan itu, sudah tentulah banyak bakteria, virus dan kutu yang terkumpul dan menumpang hidup pada bulu binatang-binatang ini.

Jika kita dapat memastikan bahawa tubuh binatang ini bersih, jauh dari sebarang bakteria, virus dan kutu maka tidaklah binatang ini boleh lagi membawa kemudaratan kepada kita.

Binatang-binatang yang terpelihara dari segi kebersihan sebegini boleh sahaja kita pegang dan usap. Namun, sebagai satu standard kebersihan yang tinggi, eloklah kita membasuh tangan setiap kali selepas memgang binatang ini. Terutama jika sekiranya kita mahu makan selepas itu.

Di zaman lampau, semasa ahli pemikir berketurunan Arab ini menulis kitab mereka (keupayaan mereka menulis adalah kerana negara yang mereka diami mempunyai teknologi yang diperlukan untuk berbuat demikian, bukan kerana mereka lebih pandai dari kita), besar kemungkinan penyakit rabies sedang menular di negara mereka sehingga menjadi suatu fenomena pandemic.

Peristiwa darurat tersebut berkemungkinan besar memutuskan mereka untuk menjatuhkan hukum HARAM kepada spesis binatang jenis anjing tanpa kajian yang lebih mendalam seperti yang telah ditemui oleh saintis zaman moden.

Saya ada satu persoalan untuk difikirkan oleh para pemikir agama di dalam masyarakat kita.

Tidak lama dahulu penyakit selesema burung pernah menular menjadi pandemic global di mana terdapat ramai juga rakyat Malaysia yang meninggal dunia samada kerana terlibat secara langsung di dalam industri ayam atau termakan ayam dan telur yang dijangkiti virus selesema burung.

Avian Flu ini saban tahun meragut nyawa yang ramai.

Soal saya, mengapa sehingga sekarang ayam tidak di isytiharkan HARAM.

Adakah kerana ayam adalah suatu industri yang menguntungkan jika dibandingkan dengan nilai ekonomi yang dibawa oleh spesis anjing sehingga ayam kebal dari hukuman anda ?

Jika benarlah anjing adalah najis sehingga kita dilarang memegangnya kerana ia boleh menajiskan diri kita, bagaimana pula dengan najis yang kita bawa setiap hari di dalam perut kita ini ? Tidak kita juga bleh dikategorikan sebagai najis ?

Mengapa pula ada mazhab yang membenarkan memegang dan memelihara anjing manakala mazhab yang lain menghukumnya sebagai HARAM ?

Bagi saya realiti bahawa ada mazhab yang mengharamkan dan ada yang membolehkan pemeliharaan dan perbuatan memegang anjing adalah bukti jelas bahawa manusia tidak dipertanggungjawabkan untuk menjatuh hukum.

Kecacatan ini (tiada kesepakatan keputusan) begitu ketara di dalam pelbagai perkara.

Maka ternyata sangat benarlah keterangan ini ;


A116

"Dan janganlah kamu mengatakan terhadap apa yang disebut-sebut oleh lidahmu secara dusta 'ini halal dan ini haram' untuk mengada-adakan kebohongan terhadap Allah. Sesungguhnya orang-orang yang mengadakan kebohongan terhadap Allah tidaklah beruntung" AQ 16:116

Seperkara lagi yang menjadi kemusykilan saya ialah tindakan wanita melayu tersebut menularkan video beliau dan anjing peliharaannya.

Bukankah saudari sudah sedia maklum akan sensitiviti masyarakat kita mengenai perkara ini ?

Apa perlunya saudari berbuat demikian ? 

Jika perbuatan memelihara anjing dapat menjadikan jiwa saudari tenang dan fokus, teruskanlah perbuatan itu. Apa perlunya menunjuk-nunjuk ?

Sekarang, dengan tindakan saudari menunjuk-nunjuk gaya hidup saudari itu,  ketenangan dan kebahagian yang saudari kecapi sudah terganggu. Apa gunanya ?

Jika saudari mempercayai bahawa memelihara dan memegang anjing tidak HARAM, simpan sahajalah kepercayaan saudari itu sekemas-kemasnya di dalam dada.

Membuat sesuatu itu secara diam-diam tidaklah dapat memecahkan tembok kepercayaan yang saudari semat itu. Bukankah begitu ?

Isu Kedua

Isu ini lebih hebat kerana ia melibatkan keputusan Mahkamah Rayuan yang berupaya untuk menjadi kes duluan dan Undang-Undang yang boleh digunapakai serta perlu diterima oleh pelbagai Jabatan Kerajaan dan pihak berkuasa yang berkaitan.

Ini adalah isu yang saya maksudkan ;

http://www.freemalaysiatoday.com/category/nation/2017/07/27/nrd-has-no-right-to-add-abdullah-to-muslim-illegitimate-child-says-court/

Sebaik sahaja keputusan Mahkamah Rayuan ini menjadi tular di portal dalam talian, maka keesokan harinya para pemuka masyarakat pun mulalah berperang sesama sendiri.

Artikel demi artikel di tulis bagi membuktikan hujah masing-masing.

Sekali lagi, kitab-kitab lama orang Arab dibuka bagi mencari pendekatan paling sesuai bagi mempertahankan maruah aliran pemikiran yang mereka anuti.

Apabila keadaan menjadi tegang akibat masing-masing tidak mahu berinjak dari pendirian para imam yang menjadi kiblat mereka, maka bermulalah pertandingan tuduh-menuduh, cela-mencela dan sebagai senjata terakhir, terkeluarlah panggilan sesat dan sebagainya.

KOMEN SAYA

Seperkara yang para pemikir agama ini lupa ialah di sebalik kehebatan hujah mereka dan ketinggian aliran pemikiran yang mereka ikuti itu, terdapat sekujur tubuh kecil yang tidak berdosa sedang menanti hukuman seumur hidup akibat pertandingan kuasa hujah yang sedang mereka debatkan itu.

Bayi ini adalah real. Mereka akan hidup untuk sekurang-kurangnya 60-70 tahun akan datang.

Masa hadapan mereka di tangan kita orang-orang terdahulu, yang sepatutnya melindungi mereka dari malapetaka dan marabahaya.

Di tangan kuasa hujah anda wahai para pemikir agama, akan menentukan nasib bayi ini.

Begitu kotornya tangan kamu kerana terpalit dengan dosa membunuh potensi bayi ini untuk seumur hidup mereka dengan memalukan mereka secara terang-terangan.

Apakah keseronokan yang kamu boleh kecapi dengan tidak membenarkan mereka di"bin"kan dengan nama bapa kandung mereka.

Apa tidak bolehkah kita berhujah dengan menjadikan kebajikan bayi-bayi ini sebagai fokus utama ? 

Mengapa perlu kita ikut para imam yang hidup di era dan negara yang berbeza dari kita ?

Perlukah bayi kecil ini menanggung dosa keterlanjuran yang ibubapa mereka lakukan ?

Bukankah bayi ini adalah sebahagian dari bangsa kita ?

Sebahagian dari generasi hadapan Malaysia yang ditangan mereka terletak tanggungjawab mengharumkan nama negara ?

Berhentilah mengguna hujah bahawa nasab keturunan adalah penting kerana nanti wali dan perkahwinan akan menjadi tidak sah.

Bagaimanakah kamu berupaya menentukan sesuatu perkahwinan itu tidak sah, apa kamu mampu bertanya secara terus kepada Tuhan ? 

Sah atau tidak perkahwinan, kita yang menentukan melalui sistem undang-undang yang kita sendiri cipta.

Jika sekiranya kita mahu mengesahkan sesuatu perkahwinan itu dengan wali dari bapa luar nikah, maka kitalah yang mengatur undang-undangnya melalui akta dan peraturan yang digunapakai oleh pelbagai agensi, bukan orang lain. KITALAH YANG MENENTUKANNYA. 

Janganlah kaitkan Tuhan dengan sistem manusia. Ini hanyalah alasan untuk memundurkan diri kita.

A005

"Panggillah mereka mengikut nama bapa-bapa mereka; itu lebih adil di sisi Allah. Jika kamu tidak tahu siapa bapa-bapa mereka, maka mereka adalah saudara-saudara kamu dalam agama, dan peliharaan. Tidak salah ke atas kamu jika kamu buat kesilapan-kesilapan itu, melainkan apa yang di dalam hati-hati kamu rancangkan. Allah Pengampun, Pengasih" AQ 33:5

Para Pemikir Masyarakat Bangunlah !

Bangunlah dari tidurmu kerana dikala engkau terlena diulit keasyikkan yang tak berpenghujung, masyarakatmu menanggung defisit ketidakupayaan intelek kamu di dalam membuat keputusan.

Bangunlah para pemikir masyarakat, terutama kamu si pemuka agama ! Sedang kamu seronok dan asyik diulit lena pengetahuan palsumu itu bangsa dan masyarakat lain sedang membina teknologi tertinggi. Berupaya melonjak maruah bangsa mereka. Mereka amanah (iman) kepada alam, kepada masa, kepada masyarakat yang mereka hidup di dalamnya menjadikan mereka yang tertinggi dari orang lain yang menolak hakikat (fitrah, deen) ini.

A139

"Janganlah kamu bersikap lemah, dan janganlah (pula) kamu bersedih hati, padahal kamulah orang-orang yang paling tinggi , jika kamu orang-orang yang amanah (mukminina).” AQ 3:139


Sedang kamu berasa hebat berhujah mengenai perkara-perkara tahap tinggi seperti di bawah ini, masyarakat yang kamu gelar kafir sedang bersiap untuk menerobos langit, mengembara sehingga ke Planet Mars ke sempadan yang belum pernah ada manusia sampai.

Bangunlah sebelum masyarakat memilih untuk membiarkan kamu terus tidur ....

http://kehidupansatupersinggahan.blogspot.com/2017/06/ini-cara-cuci-kemaluan-yang-betul-kalau.html


http://www.mynewshub.cc/utama-sensasi/islam-benarkan-suami-jilat-kemaluan-isteri/

PEMIKIR.
Berbillion dana disediakan untuk menghasilkan penemuan ini. 


Ashwed