Monday 31 August 2015

Angin Perubahan

Apabila kita menyebut tentang perubahan sudah tentu maknanya secara am ialah kemahuan untuk bergerak dari suatu titik yang buruk kepada suatu titik yang lebih baik.

Biarpun begitu, ia bukanlah suatu keputusan yang pasti, kerapkali juga perubahan yang berlaku adalah lebih buruk dari sebelumnya seperti apa yang terjadi kepada "Arab Spring".

Ini adalah risiko yang perlu kita hadapi apabila bercerita tentang perubahan. Namun, secara dasarnya semua manusia mahukan perubahan ke arah yang lebih baik dari keadaan buruk yang mereka berada.

Demo Bersih

Pada hujung minggu ini saya mempunyai sedikit tugasan di ibu negara. Secara kebetulan, ia bertembung dengan Demo Bersih yang sudah masuk siri ke-4.

Seperti biasa, apa sahaja kejadian yang dihadapi oleh negara terutama jika ianya berkaitan dengan politik akan diikuti dengan penuh minat oleh rakyat negara ini. 

Trend terkini ialah kita rakyat Malaysia akan mengikuti dan membuat ulasan selari melalui grup-grup media sosial yang kita sertai seperti whatsapp, telegram, twiter dan facebook.

Maka kita pun berdiskusi sesama kita, ada yang menyokong dan ada yang membantah. Yang menyokong ada alasan masing-masing begitu juga dengan membantah.

Saya secara peribadi, tidak pernah mahu menghalang niat mana-mana kumpulan untuk berhimpun menyatakan pendirian mereka kerana ianya adalah hak asas mana-mana individu yang menjadi rakyat Malaysia. Asalkan ianya aman tidaklah ia menjadi hal.

Walaubagaimanapun, saya amat merasa terganggu apabila ada orang yang berhujah bahawa Demo Bersih adalah mengenai perubahan.

Pada saya ianya sekali-kali tidak, Demo Bersih dari siri 1 hingga 4, begitu juga dengan demo-demo lain yang seringkali berlaku di Jalan Tunku Abdul Rahman sehingga ke Dataran Merdeka (sebenarnya ini sahajalah laluan yang dijadikan tempat meluahkan perasaan, mengapa tidak di adakan di tempat lain masih menjadi suatu misteri) seperti demo reformasi dan lain-lain tidak pernah dilakukan dengan niat inginkan perubahan.

Ianya berlaku kerana ada satu kumpulan ahli politik mahu merebut kuasa dari kumpulan ahli politik yang lain. 

Itu sahaja asasnya. Ianya tidak pernah bertukar sejak dari pertama kali ia di adakan.

Penganjur silih berganti dan menyediakan pelbagai alasan apabila ditemuduga. Tetapi, ia tidak pernah dapat menutup niat sebenar mereka iaitu untuk merebut kuasa. 

Dengan bahasa yang lebih mudah, ianya tiada niat lain selain dari mahu menumbangkan Parti UMNO dan rakan-rakannya yang sedang menguasai negara kita sejak sekian lama. 

Asal sahaja bukan UMNO dan rakan-rakannya pada mereka ianya adalah perubahan.

Sesungguhnya, bukanlah saya mahu menjatuhkan semangat anda, tetapi sebenarnya ahli politik biar di dalam parti mana pun mereka berada, mereka adalah spesis yang sama.

Sudah sekian lama kita rakyat Malaysia di tipu oleh spesis ini.

Kepelbagaian watak seperti ada yang berjanggut, berjubah, berserban, ada yang memakai baju buruk untuk menunjukkan zuhud, ada yang berpakaian kemas, ada yang memakai pendakap leher dan lain-lain hanyalah lakonan semata-mata.

Mereka menubuhkan pelbagai Parti dengan ideologi masing-masing. Ada yang memanggil diri mereka UMNO, MCA, MIC, GERAKAN, PAS, PKR, DAP dan lain-lain lalu mereka menjual ideologi ini kepada kita. 

Mereka seringkali menyatakan, perjuangan merekalah yang paling benar. Sambil itu mereka memukul gendang propaganda kumpulan mereka. Namun, disebalik semua ini, hasrat mereka yang utama ialah KUASA. Itu sahaja.

Cuba anda semua fikir, adakah anda merasa anda telah berubah jika sekiranya anda menukar Parti dan pemain di dalamnya sedangkan permainannya masih menggunakan peraturan yang sama ?

Adalah tidak munasabah jika sekiranya anda yang memanggil diri anda berpelajaran tinggi dan mahukan perubahan.  Tetapi masih tidak menyedari bahawa menukar parti dan pemain yang ada tidaklah mengubah permainan yang mereka main.

Sesungguhnya, anda yang berpelajaran tinggi, apabila berdiskusi mengenai politik sebenarnya saling tidak tumpah seperti Mak Jemah yang bergosip sesama jiran tetangganya. 

PM pecah amanah, Ketum PKR 'gay', Nazri Aziz rasis, Mat Sabu berkhalwat, UMNO rasuah, DAP Chauvinis dan lain-lain. Hakikatnya, ini bukanlah diskusi perubahan. Ini adalah gosip. 

Perubahan Politik


Apabila kita mahukan perubahan politik. Perubahan yang sebenar adalah menukar sistem demokrasi yang menjadikan ia begitu busuk kini. Iaitu Sistem Westminster dengan platform kepartian.

Ini baru dinamakan perubahan. Ia perlu ditukar dengan Sistem Demokrasi baru yang mengikut acuan kepelbagaian kaum masyarakat Malaysia. Tamatkan permainan mereka. Buat permainan baru. 

Oleh kerana kita sudah masak dengan strategi kotor pemain-pemain ini maka kita buatlah peraturan untuk mengekang strategi tersebut. 

Kita juga boleh menghalang mana-mana pemain yang terkenal bersikap buruk dari bermain permainan baru yang kita cipta ini.

Sesungguhnya, Sistem Demokrasi yang kita amalkan selama hari ini dicipta oleh seorang berbangsa Eropah yang tiada kena mengena dengan kita.

Negara beliau berbeza serba serbi dengan negara kita. Negara mereka beriklim sejuk. Kita panas. Mereka makan cheese. Kita makan belacan. Mereka berambut perang. Kita berambut hitam.

Mungkin sistem ini menepati ciri-ciri negara dan masyarakat mereka tetapi ia tidak semestinya menepati ciri-ciri negara kita. 

Oleh itu, jika anda inginkan perubahan politik perkara yang wajib kita ubah ialah sistem yang mengasaskannya. Bukan pemainnya.

Perubahan Sebenar

Sesungguhnya perubahan yang benar-benar diperlukan oleh rakyat Malaysia ialah perubahan nilai diri kita sendiri.

Perubahan ini tidak memerlukan kita berdemo menjadi pak turut kepada agenda orang lain.

Perubahan ini juga tidak memerlukan kita mengangkat sepanduk mengutuk orang lain yang tidak kita kenali dan pasti benar dia telah melakukan kesalahan.

Begitu juga, ia tidak memerlukan kita mendaftar diri untuk menyertai perjuangan ideologi kepartian.

Perubahan ini adalah mengubah pendirian kita mengenai sesuatu dengan mengubah cara kita berfikir mengenainya.

Ia boleh dilakukan dari dalam selimut yang sedang anda tidur sekarang.

Contohnya ;

Kaum Pribumi esok bila bangun buanglah mentaliti mahu kejayaan dengan cara mudah. Berhentilah juga mengatakan kaum lain itu pendatang. Kita sudah hidup bersama beratus-ratus tahun. Mati hidup di sini. Sudah tentulah kita adalah rakyat bumi ini.

Orang Cina dan India pula hentikanlah prejudis yang mengatakan kaum pribumi pemalas, perasuah dan hanya suka subsidi. Majoriti kami bukanlah begitu.

Begitulah seterusnya kita membuang nilai-nilai buruk yang selama ini membelenggu pemikiran kita.

Nilai-nilai buruk inilah yang menjadikan kita bergolongan atau syi-ya-an di dalam Bahasa Al Quran. 

Bergolongan adalah perbuatan mempersekutukan Tuhan. Apabila kita mempersekutukan Tuhan kita tidak akan berjaya sebagai bangsa Malaysia.

 A031

"Dengan kembali bertaubat kepada-Nya dan bertakwalah kepada-Nya serta dirikanlah iltizam (wa-aqeemus-solla) dan janganlah kamu termasuk orang-orang yang mempersekutukan Allah" AQ 30:31

A032

"iaitu orang-orang yang memecah-belah aturan hidup (deenahum) mereka dan mereka menjadi beberapa golongan (syi-yaa-an). Tiap-tiap golongan merasa bangga dengan apa yang ada pada golongan mereka" AQ 30:32

Bergolongan sebenarnya adalah amalan kerajaan yang zalim seperti Kerajaan Firaun ;


إِنَّ فِرۡعَوۡنَ عَلَا فِي الۡأَرۡضِ وَجَعَلَ أَهۡلَهَا شِيَعًا يَسۡتَضۡعِفُ طَائِفَةً مِّنۡهُمۡ يُذَبِّحُ أَبۡنَاءهُمۡ وَيَسۡتَحۡيِي نِسَاءهُمۡ إِنَّهُ كَانَ مِنَ الۡمُفۡسِدِينَ (4)

"Sesungguhnya Firaun telah berbuat sewenang-wenangnya di muka bumi, serta dia menjadikan penduduknya bergolongan (syi-yaa-an). Dia menindas segolongan di antaranya dengan menyembelih anak-anak lelaki mereka dan membiarkan hidup anak-anak perempuan mereka. Sesungguhnya adalah dia dari golongan yang membuat kerosakan" AQ 28:4 

Syi-ya-an dalam bahasa politik moden ialah "Theory Divide and Rules". Jika anda berpendapat ianya hanya dilakukan oleh Parti Pemerintah, maka anda perlu berfikir panjang. Untuk membuang belenggu anda perlu menggunakan akal.
Untuk melakukan perubahan nilai kita perlu mendirikan Solla(h). Apakah sebenarnya maksud perkataan ini ?

Dalam soal mendirikan solla(h) semua kaum di Malaysia seharusnya belajar dari kaum Cina kerana pada pendapat saya secara amnya, kaum inilah yang benar-benar melakukan solla(h) dengan cara yang betul.

Apakah solla(h) yang saya maksudkan ? Ianya adalah seruan yang sama diutuskan kepada semua para Nabi. 

Ianya adalah satu-satunya syariat yang wujud tidak pernah bertukar dari Nabi ke Nabi ;

A013

"Dia telah mensyari`atkan kamu tentang aturan hidup (minal-deeni) apa yang telah diwasiatkan-Nya kepada Nuh dan apa yang telah Kami wahyukan kepadamu dan apa yang telah Kami wasiatkan kepada Ibrahim, Musa dan Isa iaitu: Tegakkanlah aturan hidup (aqeemud-deena) dan janganlah kamu berpecah belah tentangnya. Amat berat bagi orang-orang musyrik aturan hidup yang kamu seru mereka kepadanya. Allah menarik kepada aturan hidup itu orang yang dikehendaki-Nya dan memberi petunjuk kepada orang yang kembali (kepada-Nya)." AQ 42:13

Syariat yang dimaksudkan oleh keterangan di atas termaktub dan terangkum di dalam perkataan solla(h).

Ianya adalah satu perkataan yang sangat besar maknanya. Namun, perkataan ini telah dijumudkan oleh golongan agamawan sehingga ia bertukar menjadi upacara ritual sahaja. 

MAKSUD SEBENAR SOLLA(H) ADALAH ILTIZAM ATAU KESUNGGUHAN. ILTIZAM MEMACU MANUSIA MENCAPAI KEJAYAAN.

Di zaman Nabi Ibrahim ;

 A037

"Ya Tuhan kami, sesungguhnya aku telah menempatkan sebahagian keturunanku di lembah yang tidak mempunyai tanam-tanaman dalam Sistem Engkau (Baiti-ka) yang dihormati, ya Tuhan kami (yang demikian itu) agar mereka mendirikan iltizam (li-yuqeemus-solla-wa-ta), maka jadikanlah hati sebagian manusia cenderung kepada mereka dan beri rezekilah mereka dari buah-buahan, mudah-mudahan mereka bersyukur" AQ 14:37
 

Solla(h) Nabi Ismail,

A054 

"Dan bacakanlah (wahai Muhammad) di dalam Kitab (Al-Quran) ini perihal Nabi Ismail; sesungguhnya ia adalah benar menepati janji dan adalah ia seorang Rasul, lagi berpangkat Nabi" AQ 19:54


A055
"Dan adalah ia menyuruh keluarganya mengerjakan iltizam (bis-solla-wa-ti) dan memurnikannya (waz-zakka-wa-ti), dan ia pula adalah seorang yang diredhai di sisi Tuhannya!" AQ 19:55

Solla(h) Nabi Syuaib,

 A087

"Mereka berkata: "Wahai Syuaib! Adakah iltizam-mu (as-solla-wa-tuka) menyuruhmu perintahkan kami supaya meninggalkan apa yang disembah oleh datuk nenek kami, atau supaya kami lakukannya apa yang kami suka melakukannya dalam menguruskan harta kami? Sesungguhnya engkau (wahai Syuaib) adalah orang yang penyabar, lagi bijak berakal (maka bagaimana pula engkau menyuruh kami melakukan perkara yang bertentangan dengan kebiasaan kami)?" AQ 11:87

Solla(h) Nabi Musa,

 A087

"Dan Kami wahyukan kepada Musa dan saudaranya: "Ambillah olehmu berdua beberapa buah rumah di Mesir untuk tempat tinggal bagi kaummu dan jadikanlah olehmu rumah-rumahmu itu sebagai pusat (qiblat) dan dirikanlah olehmu iltizam (wa-aqeemus-solla) serta gembirakanlah orang-orang yang beriman" AQ 10:87
Solla(h) Nabi Isa ,

A030

"Ia menjawab:" Sesungguhnya aku ini hamba Allah; Ia telah memberikan kepadaku Kitab (Injil), dan Ia telah menjadikan daku seorang Nabi" AQ 19:30


A031
"Dan Ia menjadikan daku seorang yang berkat di mana sahaja aku berada, dan diperintahkan daku mengerjakan iltizam (bis-solla) dan memurnikannya (waz-zakka) selagi aku hidup" AQ 19:31


Solla(h) Nabi Muhammad,
A045
 

"Bacalah serta ikutlah (wahai Muhammad) akan apa yang diwahyukan kepadamu dari Al-Quran, dan dirikanlah iltizam (wa-aqeemis-solla) ; sesungguhnya iltizam (in-nas-solla) itu mencegah dari perbuatan yang keji dan mungkar; dan sesungguhnya mengingati Allah adalah lebih besar (faedahnya dan kesannya); dan (ingatlah) Allah mengetahui akan apa yang kamu kerjakan" AQ 29:45
Kesemua keterangan di atas menuntut para Nabi tersebut untuk melakukan perubahan. Perubahan tersebut memerlukan iltizam yang tinggi untuk di capai.
Sebagai contoh di dalam AQ 14:37 Nabi Ibrahim perlu bersungguh-sungguh merubah tanah yang tandus (Bakkah) menjadi suatu tempat yang makmur.
Perubahan ini perlu dilakukan dengan mengkaji dan melakukan strateji yang terancang serta kesungguhan/iltizam yang tinggi. Ia tidak boleh dicapai dengan melakukan upacara ritual.

Jika kita mahu membuat perbandingan di antara kaum di Malaysia, mungkin contoh Kedai Runcit ini boleh membantu ;

Kebanyakkan Kaum Pribumi (bukan semua, mereka yang berjaya tidak mengamalkan perbuatan sebegini) apabila membuka kedai runcit seringkali kita dapati kedai mereka tidak cukup stok. Bila minta sesuatu barang ia tiada. Tuan kedai pula terbiasa membuat muka sombong. Pertanyaan dijawab secara endah tidak endah.

Di Kedai Runcit Kaum Cina pula (juga bukan semua, yang tidak berjaya mengamalkan perbuatan seperti di Kedai Pribumi) apa sahaja barang yang kita minta mesti ada. Apabila kita masuk, tuan kedai membuat muka gembira, tersenyum melayan pelanggan. 

Jika anda pelanggan, kedai runcit manakah yang anda akan mengulang pergi ?

Sudah tentu di kedai runcit Kaum Cina tadi. Ia adalah kerana Tuan Kedai itu mendirikan kesungguhan atau iltizam atau solla(h). Beliau memastikan stok yang mencukupi. Beliau belajar cara-cara melayan pelanggan dengan betul. 

Mereka yang dengan yakin mendirikan kesungguhan/iltizam sudah tentu akan berjaya. Ianya telah diberitahu secara jelas di dalam Al Quran.

Kesimpulan

Oleh yang demikian, marilah kita rakyat Malaysia melakukan perubahan nilai.

Kaum yang sudah berjaya bantulah kaum lain yang kurang berjaya. Mereka ini adalah rakan sebangsa Malaysia anda.

Jika anda membantu kaum yang kurang berjaya, percayalah sudah tentu anda sendiri akan lebih berjaya dan maju dari sebelumnnya.

Kita juga tidak boleh menjadi bergolongan. 

Kita tidak akan berjaya jika masih merasa golongan sendiri lebih layak menerima habuan sedangkan golongan lain tidak.

Kita tidak boleh menjadi tamak dan mahu membolot segala-gala yang ada di negara kita ini.

Pendirian sebegini tidak akan menjadikan negara kita gemilang dan makmur setaraf dengan ketamadunan barat dan jepun.

Kita juga perlu meneroka potensi masing-masing semaksimum yang mampu.

Selamat Menyambut Hari Kemerdekaan dan Hari Malaysia.

Semoga kita berjaya menjadi bangsa Malaysia.

Ashwed

Friday 28 August 2015

Perkauman

Nota : Artikel kali ini akan berkisar sedikit mengenai dunia politik tanahair. Anda boleh berhenti membaca jika anda memang anti dunia politik. Sungguhpun begitu, rakyat Malaysia telah membuktikan bahawa kita mempunyai hobi bercerita mengenai politik di waktu lapang.

Apakah dia perkauman ? Bagaimanakah kita mengukur perkauman ? Adakah ia sama dengan Nasionalisma ?

Dari segi bahasa perkataan "perkauman" atau "racism" dalam Bahasa Inggeris digunakan untuk menerangkan sikap sesuatu kaum yang menganggap kaum mereka adalah yang paling unggul di antara kaum-kaum lain.

 rac·ism
ˈrāˌsizəm

t    the belief that all members of each race possess characteristics or abilities specific to that race, especially so        as to distinguish it as inferior or superior to another race or races.

Perkataan ini mula digunakan semenjak tahun 1930an.

Ini bermakna jika anda hidup pada tahun-tahun pra 1930an secara amnya anda tidak pernah membuat, bersubahat membuat, berfikir atau melayan kaum lain dengan cara perkauman.

Sebabnya adalah kerana perkataan ini belum digunapakai sebagai maksud yang kita fahami seperti sekarang ini. 

Bagi saya banyak terdapat contoh perkataan yang telah mengalami proses propaganda sesetengah pihak sehingga ia menjadi "kotor" dari pandangan psaikologi rakyat Malaysia.

Contohnya perkataan "Liberal". Perkataan ini pada asalnya merujuk kepada maksud seperti di bawah, iaitu seseorang yang progresif dan percaya kepada idea kemajuan ;


lib·er·al
ˈlib(ə)rəl
  1. 1.
    open to new behavior or opinions and willing to discard traditional values.

  2. 2.
    (of education) concerned mainly with broadening a person's general knowledge and experience, rather than with technical or professional training.
Mengapa saya memilih "perkauman" sebagai tajuk artikel saya pada kali ini.

Ianya adalah kerana saya berpendapat begitu ramai rakyat Malaysia sekarang ini terpengaruh dengan propaganda terbalik perkataan perkauman ini. 

Ianya sebenarnya menjadi senjata yang digunakan oleh parti-parti politik yang bermusuhan sesama sendiri untuk menembak musuh-musuh politik mereka.

Sehinggakan, apa sahaja yang cuba dibuat untuk memberi motivasi kepada kaum sendiri di anggap dan dituduh sebagai perkauman.

Adakah benar semua perkara dan agenda jika dibuat atas nama sesuatu kaum boleh dianggap sebagai perbuatan "perkauman" terhadap kaum yang lain ?

Asas Penubuhan Malaysia

Pertama sekali yang perlu kita semua akui ialah negara kita ini di dirikan dengan asas-asas kaum (bukan perkauman/rasisme). 

Iaitu Kaum Pribumi (Melayu/Kadazan/Iban/Bidayuh dll) berkongsi dengan kaum Cina dan India.

Tidak ada satu pun asas-asas penubuhan negara ini yang tidak menjurus kepada kaum. Ianya sangat jelas di dalam Perlembagaan Persekutuan Malaysia. 

Ingat. Perlembagaan Persekutuan adalah Undang-Undang Tertinggi Persekutuan Negeri-Negeri yang mahu memanggil diri mereka Malaysia.

Kita memperolehi kemerdekaan dari Sistem Feudal yang total kepada negara demokrasi berasaskan Raja Berpelembagaan juga dengan kekuatan asas-asas kaum.

Asas perkongsian kaum ini ialah melalui intergrasi. Kaum-kaum di Malaysia tidak pernah bersetuju untuk membuat proses asilimisasi. Inilah yang menjadi masalah utama kita. 

Adalah sukar untuk rakyat pelbagai kaum di Malaysia mahu memanggil diri mereka sebagai bangsa Malaysia seperti di Indonesia kerana kita tidak mahu mengasimilisasi diri kita menjadi satu bangsa.

Adalah sangat tidak munasabah jika kaum Cina dan India yang sudah beratus tahun tinggal di Malaysia. Lahir dan mati di sini tetapi masih mahu mengekalkan identiti negara asal mereka.

Pembohongan Parti Politik

Pernahkah anda terfikir adakah "kedamaian (Islam)" yang diperolehi oleh semua kaum rakyat Malaysia selama ini adalah salah kerana ia diperolehi dengan asas kaum ? 

Jika ianya salah mengapa kita, tanpa mengira kaum, mempunyai hak untuk bergerak di mana-mana sahaja di dalam Persekutuan Malaysia dengan bebas tanpa halangan (termasuk pendatang asing dari Indonesia, Bangladesh, Myanmar, China, Nepal dan India).

Bolehkah kaum bukan pribumi menyatakan bahawa mereka di halang untuk pergi ke sesuatu tempat di dalam Persekutuan Malaysia ini hanya kerana mereka bukan dilahirkan sebagai kaum pribumi ? 

Jika tidak, mengapa seringkali perkataan "perkauman" diangkat menjadi agenda perjuangan politik seolah-olah negara kita mengalami masalah perkauman yang sangat kronik seperti di Afrika Selatan.

Seringkali juga, kebanyakkan parti politik pembangkang memanggil sebuah lagi parti politik orang Melayu yang mendominasi dunia politik tanahair sebagai sebuah parti mengamalkan perkauman.

Tidakkah mereka terfikir bahawa Presiden parti inilah yang pada mulanya mengambil kaum-kaum lain yang bukan berasal dari bumi ini sebagai warganegara. Adakah ini perbuatan seorang yang mengamalkan perkauman ?

Kita perlu membezakan di antara agenda memajukan bangsa sendiri dengan perbuatan perkauman. Ianya sangat berbeza. 

Jika sekiranya kita terperangkap dengan propaganda sebegini maka amat sukar untuk kita mencapai kemajuan kerana jauh di sudut hati, kita sebenarnya mempunyai perasaan irihati dengan apa yang cuba dicapai oleh orang lain.

Saya percaya sebenarnya perkataan yang paling sesuai yang dicari-cari oleh rakyat Malaysia ialah "diskriminasi". Perbuatan ini lebih halus ciri-cirinya daripada perkataan "perkauman".

Diskriminasi boleh dilakukan oleh sesiapa dan kepada sesiapa sahaja. Di dalam Bahasa Arab, saya rasa perkataan yang paling sesuai ialah assobiyah. Di dalam Bahasa Inggeris pula konsep ini dipanggil chauvinism.

Misalnya, apabila mencari pekerjaan, seringkali kita membaca iklan peluang pekerjaan yang secara spesifik mahukan pemohon mempunyai kebolehan berbahasa Tiong Hua. Ini adalah diskriminasi kaum. Ia dilakukan secara halus.

Walaubagaiamanapun, sudah tentu ada pemohon dari keturunan lain yang boleh berbahasa Tiong Hua. Adakah syarikat tersebut mahu menerima pemohon dari keturunan lain yang fasih berbahasa Tiong Hua ?

Sesungguhnya tiada siapa tahu akan jawapannya kerana pada hakikatnya kaum keturunan lain seperti Melayu dan India tidak ambil pusing pun mengenai perkara ini.

Hanya mereka iaitu kaum Cina dan India yang menggotai Parti DAP sahaja yang seringkali menjerit bahawa kaum mereka menerima layanan perkauman dari Parti Pemerintah.

Yang peliknya rakan kaum Cina dan India mereka yang menganggotai Parti MCA, MIC dan GERAKAN tidak pula mengadu mereka dilayan secara perkauman.

ASSOBIYAH/CHAUVINISME/DISKRIMINASI

Inilah sebenarnya syi-ya-an yang diperkatakan di dalam Al Quran.

A159

"Sesungguhnya orang-orang yang memecah belah aturan hidup (deenahum) dan mereka menjadi bergolongan, tidak ada sedikitpun tanggung jawabmu (Nabi Muhammad Saw) kepada mereka. Sesungguhnya urusan mereka hanyalah terserah kepada Allah, kemudian Allah akan memberitahukan kepada mereka apa yang telah mereka perbuat " AQ 6:159

 A031

"dengan kembali bertaubat kepada-Nya dan bertakwalah kepada-Nya serta dirikanlah iltizam dan janganlah kamu termasuk orang-orang yang mempersekutukan Allah" AQ 30:31

A032

"yaitu orang-orang yang memecah-belah aturan hidup (deenahum) mereka dan mereka menjadi beberapa golongan. Tiap-tiap golongan merasa bangga dengan apa yang ada pada golongan mereka.

 A052

" Dan sesungguhnya kamu adalah satu ummat, dan Akulah Tuhan kamu; maka bertaqwalah kamu kepadaKu" AQ 23:52

 A053
"Kemudian mereka (pengikut-pengikut rasul itu) menjadikan agama mereka terpecah belah menjadi beberapa pecahan. Tiap-tiap golongan merasa bangga dengan apa yang ada pada sisi mereka (masing-masing)" AQ 23:53

Ianya paling besar dilakukan oleh manusia dengan membeza-bezakan diri dan kumpulan mereka  dengan yang lain melalui ;

1. Agama (paling meluas dan merbahaya)
2. Mazhab (juga merbahaya)
3. Parti Politik (boleh juga jadi merbahaya)
4. Kaum
5. Sub-kaum
6. Budaya 
7. Sub-budaya
8. Organisasi bawah tanah seperti gengsterisme dll
9. Kumpulan sukan, artis dll

Bagi orang-orang ini, terutama golongan agama, mazhab dan parti politik kumpulan merekalah yang benar. 

Bagi mereka hanya kumpulan mereka sahaja yang layak diberi balasan syurga.

Mereka mencipta standard piawaian sendiri. Mereka lupa bahawa tuan punya syurga adalah Tuhan. Sudah tentulah hanya piawaian Tuhan yang terpakai. 

Oleh kerana kita bukan Tuhan maka tiada siapa pun yang sebenarnya tahu apakah piawaian yang sebenar.

Saya sendiri tidak berani mengatakan bahawa jalan yang saya lalui inilah yang paling benar sebabnya adalah mudah, saya bukan Tuhan. Begitu juga para Nabi dan Rasul, mereka bukan Tuhan.

Saya tertarik dengan sinopsis sebuah buku yang ditulis oleh seorang ahli politik dari sebuah negeri di Pantai Timur. Komentar kepada buku ini ditulis saudara Ooi Kok-Hin seperti berikut ;

Nukilan Tok Guru Nik Aziz: Persaudaraan Manusia

Disebabkan saya tidak layak dan tidak berniat untuk mentafsir ayat-ayat TGNA, saya akan membiarkan kata-kata Tok Guru “bercakap dengan sendiri”.

Pemikiran TGNABerikut merupakan tanggapan Tok Guru Nik Aziz terhadap hubungan antara Muslim dan non-Muslim:

“Islam mengiktiraf prinsip persamaan dan kesatuan keturunan yang datang dari Adam dan Hawa. Islam datang bagi membebaskan manusia dari segala fahaman kebangsaan yang sempit. Manusia perlu keluar dari petak-petak buatan berasaskan bangsa, bahasa, dan suku kaum.”

“Kita semua Melayu, Cina, India, orang Amerika, orang putih, orang Asli, dan lain-lain adalah adik-beradik. Kita datang dari keturunan yang satu, iaitu ayah kita bernama Adam dan ibu kita bernama Hawa. Soal berapa ribu pupu kita ini, biarlah.

Sekiranya tuan-tuan kata nenek moyang kita bukan Adam dan Hawa, cuba beritahu saya. Sekiranya tidak jumpa jawapan, terima dahulu kenyataan ini.”

“Selama ini kita tidak berfikir menyebarkan Islam kepada bukan Islam. Selama ini tok-tok guru pondok kita hanya menyebarkan Islam kepada sesama orang Islam.

Meskipun PAS menolak pendekatan perpaduan dengan UMNO, tetapi bukan bermakna PAS mengenepikan tanggungjawab menyebar Islam.

Sebenarnya, perpaduaan melalui Pakatan Rakyat membuka ruang bagi PAS menyampaikan kebaikan Islam kepada pemimpin dan ahli parti Pakatan Rakyat yang bukan Islam.”

“Mengapa isu membenarkan bukan Islam masuk ke rumah ibadah agama Islam diperbesar-besarkan, sedangkan orang bukan Islam yang membina dan membuat mimbar masjid tidak dipersoalkan?”

“Tidak salah orang bukan Islam termasuk wanita masuk dalam masjid sama ada untuk berucap atau apa sahaja asalkan berpakaian sopan bagi bukan Islam dan menutup aurat bagi orang Islam.”

Sekali imbas, ramai yang begitu terpesona dan mengagumi tulisan ahli politik ini. Mereka merasakan pemikiran inilah yang paling benar.

Oleh kerana beliau menulis bahawa semua kaum adalah sama, maka pemikiran kita yang begitu diracuni oleh propaganda perkataan perkauman pun menjadi terpesona.

Tetapi tanpa mereka sedari, ahli politik ini secara halus meracun pemikiran syi-ya-an (bergolongan) kepada khalayak.

Mula-mula beliau membedakan manusia kepada pecahan utama iaitu sebagai muslim dan non-muslim. 

Agama pada pandangan beliau yang sempit membenarkan syi-ya-an (bergolongan). 

Sebab itulah beliau bertanggapan perlu ada proses penyebaran pemahaman aliran  "Islam" yang beliau anuti kepada non-muslim dan juga kepada muslim lain yang menganuti  aliran "Islam" yang berbeza dengan beliau.

Beliau merasakan bahawa kumpulan yang menggelar diri mereka muslim aliran yang beliau anuti sahaja yang layak mengatakan diri mereka benar.

Yang kedua beliau membahagikan lagi agama kepada pecahan yang lebih kecil iaitu pembahagian berdasarkan parti politik.

Pemikiran sebeginilah yang menyebabkan negara kita mengalami isu perpecahan yang sebegitu teruk. 

Rakyat Malaysia gagal menjadi satu kerana kita masih menyangka bahawa muslim lebih benar dari Kristian, Buddha dan Hindu. 

Ia menjadi semakin buruk, apabila kita merasakan parti politik ini lebih benar dari yang lain.

Ini adalah perasaan dengki yang begitu mendalam. 

Marilah kita mendalami keterangan di bawah ini dengan hati yang terbuka ;

A062

"Sesungguhnya orang-orang mukmin, orang-orang Yahudi, orang-orang Nasrani dan orang-orang Shabiin, siapa sahaja di antara mereka yang benar-benar beriman kepada Allah, Hari Kemudian dan beramal saleh, mereka akan menerima pahala dari Tuhan mereka, tidak ada kekhuatiran kepada mereka, dan tidak pula mereka bersedih hati" AQ 2:62

Janganlah anda merasakan bahawa diri anda sudah mempunyai pemikiran terbuka hanya kerana anda menjadi ahli sebuah Parti Politik berbilang kaum. Itu hanyalah tanggapan anda yang sempit.

Cuba anda jawab dahulu soalan di bawah.

Bolehkah anda secara ikhlas merasakan bahawa jiran sebelah menyebelah anda yang menganuti agama Hindu, Buddha, Kristian dan lain-lain juga boleh menerima balasan syurga seperti anda ?

NASIONALISMA

Semangat nasionalisma bukanlah perkauman. Ia hanyalah satu semangat untuk cinta kepada negara sendiri. 

Ahli politik yang saya petik seperti di atas gagal memahami konsep yang mudah ini sehingga ke akhir hayat beliau. Beliau menyangka nasionalisma adalah semangat perkauman.

Nasionalisma boleh digunapakai oleh semua kaum yang menjadi rakyat sesuatu negara.

Di dalam sejarah Malaysia, ramai kaum bukan pribumi yang mempunyai semangat nasionalisma yang tinggi. 

Dasar Ekonomi Baru, yang berjaya merapatkan jurang ekonomi di antara kaum bukanlah idea seorang Melayu.

Memang benar, Perdana Menteri Tun Abdul Razak adalah orang yang membuat pengumuman mengenainya.

Hakikatnya, idea kepada dasar ini keluar dari pemikiran seorang insan berbangsa India yang mencintai negara ini seikhlas hati beliau. 

Beliau bernama James Puthucheary (semoga rohnya dicucuri rahmat dan diletakkan bersama roh-roh yang mukhlis).

Beliau adalah seorang yang berfahaman komunis. Beliau faham benar akan diskriminasi kelas yang dipraktikkan di negara kita.

Terkejut bukan. Hakikatnya, sesuatu perkataan itu menjadi kotor dan hina dipemikiran kita adalah kerana mainan propaganda yang melampau. Perspektif kita diwarnakan dengan informasi-informasi ini.

Sekarang, adakah anda orang-orang yang memanggil diri anda Muslim boleh menerima apabila saya memohon supaya Tuhan merahmati roh James Puthucheary ? Sedangkan pemikiran beliaulah yang menyebabkan kita kaum pribumi mendapat biasiswa, pelajaran dan sekolah setaraf dengan kaum lain dengan percuma ?

Jika anda merasa ganjil, maka anda sebenarnya adalah seorang yang mengamalkan syi-ya-an. 

Anda tidak boleh menerima seorang yang beragama kristian, berfahaman komunis, tetapi adalah juga seorang nasionalis kelas pertama yang tidak pernah didendang.

Anda sedang mengamalkan diskriminasi/assobiyah/chauvinisme.

Inilah nilai buruk yang kita semua sebagai rakyat Malaysia perlu buang dari kamus hidup kita.

Semoga kita berjaya menjadi BANGSA MALAYSIA.

Ashwed

Wednesday 19 August 2015

Abra Cadabra - Jula Juli Bintang Tujuh



Selamat datang ke alam khayalan ... Di sini segalanya adalah magis ..

Untuk pengetahuan, Jula Juli Bintang Tujuh adalah nama sebuah filem lama hitam putih karya B.N Rao diterbtkan pada tahun 1959. Ia mengisahkan mengenai pengembaraan khayalan Puteri Tujuh Beradik di alam kayangan.

Antara Fantasi ..

Semua agama di dunia ini diasaskan daripada kepercayaan. Sebab itulah ia dikenali sebagai "faith". 

Asas kepada konsep kepercayaan adalah ia hanya perlu dipercayai oleh seseorang secara membabi buta tanpa perlu membuktikan kepercayaan itu.

Sebaliknya, kesemua Nabi termasuk Nabi Muhammad diutuskan untuk membawa kebenaran bukan kepercayaan.



A119
"Sesungguhnya Kami telah mengutusmu (Muhammad) dengan kebenaran; sebagai pembawa berita gembira dan pemberi peringatan, dan kamu tidak akan diminta (dipertanggung jawabkan) tentang penghuni-penghuni neraka" AQ 2:119

 
A070

"Atau (apakah patut) mereka berkata : 'Padanya (Muhammad) ada penyakit gila'. Sebenarnya dia telah membawa kebenaran kepada mereka, dan kebanyakkan mereka benci kepada kebenaran itu " AQ 23:70

Kebenaran boleh dibuktikan secara saintifik.

Sebagai contoh Tuhan menciptakan burung bersayap dan boleh terbang bebas di angkasa. 

Ulama' sebenar iaitu para saintis yang takutkan kekuasaan Tuhannya sudah tentu akan mengambil pelajaran dari bentuk biologi burung untuk dimanfaatkan di dalam kehidupan harian kita.

Akhirnya para Ulama' ini (diketuai oleh adik-beradik Wright) melalui pengamatan yang tajam mengenai Sunnatullah (Undang-undang Alam) serta iltizam (solat) dan dedikasi yang tinggi (zakka) telah berjaya mencipta kapal terbang berasaskan teknoloji burung pada tahun 1903.

                                       
                            Ini betul-betul...bukan cobaan

Inilah kebenaran yang dibawa oleh para Nabi. Ia diteruskan oleh para Ulama' (saintis). 

Dengan kebenaran ini para Nabi membawa berita gembira kepada umat mereka iaitu dengan menjadikan kehidupan umat mereka lebih mudah dari zaman sebelum mereka diutuskan.

Berbeza dengan kepercayaan yang dibawa oleh para agamawan. Ia tidak perlu dibuktikan secara saintifik. Cukuplah dengan menyatakan "Kalau tidak percaya bermakna kamu tidak beriman".

Untuk mempertahankan kepercayaan ini "Doktrin Tidak Boleh Mengguna Akal" di dalam hal agama diperkenalkan. Anda tidak dibenarkan berfikir untuk mempercayai alam khayalan ini.

Maka ramailah manusia yang berjaya dipesongkan dari jalan Allah (fi-sabil-lillah) oleh agamawan yang menolak Tuhan tetapi menerimapakai nilai-nilai dongeng 1001 malam sebagai pegangan hidup mereka. Mereka berada di alam khayalan.

Dan Realiti ..

Pun begitu, pada hakikatnya ramai manusia taksubkan mitos fiksyen ala Harry Potter ini. 

Mereka berada di sekeliling kita. Malah mungkin terdiri dari kaum keluarga terdekat kita.

Sebagai contoh, blog ini dan artikel-artikel di dalamnya telah dibaca lebih dari 10,000 kali oleh para pembaca yang budiman. 

Di sini, saya ingin mengambil kesempatan untuk mengucapkan terima kasih kepada anda semua kerana sudi membaca blog dan pemikiran saya. Semoga ianya membawa manfaat di dalam kehidupan anda.

Artikel yang paling ramai pembaca adalah sebuah artikel yang bertajuk "Isra' Mikraj - Dongengan Arab Dahulukala". 

Saya berpendapat, ianya jadi begitu kerana ramai yang mahu mengetahui apakah kisah disebalik kejadian paranormal yang mula diceritakan semenjak 1400 tahun dahulu. 

Kita semua secara tidak sedar, sebenarnya, adalah penggemar cerita-cerita magis dan paranormal.

Mengapakah kita orang Melayu sangat tertarik kepada cerita sebegini ? Sudah tentu ada sebab psaikologi yang menyebabkan ianya jadi begitu.

Saya berpendapat, ianya adalah kerana pada hakikatnya orang Melayu merasakan diri mereka lemah, kurang dapat bersaing dari segenap segi dengan bangsa-bangsa yang lain. 

Jalan mudah untuk kita merasa sedikit bangga ialah dengan mengada-adakan atau mempercayai cerita diluar kemampuan akal untuk menerimanya. Di mana, kita mengatakan bahawa hanya orang yang beriman sahaja dapat mempercayai cerita-cerita sebegini.

Lalu, kita secara sedikit demi sedikit merasa lega kerana kita akhirnya dapat memujuk diri kita bahawa dengan keimanan yang kita cipta mengikut piawaian sendiri ini, kita akan diterima untuk masuk ke syurga, bangsa lain tidak. Mereka masuk neraka.

Untuk pengetahuan semua. Mempercayai cerita sebegini bukanlah pra-syarat untuk kita diterima masuk ke dalam syurga Tuhan atau mendapat balasan kebaikan dari Tuhan.

Bangsa dan agama juga bukanlah pra-syarat untuk kita menerima balasan yang baik dari Tuhan.

Yang akan menerima balasan baik daripada Tuhan ialah orang-orang  percaya kepadaNYA, percaya kepada hari peraturan dan membuat amal saleh (usaha baik) ;


 A062

"Sesungguhnya orang-orang mukmin, orang-orang Yahudi, orang-orang Nasrani dan orang-orang Shabiin, siapa sahaja di antara mereka yang benar-benar beriman kepada Allah, Hari Kemudian dan beramal saleh, mereka akan menerima pahala dari Tuhan mereka, tidak ada kekhuatiran kepada mereka, dan tidak pula mereka bersedih hati" AQ 2:62


Jika anda masih mempercayai bahawa untuk masuk ke syurga anda mesti menganuti sebuah organisasi agama yang anda namakan sebagai Islam. Saya nasihatkan supaya anda merenung sedalam-dalamnya akan keterangan Tuhan ini ;

A111

“Dan mereka (Yahudi dan Nasrani) berkata: “Sekali-kali tidak akan masuk syurga kecuali orang-orang (yang beragama) Yahudi atau Nasrani" demikian itu (hanyalah) angan-angan mereka yang kosong belaka. Katakanlah: “Tunjukkanlah bukti kebenaranmu jika kamu adalah orang yang benar.” AQ 2:111

 A112

"(tidak demikian) bahkan barangsiapa yang menyerahkan diri kepada Allah, sedang ia berbuat kebajikan, maka baginya pahala pada sisi Tuhannya dan tidak ada kekhuatiran terhadap mereka dan tidak (pula) mereka bersedih hati.” AQ 2:112

Anda hanya perlu menambah selepas perkataan Yahudi dan Nasrani di AQ 2:111 dengan perkataan muslim untuk muhasabah diri.

Secara tidak sedar, kebanyakkan kita yang memanggil diri kita orang Islam menjadi angkuh seperti orang-orang beragama yahudi dan Nasrani di dalam lipatan sejarah.

Yang kita perlu lakukan ialah kita cuma perlu mengakui bahawa segala yang dirujuk oleh Tuhan di dalam Al Quran juga terpakai kepada kita. 

Sesudah kita mengakui ini, nescaya airmata kita akan mengalir dengan sendirinya apabila sedar bahawa kitalah yang Tuhan ceritakan sebagai kaum-kaum yang kafir itu selama hari ini di dalam Al Quran.

Di saat itu, kita akan menggeletar membaca keterangan-keterangan Tuhan di dalam al Quran.

Kemudian kita akan sedar bahawa yang Tuhan mahu kita perbuat ialah ini ;

A085

"Barangsiapa mencari aturan hidup (deenan) selain kedamaian (al islam)  maka sekali-kali tidaklah akan diterima daripadanya, dan dia di akhirat termasuk orang-orang yang rugi" AQ 3:85

Kritis 

Mari kita cabar sedikit keselesaaan pemikiran kita selama hari ini dengan berfikir secara kritikal.

Cuba anda semua lihat kepada gambar muka depan buku Harry Potter seperti di atas. 

Di dalam gambar tersebut Harry, si ahli sihir cilik, sedang menunggang seekor binatang dari jenis "Hippogriff" yang bernama Buckbeak. 

"Hippogriff" adalah binatang separuh helang (di bahagian kepala ke badan) dan separuh kuda (dari badan ke ekor). Dan ya, binatang ini boleh terbang.

Buku Harry Potter di klasifikasi di dalam kategori sains fiksyen. Maka orang ramai termasuk kita menerimanya sebagai dongengan.

Walaubagaimanapun, ia tidak menjadi begitu dongeng jika anda menganut agama Hindu. Penganut agama Hindu percaya kepada seekor binatang yang di panggil "Khamadenu".

Khamadenu adalah dewa lembu yang ajaib. Ia memberi si pemiliknya segala apa yang dihajati. Anda boleh dapati iconografi Khamadenu di kuil-kuil hindu serata Malaysia.

Ciri-ciri Khamadenu ialah berbadan lembu betina, tetapi mempunyai kepala manusia perempuan serta berbuah dada manusia. Mempunyai sayap seperti burung serta mempunyai dua ekor iaitu ekor lembu dan ekor burung cenderawasih (sejenis burung kayangan)

                         
                                     Patung khamadenu ini boleh di dapati
                                                      di Batu Caves. Macam pernah baca ciri-ciri
                                                      patung ini.

Di zaman ini para penganut Hindu mempercayai Khamadenu sebagai sebuah mitos sahaja. 

Tetapi, bagaimana di zaman dahulukala. Adakah ia dianggap mitos atau kepercayaan yang jika ditolak anda dianggap tidak beriman ?

Selain daripada itu, di dalam agama Hindu juga terdapat satu fakta yang boleh di dapati di dalam Kitab Mahabharata mengenai seekor kuda terbang, tujuh kepala bernama "Uchchaihshravas".

Binatang ini muncul semasa zaman "Samudra Manthan" atau "the churning of ocean milk". Iaitu proses kejadian dunia ini. Ianya ditunggang oleh dewa bernama Indra.

                                     
                              
                                 Uchchaihshravas dan Indra
                                

Di dalam lipatan sejarah adakah ini mitos atau kebenaran ? 

Mahabhrata adalah Kitab yang dikategori sebagai "smriti (memory"). Kitab ini setaraf dengan Kitab Hadis bagi orang Islam.

Beribu-ribu tahun selepas zaman kegemilangan Empayar Hindu, orang-orang Greek pula mencipta ketamadunan mereka.

Berikut adalah antara kepercayaan orang-orang Greek.




Ini adalah seorang perwira bernama Bellerophon. Dia menunggang seekor kuda sakti yang diberi nama Pegasus.

Mereka berjaya membunuh seekor raksasa hybrid bernama Chimaera.

Pada kita orang Islam, data ini adalah sahih dongeng kerana ia mengemukakan haiwan dan cerita yang tidak masuk akal.

Fikir balik, bagaimana pula dengan gambar dan cerita di bawah ;

                                 

Gambar di atas dilukis oleh orang-orang Turki dan Parsi. Ia adalah gambaran Nabi Muhammad sedang menunggang Buraq. 

Buraq di gambarkan oleh hadis sebagai binatang yang mempunyai ciri-ciri hybrid diantara kuda dan manusia perempuan. Ia bersayap dan boleh terbang.

Apabila ia terkena kepada batang hidung kita sekarang ia tidak menjadi begitu dongeng lagi bukan.

NOTA : Saya memohon maaf kerana terpaksa meletakkan gambar ini. Bukanlah niat saya untuk tidak menghormati Nabi Muhammad. Cuma perlu menegaskan point dan hujahan saya sahaja. Hakikatnya, gambar seperti ini wujud dan berada di merata-rata.

Di dalam kehidupan orang Melayu kita seringkali menganggap tokoh tertentu dengan ciri-ciri tertentu sebagai Ulama'.

Adakah kita masih mahu menganggap tokoh-tokoh ini sebagai seorang ulama' (berpengetahuan tinggi) jika mereka masih tidak boleh membezakan di antara alam khayalan dan alam realiti.

Bayangkan, jika anda ditanya oleh anak kecil anda yang berusia tidak sampai 5 tahun mengenai Santa Claus. "Ibu adakah Santa Claus akan datang bagi hadiah malam ini".  Sudah tentu anda akan tersenyum dan menerangkan bahawa Santa Claus tidak wujud ianya hanyalah khayalan.

Katakanlah anak anda sekarang sudah membesar dan sekarang berumur 40 tahun. Beliau datang kepada anda dan bertanya "Ibu adakah Santa Claus akan datang bagi hadiah malam ini". Saya percaya di saat itu anda akan menangis.

Pada awal tahun ini seorang tokoh "Ulama'" terkenal tanahair berasal dari Pantai Timur telah kembali ke rahmatullah (semoga Tuhan mencucuri rahmat ke atas rohnya dan meletak beliau bersama mereka yang mukhlis).

Upacara pengkebumian tokoh ini disiar secara langsung di kaca televisyen. Begitu ramai manusia hadir di upacara pengkebumian beliau.

Perdana Menteri Malaysia serta tokoh-tokoh politik yang lain juga hadir memberi penghormatan. Seorang Peguam di firma saya yang kebetulan berasal dari negeri yang sama turut meminta cuti separuh hari untuk melihat upacara ini. Saya membenarkan permohonan beliau.

Seorang lagi kawan peguam saya yang juga berasal dari negeri yang sama juga tidak mahu ketinggalan. Malah, berkesempatan untuk memayung keranda jenazah tokoh ini. Beliau menghantar gambar-gambarnya ke whatsapp group kami.

Pada malamnya setelah pulang dari kerja. Saya berkesempatan melihat berita tersebut. 

Satu sahaja perkara yang terdetik di benak saya. 

Orang ini begitu dihormati semasa hayatnya. Ramai orang menggelarnya ulama'. Begitu ramai juga yang hadir ke upacara pengkebumiannya. Bagi mereka beliau mempunyai "Ilmu" yang tinggi. 

Namun, beliau sehingga mati mempercayai ada seekor kuda dengan wajah perempuan terbang membawa seorang manusia untuk berjumpa dengan Tuhan.

Fikir dalam-dalam, adakah kita masih mahu menganggap beliau mempunyai "ilmu" yang tinggi jika di saat kegemilangannya beliau bertanya kepada kita "Adakah Santa Clause akan datang bagi hadiah malam ini".

Kesimpulan -Teori Evolusi Lamarckian

Baru-baru ini saya berkesempatan membaca Teori Evolusi Lamarckian.

Lamarckian adalah seorang saintis dan zoologist yang hidup sezaman dengan Charles Darwin. Nama penuh saintis ini ialah Jean Baptiste Lamarck (1744-1829).

Beliau mengutarakan satu teori evolusi untuk menjadi "supplement" kepada Teori Evolusi Darwin.

Antara yang penting di dalam kesimpulan Lamarck adalah Theori Use and Disuse yang boleh diringkaskan kepada dua peraturan ini ;

  1. First Law. In every animal which has not passed the limit of its development, a more frequent and continuous use of any organ gradually strengthens, develops and enlarges that organ, and gives it a power proportional to the length of time it has been so used; while the permanent disuse of any organ imperceptibly weakens and deteriorates it, and progressively diminishes its functional capacity, until it finally disappears. 
  2. Second Law. All the acquisitions or losses wrought by nature on individuals, through the influence of the environment in which their race has long been placed, and hence through the influence of the predominant use or permanent disuse of any organ; all these are preserved by reproduction to the new individuals which arise, provided that the acquired modifications are common to both sexes, or at least to the individuals which produce the young.
Secara ringkas, Teori Use and Disuse adalah proses evolusi di mana semua haiwan dan manusia akan menambahbaik organ-organ yang sering mereka gunakan. Dan sebaliknya membuang organ-organ yang tidak selalu mereka gunakan.

Sebagai contoh, seekor zirafah, oleh kerana seringkali perlu makan pada pohon-pohon yang tinggi. Akhirnya leher mereka berevolusi, memanjang untuk kemudahan zirafah memakan daun-daun di pohon yang tinggi.

Zirafah mengekal serta menambahbaik organ leher ini. Mereka berevolusi.

Begitulah juga sebaliknya. Jika kita tidak menggunakan sesuatu organ, menurut teori Lamarckian, organ ini akan dibuang dari sistem tubuh.

Apa mungkinkah, oleh kerana terlalu percaya kepada "Doktrin Tidak Boleh Mengguna Akal" semenjak 500 tahun lepas, kita, orang Melayu sudah kehilangan organ akal kita ?

Mungkinkah ini yang menyebabkan kita kekurangan kreativiti dan daya saing jika dibandingkan dengan bangsa-bangsa yang lain sehingga kita mudah percaya kepada cerita tahyul tanpa mahu mencari kebenaran.

Anda sahaja yang boleh menjawab persoalan ini. Tiada siapa yang boleh merubah diri kita kecuali kita sendiri.

Ashwed