Friday 29 April 2016

Hidup Sesudah Mati

Artikel ini di tulis sekadar sebuah teori santai. Ia di tulis berdasarkan pemerhatian di dunia kehidupan ini sahaja. Saya tidak mempunyai pengalaman mengalami hidup sesudah mati. Apa sahaja yang saya tulis dan simpulkan di sini hanyalah suatu bentuk persangkaan.

Beberapa bulan yang lalu saya pernah menulis mengenai Svarga dan Naraka. Anda boleh baca mengenainya di sini http://ashwed1973.blogspot.my/2015/11/syurga-neraka-dan-ungkapan-aku-tidak.html

Di dalam artikel tersebut saya menerangkan bahawa ianya ditulis khas untuk seorang sahabat yang terlantar di Wad High Dependancy Unit.

Sahabat saya itu sebenarnya di diagnos dengan tumor otak. Beliau menjalani lebih dari 8 kali pembedahan otak dan berada di dalam keadaan koma semenjak bulan November tahun lalu.

Namun begitu, segala puji bagi Tuhan, beliau kembali sedar pada awal bulan Mac tahun ini dan kini sedang menjalani pemulihan di rumah.

Semenjak terlantar, saya sering melawat beliau dan mengikuti perkembangannya secara dekat. 

Oleh kerana saya mendapati memori beliau tidak terjejas, maka baru-baru ini saya mengambil kesempatan bertanya mengenai pengalaman beliau semasa berada di dalam keadaan koma.

Untuk pengetahuan, sahabat saya ini juga pernah mengalami serangan jantung setahun sebelum beliau di diagnos dengan tumor otak. Kejadian ini juga menyebabkan beliau pengsan beberapa ketika.

Mendengar pengalaman beliau sambil makan tengahari tempohari mengingatkan saya satu persatu mengenai alam kematian seperti yang diterangkan oleh Al Quran.

Biarpun maklumat mengenai alam kematian amat sedikit diterangkan di dalam Al Quran. Namun, ia menguatkan teori saya mengenai isu ini.

Secara kebetulan saya juga mengenali seorang sahabat lelaki berbangsa German. Beliau berkahwin dengan seorang wanita rakyat tempatan. 

Beliau seorang ahli fizik. Kami sama-sama mengkaji Al Quran dan seringkali berbincang mengenai Al Quran apabila berkesempatan berjumpa.

Pada awal tahun ini, sahabat saya itu, mengalami kemalangan jalanraya sewaktu menunggang motorsikal berkuasa tinggi.

Beliau kini sedang di dalam proses pemulihan di rumahnya.

Semasa kejadian, beliau hilang kesedaran dan hanya kembali sedar semasa berada di hospital.

Saya kini mempunyai dua subjek untuk dijadikan asas pemerhatian. 

Namun, saya sedar sekadar dua kes ini tidak boleh dijadikan batu asas kepada sebuah teori yang kukuh

Pun begitu, ia cukup menarik untuk dijadikan sumber bahan penulisan saya bagi artikel kali ini.

Dimensi Gelap

Kedua-dua sahabat saya ini memberitahu perkara yang sama. 

Mereka tidak dapat mengingati apa-apa semasa hilang kesedaran diri.

Masa seolah-olah terhenti dan apabila sedar barulah masa kembali berfungsi.

Mereka hanya dapat mengingati perkara yang terjadi sebelum mereka hilang kesedaran diri. Lantas kembali mempunyai memori apabila mereka tersedar.

Apa yang terjadi di antaranya seolah-olah satu dimensi gelap yang tidak dapat dikongsi walaupun sekadar sekelumit informasi.

Ia menyebabkan masing-masing menyangka bahawa kejadian yang menimpa mereka seolah-olah baru terjadi.

Menurut Al Quran alam kematian di samakan dengan tidur. 

Bezanya ialah semasa tidur kita kembali terjaga dengan semua organ yang masih berfungsi sementara mereka yang sudah mati mereka tidak lagi boleh kembali sedar kerana organ-organ kesemuanya sudah tidak berfungsi.

 A042

"Allah mematikan jiwa ketika kematian mereka, dan yang belum mati, dalam tidurnya; Dia menahan yang kepadanya Dia telah tentukan kematian, tetapi Dia utuskan yang lain hingga satu tempoh yang dinyatakan. Sesungguhnya pada yang demikian itu adalah tanda-tanda bagi kaum yang memikirkan" AQ 39:42

A060

"Dia yang matikan kamu pada malam hari, dan Dia tahu apa yang kamu kerjakan pada siang hari, kemudian Dia bangkitkan kamu padanya supaya satu tempoh yang telah dinyatakan disempurna; kemudian kepada-Nya kamu kembali, lalu Dia beritahu kamu apa kamu buat" AQ 6:60

Meneliti keterangan-keterangan Al Quran mengenai kematian, saya dapati bahawa kesemua manusia merasakan tempoh di antara kematian dan kebangkitan semula sangat singkat.

Ini bermakna kesemua manusia tidak kiralah jika dia mati sejuta tahun dahulu dengan mereka yang mati sejam sebelum hari kebangkitan, berkemungkinan besar merasai tempoh kematian yang serupa iaitu singkat seolah-olah hanya sesaat atau satu hari atau sebahagian hari. 

A259

"Atau, seperti orang yang melalui sebuah bandaraya yang telah roboh di atas junjung-junjungnya. Dia berkata, "Bagaimanakah Allah hidupkan ini setelah ia mati?" Maka Allah matikannya seratus tahun, kemudian Dia bangkitkannya kembali, dengan berkata, "Berapa lamakah kamu tinggal?" Dia berkata, "Saya tinggal sehari, atau sebahagian hari." Berkatalah Dia, "Tidak, kamu telah tinggal seratus tahun. Lihatlah pada makanan dan minuman kamu - ia tidak basi, dan lihatlah pada keledai kamu. Begitulah Kami buat kamu satu ayat bagi manusia. Dan lihatlah pada tulang-tulang, bagaimana Kami akan susunkannya, dan kemudian kelubunginya dengan daging." Maka, apabila telah jelas kepadanya, dia berkata, "Saya tahu bahawa Allah berkuasa atas segala sesuatu." AQ 2:259

 A045

"Dan pada hari Dia kumpulkan mereka, seakan-akan mereka tidak tinggal melainkan sesaat daripada siang hari; mereka saling berkenalan antara mereka; rugilah orang-orang yang dustakan pertemuan dengan Allah, dan mereka bukanlah orang-orang yang dapat petunjuk" AQ 10:45

Kesemua informasi Al Quran ini memungkinkan timbulnya satu dilema besar di dalam kehidupan manusia Islam di seluruh dunia.

Di manakah kita mahu meletakkan informasi alam barzakh yang selama ini kita percaya secara turun temurun itu ? 

Akan hilangkah jawatan Malaikat yang di gelar sebagai Munkar dan Nakir ?

Bagaimana pula dengan ular besar seperti di dalam siri tanah kubur ? Adakah ini semua wujud ?

Dengan keterangan Al Quran seperti di atas, juga melalui pengalaman yang kedua sahabat saya alami, maka kini kita bolehlah membuat kesimpulan bahawa alam barzakh itu tidak wujud.

Dengan informasi ini, kita juga boleh membuat kesimpulan bahawa jarak di antara kita dengan hari kebangkitan berkemungkinan besar hanya di batasi dengan satu kematian.

Persoalan besar yang perlu kita tanya kepada diri kita dan selama ini menjadi misteri ialah sudah berapa kalikah sebenarnya kita mengalami kematian ?

Al Quran secara konsisten bercerita mengenai dua kematian ;

 A028

"Bagaimanakah kamu boleh tidak percaya kepada Allah memandangkan kamu adalah orang-orang yang mati, lalu Dia hidupkan kamu, kemudian Dia matikan kamu, kemudian Dia hidupkan kamu, kemudian kepada-Nya kamu dikembalikan?" AQ 2:28

 A066

"Dia yang hidupkan kamu, kemudian Dia matikan kamu, kemudian Dia hidupkan kamu. Sesungguhnya manusia tidak berterima kasih" AQ 22:66

 A011

"Mereka berkata, "Wahai Pemelihara kami, Engkau matikan kami dua kali, dan dua kali Engkau hidupkan kami; dan kami akui kesalahan-kesalahan kami. Adakah sebarang jalan untuk keluar ?"  AQ 40:11

Pernahkan anda cuba kembali kepada alam sebelum anda dilahirkan ? 

Apakah yang anda boleh rasai ? Gelap ? Tiada apa-apa ? Tiada koleksi memori ?

Pada saya itulah Zat Asal kita. Ketiadaan. 

Ketiadaan sangat sinonim dengan kegelapan. http://ashwed1973.blogspot.my/2016/01/demi-masa-dan-kegelapan.html

Akhir sekali, apabila Al Quran bercerita mengenai kebangkitan semula, pernahkah anda terfikir adakah kita nanti dibangkitkan semula sebagai diri kita atau sebagai satu entiti lain ?

Kebanyakkan manusia dikebumikan di dalam tanah. 

Bukankah dari tanah tumbuh pelbagai tanaman ? Tanaman itu pula di makan oleh haiwan ternakan.

Daging dan susu dari haiwan ternakan ini pula dihidangkan kepada ibu-ibu yang mengandung. 

Akhirnya ibu-ibu yang mengandung ini melahirkan manusia seperti anda dan saya.

Mungkinkah penganut Hindu sudah lama menguasai pengetahuan mengenai hal ini melalui konsep reincarnation ?

Lagipun bukankah kepada merekalah pengetahuan mengenai dharma pertama kali diilhamkan. Bukankah mereka yang mula-mula mencipta agama ?

Hanya Tuhan Yang Maha Mengetahui.

Ashwed 

Monday 25 April 2016

The Ultimate Truth

Saya ingin memohon maaf kerana mengambil masa yang agak lama untuk kembali menulis.

Komitmen kerja tidak mengizinkan untuk saya menaip buah fikiran mengenai perkara seperti pada tajuk artikel ini.

Apakah dia the ultimate truth atau kebenaran hakiki ?

Arithmatic

Untuk menerangkan perkara ini, izinkan saya mengambil contoh perkiraan mudah sekolah rendah ;

2 + 2 = 4 @ Dua campur Dua bersamaan dengan 4.

Kebenaran hakiki ialah sesuatu yang tiada jawapan lain boleh dikaitkan dengan persoalan yang dikemukakan.

Yang berbeza hanyalah tajuk dan bahasa untuk kita mencapai jawapan kepada persoalan ini. 

Untuk perkiraan di atas mereka yang berbahasa Inggeris akan mengenali tajuk kepada persoalan dan jawapan ini sebagai Mathematic.

Mereka yang berbahasa Melayu mengenalinya sebagai Ilmu Kira-Kira atau Ilmu Hisab.

Bangsa Cina mungkin mengenalinya sebagai Shuxue. India Ganit. Manakala orang-orang Jepun mengenalinya Sugaku No (saya mungkin silap di dalam mengenal pasti nama-nama ini).

Biarpun nama-nama yang berbeza, namun setiap ketamadunan yang pelbagai ini membuat kesimpulan bahawa nilai dua bila di tambah dengan nilai yang sama iaitu dua, pertambahannya akan berjumlah empat.

Bagaimanakah kesemua ahli fikir dan kaji selidik di dalam bidang matematik kepada setiap ketamadunan ini dapat membuat kesimpulan yang sama iaitu 2 +2 = 4.

Ianya dapat disimpulkan dengan membuat pemerhatian atau observation ke atas nilaian ini. 

Selepas membuat pemerhatian barulah suatu kesimpulan dapat di capai. 

Dan oleh kerana tiada kesimpulan lain boleh dicapai kepada permasalahan ini maka bolehlah kita katakan dengan selamat bahawa ini adalah KEBENARAN HAKIKI atau THE ULTIMATE TRUTH.

Realiti Kehidupan
Sekarang mari kita terapkan teori ini ke dalam realiti kehidupan.

Seperti yang kita semua ketahui, lebih daripada 90 peratus manusia di dunia ini mempunyai agama yang menjadi amalan kehidupan mereka.

Cuba senaraikan seberapa banyak agama yang anda tahu namanya dan serba sedikit theologinya. 

Islam, Judaism, Hindu, Buddha, Kristian, Zoroaster, Yazidi, Taoism, Shinto, Bahai senarainya pasti akan menjadi berjela-jela.

Di dalam kesemua agama ini, yang mana satukah pada firasat anda membawa KEBENARAN HAKIKI ?

Jika anda mengemukakan persoalan ini kepada para penganut kesemua agama ini, pasti mereka mengatakan bahawa agama yang mereka percayalah membawa kebenaran hakiki.

Akibatnya mereka sanggup berbunuh dan berperang untuk menyatakan perkara ini. Hakikatnya adakah ia begitu ?

Para pembaca yang saya hormati, kita sekarang berada di dalam sebuah dunia yang dikenali sebagai KEHIDUPAN.

Ini adalah hakikat yang perlu kita sedari.

Untuk itu, apa yang perlu kita buat ialah perhati atau observe mengenai dunia kehidupan yang kita lalui kini untuk mencari KEBENARAN HAKIKI.

Pemerhatian

Ambil satu persoalan mudah mengenai kehidupan, perhatikan melalui teropong pelbagai agama kemudian seterusnya buat kesimpulan dengan meneliti dari sudut semua agama. 

Adakah kita akan mencapai kesimpulan yang sama ?

Jika ya, itulah KEBENARAN HAKIKI yang kita cari-cari. 

Sebagai contoh : Jika kita perhatikan kesemua agama mengenengahkan ritual masing-masing.

Katalah Agama A ada Ritual A. Agama B dengan Ritual B dan Agama C dengan Ritual C.

Masing-masing mengatakan bahawa ritual-ritual ini diperintahkan oleh Tuhan atau Zat yang lebih besar dari manusia mengikut kepercayaan masing-masing.

Bagi kegunaaan artikel ini, saya mengambil contoh realiti kehidupan mengenai bagaimana mahu menjadi berjaya menurut pandangan agama. 

Agama A sarankan Ritual A = berjaya

Agama B sarankan Ritual B = berjaya

Agama C sarankan Ritual C = berjaya

Untuk mendapat Kebenaran Hakiki kita perlu perhatikan di dalam agama yang manakah penganutnya seratus peratus berjaya. 

Ingat ! Kebenaran hakiki ialah satu keadaan yang kita tiada jawapan lain yang boleh dikaitkan selain mengatakan ianya adalah benar.

Pasti kita akan dapati bahawa di dalam setiap agama ada kumpulan yang berjaya dan ada pula kumpulan yang gagal.

Oleh yang demikian, kita bolehlah buat kesimpulan bahawa tiada ritual yang benar secara hakiki.

Sekarang, oleh kerana kita dapati tiada ritual yang benar secara hakiki, apa kata kita ambil pula beberapa orang yang tidak percayakan ritual.

Adakah orang-orang yang tidak percayakan ritual kesemuanya berjaya ? 

Untuk mereka yang menganut agama Islam, saya pasti jika merenung di sekeliling sudah tentu anda dapat melihat sanak saudara yang malas "solat" di rumah apatah lagi ke "masjid".

Adakah mereka ini semua berjaya ? Ada yang berjaya ada yang tidak, bukankah begitu ?

Oleh yang demikian, tidak membuat ritual juga bukanlah jawapan hakiki untuk persoalan kepada bagaimana mahu berjaya.

Oleh yang demikian, persoalan bagaimana mahu berjaya melalui pandangan agama gagal dibuktikan secara hakiki.

Jawapan kepada kebenaran hakiki yang kita cari boleh di perhatikan melalui perkara yang ada pada kesemua orang yang berjaya. 

Persamaan inilah yang menyebabkan mereka berjaya.

Bagi saya persamaan yang ada pada kesemua orang yang berjaya ialah suatu nilai dan sikap yang sama iaitu USAHA.

Jikalah saya boleh tuliskan ianya dalam bentuk formula mungkin ia menjadi sebegini ;

Percaya Ritual + Usaha = Berjaya

Tidak Percaya Ritual + Usaha = Berjaya

Percaya Ritual - Usaha = Gagal

Tidak Percaya Ritual - Usaha = Gagal

Kesimpulan

Kesimpulan yang kita boleh dapati dari kaji selidik ini ialah :-

a. Untuk mencari kebenaran hakiki kita perlu memerhati
b. Untuk berjaya kita perlu berusaha ; dan
c. Kebenaran Hakiki tidak boleh ditemui menerusi saluran agama

Seandainya kita mempercayai ritual seratus peratus - 

yang Islam buat solat seribu rakaat sehari, yang Hindu buat pooja setiap hari, yang Judais  mengangguk-angguk di hadapan tembok menangis dengan sejuta kali anggukan manakala yang kristian hari-hari melakukan ritual sacraments .. tetapi mereka tidak berusaha untuk keluar rumah dan mencapai impian maka impian mereka hanya tinggal mimpi. Garis mula pun mereka tidak nampak.

Begitu juga jika jika kita langsung tidak mempercayai ritual pula -

yang Islam tidak pernah membuat ritual "solat" walaupun satu rakaat, yang Hindu langsung tidak pernah membuat ritual pooja seumur hidup, yang Judais langsung tidak pernah mengangguk di hadapan tembok batu dan yang kristian langsung tidak pernah melakukan ritual sacraments seumur hidupnya .. tetapi mereka tidak berusaha untuk keluar rumah dan mencapai impian maka impian mereka hanya tinggal mimpi. Garis mula pun mereka tidak nampak.

Sebaliknya jika kita menterbalikkan proses ini iaitu ;
Jika kita mempercayai ritual seratus peratus - 

yang Islam buat solat seribu rakaat sehari, yang Hindu buat pooja setiap hari, yang Judaism  mengangguk-angguk di hadapan tembok menangis dengan sejuta kali anggukan manakala yang kristian hari-hari melakukan ritual sacraments .. dan mereka berusaha untuk keluar rumah demi mengejar impian maka suatu hari nanti mereka pasti akan menemui garisan penamat kepada impian itu.

Begitu juga jika jika kita langsung tidak mempercayai ritual pula -

yang Islam tidak pernah membuat ritual solat walaupun satu rakaat, yang Hindu langsung tidak pernah membuat ritual pooja seumur hidup, yang Judaism langsung tidak pernah mengangguk di hadapan tembok batu dan yang kristian langsung tidak pernah melakukan ritual sacraments seumur hidupnya .. dan mereka berusaha untuk keluar rumah demi mengejar impian maka suatu hari nanti mereka pasti akan menemui garisan penamat kepada impian itu.

Saudara boleh teruskan kajian ini dengan mengambil persoalan-persoalan mudah di dalam kehidupan seperti bagaimana mahu menjadi manusia yang berpengetahuan, bagaimana mahu menjadi terkenal, bagaimana mahu menjadi menteri dan sebagainya.

Adakah kita membuat ritual atau tidak bukanlah hakikat kebenarannya, tetapi USAHA itulah kebenaran hakiki yang menjadikan kita berjaya. 

Inilah realiti dan hakikat dunia kehidupan yang kita sekarang sedang alami. Inilah yang mebezakan mereka yang berjaya dengan yang gagal.

Izinkan saya mengambil contoh masyarakat Jepun. Mereka percaya kepada suatu agama yang dikenali sebagai Shinto. 

Agama ini mempunyai theologi dan ritualnya yang tersendiri. 

Apakah anda rasa masyarakat Jepun menjadi begitu berjaya kerana mengamalkan ritual Shinto ? Atau kerana mereka mengadaptasi nilai-nilai yang benar seperti berusaha keras, menepati masa, menjaga kebersihan dan lain-lain.

Cuba selidik apakah yang di didik oleh masyarakat Jepun kepada generasi muda mereka ? 

Adakah mereka mendidik ritual shinto atau nilai-nilai berusaha keras, menepati masa, menjaga kebersihan dan lain-lain ?

Berikut adalah sedikit laporan mengenai salah satu tradisi kebanggaan masyarakat Jepun. Perhatikan kepada ketepatan masa rangkaian tren mereka.

Rail transport in Japanese culture[edit]

Punctuality[edit]

Japanese railways are among the most punctual in the world. The average delay on the Tokaido Shinkansen in fiscal 2012 was only 0.6 minutes.[14] When trains are delayed for as little as five minutes, the conductor makes an announcement apologizing for the delay and the railway company may provide a "delay certificate" (遅延証明書), as no one would expect a train to be this late. Japanese passengers rely heavily on rail transit and take it for granted that trains operate on time. When trains are delayed for an hour or more, it may even appear in the newspaper.[15] However, some argue that railway staff are under too much pressure from the public. These stringent standards are considered contributors to the cause of serious accidents such as the Amagasaki rail crash in 2005.[16]

Baru-baru ini ada sebuah syarikat penerbangan di Malaysia yang mempelopori penerbangan patuh syariah, di mana pramugarinya memakai tudung, memastikan makanan yang dihidang "halal", tidak menghidang arak, membaca doa kenderaan dan sebagainya.

Tidak sampai 4 bulan, syarikat ini terpaksa menghentikan operasi. 

Ia terpaksa berbuat begitu bukan kerana tidak cukup patuh syariah tetapi kerana servis yang buruk seperti gagal menepati masa, gagal menyediakan kapal terbang pada hari yang ditetapkan, tidak mematuhi Undang-Undang Penerbangan Awam dan kegagalan lain.

Maka dengan itu, saudara dan saudari para pembaca itulah KEBENARAN HAKIKI yang kita cari di dalam kehidupan yang kita lalui ini. 

Kita tidak boleh keluar dari dunia kehidupan ini untuk mencari jawapan kepada persoalan kita.

Ini adalah kerana jika kita keluar dari alam kehidupan ini maka kita dapati tiada sesiapa pun yang berjaya kembali ke sini untuk membuat kesimpulan mengenai alam sesudah mati.

Bagaimanakah rupa dan realiti alam sesudah mati tiada sesiapun tahu dengan benar. 

Oleh yang demikian, berdiskusi mengenainya adalah suatu perbuatan yang sia-sia.

Namun, mengambil untung nasib kita di dunia ini ke dalam tangan kita. Itu berada di dalam kuasa kita sebagai seorang manusia biasa.

Jika kita sentiasa berbuat yang terbaik untuk diri, keluarga dan masyarakat sekeliling pastilah ada balasan baik untuk kita disediakan oleh Tuhan, bukankah Tuhan Maha Mengasihani ?

Akhir sekali, agama, sampai bilakah manusia mahu menipu diri sendiri dengan budaya ini ?



 Ashwed