Sunday 22 April 2018

Kebahagiaan Yang Abadi

Kedamaian Buat Semua,

Terlebih dahulu saya ingin memohon maaf kepada para pembaca blog ini kerana sudah lama tidak bersiaran.

Ramai yang menghantar e-mel secara peribadi kepada saya. Selain dari bertanya khabar, ada juga yang bertanya mengapa saya sudah jarang menulis.

Sejujurnya, seperti yang telah saya beritahu di beberapa artikel yang lampau, saya sebenarnya sedang berada di fasa pertama pembukaan sebuah restoran di bandar tempat saya tinggal. Masa sememangnya menjadi suatu perkara yang sangat mewah kepada saya di kala ini.

Yang keduanya, setelah menulis hampir 200 artikel, saya merasakan seperti sudah meluahkan hampir kesemua persepsi saya mengenai agama. Terutamanya mengenai praktis agama di tanahair kita.

Ada sedikit sahaja yang masih saya simpan sebagai pendapat peribadi.

Saya mempunyai pilihan untuk menulis mengenai isu-isu semasa, namun jika saya melakukannya saya merasakan diri ini sama sahaja seperti subjek yang sedang saya komen itu. Pandai komen mengenai orang lain tetapi diri sendiri pun tidak sempurna.


Yang ketiganya, saya sedang cuba menyempurnakan sebuah buku mengenai falsafah kehidupan seperti yang terkandung di dalam Al Quran. Kerangka asas serta beberapa bab buku ini sudah pun tersedia.

Harapan saya ialah agar manuskrip awal buku ini dapat disiapkan sebelum tahun 2018 melabuhkan tirainya.

Kebahagiaan



Image result for the purpose of life is to be happy 

Banyak kebijaksanaan yang dikeluarkan oleh ahli-ahli fikir tamadun dunia berkisar mengenai perkara ini.

Sedar tidak sedar, kebanyakkan perkara yang kita telah, sedang dan akan lakukan di dunia ini adalah berkisar mengenai pencarian kebahagiaan.

Ada manusia merasakan kebahagiaan bagi dirinya adalah dengan memiliki seberapa banyak harta yang mampu. Untuk itu, beliau menghabiskan sebahagian besar dari hidupnya menumpu kepada pencarian harta. 

Apa sahaja yang terlintas di fikirannya adalah berkisar tentang bagaimana mahu menambah harta yang beliau miliki. 

Ada pula merasa bahagia dengan berhabis wang dan masa untuk hobi yang diminatinya seperti bermain golf, menunggang basikal, menunggang motor dll. Kadang-kadang sampai terlupa makan kerana terlalu khusyuk melakukan perkara yang digemari.

Selain dari itu, ada juga manusia merasakan kebahagiaan bagi dirinya adalah dengan mencari agama. 

Kesedaran ini berkemungkinan muncul apabila mereka merasa sedikit kepayahan di dalam proses kehidupan mereka seperti masalah rumahtangga, masalah kewangan dan lain-lain.

Ramai yang menjadi malas berfikir apabila cenderung meminati agama. Tambahan bila ia digalakkan untuk berbuat demikian oleh para pemuka agama.
yang mereka sanjungi. 

Pengorbanan

Kebahagiaan jarang datang tanpa pengorbanan, maka di sinilah ramai yang mengambil kesempatan, kesan dari pencarian kebahagiaan orang lain. 

Apabila ada yang mengambil kesempatan, maka sudah tentulah ada yang akan menjadi korban.

Demi mencari kebahagiaan ramai yang merelakan diri mereka menjadi mangsa. Kadang-kadang sedar tetapi buat-buat tidak sedar. Demi untuk kebahagiaan plastik yang sedang mereka kejar.

Begitulah resam kehidupan manusia. Berlumba-lumba mengejar bahagia.

Bagi diri saya kebahagiaan tidak perlu dikejar. Ia adalah sesuatu yang terbit dari dalam diri sendiri.

Ini adalah kerana kita hanya boleh mengawal apa yang ada di dalam diri kita sendiri sahaja. Setiap perasaan yang kita rasa adalah diakibatkan oleh diri kita sendiri bukan orang lain.

Jika kita marah ia adalah disebabkan kita yang membuat keputusan untuk marah. Orang lain hanya boleh membakar perasaan itu tetapi keputusan untuk marah tetap berada di tangan kita.

Begitu juga dengan perasaan-perasaan lain.

Bagi saya rahasia untuk hidup gembira ialah dengan menikmati detik.

Mungkin kita tidak perasan tetapi manusia jarang mengingati tarikh. Kita hanya mengingati detik.

Maka, apalah yang boleh kita jadikan memori jika kita tidak menikmati setiap detik semasa ianya sedang berlangsung ?

Untuk menikmati detik kita juga perlu bebas. Bukan sahaja dari  perbuatan tetapi yang paling penting ialah pemikiran.

Bagaimanakah kita mahu menikmati detik-detik bahagia jika di fikiran kita terlalu banyak peraturan halimunan yang perlu di jaga ?  

Sesungguhnya, nikmatilah kehidupan di dunia ini sepuas-puasnya kerana begitulah sepatutnya yang kita lakukan.

Apabila kita mula menikmatinya baharulah kita sedar bahawa diri kita selama ini masih belum hidup. 

Kita hanya bernyawa dengan nyawa yang diatur oleh dogma yang dicipta oleh orang lain.

Ashwed  

Sunday 1 April 2018

Politik : The Winnable Candidate

Kedamaian Buat Semua,

Musim pilihanraya semakin menghampiri tanah air kita. 

Di kala artikel ini ditulis, ahli-ahli politik di Malaysia sedang merancang strategi bagi memenangkan parti masing-masing.

Sejujurnya, saya mempunyai minat mendalam untuk merubah cara fikir masyarakat kepada bentuk yang positif. Minat ini sebenarnya paling sesuai diinterpretasi di pentas politik.

Namun, saya merasa ralat dengan politik ala Malaysia. 

Ini adalah kerana setelah hampir 45 tahun hidup di sini, saya merasakan kita gagal mengambil peluang keemasan untuk benar-benar membuka potensi masyarakat majmuk yang kita miliki.

Bangsa yang menghuni negara ini semakin hari semakin terpisah dari rakannya yang berbangsa lain. 

Ini menjadikan kita tidak boleh dikenali sebagai satu masyarakat yang besar melainkan hanya berpura-pura menghormati di antara satu sama lain.

Segala-galanya bermula dari pendidikan.

Kita tidak lagi boleh berpura-pura bahawa dengan membenarkan sistem pendidikan yang dicarik-carik seumpama sebuah puzzle, kita boleh mencipta kejayaan.

Adakah kita masih berpendapat bahawa dengan berbuat demikian anak-anak kita akhirnya dapat menyempurnakan sebuah masterpiece lalu membuat intergrasi sesama sendiri ?

Dari kecil kita memisahkan mereka, apabila sudah dewasa kita menyeru mereka supaya bersatu. Siapakah sebenarnya yang sedang kita tipu ?

Anak-anak saya pergi ke sekolah berdekatan dengan rumah kerana ia memudahkan pengangkutan. Saya dapati tiada langsung anak-anak dari rakan-rakan saya yang berbangsa cina menghantar anak mereka ke sekolah itu.

Manakala, mereka yang berbangsa India pula boleh dibilang dengan jari.

Ini diburukkan lagi dengan cara pentadbiran sekolah yang tidak dapat membezakan di antara agama dengan sistem pendidikan. Mungkin ini sebab utama bangsa lain kurang berminat lagi menghantar anak-anak mereka ke sekolah kebangsaan (sepatutnya kenegaraan).

Ditambah pula dengan kehadiran sekolah jenis kebangsaan yang didirikan berdekatan. Menjadikan peratusan untuk anak-anak kita berasimilisasi sangatlah kecil.

Tidakkah kita boleh berhenti berpolitik apabila berbincang mengenai sistem pendidikan ? Di dalam soal ini saya rasa semua bangsa di sini perlu membuka hati seluas-luasnya.

Kepada rakan-rakan yang berbangsa cina dan india, cuba tanya kepada diri sendiri sampai bilakah agaknya masih mahu mempertahankan sistem pendidikan terpisah sebegini.

Sampai bilakah mahu berlagak seperti orang asing di negara sendiri ?

Orang-orang Melayu yang ekstrim agama mengambil kesempatan akibat keenganan diri anda membuat asimilisasi. Lalu mereka mengguna alasan ini untuk memberi akar kepada fahaman agama cara mereka.

POLI-TAIK

Situasi ini menjadi semakin keliru apabila ahli politik di sini mempraktik communal politic hanya untuk memenangi pertandingan pilihanraya.

Bagi saya cara yang diamalkan oleh para pemain politik di Malaysia bukanlah amalan demokrasi yang terpuji.

Masing-masing menunding jari bahawa ahli politik seteru mereka mengamalkan politik perpecahan sedangkan diri mereka pun sama sahaja terkeliru.

Semua ini dapat dibuktikan dengan jelas melalui calon-calon parti politik apabila tiba musim pilihanraya. 

Jika mereka tidak mengamal communal politic maka mengapakah mereka meletak calon berdasarkan peratusan bangsa di kawasan tersebut ?

Sejak akhir-akhir ini pula formula yang digunakan ialah Winnable Candidate. Bukan sahaja kita telah dipisahkan oleh bangsa. Kini kita dipisahkan pula oleh bidang pekerjaan yang kita ceburi, sebagai contoh jika di kawasan tersebut dipenuhi askar maka Winnable Candidate perlu datang dari kalangan askar. 

Calon bukan lagi dipandang dari tahap pemahaman seseorang mengenai sistem demokrasi atau daya kepimpinan yang mereka miliki atau ketinggian idea baru yang boleh dibawanya, tetapi sekadar kepada keupayaan mereka untuk menang.

Oleh yang demikian, rakyat diperbodohkan untuk memilih di antara mereka yang korup, mereka yang sudah berusia lanjut, mereka yang mengamal seks luar tabie, seks dengan isteri orang, mereka yang menyorok dicelah ketiak bapa, mereka yang mengamal kronisma dan nepotisma dan mereka yang perasan bagus.

Adakah setakat itu sahaja pilihan yang rakyat ada ? Tiada orang lain lagikah ?

Ayuh, rakyat Malaysia bangunlah. Cukuplah kita diperbodohkan oleh ahli politik.

Kita perlu berkata dengan tegas bahawa di antara 222 ahli parlimen yang mereka mahu kita pilih dan lebih dari 30 juta rakyat Malaysia yang lain, kami percaya pemimpin yang lebih sesuai berkemungkinan besar datang dari kalangan kami rakyat biasa yang berjumlah 30 juta orang ini.

Cukuplah kita memberi ruang kepada Representative Democracy. Mungkin sudah masanya kita berubah kepada Pure Democracy atau sistem demokrasi lain yang lebih sesuai dengan aspirasi rakyat yang dahagakan pemimpin yang berintegriti tinggi.

Politik Kepartian ini hanya memecahbelahkan kita.

Ashwed