Monday 16 October 2017

US -vs- THEM

Kedamaian buat semua,

Menurut banci terbaru, jumlah rakyat Malaysia berbilang bangsa ialah lebih kurang 31 juta manusia.

Ini bermakna terdapat lebih kurang 31 juta kerenah manusia di bumi ini dengan asas latar belakang yang berbeza.

Adalah mustahil untuk kesemua 31 juta manusia ini bersatu hati di dalam kesemua hal. 

Jika sekiranya ia terjadi saya pasti kita akan menjadi satu kuasa besar utama dunia.

Namun, membayangkan ia berlaku pun sudah menjadi seakan suatu fantasi.

Penyatuan Longgar

Untuk itu, demi mendapatkan pengaruh, para pembesar atau ahli politik mana-mana negara semenjak dari zaman dahulu kala lagi akan mencari suatu common ground supaya jiwa-jiwa ini dapat disatukan.

Dengan penyatuan ini, sedikit sebanyak jiwa-jiwa ini akan dapat digerakkan demi mencapai samada agenda peribadi si ahli politik ini atau mencuba untuk mencapai agenda negara.

Penyatuan klasik yang seringkali disalahgunakan ialah melalui apa yang kita kenali sebagai organisasi agama.

Di sinilah berjuta malah berbillion hati dan sanubari manusia menemui penyatuan.

Namun, menyedari kesilapan yang telah mereka lakukan kerana manusia yang bersatu-padu sukar dimanipulasi, maka para pembesar/ahli politik memecahbelahkan kembali jiwa-jiwa ini melalui konsep mazhab.

Kini, manusia yang bersatu melalui organisasi agama kembali berpecah kepada mazhab-mazhab yang kecil sungguhpun mengakui mempraktis agama yang sama.

Di sebalik semua organisasi agama dan mazhab ini, kini terdapat pula pemecahan yang lebih moden.

Ia dikenali sebagai Parti Politik.

Di sini, penyatuan jiwa-jiwa ini agak pelik kerana sungguhpun mereka menganut organisasi agama dan mazhab yang berlainan, namun, mereka berjaya bersatu pada satu platform kepartian.

Kini, mereka bermusuh pula dengan jiwa lain yang juga berlainan agama dan mazhab yang turut bersatu di platform Parti Politik yang berlainan fahaman dengan mereka.

Pokok pangkalnya, manusia tetap berpecah-belah, menjadikan mereka mangsa mudah untuk para pembesar mempergunakan emosi mereka.

Aliran Pemikiran Baru

Mengapa saya, menulis mengenai perkara di atas ?

Ia adalah kerana saya mendapati terdapat satu sikap buruk yang sangat sukar untuk kita sebagai sebuah masyarakat atasi, walaupun setelah membaca dan memahami Al Quran secara mendalam.

Sikap ini adalah apa yang kita kenali sebagai sikap "Us -vs- Them".

Sikap buruk utama manusia yang menjadikan kita sebagai satu unit besar tetapi sangat mudah dipengaruhi oleh para pembesar tidak kira pembesar agama, politik atau golongan elit.

Ia begitu mendakap masyarakat sehingga apabila kita mendalami sesuatu kita akan cuba mengait diri kita dan kumpulan yang mendalaminya sebagai satu kumpulan berbeza yang mempunyai keistimewaan dari kumpulan lain.

Benarkah begitu ?

Suka saya mengambil contoh mereka yang mengambil jalan mendalami Al Quran.

Kini, terdapat satu ungkapan khas yang digunapakai untuk mengenalpasti golongan ini.

Mereka dikenali sebagai golongan QURANIST atau di dalam Bahasa Arab sebagai Quraniyyun/Ahl-e-Quran.

Nah ! Sebaik sahaja masyarakat memberi nama khas kepada kumpulan ini, maka kumpulan-kumpulan lain akan mula mengenalpasti ciri-ciri khas kumpulan baru ini.

[ Sidang pembaca boleh menyenaraikan ciri-ciri khas Quranist di ruangan komentar artikel ini. Sebagai permulaan izinkan saya menyenaraikan 3 ciri utama Quranist ;

1. Menganggap Quran di tulis oleh Tuhan
2. Bahawa manusia hanya perlu mengikut Al Quran
3. Menolak Hadis ]


Ini adalah kerana dengan mencipta satu nama khas maka secara formal masyarakat kini mengesahtaraf kehadiran kumpulan baru ini.

Menyedari akan hal ini, maka, kumpulan lama secara semulajadi merasa kewujudan mereka terancam.

Mereka berprasangka bahawa ada kemungkinan sedikit sebanyak keistimewaan asas yang mereka kecapi selama hari ini akan tergugat samada dari segi  peluang mencari pasangan hidup, makanan dan keperluan hidup yang lain. 

Sehubungan dengan itu, mereka mula mencari ciri-ciri khas yang boleh membezakan diri mereka dengan kumpulan baru ini.

Ia dilakukan samada untuk mencari keburukan atau kebaikan kumpulan baru ini.

Ia juga akan dijadikan asas keputusan samada menyertai atau menolak kumpulan baru ini.

Kesilapan Yang Berulang

Di sinilah terletaknya kesilapan besar kita sebagai sebuah masyarakat.

Kita sering menganggap bahawa masyarakat kita adalah terdiri dari kumpulan-kumpulan kecil yang wajib kita sertai.

Maka, secara diam-diam kita akan cuba membuat analisa di antara kumpulan-kumpulan kecil ini.

Masalah yang timbul ialah sebaik sahaja kita membuat analisa, kita akan berpendapat dan membuat keputusan bahawa ada satu kumpulan yang lebih istimewa dari yang lain.

Ada satu kumpulan yang lebih bagus dari yang lain. Dari bagus ia menjadi mulia dan akhirnya ia menjadi suci.

Dari situ kita akan mula membeza-bezakan diri kita dengan yang lain.

Yang suci sudah tentu akan memandang sinis pendapat kumpulan lain sementara yang mulia merasakan perlu memerangi kumpulan yang tidak mulia.

Begitulah seterusnya peristiwa demi peristiwa hitam telah manusia lalui. 

Sejarah akan diulang tayang, berputar dengan kisah lama tetapi pemain yang baru dengan latar belakang yang sedikit berbeza.

Menjadikan kita sekali lagi terjerumus menjadi mangsa mudah kepada mereka yang ingin meluaskan pengaruh. Akibat sikap kecil tetapi membawa impak yang sangat besar iaitu sikap "Us -vs- Them".

Cuba kita buat sedikit analisa ringkas mengenai peristiwa-peristiwa besar yang menjadi sejarah hitam manusia ;

a. Holocaust terjadi kerana ____________ ?
b. Penghapusan etnik di Bosnia terjadi kerana _____________ ?
c. Perang Iran-Iraq terjadi kerana _____________ ?
d. Perang Salib terjadi kerana ________________ ?

Apakah satu jawapan sama yang boleh kita isikan di ruangan kosong kepada empat persoalan di atas ?

Bagi saya ia adalah "profiling" sebuah kata nama yang lebih tersusun untuk menerangkan sikap "Us -vs- Them".

Tanpa kita sedari, sikap beza membeza sesama kita inilah menjadi punca utama kepada episod sedih manusia selama hari ini.

A030

"Maka tegakkanlah wajah kamu kepada fitrah/hakikat (deeni) yang lurus - fitrah/hakikat (fit-ra-ta) Allah yang dengannya memulakan manusia. Tidak ada pertukaran dalam ciptaan Allah. Itu fitrah/hakikat (deenu) yang betul; tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahuinya" AQ 30:30

A031

"Berkesesalanlah kepada-Nya. Dan benarkanlah Dia, dan dirikanlah kesungguhan (solla-wa-ta), dan janganlah jadi daripada orang-orang yang sekutukan" AQ 30:31

A032

"Iaitu orang-orang yang pecahkan fitrah/hakikat (deena) mereka, dan menjadi bergolongan, tiap-tiap golongan berbangga dengan apa di sisi mereka" AQ 30:32

Kesalahan Intelek

Untuk itu, ia menjadi suatu kesalahan bagi seorang yang mempunyai ciri-ciri Quranist jika beliau cuba membuat kebajikan dengan mendirikan sebuah pusat tahfiz.

Ini adalah kerana kumpulan Quranist menganggap bahawa sebuah pusat tahfiz adalah ciri-ciri yang dikaitkan dengan kumpulan lain yang menjadi musuh mereka.

Begitu juga, kumpulan majoriti akan menangkap individu dari kumpulan lain yang cuba mengenegahkan suatu pemikiran yang berbeza dari yang mereka sarankan selama hari ini.

Yang lebih menyedihkan ialah oleh kerana mereka di pihak majoriti maka mereka mempunyai kesemua kemudahan untuk mengumumkan bahawa perbuatan itu sebagai suatu kesalahan terhadap negara. Walhal, ia hanyalah perbezaan cara fikir sahaja.

Kesemua ini terjadi kerana kita sedang membuat profiling dan sedang menganggap kumpulan kita lebih baik dari kumpulan yang lagi satu.

Kita sedang berbangga dengan kumpulan kita dan sedang menghina kumpulan lain.

Untuk itu, kita perlu sedar bahawa diri kita dan individu lain yang menjadi ahli masyarakat di sebuah negara yang kita huni bukanlah musuh kepada seorang yang lain.

Ahli-ahli masyarakat kita sudah tentulah terdiri dari sanak saudara kita samada dekat atau jauh.

Maka, apakah alasan yang munasabah untuk menganggap mereka ini musuh kepada diri kita.

Mana mungkin, ibu-bapa, adik-beradik, sepupu, ibu saudara, bapa saudara di sebelah kita dan pasangan kita adalah musuh kepada yang lain ?

Apabila kita menganggap mereka ini musuh dengan dikelabui profiling sunni, syiah, kristian, hindu, buddha dan lain-lain maka kita memusnahkan potensi yang ada pada diri kita sebagai sebuah masyarakat.

Namun, sebaliknya jika kita menganggap sunni, syiah, kristian, hindu, buddha dan lain-lain sebagai kaum keluarga kita yang satu, maka secara tidak semena-mena segala kelemahan kita akan bertukar menjadi satu kuasa kebaikan yang sangat besar kerana kita tidak lagi berpecah-pecah.

Untuk pengetahuan semua, Al Quran hanya mengenalpasti satu golongan sahaja.

Golongan ini adalah ;

A078

"Dan bergelutlah kepada Allah dengan pergelutan yang sebenar; Dia telah pilih kamu, dan tidak letak ke atas kamu kesusahan kepada fitrah/hakikat (deeni) kamu, anutan bapa kamu, Ibrahim; Dia namakan kamu sebagai mereka yang damai (muslimeena) dari dahulu, dan dalam yang ini, supaya Rasul menjadi saksi ke atas kamu, dan kamu jadi saksi ke atas manusia. Maka dirikanlah kesungguhan (solla-wa-ta), dan murnikanlah ia (tuz-zakka-wa-ta), dan berpegang teguhlah kamu kepada Allah; Dia Pelindung kamu - Pelindung yang sangat baik, dan Penolong yang sangat baik" AQ 22:78

Perkataan Muslim berasal dari akar kata sin-lam-mim (s-l-m) yang disebut sebagai salam dan membawa maksud damai.

Dengan penambahan awalan (pre-fix) ganti nama ramai maka ia di sebut sebagai muslim dan membawa maksud "mereka yang damai/orang lelaki yang damai".

Muslim bukanlah mereka yang menganut satu jenis organisasi keagamaan dengan jenama "Islam" tetapi secara amnya adalah mereka yang mempunyai suatu pemikiran yang damai.

Tidak kira apa sahaja anutan seseorang itu, jika beliau adalah seorang yang damai, maka beliau layak dipanggil sebagai seorang muslim.

Ini juga bermakna seteru kepada kumpulan ini adalah satu kumpulan sahaja.

Iaitu sebuah kumpulan lain yang juga menjadi seteru dunia sejagat iaitu "mereka yang tidak mahu berdamai" atau lebih mudah dikenali "pengganas".

Kesimpulan 

Membuat kebajikan adalah satu perbuatan baik yang universal.

Ia tidak boleh dipecah-pecahkan dan hanya ditujukan kepada sesebuah kumpulan sasaran sahaja.

Apabila melakukan sebegini maka kita bolehlah dikategorikan sebagai seorang yang mempunyai agenda.

Kita bukan lagi membuat kebajikan tetapi hanyalah seorang yang mengguna platform tertentu untuk meluaskan pengaruh kita sahaja.

Sebaliknya jika kita membuat kebajikan tanpa mengira jenis agama, bangsa dan kategori maka kita sebenarnya sedang membuat suatu jenis kebajikan yang paling utama iaitu kita sedang berlaku adil.

A008

“Allah tidak melarang kamu berbuat baik dan berlaku adil terhadap orang-orang yang tidak memerangimu dalam fitrah/hakikat mu (deeni) dan tidak mengusir kamu dari kampung halamanmu. Sesungguhnya Allah mencintai orang-orang yang berlaku adil” AQ 60:8

Solla(t) membawa maksud kesungguhan atau iltizam atau determination.

Sesungguhnya di Malaysia ini mereka yang berfahaman sunni sedang bersungguh-sungguh menyebar luaskan fahaman mereka.

Saya tidak bersetuju dengan kebanyakkan pendapat mereka.

Namun, mereka bukanlah musuh saya kerana mereka ini adalah ibu dan bapa saya, adik beradik saya, ibu dan bapa saudara saya dan juga sepupu-sepapat saya.

Cukuplah dengan saya sekadar mengatakan bahawa pendapat abah dan mak itu salah kerana itu hanyalah cara fikir mereka sahaja.

Bermusuh dengan mereka bererti saya sedang mengamalkan sesuatu yang saya sendiri sangat anti iaitu menjadi bergolongan.

Kita tidak mungkin menyatukan hati setiap orang di Malaysia ini kerana percubaan sebegitu adalah sesuatu yang bertentangan dengan fitrah/hakikat/deen bahawa manusia ini dijadikan bersuku-suku.

A013

"Wahai manusia, Kami cipta kamu lelaki dan perempuan, dan buat kamu berbangsa-bangsa, dan bersuku-suku, supaya kamu mengenali satu sama lain. Sesungguhnya yang paling mulia antara kamu di sisi Allah ialah yang paling benar (taqwa) antara kamu. Sesungguhnya Allah Mengetahui, Menyedari" AQ 49:13

Ia tidak begitu semulajadi.

Jika kita sebagai seorang "Quranist" merasakan kita sedang berada di jalan yang benar, seorang yang sudah memahami maksud sebenar pelbagai terma di dalam Al Quran.

Maka,  patutlah kita merasa malu kepada diri kita sendiri kerana setelah kita memahami bahawa terma solla(t) itu membawa maksud kesungguhan/iltizam/determination, sebaliknya kita membiarkan sahaja golongan sunni bersungguh-sungguh mendirikan kesungguhan dengan menyebarluaskan fahaman mereka sedang kita sekadar pandai menghukumi mereka itu tidak berada di jalan yang benar sahaja.

Oleh kerana itu, di dalam kegilaan manusia berlumba-lumba untuk menjadi berkumpulan, atas nama kebenaran, cubalah untuk bertoleransi di dalam hubungan kita sesama manusia kerana itu adalah lebih adil kepada kemanusiaan.

Ashwed





Monday 9 October 2017

Belasungkawa

Kedamaian buat Semua,

Saya ingin memberi penghormatan kepada seorang intelektual melayu yang meninggalkan kita untuk menemui Rabbnya pada hari ini 10-10-2017

Beliau yang saya maksudkan ialah Sdr Pak Kassim Ahmad.

Beliau lahir pada 09-09-1933 di utara tanahair. 

Bersekolah di Sekolah Melayu Bandar Baharu, Kedah kemudian melanjutkan pendidikannya di Kolej Sultan Abdul Hamid, Alor Setar dan seterusnya di Universiti Malaya, Singapura,

Membaca biografi beliau mengingatkan saya kepada watak James Dean di dalam filem bertajuk Rebel Without A Cause bezanya beliau menjadi pemberontak dengan sebab yang jelas iaitu supaya masyarakatnya membuat perubahan minda.

Saya mengenali hasil kerja beliau pada sekitar tahun 1991 semasa masih belajar di matrikulasi Undang-Undang.

Pada waktu itu, suasana intelektual kecoh seketika apabila buku beliau bertajuk "Hadis : Satu penilaian semula (1986)" diharamkan dari penerbitan dan pasaran oleh Kerajaan Malaysia.

Tindakan tersebut menyebabkan para pelajar mula mencari buku tersebut untuk dibaca semata-mata mahu mengetahui mengapa ia diharamkan.

Setelah membaca buku tersebut, saya seolah-olah dibangunkan dari suatu tidur yang panjang.

Bermula dari saat itu, tersimpan suatu pertanyaan yang amat berat dibenak kalbu saya. 

Persoalan yang mengambil jangka waktu yang sebegitu lama untuk saya huraikan sendiri dan temui jawapannya.

Sesungguhnya, saya tidak sedikitpun menyesali tindakan saya menongkah arus membaca buku tulisan Pak Kassim.

Kini, walaupun saya sedar bahawa pendapat saya sangat berbeza dengan Pak Kassim terutama mengenai ritual agama dan pengertian ketuhanan, namun penghormatan ini wajar diberi kepada beliau, insan yang menjadi pencetus persoalan hebat di dalam diri ini.

Terima kasih Pak Kassim. 

Semoga mendapat kedamaian yang abadi seperti yang sering Pak Kassim utarakan di dalam tulisan-tulisan Pak Kassim.

 Image result for kassim ahmad
    Sdr Pak Kassim Ahmad semasa mudanya. Takziah dari blog ini buat keluarga    beliau. 

Ashwed