Monday 27 February 2017

Eksperimen dan Pemerhatian

Kedamaian Untuk Semua,

Kemaafan kerana lama tidak menulis. 

Saya baru kembali ke tanahair setelah sekian lama berada di negara asing. Lebih tepat lagi, tanah besar China.

Banyak peristiwa menarik berlaku sepanjang saya berada di sana, mungkin jika ada kesempatan saya akan coretkan di sini.

Sepanjang saya di sana, saya berkesempatan berkongsi bilik dengan seorang doktor falsafah merangkap pensyarah dari sebuah Universiti di Malaysia.

Banyak perkara yang kami bincangkan termasuk bab agama. 

Apa yang paling membuatkan saya ingat kepada rakan sebilik saya ini ialah pendapat beliau mengenai hal politik.

Beliau benar-benar merasa kecewa melihat orang-orang kita yang mempolitikkan setiap hal dan isu. Perkara ini menjadikan negara kita lambat mengecapi kemajuan.

Beliau mengambil contoh negara China.

Oleh kerana mereka tiada pilihanraya maka dalam tempoh 30 tahun dari tarikh mereka membuka ekonomi sistem komunis menjadi semi-kapitalis, rakyat hanya mengikuti pelan Kerajaan China tanpa mempolitikannya. Ia terbukti membawa kejayaan yang sangat besar. 

Politik hanya berlaku di dalam Parti sahaja bukan di galeri awam. 

Beliau menyimpan impian jikalah sekiranya Malaysia dapat membuat satu Undang-Undang di mana politik hanya boleh dimainkan sewaktu kempen pilihanraya sahaja. 

Malaysia berkemungkinan menjadi lebih baik daripada sekarang.

Namun begitu, ini bukanlah isikandung artikel saya kali ini.

Sebenarnya, kali ini, saya ingin berkongsi pengalaman peribadi keluarga saya.

Menyedari saya akan meninggalkan anak-anak saya pada kadar yang agak lama maka saya memikirkan cara untuk memberi mereka pengetahuan sepanjang tempoh saya tiada bersama mereka.

Akhirnya, saya memutuskan untuk mengajar mereka yang masih bersekolah rendah ini mengenai nilai-nilai "solat" melalui satu eksperimen ringkas dengan mengumpul data melalui sebuah jurnal.

Projek Menanam Sayur

Eksperimen bermula dengan saya mengajak mereka membeli biji benih sayur-sayuran dari jenis yang mereka pilih sendiri.

Mereka memilih untuk membeli biji benih cili, bendi, ketumbar dan saya sendiri memilih kacang panjang.

Kami juga membeli beberapa kampit tanah, sedikit baja serta beberapa biji pasu. Sementara Mama mereka pula membeli beberapa pasu sayuran dan herba yang sudah membesar untuk memudahkan beliau petik apabila mahu memasak.

Sampai sahaja di rumah, saya meminta anak-anak saya membawa seorang sebuah buku catatan untuk dijadikan jurnal projek menanam sayuran kami.

Saya mengarahkan mereka untuk membahagikan projek ini kepada 3 eksperimen dengan jangkawaktu selama 2 minggu.

Eksperimen yang pertama adalah membuat segala proses untuk menumbuhkan biji benih tersebut iaitu mengguna unsur-unsur tanah dan air serta menanamnya di dalam sebuah pasu yang khas. Ia juga diletakkan di tempat yang bercahaya matahari.

Eksperimen yang kedua di panggil eksperimen tangguh iaitu biji benih yang dibeli itu sengaja dibiarkan di dalam plastik pembelian dan ditangguhkan dari menanamnya.

Eksperimen yang ketiga dikenali sebagai eksperimen ritual iaitu mengambil beberapa butir biji benih, dilekatkan di dalam buku jurnal mereka sendiri lalu di bawa ke tikar sejadah untuk dibuat solat hajat khas setiap malam sepanjang ketiadaan saya.

Solat hajat khas  ini mesti di akhiri dengan doa memohon Tuhan menumbuhkan biji benih yang terdapat di dalam buku jurnal mereka.

Untuk setiap eksperimen tersebut saya meminta mereka mengambil data tumbesaran anak pokok setiap hari.

Saya hanya tersenyum apabila anak saya yang berumur 8 tahun mengomel "Papa, mana boleh tumbuh letak atas sejadah !".

Saya cuma meyakinkan mereka supaya mengambil data kerana setiap eksperimen hanya boleh dibuat kesimpulan melalui pemerhatian.

Cara yang paling baik untuk memerhati ialah dengan mengumpul data.

Sekembalinya saya ke rumah dari luar negara, anak-anak saya sudah tidak sabar menunjukkan anak-anak pokok mereka yang sudahpun tumbuh semasa ketiadaan saya.

Jelas terpancar kegembiraan di mata mereka melihat hasil kerja sendiri membuahkan hasil, sementara saya sendiri tidak sabar-sabar mahu memberitahu mereka mengenai pelajaran yang mahu saya sampaikan kepada mereka melalui eksperimen ini.

Kesimpulan

Malam ini saya memanggil anak-anak saya dengan membawa jurnal data masing-masing.

Saya memulakan dengan membacakan keratan keterangan ini.

"Tidakkah kamu lihat (alam-ta-ro) bagaimana Allah turunkan dari langit air, dan dengannya Kami keluarkan buah-buahan yang bermacam-macam warnanya? Dan di gunung-gunung terdapat jalur-jalur putih dan merah, daripada bermacam-macam warna, dan hitam yang pekat" AQ 35:27

"Antara manusia juga, dan haiwan, dan binatang ternak, bermacam-macam warnanya. Begitulah, hanya yang takut kepada Allah antara hamba-hamba-Nya ialah para ulama (orang-orang yang berpengetahuan); sesungguhnya Allah Perkasa, Pengampun" AQ 35:28

Lalu saya terangkan kepada mereka bahawa untuk menjadi seorang yang berpengetahuan (alim/ulama) perkara pertama yang perlu kita lakukan ialah alam-ta-ro. Perhatikan.

Disebabkan itu saya menyuruh mereka mengumpul data di dalam sebuah jurnal kerana inilah cara paling baik untuk memerhatikan sesuatu.

Menurut Al Quran, suri tauladan terhebat manusia bernama Ibrahim menulis sebuah jurnal dikenali sebagai SUHUF.

"Naskhah-naskhah gulungan Ibrahim dan Musa" AQ 87:19


Tiada siapa tahu kandungan Suhuf Ibrahim (the Scroll of Abraham) ini.

Saya percaya ia kemungkinan besar adalah data-data yang dikumpulkan bagi membina sebuah negara yang makmur bernama Bakkah (sekitar Jerusalem) seperti yang diceritakan di dalam Al Quran.

Kita perlu faham bahawa pada setiap zaman ada caranya yang tersendiri.

Oleh yang demikian, pengumpulan data di zaman Ibrahim berkemungkinan lain daripada zaman ini.

Melihat kepada pengumpulan data di dalam Al Quran, mungkin Suhuf Ibrahim juga mengguna bahasa berbunga bagi menyampaikan maklumatnya.

Saya meneruskan dengan berhujah bahawa menurut Bahasa Latin perkataan SCIENTIA membawa maksud knowledge atau pengetahuan.

Oleh yang demikian perkataan SCIENTIST di dalam Bahasa Inggeris secara etimologi membawa maksud "seorang yang berpengetahuan". Di dalam Bahasa Arab Al Quran perkataan ini dikenali sebagai "alim".


Di dalam bentuk yang ramai atau plural atau jamak jadilah ia ULAMA.

Para Saintis. Mereka inilah yang takut kepada Tuhan lalu mereka mengkaji segala sesuatu yang dijadikan Tuhan dengan membuat alam-ta-ro (pemerhatian) dan percaya tiada kaedah lain yang boleh merubah undang-undang alam (Sunnatullah) yang dijadikan Tuhan.

Ia sekali-kali bukanlah seorang yang berjambang, berjubah dan berserban seperti yang boleh kita lihat pada masa kini.

Orang yang berjambang, berjubah dan berserban seperti yang kita dapat lihat di zaman ini digelar habar di dalam Al Quran. Mereka ini adalah golongan ahli agama.

"Mengapakah rabani-rabani (orang-orang yang menguasai), dan habr (ahli agama) tidak larang mereka daripada ucapan dosa, dan makan yang haram? Buruknya apa yang mereka kerjakan!" 5:63

"Wahai orang-orang yang percaya, kebanyakan habr, dan rahib, sesungguhnya mereka makan harta manusia dengan cara palsu, dan halangi jalan Allah. Orang-orang yang menyimpan emas dan perak, dan tidak nafkahkannya di jalan Allah, maka berilah mereka berita gembira dengan azab yang pedih" AQ 9:34

Namun begitu, bukanlah semua orang sebegini (berjambang, berjubah dan berserban) tidak layak di panggil ulama.

Pada suatu masa dahulu, terdapat ramai saintis yang berjambang, berjubah dan berserban. Ini adalah kerana begitulah fesyen di zaman tersebut. Lalu para saintis ini juga berfesyen sebegitu.

Walaupun begitu, mereka sekali-kali bukanlah seorang ahli agama.

Apabila zaman berubah, para saintis ini tidak lagi berpakaian sebegitu kerana ia bukan lagi sejenis fesyen yang trendy.

Namun, golongan ahli agama meneruskan fesyen lama ini. Mungkin ia dilakukan agar dapat mengaburi khalayak lalu dianggap cerdik seperti ahli sains dahulukala.

Image result for ibnu sina

Image result for Averroes

Saya juga menerangkan kepada anak-anak saya bahawa perbuatan berusaha membeli pasu, memasukkan tanah ke dalam pasu, mengorek sedikit lubang di tanah, memasukkan biji benih ke dalam lubang tersebut, mengambusnya kembali lalu di siram air dan ditinggalkan di tempat yang bercahaya matahari semua ini adalah iltizam atau kesungguhan atau USAHA yang kita kenali sebagai "solat" di dalam Al Quran.

Solat (iltizam/kesungguhan/usaha) inilah yang diseru (doa) oleh Ibrahim supaya diteruskan oleh keturunannya.



"Wahai Pemelihara kami, aku tempatkan sebahagian daripada keturunanku di sebuah lembah di mana tidak ada tanah yang disemai di dalam sistem Engkau; wahai pemelihara kami, agar mereka melakukan solat, dan buatkan hati manusia berkeinginan padanya, dan berilah rezeki mereka dengan buah-buahan supaya mereka berterima kasih" AQ 14:37



Usaha adalah tangga kejayaan. Kejayaan mereka (anak-anak saya) pada hari ini adalah pokok sayuran sedang tumbuh mengikut Sunnatullah.

Eksperimen kedua dan ketiga membuktikan bahawa perbuatan TANGGUH dan RITUAL tidak berjaya menumbuhkan biji benih tersebut. Ini adalah kerana ia bertentangan dengan Sunnatullah (undang-undang alam) yang dijadikan Allah.

Mereka yang percaya kepada Sunnatullah ini adalah seorang yang amanah (iman) sementara mereka yang tidak percaya kepada Sunnatullah ini adalah mereka yang menolak (kafir).

Mereka yang beriman dijanjikan kejayaan sementara mereka yang menolak tidak akan berjaya.

Surat Ali Imran Ayat 139

"Jangan lemah, dan jangan sedih; kamu akan jadi yang lebih tinggi, jika kamu orang-orang beriman" AQ 3:139

Kesemua ini iaitu berusaha menanam biji benih, menyiramnya dengan unsur-unsur yang betul yakni air dan dikenakan cahaya matahari (solat) kemudian ia tumbuh menurut  undang-undang alam (Sunnatullah) inilah fitrah kehidupan atau the reality/science of life.

Di dalam Al Quran ia dikenali sebagai Ad Deen. Inilah tema Al Quran.

A030  

"Maka tegakkanlah wajah kamu kepada Ad-Deen, seorang yang lurus - fitrah (fit-ra-ta) Allah yang dengannya memulakan manusia. Tidak ada pertukaran dalam fitrah (fa-ta-ra) Allah. Itu Deen yang betul; tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahuinya" AQ 30:30

Apabila terkenang bagaimana pemikiran naif anak-anak saya yang secara innocence sudah mengetahui keputusan eksperimen yang bakal mereka lakukan, membuatkan saya terfikir.

Bahawa sebenarnya secara semulajadi Tuhan sudah menerapkan nilai-nilai sebenar ke dalam diri kita, namun kita menolak perkara yang semulajadi ini.

Kita pergi mengikuti kursus-kursus untuk memperbetul cara ritual berdiri, duduk dan bersila.

Kita reka hukum dengan menyatakan jika tidak cukup syarat atau tidak berdiri, duduk atau bersila dengan betul Tuhan akan menolak ritual itu. Seolah-olah kita bersahabat baik dengan Tuhan.

Kemudian kita tipu diri sendiri dengan menyatakan inilah yang dikehendaki oleh Tuhan untuk kita lakukan dengan memanipulasi terma-terma yang mudah. Kita tipu diri sendiri dengan menyatakan dengan cara inilah kita akan berjaya.

Sedangkan kita sendiri sudah secara semulajadi tahu bahawa kita hanya akan berjaya dengan berusaha untuk mendapatkan sesuatu.

Memikirkan ini membuatkan saya terdetik bahawa manusia ini terutamanya bangsa saya benar-benar menolak (kafir) undang-undang alam.

Yang paling sedih ialah kita berbangga diri, perasan kita berada di atas jalan yang benar.

Kepada anak-anak Papa. Pokok yang tumbuh itu bukanlah tanda bahawa kamu sudah berjaya secara penuh. Ia perlu dijaga, disiram dan dibaja.

Apabila sudah berjaya perkara yang lebih sukar untuk dilakukan ialah untuk mengekalkan kejayaan itu.

Namun, Papa sentiasa yakin, jika kita berusaha segala-galanya akan menjadi mudah.

Ashwed






Sunday 5 February 2017

Have A Break

Kedamaian Untuk Semua,

Kadang-kadang rasa pelik bagaimana pemikiran dua manusia yang berada jauh boleh ada persamaan. 

Sebenarnya saya memang terdetik untuk memasukkan post lagu untuk mengisi ruangan blog ini sementara saya mencuri masa untuk menulis kembali.

Tiba-tiba, baru tadi ada seorang pembaca menghantar lirik lagu "Wish You Were Here" dari sebuah band legenda Psychedelic dan Progressive Rock, Pink Floyd. 

Berikut adalah lagu tersebut untuk dihayati.


P/S - bagi saya, solo "Comfortably Numb" adalah solo yang paling perfect dalam sejarah muzik rock.
 
Namun, sepanjang hujung minggu yang lalu saya tidak teringatkan lagu "wish you were here" sebaliknya asyik teringatkan lirik lagu ini.

Lagu yang bagus adalah lagu yang simple dengan lirik yang kuat. Lirik akan menjadikan sesebuah lagu itu relevant sepanjang zaman. 



Semoga semua pembaca blog ini bukan sahaja mempunyai produksi kerja yang tinggi, tetapi yang lebih penting ialah kreativiti yang tinggi.

Image result for “Strong minds discuss ideas, average minds discuss events, weak minds discuss people.”

Damai/Peace/Salam/Shalom,

Ashwed

Saturday 4 February 2017

Memecah Kurungan Minda

Kedamaian Untuk Semua,

Urusan kerja mencemburui kita. Kadang-kadang idea datang bertalu-talu ke kotak minda, namun tidak kesampaian untuk di realisasi di papan kekunci.

Sementara saya menyelesai tuntutan nafkah harian, saya tampilkan di sini sebuah video dari Denmark.

Semoga video ini dapat membuka minda kita. 

Jikalah kita dapat membuang profiling halimunan yang wujud di minda kebanyakkan manusia, saya percaya dunia akan lebih damai.


Tiada lagi pilihan samada aku atau engkau ? Kita atau mereka ? Tiada lagi saingan untuk menyatakan pendirian kitalah yang paling benar. 

Yang ada hanyalah manusia yang sedang melalui sebuah kisah kehidupan. Yang mempunyai pengalaman pahit dan manis yang tersendiri. Kegemaran yang tersendiri. Latar belakang yang tersendiri.

Semua kelainan ini bukanlah perkara yang membezakan kita. Sebaliknya ia adalah aspek yang melengkapi satu sama lain.

Alangkah indahnya hidup ini jika kita semua hidup di dalam keterbukaan.

Ashwed