Thursday 22 February 2018

Masalah Teknikal

Kedamaian Buat Semua,

Sejak akhir-akhir ini, blog BERONTAK UNTUK BEROTAK mengalami gangguan teknikal. Kalau dalam masyarakat Melayu perkara ini dikenali sebagai "terkena buatan orang" : ) .

Saya kurang pasti pihak manakah yang bertanggungjawab melakukan perkara ini atau mungkin ia disebabkan oleh gangguan server utama pemberi khidmat blog.

Apa pun, yang pasti blog ini masih boleh dilayari dengan sempurna jika para pembaca memuat turun aplikasi Opera Mini. Anda boleh sahaja mengguna enjin carian google melalui aplikasi ini dan menyambung terus ke blog ini untuk membaca artikel-artikel terkini.

Saya berharap mesej ini sempat sampai kepada mereka yang mengikuti tulisan-tulisan di dalam blog ini.

Selain daripada itu masih terdapat cara lain untuk melayari blog BERONTAK UNTUK BEROTAK, rakan kita yang bernama Zack lebih cekap dalam bab jajaran data sebegini. Terima kasih saya ucapkan jika Saudara Zack boleh menasihati kami di dalam hal ini.

Yang pasti, saya dapat merasakan bahawa blog ini berjaya memberi impak seperti yang saya impikan. Jika tidak masakan suara blog ini perlu dibisukan dari menyampaikan maklumat mengenai amalan korup organisasi keagamaan ?

Jika sekiranya ada pegawai dari Pihak Yang Berkuasa sedang membaca artikel ini sekarang. Saya cuma ingin menyampaikan bahawa saya hanyalah seorang rakyat biasa yang hidup di bumi Malaysia.

Setiap hari saya berhubung dengan rakyat lain tidak kira dari latar belakang agama dan keturunan yang mana, untuk sama-sama mencari sesuap nasi di bumi ini.

Secara kebetulan saya yakin kepada mesej yang di sampaikan melalui sebuah buku yang kita kenali sebagai Al Quran. Saya menyakini buku ini kerana ia menyampaikan nilai-nilai universal yang positif. 

Tema utama buku ini adalah mengenai kedamaian. 

Oleh itu, saya menganggap buku ini sebagai sebuah buku mengenai kehidupan dengan falsafah-falsafah positif tentang bagaimana mahu hidup dengan damai di dunia yang di diami oleh pelbagai bangsa, keturunan dan budaya ini.

Oleh kerana itu, setiap hari saya sedaya upaya cuba mempraktis kedamaian seperti yang di sarankan oleh Al Quran dengan membuat kebajikan dan membantu memudahkan urusan rakan-rakan rakyat Malaysia yang perlu berhubungan dengan saya.

A013  
"Wahai manusia, Kami cipta kamu lelaki dan perempuan, dan buat kamu berbangsa-bangsa, dan bersuku-suku, supaya kamu mengenali satu sama lain. Sesungguhnya yang paling mulia antara kamu di sisi Allah ialah yang paling bertakwa antara kamu. Sesungguhnya Allah Mengetahui, Menyedari" AQ 49:13

Saya berpendapat oleh kerana Allah itu sifatnya Maha Berkuasa, maka saya makhluk ciptaanNya tidak perlu lagi melakukan apa yang orang Melayu Muslim termakan sebagai suatu "dakwah". 

Jika saya melakukan dakwah ini bermakna saya sekarang sedang berpaling daripada keyakinan saya bahawa Allah itu Maha Berkuasa lalu merasakan diri menjadi pembantu kepada satu Zat yang lebih berkuasa dari diri saya sendiri.

Tetapi jika saya benar-benar cuba membawa nilai-nilai positif yang menjadi falsafah Al Quran seperti menepati masa, amanah, bercakap benar, berlaku adil dan sebagainya maka lambat laun orang lain akan mengiktiraf kejayaan saya di mana sahaja saya bertapak.

Semua artikel di dalam blog ini menjurus kepada konsep "How to observe knowledge". Ia bukanlah seruan untuk orang lain mengikuti suatu jenis ideologi tetapi lebih kepada menyuarakan sesuatu dengan jujur atau "calling a spade, a spade".

Secara mudahnya perkara ini boleh diterangkan dengan analogi berikut ;

Cuba bayangkan dua buah buku. 

Sebuah buku ditulis oleh JRR Tolkien berjudul The Lord Of The Ring sementara yang sebuah lagi ditulis JK Rowling berjudul Harry Potter.

Kita memahami oleh kerana penulis buku ini adalah individu yang berbeza maka idea, jalan cerita, karakter, latar belakang tempat, konsep dan lain-lain perkara mengenai buku tersebut sudah tentulah berbeza mengikut citarasa dan idea penulis yang mencurahkan pemikirannya ke arah penulisan buku mereka.

Oleh itu, jika JRR Tolkien menerangkan mengenai sesuatu contohnya jika beliau menerangkan mengenai suatu kaum bernama Hobbit di dalam bukunya maka kita bolehlah mengatakan bahawa inilah idea asal sang penulisnya.

Sekarang, bayangkan JK Rowling di dalam buku Harry Potter secara tiba-tiba menerangkan mengenai kaum bernama Hobbit. Di mana karakternya dibayangkan jauh menyimpang dari idea JRR Tolkien penulis asal dan pencetus karakter tersebut. 

Maka Hobbit manakah yang kita boleh terima sebagai yang benar ? 

Sungguhpun genre kedua-dua judul buku ini adalah sama iaitu sains fiksyen. Namun, akal kita sudah tentulah Hobbit yang diterangkan oleh JRR Tolkien adalah yang benar kerana dari minda beliaulah tercetusnya idea karakter tersebut.

Sekarang bayangkan pula kedua-dua buku ini ditulis di zaman yang berbeza.

Katakanlah JRR Tolkien hidup beratus tahun sebelum zaman JK Rowling. Bukankah kita sepatutnya perlu lebih mengesyaki ada yang tidak kena dengan tulisan JK Rowling apabila cuba memberi makna baru kepada karakter Hobbit ?

Inilah maksudnya konsep "how to observe knowledge".

Begitulah ibaratnya Al Quran jika dibandingkan dengan buku-buku lain.

Kita masyarakat Melayu percaya bahawa Al Quran merupakan kalimah Allah. Ini bukanlah calang-calang dakwaan.

Oleh kerana ia adalah kalimah Allah ini bermakna Al Quran itu adalah manifestasi idea Allah. 

Allah tidak sekali-kali pernah menyatakan bahawa Dia ada menulis buku-buku lain selepas dari Al Quran.

Untuk rekod Allah ada menyatakan bahawa selain dari Al Quran Dia ada pernah menurunkan buku lain berjudul di antaranya Taurah, Zabur, Injil dll yang ditulis dengan idea dariNya. Tetapi, Dia juga dengan tegas menyatakan bahawa mesej di dalam buku itu telah dikorupkan oleh tangan manusia.

A091 

"Mereka tidak pertimbangkan Allah dengan pertimbangan-Nya yang sebenar ketika mereka berkata, "Allah tidak turunkan sesuatu kepada mana-mana manusia." Katakanlah, "Siapakah yang turunkan Kitab yang Musa datangkan sebagai satu cahaya dan satu petunjuk bagi manusia? Kamu letakkannya di kertas-kertas, dengan menampakkannya, dan sembunyikan kebanyakannya; dan kamu diajar apa yang kamu tidak tahu, kamu dan bapa-bapa kamu." Katakanlah, "Allah." Kemudian tinggalkanlah mereka bersendiri bermain-main permainan terjunan mereka" AQ 6:91

Untuk itu, jika kita benar-benar jujur mencari pengetahuan. Maka kita perlu sedar bahawa segala konsep dan idea Al Quran adalah tersendiri dan hanya boleh diterangkan di dalam konteks Al Quran itu sendiri sahaja.

Buku-buku lain adalah idea penulis yang namanya tercatat sebagai pengarang buku tersebut sahaja. Ia sama sekali bukanlah idea penulis asal Al Quran dan tidak boleh disamakan dengan Al Quran.

Jika kita mengambil buku-buku lain ini sebagai kalimah Allah maka kita akan ditimpa kecelakaan yang besar di mana kita akan berpecah, bergaduh dan berperang sesama sendiri akibat mahu menegakkan ideologi penulis buku lain yang kita baca itu.

Bapa-bapa kita sudah tersilap langkah dengan menerima buku-buku lain ini sebagai ajaran Allah, dengan erti kata lain mereka bertuhankan selain dari Allah iaitu para penulis yang namanya tercatat di judul-judul buku itu. 

Akibatnya peperangan dan persengketaan tidak pernah berhenti di muka bumi ini. Adakah kita mahu meneruskannya ?

A079 
"Maka kecelakaanlah bagi orang-orang yang menulis al-Kitab dengan tangan-tangan mereka, kemudian mereka berkata, "Ini daripada Allah," supaya mereka menjualnya untuk harga yang sedikit; kecelakaanlah bagi mereka kerana apa yang tangan-tangan mereka tulis, dan kecelakaanlah bagi mereka kerana usaha-usaha mereka" AQ 2:79

Terima kasih kerana membaca blog ini.

Ashwed

 

 

Monday 12 February 2018

Akademi Fantasia

Kedamaian Buat Semua,

Semalam saya menulis mengenai fantasia orang zaman dahulu yang berubah menjadi fakta sahih lalu diterima oleh manusia yang tidak mahu berfikir di abad ke-21 ini sebagai suatu kebenaran.

Bayangkan jika Stan Lee, orang yang bertanggungjawab menulis karya fantasi adiwira seperti Spiderman, Iron-man dan siri The Avengers memakai serban, berjanggut dan memakai jubah, adakah kini secara tidak semena-mena jalan cerita rekaannya menjadi benar dan logik ?

Sekurang-kurangnya Stan Lee berlaku jujur kepada masyarakat dengan membuat kategori kepada hasil karya beliau. Masyarakat beliau sedar bahawa cerita beliau hanyalah rekaan semata-mata. Sekadar hiburan.

Image result for stan lee 
Jika berkesempatan para pembaca bolehlah touch-up gambar Stan Lee di atas. Letakkan serban, janggut sejemput dan panjang (lebih baik dibiar tidak terurus) dan pakaikan jubah putih serta tasbih di tangan. 

Selepas itu, hantar kepada rakan-rakan yang taksub agama dengan mesej "Stan Lee sudah masuk Islam. Beliau mengaku semua karya ciptaannya berdasarkan kitab orang Arab zaman dahulu kala"

Siapa tahu, mungkin ada di antara mereka yang tersedar dari candu agama.

Mengapa masyarakat kita boleh menerima karya Stan Lee sebagai kisah dongeng sains fiksyen. Kisah yang tiada logik dan menerimanya sekadar hiburan ringan tetapi apabila mendengar ceramah seperti di bawah tiba-tiba mereka percaya ?

Apakah tekanan yang menyebabkan fikiran masyarakat kita terpaksa menerimanya sebagai "Ilmu Agama". 

Bukankah apa yang dikatakan oleh lelaki di bawah ini adalah suatu kisah rekaan semata-mata ? Mengapa saya kata begitu ?

Kisah Iblis di halau dari Svarga (jika benar ianya berlaku) terjadi pada suatu waktu dahulu. Di mana tiada siapa pun tahu tarikhnya. 

Pada waktu berkenaan mengikut kisah yang diceritakan kepada kita, Adam, manusia pertama baru sahaja dicipta. Menjadikan hanya 3 karakter sahaja yang benar-benar berada di tempat tersebut iaitu Adam, Allah dan Iblis.

Ustaz yang bercerita ini tidak pernah berada di sana. Bagaimana seorang yang tidak berada pernah di tempat kejadian boleh tahu bahawa penghuni svarga tidak kencing dan berak, seolah-olah kejadian ini berlaku di kampung beliau sahaja ? 

Bagaimana pula svarga boleh ada penghuni sedangkan Adam, manusia pertama menurut kisah itu baharu sahaja dicipta ? 

Pemikiran seperti ustaz inilah yang melahirkan seorang raksasa seperti bapa adik Nur Ain Nabihah. "Ilmu Agama" sebeginilah yang meracun pemikiran bapa ini sehingga menyiksa dan membunuh anak sendiri kerana percaya kepada saka. 

Saya percaya kini orang ini sedang berada di dalam naar. Setiap malam fikiran beliau akan terkenang saat-saat dia menyiksa anak perempuannya itu. 

Beliau berkemungkinan besar mengimpikan supaya masa boleh bergerak ke belakang supaya beliau boleh mengusap rambut anak itu sambil berkata, maafkan bapa kerana mempercayai kisah tahyul.

Kita perlu melindungi masyarakat daripada ceramah dongeng seperti ini. Sudah sampai masanya masyarakat kita menghentikan kegilaan ini.
 

Ashwed

Sunday 11 February 2018

Pengembaraan Bermula

Kedamaian Buat Semua,

Sedang umat Islam sibuk menangkap saka, jin, hantu, jembalang, syaitan dan iblis. 

Kaum yang kita panggil kafir sudah berjaya membina roket paling berkuasa dan memulakan percubaan menghantar manusia ke Planet Mars.

Agaknya bagaimanakah bentuk saka, jin, hantu, jembalang, syaitan dan iblis di Planet Mars. Mungkin lebih "power" kekuatannya dari spesis yang ada di bumi kita ini.

Sayap mereka mungkin mencapai tujuh petala langit. Setiap kuakan sayap ini akan membawa saka dan jin ini terbang sehingga mencapai kelajuan mach-5.

Kalau di zaman moden ini kita disajikan dengan karakter adiwira seperti di dalam komik Marvel, DC dan sebagainya. Tidakkah kita terfikir, entah-entah cerita-cerita yang orang kita baca di dalam kitab-kitab arab zaman dahulukala sebenarnya hanyalah hiburan ringan masyarakat dahulu kala.

Jangan-jangan nama-nama yang begitu gah di zaman ini, kononnya ulama paling zuhud dan suci rupa-rupanya hanyalah setaraf Stan Lee, Otto Binder dan Roy Thomas sekadar penulis yang menghiburkan masyarakat di zaman mereka sahaja. Siapa tau ?




Agaknya di antara mereka yang menulis mengenai kisah-kisah fantasi menceritakan dengan panjang lebar bagaimana malaikat terbang dari satu syurga ke satu syurga dengan seorang kafir bernama ELON MUSK siapakah yang lebih ulama (berpengetahuan) ?

Jawapannya sangat jelas, hanya kita yang cuba menipu diri sendiri.

Ashwed

Minggu Yang Menyedihkan

Kedamaian Buat Semua,

Sebetulnya saya dan rakan-rakan sedang sibuk membuat persiapan terakhir sebuah perniagaan baru yang kami ceburi.

Di sebalik kesibukkan ini, beberapa berita masyarakat yang saya baca di dada akhbar dan media atas talian benar-benar mengganggu fokus saya. 

Apabila membaca berita-berita sebegini, saya sering membayangkan diri saya berada di tempat mereka yang menjadi mangsa.

Saya sering cuba menyelami apakah yang sedang bermain di fikiran mangsa-mangsa ini. Apakah perasaan mereka di saat yang paling getir di dalam hidup mereka.

Adakah mereka merasa putus asa, kecewa, marah atau takut ?

Kes yang pertama melibatkan seorang pelajar Tingkatan 2 di sebuah sekolah di utara tanah air. 

Beliau dituduh mencuri telefon bimbit kepunyaan seorang guru semasa menghantar buku ke bilik guru sekolahnya.

Akibat tuduhan tersebut beliau cuba membunuh diri sebaik sahaja sampai ke kediaman ibu bapanya, di hantar sendiri oleh guru dan suami guru yang membuat tuduhan tersebut.

Yang menyedihkan ialah, rakan-rakan menceritakan bagaimana mendiang begitu bersemangat mengatur upacara sambutan hari lahir guru yang terbabit di dalam kes ini.

Bagaimanakah mungkin, seorang pelajar yang sangat mentah berfikir untuk membunuh diri apabila menghadapi suatu krisis.

Di manakah kesalahan kita sebagai sebuah masyarakat ?  Apa mungkin Kementerian Pendidikan patut mula memulakan satu matapelajaran baru iaitu bagaimana menghadapi krisis ?

https://www.nst.com.my/news/nation/2018/02/330845/penang-girl-who-attempted-suicide-after-being-accused-iphone-theft-dies

Image result for penang girl who attempted suicide died M. Vasanthapiriya

Benar sebahagian besar kita tidak tahu dengan terperinci apa yang terjadi disebalik kejadian ini.

Oleh yang demikian, blog ini ingin mendoakan semoga keluarga mendiang tabah menghadapi saat-saat yang perit ini.

Kes kedua, melibatkan jenayah cemburu. 

Seorang kerani di ibu negara maut ditikam dengan pisau dapur semasa keluar membeli barang dapur bersama rakan sekerjanya.

Apa yang mengejutkan ialah lelaki yang terlibat bertindak membawa mayat mangsa dengan kereta ke balai polis sebelum menyerah diri kepada pihak polis.

http://bipop.bharian.com.my/berita/kes/2018/02/384946/lepas-bunuh-bawa-mayat-teman-wanita-ke-balai-polis

Image result for lelaki bunuh teman wanita lalu membawa mayat ke balai polis

Sekali lagi, blog ini ingin merakam ucapan takziah dan mendoakan semoga keluarga mendiang tabah di dalam mengahadapi saat-saat sedih sebegini.
 
Kes terakhir ini sangat-sangat meruntun perasaan apabila membacanya. 

Terus-terang, saya seolah-olah tidak sampai hati untuk membaca apa yang terjadi kepada tubuh kanak-kanak ini. 

Mendiang disebat dengan talipinggang, di gigit tengkuk, dipukul dengan kerusi plastik, ditendang, dipijak sehingga terkencing dan buah pinggangnya terputus.

Yang paling sedih ialah semua perkara itu dilakukan oleh bapanya sendiri. Seorang yang sepatutnya melindungi kanak-kanak ini.

Saya dapat membayangkan bagaimana perasaan ketakutan yang dialami oleh adik ini. Rakan baik beliau menceritakan dengan terperinci bagaimana arwah memeluknya erat-erat kerana takut untuk pulang ke rumah. 

Apabila mengenangkan bagaimana anak-anak saya tidak sabar-sabar untuk pulang ke rumah apabila tamat waktu persekolahan menyebabkan saya bergenang air mata memikirkan perasaan adik Aina Nabihah, seorang kanak-kanak perempuan kecil yang lemah, ketakutan tidak tahu apa yang harus dilakukan. 

Ini adalah suatu tindakan pengkhianatan yang tiada tolok bandingnya kepada emosi kanak-kanak malang ini. Semoga roh arwah tenang dan damai. Takziah dari blog ini untuk keluarga adik Nur Aina Nabihah. Semoga tabah menghadapi cabaran ini.

Jenayah ini sewajarnya mendapat balasan yang setimpal.

Yang paling mengganggu kita ialah dakwaan bapa mangsa bahawa beliau melakukan sebegitu kerana ingin membuang saka dari kanak-kanak malang tersebut.

Mengapa masyarakat melayu menjadi sebegini ? Mempercayai perkara tahyul sehingga tidak dapat membezakan realiti dan fantasi ? 

Sudah tiba masanya kita membuat suatu undang-undang untuk melindungi masyarakat dari kepercayaan tahyul dan karut sebegini. Juga untuk melindungi masyarakat dari ustaz air jampi, ustaz jin, bomoh dan pawang.

Tidakkah kita terfikir, seumur hidup kita ini pernahkah kita sekurang-kurangnya ada sekali terserempak dengan saka, hantu dan jembalang ? 

Atau kita hanya mendengar mitos itu diceritakan oleh nenek-moyang, rakan-rakan, ustaz jampi, ustaz jin, bomoh dan pawang ini sahaja. 

Jika saka, hantu dan jembalang ini wujud mestilah kita sendiri pernah terserempak semasa berseorangan di mana-mana sahaja kita berpergian ?

Mereka yang bercerita ini juga tidak pernah terjumpa dengan entiti ini. Beliau juga mendengarnya dari orang lain. Mengapakah kita tidak mahu memikirkannya ?

Image result for bapa aina nabihah
 Ashwed