Monday 25 July 2016

Realiti Orang Kita

Kedamaian Untuk Semua,

Saya sedang cuba mencari masa yang sesuai untuk kembali menulis. 

Namun, seperti yang kita sedia maklum bulan raya (bulan arab syawal) adalah bulan keriangan untuk kita, orang Melayu.

Walaupun masa yang panjang diambil untuk menyambut bulan ini, namun, memandangkan ia adalah sessi bertemu rakan-rakan lama, mengeratkan silaturrahim, melanjutkan hubungan perniagaan dan sebagainya maka saya fikir tidak ada salahnya kita menyambut bulan ini lebih gempita dari orang lain.

Di majlis-majlis sambutan raya orang Melayu, melalui pemerhatian saya dapati bahawa topik perbualan yang paling popular di kalangan kita ialah mengenai politik. 

Bagi saya ini adalah topik wajib bagi kebanyakkan keluarga Melayu tidak kira profesion.

Masing-masing mempunyai kepakaran yang tersendiri. Seolah-olah mereka kenal benar dengan tokoh yang sedang diborakkan. Seolah-olah mereka pernah meneliti segala dokumen transaksi yang menjadi isu. 

Begitu juga, ramai yang tiba-tiba menjadi pakar undang-undang antarabangsa biarpun pekerjaannya hanyalah sebagai seorang penjual insurans.

Topik yang kedua popular ialah mengenai agama. 

Oleh kerana bulan Ramadhan baru sahaja meninggalkan kita maka ramai juga rakan-rakan kita yang bercerita mengenai "amal ibadat" yang berjaya mereka lakukan di bulan tersebut.

Tak kurang juga ramai yang bercerita mengenai cabaran yang mereka hadapi semasa menunaikan "ibadat Ramadhan" mereka kali ini.

Kedua-dua topik ini jika dibualkan secara bersama akan menjadi satu ramuan pemusnah silaturrahim yang sangat dahsyat.

Ahli keluarga boleh jadi tidak bertegur sapa. Rakan-rakan bertempik dan bermasam muka. 

Masing-masing merasakan aliran pemikiran merekalah yang benar.

Orang kita apabila mereka menyokong sesuatu, mereka sangat setia terhadap sokongan mereka. Adakalanya ia sampai ke tahap membuta tuli.

Jikalah mereka menyokong pakatan pembangkang maka segala yang dibuat kerajaan salah dan kotor. Tokoh pembangkang dianggap suci dari dosa.

Begitu juga sebaliknya jika mereka menyokong kerajaan. Tokoh kerajaan dianggap suci sementara semua tokoh pembangkang adalah haprak.

Sifat inilah yang menjadi kelemahan orang kita. 

Sifat inilah juga yang menjadi tunggangan politikus dan ahli agama. 

Mereka mengambil kesempatan kepada kelemahan ini untuk kegunaan agenda peribadi mereka.

Jarang orang kita mahu membuat kaedah saintifik tentang sesuatu isu. Iaitu membuat pemerhatian sebelum datang dengan sebuah fakta yang kukuh. 

Kebanyakkannya sudah membuat keputusan mereka secara peribadi berdasarkan kepada sokongan mereka atau kebencian mereka terhadap kumpulan yang lain sebelum berborak isu itu bersama rakan-rakan. 

Maka terjadilah insiden sembang sosial yang menjadi ledakan, sekuat bunyi mercun yang meletup di sepanjang hari raya kita.

Inilah realiti kita, orang Melayu. Jarang sangat kita berbincang mengenai sains dan teknologi. Jika adapun ianya setakat jenis smartphone, tablet atau laptop baru di pasaran.

Kita tidak berbincang mengenai idea baru. Oleh yang demikian, kemajuan sangat jauh untuk kita capai.

Sungguhpun begitu, sedarlah bahawa orang yang kita bertekak bertegang urat semasa perjumpaan raya itu bukanlah orang lain. Kemungkinan ianya adalah Pak Usu kita, Pak Andak atau Makcik Timah sebelah rumah. 

Boleh jadi juga mereka adalah Bapa Mertua kita sendiri. Mungkin juga mereka ini adalah rakan sekatil semasa di asrama, anda katil bawah, rakan anda katil atas.

Sungguhpun mereka adalah penyokong tegar kumpulan yang tidak sama dengan kita, membenci kumpulan yang anda sokong, kita perlu sedar bahawa mereka ini bukanlah musuh kita.

Politikus yang sedang kita borakkan itu, jika di akhirnya dia di dapati bersalah, sesetengahnya sudahpun dipenjara, setengah yang lain menunggu hari bicara, mereka juga bukan musuh kita.

Mereka yang kita ketawakan, yang kita malukan melalui media sosial bukanlah orang lain. Mereka mungkin bapa seorang Melayu yang lain, mungkin anak kesayangan orang lain, mungkin juga pakcik kesayangan rakan akrab kita.

Kita orang Melayu sudah tentulah mempunyai perkaitan, bukankah kita dari bangsa yang sama ?

Sungguhpun yang kita malukan itu dari bangsa yang lain namun, ia tetap bapa kepada seseorang, ibu kepada seseorang atau anak kepada seseorang ?

Dan oleh kerana kita semua berasal dari asal yang sama, hidrogen yang sama, maka bukankah kita bersaudara ?

A013

"Wahai manusia, Kami cipta kamu lelaki dan perempuan, dan buat kamu berbangsa-bangsa, dan bersuku-suku, supaya kamu mengenali satu sama lain. Sesungguhnya yang paling mulia antara kamu di sisi Allah ialah yang paling bertakwa antara kamu. Sesungguhnya Allah Mengetahui, Menyedari" AQ 49:13

Ketahuilah bahawa musuh kita yang paling utama ialah sifat buruk kita sendiri atau syaitan di dalam Bahasa Arab Al Quran, bukannya mereka. 

Realiti Semasa

Semasa bulan Ramadhan yang lepas juga, saya sempat memerhatikan beberapa tajuk berita di negara kita. 

Kandungan berita-berita ini menarik perhatian saya kerana ia secara sekali imbas boleh menerangkan mengenai keadaan diri kita secara berkumpulan.

Cuba bayangkan jika kita berada di dalam satu budaya yang lain. 

Budaya yang negaranya maju, rakyatnya pula setiap hari berusaha untuk membawa idea baru. Apakah perasaan kita apabila membaca tajuk berita sebegini ?

1. Pakaian Ketat
   
Awek Baju Ketat Di Kelantan Kena Denda, Apa Isunya?

https://www.google.com/url?sa=t&rct=j&q=&esrc=s&source=web&cd=3&cad=rja&uact=8&ved=0ahUKEwi-nsG8rJDOAhUmSY8KHZJdDYUQFggyMAI&url=http%3A%2F%2Fwww.mynewshub.cc%2F2016%2F06%2F12%2Fawek-baju-ketat-di-kelantan-didenda-rm10k-jadi-isu%2F&usg=AFQjCNFd-VpBFY5-R3KfBDrAeVIrquVCKQ

2. Larang Orang Bukan Islam makan, berpakaian tidak sopan di hadapan orang Islam

https://www.google.com/url?sa=t&rct=j&q=&esrc=s&source=web&cd=1&cad=rja&uact=8&ved=0ahUKEwi4tb-Mr5DOAhVLOo8KHW5ZAHgQFggcMAA&url=http%3A%2F%2Fwww.ismaweb.net%2F2016%2F06%2Forang-bukan-islam-disaran-berpakaian-sopan-tidak-makan-di-depan-orang-islam%2F&usg=AFQjCNHsjpuFaP8aoFXY03j9coypzsyjPg


3. Melarang wanita "uzur" makan.

https://www.google.com/url?sa=t&rct=j&q=&esrc=s&source=web&cd=1&cad=rja&uact=8&ved=0ahUKEwim-6OmsZDOAhUFNY8KHeI_A2IQFggcMAA&url=http%3A%2F%2Fwww.ismaweb.net%2F2016%2F06%2Fulama-larang-wanita-uzur-makan-di-tempat-awam%2F&usg=AFQjCNGQAfKcj2MXbE0axGw3EuHg7Ds5ZA 

4. Naik Van Jenazah Jika Tidak Pergi Sembahyang Jumaat di Terengganu

https://www.google.com/url?sa=t&rct=j&q=&esrc=s&source=web&cd=1&cad=rja&uact=8&ved=0ahUKEwi6gdPJtJDOAhVKKY8KHbt1CvEQFggcMAA&url=http%3A%2F%2Fwww.freemalaysiatoday.com%2Fcategory%2Fbahasa%2F2016%2F07%2F19%2Fhukuman-naik-van-jenazah-di-terengganu-gagal%2F&usg=AFQjCNE8ZL-ninNTGj-Xrgahgl2CNL4Tlw

5. Yang terbaru, larangan bermain Pokemon Go

https://www.google.com/url?sa=t&rct=j&q=&esrc=s&source=web&cd=13&cad=rja&uact=8&ved=0ahUKEwicg4OzspDOAhVDuo8KHYe3CzkQFghmMAw&url=http%3A%2F%2Fwww.arah.com%2Farticle%2F6830%2Fulama-al-azhar-pokemon-go-haram-seperti-alkohol.html&usg=AFQjCNEX-Af3klgKT9Y_80ssKc0Mxo3EEQ 


Berita-berita ini boleh membuat kita menjadi stress dan lemas.

Namun, inilah realiti kita orang Melayu yang sedang mengamal sebuah agama yang dikenali sebagai Islam, ironinya perkataan itu membawa maksud kedamaian.  

Ini belum masuk berita-berita serangan maut yang dilakukan orang Islam di seluruh dunia seperti pestiwa serangan Kelab Gay di Orlando, serangan trak di Festival Bastille, Perancis, serangan di dalam keretapi di Jerman, serangan di gedung membeli-belah juga di Jerman. 

Kita perlu merenung semula terhadap agama yang masyarakat kita amalkan. 

Apakah ianya benar-benar damai jika kerja pihak yang berwajib di antara kita asyik melarang dan menyusahkan masyarakat. 

Tiadakah sekelumit idea di dalam masyarakat kita untuk berusaha menyelesaikan masalah masyarakat yang lebih perit seperti soal kemiskinan, isu dadah dan sebagainya ?

Ashwed
 

Friday 15 July 2016

Shariat, Tarekat, Hakekat dan Makrifat

Kedamaian Untuk Semua,

Terlebih dahulu saya ingin memohon maaf kepada mana-mana kumpulan yang kewujudan mereka di dasarkan kepada orde yang tersebut di tajuk artikel ini. Tulisan ini bukanlah satu kritikan kepada kumpulan anda. Ia hanyalah sekadar pemerhatian seorang insan yang sama-sama hidup di dunia ciptaan Tuhan ini.


A018



Selama saya menulis di ruangan ini, sekali-sekala akan muncul pembaca yang membaca artikel terkini lalu memberi komen mereka berdasarkan satu artikel yang mereka baca itu.

Bukanlah saya mahu menghalang para pembaca ini dari memberi komen. 

Blog ini mengambil posisi untuk menyiarkan semua komentar yang diterima. Ini adalah supaya kita tidak terlepas dari mendengar semua pendapat dan mengambil yang terbaik di antaranya.

Saya membuat moderation kepada ruangan komentar dengan tujuan untuk membaca semua komen para pembaca. 

Jika ianya ditujukan kepada saya, maka sepenuh daya, saya akan cuba membalasnya kecuali jika terlalu sibuk dengan urusan harian lalu terlupa untuk berbuat demikian.

Secara peribadi saya berpendapat, sesuatu komen yang diberi dengan hanya berdasarkan kepada satu artikel adalah suatu komen yang berbentuk pra-matang.

Ini adalah kerana kemungkinan besar satu artikel yang anda baca itu tidak menggambarkan keseluruhan pemikiran yang diketengahkan oleh blog ini.

Ia juga akan membuatkan para pembaca lain terpaksa mengundur ke belakang demi untuk menjawab persoalan ini. 

Untuk maju kita perlu memandang ke hadapan. Persoalan yang sudah dijawab dan sudah kita faham tidak perlu diulang-ulang. 


Menjawab persoalan yang sama berulang-ulang tidak membawa kita ke mana-mana, hanya sekadar berputar di sekeliling persoalan yang sama.

Pun begitu, terdapat juga para pembaca yang mempunyai rasa hormat yang tinggi kepada kaedah keilmuan. 

Mereka ini membaca blog BERONTAK UNTUK BEROTAK dari artikel pertama walaupun berkemungkinan baru menemui link kepada blog ini.

Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada mereka kerana berbuat begini, saya mengikuti perkembangan mereka. 

Melalui blogger dashboard saya boleh mengesan komen-komen yang dibuat mereka, dari satu artikel kepada satu artikel yang lain.

Melihat kepada perkara ini, saya teringat kembali kepada perjalanan yang saya tempuhi demi untuk mencari kebenaran. 

Ia sememangnya suatu perjalanan dan pengembaraan yang panjang. Namun, kebebasan minda yang saya perolehi kini adalah sesuatu yang sangat saya hargai.

Posisi Blog

Di kesempatan ini saya ingin menjawab persoalan mengenai perkataan "salam" ? 

Mengapa saya mengambil keputusan untuk menggunapakai "damai" sebagai makna terbaik untuk menterjemah perkataan ini dan tidak menggunapakai perkataan serah diri (submit), selamat atau sejahtera untuk menterjemahnya.

Sidang pembaca pasti sudah tahu akan akar kata yang membentuk perkataan ini, iaitu sin-lam-mim. Kata terbitan untuk akar kata ini pula ialah salam, salamu, salamun alayk, salamun alayka, salamun alaykum, muslim, muslimah, muslimin, muslimuna, aslama, aslamtu, aslam, Islam dan lain-lain.

Sejujurnya, anda boleh sahaja menggunapakai apa-apa perkataan pun untuk menterjemah perkataan ini berdasarkan kepada pemahaman anda.

Namun, cabaran yang kita perlu tangani di dalam mendalami Al Quran ialah untuk memahaminya secara konsisten. 

Hanya dengan cara ini sahaja kebenaran Al Quran itu dapat diperolehi.

A082

"Apa, tidakkah mereka renungkan al-Qur'an? Jika ia daripada selain Allah, tentu mereka dapati di dalamnya banyak perselisihan" AQ 4:82

Melalui artikel bertajuk Islam Moden vs Islam Al Quran, saya sudah menerangkan bahawa untuk suatu tempoh yang panjang, saya juga menggunapakai serah diri (submit) bagi menterjemah perkataan "salam".

Tetapi saya dapati adalah sukar untuk saya mengenengahkan konsep menyerah diri kepada khalayak yang lebih luas kerana konsep ini adalah agak peribadi sedangkan Al Quran diturunkan kepada manusia sejagat.

Lagipun, saya dapati di dalam Al Quran terdapat perkataan lain yang lebih tepat menerangkan keadaan menyerah diri atau submission

Perkataan itu adalah tawakkal dari akar kata wau-kaf-lam (w-k-l) yang membentuk perkataan wakil. Ia membawa makna "to give oneself over to, to rely/depend on, or have confidence in another"

Perkataan ini digunapakai sebanyak 69 kali di dalam Al Quran di antaranya ialah di AQ 5:23, 14:12, 25:58, 65:3 dan 73:9.

Saya juga dapati perkataan "salam" digunakan dengan maksud damai di dalam bahasa asal arab itu sendiri iaitu hebrew. Ia dikenali sebagai "shalom". 

Apabila ia digunakan bagi merujuk kepada kata jamak atau plural ia dikenali sebagai "shalom eleichem". Dalam tradisi orang yahudi "shalom eleichem" di jawab dengan perkataan "eleichem shalom".

Perkataan ini adalah sama maksud dengan "salamun alaykum". Iaitu kata terbitan yang merujuk kepada plural atau jamak. Ia membawa maksud "kedamaian untuk semua"

Adalah sangat janggal jika kita menterjemah "salam" sebagai serah diri/submit dan cuba menyebut "salamun alaykum" secara lafziyah di dalam Bahasa Melayu - SERAH DIRI KAMU SEMUA ? 

Bukankah lebih tepat jika di sebut KEDAMAIAN UNTUK SEMUA atau PEACE Y'ALL seperti yang sering di sebut oleh para artis hip hop ? 


A046

"Dan di antara keduanya ada tabir, dan di atas Benteng adalah lelaki-lelaki yang mengenali masing-masing dengan tanda mereka yang memanggil penghuni-penghuni Taman, "Salamun alaikum!" Mereka belum memasukinya, dan mereka sangat menginginkannya" AQ 7:46 

A085 

"Sesiapa mencari aturan hidup selain daripada KEDAMAIAN (al-islami), ia tidak akan diterima daripadanya, dan di akhirnya (fil-akhirati) dia adalah antara orang-orang yang rugi" AQ 3:85

SUFISM

Orde yang tersebut di tajuk artikel ini adalah aliran pemikiran yang sering dikaitkan dengan sejenis ajaran yang digelar Sufism atau Mystical Islam di dalam Bahasa Inggeris.

Kadang-kadang ia juga digelar sebagai Tassawuf. 

Susur galur kepada ajaran ini tidak lain dan tidak bukan ialah dari ajaran agama yang pertama di dunia iaitu Hinduism. 


Ia adalah salah satu dari 6 rukun astika (kewujudan) Hinduism iaitu aliran falsafah kewujudan Hinduism yang dikenali sebagai YOGA.

Anda boleh baca mengenai aliran falsafah yoga di dalam Hinduism di artikel berikut https://ashwed1973.blogspot.de/2015/11/asal-usul.html



 
Gambarajah ringkas
orde di dalam Sufism

Berikut adalah penerangan ringkas mengenai aliran pemikiran Sufism ;
  • Shariat (Arabic: شريعة‎‎) : legal path.
  • Tareqat (Arabic: طريقة‎‎) : methodico‑esoteric path.
  • Hakekat (Arabic: حقيقة‎‎) : mystical truth / verity.
  • Makrifat (Arabic: معرفة‎‎) : mystical knowledge & awareness, mysticism
Shariat, Tarekat dan Hakekat adalah jalan yang digunakan untuk menemui apa yang dikenali Makrifat.

Di dalam keratan rentas di atas tempat Makrifat ialah ditengah-tengah pusat Hakekat

Namun, oleh kerana ianya adalah kebenaran mistik, maka sudah tentulah ianya tidak nampak. Oleh kerana itu, ia tidak dilukis sebagai gambarajah. Hmm. 

Pengikut ajaran ini pasti enggan mengakui bahawa pengetahuan mereka mengenai "agama Islam" selama hari ini adalah berkait rapat dengan Hinduism. 

Seperti yang selalu saya sebut, untuk mengetahui sesuatu dengan mendalam, kita perlu pergi kepada permulaan sesuatu itu dicipta. 

Seperti brand agama yang lain, ia juga adalah sebuah ciptaan afterthought. Apa yang perlu kita buat ialah lihat bagaimana ia bermula dan berevolusi

Setelah kita membuat kesemua pemerhatian ini, baharulah kita boleh membuat suatu kesimpulan yang boleh dipanggil fakta. 

Sejujurnya, saya mengakui bahawa saya kurang pengetahuan mengenai ajaran Sufism kerana saya bukanlah seorang pengamal Sufism.

Namun, oleh kerana saya adalah seorang pengamal Undang-Undang di mana saya mendapat latihan sarjana di negara ini, maka saya di wajibkan untuk mengambil kertas Syariah Islamiyah. 

Saya lulus dengan sangat cemerlang. Dengan ini, saya fikir, saya sudah menguasai "legal path". Salah satu aliran pemikiran Sufism.

Untuk memahami jalan yang lain, secara peribadi saya sudahpun membaca beberapa buah buku mengenai ajaran ini terutama mengenai aliran Makrifat.

Mungkin pendekatan dan gaya penulisan yang di ambil oleh si penulis yang mahu dikenali sebagai generasi ketiga Tok Kenali membuatkan saya hilang minat untuk mengetahui aliran ini dengan lebih mendalam.

Namun, secara ringkas saya boleh membuat kesimpulan bahawa ajaran ini mementingkan GURU sebagai pengantara mereka dengan dunia mistik yang menjadi dambaan kumpulan ini.

Guru di kenali sebagai Murshid atau Mawla. Mengikut ajaran mereka, Guru adalah penghubung di antara anak murid dengan alam mistik dan kemuncaknya kepada Allah. 

Oleh kerana itu, Guru di dalam ajaran ini sangat di hormati sehingga ke tahap taksub. 

Pengikut ajaran ini mempercayai bahawa manusia boleh menjadi dekat dengan Tuhan di dunia ini seolah-olah seperti melihatnya dengan mengamalkan beberapa ritual seperti meditasi (muraqaba), zikir, sufi whirling dan menziarah kubur Guru.

Muraqaba boleh dibahagikan kepada beberapa tahap iaitu Ghanood, Adraak dan Warood.

Muraqaba adalah satu proses di mana pengamal ajaran ini akan memencilkan diri dari dunia materi (ascentism/latihan/bertapa) atau sekadar mendiamkan diri. 

Di zaman dahulukala, konsep ini memerlukan si pengamal pergi ke sebuah daerah yang terpencil dan jauh dari riuh pikuk orang ramai seperti di telaga buta, rumah tinggal atau gua untuk bertapa. Kini, saya rasa ia tidak begitu lagi.

Dikatakan apabila seseorang sudah menguasai teknik muraqaba mereka akan berada di antara tidur dan jaga. 

Di sinilah dengan latihan yang berterusan para penganut dapat merasai pengalaman tertinggi yang dipanggil Warood

Di tahap Warood, pengamal bukan lagi berada di pihak pemerhati tetapi masuk bersatu dengan alam.

Membuat latihan Muraqaba dengan giat, akan mengakibatkan para pengamal menerima pengetahuan secara mistik. 

Ia mempunyai beberapa tahap yang dikenali sebagai kashaf/ilham, shahood dan fatah.

Diperingkat kashaf si pengamal secara misteri akan menerima pengetahuan mistik. Di tahap ini, si pengamal tidak boleh mengawal penerimaan pengetahuan ini.

Sesudah berlatih dengan giat, si pengamal akan memasuki tahap shahood di mana beliau boleh mengawal penerimaan pengetahuan ini.

Di peringkat ini si pengamal dapat melihat, mendengar, menghidu dan merasa apa sahaja di dalam angkasaraya ini (Secara jujur saya sudah merasa seperti membaca komik marvel. Entah kenapa bayangan Professor Charles Francis Xavier dari siri X-Men sering muncul di pemikiran).

Apabila si pengamal sudah cukup latihan beliau akan memasuki tahap fatah. Di tahap ini beliau tidak perlu lagi bermeditasi untuk menerima pengetahuan. Beliau bebas dari masa dan ruang dan boleh melihat, mendengar, menghidu dan merasa di mana-mana sahaja tempat dan waktu (masa hadapan dan masa yang lalu) di dalam alam ini.

Kesemua latihan ini menjadikan para pengamal dibahagi kepada beberapa makam, iaitu :-

a. fana - pupus dari realiti
b. sair illallah - perjalanan menuju Allah
c. fana fillah - kepupusan diri di dalam Allah
d. sair min Allah - perjalanan kembali dari Allah; dan yang paling hebat
e. Baqaa billah

Untuk pengetahuan, tahap baqaa billah ialah satu tahap di mana si pengamal kembali ke alam realiti setelah menerima perlantikan dari Allah untuk menjadi petunjuk kepada manusia.

Kesimpulan

Sebenarnya, saya tidak mempunyai masalah sedikit pun dengan amalan sesiapa pun di tanah air kita ini.

Samada anda Sunni, Syiah, Sufi, Ahmadiyah, Ibadi, Asyaari, Salafi, Kristian, Sikh, Buddha, Judais, Bahai, Atheist dan sebagainya

Pegangan anda adalah pilihan peribadi anda. Siapalah saya untuk menilai anda.

Untuk pengetahuan para penganut "agama Islam", Malaysia adalah salah satu negara yang menandatangani Deklarasi Amman pada 9 November, 2004.

Menurut deklarasi ini, seramai 200 cendikiawan Islam telah mencapai 3 kata sepakat iaitu :-

1. Menerima semua mazhab termasuk pegangan asya'ri/maturudi, sufism dan salafi sebagai Muslim.

2. Menghalang keras perbuatan takfiri (mengiktiraf pegangan lain sebagai kafir)

3. Mengawal prinsip asas di dalam mengeluarkan fatwa mengikut ketetapan negara.     

Negara kita di wakili oleh Perdana Menteri di waktu itu, iaitu Tun Abdullah Badawi. Dato Seri Anwar Ibrahim juga turut serta tidak salah saya.

Maka, menurut deklarasi ini apa pun pegangan anda, Malaysia mengenali anda sebagai Muslim.

Namun, deklarasi ini pada hemat saya tidak dihormati oleh politikus di tanah air kita. Ramai di antara mereka memainkan sentimen agama dan mazhab demi mengaut laba politik. 

Berbalik kepada tujuan utama saya menulis artikel ini, saya tidak boleh menerima ajaran Sufism kerana beberapa sebab.

Saya berpendapat dunia ini di bahagikan kepada dua iaitu alam khayalan dan alam realiti.

Kita hidup di alam realiti atau alam nyata sedangkan dari pembacaan saya dapati pegangan Sufism banyak berada di dalam alam khayalan.

The devil is in the detail kata orang putih. Saya dapati apabila membaca pegangan ini secara lebih teliti, terdapat banyak kenyataan yang tidak dapat disahihkan.    

Saya beri contoh yang di ambil dari blog mengenai aliran pemikiran makrifat. Ia di ambil dari kisah Nabi Musa mahu melihat Allah ;

Kata Allah, Ya Musa aku bukan mahluk, aku bukan ain, aku bukan sesuatu, aku bukan benda macam mana aku nak tunjukkan wajahku kepada mu, macam mana aku nak tunjuk wajahku kepada engkau ya Musa. aku ini tidak bersifat dan tidak berain…. Laisa kamislihi syaiun ……, apa yg kamu ingat itu, bukan aku, apa yang kau gambar-gambarkan itu, bukan aku, apa yang kamu pandang itu, bukan aku, bukan aku, bukan aku, macam mana aku nak perzahirkan wajah aku kepada mu ya Musa. Nabi Musa berkata lagi, Ya Allah ya tuhan ku aku ini seorang nabi, sedangkan orang bukan nabi boleh tunjuk-tunjuk tuhan dia, mereka boleh pegang tuhan mereka, boleh dimandikan, boleh di raba, boleh dibawa kesana kemari, sedangkan mereka itu bukan nabi, boleh tunjuk tuhan mereka, tapi aku sebagai seorang nabi, usahkan kata nak tunjuk, nak ceritapun aku tak boleh, tak reti, oleh itu bagaimanakah org nak percaya kepada aku, ya Allah , kata Nabi Musa.

Jadi ya Allah perzahirkanlah wajah mu, aku nak tengok, aku nak lihat, aku nak tilik, semoga boleh lah aku menceritakannya semula kepada kaum aku.” Lalu dgn kasih sayang Allah SWT berkatalah Allah kepada Musa, Ya Musa, sekiranya benar engkau nak melihat wajah ku, Aku bagi kau mengenal aku, hanya melalui satu kiasan sahaja (yakni satu perumpamaan). Jika kau tahu akan kiasan atau perumpamaan ku ini, maka engkau akan dapat mengenal aku dan akan dapat melihat aku pada jam ini, pada hari ini dan pada saat ini ya Musa.
Al Quran ada menceritakan hal ini di AQ 7:143,
A143 
"Dan apabila Musa datang pada waktu yang Kami tetapkan, dan Pemeliharanya berkata-kata dengannya, dia berkata, "Wahai Pemeliharaku, perlihatkan kepadaku, supaya aku dapat lihat Engkau." Berkatalah Dia, "Kamu tidak akan melihat Aku; tetapi perhatikanlah gunung itu - jika ia tetap di tempatnya, maka kamu akan lihat Aku." Dan apabila Pemeliharanya nampakkan-Nya kepada gunung, Dia membuatnya hancur menjadi debu, dan Musa jatuh pengsan. Setelah dia terjaga, dia berkata, "Engkau disanjung! Aku bertaubat kepada Engkau; aku yang pertama antara orang-orang mukmin." AQ 7:143

Pertemuan ini adalah di antara Nabi Musa dan Pemeliharanya, tiada siapa lagi yang ada di situ melainkan Nabi Musa. 

Kisah ini diilhamkan kepada Nabi Terakhir setakat yang tertulis di Al Quran sahaja. Maka kisah yang lebih detail seperti yang tertulis di blog itu tidak boleh dibuktikan sebagai fakta. Ia hanyalah persangkaan.

Sebab yang kedua ialah mengenai ketaksuban ajaran ini kepada Guru mereka.  
Sebagai seorang pengamal Undang-Undang saya berpengalaman mendengar kisah bagaimana Guru-guru ini mengeksploit ketaksuban anak muridnya dengan meminta pelbagai imbuhan dunia.

Anda boleh lihat video eksploitasi Shri Sai Baba terbitan BBC seperti yang saya sertakan di Artikel bertajuk Siri Ramadhan : Mistikal untuk mendapat idea mengenai hal ini.

Ketaksuban akan menjadikan seseorang hilang pertimbangan, di tambah pula jika seorang Guru itu menyatakan dirinya sudah mencapai tahap Fatah iaitu mempunyai kuasa melihat, mendengar, menghidu dan merasa di mana-mana dan waktu dalam alam ini. 

Adakah anda berpendapat seorang anak murid yang berada diperingkat permulaan di dalam ajaran ini mempunyai hak yang luas untuk mempertikai orang yang lebih senior darinya ?

Bagi saya ia adalah satu kaedah yang licik untuk menipu seorang manusia lain.

Pun begitu, saya tegaskan lagi sekali bahawa saya tidak mempunyai apa-apa masalah dengan sesiapa pun yang mahu mengikuti ajaran ini.

Anda berhak kepada hidup anda. Kita bukanlah musuh kepada yang lain.

Cuma, sebagai seorang yang menghormati kebebasan berfikir, saya berpendapat, jika anda mempunyai pegangan yang berbeza dengan posisi blog ini, cara yang paling baik untuk anda debunk semua pemikiran blog ini ialah dengan mencipta blog anda sendiri.

Di ruang ciptaan anda, anda boleh bercerita segala-galanya mengenai aliran pemikiran yang anda ikuti sambil menyanggah semua pemikiran dan posisi blog BERONTAK UNTUK BEROTAK.  

Bukankah dunia ini luas ? Saya pasti ruang maya internet ini tidak akan menjadi sempit untuk satu lagi wacana disiplin keilmuan. Bukankah begitu ?

Ashwed