Monday 7 January 2019

Selamat Tahun Baru 2019

Kedamaian Buat Semua,

Masih belum terlewat untuk saya merakamkan ucapan selamat tahun baru 2019.

Tahun baru azam mesti baru. 

Azam saya tahun ini adalah untuk menyempurnakan semua azam yang telah saya buat di tahun 2018. 

Di samping itu, tahun ini sejajar dengan usia yang semakin meningkat, saya merasakan perkara yang paling nikmat kini ialah jika sekiranya dapat hidup secara simple.

Dengan tahap stress yang paling minimal. Bebas dari komitmen kewangan. Bersantai bersama keluarga sepuas-puasnya. Kesihatan pula di tahap tertinggi. Fuh ......

Memang seronok berfantasi. Namun, realiti kehidupan bukanlah selalu menyeronokkan.

Saya sendiri bersyukur kerana diberikan kesihatan yang baik, tahap stress yang tidak begitu tinggi dan pendapatan yang sederhana. Mungkin inilah jalan yang terbaik untuk seorang seperti saya.

Pada setengah yang lain kehidupan mereka nampak seperti nomad. Sentiasa berkelana. Kereta menjadi katil dan berumah di merata rehat dan rawat di sepanjang lebuh raya Semenanjung Malaysia.

Ada yang kehidupan hariannya sentiasa dikejar deadline. Sentiasa perlu membuat sesuatu berdasarkan tarikh yang ditetapkan orang lain.

Ada pula yang hidupnya sentiasa dikelilingi tahap stress yang amat tinggi. Ini dapat kita saksikan pada kehidupan seorang ahli politik terutamanya.

Siapalah kita untuk menghakimi sisi kehidupan orang lain. 

Apa yang kita rasakan beban mungkin pada orang lain adalah nikmat. Begitu juga sebaliknya.

A286

"Allah tidak bebankan sesuatu jiwa melainkan menurut kesanggupannya. Baginya apa yang ia usahakan, dan ke atasnya apa yang ia usahakan. "Wahai Pemelihara kami, janganlah Engkau pertanggungjawabkan kami jika kami lupa, atau buat kesilapan. Wahai Pemelihara kami, janganlah Engkau bebankan kami sebagaimana Engkau telah bebankan orang-orang sebelum kami. Wahai Pemelihara kami, janganlah Engkau bebankan kami melebihi apa yang kami ada kekuatan untuk memikul, dan maafkanlah kami, dan ampunkanlah kami, dan kasihanilah kami; Engkau Pelindung kami, maka tolonglah kami terhadap kaum tidak percaya" AQ 2:286

Oleh yang demikian, melihat apa yang yang ditanggung oleh orang lain lalu menghukumnya dari sisi kacamata sendiri adalah suatu perbuatan yang sangat tidak adil.

Ini adalah kerana kita sesungguhnya tidak dapat memahami penyebab utama beliau mengambil keputusan yang sedang kita lihat natijahnya itu.

Kita boleh sahaja mengutuk perbuatannya yang salah di sisi undang-undang tetapi kita tidak sekali-kali mempunyai moral yang lebih tinggi dari orang tersebut.

Malah mungkin jika diselidik secara teliti moral kita sendiri berkemungkinan lebih teruk dari orang yang sedang diadili itu. Cuma bezanya ialah kita belum tertangkap atau mungkin bernasib baik terlepas dari neraca keadilan di dunia ini.

Selamat Tahun Baru 2019, semoga tahun ini menjadi lebih baik dari yang sebelumnya.

Ashwed