Monday 19 November 2018

Politik : ICERD dan Kesan Kepada Hubungan Kaum Di Malaysia

Kedamaian Buat Semua,

Saya memohon maaf di atas ketidakupayaan saya mencuri masa untuk menulis selalu seperti waktu dahulu.

Ramai yang mengirim e-mel peribadi bertanyakan khabar. Dengan IzinNya saya sihat sahaja. Namun, ditarik sedikit kelebihan masa.

Sebagai rakyat Malaysia, terus terang saya ingin menyatakan bahawa terdapat sedikit cabaran dari segi ekonomi.

Mungkin penduduk Malaysia sedang mencari kesesuaian dengan suasana baru.

Apapun saya berharap, kelembapan ekonomi yang dirasai oleh negara kita dapat berlalu dengan secepat mungkin.

ICERD

Mutakhir ini, terdapat ketegangan hubungan di antara kaum di Malaysia.

Setakat pada waktu artikel ini di tulis, ketegangan itu dirasakan sangat ketara di dalam ruangan alam maya.

Pada minggu ini pula, sudah terdapat bantahan secara demonstrasi aman berlaku di merata tempat di seluruh negara apabila tersebarnya sebuah video lama seorang pendokong pertubuhan yang diberi nama HINDRAF.

Beliau kini adalah seorang Menteri di Jabatan Perdana Menteri dengan portfolio Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional.

Hari ini pula, saya lihat ianya sudah mula meletup di Dewan Parlimen Malaysia.

Apakah dia ICERD ?

ICERD membawa maksud International Convention on all Elimination of Racial Discrimination. 

Konvensyen ini di mulakan pada 4 Januari, 1969 oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di mana dari 179 negara di dunia, 88 buah negara sudah meratifikasi (menandatangani secara formal) konvensyen tersebut.

Pada dasarnya konvensyen ini sangat berjiwa besar. Ia merupakan suatu konvensyen yang sangat idealistik dari segi roh kemanusiaan sejagat.

Namun, hakikatnya banyak negara-negara yang menandatangani konvensyen tersebut sendiri melanggar hak-hak kemanusian yang mereka sendiri ratifikasikan.

Sebagai contoh China, negara ini menindas malah membunuh bangsa Uighur kerana agama yang dipraktis oleh bangsa tersebut.

Begitu juga di India, di mana banyak kejadian ketegangan agama berlaku.

Amerika Syarikat di bawah Donald Trump Yang terkenal sebagai seorang Red Neck juga di dapati perlanggaran diskriminasi bangsa berlaku terhadap imigran dari Amerika Selatan.


Membership of the Convention on the Elimination of All Forms of Racial Discrimination

Membership of the Convention on the Elimination of All Forms of Racial Discrimination:
  Recognise competence under Article 14
  Do not recognise competence under Article 14
  Signed but not ratified
  Neither signed nor ratified

Undang-Undang Antarabangsa

Di dalam hubungan undang-undang antarabangsa terdapat satu prinsip yang dikenali di dalam bahasa latin sebagai PACTA SUNT SERVANDA ( pact must be served ). 

Secara dasarnya, ia membawa maksud bahawa apa-apa treaty, kerjasama atau perjanjian yang dimasuki mestilah ditepati oleh negara-negara dunia di bawah Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.

Ini bermakna apa-apa konvensyen yang kerajaan-kerajaan dunia turunkan tandatangan formal (ratifikasi) perlulah ditepati bagi memelihara kedudukan kerajaan tersebut sebagai salah sebuah anggota masyarakat dunia.

Walaubagaimanapun, prinsip ini mempunyai pengecualian melalui maxim CLAUSULA REBUS SIC STANTIBUS ( things thus standing ). Ia memberi pengecualian kepada prinsip PACTA SUNT SERVANDA, jika sekiranya ratifikasi tersebut menyebabkan Undang-Undang asas sesebuah negara berubah.

Kacamata Malaysia

Sebagai sebuah negara yang merdeka dan berdaulat sudah tentu Malaysia mempunyai sejarahnya yang tersendiri.

Saya amat pasti masing-masing dari kita sudahpun mempunyai pengetahuan mengenai perkara ini. Ini adalah realiti yang harus kita semua depani.

Dan sebagai seorang penduduk Malaysia yang sudah hidup di sini selama 45 tahun, saya merasakan negara ini mempunyai tahap toleransi bangsa, budaya dan agama yang sangat tinggi.

Jika tidak masakan pelancong asing setiap tahun datang ke sini untuk menyaksikan perayaan thaipusam ?

Ini adalah keunikan Malaysia yang tidak dapat ditandingi oleh negara-negara lain.

Keunikan ini wajar kita pertahankan dari dirompak oleh golongan ekstrimis dan rasis.

Bagi saya, apa pun keputusan yang mahu dibuat oleh Kerajaan Malaysia ia mestilah sentiasa berpandu kepada asas KEDAMAIAN (Al-Islam) sebagai garis keutamaan.

Oleh yang demikian, ianya adalah lebih bijaksana jika Menteri yang berkenaan memelihara STATUS QUO ( existing state of affairs ) seperti yang termaktub di dalam Perlembagaan Persekutuan Malaysia daripada menjerumus seluruh rakyat kepada polemik ketegangan hubungan di antara kaum. 

Ini adalah kerana ratifikasi ICERD akan dineutralkan oleh maxim CLAUSULA REBUS SIC STANTIBUS seperti yang saya terangkan tadi.

Di dalam keadaan tidak meratifikasi ICERD pun, negara ini sudah membuktikan ketinggian tahap toleransi dan bebas diskriminasi sehinggakan perayaan budaya dan agama yang berlainan begitu bebas diraikan oleh para penduduknya.

Ia adalah lebih terhormat daripada mengikut jejak negara-negara yang mendokumentasikan pena ke atas kertas tetapi realitinya mereka terang-terangan melakukan diskriminasi kaum.

Berkenaan dengan Menteri yang bertanggungjawab memulakan kemelut ini. Memandangkan latarbelakang beliau yang ekstrim, ditambah pula dengan tularnya video-video beliau yang menampakkan dengan jelas sifat ekstrim dan rasis itu. Maka jalan yang paling baik demi kedamaian sebuah negara yang bernama Malaysia, beliau seharusnya meletakkan jawatan.

Ini bukan mengenai mereka si ahli politik tetapi ia adalah mengenai kita rakyat Malaysia yang berbilang kaum, bahasa, budaya dan agama. Kitalah yang bertanggungjawab mempertahankan kedamaian ini.

Damai

Ashwed
19-11-2018

Monday 18 June 2018

Berita Baik !!!!

Kedamaian Buat Semua,

Terlebih dahulu saya ingin menyampaikan ucapan Salam Lebaran kepada rakan-rakan blog ini.

Semoga perayaan kali ini dapat mengeratkan silaturrahim di antara sanak saudara, rakan taulan dan semua yang kita kenali.

Saya juga ingin membuat satu pengumuman. 

Iaitu blog ini sudah dikeluarkan dari sekatan dan sudah kembali bersiaran di saluran internet perdana. 

Terima kasih Malaysia Baharu. 

Di musim perayaan ini saya tertarik kepada sekeping imej yang saya terima melalui telefon mudah alih.

Ia menceritakan dengan tepat mengenai perbezaan akhlak di antara dua buah masyarakat yang sama-sama menghuni bumi ini.


Di sebelah kiri adalah imej sebuah longkang di negara Islam yang bernama Malaysia.

Sementara, di sebelah kanan ialah imej longkang di sebuah negara bukan Islam bernama Jepun.

Longkang di Malaysia dipenuhi dengan sampah sarap. Menyebabkan airnya berhenti mengalir lalu tidak membenarkan kehidupan menumpang teduh. 

Saya dapat membayangkan bau busuk yang terhasil dari keadaan ini.

Longkang di Jepun pula bersih dari sampah sarap. Air longkangnya bersih dan mengalir tenang menyebabkan ikan koi boleh menumpang hidup di dalamnya.

Siapakah sebenarnya yang sedang hidup di dalam Jannah ?


A015

"Perumpamaan (matha-loo) Jannah yang dijanjikan kepada orang yang prihatin (mut-ta-qoo-na) yang di dalamnya ada sungai-sungai dari air yang tiada berubah rasa dan baunya, sungai-sungai dari air susu yang tidak berubah rasanya, sungai-sungai dari khamar (wine) yang lazat rasanya bagi peminumnya dan sungai-sungai dari madu yang disaring; dan mereka memperoleh di dalamnya segala macam buah-buahan dan ampunan dari Rabb mereka, samakah ia dengan orang-orang yang kekal dalam api (naa-ri) dan diberi minuman dengan air yang mendidih sehingga memotong ususnya"  AQ 47:15

Ashwed

 

Wednesday 23 May 2018

Siri Ramadhan : Demokrasi Dalam Masyarakat

Kedamaian Buat Semua,

Bila sebut sahaja perkataan demokrasi tentu sahaja di fikiran ramai di antara kita tergambar bahawa ia adalah mengenai majoriti ?

Mungkin juga ramai yang menggambarkan bahawa ia adalah mengenai populariti yang di jana oleh tokoh politik tertentu.

Kita sering merasakan bahawa populariti dan majoriti yang diperolehi tokoh itu menjadikan beliau layak menjadi pemimpin kepada diri kita. 

Dari suatu segi kerana amalan demokrasi yang kita pilih, memang benar, sesiapa yang mendapat undi majoriti layak menjadi pembuat keputusan bagi diri kita sebagai rakyat terbanyak.

Namun, saya ingin membawa saudara-saudari sidang pembaca yang budiman kepada suatu senario yang agak janggal.

Bayangkan kita semua berada di dalam sebuah kapal yang sedang berlayar di lautan yang luas.

See the source image

Sekarang, bayangkan lagi bahawa kita diminta untuk memilih seorang nakhoda bagi mengemudi kapal yang sedang di dalam pelayaran mengharungi lautan luas tersebut.

Pemilihan ini semakin menjadi agenda yang amat penting di antara penumpang dan anak kapal memandangkan lautan sudah menjadi gelap dan garang akibat cuaca yang tidak baik.


See the source image

Kita diberi dua pilihan sahaja iaitu ;

Tokoh A - seorang yang amat popular di antara para penumpang dan anak kapal. Beliau adalah seorang ahli perniagaan berjaya yang mempunyai harta berbillion-billion serta sering memberi sadaqah kepada kita dari hartanya yang banyak itu. Malah kapal yang kita sedang layari itu pun sebenarnya dibiayai pembinaannya oleh beliau. Beliau juga sering membuat majlis keraian dan menjemput para penumpang serta anak kapal bermesra di majlis itu.

Tokoh B - Seorang yang kurang popular. Mempunyai masalah kewangan yang tidak terurus. Seorang bujang yang tidak mempunyai keluarga walaupun sudah agak berusia. Walabagaimanapun, beliau mempunyai pengalaman luas mengenai lautan. Beliau sudah menjadikan lautan sebagai tempat bermain di antara 40-50 tahun. Beliau bermula dari menjadi anak kapal kelas rendah, tetapi diangkat dengan pantas ke bahagian lain oleh kerana ketekunan dan minat yang mendalam mengenai dunia perkapalan dan pelayaran di lautan luas. Beliau mempunyai rekod menjadi nakhoda kepada kapal-kapal perdagangan dan penumpang yang ternama dan selama beliau memberi khidmat belum ada lagi kapal kendaliannya yang tenggelam di lautan.

Siapakah di antara dua tokoh di atas benar-benar berupaya membawa kita ke daratan dengan selamat ?

Yang popular atau yang kurang popular ? Yang berduit atau yang kopak ? Yang pandai membawa diri di dalam majlis atau yang janggal ?

Nah, apabila diberikan senario yang sebegini, barulah kita berfikir di ruang yang lain. 

Tiba-tiba baharulah kita memahami bahawa populariti dan majoriti tidak lagi mempunyai kesan yang berguna buat diri kita jika senarionya berbeza.

Yang lebih penting kepada kita di saat itu bukannya populariti tetapi pengalaman, pengetahuan dan rekod untuk menyelamatkan para penumpang, anak kapal seterusnya diri kita sendiri.

Begitulah sebenarnya sebuah amalan demokrasi yang ideal.

Ia bukan mengenai populariti dan majoriti semata-mata.
Demokrasi yang terhidang di hadapan kita sekarang ini ialah mengenai bagaimana mahu memenangi pertandingan pilihanraya.

Untuk menang, pelbagai cara digunakan bagi mengawal persepsi rakyat. Propaganda, fakta separuh benar dan berita palsu digunakan tanpa ada sekatan sehinggakan rakyat menjadi keliru dan sukar membuat keputusan.

Cuba kita bayangkan, jika kita sebagai penumpang kapal olok-olok yang saya gambarkan seperti di atas, apakah kita akan membenarkan permainan persepsi mengaburi daya pilihan kita ?

Sudah tentu tidak. Bukankah begitu ?

Sebuah demokrasi yang ideal ialah apabila para pengundi mempunyai informasi yang tepat untuk membuat keputusan.

Oleh kerana itu, para pengundi perlu menyiapkan diri sendiri dengan ilmu pengetahuan yang diperlukan bagi membuat keputusan yang paling baik demi masa depan diri sendiri serta generasi anak-anak dan cucu-cucu mereka.

Yang menjadi masalah kita ialah bagaimanakah caranya mendapatkan ilmu pengetahuan yang diperlukan itu ?

Adakah semua pengundi mahu membuat pencarian dan menguasai ilmu yang bertepatan sebelum membuat keputusan ? Atau kita masih mahu membiarkan diri kita dilambung ombak dan hanyut dengan informasi yang diberikan oleh orang lain tanpa mahu membuat carian sendiri ?

Tepuk dada tanya selera. 

Yang pasti demokrasi tidak akan menjadi agong jika kita meneruskan amalan lama. 

Kita sekadar menjadi segerombolan kambing yang di minta untuk memilih seorang ketua di kalangan tukang sembelih.

Kita pilih atau tidak, kita tetap menjadi mangsa yang akan disembelih.

See the source image 

See the source image

 See the source image

Ashwed



Tuesday 22 May 2018

Siri Ramadhan : In The Business Of Bullshit !!!

Kedamaian Buat Semua,

This video probably sum up what most of us think about the state of our country or maybe the state of the world affairs.

Thank you for watching.

Please also check out my previous article on the subject https://ashwed1973.blogspot.co.il/2016/05/in-business-of-marketing.html

https://ashwed1973.blogspot.co.il/2016/05/kegilaan.html

 
 Ashwed
 

Thursday 17 May 2018

Siri Ramadhan : Selamat Datang Ke Era Malaysia Baru

Kedamaian Buat Semua,

Sebaik sahaja mengetahui keputusan pilihanraya PRU-14, saya menerima kiriman grafik dari rakan-rakan. 

Di antara mesej yang ingin cuba disampaikan ialah mengenai permulaan era Malaysia Baru.

Kepada rakyat yang meyakini perjuangan pakatan pembangkang (kini kerajaan) pastilah kejayaan ini wajar diraikan sepuas-puasnya. 

Sesuatu yang menjadi kecemburuan masyarakat dunia yang lain ialah betapa tenangnya rakyat Malaysia menghadapi transisi ini. 

Pelbagai bangsa yang ada di Malaysia seakan-akan tidak mahu terlalu bercakap mengenainya. Mungkin masing-masing mengerti sensitiviti yang datang bersama sentimen ini.

Saya melihat semua ini dari sudut lain yang lebih neutral. 

Semasa pilihanraya tempohari saya mengundi wakil rakyat yang memberikan perkhidmatan yang cemerlang di kawasan saya. Pilihan ini jelas kerana saya sendiri merasai kesan bantuan wakil rakyat di tempat saya itu.

Apabila mengetahui beliau kalah saya dapat merasakan apakah puncanya.

Ia adalah kerana mainan propaganda persepsi di antara parti politik yang terlibat.

Perkara ini dibuktikan apabila saya sendiri terdengar dapatan yang dibawa oleh beberapa orang pengundi luar yang kembali ke kampung mereka hanya sekadar mahu membuang undi.

Para pengundi luar ini tidak sedar bahawa dengan membuang undi sebegini, kehidupan mereka tidaklah banyak berubah tetapi masyarakat setempat yang sering dibantu oleh wakil mereka yang lama kini sudah kehilangan tempat untuk mengadu.

Ini adalah kerana wakil rakyat baru yang tinggal sekampung dengan kami selama hari ini belum pernah tampil membela nasib masyarakat setempat melainkan hanya berminat dengan isu-isu nasional.

Saudara dan saudari,

Di era Malaysia Baru ini saya melihat beberapa perkara yang baik serta beberapa perkara yang buruk.

Di antara yang baik ialah ketua pentadbiran yang baru ini mempunyai pandangan yang berbeza mengenai pentadbiran agama Islam. Beliau meyakini bahawa agama Islam perlu ditakrif semula berdasarkan Al Quran dan hadis sahih.
 
http://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/2018/05/17/pentadbiran-agama-islam-bakal-berubah-kata-dr-m/

Yang keduanya, sebuah badan khas untuk merangka apa yang dikenali sebagai Reformasi Institusi telah tertubuh. Badan tersebut adalah sangat sesuai di dalam keadaan keseluruhan Kerajaan Malaysia dihimpit persepsi rasuah.

Yang ketiganya, ketua pentadbiran yang baru ternampak jelas berkerja bermati-matian di dalam jangka waktu yang pendek. Ini menjelaskan betapa kuatnya kesungguhan yang mahu dicapai oleh beliau.

Kesungguhan beliau membuat kerja pada pemerhatian saya sudah mencapai tahap legenda. Semua orang tahu beliaulah yang memperkenalkan "Punch Card".

Sekarang sedang tular gambar beliau dengan supplement bernama Berocca. Khabarnya orang ramai berlumba-lumba membeli Berocca dengan harapan mencapai tahap stamina seperti beliau sehinggakan kebanyakkan farmasi kehabisan stok. 

Namun, disebalik semua itu, saya merasa sedikit gusar mengenai perkembangan kenyataan pertama yang dikeluarkan oleh beliau iaitu "we are not seeking revenge, we just want to implement rule of law".

Sudah semestinya ungkapan ini mempunyai makna yang sangat besar.

Melihat kepada perkembangan mutakhir, di mana segalanya seperti berjalan dengan pantas, saya secara peribadi merasa resah.

Ini adalah kerana kelihatan ianya seperti diasaskan oleh dendam. 

Saya merasa resah bukan kerana sayangnya saya kepada sosok bekas pentadbir lama. Tetapi, saya merasa begitu kerana beliau juga pastinya mempunyai pengaruh yang tersendiri di dalam sebuah parti terbesar di Malaysia ini.

Perasaan ahli-ahli parti ini seharusnya dijaga , kerana kita tidak mampu untuk mempunyai situasi tegang di negara ini yang akan merencatkan pembangunan Malaysia Baru.

Seterusnya, saya juga merasa gusar dengan ketiadaan desakan dari mana-mana NGO atau individu masyarakat sivil berkenaan dengan penubuhan apa yang dikenali sebagai "Council of Elders". 

Saya mendapati mereka ini dahulunya begitu aktif membuat desakan kepada kerajaan lama demi mewujudkan sebuah Malaysia yang bertamadun, tetapi kini suara mereka seolah-olah sudah disenyapkan. Sunyi yang menggerunkan.

Kita rakyat Malaysia berada di dalam keadaan kabur berkenaan dengan punca kekuasaan "Council Of Elders". Undang-Undang apakah yang menubuhkannya sehingga ia terlihat mempunyai kuasa melihat semua dokumen agensi-agensi kerajaan ?

Adakah perkara ini mengikut Perlembagaan Malaysia ? 

Ketiadaan barisan kabinet juga adalah sesuatu yang janggal. Hari ini sudah genap seminggu Malaysia memilih, namun kita masih ketiadaan kabinet yang memungkinkan seribu satu persoalan undang-undang.

Barisan kabinet sangat penting kerana ia adalah cabang eksekutif mengikut acuan demokrasi yang kita amalkan. Di sinilah segala dasar negara digubal. Ketiadaannya mengakibat kuasa dipusatkan kepada seseorang, keadaan ini bukanlah sesuatu yang elok dan sesuai untuk kita sebagai rakyat.

Rakyat Malaysia juga tidak pasti, apakah kesemua barisan kabinet dan kementerian perlu memberi laporan kepada kounsil yang sudah ditubuhkan ini ? Jika sekira ianya ya, maka Malaysia sedang merenung tepat ke arah satu krisis demokrasi.

Sebagai seorang rakyat yang mahukan kedamaian dan perubahan yang positif, saya berharap agar ini semua hanyalah keresahan hati saya seorang sahaja.

Semoga ianya tidak berasas.

Ashwed


Saturday 12 May 2018

Stability

Kedamaian Buat Semua,

Seperti yang semua orang sudah maklum, rakyat negara ini sudah memilih. 

Keputusan yang di luar jangkaan oleh penganilisis politik samada di dalam atau di luar negara.

Kita rakyat jelata lagilah terkejut. Walaubagaimanapun, keputusan pilihanraya adalah pilihan rakyat. Ia adalah wajah demokrasi.

Memandangkan negara ini telah ditadbir sebegitu lama oleh satu parti, maka sudah tentulah peralihan kuasa bukanlah suatu hal yang mudah.

Menukar pemimpin politik adalah mudah. Kita hanya perlu membuang undi.

Namun, perkara yang lebih sukar dilakukan ialah menukar ideologi yang sudah diterap berpuluh tahun di dalam pentadbiran negara ini.

Oleh yang demikian, proses semulajadi sebagai seorang ahli politik sedang berlangsung di hadapan mata kita. 

Lompat melompat parti bagi menampung peralihan ideologi perjuangan ini.

Aksi drama ini begitu menggetar jiwa dan perasaan kita, seolah-olah sedang menyaksikan sebuah filem aksi hollywood.

Adakah ada lagi kejutan selepas ini, kita tunggu dan saksikan.

Apa yang pasti kerajaan negara ini tidak boleh dibiarkan tanpa berpenghujung kerana ia perlu menjalankan tanggungjawabnya kepada kita rakyat yang memilih mereka.

Meneliti nama-nama menteri kabinet kanan yang baru diumumkan menjadikan saya keliru dengan bawaan ideologi politik dan agama mereka yang sangat berbeza.

Mampukah perkara ini membawa 'STABILITY' kepada kita.

Rupanya perkataan ini sangat membawa makna yang sangat besar barulah saya sedar.

Ashwed


Tuesday 8 May 2018

Pemimpin

Kedamaian Buat Semua,

Besok rakyat Malaysia akan membuang undi bagi memilih team yang paling layak mentadbir negara ini.

Diam tak diam, kini, sudah 14 kali rakyat Malaysia berbuat begini dengan mengambil tempoh waktu lebih kurang 60 tahun.

Kita boleh dikatakan sudah menjangkau usia warga emas.  Kalau pergi makan di hotel sudah boleh dapat separuh harga rasanya.

Oleh yang demikian, ia adalah penting untuk kita kaji samada pola pemikiran rakyat Malaysia sudah matang di dalam membuat keputusan di dalam kerangka politik secara amnya.

Demokrasi Perwakilan

Kebanyakkan rakyat Malaysia berpendapat bahawa pilihanraya adalah alat untuk memilih pemimpin.

Saya berpendapat ini adalah kesilapan utama yang telah kita lakukan kerana perkataan pemimpin itu sendiri mempunyai makna yang besar dan luas.

Ramai yang mendefinisi perkataan ini sebagai seorang yang kita letakkan harapan sebagai seorang individu, masyarakat dan negara bangsanya bagi mencarta halatuju dan nasib dirinya.

Kita tidak sedar bahawa sistem pilihanraya yang sedang kita praktis kini hanyalah alat untuk kita memilih wakil kepada masyarakat setempat kita sahaja. Kita tidak sekali-kali memilih pemimpin.

Secara ringkasnya amalan demokrasi yang sedang negara ini praktis dikenali sebagai "representatives democracy".

Masih terdapat amalan-amalan demokrasi jenis lain yang masyarakat kita masih belum cuba seperti "pure/direct democracy", "hybrid democracy", "liberal democracy" dll, sekadar menyebut beberapa contoh.

Di dalam amalan "representative democracy" seperti yang sedang kita amalkan sekarang. Apa yang terjadi ialah kita memilih wakil bagi mewakili masyarakat setempat. 

Oleh kerana Malaysia adalah persekutuan beberapa negeri kecil. Maka kita perlu memilih wakil dari beberapa Parti Politik bagi mewakili masyarakat kita di peringkat Kerajaan Pusat dan Kerajaan Negeri.

Pemilihan ini mencipta suatu pertandingan perebutan kuasa di mana peraturan pertama dan utama yang sentiasa perlu kita ingat di dalam pertandingan politik ini ialah TIADA PERATURAN DIKENAKAN.

Ya. Tiada peraturan yang dapat mengawal orang-orang politik ini. Jika ada pun ianya hanyalah keluar sebagai pemanis mulut sahaja. 

Perkataan suci seperti perjuangan, integriti, amanah senantiasa meniti dibibir mereka tetapi seringkali ia hanyalah digunakan untuk memuja diri sendiri dan menjatuhkan kredibiliti lawan politiknya sahaja.

Penipuan, fakta separuh benar, emosi, propaganda fitnah dan yang paling teruk mengguna agama adalah metod parti-parti politik ini mencipta persepsi lalu menguasai pengaruh di dalam minda para pengundi dan pemuja mereka.

Kita sebagai pengundi pula terjerumus ke dalam permainan politik kepartian sebegini sehingga lupa kepada satu perkara yang sepatutnya menjadi syarat utama congakan pilihan kita iaitu PERKHIDMATAN.

Ya, yang sepatutnya menjadi congakan pertama dan pedoman di dalam memilih wakil ialah perkhidmatan yang mereka ini berikan sebagai wakil masyarakat kepada kita.

Congakan yang kedua ialah apa yang mereka ini boleh tawarkan sebagai wakil rakyat dari segi idea dan pembangunan di kawasan setempat.

Dan yang ketiga, pelan jangka panjang mereka untuk kita sebagai sebuah masyarakat.

Permainan Politik

Namun, seperti yang kita sedia  maklum. Rakyat menjadi keliru dengan permainan kotor ahli politik yang bertanding.

Rakyat terpisah akibat pola sokongan politik. Selain daripada para pemain politik, konco-konco mereka juga bersekongkol memecah-belahkan masyarakat kita dengan propaganda yang tidak pernah berhenti 24/7 melalui tentera siber mereka

Bagaimanakah mampu kita memanggil orang-orang ini sebagai pemimpin ?

Apakah pantas seorang pemimpin mengadu domba memecahbelahkan masyarakat yang terdiri dari dirinya sendiri

Oleh itu, siapakah sebenarnya pemimpin kita ? Untuk mengenali pemimpin sebenar, kita perlu kembali kepada perkara asas di dalam hidup kita.

Kesimpulan

Cuba pejamkan mata dan berfikir sejenak. Sejurus selepas kita boleh mengingati peristiwa apakah perkara asas yang kita ketahui.

Adakah kita secara semulajadi tahu arah utara, selatan, timur dan barat ? Adakah kita secara semulajadi tahu di mana hadapan, belakang, kiri dan kanan ?

Tidak sekali-kali. Semua perkara itu kita ketahui melalui pembelajaran. Ia adalah suatu terma rujukan sebagai panduan hidup kita sahaja.

Perkara yang kita benar-benar tahu secara semulajadi sebaik sahaja kita mengingat peristiwa adalah apa yang berlaku di dalam diri kita dan apa yang berlaku di luar diri kita.

Apabila kita melihat ibu yang melahirkan kita atau sesiapa sahaja yang memelihara kita (di luar diri), secara semulajadi perasaan sayang muncul di dalam diri kita.  

Kita belajar berperasaan. Kadang-kadang kawan baik kita sendiri menerima sesuatu yang baik (di luar diri) lalu timbul perasaan cemburu di dalam diri kita. 

Walaupun cuba kita selindung namun kawan-kawan kita yang lain akan tetap perasan. 

Untuk menjaga keharmonian persahabatan kita pun belajar cara menyelindungkan perasaan kita itu. 

Kita belajar cara-cara pengucapan yang betul mengikut tradisi masyarakat kita apabila melihat sahabat kita menerima perkara yang baik.

Ya, kitalah pemimpin kepada diri kita. Tiada siapa yang dapat memimpin diri kita melainkan kita sendiri.

Oleh itu, jika kita mahu berjaya, kita tidak perlu Tun M atau Najib Razak untuk memberitahu dan memimpin kita ke arah kejayaan.

Kerana diri kitalah yang akan memastikan diri kita bangun awal setiap pagi, menepati masa dan sentiasa membuka ruang untuk belajar.

Jika kita gagal, tiada siapa yang boleh memujuk diri kita supaya bangun dan teruskan usaha melainkan kata-kata nasihat dari diri kita sendiri sahaja.

Kitalah pakar motivasi yang terbaik kepada diri sendiri.

Selamat mengundi. Undilah dengan bijak.



وَكَذَّبَ بِهِۦ قَوْمُكَ وَهُوَ ٱلْحَقُّ ۚ قُل لَّسْتُ عَلَيْكُم بِوَكِيلٍ (٦٦)
But your people have denied it while it is the truth. Say, "I am not over you a manager."
Dan kaum engkau (wahai Muhammad) mendustakannya (Al-Quran), padahal ia adalah benar. Katakanlah: "Aku bukanlah orang yang ditugaskan menjaga urusan kamu, (aku hanya seorang Rasul yang menyampaikan perintah-perintah Allah kepada kamu)".
- See more at: http://quran.islamicevents.sg/6/59/66#sthash.3f5a49tZ.dpuf
وَكَذَّبَ بِهِۦ قَوْمُكَ وَهُوَ ٱلْحَقُّ ۚ قُل لَّسْتُ عَلَيْكُم بِوَكِيلٍ (٦٦)
But your people have denied it while it is the truth. Say, "I am not over you a manager."
Dan kaum engkau (wahai Muhammad) mendustakannya (Al-Quran), padahal ia adalah benar. Katakanlah: "Aku bukanlah orang yang ditugaskan menjaga urusan kamu, (aku hanya seorang Rasul yang menyampaikan perintah-perintah Allah kepada kamu)".
- See more at: http://quran.islamicevents.sg/6/59/66#sthash.3f5a49tZ.dpuf
A066 

"Dan kaummu mendustakannya, padahal ia adalah benar. Katakanlah: "Aku bukanlah orang yang ditugaskan menjaga urusan kamu (bi-wakil-lin)" AQ 6:66
Ashwed 


 Image result for malaysia mengundi pru 14