Saturday 30 December 2017

Selamat Datang Ke Tahun 2018

Kedamaian Buat Semua,

Saya ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan SELAMAT TAHUN BARU.

Sudah 2000 tahun berlalu dari Zaman Isa. Begitu juga sudah 1400 tahun berlalu dari Zaman Nabi Terakhir.

Hakikatnya, bumi ini berusia lebih dari 2000 tahun iaitu kira-kira 6 billion tahun. Jika dibandingkan di antara 6,000,000,000 tahun dengan 2000 tahun umpama sezarah habuk sahaja besarnya.

Begitulah perumpamaan tamadun yang kita jalani ini. Sangat kecil jika dibandingkan dengan usia bumi ini.

Namun, tidaklah dapat kita nafikan bahawa manusia telah mencapai kemajuan sains dan teknoloji yang sangat hebat. Sehinggakan idea untuk berkoloni di Planet Marikh sedang cuba ditetas.

Sedang bangsa-bangsa di seantero dunia mara ke hadapan dengan ciptaan-ciptaan dan idea-idea yang membawa faedah kepada kemanusiaan, masih terdapat manusia di Nusantara dan beberapa tempat lain di dunia ini yang masih mabuk berkhayal dengan video-video seperti di bawah. Video ini dibuat secara troll untuk mentertawakan tahap pemikiran pelampau agama.

Semoga kehidupan harian kita tidak berhadapan dengan manusia yang sebegini dan semoga kita tidak dikuasai oleh pemikiran sebegini.

Selamat Datang Tahun 2018.




Ashwed

Thursday 21 December 2017

Kita Yang Keliru

Kedamaian Buat Semua,

Hujung tahun datang lagi. Bagi mereka yang berkemampuan, inilah masanya untuk meluangkan masa bercuti bersama keluarga setelah setahun penat bekerja. Beruntungnya badan.

Di artikel kali ini, izinkan saya menulis sedikit pengalaman yang perlu dilalui oleh mereka yang bergelar majikan. Mana tahu pengetahuan ini dapat memberi sedikit pencerahan dan meluaskan sudut pandang kepada mereka yang bergelar pekerja.

Hujung tahun sebegini, kebiasaannya dahi para majikan akan berpeluh lebih sedikit dari masa-masa lain.

Ini adalah kerana pada hujung tahun sebegini ada pelbagai perkara perlu diperbaharui.

Ini termasuklah insurans, lesen-lesen, caj itu dan ini, bonus pekerja, mengemaskini akaun untuk mendapat kelulusan khas dan lain-lain perkara yang perlu dikejar sebelum memasuki tahun baru.

Itu belum masuk bab pekerja buat-buat tanya samada majikan ada niat mahu bawa pekerja pergi melancong ke tidak ? Memang berpeluh beb.

Mereka yang mempunyai anak-anak yang masih bersekolah juga tidak ketinggalan merasai "demam" hujung tahun sebegini.

Cuma skala bagi majikan-majikan toko-toko kecil seperti kami, terasa seperti berganda-ganda cabarannya.

Apa pun, hidup perlu terus.

Biar apa pun cabarannya, ia perlu diselesaikan satu per satu. Dengan memberi penumpuan kepada keutamaan berbanding dengan perkara yang kurang penting.

Di saat ini perancangan tahunan adalah sangat penting untuk sesebuah perniagaan.

Maaf kerana mengguna ruangan ini untuk melepaskan sedikit ketegangan yang saya rasai.

Di dalam kekalutan hujung tahun ini, di antara perkara yang perlu saya perbaharui ialah yuran kelas tae kwon do anak-anak saya.

Membawa kita kepada isu yang ingin saya garap pada artikel kali ini.

Seperti kebiasaan hidup rakyat Malaysia di masa kini, setiap cabang hidup kita sekarang akan disusuli dengan pembukaan sebuah grup whatsapp.

Secara peribadi saya merasakan teknologi ini banyak membantu kehidupan rakyat Malaysia. Terutamanya dari segi penyebaran berita sesama ahli.

Namun begitu, tentu ramai di antara kita yang pernah merasai pengalaman berhadapan dengan seorang ahli grup yang saya gelar sebagai penghasut ekstremis.

Jika anda menjadi ahli sebuah grup whatsapp dengan tajuk seperti GRUP TAE KWON DO SEKOLAH atau seumpamanya.

Tentulah anda menjangkakan diskusi grup itu berkisar tentang perara-perkara yang berkaitan dengan kelas Tae Kwon Do anak-anak anda seperti tarikh dan waktu kelas bermula untuk sessi baru, atau pengumuman mengenai pembatalan kelas akibat sebab-sebab tertentu dan sepertinya

Berita-berita mengenai pencapaian anak-anak ahli yang lain di dalam bidang seni bela diri atau video mengenai seni bela diri mungkin anda boleh terima. Atau, sekadar bertanya khabar di antara ibubapa yang menyertai grup itu masih boleh di anggap normal.

Namun, apakah perasaan anda jika menerima mesej seperti berikut di dalam grup Tae Kwon Do Sekolah anak anda ?

"Astghafirullahalazim .. kawanku, rupanya AL QURAN akan dibakar di Amerika pada Hari Natal ini. Jika di hatimu masih ada iman, tolong sebarkan kepada 20 penganut Agama Islam. Kalau kamu tidak sebar bermakna kamu tidak beriman kepada kitabullah. Saya sayang AL QURAN. Tak sampai seminit pun nak copy .. Layan BF dan GF boleh berjam-jam. # Mohon sebarkan."

Bukan sekali dua, Tetapi, hampir setiap hari ada sahaja berita-berita mengenai agama sebegini yang dikongsi.

Itu belum campur mesej-mesej politik ekstrim.

Persoalan yang sering saya kemukakan apabila merasa tidak tahan dengan orang yang sebegini ialah samada mereka sudah memeriksa kebenaran mesej yang mereka sebarkan itu ?

Kekeliruan

Saudara sidang pembaca, begitulah cabaran yang dihadapi oleh masyarakat kita di masa kini.

Sebaran berita palsu yang tiada kesahihan sumber sebegini seperti sudah menjadi lumrah kehidupan harian kita.

Kadang-kadang rasa seperti lemas membacanya, terutama jika ia datang dari orang-orang yang kita hormati seperti mereka yang lebih tua di kalangan ahli keluarga kita dan sebagainya.

Saya kurang pasti apakah tujuan sebenar mereka yang gemar menyebar berita sebegini ?

Adakah mereka mahu supaya kita bermasam muka dengan jiran tetangga kita yang berlainan agama ? Atau mereka mahu supaya kita merasa tidak selamat menjalani hidup di dalam sebuah masyarakat plural seperti yang diamalkan di negara ini ? 

Tidakkah mereka sedar bahawa jika terjadi sesuatu tragedi berdarah di negara ini, akibat dari mesej yang mereka pos itu, bukankah mereka juga akan terpalit sama ? Atau memang itu yang mereka cari.

Menurut Socrates terdapat 3 ujian saringan boleh disoal kepada sang pembawa berita sebelum mereka berura-ura mahu menyebarkan berita mereka ;

Image result for Triple filter test of socrates

Yang menjadi masalah di dalam kehidupan moden kita sekarang ini ialah penyebaran apa-apa berita pun adalah amat sukar dibendung. Ia semudah menekan butang send.

Socrates sendiri mungkin tidak terfikir bahawa akan datang suatu zaman di mana manusia tidak lagi berinteraksi secara berhadapan.

Oleh kerana itu, 3 ujian saringan Socrates ini tidak lagi praktikal ditanya kepada orang yang mahu menyebarkan berita, tetapi ia lebih praktikal ditanya kepada diri sendiri.

Maka tanyalah soalan-soalan itu kepada diri sendiri sebelum anda menghantar mesej dan berita kepada orang lain. Di sini kita boleh melatih diri kita untuk bersikap jujur.

Suatu perkara yang sering menjadi persoalan saya apabila menerima mesej sebegini ialah mengenai tahap pemahaman orang kita mengenai sesuatu pengetahuan.

Terasa masyarakat kita begitu keliru di dalam memahami falsafah sesuatu konsep yang diketengahkan kepada mereka.

Mari kita amati sekali lagi mesej berantai yang dihantar oleh rakan saya itu tadi.

"Astghafirullahalazim .. kawanku, rupanya AL QURAN akan dibakar di Amerika pada Hari Natal ini. Jika di hatimu masih ada iman, tolong sebarkan kepada 20 penganut Agama Islam. Kalau kamu tidak sebar bermakna kamu tidak beriman kepada kitabullah. Saya sayang AL QURAN. Tak sampai seminit pun nak copy .. Layan BF dan GF boleh berjam-jam. # Mohon sebarkan."

Pengamatan Pertama

Helah klasik yang sering digunapakai di dalam mesej sebegini ialah mereka akan mempersoal dahulu tahap "keimanan" seseorang dengan harapan sesiapa sahaja yang membaca mesej itu akan  menyambung penyebaran berita berantai tersebut kerana mahu membuktikan kepada umum akan tahap keimanannya.

Pengamatan Kedua


Helah kedua ialah mereka akan merekayasa pertembungan di antara dua agama. Di dalam mesej di atas, ia adalah di antara Islam dan Kristian.

Agama bukan lagi menjadi alat mengawal diri tetapi adalah medan pertandingan siapa benar dan pertembungan budaya.

Image result for dalai lama the objective of religion is to

Mengapa mereka begitu benci kepada Agama Kristian dan Judaisma, saya kurang pasti ? Sedangkan Al Quran mengarahkan sesiapa jua yang membacanya supaya meyakini Nabi Isa dan Nabi Musa ?

Bukankah dengan membenci agama-agama ini juga membawa erti kita membenci para Nabi yang dikaitkan dengannya ?

Tidakkah mereka terfikir bahawa kita hanya akan merasa tewas apabila kita menganggap orang yang menewaskan kita itu musuh.

Jika kita menganggap orang itu sebagai sahabat, perasaan tewas akan hilang. Yang ada hanyalah perasaan bersyukur.

Baru-baru ini umat Islam merata dunia menjadi emosi akibat pengumuman Presiden Trump mahu mengiktiraf Jerusalem sebagai ibu negara Israel.

Umat Islam menjadi begitu kerana mereka menganggap orang-orang Israel itu musuh.

Jika mereka dapat menerima bahawa warga Israel itu bukanlah musuh tetapi manusia yang sama seperti mereka, nescaya mereka akan bersyukur bahawa akhirnya pengiktirafan itu datang juga.

Surah berikut menceritakannya dengan lebih jelas.

Ia adalah kisah perjalananan Nabi Musa dan kaumnya semasa mereka lari dari negara yang zalim;

A021

Wahai kaumku, masuklah ke bumi kudus yang Allah tuliskan untuk kamu, dan jangan kembali ke belakang kamu, untuk balik sebagai orang-orang yang rugi." AQ 5:21

Surah berikut di bawah ini juga adalah kisah Nabi Musa dan kaumnya.

Rasa-rasa anda di manakah tempat yang mereka warisi itu. Somalia ? Iceland ? Malaysia ?

A059

"Demikianlah, dan Kami wariskannya kepada Bani Israil" AQ 26:59

Hanya yang bermusuh akan merasai perasaan tewas. Jika bersahabat, yang ada hanyalah kesyukuran.


Pengamatan Ketiga

Kekeliruan yang nyata di kalangan orang kita ialah mengenai keyakinan mereka kepada Tuhan.

Merekalah orang yang sering terkehadapan apabila bercerita tentang Tuhan Yang Maha Perkasa. 

Mereka juga hafal dan mendalami kesemua sifat-sifat Tuhan.

Mereka percaya Tuhan Maha Berkuasa dan tidak memerlukan sesiapa untuk mentadbir kerajaannya. Begitulah dalamnya keesaan mereka kepada Tuhan.

Apabila penganut Kristian meyakini bahawa Tuhan wujud secara trinity. Merekalah orang pertama menjerit bahawa orang Kristian sudah syirik.

Tanpa mereka sedar bahawa diri mereka juga saling tidak tumpah dengan kaum yang mereka bermusuh itu.

Pada mulanya mereka percaya akan keberkuasaan Tuhan.

Namun, mesej di atas dengan mudah membuka rahsia jiwa orang-orang ini. Bahawa mereka seorang yang hipokrit.

Kepercayaan mereka kepada keberkuasaannya Tuhan itu hanyalah di mulut sahaja. Bukan di jiwa. 

Ini menjadikan mereka keliru lantas merasakan bahawa Al Quran itu adalah sumber kuasa Tuhan. Di mana dengan perbuatan membakar Al Quran itu ego Tuhan akan tercalar lalu Dia jatuh dari singgahsana kuasaNya.

Akibat api permusuhan ini orang-orang sebegini lupa bahawa umat Islam sendiri sering membakar Al Quran. Adakah Tuhan menjadi kurang berkuasa akibat perbuatan ini ?

https://suaraperak.com/perak-bina-sendiri-pusat-pelupusan-al-quran/


Rupanya di Perak, umat Islamnya sering membakar Al Quran.

Namun, memandangkan brader yang menghantar mesej berantai kepada saya itu menganggap umat Islam Perak sebagai sahabat, maka brader tadi merasa bersyukur. Fardu kifayah mungkin.

Umat Kristian di Amerika Syarikat pula adalah musuh beliau, maka umat Kristian yang membakar Al Quran di sana perlu diperangi.

Walaupun sebenarnya perbuatan Yeop dari Perak itu sama sahaja dengan umat Kristian Amerika Syarikat. Mereka sama-sama MEMBAKAR AL QURAN.

Pathetic !

Kekeliruan mereka semakin menjadi-jadi apabila kini merasakan bahawa mereka boleh membantu Tuhan yang pada mulanya mereka katakan Maha Kuasa dan Maha Perkasa itu. 

Tuhan di tangan orang-orang hipokrit ini hanyalah sama lemah dengan bayi mereka yang baru dilahirkan, memerlukan bantuan ibubapanya.

Entah ke mana pergi pengetahuan agama yang mereka hafal bahawa Tuhan itu tidak beranak dan tidak diperanakkan ? Entah ke mana pergi keyakinan bahawa Tuhan itu tidak memerlukan bantuan sesiapa di dalam mentadbir kerajaanNya ? Mereka sahaja yang tahu.

Kini, tanpa sedar mereka menjadi syirik, saling tak tumpah seperti umat Kristian yang mereka benci itu kerana merasakan mereka adalah pembantu Tuhan.

Pathetic !

Sungguh keliru. Terus terang saya merasakan masyarakat kita perlu kembali kepada asas tentang bagaimana memperolehi pengetahuan.

A001

Apabila orang-orang munafik datang kepada kamu, mereka berkata, “Kami saksikan bahawa kamu benar-benar Rasul Allah.” Dan Allah tahu bahawa kamu adalah benar-benar Rasul-Nya, dan Allah saksikan bahawa orang-orang munafik adalah benar-benar pendusta-pendusta" AQ 63:1 

Ashwed






Sunday 3 December 2017

Hiburan Ringan

Kedamaian Buat Semua,





A286

"Allah tidak bebankan sesuatu jiwa melainkan menurut kesanggupannya. Baginya apa yang ia usahakan, dan ke atasnya apa yang ia usahakan. "Wahai Pemelihara kami, janganlah Engkau pertanggungjawabkan kami jika kami lupa, atau buat kesilapan. Wahai Pemelihara kami, janganlah Engkau bebankan kami sebagaimana Engkau telah bebankan orang-orang sebelum kami. Wahai Pemelihara kami, janganlah Engkau bebankan kami melebihi apa yang kami ada kekuatan untuk memikul, dan maafkanlah kami, dan ampunkanlah kami, dan kasihanilah kami; Engkau Pelindung kami, maka tolonglah kami terhadap kaum tidak percaya" AQ 2:286

Ashwed

Thursday 16 November 2017

Cabaran Debat Astora Jabat

Kedamaian Buat Semua,

Baru-baru ini saya ditunjukkan dengan papar layar berikut ;



Sungguhpun beliau mengguna perkataan perbincangan bagi menggantikan debat, namun kehendak beliau supaya perbincangan tersebut direkod dan dimuat naik melalui media facebook tidak dapat menyembunyikan hasrat beliau supaya masyarakat umum menilai siapa menang dan siapa kalah.

Secara umumnya pertandingan sebegini kita kenali sebagai debat.

Lama juga saya berfikir samada mahu menulis sedikit mengenai cabaran beliau atau membiarkan sahaja perkara tersebut berlalu tanpa sebarang sahutan.

Perkara pertama yang bermain di fikiran saya ialah berkaitan dengan perkataan QURANIST yang digunakan oleh beliau.

Memberi tindakbalas membawa maksud bahawa terdapat sebuah kumpulan manusia di Malaysia ini yang mahu dikenali sebagai QURANIST.

Ia juga membawa gambaran seolah-olah terdapat satu gerakan terancang yang mahu menyebar dakyah QURANIST seperti yang beliau gelar itu kepada orang awam di Malaysia.

Ini akan menyerlahkan sikap Us vs Them seperti yang pernah saya tulis di ruangan blog ini bulan lepas.

Sidang pembaca boleh membacanya di sini http://ashwed1973.blogspot.my/2017/10/us-vs-them.html

Membawa kita kepada perkara utama yang perlu dikenalpasti sebelum debat ini boleh berlangsung iaitu SIAPAKAH PUAK QURANIST yang beliau maksudkan itu ?

Adakah Puak Quranist ini mempunyai suatu jenis organisasi seperti golongan sunni, syiah dan organisasi keagamaan yang lain ?

Apakah pra-syarat untuk menyertai Puak Quranist ? Apakah mereka mempunyai tanda untuk dikenalpasti seperti cara pakaian, fesyen rambut dan sebagainya ? 

Untuk tujuan artikel ini, saya menyimpulkan PUAK QURANIST yang beliau maksudkan itu ialah manusia yang yakin kepada Al Quran semata-mata sebagai panduan hidup mereka.

Membawa kita kepada persoalan kedua yang lebih besar untuk dikenalpasti iaitu adakah menjadi suatu kesalahan di bawah Undang-Undang Malaysia untuk meyakini Al Quran sebagai panduan hidup ? Sehingga, saudara Astora Jabat merasakan perlu sebuah debat khas diadakan bagi tujuan itu ?

Seterusnya membawa kita kepada persoalan ketiga, yang juga tidak kurang besarnya untuk dikupas iaitu jika Al Quran itu tidak cukup lengkap untuk diyakini dan dijadikan panduan hidup, apakah ada sebuah buku lain yang lebih lengkap dari Al Quran untuk diyakini ? Jika ada, apakah nama buku tersebut ?

Siapa Astora Jabat ?

Bagi para pembaca yang tidak mengenali siapa dia Astora Jabat, di sini saya nukilkan serba ringkas perihal diri beliau. 

Astora Jabat adalah seorang penulis agama yang cukup dikenali pada suatu ketika dahulu.

Setakat yang saya ingat, beliau banyak mengutarakan pendapat beliau di akhbar Utusan Malaysia edisi hari ahad, lebih dikenali sebagai Mingguan Malaysia.

Saya sendiri selalu membaca hasil tulisan beliau. Pada waktu tersebut saya masih belum mendalami Al Quran secara serius.

Sebagai seorang yang mengikuti pemikiran tradisi orang Melayu mengenai agama pada ketika itu, saya berani mengatakan bahawa hasil tulisan beliau bersifat kontroversi dan sering mencabar minda orang Melayu supaya berfikir.

Untuk itu, saya berterima kasih kepada beliau kerana pernah mengajar manusia Melayu yang terkongkong mindanya seperti saya untuk berfikir jauh sedikit dari sekadar ABC yang di ajar di sekolah-sekolah.

Beliau juga seringkali menjadi bahan kutukan "ulama" politik dari PAS kerana dikatakan menjadi "ulama" UMNO dalam misi menyerang pemikiran agama PAS.

Beliau menghilangkan diri dari dunia penulisan akhbar sebelum kemudiannya muncul berdebat dengan Mufti Perlis Dr Mohd Asri Zainul Abidin sekitar tahun 2006.

Apakah dorongan beliau untuk membuat cabaran seperti yang dibuatnya di facebook tidaklah pula dapat saya telah.

Namun, saya dapati semenjak Allahyarham Kassim Ahmad kembali kepada Zat Asalnya, terdapat beberapa sosok agamawan kontemporari terserlah seperti mahu menduga samada kumpulan berfikiran alternatif masih aktif atau terkubur bersama-sama jasad Kassim Ahmad.

Jika sebelum ini Saudara Dr Sa'adan Man tidak semena-mena mengeluarkan sebuah artikel yang mengutuk dan mengkritik Allahyarham Kassim Ahmad di bawah tajuk "Kebumikan Legasi Sebuah Falasi".

Kini, giliran Astora Jabat pula berbuat demikian.

Untuk pengetahuan Saudara Astora Jabat, mereka yang berpegang dan meyakini Al Quran sebagai panduan hidup tidak pernah mahu memanggil diri mereka sebagai Quranist.

Ini adalah kerana menurut keterangan ini, Allah tidak pernah mengguna istilah Quranist kepada hambaNya yang mengambil tekad untuk berada di atas jalanNya ;

A078


"Dan bergelutlah kepada Allah dengan pergelutan yang sebenar; Dia telah pilih kamu, dan tidak letak ke atas kamu kesusahan kepada fitrah/hakikat (deeni) kamu, anutan bapa kamu, Ibrahim; Dia namakan kamu sebagai mereka yang damai (muslimeena) dari dahulu, dan dalam yang ini, supaya Rasul menjadi saksi ke atas kamu, dan kamu jadi saksi ke atas manusia. Maka dirikanlah kesungguhan (solla-wa-ta), dan murnikanlah ia (tuz-zakka-wa-ta), dan berpegang teguhlah kamu kepada Allah; Dia Pelindung kamu - Pelindung yang sangat baik, dan Penolong yang sangat baik" AQ 22:78

Allah menggelar mereka ini sebagai "mereka yang damai (muslimeena)" dan jalanNya itu ialah jalan kedamaian (Al-Islam) di mana kedua-dua perkataan muslimeen dan islam berasal dari akar kata yang sama iaitu salam (s-l-m atau sin-lam-mim).

Untuk menjadi seorang yang damai (muslim) tidak memerlukan apa-apa pra-syarat seperti melafaz serangkap stanza standard sebelum boleh diterimamasuk.

Ini di buktikan dengan para utusan (rasul) yang pernah  muncul di zaman lampau. Mereka membawa ajaran serupa seperti yang di dapati di dalam Al Quran iaitu mengajak khalayak supaya menjadi damai.

Adalah mustahil bagi para utusan ini mengajar supaya masyarakat mereka mengakusaksi di atas nama seseorang yang mereka tidak kenali, baru boleh diterimamasuk menjadi ahli kumpulan para utusan ini. 


A013

"Dia telah mensyari`atkan kamu tentang fitrah (deeni) apa yang telah diwasiatkanNya kepada Nuh dan apa yang telah Kami wahyukan kepadamu dan apa yang telah Kami wasiatkan kepada Ibrahim, Musa dan Isa yaitu: Tegakkanlah fitrah dan janganlah kamu berpecah belah tentangnya. Amatlah benci orang-orang yang sekutukan apa yang kamu seru mereka kepadanya. Allah pilih kepadaNya sesiapa yang Dia kehendaki dan memberi petunjuk kepada orang yang berkesesalan" AQ 42:13

Kedamaian bukanlah suatu organisasi keagamaan.

Kedamaian hanyalah suatu state of mind di mana sesiapa sahaja boleh mencapainya tanpa mengira dari keturunan keluarga mana pun dia dilahirkan.


A062

"Sesungguhnya orang-orang yang amanah (amanoo/iman), dan orang-orang Yahudi, dan Nasrani, dan Sabiin, sesiapa amanah kepada Allah dan Hari Akhir, dan buat kerja-kerja baik, maka upah mereka adalah di sisi Pemelihara mereka, dan tiadalah ketakutan pada mereka, dan tidaklah mereka bersedih" AQ 2:62

Jalan kedamaian ini adalah satu-satunya fitrah yang diredhai oleh Allah.


Dan ia terbukti dengan sejelas-jelasnya apabila kita melihat negara yang berperang sesama sendiri mengalami kemunduran yang amat dahsyat, begitu cepat hitungan Allah.

Kematangan Fikiran

Sesungguhnya, mereka yang mengambil tekad untuk menjadikan Al Quran sebagai panduan hidup tidak pernah mengimpikan untuk menang debat, atau dibuktikan sebagai golongan yang benar kerana kebenaran itu sebenarnya hanya terletak kepada pandangan individu semata-mata.

Ini adalah kerana perkataan kebenaran yang digunapakai secara bebas di dalam masyarakat kita pada masa ini, pada hakikatnya, hanya membawa maksud kepercayaan sahaja.

Oleh kerana itu, sistem kepercayaan seseorang sangat bergantung kepada keluarga, bangsa, masyarakat dan negara seseorang itu dilahirkan.

Jika ditakdirkan Saudara Astora Jabat dilahirkan di daerah Milan, Italy agaknya sistem kepercayaan apakah yang akan menjadi anutan saudara ?

Di waktu itu, adakah saudara yakin saudara masih akan menulis mengenai Agama Islam seperti sekarang ?

Apa yang sebenarnya golongan berfikiran alternatif seperti kami cari ialah kematangan pemikiran di dalam membuat keputusan.

Demi sesungguhnya untuk menjadi sebuah negara yang maju, kita sebagai warga perlu membuat keputusan melalui sudut kewarganegaraan. Bukan bergantung kepada jenis agama yang menjadi anutan.

Di antara golongan yang berfikiran alternatif ini sendiri masih banyak terdapat ketidakfahaman pendapat, contohnya maksud perkataan muslim seperti di keterangan AQ 22:78.

Ada mengatakan ia membawa maksud orang yang menyerah diri atau submitters sementara ada yang menyatakan ia membawa maksud orang yang damai dengan berpandukan perkataan akar salam (s-l-m).

Namun, itu bukan bermakna kita tidak boleh hidup bersama sebagai anggota di dalam sebuah masyarakat, mengapa pula kita perlu menjadi musuh kepada yang lain.

Hakikatnya, kita tidak boleh menjadikan seluruh rakyat Malaysia yang berjumlah 32 juta orang ini mengikuti hanya satu aliran pendapat sahaja.

Ianya adalah mustahil. 

Oleh kerana itu, saya amat ragu samada suatu debat dapat menyelesaikan masalah perbezaan aliran fikiran yang warga Malaysia sedang amalkan kini. Jika itulah objektif yang saudara mahukan.


A099

"Dan jikalau Pemeliharamu mengkehendaki, tentulah beramanah (amana/iman) semua orang yang di muka bumi seluruhnya. Maka apakah kamu hendak memaksa manusia supaya mereka menjadi orang-orang yang beramanah (muk-mineena/iman) semunya ? AQ 10:99

Sebagai seseorang yang mempunyai bakat menulis atau memberi ceramah saudara sesungguhnya mempunyai tanggungjawab untuk menyampaikan perkara baik dan boleh membawa kedamaian ke dalam hidup orang lain kerana kuasa manusia terletak kepada PERKATAAN.

Di dalam Al Quran ia ditermakan sebagai kalimah. Ia adalah tanda (ayat) kelebihan seseorang dari yang lain.

Samada seseorang itu ada melakukan ritual atau tidak, atau melakukan ritual yang lain dari saudara, atau memahaminya lain dari saudara tidaklah dapat mengubah dunia ini menjadi lebih damai.

Sebaliknya perkataan baik yang diutarakan kepada manusia lain, itu dapat mendamaikan dua sahabat, puak, budaya masyarakat, bangsa dan seterusnya dua negara.



Saudara Astora Jabat,

Mereka yang sedang bertelagah dan berperang di negara-negara bersengketa di dunia kini, bukanlah tidak memahami bahawa hanya dengan kedamaian sahaja negara mereka dapat diselamatkan.

Namun,  mereka masih keliru dan menganggap kedamaian itu sebagai sebuah matlamat.

Oleh kerana itu, mereka berpendapat hanya dengan mengikuti aliran pemikiran yang mereka ikuti sahaja baru sebuah kedamaian itu dapat dilahirkan. 

Untuk mencapai matlamat ini, kumpulan bertelagah tersebut mengangkat senjata dan membunuh sesama mereka dengan mengguna nama Allah.

Ingatlah bahawa Allah tidak mempunyai sekutu di dalam KerajaanNya, oleh kerana itu Dia tidak memerlukan sesiapa pun, tidak puak Quranist, Sunni, Syiah, saya, Astora Jabat, UMNO atau PAS untuk mentadbir dan membantuNya.

A111

"Dan katakanlah : "Segala puji bagi Allah yang tidak mempunyai anak dan sekutu di dalam kerajaanNya dan Dia bukanlah hina yang memerlukan penolong dan agongkanlah Dia dengan pengagongan yang sebesar-besarnya" AQ 17:111

Sebaliknya kitalah yang memerlukan Dia untuk memahami sebuah kehidupan yang diciptaNya ini. Allah mengesyorkan kita supaya berdamai. Maka itulah yang perlu kita lakukan.

Sesungguhnya mereka yang bertelagah itu telah tertipu dan mengikut hasutan syaitan, sisi buruk yang ada pada setap manusia.

Kedamaian adalah sesuatu yang berbentu asas, fitrah (deen adalah fitrah menurut AQ 30:30 ) yang ada pada setiap diri manusia. Ia bukanlah suatu matlamat yang perlu dicapai tetapi adalah asas kehidupan seluruh manusia.

Kedamaian inilah yang digelar Al-Islam di dalam Al Quran. Menjadikan mesej di dalam Al Quran itu lengkap kepada seluruh manusia.

 A019

"Fitrah (deena) yang diredhai di sisi Allah ialah Kedamaian (al-islamu), dan orang-orang diberi buku (al-kitab) tidak berselisih melainkan setelah pengetahuan datang kepada mereka kerana angkuh antara mereka. Dan sesiapa tidak percaya kepada tanda-tanda (bi-ayateen) Allah, maka sesungguhnya Allah cepat buat hitungan" AQ 3:19

Jika sebahagian besar warga di dalam sesebuah negara menemuinya maka jadilah negara itu sebuah negara yang damai atau digelar Daulah Islamiyah yang sebenar.

Dari asas kedamaian ini negara tersebut akan menjadi makmur, membangun dan moden.

Sekian. Terima kasih.

Ashwed

Wednesday 8 November 2017

It's a Mad, Mad World

Kedamaian Buat Semua,

Saya ingin memohon maaf yang tidak terhingga daripada sidang pembaca blog ini.

Semakin hujung tahun semakin menjadi-jadi pula kesibukan mengurus kerja dan kehidupan harian.

Dalam waktu yang sama pula, ada beberapa daerah di Malaysia yang tidak bernasib baik menerima musibah bencana alam.

Ini mengakibatkan jadual kerja menjadi semakin padat kerana saya dan rakan-rakan cuba membantu mana yang mampu.

Nampaknya KPI satu minggu satu artikel, yang saya letakkan pada diri sendiri tidak berjaya dipenuhi pada tahun ini.

Sementara menunggu urusan-urusan ini reda sedikit, saya poskan di sini beberapa gambar dan video menarik dengan harapan para pembaca tidak patah semangat untuk melayari blog ini.

Akibat bergolongan

                              Paling tak faham saya dengan warga muslim UK. 
                      Negara UK sudah maju tetapi sebaliknya 
                      mereka mahu menjadikan negara gagal 
                      Afghanistan sebagai model.

http://www.dailymail.co.uk/news/article-5049199/Egyptian-cleric-says-men-marry-daughters.html

    ... keracunan fikiran

 






Saya ada satu persoalan besar ditujukan kepada Mufti Menk. 

Jika meniup lilin adalah manifestasi perbuatan yang diwarisi dari orang-orang Pagan ?

Bagaimana pula dengan memasukkan zakar ke dalam lubang faraj ? 

Bukankah orang-orang Pagan juga melakukan perkara yang anda iaitu Mufti Menk juga sedang lakukan ?

Mengapa tidak Mufti Menk memberhentikan perbuatan itu kerana ia menyamai perbuatan orang-orang Pagan ?

What a sick mind.

Ashwed

Monday 16 October 2017

US -vs- THEM

Kedamaian buat semua,

Menurut banci terbaru, jumlah rakyat Malaysia berbilang bangsa ialah lebih kurang 31 juta manusia.

Ini bermakna terdapat lebih kurang 31 juta kerenah manusia di bumi ini dengan asas latar belakang yang berbeza.

Adalah mustahil untuk kesemua 31 juta manusia ini bersatu hati di dalam kesemua hal. 

Jika sekiranya ia terjadi saya pasti kita akan menjadi satu kuasa besar utama dunia.

Namun, membayangkan ia berlaku pun sudah menjadi seakan suatu fantasi.

Penyatuan Longgar

Untuk itu, demi mendapatkan pengaruh, para pembesar atau ahli politik mana-mana negara semenjak dari zaman dahulu kala lagi akan mencari suatu common ground supaya jiwa-jiwa ini dapat disatukan.

Dengan penyatuan ini, sedikit sebanyak jiwa-jiwa ini akan dapat digerakkan demi mencapai samada agenda peribadi si ahli politik ini atau mencuba untuk mencapai agenda negara.

Penyatuan klasik yang seringkali disalahgunakan ialah melalui apa yang kita kenali sebagai organisasi agama.

Di sinilah berjuta malah berbillion hati dan sanubari manusia menemui penyatuan.

Namun, menyedari kesilapan yang telah mereka lakukan kerana manusia yang bersatu-padu sukar dimanipulasi, maka para pembesar/ahli politik memecahbelahkan kembali jiwa-jiwa ini melalui konsep mazhab.

Kini, manusia yang bersatu melalui organisasi agama kembali berpecah kepada mazhab-mazhab yang kecil sungguhpun mengakui mempraktis agama yang sama.

Di sebalik semua organisasi agama dan mazhab ini, kini terdapat pula pemecahan yang lebih moden.

Ia dikenali sebagai Parti Politik.

Di sini, penyatuan jiwa-jiwa ini agak pelik kerana sungguhpun mereka menganut organisasi agama dan mazhab yang berlainan, namun, mereka berjaya bersatu pada satu platform kepartian.

Kini, mereka bermusuh pula dengan jiwa lain yang juga berlainan agama dan mazhab yang turut bersatu di platform Parti Politik yang berlainan fahaman dengan mereka.

Pokok pangkalnya, manusia tetap berpecah-belah, menjadikan mereka mangsa mudah untuk para pembesar mempergunakan emosi mereka.

Aliran Pemikiran Baru

Mengapa saya, menulis mengenai perkara di atas ?

Ia adalah kerana saya mendapati terdapat satu sikap buruk yang sangat sukar untuk kita sebagai sebuah masyarakat atasi, walaupun setelah membaca dan memahami Al Quran secara mendalam.

Sikap ini adalah apa yang kita kenali sebagai sikap "Us -vs- Them".

Sikap buruk utama manusia yang menjadikan kita sebagai satu unit besar tetapi sangat mudah dipengaruhi oleh para pembesar tidak kira pembesar agama, politik atau golongan elit.

Ia begitu mendakap masyarakat sehingga apabila kita mendalami sesuatu kita akan cuba mengait diri kita dan kumpulan yang mendalaminya sebagai satu kumpulan berbeza yang mempunyai keistimewaan dari kumpulan lain.

Benarkah begitu ?

Suka saya mengambil contoh mereka yang mengambil jalan mendalami Al Quran.

Kini, terdapat satu ungkapan khas yang digunapakai untuk mengenalpasti golongan ini.

Mereka dikenali sebagai golongan QURANIST atau di dalam Bahasa Arab sebagai Quraniyyun/Ahl-e-Quran.

Nah ! Sebaik sahaja masyarakat memberi nama khas kepada kumpulan ini, maka kumpulan-kumpulan lain akan mula mengenalpasti ciri-ciri khas kumpulan baru ini.

[ Sidang pembaca boleh menyenaraikan ciri-ciri khas Quranist di ruangan komentar artikel ini. Sebagai permulaan izinkan saya menyenaraikan 3 ciri utama Quranist ;

1. Menganggap Quran di tulis oleh Tuhan
2. Bahawa manusia hanya perlu mengikut Al Quran
3. Menolak Hadis ]


Ini adalah kerana dengan mencipta satu nama khas maka secara formal masyarakat kini mengesahtaraf kehadiran kumpulan baru ini.

Menyedari akan hal ini, maka, kumpulan lama secara semulajadi merasa kewujudan mereka terancam.

Mereka berprasangka bahawa ada kemungkinan sedikit sebanyak keistimewaan asas yang mereka kecapi selama hari ini akan tergugat samada dari segi  peluang mencari pasangan hidup, makanan dan keperluan hidup yang lain. 

Sehubungan dengan itu, mereka mula mencari ciri-ciri khas yang boleh membezakan diri mereka dengan kumpulan baru ini.

Ia dilakukan samada untuk mencari keburukan atau kebaikan kumpulan baru ini.

Ia juga akan dijadikan asas keputusan samada menyertai atau menolak kumpulan baru ini.

Kesilapan Yang Berulang

Di sinilah terletaknya kesilapan besar kita sebagai sebuah masyarakat.

Kita sering menganggap bahawa masyarakat kita adalah terdiri dari kumpulan-kumpulan kecil yang wajib kita sertai.

Maka, secara diam-diam kita akan cuba membuat analisa di antara kumpulan-kumpulan kecil ini.

Masalah yang timbul ialah sebaik sahaja kita membuat analisa, kita akan berpendapat dan membuat keputusan bahawa ada satu kumpulan yang lebih istimewa dari yang lain.

Ada satu kumpulan yang lebih bagus dari yang lain. Dari bagus ia menjadi mulia dan akhirnya ia menjadi suci.

Dari situ kita akan mula membeza-bezakan diri kita dengan yang lain.

Yang suci sudah tentu akan memandang sinis pendapat kumpulan lain sementara yang mulia merasakan perlu memerangi kumpulan yang tidak mulia.

Begitulah seterusnya peristiwa demi peristiwa hitam telah manusia lalui. 

Sejarah akan diulang tayang, berputar dengan kisah lama tetapi pemain yang baru dengan latar belakang yang sedikit berbeza.

Menjadikan kita sekali lagi terjerumus menjadi mangsa mudah kepada mereka yang ingin meluaskan pengaruh. Akibat sikap kecil tetapi membawa impak yang sangat besar iaitu sikap "Us -vs- Them".

Cuba kita buat sedikit analisa ringkas mengenai peristiwa-peristiwa besar yang menjadi sejarah hitam manusia ;

a. Holocaust terjadi kerana ____________ ?
b. Penghapusan etnik di Bosnia terjadi kerana _____________ ?
c. Perang Iran-Iraq terjadi kerana _____________ ?
d. Perang Salib terjadi kerana ________________ ?

Apakah satu jawapan sama yang boleh kita isikan di ruangan kosong kepada empat persoalan di atas ?

Bagi saya ia adalah "profiling" sebuah kata nama yang lebih tersusun untuk menerangkan sikap "Us -vs- Them".

Tanpa kita sedari, sikap beza membeza sesama kita inilah menjadi punca utama kepada episod sedih manusia selama hari ini.

A030

"Maka tegakkanlah wajah kamu kepada fitrah/hakikat (deeni) yang lurus - fitrah/hakikat (fit-ra-ta) Allah yang dengannya memulakan manusia. Tidak ada pertukaran dalam ciptaan Allah. Itu fitrah/hakikat (deenu) yang betul; tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahuinya" AQ 30:30

A031

"Berkesesalanlah kepada-Nya. Dan benarkanlah Dia, dan dirikanlah kesungguhan (solla-wa-ta), dan janganlah jadi daripada orang-orang yang sekutukan" AQ 30:31

A032

"Iaitu orang-orang yang pecahkan fitrah/hakikat (deena) mereka, dan menjadi bergolongan, tiap-tiap golongan berbangga dengan apa di sisi mereka" AQ 30:32

Kesalahan Intelek

Untuk itu, ia menjadi suatu kesalahan bagi seorang yang mempunyai ciri-ciri Quranist jika beliau cuba membuat kebajikan dengan mendirikan sebuah pusat tahfiz.

Ini adalah kerana kumpulan Quranist menganggap bahawa sebuah pusat tahfiz adalah ciri-ciri yang dikaitkan dengan kumpulan lain yang menjadi musuh mereka.

Begitu juga, kumpulan majoriti akan menangkap individu dari kumpulan lain yang cuba mengenegahkan suatu pemikiran yang berbeza dari yang mereka sarankan selama hari ini.

Yang lebih menyedihkan ialah oleh kerana mereka di pihak majoriti maka mereka mempunyai kesemua kemudahan untuk mengumumkan bahawa perbuatan itu sebagai suatu kesalahan terhadap negara. Walhal, ia hanyalah perbezaan cara fikir sahaja.

Kesemua ini terjadi kerana kita sedang membuat profiling dan sedang menganggap kumpulan kita lebih baik dari kumpulan yang lagi satu.

Kita sedang berbangga dengan kumpulan kita dan sedang menghina kumpulan lain.

Untuk itu, kita perlu sedar bahawa diri kita dan individu lain yang menjadi ahli masyarakat di sebuah negara yang kita huni bukanlah musuh kepada seorang yang lain.

Ahli-ahli masyarakat kita sudah tentulah terdiri dari sanak saudara kita samada dekat atau jauh.

Maka, apakah alasan yang munasabah untuk menganggap mereka ini musuh kepada diri kita.

Mana mungkin, ibu-bapa, adik-beradik, sepupu, ibu saudara, bapa saudara di sebelah kita dan pasangan kita adalah musuh kepada yang lain ?

Apabila kita menganggap mereka ini musuh dengan dikelabui profiling sunni, syiah, kristian, hindu, buddha dan lain-lain maka kita memusnahkan potensi yang ada pada diri kita sebagai sebuah masyarakat.

Namun, sebaliknya jika kita menganggap sunni, syiah, kristian, hindu, buddha dan lain-lain sebagai kaum keluarga kita yang satu, maka secara tidak semena-mena segala kelemahan kita akan bertukar menjadi satu kuasa kebaikan yang sangat besar kerana kita tidak lagi berpecah-pecah.

Untuk pengetahuan semua, Al Quran hanya mengenalpasti satu golongan sahaja.

Golongan ini adalah ;

A078

"Dan bergelutlah kepada Allah dengan pergelutan yang sebenar; Dia telah pilih kamu, dan tidak letak ke atas kamu kesusahan kepada fitrah/hakikat (deeni) kamu, anutan bapa kamu, Ibrahim; Dia namakan kamu sebagai mereka yang damai (muslimeena) dari dahulu, dan dalam yang ini, supaya Rasul menjadi saksi ke atas kamu, dan kamu jadi saksi ke atas manusia. Maka dirikanlah kesungguhan (solla-wa-ta), dan murnikanlah ia (tuz-zakka-wa-ta), dan berpegang teguhlah kamu kepada Allah; Dia Pelindung kamu - Pelindung yang sangat baik, dan Penolong yang sangat baik" AQ 22:78

Perkataan Muslim berasal dari akar kata sin-lam-mim (s-l-m) yang disebut sebagai salam dan membawa maksud damai.

Dengan penambahan awalan (pre-fix) ganti nama ramai maka ia di sebut sebagai muslim dan membawa maksud "mereka yang damai/orang lelaki yang damai".

Muslim bukanlah mereka yang menganut satu jenis organisasi keagamaan dengan jenama "Islam" tetapi secara amnya adalah mereka yang mempunyai suatu pemikiran yang damai.

Tidak kira apa sahaja anutan seseorang itu, jika beliau adalah seorang yang damai, maka beliau layak dipanggil sebagai seorang muslim.

Ini juga bermakna seteru kepada kumpulan ini adalah satu kumpulan sahaja.

Iaitu sebuah kumpulan lain yang juga menjadi seteru dunia sejagat iaitu "mereka yang tidak mahu berdamai" atau lebih mudah dikenali "pengganas".

Kesimpulan 

Membuat kebajikan adalah satu perbuatan baik yang universal.

Ia tidak boleh dipecah-pecahkan dan hanya ditujukan kepada sesebuah kumpulan sasaran sahaja.

Apabila melakukan sebegini maka kita bolehlah dikategorikan sebagai seorang yang mempunyai agenda.

Kita bukan lagi membuat kebajikan tetapi hanyalah seorang yang mengguna platform tertentu untuk meluaskan pengaruh kita sahaja.

Sebaliknya jika kita membuat kebajikan tanpa mengira jenis agama, bangsa dan kategori maka kita sebenarnya sedang membuat suatu jenis kebajikan yang paling utama iaitu kita sedang berlaku adil.

A008

“Allah tidak melarang kamu berbuat baik dan berlaku adil terhadap orang-orang yang tidak memerangimu dalam fitrah/hakikat mu (deeni) dan tidak mengusir kamu dari kampung halamanmu. Sesungguhnya Allah mencintai orang-orang yang berlaku adil” AQ 60:8

Solla(t) membawa maksud kesungguhan atau iltizam atau determination.

Sesungguhnya di Malaysia ini mereka yang berfahaman sunni sedang bersungguh-sungguh menyebar luaskan fahaman mereka.

Saya tidak bersetuju dengan kebanyakkan pendapat mereka.

Namun, mereka bukanlah musuh saya kerana mereka ini adalah ibu dan bapa saya, adik beradik saya, ibu dan bapa saudara saya dan juga sepupu-sepapat saya.

Cukuplah dengan saya sekadar mengatakan bahawa pendapat abah dan mak itu salah kerana itu hanyalah cara fikir mereka sahaja.

Bermusuh dengan mereka bererti saya sedang mengamalkan sesuatu yang saya sendiri sangat anti iaitu menjadi bergolongan.

Kita tidak mungkin menyatukan hati setiap orang di Malaysia ini kerana percubaan sebegitu adalah sesuatu yang bertentangan dengan fitrah/hakikat/deen bahawa manusia ini dijadikan bersuku-suku.

A013

"Wahai manusia, Kami cipta kamu lelaki dan perempuan, dan buat kamu berbangsa-bangsa, dan bersuku-suku, supaya kamu mengenali satu sama lain. Sesungguhnya yang paling mulia antara kamu di sisi Allah ialah yang paling benar (taqwa) antara kamu. Sesungguhnya Allah Mengetahui, Menyedari" AQ 49:13

Ia tidak begitu semulajadi.

Jika kita sebagai seorang "Quranist" merasakan kita sedang berada di jalan yang benar, seorang yang sudah memahami maksud sebenar pelbagai terma di dalam Al Quran.

Maka,  patutlah kita merasa malu kepada diri kita sendiri kerana setelah kita memahami bahawa terma solla(t) itu membawa maksud kesungguhan/iltizam/determination, sebaliknya kita membiarkan sahaja golongan sunni bersungguh-sungguh mendirikan kesungguhan dengan menyebarluaskan fahaman mereka sedang kita sekadar pandai menghukumi mereka itu tidak berada di jalan yang benar sahaja.

Oleh kerana itu, di dalam kegilaan manusia berlumba-lumba untuk menjadi berkumpulan, atas nama kebenaran, cubalah untuk bertoleransi di dalam hubungan kita sesama manusia kerana itu adalah lebih adil kepada kemanusiaan.

Ashwed