Friday 28 August 2015

Perkauman

Nota : Artikel kali ini akan berkisar sedikit mengenai dunia politik tanahair. Anda boleh berhenti membaca jika anda memang anti dunia politik. Sungguhpun begitu, rakyat Malaysia telah membuktikan bahawa kita mempunyai hobi bercerita mengenai politik di waktu lapang.

Apakah dia perkauman ? Bagaimanakah kita mengukur perkauman ? Adakah ia sama dengan Nasionalisma ?

Dari segi bahasa perkataan "perkauman" atau "racism" dalam Bahasa Inggeris digunakan untuk menerangkan sikap sesuatu kaum yang menganggap kaum mereka adalah yang paling unggul di antara kaum-kaum lain.

 rac·ism
ˈrāˌsizəm

t    the belief that all members of each race possess characteristics or abilities specific to that race, especially so        as to distinguish it as inferior or superior to another race or races.

Perkataan ini mula digunakan semenjak tahun 1930an.

Ini bermakna jika anda hidup pada tahun-tahun pra 1930an secara amnya anda tidak pernah membuat, bersubahat membuat, berfikir atau melayan kaum lain dengan cara perkauman.

Sebabnya adalah kerana perkataan ini belum digunapakai sebagai maksud yang kita fahami seperti sekarang ini. 

Bagi saya banyak terdapat contoh perkataan yang telah mengalami proses propaganda sesetengah pihak sehingga ia menjadi "kotor" dari pandangan psaikologi rakyat Malaysia.

Contohnya perkataan "Liberal". Perkataan ini pada asalnya merujuk kepada maksud seperti di bawah, iaitu seseorang yang progresif dan percaya kepada idea kemajuan ;


lib·er·al
ˈlib(ə)rəl
  1. 1.
    open to new behavior or opinions and willing to discard traditional values.

  2. 2.
    (of education) concerned mainly with broadening a person's general knowledge and experience, rather than with technical or professional training.
Mengapa saya memilih "perkauman" sebagai tajuk artikel saya pada kali ini.

Ianya adalah kerana saya berpendapat begitu ramai rakyat Malaysia sekarang ini terpengaruh dengan propaganda terbalik perkataan perkauman ini. 

Ianya sebenarnya menjadi senjata yang digunakan oleh parti-parti politik yang bermusuhan sesama sendiri untuk menembak musuh-musuh politik mereka.

Sehinggakan, apa sahaja yang cuba dibuat untuk memberi motivasi kepada kaum sendiri di anggap dan dituduh sebagai perkauman.

Adakah benar semua perkara dan agenda jika dibuat atas nama sesuatu kaum boleh dianggap sebagai perbuatan "perkauman" terhadap kaum yang lain ?

Asas Penubuhan Malaysia

Pertama sekali yang perlu kita semua akui ialah negara kita ini di dirikan dengan asas-asas kaum (bukan perkauman/rasisme). 

Iaitu Kaum Pribumi (Melayu/Kadazan/Iban/Bidayuh dll) berkongsi dengan kaum Cina dan India.

Tidak ada satu pun asas-asas penubuhan negara ini yang tidak menjurus kepada kaum. Ianya sangat jelas di dalam Perlembagaan Persekutuan Malaysia. 

Ingat. Perlembagaan Persekutuan adalah Undang-Undang Tertinggi Persekutuan Negeri-Negeri yang mahu memanggil diri mereka Malaysia.

Kita memperolehi kemerdekaan dari Sistem Feudal yang total kepada negara demokrasi berasaskan Raja Berpelembagaan juga dengan kekuatan asas-asas kaum.

Asas perkongsian kaum ini ialah melalui intergrasi. Kaum-kaum di Malaysia tidak pernah bersetuju untuk membuat proses asilimisasi. Inilah yang menjadi masalah utama kita. 

Adalah sukar untuk rakyat pelbagai kaum di Malaysia mahu memanggil diri mereka sebagai bangsa Malaysia seperti di Indonesia kerana kita tidak mahu mengasimilisasi diri kita menjadi satu bangsa.

Adalah sangat tidak munasabah jika kaum Cina dan India yang sudah beratus tahun tinggal di Malaysia. Lahir dan mati di sini tetapi masih mahu mengekalkan identiti negara asal mereka.

Pembohongan Parti Politik

Pernahkah anda terfikir adakah "kedamaian (Islam)" yang diperolehi oleh semua kaum rakyat Malaysia selama ini adalah salah kerana ia diperolehi dengan asas kaum ? 

Jika ianya salah mengapa kita, tanpa mengira kaum, mempunyai hak untuk bergerak di mana-mana sahaja di dalam Persekutuan Malaysia dengan bebas tanpa halangan (termasuk pendatang asing dari Indonesia, Bangladesh, Myanmar, China, Nepal dan India).

Bolehkah kaum bukan pribumi menyatakan bahawa mereka di halang untuk pergi ke sesuatu tempat di dalam Persekutuan Malaysia ini hanya kerana mereka bukan dilahirkan sebagai kaum pribumi ? 

Jika tidak, mengapa seringkali perkataan "perkauman" diangkat menjadi agenda perjuangan politik seolah-olah negara kita mengalami masalah perkauman yang sangat kronik seperti di Afrika Selatan.

Seringkali juga, kebanyakkan parti politik pembangkang memanggil sebuah lagi parti politik orang Melayu yang mendominasi dunia politik tanahair sebagai sebuah parti mengamalkan perkauman.

Tidakkah mereka terfikir bahawa Presiden parti inilah yang pada mulanya mengambil kaum-kaum lain yang bukan berasal dari bumi ini sebagai warganegara. Adakah ini perbuatan seorang yang mengamalkan perkauman ?

Kita perlu membezakan di antara agenda memajukan bangsa sendiri dengan perbuatan perkauman. Ianya sangat berbeza. 

Jika sekiranya kita terperangkap dengan propaganda sebegini maka amat sukar untuk kita mencapai kemajuan kerana jauh di sudut hati, kita sebenarnya mempunyai perasaan irihati dengan apa yang cuba dicapai oleh orang lain.

Saya percaya sebenarnya perkataan yang paling sesuai yang dicari-cari oleh rakyat Malaysia ialah "diskriminasi". Perbuatan ini lebih halus ciri-cirinya daripada perkataan "perkauman".

Diskriminasi boleh dilakukan oleh sesiapa dan kepada sesiapa sahaja. Di dalam Bahasa Arab, saya rasa perkataan yang paling sesuai ialah assobiyah. Di dalam Bahasa Inggeris pula konsep ini dipanggil chauvinism.

Misalnya, apabila mencari pekerjaan, seringkali kita membaca iklan peluang pekerjaan yang secara spesifik mahukan pemohon mempunyai kebolehan berbahasa Tiong Hua. Ini adalah diskriminasi kaum. Ia dilakukan secara halus.

Walaubagaiamanapun, sudah tentu ada pemohon dari keturunan lain yang boleh berbahasa Tiong Hua. Adakah syarikat tersebut mahu menerima pemohon dari keturunan lain yang fasih berbahasa Tiong Hua ?

Sesungguhnya tiada siapa tahu akan jawapannya kerana pada hakikatnya kaum keturunan lain seperti Melayu dan India tidak ambil pusing pun mengenai perkara ini.

Hanya mereka iaitu kaum Cina dan India yang menggotai Parti DAP sahaja yang seringkali menjerit bahawa kaum mereka menerima layanan perkauman dari Parti Pemerintah.

Yang peliknya rakan kaum Cina dan India mereka yang menganggotai Parti MCA, MIC dan GERAKAN tidak pula mengadu mereka dilayan secara perkauman.

ASSOBIYAH/CHAUVINISME/DISKRIMINASI

Inilah sebenarnya syi-ya-an yang diperkatakan di dalam Al Quran.

A159

"Sesungguhnya orang-orang yang memecah belah aturan hidup (deenahum) dan mereka menjadi bergolongan, tidak ada sedikitpun tanggung jawabmu (Nabi Muhammad Saw) kepada mereka. Sesungguhnya urusan mereka hanyalah terserah kepada Allah, kemudian Allah akan memberitahukan kepada mereka apa yang telah mereka perbuat " AQ 6:159

 A031

"dengan kembali bertaubat kepada-Nya dan bertakwalah kepada-Nya serta dirikanlah iltizam dan janganlah kamu termasuk orang-orang yang mempersekutukan Allah" AQ 30:31

A032

"yaitu orang-orang yang memecah-belah aturan hidup (deenahum) mereka dan mereka menjadi beberapa golongan. Tiap-tiap golongan merasa bangga dengan apa yang ada pada golongan mereka.

 A052

" Dan sesungguhnya kamu adalah satu ummat, dan Akulah Tuhan kamu; maka bertaqwalah kamu kepadaKu" AQ 23:52

 A053
"Kemudian mereka (pengikut-pengikut rasul itu) menjadikan agama mereka terpecah belah menjadi beberapa pecahan. Tiap-tiap golongan merasa bangga dengan apa yang ada pada sisi mereka (masing-masing)" AQ 23:53

Ianya paling besar dilakukan oleh manusia dengan membeza-bezakan diri dan kumpulan mereka  dengan yang lain melalui ;

1. Agama (paling meluas dan merbahaya)
2. Mazhab (juga merbahaya)
3. Parti Politik (boleh juga jadi merbahaya)
4. Kaum
5. Sub-kaum
6. Budaya 
7. Sub-budaya
8. Organisasi bawah tanah seperti gengsterisme dll
9. Kumpulan sukan, artis dll

Bagi orang-orang ini, terutama golongan agama, mazhab dan parti politik kumpulan merekalah yang benar. 

Bagi mereka hanya kumpulan mereka sahaja yang layak diberi balasan syurga.

Mereka mencipta standard piawaian sendiri. Mereka lupa bahawa tuan punya syurga adalah Tuhan. Sudah tentulah hanya piawaian Tuhan yang terpakai. 

Oleh kerana kita bukan Tuhan maka tiada siapa pun yang sebenarnya tahu apakah piawaian yang sebenar.

Saya sendiri tidak berani mengatakan bahawa jalan yang saya lalui inilah yang paling benar sebabnya adalah mudah, saya bukan Tuhan. Begitu juga para Nabi dan Rasul, mereka bukan Tuhan.

Saya tertarik dengan sinopsis sebuah buku yang ditulis oleh seorang ahli politik dari sebuah negeri di Pantai Timur. Komentar kepada buku ini ditulis saudara Ooi Kok-Hin seperti berikut ;

Nukilan Tok Guru Nik Aziz: Persaudaraan Manusia

Disebabkan saya tidak layak dan tidak berniat untuk mentafsir ayat-ayat TGNA, saya akan membiarkan kata-kata Tok Guru “bercakap dengan sendiri”.

Pemikiran TGNABerikut merupakan tanggapan Tok Guru Nik Aziz terhadap hubungan antara Muslim dan non-Muslim:

“Islam mengiktiraf prinsip persamaan dan kesatuan keturunan yang datang dari Adam dan Hawa. Islam datang bagi membebaskan manusia dari segala fahaman kebangsaan yang sempit. Manusia perlu keluar dari petak-petak buatan berasaskan bangsa, bahasa, dan suku kaum.”

“Kita semua Melayu, Cina, India, orang Amerika, orang putih, orang Asli, dan lain-lain adalah adik-beradik. Kita datang dari keturunan yang satu, iaitu ayah kita bernama Adam dan ibu kita bernama Hawa. Soal berapa ribu pupu kita ini, biarlah.

Sekiranya tuan-tuan kata nenek moyang kita bukan Adam dan Hawa, cuba beritahu saya. Sekiranya tidak jumpa jawapan, terima dahulu kenyataan ini.”

“Selama ini kita tidak berfikir menyebarkan Islam kepada bukan Islam. Selama ini tok-tok guru pondok kita hanya menyebarkan Islam kepada sesama orang Islam.

Meskipun PAS menolak pendekatan perpaduan dengan UMNO, tetapi bukan bermakna PAS mengenepikan tanggungjawab menyebar Islam.

Sebenarnya, perpaduaan melalui Pakatan Rakyat membuka ruang bagi PAS menyampaikan kebaikan Islam kepada pemimpin dan ahli parti Pakatan Rakyat yang bukan Islam.”

“Mengapa isu membenarkan bukan Islam masuk ke rumah ibadah agama Islam diperbesar-besarkan, sedangkan orang bukan Islam yang membina dan membuat mimbar masjid tidak dipersoalkan?”

“Tidak salah orang bukan Islam termasuk wanita masuk dalam masjid sama ada untuk berucap atau apa sahaja asalkan berpakaian sopan bagi bukan Islam dan menutup aurat bagi orang Islam.”

Sekali imbas, ramai yang begitu terpesona dan mengagumi tulisan ahli politik ini. Mereka merasakan pemikiran inilah yang paling benar.

Oleh kerana beliau menulis bahawa semua kaum adalah sama, maka pemikiran kita yang begitu diracuni oleh propaganda perkataan perkauman pun menjadi terpesona.

Tetapi tanpa mereka sedari, ahli politik ini secara halus meracun pemikiran syi-ya-an (bergolongan) kepada khalayak.

Mula-mula beliau membedakan manusia kepada pecahan utama iaitu sebagai muslim dan non-muslim. 

Agama pada pandangan beliau yang sempit membenarkan syi-ya-an (bergolongan). 

Sebab itulah beliau bertanggapan perlu ada proses penyebaran pemahaman aliran  "Islam" yang beliau anuti kepada non-muslim dan juga kepada muslim lain yang menganuti  aliran "Islam" yang berbeza dengan beliau.

Beliau merasakan bahawa kumpulan yang menggelar diri mereka muslim aliran yang beliau anuti sahaja yang layak mengatakan diri mereka benar.

Yang kedua beliau membahagikan lagi agama kepada pecahan yang lebih kecil iaitu pembahagian berdasarkan parti politik.

Pemikiran sebeginilah yang menyebabkan negara kita mengalami isu perpecahan yang sebegitu teruk. 

Rakyat Malaysia gagal menjadi satu kerana kita masih menyangka bahawa muslim lebih benar dari Kristian, Buddha dan Hindu. 

Ia menjadi semakin buruk, apabila kita merasakan parti politik ini lebih benar dari yang lain.

Ini adalah perasaan dengki yang begitu mendalam. 

Marilah kita mendalami keterangan di bawah ini dengan hati yang terbuka ;

A062

"Sesungguhnya orang-orang mukmin, orang-orang Yahudi, orang-orang Nasrani dan orang-orang Shabiin, siapa sahaja di antara mereka yang benar-benar beriman kepada Allah, Hari Kemudian dan beramal saleh, mereka akan menerima pahala dari Tuhan mereka, tidak ada kekhuatiran kepada mereka, dan tidak pula mereka bersedih hati" AQ 2:62

Janganlah anda merasakan bahawa diri anda sudah mempunyai pemikiran terbuka hanya kerana anda menjadi ahli sebuah Parti Politik berbilang kaum. Itu hanyalah tanggapan anda yang sempit.

Cuba anda jawab dahulu soalan di bawah.

Bolehkah anda secara ikhlas merasakan bahawa jiran sebelah menyebelah anda yang menganuti agama Hindu, Buddha, Kristian dan lain-lain juga boleh menerima balasan syurga seperti anda ?

NASIONALISMA

Semangat nasionalisma bukanlah perkauman. Ia hanyalah satu semangat untuk cinta kepada negara sendiri. 

Ahli politik yang saya petik seperti di atas gagal memahami konsep yang mudah ini sehingga ke akhir hayat beliau. Beliau menyangka nasionalisma adalah semangat perkauman.

Nasionalisma boleh digunapakai oleh semua kaum yang menjadi rakyat sesuatu negara.

Di dalam sejarah Malaysia, ramai kaum bukan pribumi yang mempunyai semangat nasionalisma yang tinggi. 

Dasar Ekonomi Baru, yang berjaya merapatkan jurang ekonomi di antara kaum bukanlah idea seorang Melayu.

Memang benar, Perdana Menteri Tun Abdul Razak adalah orang yang membuat pengumuman mengenainya.

Hakikatnya, idea kepada dasar ini keluar dari pemikiran seorang insan berbangsa India yang mencintai negara ini seikhlas hati beliau. 

Beliau bernama James Puthucheary (semoga rohnya dicucuri rahmat dan diletakkan bersama roh-roh yang mukhlis).

Beliau adalah seorang yang berfahaman komunis. Beliau faham benar akan diskriminasi kelas yang dipraktikkan di negara kita.

Terkejut bukan. Hakikatnya, sesuatu perkataan itu menjadi kotor dan hina dipemikiran kita adalah kerana mainan propaganda yang melampau. Perspektif kita diwarnakan dengan informasi-informasi ini.

Sekarang, adakah anda orang-orang yang memanggil diri anda Muslim boleh menerima apabila saya memohon supaya Tuhan merahmati roh James Puthucheary ? Sedangkan pemikiran beliaulah yang menyebabkan kita kaum pribumi mendapat biasiswa, pelajaran dan sekolah setaraf dengan kaum lain dengan percuma ?

Jika anda merasa ganjil, maka anda sebenarnya adalah seorang yang mengamalkan syi-ya-an. 

Anda tidak boleh menerima seorang yang beragama kristian, berfahaman komunis, tetapi adalah juga seorang nasionalis kelas pertama yang tidak pernah didendang.

Anda sedang mengamalkan diskriminasi/assobiyah/chauvinisme.

Inilah nilai buruk yang kita semua sebagai rakyat Malaysia perlu buang dari kamus hidup kita.

Semoga kita berjaya menjadi BANGSA MALAYSIA.

Ashwed

1 comment:

  1. Salam


    "dengan kembali bertaubat kepada-Nya dan bertakwalah kepada-Nya serta dirikanlah iltizam dan janganlah kamu termasuk orang-orang yang mempersekutukan Allah" AQ 30:31

    Ayat di atas dari salah satu pengajarannya(bahasa pasar); "buat kerja, jgn sibuk duk ngadap 'ulama' jek. Tak do kojo!"
    Atau "dirikan iltizam, jgn sibuk dgn sekutukan Tuhan dgn 'ulama' je. Banyak lagi keja nk dibuat!"

    ReplyDelete