Sunday 1 April 2018

Politik : The Winnable Candidate

Kedamaian Buat Semua,

Musim pilihanraya semakin menghampiri tanah air kita. 

Di kala artikel ini ditulis, ahli-ahli politik di Malaysia sedang merancang strategi bagi memenangkan parti masing-masing.

Sejujurnya, saya mempunyai minat mendalam untuk merubah cara fikir masyarakat kepada bentuk yang positif. Minat ini sebenarnya paling sesuai diinterpretasi di pentas politik.

Namun, saya merasa ralat dengan politik ala Malaysia. 

Ini adalah kerana setelah hampir 45 tahun hidup di sini, saya merasakan kita gagal mengambil peluang keemasan untuk benar-benar membuka potensi masyarakat majmuk yang kita miliki.

Bangsa yang menghuni negara ini semakin hari semakin terpisah dari rakannya yang berbangsa lain. 

Ini menjadikan kita tidak boleh dikenali sebagai satu masyarakat yang besar melainkan hanya berpura-pura menghormati di antara satu sama lain.

Segala-galanya bermula dari pendidikan.

Kita tidak lagi boleh berpura-pura bahawa dengan membenarkan sistem pendidikan yang dicarik-carik seumpama sebuah puzzle, kita boleh mencipta kejayaan.

Adakah kita masih berpendapat bahawa dengan berbuat demikian anak-anak kita akhirnya dapat menyempurnakan sebuah masterpiece lalu membuat intergrasi sesama sendiri ?

Dari kecil kita memisahkan mereka, apabila sudah dewasa kita menyeru mereka supaya bersatu. Siapakah sebenarnya yang sedang kita tipu ?

Anak-anak saya pergi ke sekolah berdekatan dengan rumah kerana ia memudahkan pengangkutan. Saya dapati tiada langsung anak-anak dari rakan-rakan saya yang berbangsa cina menghantar anak mereka ke sekolah itu.

Manakala, mereka yang berbangsa India pula boleh dibilang dengan jari.

Ini diburukkan lagi dengan cara pentadbiran sekolah yang tidak dapat membezakan di antara agama dengan sistem pendidikan. Mungkin ini sebab utama bangsa lain kurang berminat lagi menghantar anak-anak mereka ke sekolah kebangsaan (sepatutnya kenegaraan).

Ditambah pula dengan kehadiran sekolah jenis kebangsaan yang didirikan berdekatan. Menjadikan peratusan untuk anak-anak kita berasimilisasi sangatlah kecil.

Tidakkah kita boleh berhenti berpolitik apabila berbincang mengenai sistem pendidikan ? Di dalam soal ini saya rasa semua bangsa di sini perlu membuka hati seluas-luasnya.

Kepada rakan-rakan yang berbangsa cina dan india, cuba tanya kepada diri sendiri sampai bilakah agaknya masih mahu mempertahankan sistem pendidikan terpisah sebegini.

Sampai bilakah mahu berlagak seperti orang asing di negara sendiri ?

Orang-orang Melayu yang ekstrim agama mengambil kesempatan akibat keenganan diri anda membuat asimilisasi. Lalu mereka mengguna alasan ini untuk memberi akar kepada fahaman agama cara mereka.

POLI-TAIK

Situasi ini menjadi semakin keliru apabila ahli politik di sini mempraktik communal politic hanya untuk memenangi pertandingan pilihanraya.

Bagi saya cara yang diamalkan oleh para pemain politik di Malaysia bukanlah amalan demokrasi yang terpuji.

Masing-masing menunding jari bahawa ahli politik seteru mereka mengamalkan politik perpecahan sedangkan diri mereka pun sama sahaja terkeliru.

Semua ini dapat dibuktikan dengan jelas melalui calon-calon parti politik apabila tiba musim pilihanraya. 

Jika mereka tidak mengamal communal politic maka mengapakah mereka meletak calon berdasarkan peratusan bangsa di kawasan tersebut ?

Sejak akhir-akhir ini pula formula yang digunakan ialah Winnable Candidate. Bukan sahaja kita telah dipisahkan oleh bangsa. Kini kita dipisahkan pula oleh bidang pekerjaan yang kita ceburi, sebagai contoh jika di kawasan tersebut dipenuhi askar maka Winnable Candidate perlu datang dari kalangan askar. 

Calon bukan lagi dipandang dari tahap pemahaman seseorang mengenai sistem demokrasi atau daya kepimpinan yang mereka miliki atau ketinggian idea baru yang boleh dibawanya, tetapi sekadar kepada keupayaan mereka untuk menang.

Oleh yang demikian, rakyat diperbodohkan untuk memilih di antara mereka yang korup, mereka yang sudah berusia lanjut, mereka yang mengamal seks luar tabie, seks dengan isteri orang, mereka yang menyorok dicelah ketiak bapa, mereka yang mengamal kronisma dan nepotisma dan mereka yang perasan bagus.

Adakah setakat itu sahaja pilihan yang rakyat ada ? Tiada orang lain lagikah ?

Ayuh, rakyat Malaysia bangunlah. Cukuplah kita diperbodohkan oleh ahli politik.

Kita perlu berkata dengan tegas bahawa di antara 222 ahli parlimen yang mereka mahu kita pilih dan lebih dari 30 juta rakyat Malaysia yang lain, kami percaya pemimpin yang lebih sesuai berkemungkinan besar datang dari kalangan kami rakyat biasa yang berjumlah 30 juta orang ini.

Cukuplah kita memberi ruang kepada Representative Democracy. Mungkin sudah masanya kita berubah kepada Pure Democracy atau sistem demokrasi lain yang lebih sesuai dengan aspirasi rakyat yang dahagakan pemimpin yang berintegriti tinggi.

Politik Kepartian ini hanya memecahbelahkan kita.

Ashwed

2 comments:

  1. Politicalamity92 April 2018 at 16:58

    On education, what I dont understand is that, why these politicians cant trust the very system that made them? Why need to change... i believe it all started for the kbsr and kbsm. Adaptation yes, but not the whole thing just for the sake of marking their presence. Unless of course, they are failures of the old system.

    ReplyDelete
  2. "Cukuplah kita memberi ruang kepada Representative Democracy. Mungkin sudah masanya kita berubah kepada Pure Democracy"..

    setuju, sekarang adalah masa yang sesuai untuk mengambil keseluruhan suara rakyat dalam semua polisi

    ReplyDelete