Wednesday 23 May 2018

Siri Ramadhan : Demokrasi Dalam Masyarakat

Kedamaian Buat Semua,

Bila sebut sahaja perkataan demokrasi tentu sahaja di fikiran ramai di antara kita tergambar bahawa ia adalah mengenai majoriti ?

Mungkin juga ramai yang menggambarkan bahawa ia adalah mengenai populariti yang di jana oleh tokoh politik tertentu.

Kita sering merasakan bahawa populariti dan majoriti yang diperolehi tokoh itu menjadikan beliau layak menjadi pemimpin kepada diri kita. 

Dari suatu segi kerana amalan demokrasi yang kita pilih, memang benar, sesiapa yang mendapat undi majoriti layak menjadi pembuat keputusan bagi diri kita sebagai rakyat terbanyak.

Namun, saya ingin membawa saudara-saudari sidang pembaca yang budiman kepada suatu senario yang agak janggal.

Bayangkan kita semua berada di dalam sebuah kapal yang sedang berlayar di lautan yang luas.

See the source image

Sekarang, bayangkan lagi bahawa kita diminta untuk memilih seorang nakhoda bagi mengemudi kapal yang sedang di dalam pelayaran mengharungi lautan luas tersebut.

Pemilihan ini semakin menjadi agenda yang amat penting di antara penumpang dan anak kapal memandangkan lautan sudah menjadi gelap dan garang akibat cuaca yang tidak baik.


See the source image

Kita diberi dua pilihan sahaja iaitu ;

Tokoh A - seorang yang amat popular di antara para penumpang dan anak kapal. Beliau adalah seorang ahli perniagaan berjaya yang mempunyai harta berbillion-billion serta sering memberi sadaqah kepada kita dari hartanya yang banyak itu. Malah kapal yang kita sedang layari itu pun sebenarnya dibiayai pembinaannya oleh beliau. Beliau juga sering membuat majlis keraian dan menjemput para penumpang serta anak kapal bermesra di majlis itu.

Tokoh B - Seorang yang kurang popular. Mempunyai masalah kewangan yang tidak terurus. Seorang bujang yang tidak mempunyai keluarga walaupun sudah agak berusia. Walabagaimanapun, beliau mempunyai pengalaman luas mengenai lautan. Beliau sudah menjadikan lautan sebagai tempat bermain di antara 40-50 tahun. Beliau bermula dari menjadi anak kapal kelas rendah, tetapi diangkat dengan pantas ke bahagian lain oleh kerana ketekunan dan minat yang mendalam mengenai dunia perkapalan dan pelayaran di lautan luas. Beliau mempunyai rekod menjadi nakhoda kepada kapal-kapal perdagangan dan penumpang yang ternama dan selama beliau memberi khidmat belum ada lagi kapal kendaliannya yang tenggelam di lautan.

Siapakah di antara dua tokoh di atas benar-benar berupaya membawa kita ke daratan dengan selamat ?

Yang popular atau yang kurang popular ? Yang berduit atau yang kopak ? Yang pandai membawa diri di dalam majlis atau yang janggal ?

Nah, apabila diberikan senario yang sebegini, barulah kita berfikir di ruang yang lain. 

Tiba-tiba baharulah kita memahami bahawa populariti dan majoriti tidak lagi mempunyai kesan yang berguna buat diri kita jika senarionya berbeza.

Yang lebih penting kepada kita di saat itu bukannya populariti tetapi pengalaman, pengetahuan dan rekod untuk menyelamatkan para penumpang, anak kapal seterusnya diri kita sendiri.

Begitulah sebenarnya sebuah amalan demokrasi yang ideal.

Ia bukan mengenai populariti dan majoriti semata-mata.
Demokrasi yang terhidang di hadapan kita sekarang ini ialah mengenai bagaimana mahu memenangi pertandingan pilihanraya.

Untuk menang, pelbagai cara digunakan bagi mengawal persepsi rakyat. Propaganda, fakta separuh benar dan berita palsu digunakan tanpa ada sekatan sehinggakan rakyat menjadi keliru dan sukar membuat keputusan.

Cuba kita bayangkan, jika kita sebagai penumpang kapal olok-olok yang saya gambarkan seperti di atas, apakah kita akan membenarkan permainan persepsi mengaburi daya pilihan kita ?

Sudah tentu tidak. Bukankah begitu ?

Sebuah demokrasi yang ideal ialah apabila para pengundi mempunyai informasi yang tepat untuk membuat keputusan.

Oleh kerana itu, para pengundi perlu menyiapkan diri sendiri dengan ilmu pengetahuan yang diperlukan bagi membuat keputusan yang paling baik demi masa depan diri sendiri serta generasi anak-anak dan cucu-cucu mereka.

Yang menjadi masalah kita ialah bagaimanakah caranya mendapatkan ilmu pengetahuan yang diperlukan itu ?

Adakah semua pengundi mahu membuat pencarian dan menguasai ilmu yang bertepatan sebelum membuat keputusan ? Atau kita masih mahu membiarkan diri kita dilambung ombak dan hanyut dengan informasi yang diberikan oleh orang lain tanpa mahu membuat carian sendiri ?

Tepuk dada tanya selera. 

Yang pasti demokrasi tidak akan menjadi agong jika kita meneruskan amalan lama. 

Kita sekadar menjadi segerombolan kambing yang di minta untuk memilih seorang ketua di kalangan tukang sembelih.

Kita pilih atau tidak, kita tetap menjadi mangsa yang akan disembelih.

See the source image 

See the source image

 See the source image

Ashwed



5 comments:

  1. Sdr Ashwed,

    Saya begitu lega dapat ‘mengakses’ laman web tuan sesudah begitu lama ianya gagal di ‘akses’.

    Di sini jelas parti Umno memerlukan ‘spesis’ seperti tuan untuk mengemudi (kapal yang sudah lama hanyut dek kerna juragannya). Walaubagaimanapun, seperti mana yang kita semua sedia maklum, ‘mereka’ tidak akan berubah jauh sekali untuk menghargai orang seperti tuan.

    Saya amat berharap agar tuan dapat meneruskan tulisan/mahakarya yang banyak ‘membantu’ saya

    HHK

    ReplyDelete
  2. sekarang politik dah berhenti sementara, mungkin boleh bincang tentang kepercayaan dan amalan? lagi pun bulan ni sangat bermakna bagi yang beramal..

    ReplyDelete
  3. Saya teruja nk tgk sejauh mana perubahan kpd sosio-ekonomi Melayu selepas PRU14, adakah dgn mentaliti subsidi, kebajikan, malas kebanyakan orang kita ni akan mengubah nasib hidup mereka. Dari pengamatan saya, majoriti Melayu akan salahkan kerajaan PH dalam masa beberapa tahun lagi apabila nasib mereka lebih kurang sama semasa BN memerintah. Atau mungkin jadi lebih teruk kahkahkah.....

    ReplyDelete
  4. Salam. X tahan, nak ngadu kat sini, musim raya terbakar hati tgk drama2 kat tv yg x membina minda dan mentaliti Melayu. Asyik sedih memanjang. Jalan cerita salah satu nya - perangai jahat, insaf then last sekali mati. Banyaklah drama di penghujungnya mati.Melayu ni hidup tunggu mati gamaknya. Pelakon top, lakonana mantap. Skrip-sedih. Sama la iklan raya, kecuali iklan TNB (tu pun director bukan Melayu), penuh keriangan dan semangat raya. Begitu juga lagu2 Melayu, dari berpuluh tahun lepas penuh kesededihan. Putus cinta, sedih di perantauan dll, tema kebanyakan depressed (lagu minor key). Harapnya akan ada karyawan Melayu nanti yg akan merevolusikan seni ke arah yg lebih positif since sekarang dah Malaysia Baru.

    ReplyDelete