Saturday 3 December 2016

Rumah Yang Bernama Politik II

Kedamaian Untuk Semua,

Saya memohon maaf kerana kelewatan menyambung tulisan dan fikiran saya mengenai perkara ini. Berikut adalah bahagian kedua artikel bertajuk "Rumah Yang Bernama Politik".

.... Sidang pembaca yang di hormati sekalian, di dalam sejarah dunia, peristiwa menukar rejim pemerintahan bukanlah sesuatu yang luarbiasa.

Seringkali, apabila rejim ditukar, kesimpulan yang kita boleh baca dari para pujangga yang pro kerajaan baru itu ialah rejim yang sebelumnya adalah zalim.

Namun, dari sejarah juga kita boleh membuat kesimpulan bahawa menukar rejim bukanlah jawapan kepada permasalahan rakyat kerana ada kemungkinan rejim baru yang dilantik bertukar menjadi lebih zalim dan menindas dari rejim yang sebelumnya.

Hari ini kita boleh saksikan dengan mata kepala kita sendiri bagaimana pertukaran rejim di dunia Arab tidak membawa perubahan kepada rakyatnya.

Malah, mereka kini menghadapi situasi yang lebih getir dari yang sebelumnya. 

Di sesetengah negara Arab seperti Iraq, sudah kedengaran suara-suara yang menyatakan bahawa kehidupan mereka lebih aman sewaktu di zaman Saddam Hussein daripada situasi kini.

Walaupun beliau adalah seorang diktator, namun demografi politik Iraq menyebabkan kediktatoran Saddam Hussein berjaya mengawal nafsu politik di antara golongan yang bersengketa di dalam negara Iraq. 

Mengapakah perkara sebegini terjadi ? Mengapakah selepas bertukar rejim masalah rakyat masih sama ?

Ini adalah kerana rakyat yang melakukan revolusi ini masih tidak memahami bahawa menukar pemain tidak akan mengubah cara perlawanan itu dimainkan.

Jika perlawanan itu dimainkan dengan sistem yang berat sebelah maka pemain yang baru diganti ini akan mengambil kesempatan dan seterusnya mengguna sistem yang berat sebelah itu menjadi kelebihannya untuk menyalahguna kuasa.

Ini bermakna rakyat negara itu membuat kesalahan yang sama tetapi berharap untuk mendapat keputusan yang berlainan.

Contoh : Jika rejim terdahulu mengamal sistem monarki mutlak maka dengan hanya menukar Raja yang zalim dengan Raja baru pilihan rakyat tidak akan mengubah nasib rakyat negara itu. Ini kerana Raja yang baru itu kini diberi kuasa mutlak yang sama. Raja baru ini biarpun popular namun dia juga berkemungkinan menjadi zalim apabila kuasa mutlak berada di tangannya.


Untuk itu, adalah penting untuk rakyat mengenalpasti sistem dan kaedah pemerintahan yang lebih praktikal supaya kuasa mutlak ini dapat dipecahkan seterusnya mewujudkan pecahan kuasa yang boleh di timbang dan di periksa secara lebih telus bagi mengelak salah guna kuasa.

Di dalam sejarah moden, ada seorang pemikir yang berjaya memecahkan sistem kuasa mutlak ini.

Beliau adalah Charles-Louis de Secondat, Baron de La Brède et de Montesquieu atau ringkasnya MONTESQUIEU yang hidup sekitar 18 Januari 1689 – 10 February 1755.

Beliau adalah seorang peguam dan ahli falsafah. Dengan kata lain beliau adalah MAN OF LETTERS.

Abjad, perkataan, ayat dan buku-buku yang di tulisnya berjaya meruntuhkan absolute monarchy di negara Perancis.


Dengan kata lain rejim yang kejam dengan pemusatan kuasa yang mutlak diruntuhkan dengan pengetahuan bukan perarakan.

Inilah perkara yang gagal dikenalpasti oleh Nabi Musa. Baginda melawan kekejaman dan kezaliman namun, baginda tiada pelan tentang apa yang harus dilakukan selepas gerakan baginda menjadi satu gelombang.

Sungguhpun di setiap revolusi pasti ada pertumpahan darah, namun darah yang tumpah ini akan menjadi sia-sia jika ianya hanya tertumpah untuk sekadar mengganti pemain bukannya perlawanan yang berat sebelah itu.

Dengan pengetahuan baru yang di tanam ke dalam minda rakyat Perancis, baharulah terjadinya gelombang revolusi yang benar-benar berjaya dikenali sebagai Revolusi Perancis pada tahun 1789 -1799.

Montesquieu dan para penulis lain sezaman dengannya bertanggungjawab memecahkan kuasa yang pada mulanya mutlak itu. 

Beliau berjaya mengenalpasti siapakah "Firaun", kaedah yang di guna oleh "Firaun" dan cara mengatasinya.

Lalu terciptalah teori pemecahan kuasa yang secara asasnya dibahagikan kepada eksekutif (firaun), kehakiman (syi-ya-an) dan penggubalan (menindas segolongan dan membiarkan yang lain).

Kita mengenalinya sebgai Demokrasi.

Inilah bezanya di antara revolusi yang berjaya dengan revolusi yang sekadar menumpahkan darah tetapi gagal.

Oleh kerana ia terbukti berkesan, satu demi satu negara-negara di dunia ini mula mempraktis sistem demokrasi sebagai teras pemerintahan termasuklah negara ini.

Golongan bangsawan yang dahulunya menguasai pemusatan kuasa mutlak pada rejim yang lampau, kini mengambilalih hirarki baru masyarakat moden.

Kini, kita mengenali mereka sebagai AHLI POLITIK.

Di dalam sejarah Malaysia, ramai bangsawan telah dilahirkan. Di antara nama-nama yang popular ialah Dato Onn Jaafar, Tunku Abdul Rahman, Tun Razak, Tun Mahathir, Nik Aziz, Hadi Awang, Lee Kuan Yew, Lim Kit Siang dan ramai lagi.

Dan seperti golongan monarki di zaman silam para pemain baru yang kita kenali sebagai AHLI POLITIK ini secara tidak sedar mula membina empayar kerabat mereka untuk menguasai koridor kuasa secara turun temurun.

Kita boleh lihat kerabat para pemain ini dengan jelas di dalam pentas politik tanahair. 

Contoh mereka yang terkenal adalah Dato Onn - Tun Hussein Onn - Dato Hishamuddin Hussein, Tun Razak - Dato Seri Najib Razak, Tun Mahathir - Dato Seri Mukhriz Mahathir, Dato Seri Nik Aziz - Nik Abduh Nik Aziz, Haji Awang Mohamad - Dato Seri Abdul Hadi - Muhammad Khalil Abdul Hadi, Lim Kit Siang - Lim Guan Eng, Karpal Singh - Gobind Singh Deo, Dato Seri Samy Vellu - S. Vell Paari.

Dan yang paling mutlak kuasanya pastilah pasukan anak beranak Dato Seri Anwar Ibrahim - Datin Seri Wan Azizah - Nurul Izzah yang menguasai sebuah Parti Politik yang menjadi tulang belakang Kerajaan Selangor sekarang.

Saya tidak dapat membayangkan bagaimana permainan kuasa di mainkan di rumah mereka mungkin sambil makan malam atau menonton televisyen mereka membuat keputusan untuk rakyat negeri Selangor, siapa tahu ?

Mungkin bagi mereka yang seronok berpolitik, yang seronok bercerita tentang kisah politik samada di warung-warung kopi sambil bermain dam, yang sedang bercerita kisah politik di hotel-hotel, atau mereka yang sedang seronok menjadi tentera siber mengambil upah menulis tentang politik untuk mengaburi rakyat dengan persepsi, tidak merasakan perkara mewujudkan kerabat di koridor kuasa ini sesuatu yang bahaya.

Namun, bagi mereka yang menjadikan sejarah sebagai pedoman pasti merasa tidak selesa dengan perkara ini. 

Ini adalah kerana sejarah sudah membuktikan bahawa kekejaman dan kezaliman yang berlaku di masa lampau adalah kerana kuasa mutlak yang tiada had.

INGATLAH FIRAUN MENJADI ZALIM KERANA KUASA MUTLAK YANG MELAMPAU.

Kini, apabila dunia sudah berjaya mengatasi kemutlakan ini, negara kita mengambil risiko dengan membenarkan golongan kerabat politik menjawat kuasa secara turun temurun.

Tidakkah kita nampak akan keburukan perkara ini ? Rakyat negara ini ada lebih daripada 30 juta orang. Tidak adakah orang lain yang boleh kita lantik untuk mewakili kita ?

Pada saya krisis demokrasi terburuk yang negara ini pernah lalui adalah di penghujung tahun 80 an. 

Pergolakan dalaman di dalam sebuah parti politik tanahair menyebabkan Presiden parti itu yang kebetulan adalah juga Perdana Menteri mengambil langkah-langkah memusatkan kuasa beliau

Mujurlah Perdana Menteri selepas beliau adalah seorang yang jujur lalu beransur-ansur memulihkan keadaan dengan memberi kebebasan yang lebih luas kepada rakyat untuk menyuarakan pendapat lalu secara tidak langsung menghadkan kuasa dari menjadi mutlak.

Sebagai rakyat yang tagihkan keadilan, apakah yang perlu kita lakukan ?
 
Adakah kita hanya perlu sekadar menukar pemain lagi dan mengharapkan perlawanan ini akan menghasilkan keputusan yang berlainan ?
 
Adakah kita perlu berarak seramai yang mampu, menyelusuri jalan-jalan di ibu negara lalu negara ini akan secara magis menjadi lebih adil ?

Kesimpulan

Untuk menukar rejim ia memerlukan suatu usaha yang lebih dari sekadar retorik dan motto. Reformasi, Transformasi, Ubah, Ini Kalilah dan pelbagai lagi motto mungkin dapat menyatukan hati rakyat.

Namun, ia hanya tinggal motto apabila pemain yang memainkan motto itu sebenarnya tidaklah begitu reform dan transform
 
Parti yang mahu berUBAH pula ternyata masih mengenengahkan orang yang sama dari semenjak 50 tahun yang lepas. Bagaimana mahu berubah jika mereka sendiri tidak berubah.

Oleh yang demikian, kita tidak boleh mengharapkan para pemain berkepentingan ini untuk mengubah nasib kita. Mereka ternyata dari dahulu hanya mahu merubah nasib mereka sendiri sahaja.
 
Sebagai langkah yang pertama, sudah sampai masanya kita rakyat Malaysia berani bersuara kepada ahli-ahli politik yang sudah berkerabat di koridor kuasa ini supaya semuanya meninggalkan pentas politik tanahair. Semuanya sekali.

Jika mana-mana individu dari rejim lama ini (pemerintah dan pembangkang) masih ada, maka mereka akan mengambil kesempatan dari pengalaman dan helah yang mereka pelajari dahulu untuk menyalahguna kuasa.
 
Dalam waktu yang sama had memegang jawatan-jawatan utama kerajaan, Ahli Dewan Undangan Negeri dan Parlimen perlu di tetapkan hanya kepada dua penggal sahaja.
 
Selepas dua penggal orang-orang ini perlu benar-benar bersara. Keluar dari sistem tersebut sama sekali.
 
Langkah yang kedua ialah menukar sistem lama yang sudah busuk ini dengan mengenal pasti perkara utama yang membusukkannya.
 
Bergolongan - perkataan ini di samakan dengan perbuatan syirik. Negara ini terperangkap dengan permainan politik persepsi kerana kita memilih Parti.
 
Ini bermakna Politik Kepartian adalah punca rakyat di negara ini menjadi bergolongan, berbalah sesama sendiri, mencari salah orang lain dan tuduh menuduh. 
 
Oleh itu, ia perlu di hentikan. 
 
Kita perlu memilih individu bukan parti, kerana individu atau warga sesebuah negara itulah yang sebenarnya mengharum dan menggemilangkan negaranya dengan usaha masing-masing bukan Parti.

Jika dahulu sesuatu isu itu diputuskan secara blok dengan Parti yang paling ramai perwakilan sudah tentu akan memenangi undian Dewan.
 
Kini, dengan memilih individu maka sesuatu isu yang di bawa ke Dewan Undangan atau Parlimen akan diputuskan benar-benar berdasarkan isu tersebut sahaja. 

Bagi memastikan rakyat benar-benar diperkasakan dengan kuasa undian, maka setiap isu perlu di undi diperingkat daerah mengikut parlimen dan kawasan undangan negeri masing-masing.

Sebagai contoh, setiap rakyat perlu mengundi samada setuju atau tidak RUU 355 di amalkan sebagai dwi undang-undang negara. 
 
Wakil, iaitu Ahli Parlimen yang dilantik hanya membawa keputusan undian kawasan Parlimen ke pengetahuan Dewan sahaja.
 
Dalam sistem sekarang, jika majoriti rakyat memilih wakil PAS untuk mewakili mereka di Dewan Parlimen. Wakil ini sebenarnya membawa sentimen Parti yang mereka wakili bukan rakyat yang memilih mereka. 
 
Ini adalah kerana ada kemungkinan rakyat yang memilih wakil PAS ini tidak bersetuju dengan RUU 355 tetapi memilih beliau kerana khidmat cemerlang yang diberi di kawasannya. 
 
Sentimen ini tidak dapat ditonjolkan dengan lebih terperinci jika kita membiarkan wakil ini membawa obor dan ideologi parti sedangkan kita yang memilih mereka mewakili kawasan kita bukan parti.

Langkah yang ketiga, memperkasa kembali pemecahan kuasa yang dirampas di penghujung tahun 80 an dahulu.
 
Cabang Kehakiman perlu benar-benar dilihat berkuasa penuh menangani cabang mereka tanpa campurtangan Parti Politik.
 
Cabang Penggubalan pula perlu kembali memberi sedikit dari kuasa mereka kepada Yang Di-Pertuan Agong. 
 
Mungkin ada mereka yang tidak bersetuju dengan cadangan ini dengan alasan Yang Di-Pertuan Agong pula kelihatan memegang kuasa mutlak.

Sebenarnya sistem demokrasi di negara kita mengamalkan sistem pemecahan kuasa yang lebih rumit. Yang Di-Pertuan Agong pada asasnya tidak memegang kuasa sebagai Kepala Negara secara berseorangan.

Baginda mewakili Majlis Raja-Raja Melayu yang terdiri dari 9 Sultan Negeri Melayu Bersekutu dan Tidak Bersekutu serta 4 Yang Di-Pertua Negeri-Negeri Selat dan Negeri kepulauan Borneo.
 
Majlis Raja-raja sangat aktif membuat perjumpaan untuk membuat sesuatu keputusan. Oleh yang demikian, agak sukar untuk Yang DiPertuan Agong memegang kuasa secara mutlak.

Selain daripada ini, terdapat banyak contoh agensi-agensi yang mempunyai kuasa penuh seperti Suruhanjaya Pilihanraya, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah dan Suruhanjaya Syarikat Malaysia.

Ini membuktikan bahawa demokrasi dan pemecahan kuasa diamalkan dengan meluas di negara ini biarpun tuduhan dari parti-parti politik yang bermusuhan cuba menafikannya.
 
Sementara kita menunggu rakyat di negara ini bersatu hati dan mencari kekuatan untuk melakukan perubahan secara besar-besaran.
 
Apa yang kita boleh buat secara individu ialah menyemai nilai-nilai moral yang tinggi kepada anak-anak dan cucu-cucu kita.
 
Dan yang paling penting, nilai ini perlu diri kita sendiri dahulu mempraktikannya barulah kita mempunyai hak untuk menyeru orang lain berubah.
 
Saranan ini saya tujukan juga kepada diri saya sendiri. Saya sangat memahami bahawa jika saya mahu negara saya berubah, perubahan itu perlu datang dari diri saya sendiri dahulu.
 
Jika ramai di antara kita sudah berubah, apabila cukup ramai anak dan cucu kita tersemai dengan nilai-nilai moral yang tinggi seperti amanah, menjaga integriti, menepati masa, menjaga kebersihan, menjaga kesihatan, membuat kebajikan dan lain-lain.
 
Maka suatu hari nanti, oleh kerana jumlah mereka yang cukup ramai, maka sudah tentulah mereka ini yang kita pilih sebagai wakil kita.
 
Pemimpin di pilih dari kalangan kita sendiri. Pemimpin kita yang ada pada hari ini bukan turun dari langit atau keluar dari perut bumi.
 
Mereka ini adalah kita, dato dan nenek kita, ibu dan bapa kita, anak dan cucu kita.
 
Jika mereka ini menyalahguna kuasa dan rasuah maka ini adalah petunjuk bahawa masyarakat kita ini adalah perasuah dan suka menyalahguna kuasa. 
 
Masyarakat kita bukanlah orang lain, ia adalah diri kita sendiri, saya, saudara para pembaca dan ahli politik yang kita sering ketawakan itu.
 
Tidakkah kita merasa malu ?

A053

"Itu adalah kerana Allah tidak akan ubah rahmat-Nya yang Dia anugerahkan satu kaum sehingga mereka ubah apa yang ada pada diri-diri mereka sendiri; dan sesungguhnya Allah Mendengar, Mengetahui" AQ 8:53


Ashwed


10 comments:

  1. Salam..

    Saya bukan kaki politik yang tau selok belok permainan politik tapi saya rasa cadangan Ashwed saya rasa saya setuju. Nampak lebih adil.

    Bila saya perhatikan negara-negara Islam terutamanya, saya rasa sedikit kecewa dan sedih kenapa pemerintah yang dipilih oleh masyarakat sendiri, tapi cuba menindas rakyat pula. Jikalau masyarakat tak memilih pun, seolah-olah setiap rakyat yang lahir adalah untuk ditindas dan dikawal secara mutlak.

    Seolah-olah masyarakat memilih pemimpin untuk ditindaskan, dikawalkan, untuk dihukumkan itu ini, mana yang boleh dilakukan mana yang dilarang, dan paling tak tahan mana yang halal mana haram. Bukan saya tak suka undang-undang tapi biar berpada-pada. Keadilan dan kebebasan individu hendaklah dijaga.

    Undang-undang atau peraturan bagus untuk mengelak sesuatu yang boleh memudaratkan masyarakat, dan menegakkan keadilan bukan untuk menunjukkan pemerintah seolah-olah "Aku pemerintah, akulah yang berkuasa!!!".

    Setakat ini, di Malaysia saya berada di bawah pemerintahan negeri yang okay, cuma paling saya tak suka Mykad saya ada perkataan Agama. Mmmm...



    ReplyDelete
  2. thank you for greatest post so far. that's why musa tribe goes round and round for 40 years so next generation is more pure in their heart before entering canaan.

    ReplyDelete
  3. salam,

    kuasa rakyat adalah memilih wakil mereka di dalam parlimen dan dun. Ahli Parlimen dan Ahli DUN adalah WAKIL rakyat yang dipilih.

    Jika individu yang menjadi calon bebas tanpa kepartian, pasti suara rakyat di dengar di dewan. Ironiknya, hanya isu parti sahaja yang menjadi isu di dalam dewan sedangkan isu rakyat yang patut di utamakan.

    Kembalikan hak rakyat dengan memilih wakil rakyat yang bebas dari parti. Jika majoriti ahli parlimen adalah wakil bebas, percayalah sistem kita akan menjadi efisien. Pemilihan PM semestinya bergantung kepada undi ahli parlimen dan seterusnya menjadi satu merit kepada jawatan tersebut. Hasilnya, hanya mereka yang berkaliber dan layak sahaja akan menjadi anggota kabinet.

    ReplyDelete
    Replies
    1. betul..ini lah masalahnya.. kita pilih depa untuk wakil kita, depa pi pilih pimpinan parti pulak yang tak membawa aspirasi rakyat.. macamana ya..kalau mmg kita nak parti ABC ni, tapi tak berapa setuju dgn pimpinan parti xyz...sebab yg dipilih pemimpin xyz akan automatik jadi pemimpin negara...

      Delete
    2. Kita anggap parti ni umpama brand / jenama. Semasa pilihanraya, kita di janjikan dengan pelbagai faedah sekiranya kita memilih jenama tersebut.

      Apabila jenama tersebut menang di sebabkan undian, maka jenama tersebut akan menjadi jenama utama. Biarpun faedah yang di janjikan tidak seperti dijanjikan, jenama tersebut berjaya mengungguli pasaran kerana kita yang mengundi jenama tersebut sebagai jenama paling popular.

      Tapi itu hanyalah jenama sahaja. Yang memakai jenama itu adalah kita. Kita yang menentukan samada jenama itu bagus untuk kita atau tidak.

      Salam


      Delete
    3. kita suka jenama a tapi sekarang jenama a macam dah tak "perform"

      tapi kalau tengok jenama b, c, d pun lebih kurang je macam jenama a

      nanti kalau kene buat pilihan guna buah dadu je la

      Delete
  4. Salam
    Pada mereka yang mengatakan demokrasi tak Islamic, saya tak bersetuju. Ini kerana perlu mendapat suara ramai. Tapi masalahnya apabila ada unsur-unsur yang tak ikhlas cuba mempengaruhi keputusan public untuk kepentingan diri sendiri.

    Seperti ketika ingin mendapatkan keputusan samada Sabahan dan Sarawakian ingin menjadi sebahagian dari Malaysia.

    Begitu juga dalam menentukan samada setuju Brexit atau tidak.

    Perlu ada study, perbincangan, dsbnya. Perlu weight the pros and cons. It is basic management. PDCA ma... And I think semua yang bekerja tau tak kira pekerja kerajaan dan swasta.

    Pilih keputusan yang terbaik yang membuahkan hasil, kos berpatutan, adil kepada semua pihak yang terlibat, etc.

    Muafakat membawa berkat.

    Sering kedengaran statement pilih pemimpin dari kalangan orang Islam. Islam maknanya PEACE. Pilih orang yang jiwanya tenang. Logic kah?

    Non

    ReplyDelete
  5. The Rules for Rulers

    https://youtu.be/rStL7niR7gs

    Video ini memperjelaskan bagaimana dinamik kuasa. Samada kuasa yang dipegang itu dalam sistem demokrasi atau autokrasi, semuanya memerlukan penyokong2 utama si penguasa tersebut. Jadi, kalau hanya penguasa tertinggi, keadaan tidak akan berubah kerana penyokong2 utama masih lagi dalam sistem kuasa.

    ReplyDelete
  6. salam tuan,

    izin untuk menambah satu lagi langkah..

    jadikan amalan agama (kepercayaan kuasa ghaib) sebagai pegangan individu. tidak perlu untuk mempengaruhi orang lain untuk mengikut. pemerintah perlu pastikan agar amalan dan perayaan agama dijalankan tanpa mengganggu orang lain

    jangan jadikan agama sebagai dasar untuk menggubal undang-undang

    ReplyDelete
  7. Salam,
    Tengah cari makna Taghut, terjumpa plak website ni.
    https://www.kalamullah.com/taghut.html

    Ada gak persamaan dengan apa yang diutarakan dalam webpage ni.

    Non

    ReplyDelete