Sunday 14 June 2015

Soalan Dari Pembaca

Baru-baru ini saya menerima satu soalan dari pembaca blog ini. Ia adalah satu soalan logik yang seharusnya kita fikirkan dengan mendalam.

Saya mengambil kesempatan pada pagi ini untuk memberikan pendapat saya berkenaan dengan soalan yang saudari ini tanya.

Walaubagaimanapun, saya sekali lagi ingin menegaskan bahawa bukanlah menjadi tujuan blog ini untuk menukar pendirian sesiapapun terhadap jalan hidup anda. 

Blog ini menitikberatkan supaya kita semua kembali kepada kebolehan asas yang Tuhan tiupkan sendiri kepada nenek-moyang kita, Nabi Adam, iaitu kebolehan berfikir dan mencari pengetahuan.

Ini soalannya ;
__________________________________________________________

Salam. Sy telahpun membaca kesemua post saudara di dlm blog ini. Kalau tidak keberatan, boleh saudara kupas sedikit tentang ayat di bawah ini, tentang kwajipan mengambil wuduk sebelum menunaikan solat?

Tafsir Al Maidah Ayat 6
Ayat 6: Hukum-hukum tentang wudhu’, mandi dan tayammum

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِذَا قُمْتُمْ إِلَى الصَّلاةِ فَاغْسِلُوا وُجُوهَكُمْ وَأَيْدِيَكُمْ إِلَى الْمَرَافِقِ وَامْسَحُوا بِرُءُوسِكُمْ وَأَرْجُلَكُمْ إِلَى الْكَعْبَيْنِ وَإِنْ كُنْتُمْ جُنُبًا فَاطَّهَّرُوا وَإِنْ كُنْتُمْ مَرْضَى أَوْ عَلَى سَفَرٍ أَوْ جَاءَ أَحَدٌ مِنْكُمْ مِنَ الْغَائِطِ أَوْ لامَسْتُمُ النِّسَاءَ فَلَمْ تَجِدُوا مَاءً فَتَيَمَّمُوا صَعِيدًا طَيِّبًا فَامْسَحُوا بِوُجُوهِكُمْ وَأَيْدِيكُمْ مِنْهُ مَا يُرِيدُ اللَّهُ لِيَجْعَلَ عَلَيْكُمْ مِنْ حَرَجٍ وَلَكِنْ يُرِيدُ لِيُطَهِّرَكُمْ وَلِيُتِمَّ نِعْمَتَهُ عَلَيْكُمْ لَعَلَّكُمْ تَشْكُرُونَ (٦

Terjemah Surat Al Maidah Ayat 6 (Hukum Wudhu, Mandi, dan Tayammum)

6. Wahai orang-orang yang beriman! Apabila kamu hendak melaksanakan solat, maka basuhlah wajahmu dan tanganmu sampai ke siku, dan sapulah kepalamu dan (basuh) kedua kakimu sampai ke kedua mata kaki. Jika kamu junub maka mandilah. Dan jika kamu sakit atau dalam perjalanan atau kembali dari tempat buang air atau menyentuh perempuan, maka jika kamu tidak memperoleh air, bertayammumlah dengan debu yang baik (suci); usaplah wajahmu dan tanganmu dengan debu itu. Allah tidak ingin menyulitkan kamu, tetapi Dia hendak membersihkan kamu dan menyempurnakan nikmat-Nya bagimu, agar kamu bersyukur.

Trima kasih.
_________________________________________________________

Sesuatu tentang Al Quran ialah, keseluruhan makna Al Quran berpusat kepada satu perkataan utama iaitu Ad Deen. 

Anda akan mendapati keseluruhan Al Quran akan mengalami anjakan paradigma apabila kita kaitkan perkataan ini dengan makna yang lain di dalam proses pembacaan kita.

Jika anda mengambil makna agama sebagai maksud kepada perkataan Ad Deen, anda akan mendapati isikandungan Al Quran adalah sangat terbatas dan tertutup dan berkisar mengenai ritual penyembahan sahaja.

Di waktu yang lain pula, jika anda mengambil perkataan Ad Deen sebagai membawa makna ideologi, anda akan mendapati keseluruhan Al Quran bercerita tentang sistem masyarakat dan kenegaraan.

Saya mengambil perkataan Ad Deen sebagai bermakna aturan/cara hidup atas sebab-sebab yang telah saya terangkan di artikel-artikel lain dalam blog ini. 

Bagi saya, inilah perkataan yang paling sesuai dan universal. Sesuai dengan kehendak dan tujuan Al Quran ini diturunkan, iaitu kepada keseluruhan manusia.

Untuk pengetahuan saudari, saya sendiri belum benar-benar mengkaji Surah Maidah Ayat 6 secara terperinci. Pada suatu ketika dahulu, saya pernah berfikir tentang satu perkataan di dalam ayat ini. Perkataannya ialah " ka'abai-ni". 

Saya dapati perkataan ini mempunyai makna tumit atau ankle. Akar kata kaf-ain-ba ini tiba-tiba bertukar menjadi kiub batu di AQ 5:95 dan AQ 5:97.

Bagi saya, cabaran utama untuk mengupas keterangan Al Quran melalui terjemahan ialah terjemahan itu sendiri. 

Kebanyakkan penterjemah akan meninggalkan kunci utama kepada sesuatu konsep yang Tuhan terangkan kepada kita dalam bahasa asal Al Quran, iaitu Bahasa Arab.

Sebagai contoh, di dalam keterangan Surah Al Maidah ayat 6 (AQ 5:6) di atas, terdapat 3 konsep utama yang dibiarkan di dalam bahasa asal iaitu solat, junub dan tayammum.

Untuk kita merungkai makna sebenar keterangan ini maka kita perlu mengalih bahasa 3 perkataan ini dengan konsep yang sebenar. Ia mengambil masa yang panjang. Tetapi, anda akan merasa puas apabila sudah mengetahui hakikat kebenaran yang sebenar.

Solat - saya telah terangkan di artikel lain membawa makna iltizam/komitmen
junub - dalam keadaan kotor
tayammum - akar kata ya-mim-mim bermakna niat dan tujuan (sila lihat lane's arabic lexicon untuk membuat kajian sendiri). Bagi saya perkataan ini adalah kunci utama kepada keterangan AQ 5:6.

Sekali imbas, saya berpendapat bahawa Tuhan memerintahkan kita supaya apabila kita bangun sahaja dari tidur untuk melakukan iltizam/komitmen (solat) kita pada hari itu, kita di sarankan supaya sekurang-kurangnya membasuh muka, tangan, kaki dan rambut

Arahan ini pun sebenarnya kita memandai-mandai tambah, kita tambah kumur, basuh tengkuk, basuh telinga dan menyedut air dalam hidung.

Jika kita melakukan hubungan seksual pada malamnya maka kita di sarankan mandi.

Sebabnya adalah mudah, kita perlu kelihatan segar apabila melakukan iltizam/komitmen harian kita kerana kita sentiasa berinteraksi dengan manusia lain semasa melakukannya. 

Terpulanglah kepada saudari samada untuk mendefinisi iltizam/komitmen saudari bermula dengan masuknya waktu kerja di pejabat atau lain-lain keadaan.

Bagi saya, iltizam/komitmen saya bermula dengan memastikan anak-anak saya ke sekolah untuk mencari ilmu.

Kebanyakkan dari orang Melayu, mereka membaca Al Quran dengan menyangka bahawa Al Quran adalah buku ritual. Sedangkan ianya tidak, Al Quran adalah al furqaan atau pembeda atau criterion.

Oleh kerana orang Melayu banyak menumpu kepada ritual maka kita terpaksa terima bulat-bulat apa yang telah diputuskan oleh orang lain. Kita jadi pak turut.

Maka, oleh kerana itu kita pun menyangka AQ 5:6 adalah bentuk ritual yang diberi nama wudhuk (sungguhpun perkataan itu tidak wujud di dalam AQ 5:6) yang perlu dibuat sebelum melakukan ritual seterusnya iaitu solat.

Dan oleh sebab itu, maka ritual wudhuk ini mesti ada perkara yang membatalkannya antaranya ialah kentut. 

Ya, kentut dalam Bahasa Inggeris kita panggil fart. Daripada banyak-banyak perkara di dalam dunia ini yang lebih kotor daripada itu kita mempercayai kentut akan membatalkan ritual wudhuk.

Sesungguhnya, tidak ada indikasi langsung di mana-mana ayat Al Quran yang menyatakan bahawa kentut boleh membatalkan wudhuk, malah tidak pernah saya terbaca ada perkataan kentut di dalam Al Quran pun.

Tetapi kita tetap mengambil keputusan untuk menolak keterangan Tuhan dan menerima keterangan ketua mazhab kita.

Mula-mula kita kata Tuhan adalah Maha Mengetahui tetapi untuk perkara kentut ini kita tiba-tiba menjadi keliru, kita mengambil keputusan untuk mengikuti ketua mazhab. Kini, kita sebenarnya kata ketua mazhab kita lebih mengetahui dari Tuhan. Kita sebenarnya menolak Tuhan.

Orang Melayu ini pelik, mula-mula mereka percaya kepada sesuatu kemudian dengan tiba-tiba mereka melakukan yang sebaliknya. Inilah namanya paradoks.

Mula-mula kita percaya Tuhan Maha Perkasa, Dialah Yang Maha Mencipta. Tiba-tiba kita juga kata Tuhan alah kepada kentut manusia. Tuhan tak suka bau busuk gamaknya. Perkasa apa kalau kentut pun takut ?

Bukankah Tuhan juga yang menciptakan kentut sebagai sistem badan kita. Jika kita begitu benci kepada kentut mengapa tidak kita berdoa kepada Tuhan supaya memberhentikan pengeluaran kentut ini. Cubalah tidak kentut selama 2 hari saksikan apa akan terjadi kepada tubuh kita jika tidak boleh kentut.

Sepatutnya, kita mengucapkan syukur setiap kali kentut atau buang air besar atau apa-apa sahaja perkara yang selama ini kita anggap busuk kerana ianya adalah rahmat dari Tuhan untuk sistem badan kita.



Anda boleh mendengar seribu satu hukum mengenai kentut melalui ceramah figura ini. Begitulah tahap pemikiran orang melayu. Sedang rakan kaum Cina dan India mereka sedang berfikir untuk melakukan iltizam/komitmen (solat) dengan kaedah paling praktikal, kita pula duduk berjam-jam mengkaji mengenai kentut.

Perintah supaya menyegarkan diri ini tidak punya perkara yang membatalkan. Terpulanglah kepada anda untuk melakukan 2 atau 3 kali sehari. 

AQ 5:6 akan menjadi lebih jelas apabila kita mengkaji juga AQ 4:43

A043 
"Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu hampiri sembahyang (mengerjakannya) sedang kamu dalam keadaan mabuk, hingga kamu sedar dan mengetahui akan apa yang kamu katakan. Dan janganlah pula (hampiri masjid) sedang kamu dalam keadaan Junub (berhadas besar) - kecuali kamu hendak melintas sahaja - hingga kamu mandi bersuci. Dan jika kamu sakit, atau sedang dalam musafir, atau salah seorang di antara kamu datang dari tempat buang air, atau kamu bersentuh dengan perempuan, kemudian kamu tidak mendapat air (untuk mandi atau berwuduk), maka hendaklah kamu bertayamum dengan tanah - debu, yang suci, iaitu sapukanlah ke muka kamu dan kedua tangan kamu. Sesungguhnya Allah Maha Pemaaf, lagi Maha Pengampun" AQ 4:43

Di dalam Bahasa Inggeris ;

“O believers, do not go near Solat when you are in a
state of intoxication such as you may not be aware of what
you speak; neither the one who is in the state of “Janab”,
until you take bath, except the one who is a traveler. And if
you be sick or on journey, or one of them has returned from
lavatory, or those who may have touched women, if you do
not find water, perform ‘tayammam’ with pure/clean clay.
So, rub your faces and hands with that. Verily, God is the
One Who forgives and safeguards.” AQ 4:43

Secara ringkas, di awal ayat ini Tuhan telah memperingatkan kita supaya jangan cuba melakukan iltizam/komitmen (solat) jika kita di dalam mabuk. Bayangkan, di tempat kerja anda mempengerusi satu mesyuarat penting di dalam keadaan mabuk. Mampukan anda membuat keputusan dengan tepat ?
Berikut adalah frasa yang akan merungkai akan kewujudan konsep "wudhuk" ... “wa in kuntum mardha aou ‘ala safarin, aou jaa’a ahadin minkum min al-ghaait, aou laamastum an-Nisaa’a fa lum tajidu maa’an fa tayammamu sa’eedan tayyaban”.

Ia terdapat di dalam AQ 4:43, ia memberitahu kita apakah sebenarnya konsep tayammum dan sekaligus membuat kita boleh memahami keterangan di AQ 5:6, iaitu ia bukanlah ritual wudhuk.

Pada frasa yang saya gariskan kita dapati bahawa Tuhan memerintahkan supaya "jika seseorang di antara kamu kembali dari "al-ghaait" (allegory kepada yang membawa maksud "tempat yang rendah"). Maka komuniti perlu "tayammamu" mengangkat orang itu "sa'eedan tayabban" ke tempat yang tinggi.

Contohnya jika ada anggota masyarakat kita dipenjarakan atas apa-apa kesalahan (tempat yang rendah - al ghaait). Maka, kita sebagai anggota masyarakat tersebut mempunyai tanggungjawab untuk "tayammum" atau mengangkat kembali individu tersebut ke tempat yang tinggi iaitu jalan yang benar.

Nota : Di dalam Al Quran, kebiasaanya apabila sesuatu perkataan adalah allegory atau perumpamaan ia akan dimulakan dengan "al" 

Adalah tidak masuk akal, jika Tuhan pada mulanya memerintahkan kita supaya membersihkan diri supaya segar sebelum melakukan iltizam/komitmen kita. Kemudian secara tiba-tiba memerintahkan kita mengotorkan diri kita pula dengan debu atau tanah liat. 


Untuk pengetahuan saudari, di dalam fahaman Hindu, di mana segalanya tentang agama bermula, mereka mengadakan satu ritual yang dipanggil "Naga Sadhu". Bagi saya ia ada kena mengena dengan perkataan tayammum yang mengalami korupsi pemahaman.

Para penganut Hindu akan berkumpul beramai-ramai di dalam satu perayaan besar-besaran yang di namakan Maha Kumbh Mela, satu perayaan yang mengumpulkan lebih 100 juta manusia untuk menyucikan diri di sungai Gangga.

Sebelum menyucikan diri mereka akan bertelanjang dan menyapu badan dengan debu suci. Dalam keadaan telanjang ini mereka bergerak menuju ke sungai gangga, membersihkan diri sambil membuat ritual penyembahan dan doa.





Wallahualam. Saya mungkin salah, saya juga mungkin benar. Sejujurnya untuk menerangkan makna sesuatu ayat Al Quran ianya memerlukan masa yang panjang dan kajian yang teliti. Terpulanglah kepada saudari untuk mengambil pelajaran daripada pendapat saya.

Ashwed








2 comments:

  1. I baca berulang kali all your posts.
    Now I buat research on each post.
    Your research will be my base.
    Thanks.

    Non

    ReplyDelete
  2. The world is divided into men who have wit and no religion and men who have religion and no wit.

    -Ibn Sina/Avicenna

    ReplyDelete