Friday 31 July 2015

Bedah Siasat Ramadhan

Bulan Ramadhan telah meninggalkan kita. Memandangkan kita masih berada di bulan Syawal maka rasanya masih belum terlewat untuk kita membuat bedah siasat sebulan Ramadhan yang telah kita lalui.

Menurut Al Quran, kesemua perilaku yang diperintahkan Tuhan adalah untuk kebaikan kita. Tuhan yang Maha Kaya tidak memerlukan sesuatu dari kita. Sebaliknya, kitalah yang memerlukan petunjuk Tuhan.

"Apa saja nikmat yang kamu peroleh adalah dari Allah, dan apa saja bencana yang menimpamu, maka dari (kesalahan) dirimu sendiri. Kami mengutusmu menjadi Rasul kepada segenap manusia. Dan cukuplah Allah menjadi saksi " AQ 4:79

Kebanyakkan orang Melayu memahami konsep yang salah. Mereka selalu merasakan yang diri mereka diperlukan oleh Tuhan. Kononnya, alam semesta akan berhenti beroperasi jika sesuatu amalan ritual tidak dilakukan.

Anda sudah tentu ada menerima mesej Whatsapp yang menyatakan bahawa jika umat Islam berhenti tawaf di kaabah maka sistem alam semesta akan terganggu atau kaabah adalah pusat kawalan alam semesta atau yang bersamaan dengannya.

Ini adalah dongengan yang tidak mempunyai asas yang kukuh melainkan jika anda seorang penganut agama yang hanya mengikut membuta tuli. 

Kita perlu ingat bahawa kaabah dibina dengan "tangan manusia". 

Jika sekiranya, anda masih mahu mempercayai ianya dibina oleh Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail pun, ia sekali-kali tidak dapat menyangkal fakta bahawa ianya dibina dari tangan manusia. 

Ingat ! kedua-dua mereka ini sudah pun meninggal dunia.

Cuba anda bayangkan matahari yang dicipta dengan "tangan Tuhan" itu pun, Tuhan sendiri melarang kita untuk sembah (sujud mengikut tafsiran am). Inikan pula menyembah suatu binaan yang dibina oleh tangan manusia.


A037

"Dan di antara tanda-tanda (ayat-tihi) kekuasaanNya ialah malam, siang, matahari dan bulan. Janganlah kamu patuh (tas-judu) menyembah matahari maupun bulan, tetapi patuhlah (was-judu) kepada Allah yang menciptakannya, jika Dialah yang kamu mahu abdikan diri (tak-budu-na) AQ 41:37

Bolehkah anda memberi satu kebaikan kaabah, jika dibandingkan dengan matahari sang penyinar kehidupan ?

Bolehkan kaabah menumbuhkan tanam-tanaman yang dengannya semua sistem kehidupan beroperasi lancar mengikut fitrah Allah ?

Jika tidak, mengapa anda merasakan binaan batu itu lebih layak menerima penghormatan dari matahari yang sudah berbillion tahun patuh (sujud) kepada perintah Tuhan ?

Mataharilah makhluk yang bertanggungjawab meransang evolusi kehidupan dari satu sel kepada tamadun yang ada sekarang.

Kenapa anda masih menyembah (dalam tafsiran am ialah sujud) kepada binaan yang dibina oleh tangan manusia ini. Sedangkan, Tuhan dengan tegas melarang sujud (patuh) kepada matahari yang Tuhan bina (cipta) sendiri.

Bukankah matahari lebih banyak berbudi kepada alam semesta jika dibandingkan dengan kaabah ? 

Kenapa anda tidak sujud kepada matahari sahaja ? Rasa bodoh bukan jika menyembah matahari. Lagipun ia menyerupai kaum kafir bukan ?

Sekarang tanya kepada diri sendiri, yang mana lebih hebat binaan batu yang dibina manusia atau matahari ciptaan Tuhan ?

Atau Tuhan itu sendiri yang bukan sahaja menciptakan matahari tetapi juga mencipta batu yang dijadikan bahan binaan kaabah yang kita bangga-banggakan itu ?

Sunnatullah

Tuhanlah yang memastikan alam semesta beroperasi secara semulajadi. Bukan kaabah, ritual tawaf ataupun matahari dan bulan.

Janganlah hendaknya kita lupa akan perkara ini. Tiada apa yang boleh mengubah Undang-Undang Tuhan. 

Tidak kira agama apa yang anda anuti semua makhluk dikawalselia dengan Undang-Undang yang sama.

Contohnya : Jika anda terjun dari bangunan 20 tingkat anda akan jatuh ke bawah kerana tarikan graviti. 

Jika anda seorang Hindu dan anda telah melakukan upacara pooja di hadapan berhala Sheva sebanyak 1000 kali pun, anda akan tetap jatuh ke bawah.

Begitu juga, jika anda menganut agama Islam dan anda telah sujud di hadapan batu kaabah sebanyak 5 juta kali, anda tetap akan jatuh ke bawah. 

Tiada perubahan kepada Undang-Undang Tuhan. Perkara ini diberi nama "Sunnatullah" kadang kala disebut juga sebagai "fitrah" Allah.


A043

Kerana kesombongan (mereka) di muka bumi dan kerana rencana (mereka) yang jahat. Rencana yang jahat itu tidak menimpa melainkan orang yang menjalankannya. Tiadalah yang mereka nanti-nantikan selain daripada (berlakunya) Sunnah (Allah yang telah berlaku) kepada orang-orang yang terdahulu. Maka sekali-kali kamu tidak akan mendapati sebarang perubahan bagi "Sunnatullah", dan sekali-kali tidak (pula) akan menemui penyimpangan bagi "Sunnatullah" itu" AQ 35:43



A030
Maka hadapkanlah wajahmu dengan lurus kepada aturan hidup (li-deen-ni) Allah, (tetaplah atas) fitrah Allah (fitra-tallah) yang telah menciptakan manusia menurut fitrah itu. Tidak ada perubahan pada fitrah Allah. Itulah aturan hidup (dee-nu) yang lurus, tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui " AQ30:30
 
Bedah Siasat

Kembali kepada bedah siasat kita, untuk mengetahui samada sesuatu amalan itu benar, ujian litmus yang wajar digunakan ialah, IA MESTILAH MEMBAWA KEBAIKAN KEPADA KITA DAN ORANG-ORANG DI SEKELILING KITA.

Oleh itu, cuba kita selami mana satukah amalan kita dibulan Ramadhan yang membawa kebaikan kepada kita.

Untuk pengetahuan, maksud amal ialah usaha. Amal saleh pula membawa maksud usaha yang baik.

Orang Melayu apabila disebut amalan kita membayangkan ritual. Ianya sangat salah. Itulah sebabnya kita terjerumus dengan upacara ritual selama berkurun-kurun. 

Upacara ritual tidak boleh mengubah sesuatu. Hanya usaha yang boleh mengubah status quo.

Fikirkan keterangan ini dengan mendalam ;

رَّبَّنَآ إِنِّىٓ أَسْكَنتُ مِن ذُرِّيَّتِى بِوَادٍ غَيْرِ ذِى زَرْعٍ عِندَ بَيْتِكَ ٱلْمُحَرَّمِ رَبَّنَا لِيُقِيمُوا۟ ٱلصَّلَوٰةَ فَٱجْعَلْ أَفْـِٔدَةً مِّنَ ٱلنَّاسِ تَهْوِىٓ إِلَيْهِمْ وَٱرْزُقْهُم مِّنَ 
ٱلثَّمَرَٰتِ لَعَلَّهُمْ يَشْكُرُون

"Ya Tuhan kami, sesungguhnya aku telah menempatkan sebahagian keturunanku di lembah yang tidak mempunyai tanam-tanaman dalam Sistem Engkau (Baiti-ka) yang dihormati (al-muhar-rami), ya Tuhan kami (yang demikian itu) agar mereka mendirikan shalat, maka jadikanlah hati sebagian manusia cenderung kepada mereka dan beri rezekilah mereka dari buah-buahan, mudah-mudahan mereka bersyukur" AQ 14:37
Adakah Nabi Ibrahim boleh mengubah tempat tandus (Bakkah) menjadi satu tempat yang makmur dengan tanam-tanaman dan Sistem Kenegaraan yang mengawalselia penduduk Bakkah dengan hanya melakukan ritual solat seperti yang kita lakukan hari ini ?

Oleh yang demikian, fikirkan, jika anda seorang yang mempunyai berat badan yang berlebihan adakah berlapar dahaga selama lebih kurang 12 jam sehari selama sebulan membuat anda menjadi kurus ?

Katakanlah pula anda seorang perokok tegar, adakah tidak merokok  selama lebih kurang 12 jam sehari dapat mengubah sistem badan anda ? Adakah dengan ketiadaan nikotin selama 12 jam ini kini anda sudah bebas kanser ?

Bagaimana pula jika di malam hari anda menghabiskan satu pek rokok, adakan program soum anda membawa kebaikan kepada diri anda dan orang-orang di sekeliling anda ?

Bagaimana pula dengan sistem masyarakat, adakah selama 30 hari bazaar ramadhan dibuka menjadikan sistem lalulintas lebih teratur ?

Menurut Al Quran, program soum perlu diteruskan sehingga "until its clear for you as that of a white thread distinguishable from a black thread is apparent".Iaitu sehingga anda dapat membezakan yang mana buruk, yang mana baik.

Saya berpendapat hanya diri kita sahaja yang dapat membuat bedahsiasat kepada usaha kita, tidak kiralah di bulan mana pun.

Jika anda seorang yang obes dan anda merasakan obesiti anda mengganggu perjalanan hidup anda dan orang-orang disekeliling anda, maka anda perlu membuat program soum yang tersendiri.

Mintalah pendapat dietitian tentang apakah yang sebaiknya anda praktis sebagai pemakanan harian anda. 

Tidak semestinya berlapar dan dahaga itu baik untuk anda, kerana dengan berat badan yang berlebihan tidak mustahil anda mengalami diabetis

Orang yang mengalami diabetik perlu makan dan minum dari masa ke semasa jika tidak mereka akan mengalami kekurangan gula dan boleh mengalami komplikasi hypoglycemia yang boleh membawa kepada situasi yang lebih serius seperti sawan, koma dan kematian.

Anda perlu mencari program terbaik yang menuruti ciri-ciri badan anda, ini adalah kerana kita mempunyai ciri-ciri badan yang berbeza malah jenis darah juga berbeza-beza, jika tidak usaha anda akan sia-sia malah kemungkinan akan lebih memudaratkan.

Saya sekarang sedang mengikuti program soum untuk menghilangkan ketagihan rokok. Saya mula merokok semenjak berumur 15 tahun. 

Sebelum saya memasuki program soum yang saya pelan mengikut kemampuan badan saya sendiri, sebenarnya sudah banyak kali saya gagal dalam usaha saya berhenti merokok.

Ia adalah kerana saya tidak berupaya mengawal satu organ yang maha penting yang menjadikan saya, anda dan kita semua manusia. Saya gagal mengawal akal saya.

Setelah saya mengkaji Al Quran bertahun-tahun dan berjaya menyakinkan diri saya bahawa punca kejayaan, kejatuhan, kebangkitan dan kemampanan manusia adalah akal, maka hari ini saya sudah tidak merokok selama hampir dua tahun. 

Sesungguhnya tiada rahsia yang ajaib pun, hanya kawalan akal yang dibuat mengikut prinsip "until its clear for you as that of a white thread distinguishable from a black thread is apparent".

Sehingga hari ini saya masih meneruskan program soum berhenti merokok.


Kesimpulan

Sesungguhnya, secara peribadi saya memang menyukai bulan Ramadhan, malah menanti-nantikan bulan ini. 

Ia adalah kerana pada bulan ini sahajalah saya dapat melihat sanak-saudara dan orang-orang yang saya kenali bercerita lebih sedikit mengenai mesej Al Quran.

Sungguhpun kebanyakkan mereka setakat melagukan Al Quran sahaja namun, ianya sudah cukup menjadikan hati saya tenang.

Jikalah sekiranya kita dapat meneruskan usaha (amal) ini secara berterusan yakni "until its clear for you as that of a white thread distinguishable from a black thread is apparent". Saya pasti, akhirnya kita semua akan menyedari bahawa yang paling penting di dalam Al Quran adalah MESEJNYA BUKAN BARIS DAN HURUFNYA.

Ashwed

No comments:

Post a Comment