Saturday 11 July 2015

Ramadhan, Siri Akhir : Analogi Ladang Jagung




Bayangkan ada dua kumpulan hamba. Satu kumpulan digelar sebagai Golongan Apel, sementara satu lagi kumpulan digelar sebagai Golongan Belacan.

Katakanlah, setiap kumpulan mempunyai 100 orang hamba yang terdiri dari 50 orang lelaki dan 50 lagi perempuan.

Pada suatu hari, mereka dipanggil mengadap Tuan ladang mereka yang sangat kaya raya. 

Tuan ladang ini sangat kaya sehingga tidak memerlukan sesuatu apa pun lagi untuk dirinya.

Tuan mereka memberikan dua kumpulan ini 10,000 tahun untuk mengerjakan ladang jagung milik Tuan ini. 

Selepas tamat tempoh 10,000 tahun, mereka semua perlu kembali ke tempat asal mereka iaitu di sisi Tuan yang merupakan pemilik asal ladang tersebut.

Setiap kumpulan di beri petak yang berbeza untuk diusahakan.

Setiap petak itu sangat luas dengan kondisi tanah yang sama subur. 

Petak-petak ini juga sudah ditumbuhi dengan hasil jagung yang sangat produktif.

Kedua-dua kumpulan ini bermula dengan "padang yang sama". 

Tiada kumpulan yang diberi kelebihan di atas kumpulan yang lain. Iaitu mereka;

1. diberikan kudrat yang sama ;
2. diberikan akal yang sama ;
3. diberikan tempoh waktu yang sama iaitu 24 jam satu hari ; dan
4. alatan asas yang sama untuk mereka mengusahakan ladang jagung masing-masing.

Golongan Apel dan Belacan boleh mengambil apa sahaja hasil jagung yang berjaya mereka usahakan tanpa perlu membayar apa-apa kepada Tuan mereka.

Walaubagaimanapun, yang mereka ini tidak tahu ialah tempoh masa 10,000 tahun itu sebenarnya hanyalah satu hari satu malam sahaja mengikut kiraan masa Tuan mereka.

Sebelum mereka dibenarkan untuk memulakan usaha di petak masing-masing, Tuan mereka memanggil mereka lalu bertanya.

"Siapakah Tuan kamu ?". Mereka pantas menjawab dengan yakin "Tuanlah, Tuan kami".

Lantas, Tuan mereka memberi beberapa pesanan kepada kedua-dua kumpulan ini.

1. Jangan kamu kata ada Tuan lain selain aku dan jangan kamu abdikan diri selain dari menanam jagung ; 
2. aku akan sentiasa melihat kamu tetapi kamu tidak dapat melihat aku ; dan
3. untuk menuju kejayaan kamu perlu mendirikan "99##22"

Jika kamu melakukan ketiga-tiga pesanan ini maka kamu akan berjaya di ladang jagung kamu dan apabila kamu balik ke sini, kamu akan aku beri ganjaran yang lebih besar untuk selama-lamanya.

Kedua-dua kumpulan ini memahami pesanan tersebut kecuali pesanan yang ketiga.

Mereka pun bertanya, " Tuan, apa maksud 99##22 ?".

Tuan mereka menjawab dari masa ke semasa aku akan mengutuskan utusan aku untuk memberi kefahaman kepada kamu.




Mengusaha Ladang

Lalu pergilah kedua-dua kumpulan hamba ini ke petak ladang masing-masing dengan hati bercampur-baur namun dengan niat nekad untuk mengusaha ladang jagung masing-masing.

Kedua-dua kumpulan ini berusaha dengan bersungguh-sungguh dan benarlah kata Tuan mereka, ladang-ladang jagung ini mengeluarkan hasil yang sangat banyak dan mereka pun menikmati kekayaan dari hasil usaha mereka.

Kemakmuran yang mereka nikmati mengakibatkan jumlah hamba yang menganggotai kedua-dua kumpulan ini semkain hari semakin meningkat. Mereka diulit kedamaian yang tiada tolok bandingnya.

Namun, setelah beberapa ratus tahun mengikut kiraan di dunia mereka, kedua-kedua kumpulan hamba ini mula mengalami hasil yang tidak produktif. Sehingga ada yang kebuluran dan menjadi sangat miskin.

Untuk hidup, kedua-dua kumpulan ini saling berperang untuk merebut hasil pihak yang satu lagi.

Tuan mereka yang sentiasa melihat gerak-geri mereka segera bertindak. 

Seperti yang dijanjikan Tuan mereka mengutus seorang utusan, utusan ini mengingatkan kembali kedua-dua kumpulan ini kepada tiga pesanan Tuan mereka serta menyedarkan mereka akan maksud "99##22".

Ternyata, selepas datangnya utusan dari Tuan mereka. Kedua-dua kumpulan hamba ini berjaya bangun dan ladang jagung mereka kembali mengeluarkan hasil yang tinggi.

Namun begitu, selepas beratus-ratus tahun mengikut kiraan dunia hamba, salah satu dari kumpulan ini, iaitu Golongan Apel kembali mengalami hasil yang merosot. 

Ia adalah akibat dari kelalaian Golongan Apel untuk mengerjakan ladang jagung mereka sendiri.

Oleh kerana kumpulan Golongan Belacan masih mengekalkan hasil yang tinggi, maka kumpulan ini mengambil kesempatan untuk menakluk beberapa bahagian ladang jagung milik Golongan Apel.

Melihat kepada perkara ini, Tuan mereka menghantar utusannya kepada kumpulan Golongan Apel untuk menyedarkan kumpulan ini. 

Apabila sedar, ladang jagung Golongan Apel kembali mengeluarkan hasil yang banyak.

Dalam waktu yang sama, kumpulan Golongan Belacan yang sudah merasakan diri mereka lebih berjaya dari kumpulan Golongan Apel mula lalai dari mengerjakan ladang jagung mereka.

Akhirnya, kumpulan Golongan Belacan pula mengalami hasil jagung yang merosot. 

Kesempatan ini diambil oleh Golongan Apel untuk menakluk kembali wilayah mereka dari Golongan Belacan serta mengambil-alih wilayah-wilayah baru milik Golongan Belacan.

Begitulah yang sering terjadi di antara kumpulan-kumpulan hamba ini. Mereka seringkali alpa dan lupa mendirikan "99##22". 

Apabila ada golongan hamba yang lalai, golongan lagi satu pun mengambil kesempatan di atas kelalaian itu.



Kejayaan luarbiasa Golongan Belacan

Sehinggalah tempoh 10,000 tahun mengikut kiraan hamba ini semakin hampir tamat dan Tuan mereka sudah pun menghantar utusannya yang terakhir kepada salah satu kumpulan yang lalai iaitu Golongan Belacan.

Selepas diajar oleh utusan terakhir Tuan mereka, Golongan Belacan menjadi sangat berjaya. 

Mereka menakluk hampir kesemua wilayah Golongan Apel sambil mengekalkan wilayah mereka sendiri.

Mereka menjadi bongkak dan leka di atas kejayaan itu . Benarlah kata pepatah untuk mengekalkan kejayaan adalah usaha yang lebih rumit dari menempa kejayaan.

Akibatnya, Golongan Belacan mengalami kemerosotan yang amat dahsyat.

Ladang mereka tidak langsung mengeluarkan hasil. 

Mereka menjadi kelam-kabut kerana kisah kejayaan mereka telah dijaja sebagai tidak mungkin gagal lagi.

Wilayah-wilayah yang mereka takluk kesemuanya membebaskan diri lalu menyertai kumpulan Golongan Apel. 

Sementara itu, Golongan Apel secara perlahan-lahan membina kembali kekuatan mereka. 

Hasil ladang jagung Golongan Apel juga mengalami peningkatan hasil dari tahun ke tahun. 

Apakah yang sebenarnya terjadi kepada kedua kumpulan hamba ini ?

Berikut adalah apa yang terjadi kepada Golongan Belacan

Sebaik sahaja utusan terakhir Tuan mereka dihantar kepada kumpulan ini, mereka kembali sedar bahawa selama ini mereka lalai untuk berusaha bersungguh-sungguh.

Mereka kembali sedar bahawa maksud mendirikan "99##22" sebenarnya ialah berusaha bersungguh-sungguh atau beriltizam dengan dedikasi yang tinggi di dalam bidang penanaman jagung.

Hasilnya, mereka berjaya mendirikan satu tamadun yang maha hebat melalui hasil dari ladang jagung mereka. 

Mereka hampir menguasai keseluruhan wilayah Golongan Apel.

Golongan Apel pula, pada waktu tersebut sedang berkhayal dengan kisah kejayaan lama mereka menakluk Golongan Belacan 

Di samping itu, mereka juga taksub kepada satu upacara yang mereka cipta sesama mereka.

Apa yang terjadi kepada Golongan Belacan ?

Selepas hampir berjaya menakluk keseluruhan wilayah Golongan Apel, cerdik pandai Golongan Belacan merasakan bahawa mereka perlu membuat upacara untuk mengucapkan syukur dan terima kasih kepada Tuan mereka.

Oleh kerana mereka tidak dapat melihat Tuan mereka secara fizikal, maka mereka membina satu binaan yang diperbuat dari batu dengan tangan mereka sendiri untuk dijadikan simbol mengganti Tuan mereka.

Lama-kelamaan, hamba-hamba yang menganggotai Golongan Belacan menjadi taksub kepada binaan batu ini.

Mereka mula membuat jadual harian untuk membuat upacara kesyukuran di hadapan binaan batu tersebut. 

Ada antara mereka yang melakukan upacara sebanyak 5 kali sehari di hadapan binaan ini dan ada pula yang merasakan 3 kali sudah cukup. 

Bagi kebanyakkan dari mereka inilah maksud mendirikan "99##22". Mereka yakin upacara ini boleh menjadikan mereka berjaya.

Akhirnya, mereka mula menyamakan binaan batu ini dengan Tuan mereka sedangkan binaan ini mereka bina sendiri pada mulanya.

Binaan batu ini tidak ada kena mengena dengan Tuan mereka yang kaya-raya itu.

TANPA MEREKA SEDARI, MEREKA MELANGGAR PESANAN PERTAMA TUAN MEREKA. 

MEREKA KINI MENGABDIKAN DIRI KEPADA PERKARA LAIN SELAIN DARI MENANAM JAGUNG. 

DAN OLEH KERANA MEREKA BEGITU TAKSUB KEPADA BINAAN BATU INI, TANPA MEREKA SEDARI KINI MEREKA MEMPUNYAI 2 TUAN SELAIN DARI TUAN MEREKA YANG SEBENAR.

Selain itu, mereka juga membuat pelbagai undang-undang bagi mengawal upacara kesyukuran yang dilakukan di hadapan binaan batu ini. 

Undang-undang ini, kadang-kala begitu keras sehingga jika ada anggota kumpulan mereka memahami dengan cara yang lain, mereka mengisytiharkan darah anggota ini halal dan patut dibunuh.

Mereka juga mendirikan sekolah-sekolah untuk melatih anak-anak mereka tentang bagaimana untuk membuat upacara kesyukuran di hadapan binaan batu tersebut.

Natijahnya, oleh kerana ketaksuban mereka, anak-anak mereka kesemuanya membesar dengan hanya mempunyai pengetahuan tentang bagaimana mahu melakukan upacara kesyukuran di hadapan binaan batu tersebut sahaja.

Hampir tiada seorang pun lagi dari generasi anak-anak mereka mengetahui tentang cara-cara menanam jagung, sebagaimana arahan asal Tuan mereka yang sebenar.

Akhirnya, ladang jagung mereka mengalami kemerosotan kerana mereka sudah tidak mempunyai pengetahuan untuk menghasilkan produk yang bermutu tinggi. 

Malah sebenarnya, mereka tidak langsung membuat penanaman semula kepada jagung-jagung mereka yang rosak dimakan serangga.

Ini mengakibatkan tiada langsung anak jagung baru di tanam. Dan menyebabkan, hasil jagung mereka sangat merosot.

Melihatkan keadaan ini, cerdik pandai di antara mereka mengatakan bahawa kemerosotan ini terjadi kerana kurangnya usaha melakukan "99##22" yang mereka tafsirkan sebagai melakukan upacara kesyukuran di hadapan binaan batu yang mereka bina.

Kata cerdik pandai ini lagi, ianya tiada kena mengena dengan ketiadaan pengetahuan Golongan Belacan tentang teknologi menanam jagung.

Kesemua anggota hamba Golongan Belacan mengambil keputusan untuk mengikuti saranan cerdik pandai mereka . 

Maklumlah anggota ini bukan calang-calang, sudahlah cerdik, pandai pulak tu.

Maka begitulah yang terjadi kepada anggota Golongan Belacan, oleh kerana tiada lagi utusan Tuan mereka akan di hantar kepada Golongan Belacan, maka kemungkinan besar Golongan Belacan akan kekal sebegini sehingga tempoh 10,000 tahun yang dijanjikan Tuan mereka tamat.





 



Perkara Yang Terjadi kepada Golongan Apel

Golongan Apel nekad untuk mengubah nasib mereka. 

Mereka sudah tidak dapat bertahan dari dihina setiap hari oleh Golongan Belacan yang sangat berjaya pada ketika itu.

Cerdik pandai mereka berkumpul dan mengambil satu ketetapan iaitu menghalang kumpulan kecil yang begitu taksub untuk melakukan upacara kesyukuran dari menentukan hala tuju nasib kumpulan Golongan Apel.

Caranya ialah dengan meletakkan kumpulan taksub ini di satu tempat yang terpencil.

Oleh kerana mereka sudah tiada pengetahuan mengenai teknoloji menanam jagung, mereka mengambil keputusan menghantar kumpulan pelajar khas untuk belajar dari Golongan Belacan sendiri. 

Meskipun sentiasa dihina disepanjang proses pembelajaran tersebut, mereka nekad untuk terus tetap dengan keyakinan ini.

Lama-kelamaan, kumpulan kecil ini berjaya menguasai kembali pengetahuan mengenai penanaman jagung.

Kumpulan kecil ini mula membina sekolah mereka sendiri untuk mengajar generasi anak-anak mereka mengenai teknoloji penanaman jagung.

Mereka juga membuat keputusan untuk membuka satu sekolah istimewa yang dikhaskan untuk mencari produk baru yang boleh dihasilkan dari jagung.

Mereka melupakan terus upacara kesyukuran dan secara semulajadi proses ini menyebabkan mereka kembali mengikuti pesanan pertama Tuan mereka iaitu mengabdikan diri kepadanya dengan menanam jagung.

Hasilnya, mereka bukan sahaja mendapat hasil jagung yang melimpah ruah malah kini mereka mempunyai produk-produk ciptaan baru yang dihasilkan dari sekolah khas yang mereka bina.

Secara tidak langsung, dengan kesungguhan yang tinggi ini (iltizam) mereka telah berjaya mendalami maksud mendirikan "99##22" dengan lebih mendalam. 

Dan, oleh kerana tempoh 10,000 tahun hampir tamat, maka kemungkinan besar Golongan Apel akan menguasai pasaran jagung sehingga mereka dipanggil pulang mengadap Tuan mereka.





Sekian analogi Ramadhan, semoga bertemu di Ramadhan tahun hadapan.

Kisah ini untuk dihayati oleh mereka yang mempunyai mata hati. 

"Maka apakah mereka tidak berjalan di muka bumi, lalu mereka mempunyai hati yang dengan itu mereka dapat memahami atau mempunyai telinga yang dengan itu mereka dapat mendengar? Karena sesungguhnya bukanlah mata itu yang buta, tetapi yang buta, ialah hati yang di dalam dada" AQ 22:46

Pengajaran 


Apakah yang anda rasa akan dilakukan oleh Tuan hamba-hamba ini kepada anggota hamba Golongan Belacan yang telah melanggar pesanannya ?.


Jawapan - Tiada apa-apa. 

Sesungguhnya, Tuan ini terlampau kaya-raya, apa sahaja yang dilakukan oleh anggota hamba Golongan Belacan tidak langsung menggugat kedudukannya.


Lagipun, Tuan ini tahu tempoh yang sebenar hanyalah satu hari satu malam.

Kesemua hamba-hambanya dari kedua-dua Golongan Apel dan Golongan Belacan akan kembali ke sisinya selepas tamat tempoh satu hari satu malam.

Pada waktu tersebut baharulah dia memberi ganjaran atau hukuman seperti yang telah dia janjikan pada awal kisah ini.


Ashwed




1 comment:

  1. Tuan ashwed! anda terbaik/excellent!!! u've fully discribed "d' HEART" of the QUR'AN. I've done this 4d' past 20 years ago but i'm not capble to achive as u'r either! Tks Bro! n do keep-on yr effort n hope 2-success ever...

    ReplyDelete