Friday 3 July 2015

Siri Ramadhan : Legenda Laylatul Qadar

Surah Al-Qadr (terjemahan Al Quran Secara Lafziyah - Bahasa Indonesia)
 


97:1Ayat 1
Quran, Surah Al-Qadr, Ayat 1
Sesungguhnya Kami telah menurunkannya (Al Quran) pada malam kemuliaan.

97:2Ayat 2
Quran, Surah Al-Qadr, Ayat 2
Dan tahukah kamu apakah malam kemuliaan itu?

97:3Ayat 3
Quran, Surah Al-Qadr, Ayat 3
Malam kemuliaan itu lebih baik dari seribu bulan.
97:4Ayat 4
Quran, Surah Al-Qadr, Ayat 4
Pada malam itu turun malaikat-malaikat dan malaikat Jibril dengan izin Tuhannya untuk mengatur segala urusan.
97:5Ayat 5
Quran, Surah Al-Qadr, Ayat 5
Malam itu (penuh) kesejahteraan sampai terbit fajar.

Di atas  adalah keterangan mengenai Laylatul Qadar. Satu malam yang begitu digilai oleh orang-orang melayu untuk mendapatkannya.

Begitu banyak cerita yang kita dengar mengenai fenomena malam ini. Namun, apakah sebenarnya "Laylatul Qadar".

Dari segi bahasa Layl bermaksud malam sementara qadar ialah destini. 

Namun, Al Quran menggunapakai perkataan Laylatul yang merujuk kepada perempuan. Mengapakah ianya begitu ?

Pada pandangan saya ia menjadi begitu adalah kerana Tuhan memberitahu kita bahawa yang menjadi petunjuk kepada kita ialah kandungan malam tersebut.

Sebab itulah perkataan laylatul yang merujuk kepada perempuan digunakan.

Apakah yang terjadi pada malam tersebut dan kepada siapakah ianya terjadi ?

Muhasabbah Nabi Muhammad

Semua orang Melayu tahu akan kisah Nabi Muhammad bermeditasi di gua hira'. Baginda berbuat demikian kerana merenung akan kebejatan yang dilakukan oleh kaum baginda.

Kaum Quraisy bukanlah satu kaum gasar sehingga tiada Undang-Undang dapat mengawal mereka.

Mereka adalah satu kaum yang sudah berjaya dari segi materi sehinggakan Raja Vikramaditya telah menghantar tenteranya untuk menjajah bandar Makkah dan membina kuil di sana.

Yang menjadi isu sehingga Nabi Muhammad merenung nasib kaumnya ialah pemikiran kaumnya yang terjerumus kepada hasutan jin dan iblis lalu menjadikan mereka bersikap buruk dan ekstrim (syaitan).

Mereka membuat Undang-Undang yang tidak masuk akal seperti membunuh bayi perempuan mereka sendiri kerana terpengaruh dengan ajaran Hindu yang ekstrim. 

Sebenarnya, mereka membunuh bayi perempuan mereka kerana tidak mahu berhala mereka yang bernama Al lat, Al Uzza dan Manat cemburu. Ketiga-tiga berhala ini adalah perempuan.

Akhirnya, Tuhan telah mencetuskan wahyuNya ke dalam pemikiran baginda melalui kuasa tenaga (malaikat) tersembunyi yang diberi nama Djibril.

Malaikat Djibril (kuasa yang patuh kepada Adam) sebenarnya memang sudah berada di dalam pemikiran baginda semenjak baginda di lahirkan. Begitulah juga, malaikat-malaikat ini sedang berada di dalam pemikiran kita sekarang ini membisikkan idea-idea baik untuk kita membuat keputusan.

Malaikat Djibril dan malaikat-malaikat lain tidak wujud secara fizikal untuk melakukan urusan Tuhan. Ini adalah kerana Tuhan tidak mempunyai sekutu mahupun pembantu untuk mentadbir dunia ciptaanNya.

"Dan katakanlah: “Segala puji bagi Allah Yang tidak mempunyai anak dan tidak mempunyai sekutu dalam kerajaan-Nya dan Dia bukan pula lemah yang memerlukan penolong dan agungkanlah Dia dengan pengagungan yang sebesar-besarnya" AQ 17:111

Inilah perkara yang kebiasaannya kita terlepas pandang lalu kurang mengagongi Tuhan dengan pengagongan yang sebenar-benarnya.

Kandungan "Laylatul Qadar"

Selepas menerima cetusan wahyu yang pertama iaitu Iqra'. Nabi Muhammad telah membuat keputusan untuk menuruti wahyu tersebut. Atau dengan kata lain. Pada malam itu, Nabi Muhammad telah membuat keputusan untuk mengikuti Al Quran di sepanjang hidupnya.

Inilah kandungan Laylatul Qadar. Ianya adalah mengenai keputusan yang telah dibuat oleh seorang manusia yang mempunyai sifat amanah yang sangat tinggi. 

Keputusan Nabi Muhammad ini, telah merubah destini dunia untuk selamanya. Di mana, kini dengan Al Quran manusia mendapat petunjuk untuk menjalani kehidupan menurut cara hidup kedamaian (Islam).

Keputusan ini juga telah merubah destini Nabi Muhammad secara peribadi, di mana baginda menjadi sangat berjaya. Dalam tempoh 60 tahun dari malam itu. Generasi Nabi Muhammad telah berjaya menakluk Empayar Parsi dan Empayar Byzantine.

Kesimpulan

Laylatul Qadar bukanlah malam yang berulang-ulang setiap tahun. Ia juga bukan malam di mana semua doa mustajab atau terdapat fenomena ajaib di mana pokok-pokok semuanya menonggeng menyembah tanah.

Ia adalah satu malam di mana seseorang manusia membuat satu keputusan untuk beriltizam (solla) dengan penuh dedikasi (zakka) untuk menjalani cara hidup kedamaian dengan mengikuti Al Quran sepenuhnya.

Ia boleh terjadi di mana-mana malam pun. 

Jika pada malam ini anda membuat keputusan sebegini. Maka inilah "Malam Destini" anda. Ia adalah lebih baik dari seribu bulan yang anda hidup tanpa iltizam ini.

Jika sekiranya anda telah membuat keputusan ini pada 2 Januari 2015 misalnya, maka pada masa itulah "Malam Destini" anda. Adakah ianya berulang-ulang ?

Jika sekiranya ia berulang-ulang maka anda tidak cukup motivasi kerana gagal di separuh jalan sehingga perlu memujuk kembali diri anda untuk beriltizam.

Semoga hilanglah segala-gala yang selama ini kita ada-adakan.

Ashwed








1 comment: