Sunday 20 November 2016

Lokhas Samastha Sukhino Bhavantu

Kedamaian Untuk Semua,

Saya seperti sudah dapat mengagak artikel yang lalu akan menerima komentar yang keras dari pembaca blog ini.

Itulah sebabnya saya selalu mengelak menulis mengenai politik.

Saya berpendapat di negara ini perkataan politik adalah sama makna dengan gossip. Ia juga membawa bersamanya elemen kebencian yang tinggi terhadap pihak lain.

Dan yang paling membimbangkan ialah jika di dalam diskusi itu lawan debatnya tidak mahu memihak kepada golongan yang mereka pilih, orang itu kini menjadi musuh mereka.

Ia seolah-olah seperti kata George Bush selepas peristiwa 9/11 di Amerika Syarikat, "You are either with me, or against me".

Ketahuilah bahawa saya bukan musuh sesiapa. Begitu juga, anda bukan musuh saya.

Jika pendapat kita berbeza, ini bukan bermakna bahawa anda baik dan saya jahat atau sebaliknya.

Ia hanyalah analisa kita mengenai sesuatu peristiwa. 

Jika saya mempunyai pendapat yang berbeza mengenai sesuatu isu daripada yang anda fikirkan, ini berkemungkinan kerana saya melihatnya dari sudut pandang yang lain.

Pandangan ini berbeza daripada anda mungkin kerana beberapa sebab. Mungkin saya mempunyai pengetahuan yang lebih terperinci daripada anda atau mungkin saya berada di suatu tempat dan melihat sesuatu yang anda semua tidak melihatnya.

Sebenarnya, saya belum lagi menulis mengenai politik secara penuh kerana jika saya mahu menulis mengenai politik ia memerlukan lebih banyak data dan kupasan isu.

Sementara, jika saya mahu menulis mengenai politik pilihanraya ia memerlukan pula angka-angka kerana itulah hakikatnya mengenai sistem pilihanraya negara ini. Ia adalah mengenai angka.

Di artikel yang lepas saya sama-sekali tidak bercerita mengenai keperluan mempertahankan seorang ahli politik yang menjadi pilihan saya dan kebetulan menjadi kebencian anda

Saya menulis mengenai keperluan mempertahankan KERAJAAN MALAYSIA. Kerajaan Malaysia bukan milik satu Parti atau seorang ahli politik. 

Kerajaan Malaysia adalah sebuah negara berdaulat yang ditubuhkan dengan asas-asas seperti yang termaktub di dalam Perlembagaan Persekutuan Malaysia.

Asas-asas ini menghidupkan sistem, sistem inilah yang perlu kita pertahankan. 

Negara ini memilih sistem demokrasi berparlimen dengan seorang Raja yang kuasanya di gariskan di dalam Perlembagaan (negeri atau persekutuan).

Seorang Raja di dalam menjalankan kuasanya, baginda di nasihatkan oleh seorang Menteri Besar/Ketua Menteri jika di negeri dan seorang Perdana Menteri jika di Persekutuan.

Menteri Besar dan Perdana Menteri inilah yang kita berhak pilih, di sinilah segala permainan politik bermula.

Jika rakyat hilang kepercayaan kepada Menteri Besar atau Perdana Menteri, mereka boleh mengubahnya di dalam Pilihanraya. Inilah sistem yang perlu kita pertahankan.

Sistem ini bukanlah sempurna, namun, ia cukup terbukti berkesan. Jika tidak masakan Parti Pemerintah pernah kalah di Terengganu kubu kuat mereka.

Masakan Kelantan di perintah oleh Parti Pembangkang berpuluh-puluh tahun.

Masakan lima negeri pernah jatuh ke tangan pembangkang dan tiga daripadanya masih mereka perintah.

Di negeri-negeri yang dikuasai pembangkang ini harga rumahnya masih juga tinggi. Harga barang juga tidaklah menurun dengan mendadak. Malah di sesetengah tempat rakyat terputus bekalan air. Rakyat di sana, tidak pula secara magis kini hidup di dalam "svarga".

Malangnya bukan semua rakyat boleh mengubah Menteri Besar atau Perdana Menteri yang mereka tidak suka kerana negara ini mengamalkan Demokrasi Berparlimen jenis Westminster.

Hanya mereka yang tinggal di kawasan Menteri Besar atau Perdana Menteri ini bertanding sahaja yang boleh berbuat demikian.

Inilah hakikatnya sistem yang negara kita amalkan.

Jikalah anda benar-benar bencikan seorang ahli politik yang bernama Najib Tun Razak, anda boleh kencing atau berak di atas gambarnya. 

Anda juga boleh bakar patungnya atau memijak gambar dia bersama-sama dengan isterinya yang tidak pernah bertanding pilihanraya itu, namun hakikatnya jika anda bukan seorang pengundi berdaftar di daerah yang beliau bertanding, anda sebenarnya tidak boleh mengubah apa-apa.

Jadi buanglah semua kebencian itu dan jadilah seorang yang boleh berfikir mengenai politik dengan waras.

Nikmatilah hidup ini sepenuhnya. Banyak perkara lain yang lebih bermakna boleh kita lakukan daripada membuang tenaga menyalurkan aura kebencian kepada seseorang.

Al Quran menyarankan kita membuat bakti kepada masyarakat sekeliling kita. Jika anda merasakan rakyat sedang menderita, lakukanlah sesuatu berilah bakti setakat yang termampu.

Saya sudah menyatakan bahawa kita tidak boleh memberi handicap kepada mana-mana ahli politik kerana ini akan mengakibatkan kita menjadi mangsa permainan politik mereka yang rakus.

Kita perlu menagih standard yang sama daripada kedua-dua ahli politik yang menguasai kerajaan dan pembangkang.

Jika kita tidak melakukan ini, maka kita akan di makan hidup-hidup oleh kumpulan ini, sedar-sedar kita sudah menjadi kuda mereka di dalam strategi merampas kuasa yang menjadi permainan mereka.

Inilah yang terjadi kepada penganjur rali bersih. Beliau kini dikenakan tahanan SOSMA, dikatakan meringkuk di dalam sel asing berseorangan tanpa tingkap (entah betul atau tidak saya tidak tahu, besar kemungkinan propaganda terbaru untuk menagih simpati kerana jika benar beliau diletakkan berasingan tentulah ada prosedur kawalan yang ketat di mana tahanan tidak dibenarkan berjumpa sesiapa menjadikan informasi mengenainya terhad).

Sedang beliau ditahan, seorang ahli politik berpengalaman membuat "grand entrance" pada perarakan anjurannya. Lantas merampas gerakan itu lalu mengangkat dirinya menjadi ikon. Penganjur bersih kini menjadi mangsa permainan kuasa ini.
Komentar yang datang di ruangan artikel semalam juga membayangkan anda benci melihat gaya hidup mewah ahli politik yang sedang menjadi Perdana Menteri sekarang kerana di pandangan anda beliau bermewah sedang rakyat terhimpit dengan segala macam masalah.

Kenapa anda tidak meletakkan standard yang sama kepada ahli politik yang lain ?

 .. a politician making grand entrance with his private jet. Mewah juga ni, rakyat kebanyakkan jangan harap merasa gaya hidup begini.

 
Janganlah kebencian membuat kita tidak melakukan keadilan. Berlaku adillah.

Terimalah hakikat bahawa rakyat memilih parti yang menguasai kerajaan kini bukan kerana mereka sayang kepada susuk tubuh ahli politik dari parti itu. Jauh sekali mereka mengerti ideologi yang di bawa parti itu.

Mereka memilih Parti ini sebab "They get the job done"

Kebanyakkan mereka ini hidup diluar bandar. Mungkin anda yang hidup di bandar boleh berdikari. Boleh menyelesaikan masalah anda sendiri.

Tetapi, rakyat yang hidup di pedalaman, mereka kurang pengalaman.

Arwah bapa mertua saya adalah penyokong tegar PAS. Kawasan Parlimen tempat beliau tinggal selama hari ini di kuasai oleh UMNO.

Pada tahun 2008, orang-orang kampung ini membuat perubahan. Mereka memilih ahli politik dari Parti PAS bagi mewakili mereka.

Namun, pada Pilihanraya yang berikutnya, penduduk di sana kembali kepada UMNO. Apabila di tanya, jawapan bapa mertua saya " PAS cakap aje berdegar, kerja tak siap".

Beliau marah kerana perkara-perkara asas yang menjadi masalah orang kampung tidak dapat di selesaikan. 

Di sinilah terletak kekuatan UMNO yang tidak ramai yang mampu nafikan. Mungkin juga kerana sudah lama menguasai Kerajaan maka ahli-ahli politik daripada Parti ini mempunyai rangkaian yang meluas.

Kepada rakyat di kawasan ini, mereka tidak pedulipun kisah 1mdb atau kisah seks ahli politik di Persekutuan. 

Yang mereka kisahkan ialah jika traktor kubota mereka rosak siapa yang datang membantu ? Jika bekalan air di terusan mereka terputus, siapa yang datang membantu ?

Anda di Kuala Lumpur mungkin boleh menggerak beratus ribu manusia, melaung sekuat hati kebencian kepada Perdana Menteri tetapi hakikatnya para pengundi di Malaysia ini bukan bertumpu di bandar Kuala Lumpur sahaja.

Apabila tiba masanya, buanglah undi mengikut pilihan anda. Jika parti pilihan anda masih belum menguasai Persekutuan seperti yang anda mahukan janganlah salahkan sistem itu pula.

Mungkin parti yang anda sokong kurang pandai  bermain dengan angka atau mungkin juga mereka kurang menyerlah di dalam memberi perkhidmatan.

Sebenarnya saya menjadi kritikal mengenai politik kerana peristiwa besar yang menimpa orang Melayu di tahun 1998.

Tidak ramai orang muda pada waktu itu mampu menolak skil oratory Dato Seri Anwar Ibrahim. Begitu berkuasa kata-kata beliau sehingga di gambarkan burung yang terbang pun boleh berhenti jika mendengar beliau berceramah.

Semasa beliau ditangkap atas kesalahan seks luar tabie ramai anak muda menyertai gerakan reformasi termasuklah diri saya.

Di dalam kehangatan gerakan itu, saya masih ingat bagaimana Tun Mahathir memberitahu bahawa beliau sudah lama tahu mengenai selera seks DSAI. Namun, tidak menganggapnya serius.

Apabila sedar DSAI mula mengorak langah untuk bertanding jawatan Presiden parti baharulah beliau membuat sesuatu.

Peristiwa itu membuat saya sedar, bahawa Tun Mahathir sebenarnya selama ini tidak melakukan apa-apa serta mendiamkan diri mengenai perbuatan itu bukan kerana ianya tidak benar, tetapi kerana beliau masih boleh mengguna kekuatan DSAI untuk kegiatan politiknya.

Beliau bukanlah melakukannya (membuang DSAI dari UMNO) kerana rakyat tetapi kerana agenda peribadinya.

Saya menjadi bertambah pelik kerana sejurus selepas di buang dari UMNO, secara tidak semena-mena ahli-ahli politik dari parti pembangkang yang menggelar DSAI dengan gelaran yang buruk seperti Al J_b_ri dan sebagainya kini menerima DSAI sebagai ketua mereka.

Dari situ, saya mula memahami bahawa sebenarnya ahli politik tidak peduli pun mengenai kemaslahatan rakyat seperti kita.

Segala perjuangan dan ideologi yang mereka laungkan sebenarnya hanyalah satu sandiwara. Di hati mereka yang paling utama ialah KUASA.

Untuk itu, tiada kawan atau lawan dalam permainan ini. Yang menjadi mangsa ialah rakyat.

Saya masih ingat lagi seorang ahli politik dari gerakan reformasi, berceramah dari satu negeri ke satu negeri mengusung 4 kotak yang kononnya berisi bukti rasuah Tun Mahathir.

Beliau begitu beria-ria berjanji akan menyerahkan bukti itu kepada mahkamah untuk memastikan Tun di penjarakan. Sehingga kini, bukti tersebut masih kekal misteri.

Dan yang paling saya ingat, di antara bukti yang beliau beritahu sidang hadirin pada malam itu ialah tentang satu "secret dealing" melibatkan sebidang tanah yang mana terdirinya KLCC sekarang. 

Maka bergunilah kutukan di keluarkan kepada Tun. Mahafiraun, diktaktor, bapa rasuah dan macam-macam lagi.

Semalam, saya tidak dapat membayangkan bagaimana perasaan Tun mengetuai perarakan yang dipenuhi oleh orang-orang yang membencinya suatu ketika dahulu, berlangsung pula di tempat yang menjadi isu besar kepada orang-orang itu pada suatu waktu dahulu.

Begitulah gilanya politik. Memang benar kata orang Russia, manusia hanya mempunyai memori setakat 100 hari. Selepas 100 hari ramai yang akan lupa.

Itulah sebabnya, penyokong pembangkang hari ini sudah terlupa kepada gelaran bapa rasuah yang mereka beri kepada Tun M. Malah, mereka percaya pula orang ini boleh membersihkan rasuah.

Oleh itu, saya rasa tidak perlu anda membuka debat dan meminta saya menjawab mengenai kedudukan dan perasaan saya mengenai Perdana Menteri. Pada saya, ahli politik sama sahaja permainannya.

Kecuali saya orang dari daerah Parlimen Pekan, tidak banyak yang saya boleh ubah melainkan hanya membuang masa menjuruskan aura kebencian kepada ahli politik yang mewakili mereka.

100 hari selepas isu ini reda, ramai yang akan melupakan tuduhan ini, malah silap-silap PM sekarang pula menjadi hero asalkan mahu bersama dengan pihak mereka.

Tidak guna kita berdebat mengenai politik kerana di dalam hati masing-masing sudah membuat keputusan sebelum kita meneliti hujah dan bukti. Hujah dan bukti ini pula bergantung kepada keterangan orang lain yang juga mendengarnya dari orang lain.

Ia sama sahaja dengan ilmu hadis. Bergantung sepenuhnya kepada riw(hear)ayat(say). 

Di dalam soal 1mdb, kebanyakkan kita bergantung penuh kepada keterangan seorang ahli politik yang kita tahu resam ahli politik yang kebiasaanya mempunyai agenda tersendiri.

Sebagai seorang pengamal undang-undang saya perlu memberitahu tentang bahayanya bergantung penuh kepada kepada satu saksi tunggal sahaja.

Jika kita mengambil keterangan satu orang ini tanpa usul periksa tanpa dokumen di tangan kita, seolah-olah semua yang diperkatakan benar belaka, maka nanti jika beliau menuduh kita merogol anaknya maka mahkamah perlulah memenjara kita tanpa perlu membuat perbicaraan.

Objektif artikel saya yang lalu hanyalah ingin menyampaikan keperluan berlaku adil kepada orang lain. 

Jika kita menjatuhkan hukum, hukumlah dengan adil. Ini bukan saya yang kata tetapi Al Quran yang sebut, jika kita mahu menjadikan Al Quran ini pedoman maka kita perlu sedar akan kewujudan keperluan ini.

Sungguhpun saya tahu jika mahkamah di Malaysia ini sudah jatuh hukum pun jika kita tidak mahu mempercayainya, kita akan tetap dengan pendirian kita.

Kadang-kadang kita perlu membuang paranoid yang ada pada diri untuk lebih menikmati keindahan dunia ini.

Orang di kampung saya memilih UMNO kerana mereka menganggap "they get the job done". Jika ahli politik lain boleh memberi perkhidmatan yang lebih cemerlang mereka tidak akan teragak-agak memangkah beliau di dalam pilihanraya nanti.

Saya sendiri tidak semestinya membuat pilihan yang sama. Namun, jika saya mahu memilih UMNO, pilihan itu di tangan saya.

Tiada siapa yang boleh menghalang anda untuk memilih parti dan menyokong ahli politik pilihan anda. Begitu juga anda tidak boleh berbuat begitu kepada orang lain.

Yang lebih elok, ialah kita berbincang mengenai bagaimana untuk menjadikan diri kita lebih baik dari dahulu. 

Dengan melakukan ini nescaya masyarakat setempat di mana kita adalah ahlinya akan turut menjadi lebih baik dan ceria daripada menghabiskan masa membenci dan mencari salah orang lain.

Lokhas Samastha Sukhino Bhavantu ... May the entire world be happy.

Ashwed

35 comments:

  1. Salam Ashwed, good that you explained your rationale in supporting Najib and BN despite their obvious corruption. Sad to say that you maybe rational when it comes to discussing religion but a bit irrational when it comes to politics. A bit taksub. Well.. nobody is perfect right?

    Please note that I voted for BN in the previous 5 elections. But I will not vote for BN this coming election for obvious reasons. I will not vote for a party whose leader is a clear penyamun and whose members support penyamun.

    ReplyDelete
    Replies
    1. http://www.economist.com/news/asia/21710280-billions-are-stolen-only-whistle-blower-goes-jail-nothing-see-here

      Delete
  2. Salam Ashwed. Saya percaya ramai yang tahu menggunakan akal didalam membaca segala hujah yg sdr utarakan didalam mengupas isu-isu berkaitan Islam dan kini memasuki bidang politik pula.

    Sebagaimana sdr meminta orangramai berlaku adil didalam penilaian mereka terhadap kepimpinan negara, saya juga berharap sdr dapat berlaku adil didalam membuat analisa sdr.

    Tiada siapa yang membuat andaian atau penilaian berdasarkan seorang ahli politik sahaja. Katakan lah ahli politik dan suratkhabar seperti WSJ dll adalah penipu dan mempunyai agenda tersembunyi, tapi bagaimana mengenai perbicaraan di Singapura? Tuduhan atau kenyataan yang dibuat oleh DOJ? Tindakan2 yang telah diambil oleh pemerintah yang menjurus kearah menyembunyikan banyak perkara/ Lapuran Audit di OSAkan dan macam2 lagi lah.

    Betul org mcm TSMY, TDM, LKS, dan lain-lain adalah ahli politik dan kemungkinan mereka mempunyai agenda tersendiri tetapi sekurang-kurangnya mereka menyatakan bantahan terhadap segala kerosakan ynag dilakukan. Tiada siapa pun yang mengetahui isi hati mereka kecuali Pemilik / Allah / Tuhan / God dan tuan punya badan sendiri.

    ReplyDelete
  3. Salam,

    Saya tidak bercadang untuk meneruskan tulisan berkenaan politik. Terlalu banyak kebencian di dalam politik. Bertentangan dengan nature saya.

    Saya fikir saudara masih belum memahami artikel ini. Saya menulis artikel ini untuk memberitahu bhw kita perlu berhenti dari hidup dgn perasaan kebencian dan peri pentingnya untuk bersikap adil. Kita juga wajar menagih standard yg sama dari ahli politik yg mewakili kedua-dua pihak.

    Dan yang paling penting dalam artikel ini ialah untuk mengubah masyarakat, perubahan itu perlu datang dari diri kita sendiri.

    Kita tidak boleh mengubah masyarakat dgn menukar pemimpin. Pemimpin adalah anggota masyarakat. Dia dipilih di antara ahli masyarakatnya. Dia adalah cerminan masyarakat yg dipimpinnya. Jika beliau seorang perasuah bermakna itulah amalan masyarakatnya iaitu kita semua.

    sebab itu ianya adalah penting untuk mengubah diri kita dahulu. Jika anggota masyarakat itu jujur dan amanah pasti pemimpinnya juga seorang yang jujur dan amanah kerana kita pilih pemimpin itu dari kalangan anggota masyarakat kita sendiri.

    Yang ramai tidak nampak ialah apabila kita cepat menuduh pemimpin utama kita dengan pelbagai tuduhan perompak penyamun dan sbgnya tanpa kita beri peluang utk beliau buktikan sebaliknya, sebenarnya kita hanya menuduh diri kita sendiri. Hakikatnya, pemimpin ini bukannya datang dari Uganda atau Nigeria dia adalah orang kita. Masyarakatnya iaitu kita yg memupuk perangai yg kita tuduh itu. Shame on us.

    Peace

    ReplyDelete
    Replies
    1. Jika dia x bersalah spt yg ditulis dlm WSJ n other inter. newsmedias, dah lama dia saman akhbar WSJ etc tu....

      Delete
    2. Jika dia x bersalah spt yg ditulis dlm WSJ n other inter. newsmedias, dah lama dia saman akhbar WSJ etc tu....

      Delete
  4. Salam Ashwed, saya setuju yg pemimpin is a reflection of the society that he or she leads. Malaysia sekarang memang berada ditahap yg terendah dimata dunia. Parti pemerintah tidak mampu mengubah pemimpin tertingginya walaupun sudah sah2 penyamun (refer lapuran audit negara yg dah diosakan kalau tak percaya) menunjukkan yg BN ialah sekarang parti penyamun jugak.

    Syukur alhamdulillah dengan skandal 1MDB Allah tunjukkan pada kita tahap kronik korupsi BN. Mujur ramai rakyat Malaysia (formerly BN supporters) yg berontak untuk berotak dengan terang menentang perbuatan mencuri yg sangat keterlaluan dalam BN.

    Syukur alhamdulillah majoriti rakyat Malaysia masih rasional dan tidak taksub pada pemimpin. There are still hope for all of us insyaAllah. Mungkin lepas PRU13, rakyat Msia agak berpuak2. Tapi hari ini majoriti bersatu untuk menyelamatkan Malaysia dari pemimpin perompak dan penyamun yg merosakkan ekonomi Malaysia dan menyusahkan rakyat.

    ReplyDelete
    Replies
    1. Salam,

      ... dan saudara rasa orang2 BN itu tinggal di "outer space" bukan berumah dan berinteraksi dgn masyarakat Malaysia ?

      I think u still don't get it. Saudara sebenarnya masih tinggal di dalam rumah yang sama, saudara hanya menukar bilik.

      Dahulu bilik saudara menghadap ke laut sekarang menghadap ke gunung. Mungkin saudara perlu baca artikel ini untuk membebaskan pemikiran saudara http://ashwed1973.blogspot.my/2016/08/nilai-rohani-realiti-dan-fantasi.html

      Tidakkah saudara nampak bahawa selain dari agama, politik kepartian juga adalah salah satu perkara yang menjadikan manusia bergolongan ? Sebab itu mereka mencipta teori "divide and rules".

      Selagi saudara merasakan kumpulan lain salah kerana lambang dan ideologi yang di bawanya selagi itulah saudara akan menjadi bergolongan dan tidak merasai kebebasan pemikiran.

      Apabila saudara tidak menagih standard yang sama kepada ahli-ahli politik dari pihak yang bertentangan maka saudara sedang menghantar signal yang salah bahawa saudara sudi melupakan tindakan ahli politik pilihan saudara dan menyanggah ahli politik yang saudara tidak suka. Sebab itu lim guan eng berani muncul di di rali bersih sabtu lepas. Tidakkah saudara rasa lawak melihat dia mengajak rakyat menghapuskan rasuah dan salah guna kuasa sedangkan beliau sudahpun dituduh di dalam mahkamah membuat perkara yang sama ?

      Ini pula berita terbaru dari malaysiakini http://www.malaysiakini.com/news/363659. Dr M denies giving RM500 mil contract without cabinet approval. Nampaknya terpaksalah rakyat membuat rali lagi sekali. Sepatutnya berita ini keluar awal sikit boleh buat bantahan sekali masa sabtu lepas.

      Orang putih kata "don't throw stones if you live in a glasshouse". Ahi-ahli politik yang merampas rali bersih tempohari kebanyakkannya terpalit dengan pelbagai salah laku. Dan kita masih tidak merasakan diri kita bersalah kerana melahirkan ahli-ahli politik ini. Mereka ini kemungkinan datang dari kampung yang sama dengan kita. Silap-silap mereka ini adalah sanak-saudara atau ipar-duai kita. Mereka adalah ahli masyarakat kita. Sepatutnya kita merasa malu untuk keluar ke jalan dengan membawa harapan yang begitu besar sedangkan kita sedang bersekongkol memudahkan kerja mereka. Shame on us.

      We select leaders amongst ourselves. When our leaders are corrupt. It simply shows that we are a community full of corrupt people. Itulah yang sepatutnya kita malukan. And yet we only think about changing guards not the "system".

      Tun M sekarang mengangkat dirinya menjadi hero, bukankah beliau terpalit dengan pelbagai tuduhan rasuah di zamannya ? Bukankah beliau yang menubuhkan JAKIM yang dengannya orang-orang agama menangkap intelektual yang sedang berfikir ? Bukankah beliau menangkap ramai ahli politik di bawah ISA ? Bukankah beliau satu-satunya PM di dalam dunia yang membuang Ketua Hakim Negaranya ?

      Saya tidak mahu menyalahkan sesiapa, tetapi jika saudara benar-benar mengikuti dan membaca perkembangan politik tanahair saudara mungkin boleh meneka bila dan di zaman siapakah ianya bermula.

      Peace

      Delete
    2. Salam Ashwed, memang saya setuju yg Malaysian society ni corrupt. I have been saying that for so long. I also agree that all politicians suck. Never trust them. Power corrupts, absolute power corrupts absolutely.

      Having said that and with limitation of democracy, we must still depend on politicians. So we must choose the lesser evil. Yang terang2 mencuri mesti disingkir. Malangnya UMNO dan BN tak mampu berbuat demikian which led to exBN voters to conclude that UMNO and BN are beyond resuscitation. How sad.

      Dari tulisan Ashwed bunyinya macam suruh give up. Sebab demo tak mungkin dapat singkirkan Najib, jadi kita semua patut senyap duduk rumah dan terima apa saja kaum penyamun ni buat pada negara?

      Betul parti pembangkang pun banyak yg hipokrit. Jangan ingat exBN voters tak nampak. Guan Eng mungkin sama korup dgn Khir Toyo. Tun M is not perfect either. Anwar, Mat Sabu dan pemimpin PAS ada s3xu@l problems. Tapi takde sorang pun yg mencuri beribu juta masuk dalam akaun peribadi lepas tu muka selamba menipu rakyat kata itu derma dari Pak Arab. Tunggu audit, tunggu audit. Lepas tu lapuran audit diOSAkan.

      The world is not perfect. Kita mungkin hanya tukar bilik dalam rumah yg sama. Kita hanya mampu berusaha, hanya Allah menentukan berjaya ke tidak. The country will go to the dogs if good people do nothing.

      Lagi satu, why the preoccupation with mistakes done with Tun M? He is not God, he can't control how people behave. JAKIM suka skodeng dari bantu single mothers bukan salah Tun. Pusat Zakat employ pekerja yg suka minta rasuah dari orang miskin bukan salah orang yg suruh tubuhkan pusat zakat. Dalam Quran pun kata you are responsible for your own actions. I am sure Tun has many regrets but he is not a soothsayer neither is he perfect. But you must admit, zaman dia rakyat hidup senang. Peluang pekerjaan banyak. Rumah harga masih mampu milik. Sekarang? Graduates disaran jual nasi lemak or jadi pemandu UBER. How the mighty Malaysians have fallen!

      Delete
    3. Salam,

      I enlist all Tun M's deeds because we are now discussing about politics. As he was the longest serving PM of our country therefore a lot of his decision affect our life.

      For your information i have much rspect for Tun M. Nevertheless, he is a politician therefore we should not take all his words lock, stock and barrel. Asasnya kita perlu tagih standard yang sama dari mana-mana ahli politik. Salah guna kuasa satu ringgit sama sahaja dengan satu billion. Jika kita menutup mata kepada perkara ini, nescaya ahli politik baru yang kita pilih akan bertukar menjadi monster dan akhirnya rakyat perlu lagi turun ke jalanan untuk menunjuk perasaan pula kpd kumpulan yang baru ini. Ini sudah pun berlaku dan kita berlagak seolah-olah kita tidak nampak. Kita membuat kesalahan yang sama dan kita mengharapkan keputusan yang berlainan.

      Saya tidak kata kita perlu berdiam diri, jauh sekali dari give up. Jika tidak masakan saya meluangkan masa menulis dan membuat bakti setakat yang termampu di negeri kelahiran saya.

      What we should do is to say adios to all this old politician. Mereka yang ada di dalam parti pemerintah dan pembangkang sudah terlalu lama mengambil kesempatan kepada rakyat kebanyakkan yang tidak bersalah. Ideally, that is the way forward. However, it is a very big task to start. Therefore, it is imperative to at least get this message across by writing something about it.

      This country is in need of a new mentality. Apa yang perlu kita buat ialah mengajar anak-cucu kita supaya mempunyai asas berfikir sebegini.

      In the meantime, i would suggest to vote for "mereka yang memberi perkhidmatan" rather than Party. Sekurang-kurangnya kita tahu bahawa mereka yang memberi perkhidmatan ini sedang mendirikan solla.

      Peace

      Delete
    4. Faham maksud admin....siapa pn kita tukar, natijahnya tetap sama...perubahan perlukan masa dn pengorbanan, juga keazaman..generasi baru perlulah dididik akan pentingnya kebebasan berfikir sambil dipandu moral yg tinggi...bila tiba masanya, revolusi yg akan menjatuhkan sistem korup pasti tercetus...
      Akan tetapi, suka @ tidak, bagi keperluan jangka masa pendek, pemimpin yg ada sekrang wajib dijatuhkan bagi menghalang kerosakan yg lebih parah, juga bagi menghalang golongan ini me ggunakan agama sebagai candu yg melalikan...ye lah, kegagalan ekonomi bermakna makin bercambahlah masalah sosial dn spt biasa rakyat yg kelemasan, dihimpit kiri dn kanan pasti akan cuba mencari jalan keluar, kesempatan inilah yg akan digunakan oleh ekstremis tok meracuni dn membelenggu minda rakyat....membawa kepada pusingan baru dalam perhambaan minda oleh golongan2 elit ke atas rakyat2 biasa...

      Delete
  5. Sy setuju dengan Ashwed. Apa yg cuba disampaikan ada benarnya, pemimpin yg ada adalah cerminan masyarakatnya & perubahan perlu bermula dari diri sendiri. Lihat sahaja kualiti pemimpin yg kita ada pada zaman dahulu & bagaimana masyarakatnya ketika itu.

    Ramai antara kita ingin pemimpin yg baik, tapi kita sendiri juga tidaklah baik mana (2x5). Contoh bagi projek dekat ahli keluarga, rasuah polis, x beratur, buang sampah merata, dapat kerja pakai kabel, dapat kontrak pakai kabel, dsb.

    Bila kita semua dapat mengubah sikap kita, automatik pemimpin pun dapat yg berkualiti & ada integriti seperti masyarakatnya.

    ReplyDelete
  6. salam,

    bila anak kita ingin masuk asrama, kita pun ziarah cikgu sekolah tersebut yang mana kebetulan ada bau bacang dengan kita. ada beza kah kita dengan ahli politik?

    bila anak kita mohon kerja, kita pun belanja makan pegawai eksekutif syarikat tersebut yang mana kebetulan kawan sekolah kita dahulu. ada beza kah kita dengan ahli politik?

    kenderaan yang diberikan oleh bos untuk memudahkan kerja, kita guna untuk balik kampung tiap-tiap minggu. ada beza kah kita dengan ahli politik?

    ReplyDelete
  7. setuju dgn apa yg bro ash katakan...jujur aku katakan, kalau aku mempunyai kuasa politik spt najib aku pun akan korup juga kerna masyarakat malaysia telah ditanam dgn konsep easy money tanpa usaha yg kuat sejak kecil..

    ReplyDelete
  8. Salam.
    Sorry off topic.
    I terbaca pasal one actress yang pakai tudung sebab dapat mimpi.
    Is it message from God or memory or experience? Sometimes we dreams sebab kejadian yang berlaku sehingga terkesan dan terbawa dalam mimpi.

    What do you think?

    Non

    ReplyDelete
  9. Saya sebenarnya tak faham apa yg Tuan Ashwed sarankan rakyat Malaysia buat. Cuba Tuan keluar dari alam teori dan masuk ke alam realiti.

    Sebab majoriti masyarakat Malaysia korup, sebab kita pilih pemimpin korup, jadi Tuan sarankan kita diam saja bila pemimpin tertinggi terangan mencuri?

    Artikel Tuan macam ada maksud tersirat. Cuba Tuan terangkan pandangan Tuan macam mana nak tukar rumah dari hanya tukar bilik? Berapa jangkamasa yg perlu untuk tukar rumah? Sementara rumah nak bertukar, adakah patut kita biarkan saja ketua rumah sekarang mencuri? Kita patut diam, tak patut berbunyi sebab bising macam mana pun ketua rumah masih tetap ketua rumah?

    ReplyDelete
    Replies
    1. Salam saudara anon 22 november 2016 at 15:49,

      Apa yang rakyat Malaysia perlukan ialah menukar MENTALITI bukan bergaduh dan bertikam lidah untuk menukar pemimpin.

      Jika ada 10 orang perogol di minta memilih pemimpin di kalangan mereka, pastilah mereka akan mendapat seorang pemimpin perogol.

      Sama juga, jika saudara merasakan pemimpin sekarang rasuah dan salah guna kuasa, tidakkah mereka ini datang dari satu masyarakat yang mengamalkan salah guna kuasa dan rasuah. Masyarakat itu ialah kita semua termasuk saudara dan saya. Ini yang perlu kita sedar dan tangani.

      Untuk mengubah keadaan ini, kita perlu mengubahnya dari diri kita sendiri. Sbg contoh, jika saudara mempunyai kenalan di bank di mana saudara boleh mengguna beliau untuk mempercepatkan urusan saudara hentikanlah perbuatan itu. Beraturlah seperti orang lain. Ianya memang susah, tetapi itulah sahaja cara yang berkesan.

      Perkara-perkara kecik lain seperti tidak membuang sampah merata-rata, menjaga kebersihan tandas-tandas awam, menepati masa dll akan mengajar kita untuk mempunyai mentaliti yang berlainan dari dahulu. Apabila cukup ramai anak-cucu kita mempunyai mentaliti sebegini maka suatu hari nanti mereka inilah yang akan kita pilih sebagai pemimpin.

      Dan oleh kerana mereka sudah terajar dengan mentaliti sebegini tidaklah mereka akan menyalahguna kuasa lagi.

      Saya bukan tuhan yang boleh tahu apa yang ada di masa hadapan. Nasib saya sendiri pun saya tidak tahu tenggelam atau timbul. Tetapi saya pasti jika saya berusaha bersungguh-sungguh saya akan mendapat keputusan yang memuaskan. Siapa yang membenih angin dia akan menuai badai. Apakah hanya bila saudara tahu jangkamasa yang tepat untuk mendapat keputusan ini baru saudara mahu mencuba ?

      Keluarlah dari rumah (dibaca sebagai kotak pemikiran lama) tersebut barulah saudara dapat melihat sesuatu di luar dari kotak. Contohnya jika dahulu kita pernah meminta Adun atau Ahli Parlimen di tempat kita membayar bil elektrik kita kerana kesuntukan wang (perbuatan ini berlaku dgn meluas dan masih berlaku sehingga sekarang) hentikanlah perbuatan itu kerana perkara inilah yang akhirnya menjadikan seseorang ahli politik terjerumus meminta wang dari ahli perniagaan. Lama kelamaan ahli perniagaan ini akan menabur wang kpd ahli politik yang kita pilih sbg balasan untuk mendapat kontrak. Semakin lama ia semakin menjadi-jadi ahkhirnya menjadi budaya politik Malaysia. Di dalam soal ini, siapakah yang sebenarnya melahirkan budaya rasuah itu, bukankah kita yang pada mulanya meminta wang untuk membayar elektrik rumah kita ?

      Damai

      Delete
  10. Politik=kebencian???... Namun 3 artikel berturut menunjukkan kebencian yg jelas .... Artikel ni menjelaskan kenapa bias ini terjadi....sebab anda penyokong DSAI? Justifikasi tuan ash sgt lemah dan hanya memilih apa yg tuan prejudis.... Dgn mengambil keputusan mahkamah yg memihak kpd jibby.... Agak sedih saya baca artikel tuan sedangkan blog ini byk membantu saya mengenal al quran.... Tuan plz practise what u preach....

    ReplyDelete
    Replies
    1. Salam Saudara Parknon,

      Saya bukan penyokong DSAI. Jauh sekali membenci Tun M. Saya hanya seorang yang mahu berkata benar. Adakah hanya apabila saya mengutuk PM Najib dan memberi sokongan kpd Tun M barulah saya dikatakan practise what u preach ?

      Berkata benar memerlukan keberanian. Kebenaran pula sungguh pahit untuk ditelan. Saya lebih rela berjalan berseorangan di atas satu jalan yang benar, daripada berjalan beramai-ramai tetapi jalan itu merosakkan.

      Damai

      Delete
    2. tapi...takkan nak biar saja??? 2.6B tu...banyak tak terkira..bukan 26 ringgit.

      Delete
    3. salam,

      Buat masa ini tidak banyak pilihan yg kita ada. Yg tinggal ialah semasa pilihanraya jgn beri undi kpd beliau. Jika saudara bukan orang Pekan, apa yg saudara boleh buat ialah pergi mendaftar sbg pengundi di sana. Namun, beliau banyak memberi perkhidmatan kpd org di Pekan. Saya tidak rasa beliau boleh kalah di sana kecuali samada calon lain yg bertanding di sana boleh memberi khidmat masyarakat yg lebih cemerlang dari beliau.

      Jika tiada juga. Saudara boleh sahaja pegi ke sana dan cuba tandingi perkhidmatan yg beliau beri kpd penduduk di sana kemudian isytihar diri sbg calon. Mungkin penduduk di sana Alan memberi undi kpd saudara berbekalkan khidmat masyarakat yg cemerlang.

      Peace

      Delete
    4. setuju..tak ada alternatif...susah lagu ni.

      Delete
  11. Saya peminat tegar blog tuan.... Artikel tuan sblum ini sgt membantu saya dan rakan... Namun saya agak risau apabila tuan menggunakan ayat quran tentang zalim utk justify argument tuan.... Yg rata2 lebih kpd prejudis tuan kpd Tun M... Adakah negara perlu dlm keadaan kebuluran kemiskinan tinggi baru tuan akan gelar pemimpin itu kejam? Quran jelas dlm kriteria pemilihan pemimpin... Quran juga saran mengambil semua pendapat dan guna akal dlm membuat keputusan.... Saya respek pendapat tuan... Mungkin tuan ada kenangan pahit zaman reformasi.... Namun tolong jgn gunakan ayat quran utk justify pilih pemimpin yg korup.... Bukan perbuatan ini sama seperti golongan manusia yg tuan tak suka iaitu org yg gunakan ayat quran utk menghalalkan perkara2 yg sedia maklum tidak betul.... So plzzz practise what u preach.... I still dont lose hope on u...

    ReplyDelete
    Replies
    1. Salam saudara anon 22 november at 23:37,

      Bagaimana saudara benar-benar pasti pemimpin yang saudara kata itu korup ? Sebab kawan saudara kata begitu ? Atau kerana ada orang tulis begitu ? Atau sbb Tun M kata begitu ? Adakah saudara rasa mahkamah akan menerima keterangan saudara berdasarkan keterangan yang saudara dengar dari orang lain ?

      Saudara sudah terjerumus menjatuh hukuman kepada seseorang tanpa keterangan yang kuat. Keadilan tidak akan dicapai dengan tindakan saudara.

      Saya sedang practise what i preach. Ianya adalah tuntutan al quran untuk berlaku adil. Janganlah kebencian saudara kepada seseorang menyebabkan saudara tidak berlaku adil. Apabila menghukum, hukumlah dengan adil.

      Saudara perlu baca, jawapan saya kepada pembaca lain.

      Saya rasa cukup sampai di sini kita berdiskus mengenai politik. Ianya tiada lain selain dari bercerita, bergossip dan menunjuk salah orang lain.

      Kita tidak akan berubah dengan melakukan ini.

      Damai

      Delete
    2. Anda yakin anda benar dalam hal Najib.Jangan jatuh hukuman kepada seseorang tanpa keterangan yang kuat.Anda juga yakin anda benar, dalam hal Mahathir seorang yang korup dan buat banyak kejahatan.Anda sendiri sudah pun menunjukkan siapa anda sebenarnya.Jelas,anda juga seorang yang bergolongan.Membesar dengan Harakah.Sebab itu anda terlepas banyak fakta penting yang jauh lebih benar.Nampak kebenaran itu adalah satu hal.Untuk berjalan seiringan dengan kebenaran itu pula adalah satu hal.

      Delete
  12. Ada banyak beza di antara menuduh dgn memberi contoh. Saya pasti saya bukan seorang seperti yg saudara tuduh.

    Mungkin saudara agaknya jenis yg begitu.

    ReplyDelete
  13. jelas politik memang boleh pecah belahkan masyarakat dan jadikan rakyat bergolong-golongan. tapi bagi pemain politik, tiada kawan atau lawan yg kekal. yg kekal hanya penguasaan dan kepentingan. boleh jadi hari ni kahwin esok cerai lusa rujuk tulat talak tiga. tiada perubahan dapat dilakukan melainkan Tun M sendiri berentap dengan Najib di parlimen Pekan. tapi agak sukar sebab pembangunan Pekan agak maju buat waktu ni.

    ReplyDelete
  14. salam,

    bagi saya, pandangan ashwed jelas merujuk kepada peristiwa tentang pemecatan Tun Salleh Abas oleh Tun M di mana secara terang adalah campurtangan kerajaan ke atas badan kehakiman negara ini. ini jelas bertentangan dengan perlembagaan Malaysia di mana pemecatan ketua hakim negara hanya boleh dibuat oleh YDP Agong. Mungkin kita tidak menyedari tentang perkara ini kerana berlaku pada puluhan tahun lalu. Mungkin kita merasakan remeh tentang perkara ini tetapi perkara ini adalah titik tolak tentang campurtangan dalam pemisahan kuasa cabang eksekutif negara ini. Dan apakah kesan yang terjadi dari peristiwa ini?

    Kita bersuara menentang pemecatan AG di mana AG adalah dilantik oleh YDP Agong. Tetapi apakah perbezaan diantara tindakan tun m yang memecat ketua hakim negara ketika itu dengan sekarang ini? Ini lah yang terhasil kesan dari tindakan tun m ketika itu sehingga membolehkan jawatan PM mengatasi ketiga tiga cabang eksekutif di negara ini.

    Kenapa tiada tindakan dapat dilakukan ke atas jawatan PM? kerana tiada check and balance akibat campurtangan itu tadi. Bolehkah saudara saudari sekalian memberi pandangan bagaimana untuk melakukan tindakan ke atas jawatan PM mengikut undang-undang?

    Saudar sekalian, jika kita membuang nama najib, tun m, lge, hadi awang...maka yang tinggal hanyalah seorang ahli politik. Dan sebagai ahli politik, objektif mereka hanyalah kuasa. Ahli politik haruslah memiliki kaedah manipulasi sentimen untuk mendapatkan pengaruh kerana pengaruh akan memberikan kuasa. Wang juga adalah satu cara untuk mendapatkan pengaruh sehinggakan digelar Cash is king.

    Jika kita bawa diri kita sejenak pada era Malayan Union dan rusuhan kaum 1969, kedua-dua peristiwa ini mengguna pakai kaedah manipulasi sentimen ketika itu. Malayan union ditentang oleh rakyat yang bangkit kerana sentimen kebangsaan yang dilaungkan oleh Dato Onn Jaafar, Zaba, Mahathir. Mereka bijak memanipulasikan sentimen sehingga rakyat bangun menentang British. Begitu juga peristiwa 1969 di mana sentimen perkauman dimainkan oleh ahli politik sehingga berlaku rusuhan kaum.

    Ahli politik adalah mereka yang pandai memanipulasikan orang ramai. Samada dalam sentimen kaum, kebangsaan dan agama, mereka inilah yang akan memainkan sentimen. Jika niat dan objektif ahli politik adalah positif, maka outcome dari itu juga positif. Begitu juga sebaliknya.

    Masyarakat harus disedarkan tentang skop tugas dan pemisahan kuasa cabang eksekutif. Sekiranya ketiga tiga cabang eksekutif ini berjalan dengan sempurna, maka sistem kita akan pulih. Integriti dan kepercayaan awam akan meningkat dan kestabilan ekonomi akan terhasil.

    Persoalannya, adakah next pm kita sanggup mengurangkan kuasa dia berbanding dengan kuasa yang ada pada pm sekarang ini?

    Cuba tanya diri kita sendiri sanggup tak kalau kita sendiri jadi pm?

    ReplyDelete
    Replies
    1. Salam saudara samad,

      Terima kasih. Ramai yg mahu bercerita mengenai politik tetapi tidak memahami atau belajar mengenai demokrasi. Akibatnya mereka hanya berdebat dan mengeluarkan pendapat mengguna emosi. Kebencian menguasai pendapat mereka.

      Paling menyedihkan ialah apabila perkara asas mengenai demokrasi pun masih kurang faham tetapi kita rendahkan pula orang lain yg punyai pengetahuan itu. Sedih melihat perangai orang kita.

      Damai

      Delete
    2. salam saudara ashwed,

      Bersabarlah. Saya percaya masih ramai yang tidak emosional serta diluar pengaruh politik samada pro kerajaan ataupun sebaliknya.

      Hakikatnya, selagi kita tidak mengubah kembali skop tugas dan pemisahan kuasa itu, sesiapa yang jadi PM pasti akan melakukan perkara yang serupa.

      Saudara sekalian, jangan lah kita menuduh ashwed sebagai pro politik kerana apa yang dia sampaikan adalah tidak berpihak dengan mana-mana ahli politik. Dia cuba memberi penjelasan bagaimana situasi sekarang terhasil akibat cause satu masa dahulu.

      Delete
    3. Politicians r no angel. So its abt choosing the lesser evil between the two. Tun M ada buat salah n najib pun sama. Tapi yg mana lebih merosakkan negara n menyusahkan ekonomi n rakyat?? Tun m pilih utk bersara tika dipuncak kuasa. Kini pd usia 91 thn kenapa dia sgp terjun politik semula? Sebab kemaruk nak jd PM pula?? Sebab nk lantik ank dia jd PM ? Jwbnya tidak sbb masa dia pm dulu pun dia ban his sons bertanding jwtn dlm parti. We need to realize the gravity of impact of imdb corruption on our nation and ppl future wellbeing n nation soverignty. Ini yg tun m nampak n cuba utk betulkan. Dah x ada jln lain sbb semua dah ditutup oleh present pm. So which lesser evil to pick??

      Delete
    4. salam anon,

      ini bukan masalah siapa yang lesser evil. Ini masalah pemisahan skop kuasa dan tugas badan eksekutif.

      Sekarang anon, cuba terangkan kenapa kita tidak mampu ambil tindakan ke atas jawatan pm biarpun terbabit dengan kes salah laku? Macam awak juga cakap, semua jalan telah ditutup.

      Kenapa boleh jadi mcm tu?


      Delete
  15. Saya ada baca bahan bacaan mengenai The Law of Attraction.

    Apa yang kita selalu(yang paling menonjol) amalkan,atau apa yg kita fikirkan walaupun dituju pada orang lain ianya akan berbalik pada kita.

    Kita selalu dengar..
    -jangan kata orang lain bodoh nanti kita balik yang bodoh.
    -jangan kata kita tak cukup duit nanti kita memang sentiasa tak ada duit.
    -jangan mengata anak orang lain jahat nanti anak sendiri yang jahat.
    -jangan kata kita nak tukar kereta baru nanti kereta kita mula meragam.
    -jika kita fikir kita boleh kita pasti boleh.

    Dalam soal pemimpin..jika pemimpin itu seorang yang tidak amanah ianya datang dari masyarakat itu sendiri yang tidak amanah yang ramai AMALKAN ATAU selalu DIFIKIRKAN DAN DIPERKATAKAN atau MENGUMPAT tentangnya...jadi ianya berbalik kepada kita. Kitalah yang kena hadap pemimpim yang tidak amanah.

    Jika benarlah pemimpin kita tidak amanah itu adalah hasil "permintaan" kita sendiri/masyarakat.

    Jika ada kempen "katakan tidak pada rasuah", The Law of Attraction akan mengekalkan kegiatan rasuah itu untuk mengekal "permintaan" kita sendiri untuk berkata "katakan tidak pada rasuah". Sekadar contoh.

    The Law of Attraction akan memihak fikiran dan perbuatan yang paling menonjol. Jika PM kita tidak amanah, yang paling menonjol dalam amalan kita dan suka mengumpat dalam masyarakat kita adalah tidak amanah. Shame on us(tiru Ashwed)

    :)

    Pendapat saya je.

    Salam

    ReplyDelete
  16. Satu soalan untuk semua....apa yang terjadi di malaysia hari ini adalah hasil tok nenek, ibu-bapa kita..... Apakah kita mampu mengubahnya?Atau kita tetap nak mempertahankan sistem yang teruk ini seperti ibu bapa kita? Adakah kamu masih nak berkhidmat kepada taghut?

    ReplyDelete